Follow Us @soratemplates

30.4.18

KKKC - Bab 4



KEPALA dipanggung. Perlahan-lahan duduk dibetulkan. Setelah berasa selesa, barulah mata diarahkan oleh otaknya untuk memerhati lelaki yang bertanya tadi. Dari bawah, Anis nampak sneakers berwarna pink. Laju keningnya terangkat. Lelaki pakai kasut pink? Melangkau bahagian kaki dan badan, Anis pandu renungan ke muka pemilik suara garau itu tadi. Kalaulah kepala tak terbeban dengan masalah, mungkin otak boleh cakna wajah di hadapannya. 
Tapi, saat ini, tak ada apa yang menarik tentang lelaki ini. Hambar renungan yang dilontar. 

Edzra tenggelam dalam redup pandangan gadis itu. Namun renungan itu kosong saja. Renungan yang jelas menolak kehadirannya di situ. Tak mengalah, Edzra duduk atas kerusi kosong di hadapan gadis itu. Perbuatannya menyebabkan Anis tarik dua tangannya lalu memeluk tubuh sendiri.

“Boleh saya duduk sini?”

Diam. Anis zip mulut.

“Diam aje? Boleh ke tidak ni?”

Soalan diiring sekuntum senyum yang menawan.

Anis betul-betul tak faham. Kenapalah dalam banyak-banyak lorong di pusat boling ini, lelaki ini mesti ke sini. Duduk depan dia? Kan banyak lagi tempat lain? 

Anis berasa terganggu. Sebab itu dia pamer muka masam.

“Dah duduk dah pun. Tanya apa lagi?”

Garang saja suara Anis didengari Edzra. Senyuman Edzra menjadi semakin lebar kerana dia suka jawapan itu.

Melawan!

Dah agak dah. Gadis ini lain daripada yang lain. Tengoklah muka tu. Lagi masam daripada cuka.

Edzra jadi bersemangat. Hadiah pertaruhan dengan kawan-kawannya tadi pun tak mampu menyaingi semangatnya sekarang. 

Sebenarnya, sejak dari gadis ini masuk tadi, perhatian Edzra terhadap permainan dah kacau-bilau. Gaya gadis ini yang bersahaja tanpa pedulikan persekitaran mereka, mendorong dia ke sini. Pertaruhannya dengan kawan-kawan baik dia tadi hanyalah sekadar suka-suka. Sejak tadi, sudah ada rasa mahu mengenali gadis ini lebih dekat lagi. Firasatnya mengatakan gadis ini seorang yang baik. Otaknya mengatakan, di sini duduk seorang gadis yang istimewa. Gerak hatinya tak pernah silap selama ini. Debar di dada sejak kali pertama melihat gadis ini tadi masih lagi terasa.

Sepasang mata Anis bulat ke wajah Edzra.

“Dalam ramai-ramai manusia di sini, kenapa awak kacau saya?” soalnya garang.

Edzra ketawa mendengar soalan itu.

“Sebab, dalam ramai-ramai manusia yang ada di sini, awak seorang saja yang pelik. Datang ke pusat boling, tapi tak buat apa-apa,” balasnya selamba.

Anis cemik. “Jadi awak buat kesimpulan yang saya tak reti main boling.”

Edzra angguk.

“Dan awak terus buat keputusan nak ajar saya main. Betul?”

Edzra angguk lagi.

“Kenapa saya?”

“Sebab hati saya pilih awak.”

Jawapan apa ni? Anis kerutkan dahi.

“Betulkan saya kalau saya silap. Ini kali pertama awak datang sini?”

“Ke Ampang Superbowl ni? Ha’ah, ini first time.”

“Then, bila awak masuk, awak terkejut tengok ramai orang. Awak tengok ramai yang buat strike bagai, awak jadi risau. Tadi awak telefon ajak kawan awak datang, tapi mungkin dia tak boleh menyebabkan awak termenung. Awak sedih sebab tak dapat main. Awak kecewa...”

“Saya tak kecewalah, awak. Bukannya seronok sangat main boling tu.”

Penafian yang ditepis dengan mudah.

“Actually, di situ awak silap. Permainan ni sangat istimewa. Main boling ni lebih seronok daripada main salji dekat pergunungan Alps di Eropah sana, awak tahu
tak?”

Eee, ini yang buat Anis rasa nak menangis semula. Dia baru nak lupakan, tiba-tiba lelaki ini muncul dan cakap pasal main salji di pergunungan Alps pula. Macam tahu-tahu yang dia dah kena tinggal dengan ahli keluarganya.

Ah, sedih!

Edzra tak faham. Kenapa wajah di hadapannya jadi suram semula. “Saya salah cakap ke?”

Anis geleng.

“Beritahu saya, macam mana awak tahu main boling lagi seronok daripada main salji?”

Dia marah, hati Edzra berbisik. Tapi, kenapa nak marah? Ah tak apa. Tak perlu tahu alasannya. Sekarang balik kepada tujuan asal. Edzra mahu memenangi pertaruhan.

“Saya tahu sebab saya dah buat dua-dua.”

