Follow Us @soratemplates

19.4.17

Random Teaser 2 Di Taman Larangan

April 19, 2017 0 Comments


“Takkan sebab hal remeh macam ni pun awak nak bertekak dengan mama? Sebab itu mama marah dengan awak, Ayu. Bencikan awak. Awak tak pandai nak ambil hati mama langsung.”

Rasa nak menangis apabila kena herdik dengan suami sendiri di tempat awam. Zuhayr tinggikan suara kepadanya tanpa sedikit pun peduli di mana mereka sedang berada. Bagi Zuhayr, dia yang bersalah. Tidakkah lelaki itu nampak riak puas hati Puan Hanita ketika ini?

“Kan mama selalu cakap, isteri kamu ni bukannya tahu nak berbaik dengan mama. Yang dia tahu, setiap kali mesti dia nak menyakitkan hati mama ni. Dahlah, Zul. Malas mama nak bertekak lagi. Pergilah bawa isteri kamu ni balik. Tinggalkan mama dengan aunty kamu di sini. Pergi!” 

Puan Hanita cuba ambil beg-beg yang sedang dipegang Zuhayr. Merajuklah konon. 

Zuhayr sakit hati yang teramat sangat dengan Ayuni. Pertama, kerana Ayuni menjawab. Kedua, kerana Ayuni menyebabkan mama merajuk. Ketiga, kerana Ayuni bersikap kurang ajar. Lantas dia tarik tangan Ayuni agar berdiri jauh sedikit daripada mama dan Aunty Zana. Not ungu RM100 dikeluarkan dari wallet. Wang itu diletak dalam genggaman Ayuni. 

“Pergi balik." 

“Abang?” Ayuni rasa nak menangis dah ni.

Tangan Ayuni ditepis dan Zuhayr segera mendapatkan mamanya. “Jom, mama!”
-----------------
terima kasih kepada yg sudi baca. muahhh...

dapatkan novel Di Taman Larangan hasil nukilan Ana Sofiya, k! Dah ada di Popular dan MPH. jom rebut!

16.4.17

Random Teaser 1 Di Taman Larangan

April 16, 2017 0 Comments

Psst! Saya suka membayangkan Ungku Ismail sebagai Hud dalam Di Taman Larangan. Saya rasa dia amat sesuai untuk watak Hud yang tegas dan berkarisma. Anda suka tak?
----------------------------------
#randomteaser
#DiTamanLarangan
#novelterbaruAnaSofiya
#Penulisan2u
------------------
"Kenapa awak baik sangat pada Ayu, Hud?”
Soalan yang buat hati Hud jadi tak menentu.
“Pelik betul dunia ni. Yang sepatutnya mengambil berat, buat derk. Yang tak berkenaan, sibuk nak tahu pasal Ayu.”
Hud senyum dengar leteran Insyirah itu. Apabila berbalas renung dengan Wadi, senyumnya mati. Cepat-cepat dia toleh ke lain.
“Sekarang ni Ayu tengah tidur. Dia tak apa-apa dah. Awak janganlah risaukan dia sangat, Hud.”
“Alhamdulillah, lega saya dengar. Tapi, kalau dia demam atau sakit, cepat-cepat beritahu saya, Syira.”
“Awak nak buat apa kalau saya beritahu awak?”
“Saya...”
Insyirah dah ketawa di hujung talian. “Awak panik ya dengar soalan saya, Hud? Relakslah, saya gurau aje.”

Hud tarik nafas penuh lega.
---------------
andai anda dah tergerak hati nak beli, tekan saja aplikasi Karyaseni pada telefon pintar anda, k! ada diskaun RM3 untuk novel dan postage adalah percuma.

