Follow Us @soratemplates

27.4.18

KKKC - Bab 1




ANIS parkir kereta Myvi putihnya di tempat biasa, di luar pagar rumah berkembar dua tingkat itu. Setelah memastikan keretanya dikunci, dia angkat tangan berdoa. 

“Tuhan, tolong jaga Myvi aku. Biarkan dia berehat baik-baik kat luar ni. Jangan benarkan orang yang lalu lalang calarkan badan dia. Yang penting, jangan benarkan sesiapa curi dia. Si putih ini ajelah yang boleh bawa aku pergi kerja hari-hari, ya Allah. Perhatikan dia. Amin.”

Anis gagau poket baju kurung untuk mencari kunci pintu pagar kecil. Sudah jadi kebiasaan baginya untuk masuk melalui pintu itu setiap kali balik kerja. Bukan tak boleh nak tekan loceng pintu pagar automatik yang besar. Cuma, Anis enggan kena sembur dengan mamanya. Telinganya tak cukup gagah untuk dengar jerkah dan bebelan ibu kandungnya itu.

Baru Anis hendak buka mangga, dia tepuk dahi.

“Penat cari anak kunci tadi,” rungutnya.

Kepala digeleng dan diri diingatkan untuk menegur Mak Nab tentang kealpaan wanita itu. Dah banyak kali Mak Nab lupa mengunci pintu kecil selepas dia keluar buang sampah. Bahaya kut! Buatnya perompak masuk?

Nauzubillah!

Di halaman rumah, Anis berdiri sekejap memerhati sekeliling. Mula-mula, sepasang mata pandang atas, ke arah bilik utama. Kemudian pandang garaj. Dahi berkerut tiba-tiba.

“Balik awal pula mereka hari ini? Apasal? Bukannya malam ni nak bertolak ke London tu! Ke aku yang silap? Entah-entah malam ini kami terbang tak?”

Laju Anis berlari menelusuri bahagian tepi rumah untuk masuk ke dapur. Sampai di muka pintu dapur, dia terus ajukan soalan kepada mak Nab.

“Mak, flight kami ke London tu bila? Malam ini ke malam esok?”

Jari-jari wanita gempal yang sedang masukkan cucur udang ke dalam minyak turut tercelup sama ketika mendengar suara Anis. Segera Mak Nab alihkan jari dan sambil kemam bibir kuat-kuat. Dia lalukan air paip atas jari-jarinya itu. Perhatian kemudian dialih ke arah Anis.

“Patutnya malam esok, Anis. Kenapa?”

Anis urut dada.

“Lega,” jawabnya.

Mak Nab tak sahut lagi. Dia sibuk meneruskan gorengannya.

Pagar! Pagar! Amaran dari otak Anis keluar – Ting!

“Mak, berapa kali dah Anis pesan pada mak suruh mak kunci pintu pagar kecil tu? Buatnya perompak masuk dalam rumah ni, mak yang dulu kena serang, mak tahu tak? Orang lain tu semua tak sedar apa-apa kecuali...”

“Kecuali apa?”

“Kecuali kalau perompak naik ke bilik mereka di atas tu.”

Mak Nab sengih. Memang silap dia sebab terlupa hendak kunci semula pintu pagar kecil itu selepas
membuang sampah tadi. Sedikit pun dia tak ambil hati dengan bebelan Anis. Dia tahu, Anis bimbangkan keselamatannya. Dia kan emak kesayangan Anis?

Anis letak beg kerja atas meja. Tudung bawal yang dipakai, dibuka dan disangkut pada belakang kerusi. Dia kemudian ke singki untuk basuh tangan sebelum memeluk tubuh Mak Nab daripada belakang. Kuali dijenguk.

“Wah! Cucur udang. Sedapnya.”

“Untuk anak kesayangan mak yang suka sangat makan cucur udang ni hah.”

Anis eratkan pelukannya.

“Sebab tu dalam ramai-ramai orang dalam rumah ni,

Anis paling sayang pada mak.”

Luahan itu lahir dari hati. Tulus dan ikhlas kepada wanita yang dia peluk ini.

“Mak tahu. Dah, lepaskan mak. Mak nak buat air.”

Anis tak endahkan arahan itu. Malah dia semakin eratkan dakapannya.

“Kenapa peluk mak kuat sangat ni, Anis?”

“Sebab Anis gembira sangat sekarang ni.”

Gulp! Mak Nab telan liur. Ada debar dalam dadanya.

“Pergi duduk dulu. Mak nak angkat cucur ni.”

Suara sedikit bergetar ketika dia cuba merungkai pelukan Anis dengan tangan kirinya.

“Nak Anis tolong tak?”

“Tak payah. Mak boleh buat semua ni. Lagipun kamu tu baru balik kerja. Mesti penat lagi, kan?”

Anis geleng.

“Orang gembira mana penat, mak? Mak pun tahu kan dah banyak malam Anis tak boleh lena. Excited sangat nak pergi holiday ni.”

Sekali lagi Mak Nab telan liur. Cepat-cepat dia sambung kerja. Muka tidak langsung dihadapkan ke arah Anis.