Dengan bangga Edzra memberitahu.

Kepala Anis terangguk-angguk. Patutlah.

“Apa yang seronok main boling ni?” soalnya.

“Kalau awak sedang marah atau stres, di sinilah tempat terbaik awak perlu datang.”

Menarik ni. Anis mula berikan perhatian.

“Setiap kali kita golekkan bola ke arah pin yang beratur kat depan sana, kita boleh bayangkan yang kita sedang melanyak seseorang yang kita geram. Makin
banyak pin jatuh, makin puas kita rasa. Seolah-olah kita dah kerjakan seluruh badan orang tu.”

Jawapan Edzra buat Anis ketawa dengan kuat. Mana tidaknya? Dia sudahpun membayangkan badan kak longnya yang bernama Rania, sedang bergolek-golek
masuk ke dalam terowong. Kerana dia amat yakin, Ranialah punca dia kena tinggal. Entah apa tantrum yang dibuat depan papa sehingga papa sanggup mungkir janji. Tambah lagi Rania mendapat sokongan mama seratus peratus.

Tiba-tiba dada rasa sebak. Tiba-tiba empangan matanya pecah. Air mata turun di pipi tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

“Whoa! Whoa! Kenapa menangis pula ni?”

Edzra benar-benar terkejut. Dia yang tadinya begitu asyik menatap wajah ceria si gadis jadi gelabah kerana dengan tiba-tiba saja ketawa bertukar jadi tangisan. Apa hal?

“Ma... maafkan sa... saya. Saya tak ada niat nak menangis depan awak.”

Edzra capai tisu yang terselit pada beg galas Anis dan menghulurkannya kepada gadis itu.

Anis gunakan tisu itu untuk lap air matanya. Renungan lembut Edzra cuba dielak. Enggan menerima simpati lelaki ini.

“Ada orang dah lukakan hati awak, ya?”

Tafsiran lelaki ini mungkin tak sama. Mungkin lelaki ini ingat dia dikecewakan oleh seorang lelaki. Hakikatnya tidak dan Anis tak punya rasa untuk membetulkan andaian itu.

“Inilah masanya!”

Anis tatap wajah Edzra. Tak faham.

“Awak terluka, kecewa dan awak marah orang tu. Awak tak dapat nak pukul dia, kan? Jadi, jomlah main. Saya ajar awak macam mana nak jatuhkan pin tu semua sambil awak bayangkan bola itu ialah senjata yang awak nak guna untuk bantai dia. Amacam? Nak cuba?”

Satu hipotesis yang menarik. Dan Anis sudah bayangkan mangsanya. Jadi laju dia angguk.

“Dah sedia nak main boling?”

Suara teruja itu membuat Anis tersenyum. “Dah.”

Edzra letak tangan kanan ke dada kiri.

“Kenalkan. Saya Edzra. Saya cikgu boling awak malam ini.”

“Nama awak Edzra?”

Edzra angguk. “And you are...”

“Anis. Panggil saya Anis.”

“Nama betul ke nama tipu tu?”

“Anis tu nama saya, awak. Bukan nama pena. Bukan nama glamor. Memang nama tu dicatat dalam kad pengenalan saya.”

Edzra gelak besar mendengar omelan Anis. “Okey, okey! Nama tu juga tertulis pada passport awak, kan?”

“Passport jangan sebut. Sensitif!”

“Ops! Saya minta maaf, Anis.”

“Maaf diterima. Dah boleh main ke tidak ni?”

“Of course!”

Anis terus berdiri. Tiba-tiba dirinya rasa bersemangat. Dia mahu buat balingan. Nak anggap dia sedang baling bola ke tubuh Rania. Biar jatuh bergolek-golek. Ketika dia hendak ke tempat bola, dia menoleh.

“Apa awak buat kat situ lagi? Kata nak ajar saya main. Cepatlah!”

Edzra ketawa besar melihat gelagat gadis manis itu. Dengan tudung segera yang sempoi, muka yang belum tercela dengan solekan dan pakaian yang amat santai, Anis kelihatan amat sempurna di matanya.

“Mata tu nak kena cucuk dengan pen ni ke? Tengok orang macam nak telan.”

Anis sengaja jegilkan mata kepada Edzra yang sedang mendekatinya.

Edzra gelak. “Sampai ke hati awak nak buat macam gitu kepada cikgu awak ni?”

“Sampai aje. Hati saya dah kering, tau!”

Haila, ada saja jawapannya.

Edzra memilih bola warna coklat.

“Pilih bola kena betul. Jangan ambil yang terlalu ringan. Ambil yang sedang-sedang tapi awak tahu awak boleh baling bola tu tanpa cederakan diri sendiri. Nampak tiga lubang ni? Masukkan jari awak ke dalamnya begini.”

Anis memilih bola yang beratnya tujuh kilogram. Dia kemudian memegang seperti yang diajar oleh Edzra.

“Masa nak lontar, bengkok kaki macam ni. Lepas tu baling dan golekkan saja.”

Anis senyum melihat bola yang Edzra golek sudahpun menghentam sembilan daripada sepuluh pin yang ada.

