Follow Us @soratemplates

28.4.18

KKKC - Bab 2


oleh kerana sekejap lagi saya nak turun ke PWTC, saya belanja awal bab 2 kepada anda semua. Dalam bab ini saya kenalkan anda dengan Edzra, si hero. Selepas baca, mungkin anda fikir... alamak! hero garangnya! hehe... jgn risau. ni baru nak kenal dia kan? nnt2 di bab2 akan dtg ada perubahanlah... SELAMAT MEMBACA!


TURUN dari teksi, Edzra terpaku seketika. Berdiri tegak sambil mata liar perhati sekeliling. Pelik dia dengan keadaan dalam dan luar rumah yang terang benderang. Debar pula hatinya. Bimbang kalau-kalau terjadi sesuatu sewaktu dia tiada.

“Kau dari mana, Ed?”

Suara abang sulungnya yang dia dengar. Edzra toleh ke kiri. Keliru dia tengok senyum senget Zailan.

“Apa senyum-senyum? Macam tak tahu aku baru balik dari Taman Negara,” sahutnya.

“Seronok?”

Angguk. Kemudian wajah Zailan direnung. “Ni apa hal rumah kita menyala habis semua lampu. Ada kenduri ke? Kenapa aku tak tahu umi nak buat kenduri?”

Senyum Zailan makin lebar.

“Umi memang sengaja tak beritahu kau pasal kenduri ni.”

“Why?”

“Itu kau kena tanya umi. Umi ada di ruang tamu dengan mak su. Pergilah!”

Jawapan Zailan tak sedap didengar. Bagai ada rahsia pula. Baru nak mula langkah, Zailan tepuk bahu Edzra.

“Ni, aku nak nasihat kau, Ed. Apa-apapun, dengar dulu hujah umi. Jangan terus melenting. Tak baik!”

Dengar nasihat alongnya pun Edzra tahu ada sesuatu sudah berlaku. Ada sesuatu yang tak kena dan sesuatu itu ada kaitan dengan dirinya. Tapi apa?

Tak boleh Edzra nak tebak.

“Abang Ed!”

Edzra tergamam. Terkejut sehingga tak boleh nak bergerak. Tak pernah dalam seumur hidup dia, ada yang berani peluk kecuali umi, arwah ayah dan adik beradik kandungnya, Zailan serta Alif. Sebab itu apabila otak

berfungsi semula, laju tangannya menolak tubuh adik sepupunya. Azza jatuh terduduk atas rumput. Muka dah kelat.

“Abang Ed! Apasal tolak Azza ni? Sakit tahu tak?”

“Siapa suruh kau peluk aku?”

Edzra cekak pinggang. Cerlung matanya bagai nak menelan Azza.

“Alah Abang Ed ni. Apa salahnya peluk abang? Kita dah tunang kut!”

“What?”

Mata cari wajah Zailan. Anggukan alongnya menyebabkan Edzra jeda. Tergamam kali kedua.

Azza angkat tangan kiri. Cincin yang tersarung pada jari manis ditunjuk kepada Edzra. 

“Cantik cincin ni. Pandai abang pilih. Azza suka.”

Edzra tinggalkan Azza. Wajah alongnya dikerling sekilas sebelum dia masuk ke ruang tamu. Melihat mak su yang gelak-gelak di sisi uminya, gelegak darah muda Edzra. Menyirap naik ke muka.

“Umi!”

Puan Nurin terkejut mendengar suara Edzra. Terus berdiri.

“Bila balik, Ed?”

Edzra tak ada masa untuk jawab. Dia yakin uminya boleh menjawab soalan itu melihat kepada keadaan dirinya sekarang. Buat masa ini dia ada soalan yang jauh lebih penting.

“Apa yang Ed dengar ni, umi? Ed bertunang? Dengan Azza? Bila? Boleh umi tolong jelaskan, tak?”

Menggeleng Puan Nurin tengok Edzra, anak kedua yang panas baran. Daripada gayanya, jelas Edzra sedang naik angin. Nampaknya berita pertunangan itu sudah sampai ke pengetahuannya.

“Sebab itu umi tak nak beritahu kamu. Tahu kamu akan melenting macam ni,” selamba Puan Nurin balas.