13.4.17

Di Taman Larangan - Bab 5

April 13, 2017 0 Comments


Sebaik sahaja Zuhayr dan keretanya meninggalkan dia, Ayuni segera menutup pintu pagar. Dia hendak masuk. Dalam sedih dengan sepasang mata yang berkaca, dia tundukkan wajah sambil berjalan. Tanpa sedar dia terlanggar sesuatu.
“Mata kau di mana cik kak oi?”
Ayuni terkejut. “Syira? Apa kau buat kat tengah pintu ni? Bukan tadi kau dekat dapur ke?”
“Aku tengok kaulah, beb! Nak tengok muka kawan baik aku yang kena tinggal dengan suami dia pada hari dia sambut anniversary. Kesian dia, tau!”
“Nak buat macam mana, beb. Dah nasib aku.” Ayuni elak renungan Insyirah.
“Apa yang kau fikir sampai jalan menunduk macam tu? Kau sedih sebab Zul pergi ke rumah mama dia, ya?”
Sebak mendengar soalan itu, Ayuni toleh pandang pokok bunga. “Eh, kau masuklah. Aku nak jirus pokok bunga aku kejap.”
“Tunggu! Kau mari sini, Ayu. Aku nak cakap.”
“Cakap ajelah. “ Ayuni masih tak menoleh ke arah Insyirah.
“Ayu, kau menangis ya? Sebab itu kau tak nak tengok muka aku. Kau takut aku nampak, kan?”
Ayuni geleng. “Taklah, Aku tak menangis.”
Insyirah sudah berdiri di hadapan Ayuni. “Yang kau nak bohong aku ni, apasal? Mata kau dah merah. Kalau tak menangis, tu apa? Masuk habuk?”
“Aku sedih sikit aje. Tak ada apa-apalah. Jangan risau.”
“Ini yang aku rasa macam nak maki aje suami kau tu. Langsung tak reti nak jaga hati dan perasaan kau. Yang dia tahu, sikit-sikit mama dia. Sikit-sikit mama dia. Kalau dia berhenti lama tadi, memang aku nak mengamuk dah. Bukan apa, aku nak sedarkan dia yang langsung tak tahu nak hargai diri kau. Kau tu bukan orang lain. Kau isteri dia, kut!”
“Entahlah, Syira. Aku tadi pun tak sempat nak bercakap dengan dia. Lepas aku masukkan mangkuk tingkat tu dalam but kereta, dia terus blah.”
“Suami kau tu dah masuk kumpulan mangkuk hayun, Ayu.”
 “Kau ni kalau pasal nak gelarkan orang... Dah, dah! Jom masuk! Bahaya sembang kat luar dengan pintu pagar tak berkunci sekarang ni. Orang jahat banyak berkeliaran, tahu tak? Karang tak pasal mereka nampak kita kat sini, mereka terus datang nak samun kita. Eee, nauzubillah. Takut aku! Jom!” Ayuni segera menolak badan Insyirah untuk masuk. Laju daun pintu ditutup dan dikunci. Berasa lega setelah berada di dalam rumah.
Insyirah tahu yang Ayuni sengaja beralih topik kerana tidak mahu dia mengutuk Zuhayr. Namun, hatinya belum puas. Melihat Ayuni menangis tadi, dia berasa geram benar dengan lelaki itu.
“Selalu ke Zul balik ke rumah mak bapak dia, Ayu?” Insyirah sudah tidak sabar-sabar hendak tahu.
“Sekarang ni memang kerap. Kadang-kadang, dia singgah di sana dulu baru balik ke rumah ni. Siap dinner dengan mama dan papa dia pula tu.”
“Dah kenapa pula macam tu?”
Ayuni jongket bahu.
“Kau tak marah Zul? Kau biarkan aje dia makan malam dengan mama dan papa dia? Yang kau dekat sini makanlah dengan Eisya aje. Kau ni dah macam akulah pula. Macam ibu tunggal!”
“Syira!”
“Bersuaralah sikit. Tegur suami kau tu...”
“Gila kau? Macamlah kau tak tahu hubungan aku dengan mama Zul tu. Nanti kalau dia tahu aku halang Zul pergi ke rumah dia, mengamuk lagilah dia dengan aku.”
Insyirah kerutkan hidung. “Dah lapan tahun, beb! Tak berubah juga ke lagi perangai dia? Dia masih benci kau?”
Ayuni lepaskan keluhan. Kepala digeleng. “Pagi tadi dia telefon aku.”
“Apahal? Dia nak ucap happy birthday pada kau ke? Atau nak wish, happy anniversary?”
“Orang tua tu nak wish apa ke benda?” cebik Ayuni.
“Habis tu? Dia nak apa call kau?”
“Macam biasa. Dia sembur aku. Dia cakap, aku ni bukan menantu yang dia pilihlah, bukan menantu yang dia sukalah. Dia benci akulah. Yang paling tak menahan, dia cakap... dia dah ada calon menantu baru untuk Zul dan dia yakin, tak lama lagi Zuhayr pasti akan tinggalkan aku.”
“Biar betul, beb! Dah kenapa dengan orang tua tu? Meroyan?” Insyirah bengang.
“Yang kau terkejut sangat apasal? Dia memang sentiasa meroyan setiap kali dia telefon aku.”
“Teruk betul! Dia asyik nak cari pasal dengan kau aje.”
“Tahupun kau!”
“Tahu. Sebab itu aku tak sedap hati dengar ayat dia yang terakhir tu. Tak best langsung bunyinya. Dia dah ada calon menantu baru untuk Zul? Dia yakin, tak lama lagi Zul akan tinggalkan kau? Rasa macam dia tengah rancang sesuatulah, Ayu.”
Kalau Insyirah tak highlightkan kepadanya, Ayuni sendiri tak memikirkan perkara itu. Kini, setelah memahami, dia jadi risau. Wajah Insyirah ditatap. “Yalah, Syira. Kenapa dia cakap macam tu?”
Insyirah geleng. “Zul tahu tak pasal ni?”
“Tahu tentang apa? Yang mama dia tak suka aku?”
