apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.4.17

Di Taman Larangan - Prolog 1




Prolog 1

Sesekali dia menoleh ke arah lelaki yang sedang terbaring di atas katil. Lelaki yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali untuk mengerdipkan sepasang mata. 

Dia tak tahu apa yang lelaki itu mahu. Selama ini, lelaki itu hanya terlantar tanpa suara. Menahan kesakitan yang ditanggung tanpa ada sedikitpun rungutan. Namun tiba-tiba saja pada waktu subuh tadi, Haji Ibrahim meraung. Terkejut semua orang dibuatnya. Itulah kali pertama lelaki itu mengeluarkan bunyi selepas hampir tiga bulan diisytiharkan lumpuh oleh doktor-doktornya. Lumpuh selepas jatuh dari tangga dalam rumah besar mereka. 

Selepas penat meraung, Haji Ibrahim meracau dan menyebut entah apa-apa. Apabila doktor-doktornya datang merawat, mereka cakap lelaki itu hanya berhalusinasi. 

Bagi Hud Hulaif, ayahnya bukan berhalusinasi. Dia dapat rasa bahawa ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh Haji Ibrahim kepadanya. Dan apabila dia merapatkan telinga kepada bibir kering Haji Ibrahim, dia dapat menangkap perkataan yang satu itu. 

“Laci?”

Ayahnya kerdipkan mata sekali yang menandakan betul apa yang Hud sebut.

“Okey, ayah... Macam biasa. Kalau apa yang saya cakap ni ayah setuju, ayah kelipkan mata sekali. Kalau tak setuju, kelipkan mata dua kali. Boleh, ayah?”

Lelaki itu kelipkan matanya sekali tanda setuju.

“Ayah mahu saya buka laci dalam setiap almari yang ada dalam bilik ayah ni. Betul?”

Hud melihat ayahnya kelipkan mata sekali. Tanda betul apa yang dikata.

“Ayah nak saya cari apa? Duit?”

Dua kali kerdipan untuk soalan itu. 

“Bukan? Ayah nak saya cari surat wasiat ke?”

Sekali lagi lelaki itu kelipkan matanya dua kali yang bererti bukan itu mahunya. 

Hud sebut lagi nama-nama benda yang mungkin ada dalam laci. Gambar, keris, pistol, buku nota, ledger, nombor akaun syarikat... namun semua itu bukan yang dimahu oleh Haji Ibrahim. Sudahnya, Hud garu kulit kepala yang tak gatal. Dia kelihatan gelisah. Jelas dari bahasa tubuhnya yang Hud sedang berada di hujung kesabaran. Lelah mencari benda yang tidak diketahui. 

‘Kalau aku ada scanner, aku scan dah otak ayah ni. Entah apa ajelah yang dia suruh aku cari,’ rungut Hud dalam hati.

Lepas satu, satu benda lain, disebut dan ditunjuk. Namun tetap saja Haji Ibrahim kerdipkan matanya sebanyak dua kali. 

Darah muda Hud yang baru berumur 15 tahun itu mula menggelegak. Kerana berang, dia terus selongkar semula semua laci. Geledah setiap apa yang ada dalam laci-laci itu kemudian ditunjukkan kepada ayahnya. Malangnya, tak ada satu pun yang tepat seperti yang dikehendaki. 

“Dah habis semua laci saya buka, ayah. Dah tunjuk pun pada ayah tadi, kan? Semua ayah kata bukan itu yang ayah nak. Agaknya benda tu tak ada dalam bilik ini kut? Nak saya cari kat dalam bilik lain ke?”

Hud tersentak melihat kerdipan dua kali yang Haji Ibrahim lakukan. 

“Benda tu ada dalam bilik ni? Tapi, mana ada laci lain lagi dah?”

Dahi Hud berkerut. Isyarat mata ayahnya menyebabkan matanya sendiri melilau memerhati ke sekeliling bilik. “Mesti ada laci yang tersorok ni. Betul tak, ayah?” 

Cari punya cari akhirnya Hud perasan bahawa di hujung katil, ada tersorok dua buah laci. Dadanya bergemuruh. Dia tunduk. Kedua-dua laci ditarik. Yang satu, kosong. Yang kedua... Hud pandang ke arah ayahnya. 

“Ada dalam sini, ya ayah?” tanya dia.

Haji Ibrahim tarik nafas panjang. Matanya sudah berkaca sebelum dikelipkan sekali untuk tatapan Hud. 

Hud tak tunggu lagi. Sambil duduk bersila, dia kembali mengintai ke dalam laci. Dia temui satu ikatan kemas sampul-sampul surat di situ. Diangkat dan diletak atas riba. Mata melekat kepada nama dan alamat yang tertulis pada sampul paling atas. 

“Surat yang atas sekali ni untuk saya.” 

Ayat itu lebih ditujukan kepada dirinya sendiri. Dia tak sedar pun yang pada ketika itu ada air mata menitis perlahan dari sepasang mata tua Haji Ibrahim. 

Tangan Hud laju menarik tali, merungkaikan ikatan menyebabkan surat-surat itu jatuh di sekelilingnya. Hud capai satu. Dahinya berkerut. Dia capai yang lain. Semakin tak keruan jadinya. Capai lagi dan lagi. Dia kemudian berdiri menghadap lelaki yang sedang terkedang di atas katil itu. 

“Ayah, semua surat ni untuk saya!” Suaranya terlontar keras.

Haji Ibrahim pejamkan matanya. Mungkin tak sanggup hendak membalas renungan garang anak muda belasan tahun itu.

“Ayah sorok surat ni semua apasal? Ayah tak nak saya tahu, ya?”

Sekali kerdipan mata cukup mencarik sekeping hatinya. 

“Kenapa? Sebab ayah tahu siapa yang kirim. Macam tu?”

Melihat keadaan ayahnya, Hud tahu dia sudah pun mendapat jawapan kepada semua soalan yang ditanya. Tangisan dan esakan menjadi bukti kepada sebuah kesalan. Atau mungkin, ayahnya menangis kerana mahu memohon maaf?

Hud kumpulkan semula setiap satu surat yang belum berbuka itu. Dia menyusun surat-surat itu mengikut tarikh yang terdapat pada sampul. Yang pertama diletak di atas dan yang terakhir diletak di bawah. Kemudian dia jerit, memanggil orang gajinya masuk ke dalam bilik besar itu.

“Ya, Tuan Hud. Ada apa?”

“Panggil Ana dengan Sidah,” arahnya.

Apabila ketiga-tiga orang gaji sudah berdiri di hadapannya, Hud segera keluarkan perintah. “Pak Ali, Pak Ali jaga ayah malam ni. Ana dengan Sidah, kamu berdua kemas balik semua yang dah bersepah-sepah ni.”

“Baik, Tuan Hud.”

“Saya nak ke bilik saya. Ada apa-apa, panggil. Kalau ayah okey, tinggalkan saya dan jangan kacau sampai esok. Faham?”

“Faham, tuan.”

Hud tidak menunggu lagi. Dia membawa surat-surat itu ke biliknya. Dia ingin segera membongkar rahsia yang tersimpan dalam setiap surat itu. Rahsia yang disembunyikan oleh Haji Ibrahim daripada dirinya selama ini.

----------------
bersambung :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.