Langkau ke kandungan utama

Bab 3 - Kesah Affan dan Alina


Affan tercungap-cungap waktu dia sampai di hadapan rumah Faizal. Penat berlari laju tadi. Rasanya waktu dia masuk acara pecut sukan tahunan sekolah pada bulan Mac hari itu pun lariannya tidak sederas ini. 

Semua gara-gara Alina, adik Faizal. Budak perempuan yang tak malu beritahu satu sekolah, eh bukan... dua sekolah iaitu sekolah rendah tempat Alina belajar dan sekolah menengah tempat Affan menimba ilmu yang kebetulan terletak sebelah-menyebelah. Apa yang diberitahu? 

Alina cakap yang mereka berdua sedang bercinta. Bukan itu saja! Malah Alina beritahu yang mereka berdua akan kahwin bila besar nanti. Tak ke gila namanya tu?

Geram sungguh dia pada budak gedik itu. Disebabkan mulut kecil Alina yang kepohci, dia diusik oleh kawan-kawan sekelasnya. Nyaris dia tak bertumbuk dengan Epoi sekali lagi tadi. 

Marahnya kepada budak tak cukup umur itu semakin menjadi-jadi apabila dia dipanggil masuk ke bilik guru. Boleh pula semua cikgu duk gelakkan dia dan asyik cakap dia menantu Cikgu Nor? Memang menyakitkan hati betullah, gumamnya lagi. Sendiri.

“Weh, kau apa hal?” Bahu Affan ditepuk Faizal. 

Faizal baru keluar dari pintu dapur dan bercadang hendak duduk sambil mengulang kaji di atas pangkin kat bawah pokok rambutan di hadapan rumahnya. Dahinya sedikit berkerut melihat Affan yang sedang mencungap.

“Adik kau mana?” Keras suara Affan menyoal.

“Alina?” 

“Kau ada adik lain lagi ke?”

Faizal tak pedulikan kemarahan Affan. Dia berjalan ke pangkin. Nak duduk goyang kaki di situ.

“Ada hal apa kau cari adik aku tu?” soalnya.

“Aku nak lempang pipi dia.”

Mata Faizal buntang. “Cantik muka kau nak lempang muka adik aku? Apa kes?”

“Kes apa lagi? Kes dia pergi cakap kat semua orang yang aku nak kahwin dengan dialah.” Suara Affan melengking kuat. 

Faizal dah mengekek. Geli hati sangat dengar apa yang Affan baru beritahu. 

“Kau pun gelakkan aku?” Affan merengus. Muka Faizal yang sedang tergelak-gelak ditatap.

Aci tak kalau dia tumbuk muka kawan baiknya itu? Dia tengah marah tapi Faizal nampak tersangatlah bahagia dan ceria. Langsung tak pedulikan dia yang sedang menahan perasaan.

“Aku gelak sebab seronok. Kawan baik aku bakal jadi adik ipar aku. Tak sabar rasa nak buli kau, adik ipar...” Faizal menyakat. 

“Adik ipar kepala hotak kau,” bentak Affan. Dia berasa macam nak cekak kolar baju-T yang tersarung di badan Faizal. Boleh pula Faizal nak melawak macam tu? 

“Kau ni, Fan! Sikit hal macam itu pun kau nak naik angin.”

“Sikit hal, kau cakap? Aku malu dengan semua orang tahu tak?”

“Relaks la, adik ipar...”

“Sekali lagi kau sebut dua perkataan tu, aku belasah kau. Aku tak kira kau kawan baik aku ke tak, Ajai!”

Faizal buat muka selenga. Duduk atas pangkin sambil goyang kaki lagi baik daripada melayan angin kus-kus Affan, fikirnya.

“Alina tu adik kau, Ajai. Adik kau dah sama macam adik aku, tahu tak?” suara garang Affan melantun semula. 

“Tapi, Alina dengan kau boleh kahwin apa?”

“Gila kau? Aku anggap Ina macam adik aku, okey! Berapa kali aku nak bagi tahu ni?”

“Kau marah ke, Fan?”

“Kenapa? Kau tengok aku tengah gelak ke sekarang ni?”

Faizal sengih. Masih dalam mood mengusik. “Weh, takkan tak suka jadi adik ipar aku kut?”