“Mak...”

“Hmm?”

“Apa Anis kena buat ya?”

Dahi Mak Nab berkerut dengar soalan itu.

“Buat apa, Anis?”

“Pasal holiday tu la, mak. Mak pun tahu kan yang mama dengan kak long tak suka Anis join sekali. Tapi, sebab papa beria-ia sangat nak bawa Anis, mereka berdua tak boleh nak kata tidak. Cuma, Anis takut mama dengan kak long tak pedulikan Anis masa di sana nanti. Tak bestlah bercuti sama-sama, tapi tak bercakap. Tak mesra. Asyik nak muncung aje. Betul tak, mak?” Anis luahkan rasa hati.

“Anis...”

Anis tak dengar seruan Mak Nab yang perlahan. Dia masih dalam mode happy.

“Tapi, bila Anis fikir-fikirkan, Anis tak nak ambil pot pasal mereka kat sana nanti. Mereka suka atau tidak, Anis tak peduli. Tak nak cakap dengan Anis pun tak apa sebab Anis ada papa. Anis yakin papa mesti layan Anis dengan baik. Betul tak, mak?”

Mak Nab tarik nafas panjang. Nak sahut, Anis dah sambung ayat dia.

“Arghhh, tak sabarnya nak main salji! Nak belajar main ski. Lepas tu, nak petik buah oren daripada dahan pokok dia.”

“Anis, bawa piring cucur ni letak atas meja.”

Anis akur. Mulut terus mengomel lagi.

“Dah banyak kali Anis harap dapat ikut mereka. Baru kali ini Allah makbulkan doa Anis nak makan angin satu keluarga, mak.”

Kali ini Mak Nab tak mampu bertahan dah. Mata dah mula berkaca. Hati bagai dikoyak dan dicarik-carik. Sedih sungguh dengar impian Anis. Namun, bibir diketap rapat.

“Kalau boleh, Anis tak naklah masam muka dengan mama dan kak long. Jadi, macam mana teruk pun mereka layan Anis di sana, Anis janji yang Anis tak akan balas. Anis akan zip mulut Anis ni rapat-rapat. Anis tahu, mak risau mulut Anis yang suka menjawab ni, kan?”

Anis gelak kecil tetapi tawanya terhenti apabila melihat Mak Nab yang sudah menangis. Bulat matanya menatap wajah Mak Nab yang basah. Hatinya berdebar.

“Kenapa mak nangis ni?” soalnya bingung.

“Tak ada apa-apalah, sayang,” nafi Mak Nab beria-ia.

Air mata segera diseka. Kepala digeleng laju. Dia jalan menuju singki. Niat nak basuh pinggan kotor yang ada.

Anis yang risau segera hentikan pergerakan Mak Nab. Wajah tua itu ditatap. Dahinya berkerut melihat riak wanita itu yang masih enggan membalas renungannya.

“Kenapa ni, mak?”

Suara Anis yang penuh prihatin menyebabkan Mak Nab menarik Anis ke dalam dakapannya semula.

“Mak?”

Anis jadi bingung. Tak pernah-pernah Mak Nab buat perangai pelik begini. Menangis tanpa sebab.  Tiba-tiba dia mengukir senyum. Rasanya dia sudah faham kenapa.

“Tak payahlah nangis macam ni, mak. Anis bukan nak pergi lama pun. Dua minggu aje kut!”

Alahai anak! Kalaulah kamu tahu...

“Eee mak ni! Anis tahulah yang mak tak biasa tidur sorang-sorang. Tapi, untuk dua minggu ni aje, mak boleh cuba, kan? Nanti, mak peluklah bantal busuk Anis. Sama aje baunya dengan badan Anis. Itu yang mak selalu cakap, kan?” Anis tergelak-gelak lagi.

Muah!

Pipi Mak Nab dikucup berkali-kali.

“Sayang mak!”

Dalam sedu-sedannya, suara Mak Nab keluar tersekat-sekat.

“Kesian anak mak ni. Mak minta maaf, Anis. Mak...”

Maaf? Kenapa Mak Nab minta maaf darinya?

Anis mula syak. Mula rasakan sesuatu.

Tanpa cakap apa-apa, Anis bangkit. Dia masuk ke ruang tamu.

Sunyi.

Kosong.

Gelap.

Mendongak ke atas, suasana yang sama juga.

Sunyi.

Kosong.

Gelap.

Anis terduduk atas lantai.

Fahamlah dia kenapa Mak Nab menangis.

Fahamlah dia kenapa Mak Nab minta maaf.

Anis gelak. Perlahan. Kemudian semakin kuat dan semakin kuat dan semakin kuat!

Yang sebenarnya, pada saat dan ketika ini, Anis sedang ketawakan diri sendiri.

“Bodoh kau, Anis. Bodoh sangat! Macam mana kau boleh percaya cakap orang tua tu? Macam mana kau boleh percaya janji-janji kosong yang dia buat? Nak bawa kau pergi makan angin, konon? Kesian kau! Kena tipu hidup-hidup dengan papa!”

Kasihan!
----------------
akan bersambung insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.