Mata tunak memandang raut yang tegang. “Jadi umi tahulah yang Ed akan marah. Habis tu, kenapa umi buat juga? Tak pasal-pasal tunangkan Ed

dengan Azza. Sejak bila Ed pernah cakap yang Ed nak jadikan Azza tu bini Ed?”

Hati yang berontak menyebabkan suara bergema garang dalam ruang tamu itu. Menarik perhatian orang yang berada di luar untuk meluru masuk. Semua terpegun tengok Edzra. Ada yang kecut perut melihat wajahnya yang merah.

“Yang kamu nak marah-marahkan umi kamu ni kenapa Ed?”

Hmm punca kemarahannya pula yang menegur. Memang sengaja cari pasal dengan dialah nampaknya. Wajah mak su direnung tajam.

“Tak lain, ini kerja mak su, kan? Mak su yang rancang buat kenduri dan mak su juga yang rancang supaya Azza ditunangkan dengan saya. Betul tak?”

“Eh, apa mak su pula? Umi kamu yang rancang semua ni, Ed. Jangan pandai-pandai kamu nak tuduh mak su.”

Edzra juih bibir. Sakit hati dia dengar suara ibu saudaranya membela diri. Macamlah dia tak kenal dengan adik uminya yang seorang ini. Mak su, perempuan yang suka ambil kesempatan. Tak ada satu pun yang dibuat

yang tidak mendatangkan keuntungan untuk diri sendiri.

“Jangan nak bohonglah, mak su. Saya tahu, ini mesti mak su punya kerja. Mak su dengan anak kesayangan mak su si Azza tu. Kau orang berdua aje yang suka pekena orang terutama umi.”

“Ed! Tak baik cakap macam tu!”

Puan Nurin cuba tenangkan anak bujangnya.

“Tulah, along! Suri dah cakap, Ed mesti marah bila dia tahu. Dia...”

Edzra senyum sinis tengok gelagat mak su. Nak tunjuk baik konon. Nak tunjuk yang dia tak bersalah.

“Sudahlah, mak su! Jangan nak berlakon baiklah. ”

“Ed!”

Suara uminya hentikan perkataan Edzra. Wajah Puan Nurin dipandang.

“Jangan marah mak su kamu, Ed. Suri cuma beri cadangan. Umi yang setuju sebab bagi umi, Azza memang sesuai jadi isteri kamu. Dia sayangkan kamu, Ed. Dia... ”

“Really, umi? Jadi Ed kena bertunang dengan dia sebab dia sayang Ed? Macam mana dengan perasaan Ed, umi?”

Puan Nurin kerut dahi.

“Kenapa dengan perasaan kamu? Bukan kamu pun suka pada Azza ke?”

“Siapa cakap?”

Edzra tuntas pandangan ke wajah mak su dengan Azza. Senyum sinis mereka menjawab soalannya. Geramnya dia!

“Lain kali, umi, kalau nak buat sesuatu yang ada kait mengait dengan masa depan Ed, tanya Ed dulu. Jangan dengar cakap mak su dengan anak dia tu. Orang tamak macam mereka memang pandai buat cerita.”

Terasa hati dengan sindiran Edzra, mak su menunduk. Takut nak pandang wajah garang lelaki itu. 

“Tak sangka yang umi sayang Azza lebih daripada sayangkan Ed. Siapa anak kandung umi ni? Azza ke Ed?”

Mak su bangun. Lebih lama di situ, lagi sakit telinganya dengar kutukan Edzra.

“Nak ke mana, Suri?”

Puan Nurin risau lihat gelagat adiknya.

“Nak balik, along. Lagi lama Suri di sini lagi macam macam Ed kutuk Suri dengan Azza nanti.”

“Duduk dulu, mak su. Saya tak habis cakap lagi.”

Puan Nurin geleng tengok Edzra yang garang. Kasihan pula kepada adiknya yang kelihatan takut benar sekarang.

Edzra tatap wajah uminya.

“Bila umi plan majlis bertunang ni?”

Dahi Puan Nurin berkerut. Sungguh dia tak ingat. Kerana itu dia palingkan wajah ke arah mak su. 

“Bila, Suri?”

Tergagap-gagap mak su beritahu. “Lama dah, along. Sejak Ed di Amerika lagi.”

Semua orang dijegil oleh Edzra. Geram!

“Wow! Lama tu! Pandai betul semua orang simpan rahsia, ya?”