“Kau jangan macam-macam, Ajai!”

“Apa pulak? Best apa kalau kau jadi adik ipar aku?” giat Faizal.

“Tak hingin!”

“Tak hingin? Kenapa?”

“Eh, Ajai! Adik kau tu... Alina tu... Dia... dia selemuih, tahu tak?”

Bulat mata Faizal. Terus dia cekak pinggang. 

“Selemuih? Amboi mulut! Ada ke patut adik aku yang comel tu kau cakap dia selemuih?”

“Aku cakap betul apa? Dia selemuih. Dia comot. Dia selekeh. Dia...”

“Umur Ina tu baru sepuluh tahun, Fan. Kecil lagi dia tu. Manalah dia tahu nak melawa,” bela Faizal. 

“Ah, pandai pun kau cakap yang dia tu budak kecik. Dah tahu diri tu kecik lagi apasal buat cerita yang bukan-bukan? Aku malu tahu tak?” marah Affan.

“Alah, Ina tu yang kau nak lawan gaduh buat apa? Sekarang dia tengah suka kau, dia cakaplah dia nak kahwin dengan kau. Esok-esok dia suka budak lain, dia akan cakap yang dia nak kahwin dengan budak tu pulak. Tak ada apalah. Tak payah nak bising-bising. Buat tak tahu, sudah!” 

“Aku tak boleh, Ajai. Aku geram kat Ina. Dia ingat dia lawa sangat nak jadi buah hati aku?”

Kali ini Faizal pula yang naik angin. 

“Kau jangan nak hina adik aku, Fan. Dia macam aku, okey! Tengok muka aku ni! Handsome, kan?”

“Apa kena mengena?”

“Aku handsome, adik aku mesti cantiklah!” Faizal bangga diri.

“Cantik? Adik kau si Ina tu? Piii raahh!” 

Giliran Affan pula untuk mengekek. Siap tekan perut lagi. Lucu pula dia dengar pujian Faizal tadi. 

“Alina cantik? Memang mengarutlah tu!” 

Faizal hilang sabar. Laju dia ketuk bahu Affan. 

“Kau jangan nak hina adik aku tu sangat, Fan.” Amaran diberi.

“Aku bukan hina dia. Aku cuma menyampah dengan adik kau yang perasan tu.”

“Kau jangan, Fan. Jangan nak buat aku sakit hati.”

“Habis, aku yang sakit hati ni, macam mana?”

Faizal geleng. “Kau ni kan... Apalah salahnya kalau kau biarkan aje si Ina tu? Macamlah kau tak kenal dia. Kata dah anggap dia macam adik, kan?”

Affan cemik. “Takkan nak biarkan aje! Dia dah melampau, tahu. Aku tak suka dia cerita yang bukan-bukan pada orang lain.”

“Kau nak aku cakap apa pada Ina?” Faizal akhirnya mengalah.

“Apa yang aku cakap tadilah. Bagi tahu dia semuanya.”

“Kalau aku tak nak cakap pada Ina, kau nak buat apa?”

“Aku tak nak kawan dengan kau lagi.”

Faizal mendengus. Sedih hatinya kerana Affan sanggup putus kawan kalau dia biarkan Alina dengan angan-angannya. Yang Alina pun satu juga. Kenapalah yang minat sangat dengan Affan? Bukannya handsome sangat pun!

Tiba-tiba kepala Affan terasa sakit sangat. Rasa seperti kena baling. Terus tengok apa yang bergolek jatuh depan kaki dia. Hmm, buah rambutan! Nampaknya, ada seseorang membaling dia dengan buah rambutan. Bukan sekali malah bertubi-tubi. Dia mendongak. Dah tahu siapa punya angkara. Dia nampak Alina. Bukan main santai goyang kaki tangan bergayut bagaikan cik mon di atas dahan pokok rambutan yang merendang. 

Faizal yang turut mendongak terus menjerit. “Ina! Turun sekarang!”

Alina buat pekak. Dia masih sakit hati dengan dua budak lelaki yang sedang berdiri di bawah pokok. Dia tak puas hati terutama dengan Affan yang tadi begitu celopar mengutuk dia. Buah rambutan yang disumbat dalam poket seluar dikeluarkan dan sekali lagi dibalingnya ke arah Affan yang kini sibuk mengelak serangannya. 