“Bukan. Yang itu, aku yakin Zul pun tahu. Ni pasal yang mama dia cakap tadi tulah.”
Ayuni angkat bahu. “Entahlah, Syira.”
“Kau jangan, Ayu. Jangan duk pendam sendiri apa aje yang orang tua tu dah cakap dan buat pada kau. Kau kena beritahu Zul perangai mama dia tu.”
“Kau nak aku cakap apa, Syira? Zul sanjung mama dia setinggi langit. Tiba-tiba aku nak kutuk orang tua tu depan dia? Mahu makan penampar pipi aku ni nanti.”
“Tapi, Ayu. Kalau kau tak cakap apa-apa dan Zul pula selalu duk pergi tidur baring kat rumah orang tua tu, lama-lama nanti kepala otak Zul pula yang akan dibasuhnya. Tahu-tahu aje satu hari nanti, Zul pun sama bencikan kau.”
Ayuni kelu lidah. Hanya matanya bulat memandang wajah Insyirah. Dalam hati, macam-macam kelakuan pelik Zuhayr timbul.
Mungkin betul apa yang Insyirah cakap. Sejak dua menjak ini ada-ada saja yang tak kena di mata Zuhayr. Tentang diri dia... Zuhayr cakap muka dia pucatlah, rambut dia serabutlah, dia tak bergayalah. Lepas tu Zuhayr selalu cari salah dia. Apabila balik saja mesti cakap, rumah serabutlah, berhabuklah, bersawanglah...
Ya! Zuhayr dah mula mencari kesalahannya. Ada sahaja yang mahu ditegur. Agaknya Puan Hanita cucuk dia tak? Dalam diam, mama mentuanya sudah pun berjaya meracuni fikiran encik suami? Siapa tahu?
Dia menggeleng. Cuba menolak segala prasangka ke tepi. Wajah Insyirah yang tengah berkerut tengok dia ditatap bersama senyuman yang tak berapa menjadi.
“Ayu, kalau sampai dia dengan bangga cakap dia dah ada calon baru untuk suami kau, kau dah patut risau. Kau dah patut halang Zul daripada kerap balik ke rumah mama dia. Dah patut risik apa yang dia buat di sana, tahu tak?”
Ayuni lepaskan keluhan. “Dahlah, Syira. Kita stop cerita pasal mama Zul, please. Aku tak mahu fikir tentang dia lagi.”
Insyirah tak puas hati. Dia dapat rasa yang Ayuni sedang sembunyikan sesuatu daripadanya. “Ayu, aku tahu aku tak layak beri nasihat pada kau. Aku ni balu. Nak cerita pasal mak mentua pun aku tak pandai sebab aku dulu kahwin dengan anak yatim. Arwah Uzair tu macam aku juga. Mak ayah kami dua-dua pihak dah mati masa kami kecil. Kau pun tahu pasal tu, kan?”
Ayuni angguk. Masakan dia tak tahu sedangkan Insyirah kawan dia sejak mereka masuk ke sekolah menengah lagi.
“Tapi, aku dah banyak baca dan dengar kisah rumah tangga ni. Banyak dah pasangan suami isteri yang bercerai-berai akibat campur tangan mentua dalam hubungan mereka. Aku takut nanti kau termasuk dalam kumpulan yang malang tu.”
“Aku malang sebab dapat mentua yang bencikan aku. Tak tahulah kenapa dia bencikan aku sangat. Nak kata dia pandang hina sebab aku ni dari keluarga yang miskin, Zul dengan mak dia tu pun bukannya millionaire. Setakat orang senang aje, kan?”
“Nak jadi penyombong ni Ayu, tak semestinya kau jadi jutawan. Di luar sana, ada aje jutawan yang pemurah, baik dan langsung tak meninggi diri dengan orang. Tapi, ada juga orang yang perasan kaya, yang berjalan atas bumi Allah ni dengan anggapan dia sentiasa lebih daripada orang lain. Mama mentua kau, macam tulah.”
“Dia asyik tuduh aku ni perampas.”
“Tak habis-habis lagi pasal tu?”
Ayuni geleng. “Tak pernah habis. Dia asyik cakap, kalau tak disebabkan aku, Zul tak akan tinggalkan girlfriend dia yang nama Azilah tu. Berkali-kali dah aku bagi tahu dia, aku tak kenal pun siapa Azilah tu. Oh, dia tak boleh terima. Dia cakap, aku tipu. Dia cakap, aku yang dah buat Zul terpedaya dan tinggalkan perempuan tu. Berbelit-belit! Macam main wayang pun ada.”
“Dan, macam biasa... Zul tak pernah pertahankan kau. Betul tak?”
“Zul nak bela aku? Memang taklah!”
Insyirah mendengus. “Cakap pasal mereka anak beranak, memang buat aku sakit hati sangat-sangat. Rasa macam nak...”
“Dah, dah! Tak payah cakap lagi. Cukuplah! Baik kita berhenti. Nanti kita sama-sama naik darah. Orang tua tu sihat walafiat, kita berdua masuk wad.”
“Kesian kau, Ayu. Nak tumpang kasih mentua pun tak boleh. Yang umi kau pula, apahal? Tak nak balik ke sini dah ke?”
“Dia telefon aku malam tadi. Selain ucap selamat pada aku, dia beritahu yang adik aku dah bosan duduk di UAE. Sekarang ni kak ngah tengah duk cari kerja kosong di KL. Ada rezeki, mungkin hujung tahun ni nanti mereka balik menetap di sini semula.”
“Alhamdulillah. Baguslah kalau umi balik. Apa-apa jadi pada kau, dia ada.”
“Uisy, janganlah doakan aku yang bukan-bukan.”
Ops, sorry beb.”
Tangan Insyirah digenggam. “Tak payah nak minta maaflah, beb. Kau kawan aku dunia akhirat. Aku patut ucap banyak-banyak terima kasih pada kau. Kau sentiasa ada untuk aku.”
