Langkau ke kandungan utama

Di Taman Larangan Bab 2

Bab 2

Lapan tahun kemudian...
Ayuni melambaikan tangan sehinggalah kelibat bas sekolah yang dinaiki Eisya, anaknya, hilang daripada pandangan. Hajat hati nak terus jirus pokok bunga di laman namun memikirkan suami yang masih belum ke tempat kerja, dia batalkan niat itu. Dia melangkah ke dalam rumah dan menghala ke bilik. Daun pintu ditolak sedikit untuk mencari kelibat Zuhayr.
“Abang,” Dia memanggil.
Zuhayr yang sedang bersiap, merenung isterinya. “Nak apa?”
“Abang balik pukul berapa hari ini?”
“Ah, lupa nak cakap. Habis kerja abang nak ke rumah mama. Mama ajak dinner di rumah dia.”
“Mana boleh! Abang kena balik ke sini malam ni.”
“Eh, apa hal awak ni, Ayu? Mama suruh abang balik sana, abang akan ke sanalah. Yang nak paksa-paksa abang balik ke sini tu, apasal?”
Wajah suami ditatap penuh hiba. Nampaknya, sekali lagi Zuhayr lupa tarikh hari ini. Seperti selalu, dia seorang sahajalah yang ingat.
“Kenapa buat muka monyok tu?”
Wajah suami direnung. “Saya sedih.”
“Sedih? Sedih kenapa?”
“Sebab abang lupa hari ini hari apa.”
Zuhayr yang sedang membetulkan tali leher merenung wajah isterinya. “Apa hal pula ni? Cakap abang lupa bagai. Lupa apa?”
Ayuni mendekat. Tangan Zuhayr ditepis perlahan dan dia sendiri mengemaskan tali leher yang dipakai suaminya.
“Cuba ingat betul-betul, bang. Hari ini hari apa?” omelnya.
“Hari Khamis malam Jumaat.”
Hampa sungguh mendapat suami yang tak pernah ambil kesah tentang dia. Kalau suami orang lain, entah dah bertimbun hadiah diberi. Entah sudah berapa banyak kad ucapan yang diterima. Entah sudah berapa kali pergi berbulan madu. Tapi tidak dengan Zuhayr. Sikap tak endah Zuhayr ini sering menimbulkan soalan yang satu itu.
Kenapa Zuhayr kahwin dengan dia?
“Dah lapan tahun kita kahwin tapi abang asyik lupa tarikh lahir saya. Asyik lupa tarikh ulang tahun perkahwinan kita,” ujar Ayuni sedikit membentak. Dia menjauhkan dirinya daripada encik suami.
Zuhayr kaku di tempatnya. Otak ligat mencerna. Mencongak. Mengira. Baru dia tersedar. Hari ini, 7 haribulan Januari ialah hari ulang tahun kelahiran Ayuni dan juga hari ulang tahun perkahwinan mereka. Namun dia enggan disalahkan. Baginya, tak ada apa yang hendak dihebohkan sangat. Tarikh aje kut!
“Abang tak lupalah. Cuma, abang tak suka nak ingat benda remeh temeh ni. Apa ada pada tarikh lahir? Nak beritahu yang kita makin tua. Gitu?”
“Sampai hati abang cakap macam tu? Salah ke nak ingat bila kita dilahirkan?”
“Eleh, tak ada faedahnya nak sambut tarikh lahir tu. Bukannya awak makin muda pun.”
“Yalah, cakap abang ajelah yang betul. Habis, yang anniversary kita pula, kenapa abang tak ingat?”
Anniversary... Haisy! Kan dah banyak kali abang cakap. Mama dengan papa tak pernah raikan ulang tahun perkahwinan mereka pun. Tengok, dah dekat 40 tahun mereka hidup bersama. Bahagia aje!”
Ayuni tewas lagi. Kecewa sungguh dengan sikap tak peduli suaminya. Namun wajah suami ditatap juga kerana ada perkara yang dia ingin beritahu.
“Err... tapi saya dah masak banyak.”
“Masak banyak?”
“Ya. Petang semalam saya dengan Eisya bakar cupcakes dan brownies. Mula pukul empat pagi tadi saya kukus pulut buat pulut kuning. Lepas tu saya masak rendang ayam dan masak kuzi sekali. Cadangnya petang nanti nak masak spaghetti dengan makaroni bakar juga.”
Bulat mata Zuhayr mendengar. “Awak ni dah kenapa? Masak macam nak buat kenduri.”
“Bukan kenduri. Nak buat makan-makan aje petang nanti sambil abang baca doa selamat untuk saya, untuk kita. Abang tak ingat ke? Kan saya dah beritahu abang minggu lepas?”
“Entah, abang tak ingat. Tapi, awak ni dah melampaulah, Ayu! Awak suka sangat membazir.”
“Membazir?”
‘Aku dikutuknya membazir. Yang dia tu berkira, tak sebut pula,’ omel Ayuni dalam hati.
Ini yang Ayuni tak suka dengan sikap Zuhayr. Sejak kahwin sampai sekarang, perangai kedekut dan berkira itu langsung tak pernah berubah.
