apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.4.17

Di Taman Larangan - Bab 1

Bab 1

Mak Siah pandang ke arah pintu rumah yang diketuk orang. Dahinya berkerut.
“Siapa pula yang datang ni? Hailaa! Nak tengok TV pun tak senang,” rungutnya. Dia berdiri. Tangan laju capai tudung yang sedia tergantung di belakang kerusi. Tak lama kemudian, daun pintu rumah No 1, Flat PPR Laksamana itu sudah terbuka luas.
“Encik Zul? Sesat ke apa ni?” Mak Siah terkejut melihat Zuhayr, salah seorang pelanggan di gerai makannya yang datang.
Zuhayr senyum. “Hai, Mak Siah. Apa khabar?”
Mak Siah jongketkan kening. “Mak Siah sihat aje, Encik Zul. Encik Zul tanya macamlah kita tak jumpa tengah hari tadi.”
“Ya tak ya juga. Tapi kan Mak Siah, Mak Siah tak nak ajak saya masuk ke?”
“Itulah... Terkejut punya pasal sampai lupa nak jemput Encik Zul masuk. Kejap ya, Encik Zul. Mak Siah ambil kunci gril.”


Tak sampai seminit, pintu gril sudah dibuka dan Zuhayr dipelawa masuk. “Lain gaya Encik Zul malam ni. Nampak ringkas aje.”
“Kenapa, Mak Siah? Selalu tu gaya saya macam mana?”
“Lagi mahu tanya ke, encik? Kalau asyik pakai kot dengan tali leher bagai, tentulah gaya encik macam pegawai.”
Zuhayr sengih. Dalam hati bisik... ‘Aku memang pegawai pun!’
Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Bulat mata Mak Siah tengok anaknya Ayuni, yang sedang berdiri di muka pintu sambil tersenyum memandang Zuhayr.
‘Kenapa pula Ayu duk menyengih? Dah tu, dia pakai baju kurung pula. Tang bertudung tu, tak ada hallah. Tapi, yang dia siap berbedak, bergincu dengan mata pun bukan main bercelak, apahal?’ gumamnya, tak sedap hati.
“Dah sampai pun. Awak duduk sekejap ya. Saya buatkan air milo yang awak suka.”
Dada Mak Siah dah dup dap dup dap. Tiba-tiba timbul rasa syak yang Ayuni tahu Zuhayr nak datang. Dia syak mereka sudah berpakat. Melihat mereka saling berbalas senyum tadi, dia dapat rasa yang kedatangan ini bukan saja-saja. Zuhayr datang bersebab. Apa? Dia tak tahu tapi dia yakin Ayuni tahu.
Mak Siah bangun. Dia mahu bertanya kepada Ayuni. Dia mahu Ayuni beritahu sebab Zuhayr datang ke rumah mereka. Jadi, Zuhayr ditinggalkan dan dia mendapatkan Ayuni.
“Kenapa Encik Zul datang?” soalnya perlahan.
“Adalah.”
Aku cubit juga paha anak dara aku ni kang! Ayuni dijegilnya. “Kamu yang ajak Encik Zul datang ke rumah kita ni, Ayu?”
Ayuni angguk. “Kami ada perkara nak bincang dengan umi.”
“Kami?” Dahi Mak Siah semakin berkerut.
“Nanti umi tahulah. Sekarang, umi pergilah sembang dengan dia sementara Ayu buat air ni.”
“Macam ada apa-apa aje bunyinya?”
“Mestilah ada. Kalau tidak, tak adalah Encik Zul tu nak datang sini, umi.”
Dalam keliru, Mak Siah kembali ke ruang tamu. Duduk di kerusi berdepan dengan Zuhayr.
“Mimpi apa datang ke rumah Mak Siah malam-malam buta ni, Encik Zul?”
Tadi, dia merisik dengan Ayuni, dia tak dapat apa-apa maklumat. Sekarang dia merisik daripada lelaki ini pula. Mana tahu kalau-kalau Zuhayr mahu buka mulut dan ceritakan hajatnya?