Orait. Cuma ada satu pesanan lagi.”
“Apa dia?”
“Kalau lain kali mama Zuhayr call dan kutuk kau, jangan lupa update aku, tau.”
“Cis! Ingat apalah tadi. Penyibuk!”
Ketawa mereka terhenti apabila dua tubuh kecil berlari mendapatkan mereka. Amir, anak lelaki Insyirah dan Eisya, anak Ayuni. Mereka sebaya dan amat rapat sekali. Bagaimanapun, sekarang tak nampak keakrabannya. Yang pasti, Eisya sedang menangis. Sedang teresak-esak.
“Ibu, mami! Tengok Amir ni! Dia jahat!”
Insyirah dah cekak pinggang. Matanya tajam ke arah Amir yang sudahpun berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu. “Amir, kamu buat apa kat Eisya sampai Eisya mengadu ni?”
Amir sengih.
“Amir baca apa yang Eisya tulis untuk ibu.” Eisya dah mengongoi. Sedih sangat apabila kad ucapannya dicerobohi oleh orang yang tak berhak. 
“Amir, kamu baca kad ucapan Eisya?”
Terkebil-kebil mata Amir memandang ibunya.
Insyirah pulas sedikit telinga kiri Amir. “Apasal kamu baca apa yang Eisya tulis?”
“Amir... Amir nak tahu apa Eisya cakap kat ibu.”
“Eee budak ni...”
“Dahlah tu, Syira. Lepaskan telinga Amir. Sakit budak tu kau buat.” Ayuni menegur. Puas hati apabila Insyirah mengenepikan tangannya daripada telinga Amir.
 “Ibu, mami, Eisya tak nak kawan dengan Amir dah.”
Suara Eisya menyebabkan Ayuni dan Insyirah saling memandang. Senyuman yang mahu hadir segera ditahan demi melihat wajah merah Eisya.
“Amir, cepat minta maaf pada Eisya.” Insyirah suruh.
“Tapi...”
“Kalau tak nak kena cubit, cepat minta maaf.”
Amir dekati Eisya. “Awak, kita minta maaf.”
Eisya diam. Mukanya masam. Bibirnya muncung panjang. Marah lagilah tu.
Ayuni segera duduk bersila di hadapan Eisya dengan niat mahu memujuk. “Eisya, meh duduk atas riba ibu.”
Eisya menurut tanpa suara.
“Anak ibu baik, kan?”
Eisya angguk.
“Kalau macam tu, anak ibu kena maafkan Amir. Nak tahu kenapa?”
Eisya angguk lagi.
“Sebab orang yang baik sentiasa maafkan kesalahan orang lain.”
“Tapi...”
“Apa yang ibu selalu pesan pada Eisya setiap malam sebelum Eisya tidur? Eisya dah lupa ya?”
“Tak, ibu. Eisya ingat. Ibu cakap, setiap hari kita mesti minta ampun pada Allah. Lepas tu ibu suruh Eisya cakap pada Allah yang Eisya minta Allah kasi tahu orang yang Eisya buat salah supaya orang tu maafkan Eisya dan Eisya pun maafkan semua orang yang buat salah dengan Eisya juga.”
“Alhamdulillah. Anak ibu ingat apa yang ibu ajar. Jadi, sekarang Eisya kenalah maafkan Amir.”
“Baik, ibu.” Eisya bangun mendapatkan Amir yang sedang dipeluk oleh Insyirah. “Amir, kita maafkan awak.”
“Okey!”
Insyirah cekak pinggang. “Amir, takkan cakap okey aje. Say thank you pada Eisya.”
“Amir sengih. “Thank you, Eisya.”
“Hmm, macam tulah. Dah, pergi basuh tangan. Kita nak makan. Lepas makan kita solat sama-sama. Nak tak?”
“Nak!” Dua kanak-kanak itu bersorak riang sebelum berlari ke singki untuk membasuh tangan.
“Kau ni memang pemaaf, ya? Kalau orang buat salah pada kau, lepas tu dia minta maaf, mudah aje kau akan maafkan dia. Betul?”
“Biasalah, Syira. Bagi nasihat, senanglah. Tapi kalau kena kat diri sendiri, aku tak tahulah sama ada aku boleh senang-senang nak maafkan orang yang dah buat salah dengan aku.” Tiba-tiba Ayuni ketawa apabila mengenang perangai Eisya dan Amir tadi.
“Gelak kenapa?” Insyirah terpinga-pinga.
Cepat-cepat Ayuni geleng. “Saja nak gelak tengok gelagat anak-anak kita tu tadi.”
Insyirah pun terjangkit sama. “Hmm, bakal menantu aku tu kecil-kecil lagi dah pandai merajuk. Jenuhlah Amir nak kena belajar cara-cara memujuk si Eisya tu nanti.”
“Tak apa, aku ada. Tahulah aku macam mana nak ajar bakal menantu aku tu macam mana nak pujuk Eisya nanti.”
Masing-masing menyengih apabila mengenangi impian masa hadapan. Memasang angan agar satu hari nanti mereka boleh berbesan. Semakin merapatkan ikatan persahabatan yang sedia terjalin ini.
“Eh, jom kita makan. Dah lapar ni.”
“Alamak, kena makan lagi ke? Perut aku dah penuh ni.”
“Makanan ada lagi tu. Nak tapau bawa balik pun boleh.”
“Dah makan, suruh bawa balik pula?”
“Eleh, buat-buat tanya konon. Padahal kau suka kalau kau tak payah masak esok, kan?”
“Memanglah suka cuma kau kenalah doakan aku supaya aku tak lupa dan biarkan lauk-lauk yang kau bekalkan tu dalam but kereta, okey!”
“Eee, janganlah! Busuk tupperware aku tu nanti.”
“Baiklah, puan. Kau ni dah macam mak neneklah, Ayu. Asyik berleter aje.”
“Eleh, orang bagi nasihat dia cakap kita berleter pula.”
“Malam ni biar aku bawa Eisya balik ke rumah aku. Kau nanti boleh berehat sementara tunggu Zul balik.”
“Entah balik entah tidak dia malam ni.”

