Langkau ke kandungan utama

Bab 2 - Kesah Affan dan Alina





Affan mengelap peluh yang meleleh pada tubuh yang basah. Biarpun hanya latihan, dia dah kerahkan seluruh tenaganya dalam permainan tadi. Badannya terasa penat sangat. Niat di hati dia mahu terus balik ke rumah dan berehat. 

Mata meliar mencari kawan baiknya, Faizal. Puas bola mata menjajar seluruh padang, kelibat kawan baiknya itu langsung tidak kelihatan. 

“Dah ke mana perginya Ajai ni? Tak lain, mesti si Ina tu duk buat perangai. Memerap tak habis-habis,” gumamnya marahkan Alina. 

Marahnya kepada Alina memang tak pernah kurang sejak tadi lagi. Waktu mereka hendak datang latihan tadi pun Alina dah buat perangai mengada-ngada dia. 

Seperti biasa, dia akan pergi ke rumah Faizal sebelum mereka sama-sama berbasikal ke sekolah. Elok sampai, dia melihat Alina sudah siap berdiri di sebelah basikal Faizal. Nampak sahaja muka dia, gadis kecil itu terus bersorak riang.

“Yeay, abang Fan dah sampai.”

Dengan kerut di dahi, dia tanya Faizal. “Asal adik kau meroyan tu?”

“Dia nak ikut kita.”

“Buat apa? Kita nak berlatih kut!”

Faizal jongket bahu. “Dah dia nangis macam nak rak, mak suruhlah aku bawa dia.”

Geramnya Affan. Bulat mata dijegil kepada Alina. Sambil cekak pinggang dia jerkah. “Buat apa nak ikut kita orang? Di padang tu bukannya ada budak perempuan pun.”

Alina sengih. “Tak kisahlah. Janji abang dengan along ada. Cukuplah.”

“Kita orang nak berlatih, tahu. Tak ada masa nak jaga kamu.”

Sepasang mata Alina tunak ke wajah Affan. 

“Ina pun bukan nak suruh abang jaga Ina. Abang mainlah. Ina duduk kat tepi padang aje. Tak kacau punya,” balasnya lembut. Dalam hati Alina tertanya-tanya kenapa muka kawan baik alongnya itu masam macam cuka.

“Kamu ni memang suka menyibuk, kan?” Faizal sambung marah yang tertangguh di hadapan cikgu Nor tadi. 

“Mana ada? Kan abang Fan, kan?” 

“Memang menyibuk pun. Huh!” Affan mendengus. 

“Kenapa abang pun marahkan Ina?” Alina mula tayang muka sedih. “Selalu boleh aje Ina ikut. Kenapa hari ni tak boleh?”

“Hah, menangis! Kalau menangis, along tinggal.”

Affan ketap gigi. “Biarlah dia menangis. Memang patut kena tinggal apa?”

“Abang Affan! Ina tak nak nangis. Jangan harap Ina nak nangis. Ina nak ikut jugak. Ina tak peduli.”

“Diamlah!” Affan tengking. 

Alina tengok Faizal. “Kenapa dengan kawan along ni?”

“Tak payah tanya. Kata nak ikut tadi. Cepat naik kat belakang basikal along ni.”

Alina tayang muncung. “Ina tak nak naik dengan along. Ina nak naik basikal abang Fan. Boleh tak, bang?” 

Pandangan penuh mengharap dihalakan kepada Affan. 

Bulat mata Affan. Laju dia geleng. “Nak duduk kat mana? Basikal abang bukannya ada pelantar duduk macam basikal Ajai tu.”

“Duduk atas palang depan abang tulah.” Alina sengih siap-siap. Menyangka Affan nak benarkan dia duduk di situ.

“Tak boleh! Susah abang nak kayuh kalau Ina kat depan ni.”

“Alaa! Bolehlah!” 

“Asal kamu ni ngada sangat, Ina? Kecil-kecil lagi dah gatal. Nak along jerit bagi tahu mak kat dalam rumah ke?” Faizal mengugut.

Sentap. Alina hentak kaki tanda berontak. Kemudian dia terus duduk di belakang abangnya. 

“Cepatlah, along. Tunggu apa lagi.” Pandangan dilempar kepada Affan pula. “Abang Fan tunggu apa? Tadi nak pergi sangat, kan? Blah la!”

Affan cemikkan muka. Geram. “Suka hati abanglah. Ini basikal abang, bukan basikal kamu.”

Puas hati dapat mengenakan Alina, Affan laju naik ke atas basikalnya dan terus meninggalkan Alina dan Faizal berdua. 

“Hoi, Fan!”

Jerkahan itu melenyapkan bayangan Alina untuk seketika. Kerut dahinya memandang si pemanggil. Nama budak lelaki itu Saiful tapi satu kelas memanggilnya Epoi. Epoi ni badut kelas, kata cikgu-cikgu yang mengajar kelas mereka. Dan sekarang badut ini mula nak buat lawak di tepi padang nampaknya.

“Mata kau tercangak-cangak tu cari siapa? Alina eh?”

“Kau ada nampak dia?” Affan tanya direct. 

“Kau suka sangat dengan adik Ajai tu ya?” 

“Dia adik kawan baik aku. Jangan nak merepek sangat, boleh?”

