Follow Us @soratemplates

2.5.18

KKKC - Bab 5



EDZRA lepaskan keluhan. Kesal sungguh dia dengan apa yang berlaku. Tapi itulah, dah tak guna nak menyesal pun. Memang salah dia sebab libatkan Anis
dalam taruhannya. Nak marah kepada dua mangkuk hayun depan dia sekarang, tak tergamak pula. Alan dengan Haris memang kaki terjah. Sekarang, selepas 
tengok kemarahan Anis, masing-masing terkebil-kebil. Tak sangka agaknya yang tindakan mereka membongkar rahsia taruhan itu buat Anis marah kepadanya.

Dalam kereta, masing-masing senyap. Alan dan Haris bimbang Edzra melenting marahkan mereka lagi. Mereka bisukan diri dan harap kawan baik mereka itu
akan sejuk hatinya apabila sampai di rumah nanti.

“Jom singgah makan kat gerai Pak Seman.”

Alan pandang Haris, Haris pandang Alan kemudian dua-dua pandang Edzra.

“Betul ni? Kau nak belanja kami atau kau nak tinggalkan kami di gerai Pak Seman tu?”

Edzra tahan senyum. Sekali sekala tengok dua kawan baiknya menggelabah, memang menyeronokkan.

“Ikutkan hati memanglah aku nak tinggalkan kau orang. Tapi, aku ni masih ada rasa kesian belas lagi, tahu tak?”

Alan dan Haris urut dada. Lega.

Sepanjang berada di gerai, mereka dah boleh bersembang macam biasa.

“Thank you, my friends. Kalau kau orang tak ajak aku pergi main boling tadi, mahu mood aku ke laut sampai esok.”

Ketika meninggalkan rumah keluarganya, Edzra benar-benar dalam keadaan marah. Kalau ikut hati mahu saja dicekiknya Mak Su Suri dan Azza. Baginya, dua beranak itu memang musuh ketat sejak sekian lama. Tapi itulah...

Yang dibenci itu merupakan satu-satunya adik perempuan Puan Nurin. Azza pula ialah satu-satunya anak saudara dia. Seingat Edzra, sejak lama, dua beranak itu sentiasa berjaya memanipulasi keadaan. Sentiasa dapat memenangi hati umi. Mata umi seakan-akan tertutup untuk melihat perangai sebenar adik dan anak saudaranya itu.

Haris dan Alan sudah mangli dengan mood Edzra. Kalau Edzra balik ke rumah sewa mereka, tak lain kerana mood baiknya sudah dicemari oleh mak su dan Azza. Mungkin kerana tak tahan dengan kerenah dua beranak itulah yang menyebabkan Edzra buat keputusan untuk belajar jauh-jauh dulu. Senang hatinya kerana tak perlu nak hadap dua insan itu barangkali.

“Jadi sekarang, kau dah tak marah lagi, Ed?”

Edzra geleng.

Lega. Itu yang Alan rasa.

“Mesti budak perempuan tu tadi yang dah berjaya baiki mood kau, kan?” soal Haris. Penuh hati-hati.

Edzra senyum. Sepasang matanya bercahaya.

“Nama dia Anis, eh Ed?” Alan tanya.

Edzra angguk.

“Tambah M di pangkal nama dia jadi manis. Anis yang manis.” Alan tambah perisa.

Betul tu. Anis yang Manis. 

Eh, kenapa tiba-tiba hati bergetar ni?

Edzra pegang dada. Dahi berkerut kerana dia berasa pelik. Tak pasal-pasal pula ada rentak baru pada irama detakan jantungnya.

“Apasal kau pegang dada tu, Ed? Kau sakit ke? Itulah, tadi aku dah pesan. Sebelum main, buat stretching dulu. Jangan terus hayun bola tu. Nanti sakit. Itulah pasal! Kau ni degil. Nasihat kawan, kau buat macam angin lalu aje. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.”

Edzra biarkan sahaja Alan dengan bebelannya. Tak kuasa hendak memberitahu bahawa dia sihat walafiat, tak ada penyakit yang datang menyerang. Cuma, dia rasa hati dia yang sudah dijangkiti virus. Begitupun, masih awal lagi. Baru jumpa sekali, kan? Apa-apa pun, Edzra mahu pastikan bagaimana keadaan hatinya pada pertemuan-pertemuan akan datang. Kalau masih sama getarnya,
sah... dia dah dapat satu penyakit.

“Orang cakap, kau boleh pula sengih macam kena sampuk. Pehal kau ni, Ed?”

Edzra semakin galak ketawa. Wajah Alan dan Haris ditenung silih berganti. Namun dia tetap bisu. Tak mahu beritahu apa-apa lagi. Belum masanya!

“Aku rasa, kawan kita ni kena sampuk dengan hantu si Manis tadi. Kalau kau tak percaya, Alan, masa dia tidur nanti kau tunggu dia mengigau. Mesti dia asyik sebut Anis... Anis... Anis!”

“Kalau aku boleh mimpikan dia malam ni, tentu seronok, kan?”

Alan dan Haris teruja dengar Edzra nak mimpikan Anis.

“Kau suka dia, Ed?”

Edzra angguk. Tak guna nak sorok apa yang dia rasa.

“Nak jumpa dia lagi?”

Tiba-tiba Edzra tampar dahi sendiri. Nak jumpa Anis lagi? Bagaimana? Tadi, Anis menonong pergi tinggalkan dia. Dan dia pula, dek terlalu ralit sangat sembang, sampai terlupa mengambil nombor telefon gadis itu. Memang kena hantuk kepala ke dindinglah! Perkara paling penting dalam abad ini, itulah yang dia lupa buat!

“Kenapa terkulat-kulat tu, Ed? Siap tepuk dahi lagi?”

Wajah Alan ditatap. “Aku lupa minta nombor telefon dia tadi.”

Ternganga mulut dua sekawan. Lepas tu mereka gelak tak hengat dunia. Siap geleng-geleng lagi.

“Memang kau tak ada gaya romeolah, bro! Benda paling asas pun kau boleh lupa.”

Edzra tak terkata.

“Tak apa, Ed. Kau jangan susah hati. Kata orang, kalau dah jodoh tak ke mana. Insya-Allah, nanti kau akan jumpa dia. Percayalah cakap aku ni.”

“Harap-harap, macam gitulah. Tapi, macam mana kalau kami tak jumpa lagi? Macam mana aku nak cari dia?”

“Eleh, itu pun aku nak kena ajar ke?”

Edzra bulatkan mata ke arah Alan.

“Kau buat laporan kat balai polis. Cakap bini kau hilang. Sure dia orang boleh bantu kau sampai jumpa punya!”

Gelak dua sahabat sebabkan Edzra jadi bengang. Boleh pula mereka kenakan dia?

Edzra bangun. Selamba dia berjalan menuju ke kereta.

“Ed, kau nak ke mana tu?”

Edzra buat tak dengar.

Alan dan Haris bergegas bangun. Bimbang kena tinggal, duit not lima puluh diletak atas meja. Kelam-kabut mereka berlari ikut Edzra.

“Duit baki macam mana?” jerit Pak Seman, tuan kedai.

“Pak Seman ambillah. Sedekah!”

Senyum lebar Pak Seman dapat rezeki tak disangka-sangka pada malam itu.
------------
suka tak? nak sambungannya lagi? kalau nak komen nak di FB ya...😼😼

1 ulasan:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Apakah Anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.
    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.