Mereka berbalas pandang. Ada resah menggamit di dalam hati.
---------------------
wahai rakan pembaca sekelian,
ini adalah entri terakhir untuk Di Taman Larangan. Selepas ini saya akan hanya masukkan teaser sahaja, okey! kepada yang ingin membeli, sila buat belian secara online dengan Penerbitan Karyaseni atau Penulisan2u dengan menggunakan aplikasi google play /store pada telefon pintar anda. ataupun boleh dapatkan terus daripada kedai-kedai buku berhampiran tempat anda juga dah ada. 

selamat membaca ya! harap suka. maafkan atas segala kekurangan.

Ana Sofiya

12.4.17

Di Taman Larangan - Bab 4

April 12, 2017 0 Comments
Sepasang mata lelaki itu masih terarah kepada deretan rumah setingkat di hadapannya. Tekun dia memerhati. Dalam hati dia menitip doa agar seraut wajah jelita itu muncul di hadapannya. Biarlah hanya dari jauh untuk dia pandang, itu pun sudah memadai baginya.
Hamid tekun merenung muka encik bos melalui cermin pandang belakang. Keningnya terangkat apabila nampak lelaki itu senyum secara tiba-tiba. Kalau nak tengok encik bos senyum, memang di sinilah tempatnya. Kalau di ofis, jangan harap. Muka lelaki ini tak akan selembut sekarang.
Hamid nak ambil peluang ini untuk berbual dengan encik bosnya. “Tuan, boleh saya tanya sikit?”
Soalan itu menyebabkan encik bos tumpukan perhatiannya kepada Hamid. “Apa dia?”
“Ma... maaf, tuan. Saya bukan nak menyibuk.”
“Cakap ajelah!”
“Err...”
“Apahal ni, Hamid?” Suara tegas encik bos memenuhi ruang.
Hamid sengih sambil garu kepala. Habis rambut yang tadi elok tersisir, jadi serabut. “Saya cuma...”
“Cuma apa?”
“Janganlah marah, tuan. Saya cuma nak tahu kenapa tuan selalu ajak saya datang sini. Tu aje.”
“Saja.”
Jawapan yang cukup ringkas tetapi tetap menyebabkan Hamid berasa tak puas mendengarnya.
“Takkan saja kut, tuan.”
“Saya dah jawab soalan kamu. Apa yang kamu tak puas hati?”
“Bukan apa, tuan. Sejak saya kerja dengan tuan, tiap-tiap kali tuan habis kerja, tuan mesti suruh saya memandu ke sini sebelum balik ke rumah. Bila sampai, tuan tak turun pun. Tuan cuma duduk dalam kereta aje. Lepas tu, tuan ajak saya balik. Tu yang buat saya keliru, tuan.”
“Saya menyusahkan kamu ke?”
Hamid geleng.
“Habis tu?”
“Puan Sarah tanya pasal tuan jadi saya terpaksa beritahu dia apa yang tuan buat ni.”
Lelaki itu mengeluh. Ada rasa tak puas hati terlontar bersama keluhan itu.
“Jadi, kamu tanya ni sebab mak saya suruh? Mak saya cuba korek rahsia saya daripada kamu ni.”
“Tuan marah?”
“Kalau kamu, kamu suka orang selidik hal kamu?”
Hamid sengih.
“Seronoklah kamu dapat bergosip dengan mak saya, ya?”
“Bu.. bu.. bukan macam tu, tuan.” Hamid dah cuak melihat rahang encik bos yang sedang turun naik. Wajah lelaki itu pun nampak marah. Buatnya melenting nanti, jenuh dia jadi mangsa.
“Dah. Tak payah nak tergagap-gagap. Jom balik.”
“Tapi tuan, tuan belum jawab soalan saya lagi.”
“Kamu nak saya jawab soalan kamu atau kamu nak saya pecat kamu. Mana satu?”
Pucat terus muka pemuda bernama Hamid itu. Cepat-cepat enjin kereta dihidupkan semula. Dia enggan dipecat. Biarlah dia tak tahu rahsia tuannya, tak apa. Itu lebih baik daripada menjadi penganggur.
“Ingat, Hamid! Ini amaran pertama dan terakhir. Jangan ambil tahu perkara yang tak ada kaitan dengan diri kamu. Faham?”
“Faham, tuan.”
“Lagi satu, jangan nak bergosip dengan mak saya. Kalau dia tanya kamu apa-apa pasal saya, suruh dia tanya saya aje.”
“Baik, tuan.”
“Ingat! Saya bos yang bayar gaji kamu. Ikut cakap saya dan patuh arahan saya. Faham?”
Hamid angguk. Gear N ditukar ke gear D. Baru nak tekan clutch, encik bos suruh Hamid berhenti pula.
“Kenapa, tuan?”
Lelaki itu tidak menyahut. Hanya matanya terpaku ke hadapan. Ke arah seorang wanita yang baru saja keluar dari salah sebuah rumah. Wanita itu berdiri di luar pintu pagar rumahnya. Di tangan wanita itu ada mangkuk tingkat.
“Dia nak bagi siapa mangkuk tingkat tu?”
“Apa dia, tuan?”
Lelaki itu mengeluh. Namun tidak disahut soalan Hamid. Sebaliknya dia masih menumpukan perhatiannya kepada wanita itu.  
Tidak lama kemudian, sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan wanita itu. Kening lelaki itu terangkat kerana dia kenal benar dengan si pemandu. Siapa lagi kalau bukan suami wanita itu sendiri. Zuhayr!
Dia melihat wanita itu memasukkan mangkuk tingkat itu ke dalam ruang but kereta. Sebaik sahaja but ditutup, Zuhayr terus saja memecut meninggalkan wanita itu terpinga-pinga sendiri.
“Apa hal pula tu?” bibirnya menyoal. Dia hairan. Pertama, kerana kereta itu dipecut laju oleh Zuhayr dan kedua kerana sekarang ini wanita itu cuba menarik hujung tangan baju kurungnya untuk mengelap air mata.
Matanya terpaku. Menanti kereta itu melintasinya. Dahinya turut berkerut.
“Kenapa Zuhayr tinggalkan dia? Zuhayr nak ke mana? Tak raikan birthday girl ke? Tak sambit anniversary sama-sama ke?” Bertubi-tubi soalan itu meniti bibirnya.
“Tuan cakap apa?”
Dia dongak pandang wajah Hamid di hadapannya. Hamid sedang merenung dia dengan muka penuh hairan.
“Apa?” soalnya garang.
“Tadi tuan cakap...”
“Jangan menyibuk hal saya, Hamid!”
“Baik.”
Hamid segera memandang ke hadapan, menunggu arahan tuannya yang angin semacam.
Di belakang, lelaki itu masih keliru. Hatinya masih tertanya-tanya. ‘Kenapa Zuhayr buat begitu? Mereka kelahi ke? Kalau gaduh, apa isunya?’
Tiba-tiba kepalanya rasa berdenyut. Jari laju memicit. Hailaa, macam mana kepala tak sakit? Dia asyik fikirkan masalah pasangan suami isteri itu.
“Tuan! Tuan tak apa-apa ke?”
Lelaki itu tersentak. Dia berasa terganggu dengan sikap Hamid.
“Kenapa kamu tak jalan lagi?”
“Erk, saya tunggu tuan suruh.”
Allah! Susah betul dapat pemandu yang lurus bendul macam Hamid ni, dengusnya.
“Dah! Jangan banyak bunyi. Jalan sekarang!”
“Baik, tuan.”
“Penyibuk!” Mulut lelaki itu mengomel namun hati berasa semacam. Terutama ketika teringat muka Zuhayr tadi. “Masam betul muka dia. Kelahi dengan Ayunilah agaknya tu. Sampai langsung tak masuk ke rumah. Hesy, apa punya suamilah si Zuhayr tu? Ada ke patut dia tinggalkan Ayuni hari ni? Dia lupa ke hari ini hari apa? Kalau akulah, aku dah bawa Ayu tu pergi honeymoon. Tahu tak?”
Duduk dibetulkan. Mata dipejam rapat-rapat. Enggan lagi memikirkan tentang pasangan suami isteri itu.
Dada Hamid berdebar-debar melihat wajah tuannya dalam cermin pandang belakang. Tuannya nampak kusut. Nampak serabut. Nampak macam sedang memikirkan masalah yang sangat besar. Tiba-tiba, dalam keadaan matanya yang pejam itu, boleh pula encik bosnya senyum bukan main lebar lagi. 
‘Hai, aku ni bekerja dengan siapa? Betul ke cakap-cakap orang yang aku dengar selama ni? Betul ke tuan aku ni... psiko?’
Hamid risau. Macam-macam yang difikirkannya.
‘Buatnya dia cekik aku karang, habis aku. Mati dan tak sempat kahwin pula nanti.’
“Jangan duk jeling saya, Hamid. Drive tu kasi elok-elok sikit! Tumpukan perhatian kat atas jalan tu!”
Hamid kena tengking lagi. Dia menikus. Tak berani lagi hendak mengintai encik bos. Tumpuannya kini hanya kepada pemanduan.
Lelaki itu tak betah. Kepalanya masih memikirkan tentang Ayuni.