Gila nak beritahu. Dah tentu tak jadi buat kenduri tadi.

Menyangka Edzra akan berlembut, mak su mencelah. 

“Ed, anak mak su cuma Azza tu aje. Mak su nak lelaki terbaik untuk dia. Kamu! Mak su berkenan dengan kamu. Kamu yang paling layak dengan Azza tu, Ed. Kamu tegas dan matang. Lagipun, cakap kamu aje yang

Azza akan ikut. Kamu sesuai dengan Azza, Ed. Azza tu jodoh kamu. Dia sayang kamu.”

Pandangan Edzra mencerlung ke arah ibu saudaranya. Mak su yang tadi yakin dapat jinakkan Edzra terus bungkam. Tahu yang dia salah cakap.

“Semua orang tahu yang saya tak pernah buat baik dengan Azza, mak su. Termasuk Azza sendiri. Jadi, tang mana layaknya? Di mana yang kami sesuai? ”

Dahi mak su berkerut. Hati geram benar dengan anak saudaranya yang satu ini. Payah sungguh nak dijerat. Jadi, dia pamer wajah kasihan ke arah kakaknya. Kerana dia tahu, hanya cakap Puan Nurin sahaja yang mampu

membuat Edzra tunduk dan akur.

“Ed, apa kata kalau kamu cuba balas perasaan Azza? Cuba sayangkan Azza macam Azza sayang kamu. Umi yakin kamu boleh.”

“Betul tu, long. Lagipun, bila dah bertunang ni boleh aje kalau Ed nak praktis bercinta dengan Azza.”

Duh! Makin menjadi-jadi mak su. Siap aju permintaan mengarut. Suruh praktis bercinta konon?

Dan Azza...

“Abang Ed kena paksa diri tu untuk balas cinta Azza ni. Tak boleh tidak!”

Amboi, main paksa-paksa pula!

Edzra terus hempuk meja makan. Puas hati dia bila tengok muka mak su jadi pucat. Azza pun sama. Sakit pada tapak tangan tak terasa kerana berjaya lepaskan kemarahannya. Juga kerana berjaya lihat muka dua

beranak itu berubah jadi cuak.

“Ed...” Suara lembut uminya berkumandang.

Edzra mendengus.

“Ed sayang, bukan umi nak suruh Ed dengan Azza kahwin cepat-cepat. Tunang aje dulu. Lepas Azza dah tamat belajar nanti, baru kita buat kenduri kahwin tu.”

Dari ekor mata, Edzra perhatikan Azza yang nampak terkejut mendengar saranan Puan Nurin. Azza kemudian memandang ke arah mak su. Edzra tahu maksud renungan gadis itu. Tentulah Azza harap mak su sanggah pendapat umi dan kemudian cucuk jarum supaya majlis dicepatkan. Alah, akal dua beranak itu sentiasa dalam koceknya.

“Along...”

Hmm, kan betul! Tak apa, Ed. Tunggu dan dengar apa yang mak su nak ucap. 

Puan Nurin tumpukan perhatiannya kepada mak su.

“Buat apa nak tunggu lama-lama, along. Lagi cepat Azza dengan Ed kahwin, lagi baik. Perkara nikah kahwin ni tak elok kita tangguh-tangguh, long.”

Bijak! Memang bijak otak mak su. Bijak membelit.

“Tapi, itu bukan kata sepakat kita sebelum ni, Suri.”

“Alah, long...”

“Stop it, mak su!”

Terkedu mak su kena jerkah dengan Edzra.

Edzra renung wajah Puan Nurin tepat-tepat.

“Umi, umi pun tahu yang Ed tak suka ulang apa yang Ed cakap. Sebab itu umi, mak su dengan Azza kena dengar baik-baik.”

Edzra tarik nafas panjang.

“Ed minta maaf, umi. Ed mahu umi putuskan pertunangan ni sebab Ed tak ada hati nak bertunang apa lagi nak kahwin dengan Azza.”

Puan Nurin bungkam. Ketegasan suara Edzra tak boleh nak dipertikai. Dan Edzra... apa yang dia cakap, tak boleh siapa bangkang. Waima dirinya sekalipun! Ah, menyesal dia tak dengar cakap Zailan dan Alif. Awal-awal lagi kedua-dua beradik itu dah pesan kepadanya supaya batalkan niat mahu tunangkan Edzra dengan Azza. Mereka dah beri amaran awal-awal tentang amukan Edzra. Cuma dia, kerana mendengar rayuan adiknya, jadi tak sampai hati. Sekarang, kan dah susah?

