Langkau ke kandungan utama

Di Taman Larangan - Bab 5


Sebaik sahaja Zuhayr dan keretanya meninggalkan dia, Ayuni segera menutup pintu pagar. Dia hendak masuk. Dalam sedih dengan sepasang mata yang berkaca, dia tundukkan wajah sambil berjalan. Tanpa sedar dia terlanggar sesuatu.
“Mata kau di mana cik kak oi?”
Ayuni terkejut. “Syira? Apa kau buat kat tengah pintu ni? Bukan tadi kau dekat dapur ke?”
“Aku tengok kaulah, beb! Nak tengok muka kawan baik aku yang kena tinggal dengan suami dia pada hari dia sambut anniversary. Kesian dia, tau!”
“Nak buat macam mana, beb. Dah nasib aku.” Ayuni elak renungan Insyirah.
“Apa yang kau fikir sampai jalan menunduk macam tu? Kau sedih sebab Zul pergi ke rumah mama dia, ya?”
Sebak mendengar soalan itu, Ayuni toleh pandang pokok bunga. “Eh, kau masuklah. Aku nak jirus pokok bunga aku kejap.”
“Tunggu! Kau mari sini, Ayu. Aku nak cakap.”
“Cakap ajelah. “ Ayuni masih tak menoleh ke arah Insyirah.
“Ayu, kau menangis ya? Sebab itu kau tak nak tengok muka aku. Kau takut aku nampak, kan?”
Ayuni geleng. “Taklah, Aku tak menangis.”
Insyirah sudah berdiri di hadapan Ayuni. “Yang kau nak bohong aku ni, apasal? Mata kau dah merah. Kalau tak menangis, tu apa? Masuk habuk?”
“Aku sedih sikit aje. Tak ada apa-apalah. Jangan risau.”
“Ini yang aku rasa macam nak maki aje suami kau tu. Langsung tak reti nak jaga hati dan perasaan kau. Yang dia tahu, sikit-sikit mama dia. Sikit-sikit mama dia. Kalau dia berhenti lama tadi, memang aku nak mengamuk dah. Bukan apa, aku nak sedarkan dia yang langsung tak tahu nak hargai diri kau. Kau tu bukan orang lain. Kau isteri dia, kut!”
“Entahlah, Syira. Aku tadi pun tak sempat nak bercakap dengan dia. Lepas aku masukkan mangkuk tingkat tu dalam but kereta, dia terus blah.”
“Suami kau tu dah masuk kumpulan mangkuk hayun, Ayu.”
 “Kau ni kalau pasal nak gelarkan orang... Dah, dah! Jom masuk! Bahaya sembang kat luar dengan pintu pagar tak berkunci sekarang ni. Orang jahat banyak berkeliaran, tahu tak? Karang tak pasal mereka nampak kita kat sini, mereka terus datang nak samun kita. Eee, nauzubillah. Takut aku! Jom!” Ayuni segera menolak badan Insyirah untuk masuk. Laju daun pintu ditutup dan dikunci. Berasa lega setelah berada di dalam rumah.
Insyirah tahu yang Ayuni sengaja beralih topik kerana tidak mahu dia mengutuk Zuhayr. Namun, hatinya belum puas. Melihat Ayuni menangis tadi, dia berasa geram benar dengan lelaki itu.
“Selalu ke Zul balik ke rumah mak bapak dia, Ayu?” Insyirah sudah tidak sabar-sabar hendak tahu.
“Sekarang ni memang kerap. Kadang-kadang, dia singgah di sana dulu baru balik ke rumah ni. Siap dinner dengan mama dan papa dia pula tu.”
“Dah kenapa pula macam tu?”
Ayuni jongket bahu.
“Kau tak marah Zul? Kau biarkan aje dia makan malam dengan mama dan papa dia? Yang kau dekat sini makanlah dengan Eisya aje. Kau ni dah macam akulah pula. Macam ibu tunggal!”
“Syira!”
“Bersuaralah sikit. Tegur suami kau tu...”
“Gila kau? Macamlah kau tak tahu hubungan aku dengan mama Zul tu. Nanti kalau dia tahu aku halang Zul pergi ke rumah dia, mengamuk lagilah dia dengan aku.”
Insyirah kerutkan hidung. “Dah lapan tahun, beb! Tak berubah juga ke lagi perangai dia? Dia masih benci kau?”
Ayuni lepaskan keluhan. Kepala digeleng. “Pagi tadi dia telefon aku.”
“Apahal? Dia nak ucap happy birthday pada kau ke? Atau nak wish, happy anniversary?”
“Orang tua tu nak wish apa ke benda?” cebik Ayuni.
“Habis tu? Dia nak apa call kau?”