“Saya ada hal penting nak bincang dengan Mak Siah.”
Hmm, kan betul! Mesti ada hal punya!
“Encik Zul ni buat Mak Siah risaulah. Hal apa yang penting sangat ni?”
Berkali-kali menelan liur akhirnya dapat juga Zuhayr memberitahu. “Saya nak cakap tentang saya dengan Ayuni, Mak Siah.”     
Mak Siah kerut dahi sambil tengok muka Zuhayr. Ada sesuatu yang tak masuk akal sedang terjadi, fikirnya.
Zuhayr hanyalah seorang daripada ramai-ramai pelanggan yang datang makan di gerainya yang terletak di Jalan Cochrane. Bolehlah dianggap sebagai pelanggan tetap juga. Cuma, yang jadi tanda tanya ialah sejak bila pula Zuhayr rapat dengan Ayuni. Seingat Mak Siah, di gerai makannya itu, dia yang lebih banyak melayan pelanggan. Dia yang lebih ramah dan lebih mesra dengan mereka, bukan Ayuni. Anak dara sulungnya itu seorang yang pendiam. Setahu dialah, Ayuni jarang sekali bersembang dengan pelanggan. Ada tidak pun, sewaktu mereka membayar harga makanan dan minuman di kaunter di mana Ayuni menjadi juruwangnya. Itu sahaja!
“Tentang kamu dengan Ayuni?” Mak Siah tanya.  
Zuhayr angguk. “Mak Siah, saya dengan Ayuni... kami bercinta.”
Pengakuan Zuhayr membulatkan mata Mak Siah. “Bercinta? Encik Zul dengan Ayuni?”
“Ya, Mak Siah.”
Mak Siah geleng. “Mak Siah tak tahu pun. Ayuni tak pernah cakap apa-apa pada Mak Siah.”
Waktu itu Ayuni sampai dengan dulang yang ada tiga cawan berisi air milo. Cawan diletakkan di hadapan ibunya, di hadapan Zuhayr dan di hadapan dia sendiri yang duduk di sebelah Mak Siah. Elok saja Ayuni labuhkan punggungnya, dia laju menjawab soalan tadi.
“Kami bercinta tak macam orang lain, umi. Kami luah perasaan dalam telefon saja.”
“Ada ya bercinta dalam telefon?”
Ayuni seram sejuk dengar soalan garang daripada ibunya.
“Kamu dah buat umi terkejut, Ayu. Cer cakap, sejak bila yang kamu dengan Encik Zul ni bercinta hah? Dah lama ke?”
“Tak sampai sebulan, umi.”
Laa, baru lagi?”
Zuhayr segera mencelah. “Baru memang baru, Mak Siah. Tapi saya rasa, dah tiba masanya untuk kami jadi lebih rapat.”
“Maksud Encik Zul?”
“Mak Siah, saya datang ni nak minta izin Mak Siah untuk jadikan Ayuni isteri saya.”
“Apa?” Rasa menggelegak darah Mak Siah mendengar permintaan Zuhayr. Marah? Ya, dia sangat marah sekarang. Mencerlung sepasang matanya merenung Ayuni dan Zuhayr silih berganti.
“Umi...”
Mak Siah angkat tangan isyarat menyuruh Ayuni diam.
“Kau orang ni biar betul! Tak sampai sebulan bercinta dah sibuk nak kahwin? Bercinta dalam telefon pula tu. Kau orang ingat kau orang dah boleh kenal hati budi masing-masing dengan bertelefon saja?” garang Mak Siah ajukan soalan.
“Umi, dengarlah dulu apa Encik Zul nak cakap.”
Wajah Ayuni ditatap tajam sebelum Mak Siah alihkan renungan ke wajah Zuhayr. “Cakap apa yang kamu nak cakap, Encik Zul.”
Gulp! Zuhayr terkedu sekejap sebelum dia bersuara. “Selama tiga minggu kami bercinta dalam telefon, berbual dan saling hantar mesej, saya dah cukup kenal dengan Ayuni, Mak Siah.”