“Harap-harap dia okey. Harap-harap dia tak bazirkan air mata untuk lelaki itu,” gumamnya perlahan. 

11.4.17

Di Taman Larangan - Bab 3

April 11, 2017 0 Comments
Zuhayr sudah pun pergi tetapi Ayuni masih bersandar di daun pintu. Memejamkan mata memikir resah hati.
Terasa sepi.
Terasa dingin.
Terasa dengan sikap tak peduli seorang lelaki bergelar suami.
Rasa kecewa datang lagi untuk kesekian kali. Beria-ia dia sediakan juadah untuk meraikan hari yang hadir setahun sekali dalam hidup tetapi setiap kali jugalah rasa bahagia itu ditepis oleh suaminya.
Sejak dari hari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama sehinggalah kepada kali ini, sudah lapan tahun dia meraikan hari istimewa ini tanpa Zuhayr. Tak tahu kenapa setiap kali pada tarikh 7 Januari, lelaki ini mesti menghilangkan diri dari rumah.
Bagi Ayuni, kalau Zuhayr tak mahu ucap selamat hari jadi kepadanya atau Zuhayr enggan bisik ‘selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan kita’ di telinganya, tak apa. Yang dia harap ialah Zuhayr ada bersamanya. Duduk bersama, makan sama-sama, senyum dan ketawa sama-sama. Dia tak minta banyak, kan? Hadiah pun dia tak mahu. Kehadiran Zuhayr menemani dia dan anak mereka, Eisya, memadai sebagai sesuatu yang akan dihargainya sampai mati.

“Betul ke si Zul tu cintakan kamu?”
“Betullah, umi. Kenapa umi tanya soalan pelik macam tu?”
“Kamu tengok tak macam mana arwah ayah kamu layan umi? Cuba bandingkan dengan gaya suami kamu layan kamu. Sama tak?”

Ayuni menggeleng sendiri. Tiga soalan yang pernah ditanya oleh ibunya terasa membeban di dalam fikirannya.
Dahulu, dia sering menafikan. Dahulu, dia sering katakan yang cara seorang lelaki dengan seorang lelaki lain meluah rasa cinta tak akan sama. Ayahnya dengan cara dia. Zuhayr dengan caranya yang tersendiri.
Malangnya, semakin lama, semakin dia tak nampak sinar cinta itu. Semakin lama bersama Zuhayr, semakin dia tak yakin pada cinta yang pernah dilafazkan. Semakin hilang rasa percaya.
Waktu nak kahwin dahulu beria-ia masing-masing mengaku bahawa mereka saling cinta. Masing-masing beria-ia sampai tak menyempat-nyempat mahu disatukan? Sudahnya, selepas lapan tahun, kenapa begini yang terjadi?
Hambar!
Ayuni menggeleng. Mata dipejam rapat. Nafas dihela berkali-kali. Diri dipujuk seperti selalu. “Tak apa. Selagi boleh sabar, aku akan terus sabar. Biarlah Zul nak cakap apa atau nak buat apa pada aku, aku akan bertahan. Sebab kami ada Eisya. Demi Eisya, aku sanggup tanggung apa saja.”
Ya, dia mesti kuat demi Eisya. Eisya perlukan ayah dan ibunya. Perlukan kasih sayang mereka sepenuhnya. Dia akan bertahan demi kebahagiaan satu-satunya cahaya mata mereka. Dia akan sabar hadapi kerenah Zuhayr. Apa pun juga!
Dari dalam bilik kedengaran deringan telefon bimbitnya. Berlari Ayuni untuk mendapatkan telefon itu dengan harapan agar encik suami yang menelefon atau menghatar pesanan bersama ucapan.
“Siapa whatsapp aku ni?” soalnya sambil jari laju menekan keypad untuk membaca pesanan yang dihantar daripada sebuah telefon tanpa ID. Unknown caller.