Ada satu hari, sedang mereka makan di sebuah restoran, datang seorang anak kecil berumur dalam lingkungan sembilan tahun meminta sedekah. Baru Ayuni nak buka beg dompet, Zuhayr dah halau budak itu pergi. Kata Zuhayr, macam mana Islam nak maju. Kecil-kecil lagi dah diajar meminta-minta. Ayuni hanya menggeleng mendengar leteran suaminya. Dalam hati... bengkek! Tak memberi sedekah itu, satu hal. Membebel dan menghina kanak-kanak itu, lagi satu hal. Sungguh, dia berasa malu benar pada hari itu.
“Ya, membazir!”
Jerkahan Zuhayr mengejutkan Ayuni.
“Yang awak masak banyak-banyak tu, siapa suruh? Tu nanti, mesti awak sibuk nak bagi kat orang. Bagi jiran sana, bagi jiran sini. Sedekah sana, sedekah sini...”
“Abang,” Ayuni pintas. “Salah ke kalau saya bagi orang makan? Salah ke kalau saya nak bersedekah? Tolonglah, bang. Jangan nak berkira sangat, boleh tak? Bagi orang makan dan bersedekah semua tu ada  disuruh dalam Quran, tahu.”
Teguran itu menyebabkan air muka Zuhayr berubah.
“Mentang-mentang awak suka baca Quran, awak nak cakap abang ni jahil ke apa?”
Dah ke situ pula, keluh Ayuni dalam hati.
“Bukanlah macam tu. Saya cuma nak cakap, dalam hidup kita ni, kita patut berkongsi rezeki dengan orang lain. Manalah tahu kalau-kalau ada antara jiran kita ni yang miskin dan tak ada duit nak berbelanja untuk hari ini, sekurang-kurangnya kita dah dapat hilangkan rasa lapar mereka. Dapat juga pahala.”
Zuhayr juihkan bibir. Geram mendengar balasan Ayuni.
“Tak akan jatuh miskin orang yang bagi orang lain makan, bang.”
“Yalah, yalah. Awak ajelah yang betul. Suka hati awaklah.”
Bulat mata Ayuni.
“Tapi awak jangan lupa, Ayu. Kalau dah hari-hari awak bagi orang sana makan, orang sini makan, mahu bankrap suami awak ni nanti. Tapi, yalah. Duit, abang yang cari dalam rumah ni kan? Awak  tahu minta aje. Tak gitu?”
Sungguh Ayuni terasa apabila disindir sebegitu oleh suaminya. Tercuit perasaan menyebabkan dia nekad membalas.
“Ya, duit memang abang yang cari. Tapi itu kan tanggungjawab abang sebagai ketua keluarga?”
“Dan apa pula peranan awak sebagai isteri? Sebagai suri rumah? Belanja duit tu semua dengan boros. Macam tu?” herdik Zuhayr.
“Abang rasa saya boros sangat ke? Berapa kali dalam sebulan saya minta duit abang?”
“Awak tak pernah minta...”
“Tahu pun! Habis kenapa merungut?”
Zuhayr merenungnya tajam. “Abang tak merungut. Abang cuma nak awak berjimat. Ingat, abang ni bukan kerja tinggi. Pegawai bank aje, tahu tak.”
Ayuni mengeluh dalam hati. Hanya dalam hati kerana sejak lama dia sudah mengajar hatinya untuk bertahan. Untuk bersabar. Dia tak mahu bertengkar. Jadi, dada diusap perlahan-lahan dengan harapan untuk bertenang.
“Dah, abang nak pergi ni. Nah, duit belanja untuk minggu ni. Jimat-jimat sikit.”
Rasa berat hati hendak mengambil wang yang dihulur suaminya. Namun kalau tak diambil nanti Zuhayr pula yang akan merajuk panjang dengannya.
“Tapi, majlis kita macam mana?”
“Awak ajelah makan dengan Eisya. Oh ya, ajaklah kawan baik awak si Insyirah dengan anak dia tu sekali. Kata tadi nak dapat pahala, kan? Panggillah jiran-jiran datang, abang benarkan,” sinis Zuhayr. Dia sudah pun keluar dari bilik menuju ke pintu utama.
Sindiran itu dibiarkan terbang bersama angin lalu. Mulut tetap mahu bertanya. “Abang tak nak sarapan dulu?”
“Tak nak. Tak ada mood nak makan,” kata Zuhayr sambil menyarung stokinnya.
Terluka sekali lagi. Pun begitu Ayuni tak ikutkan perasaan. Senyum masih terukir pada bibir.
“Abang, boleh tak kalau abang cuba balik ke sini dulu sebelum abang ke rumah mama?”
“Buat apa?”
“Saya nak kirim makanan untuk mama dengan papa.”
Zuhayr pamer wajah tegang. Dia tak suka rancangan yang sudah diatur diganggu sebegini. Namun memikirkan makanan yang enak-enak itu, dia anggukkan kepala. Di hadapan Ayuni, dia tak tunjuk rasa teringin dan terliur tapi dengan bekal yang diberi, bolehlah dia makan dengan berselera di rumah mamanya petang nanti.
“Okey, abang singgah dalam pukul 6.00. Pastikan awak dah siap bekalnya dan berdiri dekat pintu pagar. Abang tak nak masuk ke dalam. Faham?”
“Takkan tak nak masuk?”
“Eh apa hal ni? Sejak bila awak ni mengada-ngada, Ayuni?”

Ayuni sentap. Tak terjawab soalan suaminya itu.
----------------
bersambung :)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…