Mak Siah cebik. “Betul ni? Jadi, kamu tahu apa yang Ayu suka makan? Kamu tahu apa yang dia suka minum? Kamu tahu apa hobi dia, cita-cita dia, harapan dia, ke mana tempat pertama yang dia paling teringin nak pergi dalam dunia ni? Kamu tahu?”
Zuhayr tatap muka Mak Siah lama sebelum menggeleng.
“Habis, macam mana kamu boleh cakap yang kamu dah cukup kenal Ayuni?”
Ayuni di sebelah memeluk lengan ibunya. “Umi, janganlah cakap macam tu. Memanglah sekarang Encik Zul tak kenal Ayu sangat. Tapi nanti lepas kahwin, semua tu tak jadi masalah dah, kan?”
“Umi tak setuju. Umi tak akan benarkan kamu berdua kahwin.”
“Tapi, umi...”
“Awal sangat nak cakap pasal kahwin. Kamu pun masih muda lagi. Baru dua puluh satu.”
“Bulan depan umur Ayu dah dua puluh dua tahun, umi.”
Mak Siah genggam tangan anaknya. “Tunggulah dulu.”
“Buat apa nak tunggu lagi, Mak Siah? Kami berdua dah bersedia nak kahwin. Betul tak, Ayu?” balas Zuhayr sedikit keras. Dia berasa macam nak meradang apabila kemahuannya cuba dihalang oleh Mak Siah.
Ayuni senyum. Angguk.
Hesy budak berdua ni! Tak menyempat-nyempat!” Mak Siah berdiri dan kemudian jalan mundar-mandir dalam ruang tamu yang sempit itu. Sesekali kepala digeleng. Masih tak dapat hendak mencerna kejadian yang berlaku.
“Saya serius, Mak Siah. Saya betul-betul nak kahwin dengan anak Mak Siah ni.”
“Saya pun, umi. Saya betul-betul nak kahwin dengan Encik Zul.”
“Kamu berdua ni dah gila agaknya?”
“Sampai hati umi cakap kami gila.”
“Memang! Memang kamu dah gila.”
“Mak Siah...”
Mak Siah cantas. “Encik Zul, kalau kamu serius, kamu tak datang cara macam ni. Kamu akan hantar mak bapak kamu jumpa Mak Siah. Nikah kahwin ni kerja orang tua, tahu. Orang tua berbincang, capai kata sepakat, tetapkan tarikh semua, baru kamu berdua boleh dinikahkan. Ni, Mak Siah nak tanya. Mak bapak kamu tahu pasal ni, Encik Zul?”
Zuhayr geleng.
“Kenapa tak beritahu mereka?”
“Mak Siah, yang nak kahwin, saya. Saya tak perlukan sesiapa untuk uruskan pernikahan saya ni.”
“Astaghfirullah al’azim! Anak bertuah! Sanggup kamu cakap macam tu?”
“Umi, duduklah dulu. Jangan marah-marah macam ni. Nanti umi dapat sakit jantung pula.”
“Pandai pula kamu tak nak umi dapat sakit jantung.”
“Mak Siah, Mak Siah mesti beri restu pada niat suci kami ni.” Zuhayr mencelah.
“Tidak. Mak Siah tak akan benarkan. Kamu ni tak beradap dan tak tahu adat. Mak Siah tak suka.”
“Umi...”
Mata Mak Siah mencerlung ke arah anak perempuannya pula. “Apa umi umi? Umi ni dah tak penting sangat ke dalam hidup kamu sampai kamu sanggup berpakat dengan Zuhayr dan ketepikan umi?”
“Bukan macam tu, umi.” Ayuni dah sebak.
“Bukan apa? Diam-diam kamu merancang dengan Encik Zul. Lepas tu kamu suruh dia datang dan konon minta restu tapi macam dah nekad sangat. Dah gatal sangat ke kamu ni, Ayuni?” Mericau mulut Mak Siah marahkan anaknya.