~ Selamat hari jadi, Ayuni. Selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan juga. Saya doakan semoga hidup awak sentiasa bahagia di samping suami tercinta. Semoga Allah sentiasa merahmati diri awak, mencurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada awak dan semoga awak sentiasa berada dalam jagaan-Nya. ~
           
Tangan sedikit ketar saat mata berlari dari satu baris ke baris yang lain. Meskipun pesanannya hanya pesanan biasa-biasa namun hati tetap tertanya-tanya. “Siapa yang hantar?”
Dia yakin dia menerima ucapan ini daripada orang yang sama. Siapa, Ayuni tidak tahu. Namun si unknown caller ini berjaya menghidupkan hatinya. Menceriakan wajahnya.

“Wahai unknown, terima kasih, ya. Sejak dua tahun lepas, awak tak pernah jemu hantar berbagai-bagai ucapan kepada saya. Selamat berpuasalah, selamat hari rayalah, selamat hari merdekalah dan yang penting selamat hari jadi untuk saya. Siapa pun awak, saya doakan awak selamat selalu. Selamat pagi unknown!”

10.4.17

Di Taman Larangan Bab 2

April 10, 2017 0 Comments

Bab 2

Lapan tahun kemudian...
Ayuni melambaikan tangan sehinggalah kelibat bas sekolah yang dinaiki Eisya, anaknya, hilang daripada pandangan. Hajat hati nak terus jirus pokok bunga di laman namun memikirkan suami yang masih belum ke tempat kerja, dia batalkan niat itu. Dia melangkah ke dalam rumah dan menghala ke bilik. Daun pintu ditolak sedikit untuk mencari kelibat Zuhayr.
“Abang,” Dia memanggil.
Zuhayr yang sedang bersiap, merenung isterinya. “Nak apa?”
“Abang balik pukul berapa hari ini?”
“Ah, lupa nak cakap. Habis kerja abang nak ke rumah mama. Mama ajak dinner di rumah dia.”
“Mana boleh! Abang kena balik ke sini malam ni.”
“Eh, apa hal awak ni, Ayu? Mama suruh abang balik sana, abang akan ke sanalah. Yang nak paksa-paksa abang balik ke sini tu, apasal?”
Wajah suami ditatap penuh hiba. Nampaknya, sekali lagi Zuhayr lupa tarikh hari ini. Seperti selalu, dia seorang sahajalah yang ingat.
“Kenapa buat muka monyok tu?”
Wajah suami direnung. “Saya sedih.”
“Sedih? Sedih kenapa?”
“Sebab abang lupa hari ini hari apa.”
Zuhayr yang sedang membetulkan tali leher merenung wajah isterinya. “Apa hal pula ni? Cakap abang lupa bagai. Lupa apa?”
Ayuni mendekat. Tangan Zuhayr ditepis perlahan dan dia sendiri mengemaskan tali leher yang dipakai suaminya.
“Cuba ingat betul-betul, bang. Hari ini hari apa?” omelnya.
“Hari Khamis malam Jumaat.”
Hampa sungguh mendapat suami yang tak pernah ambil kesah tentang dia. Kalau suami orang lain, entah dah bertimbun hadiah diberi. Entah sudah berapa banyak kad ucapan yang diterima. Entah sudah berapa kali pergi berbulan madu. Tapi tidak dengan Zuhayr. Sikap tak endah Zuhayr ini sering menimbulkan soalan yang satu itu.
Kenapa Zuhayr kahwin dengan dia?
“Dah lapan tahun kita kahwin tapi abang asyik lupa tarikh lahir saya. Asyik lupa tarikh ulang tahun perkahwinan kita,” ujar Ayuni sedikit membentak. Dia menjauhkan dirinya daripada encik suami.
Zuhayr kaku di tempatnya. Otak ligat mencerna. Mencongak. Mengira. Baru dia tersedar. Hari ini, 7 haribulan Januari ialah hari ulang tahun kelahiran Ayuni dan juga hari ulang tahun perkahwinan mereka. Namun dia enggan disalahkan. Baginya, tak ada apa yang hendak dihebohkan sangat. Tarikh aje kut!
“Abang tak lupalah. Cuma, abang tak suka nak ingat benda remeh temeh ni. Apa ada pada tarikh lahir? Nak beritahu yang kita makin tua. Gitu?”
“Sampai hati abang cakap macam tu? Salah ke nak ingat bila kita dilahirkan?”
“Eleh, tak ada faedahnya nak sambut tarikh lahir tu. Bukannya awak makin muda pun.”
“Yalah, cakap abang ajelah yang betul. Habis, yang anniversary kita pula, kenapa abang tak ingat?”
Anniversary... Haisy! Kan dah banyak kali abang cakap. Mama dengan papa tak pernah raikan ulang tahun perkahwinan mereka pun. Tengok, dah dekat 40 tahun mereka hidup bersama. Bahagia aje!”
Ayuni tewas lagi. Kecewa sungguh dengan sikap tak peduli suaminya. Namun wajah suami ditatap juga kerana ada perkara yang dia ingin beritahu.
“Err... tapi saya dah masak banyak.”
“Masak banyak?”
“Ya. Petang semalam saya dengan Eisya bakar cupcakes dan brownies. Mula pukul empat pagi tadi saya kukus pulut buat pulut kuning. Lepas tu saya masak rendang ayam dan masak kuzi sekali. Cadangnya petang nanti nak masak spaghetti dengan makaroni bakar juga.”
Bulat mata Zuhayr mendengar. “Awak ni dah kenapa? Masak macam nak buat kenduri.”