“Macam biasa. Dia sembur aku. Dia cakap, aku ni bukan menantu yang dia pilihlah, bukan menantu yang dia sukalah. Dia benci akulah. Yang paling tak menahan, dia cakap... dia dah ada calon menantu baru untuk Zul dan dia yakin, tak lama lagi Zuhayr pasti akan tinggalkan aku.”
“Biar betul, beb! Dah kenapa dengan orang tua tu? Meroyan?” Insyirah bengang.
“Yang kau terkejut sangat apasal? Dia memang sentiasa meroyan setiap kali dia telefon aku.”
“Teruk betul! Dia asyik nak cari pasal dengan kau aje.”
“Tahupun kau!”
“Tahu. Sebab itu aku tak sedap hati dengar ayat dia yang terakhir tu. Tak best langsung bunyinya. Dia dah ada calon menantu baru untuk Zul? Dia yakin, tak lama lagi Zul akan tinggalkan kau? Rasa macam dia tengah rancang sesuatulah, Ayu.”
Kalau Insyirah tak highlightkan kepadanya, Ayuni sendiri tak memikirkan perkara itu. Kini, setelah memahami, dia jadi risau. Wajah Insyirah ditatap. “Yalah, Syira. Kenapa dia cakap macam tu?”
Insyirah geleng. “Zul tahu tak pasal ni?”
“Tahu tentang apa? Yang mama dia tak suka aku?”
“Bukan. Yang itu, aku yakin Zul pun tahu. Ni pasal yang mama dia cakap tadi tulah.”
Ayuni angkat bahu. “Entahlah, Syira.”
“Kau jangan, Ayu. Jangan duk pendam sendiri apa aje yang orang tua tu dah cakap dan buat pada kau. Kau kena beritahu Zul perangai mama dia tu.”
“Kau nak aku cakap apa, Syira? Zul sanjung mama dia setinggi langit. Tiba-tiba aku nak kutuk orang tua tu depan dia? Mahu makan penampar pipi aku ni nanti.”
“Tapi, Ayu. Kalau kau tak cakap apa-apa dan Zul pula selalu duk pergi tidur baring kat rumah orang tua tu, lama-lama nanti kepala otak Zul pula yang akan dibasuhnya. Tahu-tahu aje satu hari nanti, Zul pun sama bencikan kau.”
Ayuni kelu lidah. Hanya matanya bulat memandang wajah Insyirah. Dalam hati, macam-macam kelakuan pelik Zuhayr timbul.
Mungkin betul apa yang Insyirah cakap. Sejak dua menjak ini ada-ada saja yang tak kena di mata Zuhayr. Tentang diri dia... Zuhayr cakap muka dia pucatlah, rambut dia serabutlah, dia tak bergayalah. Lepas tu Zuhayr selalu cari salah dia. Apabila balik saja mesti cakap, rumah serabutlah, berhabuklah, bersawanglah...
Ya! Zuhayr dah mula mencari kesalahannya. Ada sahaja yang mahu ditegur. Agaknya Puan Hanita cucuk dia tak? Dalam diam, mama mentuanya sudah pun berjaya meracuni fikiran encik suami? Siapa tahu?
Dia menggeleng. Cuba menolak segala prasangka ke tepi. Wajah Insyirah yang tengah berkerut tengok dia ditatap bersama senyuman yang tak berapa menjadi.
“Ayu, kalau sampai dia dengan bangga cakap dia dah ada calon baru untuk suami kau, kau dah patut risau. Kau dah patut halang Zul daripada kerap balik ke rumah mama dia. Dah patut risik apa yang dia buat di sana, tahu tak?”
Ayuni lepaskan keluhan. “Dahlah, Syira. Kita stop cerita pasal mama Zul, please. Aku tak mahu fikir tentang dia lagi.”
Insyirah tak puas hati. Dia dapat rasa yang Ayuni sedang sembunyikan sesuatu daripadanya. “Ayu, aku tahu aku tak layak beri nasihat pada kau. Aku ni balu. Nak cerita pasal mak mentua pun aku tak pandai sebab aku dulu kahwin dengan anak yatim. Arwah Uzair tu macam aku juga. Mak ayah kami dua-dua pihak dah mati masa kami kecil. Kau pun tahu pasal tu, kan?”
Ayuni angguk. Masakan dia tak tahu sedangkan Insyirah kawan dia sejak mereka masuk ke sekolah menengah lagi.
“Tapi, aku dah banyak baca dan dengar kisah rumah tangga ni. Banyak dah pasangan suami isteri yang bercerai-berai akibat campur tangan mentua dalam hubungan mereka. Aku takut nanti kau termasuk dalam kumpulan yang malang tu.”
