Langkau ke kandungan utama

Di Taman Larangan - Bab 4

Sepasang mata lelaki itu masih terarah kepada deretan rumah setingkat di hadapannya. Tekun dia memerhati. Dalam hati dia menitip doa agar seraut wajah jelita itu muncul di hadapannya. Biarlah hanya dari jauh untuk dia pandang, itu pun sudah memadai baginya.
Hamid tekun merenung muka encik bos melalui cermin pandang belakang. Keningnya terangkat apabila nampak lelaki itu senyum secara tiba-tiba. Kalau nak tengok encik bos senyum, memang di sinilah tempatnya. Kalau di ofis, jangan harap. Muka lelaki ini tak akan selembut sekarang.
Hamid nak ambil peluang ini untuk berbual dengan encik bosnya. “Tuan, boleh saya tanya sikit?”
Soalan itu menyebabkan encik bos tumpukan perhatiannya kepada Hamid. “Apa dia?”
“Ma... maaf, tuan. Saya bukan nak menyibuk.”
“Cakap ajelah!”
“Err...”
“Apahal ni, Hamid?” Suara tegas encik bos memenuhi ruang.
Hamid sengih sambil garu kepala. Habis rambut yang tadi elok tersisir, jadi serabut. “Saya cuma...”
“Cuma apa?”
“Janganlah marah, tuan. Saya cuma nak tahu kenapa tuan selalu ajak saya datang sini. Tu aje.”
“Saja.”
Jawapan yang cukup ringkas tetapi tetap menyebabkan Hamid berasa tak puas mendengarnya.
“Takkan saja kut, tuan.”
“Saya dah jawab soalan kamu. Apa yang kamu tak puas hati?”
“Bukan apa, tuan. Sejak saya kerja dengan tuan, tiap-tiap kali tuan habis kerja, tuan mesti suruh saya memandu ke sini sebelum balik ke rumah. Bila sampai, tuan tak turun pun. Tuan cuma duduk dalam kereta aje. Lepas tu, tuan ajak saya balik. Tu yang buat saya keliru, tuan.”
“Saya menyusahkan kamu ke?”
Hamid geleng.
“Habis tu?”
“Puan Sarah tanya pasal tuan jadi saya terpaksa beritahu dia apa yang tuan buat ni.”
Lelaki itu mengeluh. Ada rasa tak puas hati terlontar bersama keluhan itu.
“Jadi, kamu tanya ni sebab mak saya suruh? Mak saya cuba korek rahsia saya daripada kamu ni.”
“Tuan marah?”
“Kalau kamu, kamu suka orang selidik hal kamu?”
Hamid sengih.
“Seronoklah kamu dapat bergosip dengan mak saya, ya?”
“Bu.. bu.. bukan macam tu, tuan.” Hamid dah cuak melihat rahang encik bos yang sedang turun naik. Wajah lelaki itu pun nampak marah. Buatnya melenting nanti, jenuh dia jadi mangsa.
“Dah. Tak payah nak tergagap-gagap. Jom balik.”
“Tapi tuan, tuan belum jawab soalan saya lagi.”
“Kamu nak saya jawab soalan kamu atau kamu nak saya pecat kamu. Mana satu?”
Pucat terus muka pemuda bernama Hamid itu. Cepat-cepat enjin kereta dihidupkan semula. Dia enggan dipecat. Biarlah dia tak tahu rahsia tuannya, tak apa. Itu lebih baik daripada menjadi penganggur.
“Ingat, Hamid! Ini amaran pertama dan terakhir. Jangan ambil tahu perkara yang tak ada kaitan dengan diri kamu. Faham?”
“Faham, tuan.”
“Lagi satu, jangan nak bergosip dengan mak saya. Kalau dia tanya kamu apa-apa pasal saya, suruh dia tanya saya aje.”
“Baik, tuan.”
“Ingat! Saya bos yang bayar gaji kamu. Ikut cakap saya dan patuh arahan saya. Faham?”
Hamid angguk. Gear N ditukar ke gear D. Baru nak tekan clutch, encik bos suruh Hamid berhenti pula.
“Kenapa, tuan?”
Lelaki itu tidak menyahut. Hanya matanya terpaku ke hadapan. Ke arah seorang wanita yang baru saja keluar dari salah sebuah rumah. Wanita itu berdiri di luar pintu pagar rumahnya. Di tangan wanita itu ada mangkuk tingkat.
“Dia nak bagi siapa mangkuk tingkat tu?”