“Umi, Ayu sayang Encik Zul. Kami nak kahwin. Salah ke, umi?”
“Nak kahwin tu tak salah. Cara tu yang tak betul.”
Zuhayr tiba-tiba melutut di hadapan wanita tua itu. “Tolong benarkan kami kahwin, Mak Siah. Saya janji saya akan jaga Ayu dengan baik. Saya yakin saya boleh jadi suami yang baik. Percayalah.”
Ayuni turut melutut di hadapan ibunya. “Umi, tolong izinkan kami kahwin, umi. Ayu nak jadi isteri Encik Zul, umi.”
Mak Siah mendengus. Geram benar dia melihat gaya gedik dua insan yang menggelitis nak kahwin. Macam tak menyempat. Macam tak sabar sangat.
“Sebut nak kahwin tu mudah, Encik Zul. Tapi nak jalankan tanggungjawab bila dah kahwin tu nanti yang Mak Siah risaukan. Belum kahwin memang boleh cakap macam-macam. Tapi bila dah kahwin nanti lain pula jadinya terutama bila kahwin tergesa-gesa. Banyak masalah akan timbul nanti.”
“Umi, tak akan ada masalah punya.”
“Ya Allah! Ayu, mana boleh kamu cakap macam gitu!”
Ayuni menekur kena marah.
Zuhayr pula semakin nekad. Renungan Mak Siah yang garang tak dipedulikan ketika dia memberitahu. “Saya dah uruskan semua, Mak Siah.”
“Apa yang kamu dah uruskan?”
“Majlis nikah kami, kita buat di masjid saja. Saya dah tempah pada 7 haribulan Januari. Lepas nikah, ada makan-makan sikit di pekarangan masjid untuk lebih kurang tiga puluh orang. Habis makan, selesai. Ringkas saja.”
“Astaghfirullah al‘azim.” Berkaca sepasang mata Mak Siah ketika beralih memandang anak perempuannya. “Ayu, jangan cakap pada umi yang kamu dah tahu dan dah setuju dengan rancangan Zuhayr ni?”
“Umi, Ayu memang nak majlis ringkas macam tu. Asalkan Ayu dapat kahwin dengan Encik Zul, Ayu dah cukup gembira.”
Mak Siah urut dada. Tak sangka mendengar pengakuan Ayuni yang begitu. Geram sungguh rasanya.
“Kamu anak sulung umi, Ayu. Dalam kepala umi ni, ada macam-macam impian untuk kamu waktu kamu nak kahwin nanti.”
“Tapi, umi...”
“Umi nak tengok kamu naik pelamin, bersanding depan semua ahli keluarga dan saudara-mara kita. Umi nak tengok jari-jemari kamu tu merah diinai. Umi nak buat majlis khatam Quran untuk kamu. Tapi kamu? Kamu dah tak menyempat-nyempat. Baru aje kenal dah gedik nak menikah. Umi sedih kamu buat umi macam ni, Ayu. Kamu tahu tak?”
Ayuni cuba memeluk ibunya namun Mak Siah tepis tangannya. Dalam rasa kecil hati, Ayuni merayu untuk ke sekian kali. “Umi, tolong faham hati Ayu. Please!”
Rasa hendak menitis air mata Mak Siah mendengar rayuan anak dara sulungnya itu. Saat ini dia tahu dan yakin bahawa apa juga yang dia kata, Ayuni sudah tak mahu dengar. Ayuni sedang mabuk asmara. Fikirannya dicemari dengan cinta, cinta dan cinta sehingga tak mampu berfikir dengan baik lagi dah. Halang dan lakukan apa sahaja, semua tidak akan memberi guna. Kalau silap perhitungan, dua insan ini mungkin akan kahwin lari malam ini.
Kecewa hati tua Mak Siah, tidak terungkap. Tidak terluahkan!