“Aku malang sebab dapat mentua yang bencikan aku. Tak tahulah kenapa dia bencikan aku sangat. Nak kata dia pandang hina sebab aku ni dari keluarga yang miskin, Zul dengan mak dia tu pun bukannya millionaire. Setakat orang senang aje, kan?”
“Nak jadi penyombong ni Ayu, tak semestinya kau jadi jutawan. Di luar sana, ada aje jutawan yang pemurah, baik dan langsung tak meninggi diri dengan orang. Tapi, ada juga orang yang perasan kaya, yang berjalan atas bumi Allah ni dengan anggapan dia sentiasa lebih daripada orang lain. Mama mentua kau, macam tulah.”
“Dia asyik tuduh aku ni perampas.”
“Tak habis-habis lagi pasal tu?”
Ayuni geleng. “Tak pernah habis. Dia asyik cakap, kalau tak disebabkan aku, Zul tak akan tinggalkan girlfriend dia yang nama Azilah tu. Berkali-kali dah aku bagi tahu dia, aku tak kenal pun siapa Azilah tu. Oh, dia tak boleh terima. Dia cakap, aku tipu. Dia cakap, aku yang dah buat Zul terpedaya dan tinggalkan perempuan tu. Berbelit-belit! Macam main wayang pun ada.”
“Dan, macam biasa... Zul tak pernah pertahankan kau. Betul tak?”
“Zul nak bela aku? Memang taklah!”
Insyirah mendengus. “Cakap pasal mereka anak beranak, memang buat aku sakit hati sangat-sangat. Rasa macam nak...”
“Dah, dah! Tak payah cakap lagi. Cukuplah! Baik kita berhenti. Nanti kita sama-sama naik darah. Orang tua tu sihat walafiat, kita berdua masuk wad.”
“Kesian kau, Ayu. Nak tumpang kasih mentua pun tak boleh. Yang umi kau pula, apahal? Tak nak balik ke sini dah ke?”
“Dia telefon aku malam tadi. Selain ucap selamat pada aku, dia beritahu yang adik aku dah bosan duduk di UAE. Sekarang ni kak ngah tengah duk cari kerja kosong di KL. Ada rezeki, mungkin hujung tahun ni nanti mereka balik menetap di sini semula.”
“Alhamdulillah. Baguslah kalau umi balik. Apa-apa jadi pada kau, dia ada.”
“Uisy, janganlah doakan aku yang bukan-bukan.”
Ops, sorry beb.”
Tangan Insyirah digenggam. “Tak payah nak minta maaflah, beb. Kau kawan aku dunia akhirat. Aku patut ucap banyak-banyak terima kasih pada kau. Kau sentiasa ada untuk aku.”
Orait. Cuma ada satu pesanan lagi.”
“Apa dia?”
“Kalau lain kali mama Zuhayr call dan kutuk kau, jangan lupa update aku, tau.”
“Cis! Ingat apalah tadi. Penyibuk!”
Ketawa mereka terhenti apabila dua tubuh kecil berlari mendapatkan mereka. Amir, anak lelaki Insyirah dan Eisya, anak Ayuni. Mereka sebaya dan amat rapat sekali. Bagaimanapun, sekarang tak nampak keakrabannya. Yang pasti, Eisya sedang menangis. Sedang teresak-esak.
“Ibu, mami! Tengok Amir ni! Dia jahat!”
Insyirah dah cekak pinggang. Matanya tajam ke arah Amir yang sudahpun berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu. “Amir, kamu buat apa kat Eisya sampai Eisya mengadu ni?”
Amir sengih.
“Amir baca apa yang Eisya tulis untuk ibu.” Eisya dah mengongoi. Sedih sangat apabila kad ucapannya dicerobohi oleh orang yang tak berhak. 
“Amir, kamu baca kad ucapan Eisya?”
Terkebil-kebil mata Amir memandang ibunya.
Insyirah pulas sedikit telinga kiri Amir. “Apasal kamu baca apa yang Eisya tulis?”
“Amir... Amir nak tahu apa Eisya cakap kat ibu.”
“Eee budak ni...”
“Dahlah tu, Syira. Lepaskan telinga Amir. Sakit budak tu kau buat.” Ayuni menegur. Puas hati apabila Insyirah mengenepikan tangannya daripada telinga Amir.
 “Ibu, mami, Eisya tak nak kawan dengan Amir dah.”
Suara Eisya menyebabkan Ayuni dan Insyirah saling memandang. Senyuman yang mahu hadir segera ditahan demi melihat wajah merah Eisya.
“Amir, cepat minta maaf pada Eisya.” Insyirah suruh.
“Tapi...”
“Kalau tak nak kena cubit, cepat minta maaf.”
Amir dekati Eisya. “Awak, kita minta maaf.”