“Wah, hebatnya awak.”

“Well, I’m the best!” Edzra membangga diri. “Awak cuba pula!”

Anis angguk. Melangkah ke hadapan dengan tertib dan bola dihayun penuh konsentrasi. Boom!

Bulat mata Edzra apabila Anis berjaya buat strike.

“Yeay!” Anis jerit penuh riang.

“You... you cheat! You know how to bowl!”

Anis sengih.

“Saya tak pernah cakap yang saya tak pandai main, awak. Awak yang buat andaian sendiri tadi.” Anis bela diri.

Mata Edzra masih dijegilkan kepada gadis itu.

“Awak patut beritahu saya. Taklah saya main-main masa buat lontaran tadi.”

“Oh, tadi tu cikgu acah-acah ajelah ya? Patutlah sembilan pin aje yang jatuh, kan?” sinis Anis sambil ketawa-ketawa.

Ternyata tawa Anis ada wabak berjangkit. Melihatnya menyebabkan Edzra turut gelak.

Tiba-tiba muncul dua orang lelaki di hadapan mereka.

“Tahniah, Ed!”

Anis pandang muka Edzra. Kenapa gaya Edzra lain macam? Kenapa nampak cuak? Siapa pula lelaki-lelaki ini? Dan untuk apa ucapan tahniah diberi?

“Kau orang buat apa datang sini?”

Mestilah Edzra cemas. Bimbang rahsianya pecah. Dia baru hendak bermesra dengan Anis. Kacau daun betullah Alan dengan Haris!

“Amboi, Ed! Dah dapat kawan baru, lupa kawan lama pula. Sampai hati.” Haris pura-pura marah. 

“Yalah, Haris. Dia marah kita datang sini pula tu.”

Alan tokok. Suka dia tengok Edzra yang gelabah.

“Mengada-ngadalah kau orang ni.”

Anis geleng tengok gelagat Edzra dan dua lelaki itu. Dia yakin mereka mempunyai hubungan yang rapat. Mungkin kedua-duanya adalah kawan baik Edzra.

“Hai, girl. Cantik balingan you tadi,” puji Alan.

“Cikgu Edzra pandai ajar saya main.” Anis sahut sambil senyum.

“Ya? Tapi nampak macam you memang dah expert.” Haris sampuk.

“Tak. Memang tadi saya ikut je apa yang Edzra suruh saya buat.”

“Dengar tak tu? Anis cakap aku pandai ajar dia main boling.”

Haris tepuk dahi. “Jadi, aku dengan Alan dah kalahlah ni?”

Soalan yang menyebabkan Anis berhenti kemas beg. Mata tajam ke arah Haris yang sedang tekup mulut dengan tapak tangan.

“Awak kalah? Kalah apa tu ya?” Anis ingin tahu.

“Tak ada apa-apalah, Anis. Haris gurau aje tu.”

Cepat-cepat Edzra sampuk dan cuba alih perhatian Anis dari menghunjam renungan tajam ke wajah kawan baiknya.

Anis tak mudah untuk percaya. Dia yakin ada sesuatu daripada kata-kata lelaki itu tadi.

“Saya tak rasa yang kawan awak bergurau, Edzra.”

Anis pandang Haris tepat-tepat. “Tolong beritahu saya, awak. Please!”

“Actually, girl... kami bertaruh tadi. Kalau Edzra berjaya ajak you main, dia menang. Kalau you tak main, kami menang.”

Nampaknya, wujud lagi seorang lelaki yang sama sifat dengan papanya. Mulut bukan main manis bila bercakap, tapi hampeh. Janji kosong saja yang diberi.
Hipokrit.

Anis cukup tak suka apabila dipermainkan. Dia sangat marah dengan Edzra sekarang. Geram kerana dia jadi alat dan bahan gurauan lelaki itu dan kawan-kawannya.

“Hadiahnya apa?”

Lembut soalan dilontar kepada Alan. Muka Edzra langsung tak dipandang.

“Satu tiket penerbangan business class ke Bora-Bora siap dengan penginapan di hotel terbaik di sana.”

“Wow! Macam pakej honeymoon pula ya?” sindir Anis.

“Itu yang saya cakap pada Edzra tadi.” Alan sahut.

Merah padam muka Anis. Sakit hatinya tengok muka Alan yang tersenyum-senyum. Sambil angkat beg, dia pandang wajah Edzra.

“Nak honeymoon rupanya. Sengkek sangat ke sampai terpaksa bertaruh?”

“Anis, let me explain...”

“Tak payah. Saya tak nak dengar. Good night. Saya harap kita tak jumpa lagi lepas ni. Bye.”

Anis terus menonong tinggalkan Edzra dan kawan-kawannya. Tak kuasa dia hendak menunggu lagi. Dalam diam, dia marahkan dirinya. Cepat sangat percaya kepada orang lain. Baru kenal, dah boleh mesra. Sekali kena bahan. Arghhh, geram!

------------------
bersambung, insya Allah

maaf, lambat pulak masuk citer hari ini. busy terlalu sebab uruskan anak nak kahwin. jangan marah hah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.