Ayuni anak sulungnya. Meskipun Ayuni tidak belajar tinggi seperti tiga lagi adik-adiknya, Ayunilah selama ini yang jadi tonggak keluarga selepas suaminya meninggal dunia. Ayuni yang membantu dia berniaga. Ayuni yang menolongnya memasak di gerai. Yang sentiasa bersama-samanya selama ini. Nak harapkan anak-anaknya yang lain, mereka itu terlalu sibuk dengan pelajaran.
Bukan begini mahunya. Bukan begini cara dia hendak melihat Ayuni bernikah. Bukan!
Nafas dihela panjang. Wajah Zuhayr dipandang. “Encik Zul, apa yang kamu dah sediakan untuk anak Mak Siah ni?”
“Maksud, Mak Siah?”
“Apa perancangan kamu selepas kamu berdua kahwin nanti? Macam mana kau orang nak hidup? Apa yang...”
“Pasal tu Mak Siah jangan risau. Saya dah ada sebuah rumah pun. Lama dah saya beli rumah tu dan sekarang ni rumah tu dah lengkap dengan perabot. Ayu hanya bawa diri dia aje masuk ke rumah saya tu nanti.”
Nampaknya memang tak ada harapanlah Mak Siah kalau dia mahu Ayuni terus tinggal bersamanya selepas nikah. Ayuni akan berpindah mengikut suami. Anak-anak yang lain tinggal di asrama dan jarang balik. Maka dia akan tinggal seorang diri dalam rumah ini.
“Umi...”
Mak Siah mendongak. Tepat renungannya ke wajah Ayuni.
“Encik Zul tanya tu.”
Renungan Mak Siah beralih ke arah Zuhayr. “Apa dia?”
“Mak Siah marah?”
“Nak marah pun tak guna sebab kamu dah pandai buat keputusan sendiri, kan? Dah tak sabar-sabar sangat, iya tak?”
Terdiam Zuhayr dan Ayuni mendengar sindiran itu.
“Bawa mak dan ayah Encik Zul datang jumpa Mak Siah. Kalau boleh, dalam minggu ini juga. Banyak yang kami perlu bincangkan.”
“Baik, Mak Siah.” Zuhayr sudah berdiri. Misi terlaksana dan dia mahu pulang.
“Nak datang nanti, bagi tahu. Boleh Mak Siah masak sedap-sedap sikit.”
Zuhayr sengih hingga ke telinga. Namun tidak disahut kata-kata wanita itu. Dia kemudian meminta diri.
“Jom, Mak Siah temankan kamu ke kereta.”
“Baik.”
Zuhayr pandang wajah ceria Ayuni sambil beri isyarat yang dia akan menelefon gadis itu nanti.
Tiba di kereta, Mak Siah bersuara lagi. “Kalau ikut hati, Mak Siah tak akan setuju dengan rancangan kamu ni, Encik Zul. Mak Siah terpaksa sebab anak Mak Siah nampak gembira sangat tadi. Pastikan Encik Zul jadi suami yang baik untuk Ayu. Jangan sia-siakan dia selepas kamu kahwin nanti. Faham?”
Zuhayr angguk. “Jangan risau pasal tu, Mak Siah.”
Mereka berpamitan. Tak lama kemudian kereta Honda City milik lelaki itu berlalu meninggalkan kawasan PPR Laksamana.
Ketika berhenti di hadapan lampu isyarat tidak jauh dari flat, Zuhayr keluarkan telefon dari dalam poket seluar. Nombor seseorang dicari. Dia kemudian menekan aksara. Satu demi satu sehingga menjadi ayat yang dibaca berulang kali sebelum butang send ditekan.
Wajah pamer kepuasan sebaik sahaja dia melihat dua tanda tick berwarna biru di atas skrin. Yang membawa maksud, si penerima sudah membaca apa yang ditulis.
 ~ I dah sahut cabaran you. You nak I kahwin, kan? So sebulan lagi, you akan tengok I kahwin dengan gadis pilihan I. Putihlah mata you tengok kami kat atas pelamin nanti. ~
------------
bersambung :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.