“Apa dia, tuan?”
Lelaki itu mengeluh. Namun tidak disahut soalan Hamid. Sebaliknya dia masih menumpukan perhatiannya kepada wanita itu.  
Tidak lama kemudian, sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan wanita itu. Kening lelaki itu terangkat kerana dia kenal benar dengan si pemandu. Siapa lagi kalau bukan suami wanita itu sendiri. Zuhayr!
Dia melihat wanita itu memasukkan mangkuk tingkat itu ke dalam ruang but kereta. Sebaik sahaja but ditutup, Zuhayr terus saja memecut meninggalkan wanita itu terpinga-pinga sendiri.
“Apa hal pula tu?” bibirnya menyoal. Dia hairan. Pertama, kerana kereta itu dipecut laju oleh Zuhayr dan kedua kerana sekarang ini wanita itu cuba menarik hujung tangan baju kurungnya untuk mengelap air mata.
Matanya terpaku. Menanti kereta itu melintasinya. Dahinya turut berkerut.
“Kenapa Zuhayr tinggalkan dia? Zuhayr nak ke mana? Tak raikan birthday girl ke? Tak sambit anniversary sama-sama ke?” Bertubi-tubi soalan itu meniti bibirnya.
“Tuan cakap apa?”
Dia dongak pandang wajah Hamid di hadapannya. Hamid sedang merenung dia dengan muka penuh hairan.
“Apa?” soalnya garang.
“Tadi tuan cakap...”
“Jangan menyibuk hal saya, Hamid!”
“Baik.”
Hamid segera memandang ke hadapan, menunggu arahan tuannya yang angin semacam.
Di belakang, lelaki itu masih keliru. Hatinya masih tertanya-tanya. ‘Kenapa Zuhayr buat begitu? Mereka kelahi ke? Kalau gaduh, apa isunya?’
Tiba-tiba kepalanya rasa berdenyut. Jari laju memicit. Hailaa, macam mana kepala tak sakit? Dia asyik fikirkan masalah pasangan suami isteri itu.
“Tuan! Tuan tak apa-apa ke?”
Lelaki itu tersentak. Dia berasa terganggu dengan sikap Hamid.
“Kenapa kamu tak jalan lagi?”
“Erk, saya tunggu tuan suruh.”
Allah! Susah betul dapat pemandu yang lurus bendul macam Hamid ni, dengusnya.
“Dah! Jangan banyak bunyi. Jalan sekarang!”
“Baik, tuan.”
“Penyibuk!” Mulut lelaki itu mengomel namun hati berasa semacam. Terutama ketika teringat muka Zuhayr tadi. “Masam betul muka dia. Kelahi dengan Ayunilah agaknya tu. Sampai langsung tak masuk ke rumah. Hesy, apa punya suamilah si Zuhayr tu? Ada ke patut dia tinggalkan Ayuni hari ni? Dia lupa ke hari ini hari apa? Kalau akulah, aku dah bawa Ayu tu pergi honeymoon. Tahu tak?”
Duduk dibetulkan. Mata dipejam rapat-rapat. Enggan lagi memikirkan tentang pasangan suami isteri itu.
Dada Hamid berdebar-debar melihat wajah tuannya dalam cermin pandang belakang. Tuannya nampak kusut. Nampak serabut. Nampak macam sedang memikirkan masalah yang sangat besar. Tiba-tiba, dalam keadaan matanya yang pejam itu, boleh pula encik bosnya senyum bukan main lebar lagi. 
‘Hai, aku ni bekerja dengan siapa? Betul ke cakap-cakap orang yang aku dengar selama ni? Betul ke tuan aku ni... psiko?’
Hamid risau. Macam-macam yang difikirkannya.
‘Buatnya dia cekik aku karang, habis aku. Mati dan tak sempat kahwin pula nanti.’
“Jangan duk jeling saya, Hamid. Drive tu kasi elok-elok sikit! Tumpukan perhatian kat atas jalan tu!”
Hamid kena tengking lagi. Dia menikus. Tak berani lagi hendak mengintai encik bos. Tumpuannya kini hanya kepada pemanduan.
Lelaki itu tak betah. Kepalanya masih memikirkan tentang Ayuni.

“Harap-harap dia okey. Harap-harap dia tak bazirkan air mata untuk lelaki itu,” gumamnya perlahan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…