“Woit! Apa main kasar ni?” Affan melaung penuh geram.

“Suka hati oranglah.”

“Ina, tak baik buat Affan macam tu. Kata suka?” Faizal cuba memujuk.

“Ina tak suka abang Affan dah.”

“Kenapa?” Faizal tayang muka hairan.

“Abang Affan jahat. Dia kutuk Ina selemuih.”

“Memang Ina selemuih pun. Bukan setakat selemuih tahu! Ina selekeh, serebeh, comot...”

Alina yang sakit hati melepaskan dua tangan kerana dia hendak menggunakan kedua-dua tangannya untuk baling Affan dengan buah rambutan lagi. Dia lupa yang dia sedang berada di atas pokok. 

Alina juga tak tahu yang pada ketika ini, daya tarikan graviti melebihi daya angkat dirinya. Apabila daya tarikan graviti lebih besar daripada daya angkat, maka tubuh Alina pasti akan jatuh. Dan itulah yang sedang berlaku. Dua pasang mata menyaksikan tubuh kecil itu sedang terbang pada ketinggian kira-kita lima meter. Choih! Tinggi juga rupanya gadis cilik itu dah panjat! 

“Ina!” 

Dua suara bergabung menjerit melihat badan gadis itu yang sudahpun meninggalkan dahan. 

“Adoi!” 

Siapa yang menjerit?

Pastinya Affan. 

Kenapa?

Sebab... dalam kekalutan tadi, dia yang tadah tangan untuk menyambut tubuh Alina. Akibatnya, sebaik saja berjaya, dengan dia sekali terbaring atas tanah. Alina di atas badannya.

“Abang Affan...”

Affan buka mata. Nampak saja muka Alina, laju dia tanya. “Ina okey tak? Ada luka kat mana-mana? Sakit ke?”

“Tak. Ina tak sakit.”

“Macam mana nak sakit, dia landing baik punya atas badan kau tu. Kau tak rasa ke?” Faizal sindir. 

Diam untuk seketika. Baik Affan mahu pun Alina masih dalam keadaan terkejut lagi. 

“Hoi, Affan! Kau peluk adik aku tu!” Tiba-tiba Faizal menjerit garang. 

Merah pijar muka Affan tahan malu. Malu kena jerkah dengan Faizal satu hal. Malu sebab terpeluk Alina yang tadi beria-ia dia kutuk, satu hal lagi. Jadi, Affan tak fikir dua kali dah. Badan Alina yang ada di atas dirinya ditolak kasar. Bergegas dia bangun. 

“Aku nak balik.” Dia beritahu Faizal yang sedang tersenyum. Mengejek dia.

Sambil menggeleng kepala, Affan berlalu. Lagi cepat dia pergi dari situ, lebih baik. Malu weh! Malu!

“Abang Affan cakap dia tak suka Ina. Tapi tadi, bukan main dia peluk Ina pulak.” Alina merungut sendiri. 

Mata Faizal jegilkan ke arah adiknya. 

“Kamu jangan mengada nak cerita apa yang jadi tadi pada sesiapa. Along luku kepala kamu nanti. Gatal!” Amaran diberi. 

“Alah, Ina tahulah. Nyampahlah along ni...” Alina muncungkan bibir. Geram.

“Along tak kira. Kalau along dengar lagi kamu cakap nak kahwin dengan Affan, kamu siap. Along kurung kamu dalam bilik tiap kali balik sekolah.”

Kecut perut dengar amaran abang sulungnya. Dia segera angguk yang memberitahu Faizal bahawa dia faham. Dia akan ikut cakap alongnya. Mulut akan dizip mulai sekarang. 

Takut!
---------------
harap suka. kalau saya dapat lebih 10 komen, insya Allah citer ni akan bersambung :D

Ulasan

  1. Hati hati Affan jangan sampai kata kata tu makan diri nanti. Ina tu kecik lagi memang laa selemuih. Kang dah jadi anak dara yang terakhir baru hang nak nganga.

    BalasPadam
  2. Dlm x suka ade sayang jgk ye Affan....

    BalasPadam
  3. Tersangatlah comel..... tolong sambung cik penulis

    BalasPadam
  4. Best sangat2. *thumbs up*

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…