“Eleh, tak mengaku konon. Kau tak payah nak kelentonglah, Fan. Satu sekolah kita ni dah tahu yang anak cikgu Nor tu suka kau. Dan kau pun suka dia jugak, kan?”

Affan bengang. Sakit hati dengan orang yang tak reti bahasa. “Aku tak nak cakap banyak kali, okey! Jadi, kau dengar sini baik-baik, Epoi. Ina tu dah macam adik aku. Faham?”

“Eleh. Siapa nak percaya cakap kau, Fan?”

Affan dengus. “Tak percaya sudah. Aku dah banyak kali cakap yang aku tak ada apa-apa dengan Ina tu. Dia adik Faizal, jadi dia dah macam adik aku jugak. Jangan nak kenenkan dia pada aku. Lagipun, sekarang bukan masa aku nak fikir benda-benda mengarut macam tu. Aku belum gatal lagi nak main cinta, tahu!”

Epoi gelak. “Jual mahal kau ni! Belum gatal nak main cinta konon? Tak lama lagi gatallah tu!”

Langkah kaki yang baru mahu bergerak meninggalkan kawasan padang terus mati. Telinga dah capang mendengar sindiran Epoi. 

“Kau pehal nak cari pasal dengan aku?” Affan menyoal garang.

“Aik, marah?”

“Mestilah. Aku muda lagi kut! Tak nak aku cakap hal yang tak berfaedah ni.”

“Tapi, satu sekolah dah heboh pasal kau dengan Alina.”

“Heboh pasal apa pulak?” Affan cuba kawal rasa gemuruh yang melanda. 

“Heboh pasal kau orang mandi dekat air terjun minggu lepas. Kau siap dukung dia lagi. Takkan tak ingat kut?”

Dada Affan turun naik menahan rasa. Kalau tentang kesah di air terjun itu, dia tak mampu nak nafikan apa-apa. Memang dia ada dukung Alina tapi semua itu bukan disengajakan. 

“Kau tak ada dekat air terjun tu, jadi kau tak payahlah nak percaya sangat dengan cerita orang, Epoi. Affan dukung Ina selepas dia selamatkan Ina. Kaki Ina cramp, dia nyaris lemas dalam air, tahu tak?”

Affan lega mendengar suara Faizal dan pembelaannya. Selamat dah. Tapi tetap dia jegilkan mata kepada sahabat baiknya itu. “Kau dari mana ni? Jenuh aku cari.” 

Faizal tunjuk ke arah Alina yang sedang asyik makan ais krim. “Dia merengek nak ais krim. Aku bawak dia ke kedai Pak Ali.”

Menyedari yang Affan sedang pandang dia, Alina lantas bangun. Dia hulurkan paddlepop yang disimpan dalam kocek seluar kepada jejaka pujaannya. “Nah! Ina beli untuk abang tadi.”

“Amboi Ina. Beli untuk Affan je ke? Tak beli ais krim untuk abang Epoi sama?” 

Alina geleng. “Abang Epoi tak boleh makan ais krim. Nanti gigi abang ngilu.”

Epoi gelak. “Owh! Gigi Affan tak ngilu ya?”

“Gigi abang Fan cantik. Gigi abang Epoi rongak.”

Jawapan polos Alina menyebabkan semua orang gelak kecuali Epoi. Dia lantas berdiri lalu mendekati Alina. Gaya macam nak mencekik orang.

Tiba-tiba Affan berdiri menghalang. “Kau kenapa, Epoi? Takkan kena usik sikit dah nak cekik Ina kut?”

“Suka hati akulah. Kau bukan suka dia pun. Biarlah aku nak cekik ke, nak cium ke...”

Laju Affan layangkan penumbuk. Tepat kena muka Epoi. “Kurang ajar sangat, dapatlah!”

Epoi pandang muka Affan dengan riak tak puas hati. “Kau ni cakap tak serupa bikin. Mulut kata benci tapi bukan main kau bela si Ina tu. Tak suka konon! Siaplah kau! Nanti aku hebohkan satu sekolah yang kau mandi dekat air terjun dengan Ina lepas tu kau dukung dia.”

Tak sempat Affan nak bertindak, Epoi sudah lari meninggalkan padang. Kerana sakit hati yang teramat, Affan terus capai basikalnya dan laju dia mengayuh tanpa mempedulikan suara Faizal dan Alina yang bertingkah memanggilnya. 

Affan bertekad dalam hatinya. Tahun depan dia tak nak sekolah di sini lagi. Dia nak masuk asrama penuh. Dia nak jauhkan diri daripada Alina. Baginya, Alina merupakan satu gangguan. Gangguan yang mesti dielak kalau dia mahu selamatkan hatinya. 

Sebagai langkah pertama, dia harus pastikan dia mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR nanti. Hanya dengan keputusan yang cemerlang saja dia boleh masuk ke MRSM atau ke SBP dalam Malaysia ni. 

“Tapi nanti kalau Ina menangis sampai bengkak-bengkak mata, macam mana?”

Affan jeda seketika sebelum jawapan terbaik ini diperolehinya. 

“Peduli apa aku! Janji aku tak serabut dengan perangai Ina yang tak reti bahasa tu.”

Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…