Mak su yang bimbang kakaknya mengubah keputusan, mula buat drama air mata.

“Sampai hati kamu, Ed. Kamu tahu tak, dari Azza kecil, dia hanya sukakan kamu. Sampai sekarang, kamu saja yang dia nak. Tak boleh ke kamu beri peluang pada Azza untuk buktikan kasih sayang dia pada kamu? Apa salah yang dia dah buat sampai kamu langsung tak mahu beri dia peluang? Sikap kamu ni Ed, betul-betul dah buat mak su kecil hati, tahu.”

Semakin resah Puan Nurin mendengar rayuan mak su. Rasa serba salah sangat. Di sebelah kanan, anak. Di sebelah kiri pula, adik. Kedua-duanya dia sayang. Mak su dah menangis tersedu-sedu. Begitu juga dengan Azza. Dia kasihan kepada mereka. Namun kalau dipaksa juga Edzra, Puan Nurin bimbang Edzra akan buat keputusan yang tegar. Contohnya, Edzra merajuk dan tak mahu balik ke rumah ini lagi. Edzra itu hatinya kering. Apa yang dia cakap, dia akan buat. Yang pasti, Puan Nurin tak sanggup berpisah lagi dengan anaknya itu. Cukuplah lima tahun yang Edzra habiskan di luar negara sebelum ini.

“Abang Ed, please. Janganlah buat macam ni. Azza sayang abang.” Azza merayu.

Edzra mendengus lagi menyebabkan semua mata tertumpu kepadanya. Begitupun dia tak endahkan anak beranak itu. Matanya hanya ke wajah Puan Nurin.

“What say you, umi?”

Satu keluhan berat dilontar oleh Puan Nurin. Dia harap keputusannya akan meredakan kemarahan Edzra dan mengurangkan rasa susah hati adik kesayangan serta anak saudaranya, Azza.

“Ed, umi dah dengar permintaan Ed. Sekarang Ed pula dengar apa yang umi nak cakap.”

Hati Edzra mula berasa tidak sedap. Bagai akan dikenakan hukuman yang maha berat. Itu yang dia rasa.

“Umi minta, kamu bertahanlah dulu dengan pertunangan ni, Ed. Berikan masa sebulan dua. Mungkin, sepanjang dua bulan itu nanti hubungan kamu dengan Azza akan bertambah baik. Mungkin juga...”

“Cukup, umi! Tak payah sambung. Ed dah faham.”

“Kamu nak ke mana tu, Ed?”

“Umi dah buat keputusan umi. Ed pun ada keputusan Ed sendiri. Selagi umi tak putuskan pertunangan kami, Ed tak akan balik ke rumah ni.”

“Ed!”

“Umi lebih sayangkan mak su dengan Azza, kan? Semoga mereka boleh jaga umi lebih baik daripada Ed jaga umi.”

Edzra laju tinggalkan semua orang. Kunci kereta dicapai dan dia menonong keluar. Seketika bahunya dikilas.

“Kau buat apa ni?” Zailan, si abang sulung kelihatan marah.

“Aku nak ke rumah Alan. Nak tinggal di sana.”

“Aku tahu kau tengah marah sekarang. Tapi... kesian umi, Ed!”

Edzra lepaskan keluhan. Dia bukan sengaja mahu lukakan hati uminya. Dia

cuma mahu Puan Nurin sedar tentang satu perkara. Bahawa adik kesayangan uminya itu umpama seekor ular. Yang bisa mematuk dan beri kesakitan kepada uminya satu hari nanti.

“Kau nak pergi, pergilah. Nanti dah sejuk hati kau tu, kau balik. Jangan biarkan umi sorang-sorang dengan ular dua ekor tu.”

Edzra jongket kening. Tak sangka yang abang sulungnya fikir yang sama.

“Aku dengan Alif tak mampu nak lawan ular-ular tu. Kau aje yang mampu. Ingat tu!”
------------------
akan bersambung, insya-Allah. semoga anda suka. semoga anda sudi komen. thanks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.