Eisya diam. Mukanya masam. Bibirnya muncung panjang. Marah lagilah tu.
Ayuni segera duduk bersila di hadapan Eisya dengan niat mahu memujuk. “Eisya, meh duduk atas riba ibu.”
Eisya menurut tanpa suara.
“Anak ibu baik, kan?”
Eisya angguk.
“Kalau macam tu, anak ibu kena maafkan Amir. Nak tahu kenapa?”
Eisya angguk lagi.
“Sebab orang yang baik sentiasa maafkan kesalahan orang lain.”
“Tapi...”
“Apa yang ibu selalu pesan pada Eisya setiap malam sebelum Eisya tidur? Eisya dah lupa ya?”
“Tak, ibu. Eisya ingat. Ibu cakap, setiap hari kita mesti minta ampun pada Allah. Lepas tu ibu suruh Eisya cakap pada Allah yang Eisya minta Allah kasi tahu orang yang Eisya buat salah supaya orang tu maafkan Eisya dan Eisya pun maafkan semua orang yang buat salah dengan Eisya juga.”
“Alhamdulillah. Anak ibu ingat apa yang ibu ajar. Jadi, sekarang Eisya kenalah maafkan Amir.”
“Baik, ibu.” Eisya bangun mendapatkan Amir yang sedang dipeluk oleh Insyirah. “Amir, kita maafkan awak.”
“Okey!”
Insyirah cekak pinggang. “Amir, takkan cakap okey aje. Say thank you pada Eisya.”
“Amir sengih. “Thank you, Eisya.”
“Hmm, macam tulah. Dah, pergi basuh tangan. Kita nak makan. Lepas makan kita solat sama-sama. Nak tak?”
“Nak!” Dua kanak-kanak itu bersorak riang sebelum berlari ke singki untuk membasuh tangan.
“Kau ni memang pemaaf, ya? Kalau orang buat salah pada kau, lepas tu dia minta maaf, mudah aje kau akan maafkan dia. Betul?”
“Biasalah, Syira. Bagi nasihat, senanglah. Tapi kalau kena kat diri sendiri, aku tak tahulah sama ada aku boleh senang-senang nak maafkan orang yang dah buat salah dengan aku.” Tiba-tiba Ayuni ketawa apabila mengenang perangai Eisya dan Amir tadi.
“Gelak kenapa?” Insyirah terpinga-pinga.
Cepat-cepat Ayuni geleng. “Saja nak gelak tengok gelagat anak-anak kita tu tadi.”
Insyirah pun terjangkit sama. “Hmm, bakal menantu aku tu kecil-kecil lagi dah pandai merajuk. Jenuhlah Amir nak kena belajar cara-cara memujuk si Eisya tu nanti.”
“Tak apa, aku ada. Tahulah aku macam mana nak ajar bakal menantu aku tu macam mana nak pujuk Eisya nanti.”
Masing-masing menyengih apabila mengenangi impian masa hadapan. Memasang angan agar satu hari nanti mereka boleh berbesan. Semakin merapatkan ikatan persahabatan yang sedia terjalin ini.
“Eh, jom kita makan. Dah lapar ni.”
“Alamak, kena makan lagi ke? Perut aku dah penuh ni.”
“Makanan ada lagi tu. Nak tapau bawa balik pun boleh.”
“Dah makan, suruh bawa balik pula?”
“Eleh, buat-buat tanya konon. Padahal kau suka kalau kau tak payah masak esok, kan?”
“Memanglah suka cuma kau kenalah doakan aku supaya aku tak lupa dan biarkan lauk-lauk yang kau bekalkan tu dalam but kereta, okey!”
“Eee, janganlah! Busuk tupperware aku tu nanti.”
“Baiklah, puan. Kau ni dah macam mak neneklah, Ayu. Asyik berleter aje.”
“Eleh, orang bagi nasihat dia cakap kita berleter pula.”
“Malam ni biar aku bawa Eisya balik ke rumah aku. Kau nanti boleh berehat sementara tunggu Zul balik.”
“Entah balik entah tidak dia malam ni.”

Mereka berbalas pandang. Ada resah menggamit di dalam hati.
---------------------
wahai rakan pembaca sekelian,
ini adalah entri terakhir untuk Di Taman Larangan. Selepas ini saya akan hanya masukkan teaser sahaja, okey! kepada yang ingin membeli, sila buat belian secara online dengan Penerbitan Karyaseni atau Penulisan2u dengan menggunakan aplikasi google play /store pada telefon pintar anda. ataupun boleh dapatkan terus daripada kedai-kedai buku berhampiran tempat anda juga dah ada. 

selamat membaca ya! harap suka. maafkan atas segala kekurangan.

Ana Sofiya

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…