“Bukan kenduri. Nak buat makan-makan aje petang nanti sambil abang baca doa selamat untuk saya, untuk kita. Abang tak ingat ke? Kan saya dah beritahu abang minggu lepas?”
“Entah, abang tak ingat. Tapi, awak ni dah melampaulah, Ayu! Awak suka sangat membazir.”
“Membazir?”
‘Aku dikutuknya membazir. Yang dia tu berkira, tak sebut pula,’ omel Ayuni dalam hati.
Ini yang Ayuni tak suka dengan sikap Zuhayr. Sejak kahwin sampai sekarang, perangai kedekut dan berkira itu langsung tak pernah berubah.
Ada satu hari, sedang mereka makan di sebuah restoran, datang seorang anak kecil berumur dalam lingkungan sembilan tahun meminta sedekah. Baru Ayuni nak buka beg dompet, Zuhayr dah halau budak itu pergi. Kata Zuhayr, macam mana Islam nak maju. Kecil-kecil lagi dah diajar meminta-minta. Ayuni hanya menggeleng mendengar leteran suaminya. Dalam hati... bengkek! Tak memberi sedekah itu, satu hal. Membebel dan menghina kanak-kanak itu, lagi satu hal. Sungguh, dia berasa malu benar pada hari itu.
“Ya, membazir!”
Jerkahan Zuhayr mengejutkan Ayuni.
“Yang awak masak banyak-banyak tu, siapa suruh? Tu nanti, mesti awak sibuk nak bagi kat orang. Bagi jiran sana, bagi jiran sini. Sedekah sana, sedekah sini...”
“Abang,” Ayuni pintas. “Salah ke kalau saya bagi orang makan? Salah ke kalau saya nak bersedekah? Tolonglah, bang. Jangan nak berkira sangat, boleh tak? Bagi orang makan dan bersedekah semua tu ada  disuruh dalam Quran, tahu.”
Teguran itu menyebabkan air muka Zuhayr berubah.
“Mentang-mentang awak suka baca Quran, awak nak cakap abang ni jahil ke apa?”
Dah ke situ pula, keluh Ayuni dalam hati.
“Bukanlah macam tu. Saya cuma nak cakap, dalam hidup kita ni, kita patut berkongsi rezeki dengan orang lain. Manalah tahu kalau-kalau ada antara jiran kita ni yang miskin dan tak ada duit nak berbelanja untuk hari ini, sekurang-kurangnya kita dah dapat hilangkan rasa lapar mereka. Dapat juga pahala.”
Zuhayr juihkan bibir. Geram mendengar balasan Ayuni.
“Tak akan jatuh miskin orang yang bagi orang lain makan, bang.”
“Yalah, yalah. Awak ajelah yang betul. Suka hati awaklah.”
Bulat mata Ayuni.
“Tapi awak jangan lupa, Ayu. Kalau dah hari-hari awak bagi orang sana makan, orang sini makan, mahu bankrap suami awak ni nanti. Tapi, yalah. Duit, abang yang cari dalam rumah ni kan? Awak  tahu minta aje. Tak gitu?”
Sungguh Ayuni terasa apabila disindir sebegitu oleh suaminya. Tercuit perasaan menyebabkan dia nekad membalas.
“Ya, duit memang abang yang cari. Tapi itu kan tanggungjawab abang sebagai ketua keluarga?”
“Dan apa pula peranan awak sebagai isteri? Sebagai suri rumah? Belanja duit tu semua dengan boros. Macam tu?” herdik Zuhayr.
“Abang rasa saya boros sangat ke? Berapa kali dalam sebulan saya minta duit abang?”
“Awak tak pernah minta...”
“Tahu pun! Habis kenapa merungut?”
Zuhayr merenungnya tajam. “Abang tak merungut. Abang cuma nak awak berjimat. Ingat, abang ni bukan kerja tinggi. Pegawai bank aje, tahu tak.”
Ayuni mengeluh dalam hati. Hanya dalam hati kerana sejak lama dia sudah mengajar hatinya untuk bertahan. Untuk bersabar. Dia tak mahu bertengkar. Jadi, dada diusap perlahan-lahan dengan harapan untuk bertenang.
“Dah, abang nak pergi ni. Nah, duit belanja untuk minggu ni. Jimat-jimat sikit.”
Rasa berat hati hendak mengambil wang yang dihulur suaminya. Namun kalau tak diambil nanti Zuhayr pula yang akan merajuk panjang dengannya.
“Tapi, majlis kita macam mana?”
“Awak ajelah makan dengan Eisya. Oh ya, ajaklah kawan baik awak si Insyirah dengan anak dia tu sekali. Kata tadi nak dapat pahala, kan? Panggillah jiran-jiran datang, abang benarkan,” sinis Zuhayr. Dia sudah pun keluar dari bilik menuju ke pintu utama.
Sindiran itu dibiarkan terbang bersama angin lalu. Mulut tetap mahu bertanya. “Abang tak nak sarapan dulu?”
“Tak nak. Tak ada mood nak makan,” kata Zuhayr sambil menyarung stokinnya.
Terluka sekali lagi. Pun begitu Ayuni tak ikutkan perasaan. Senyum masih terukir pada bibir.
“Abang, boleh tak kalau abang cuba balik ke sini dulu sebelum abang ke rumah mama?”
“Buat apa?”
“Saya nak kirim makanan untuk mama dengan papa.”
Zuhayr pamer wajah tegang. Dia tak suka rancangan yang sudah diatur diganggu sebegini. Namun memikirkan makanan yang enak-enak itu, dia anggukkan kepala. Di hadapan Ayuni, dia tak tunjuk rasa teringin dan terliur tapi dengan bekal yang diberi, bolehlah dia makan dengan berselera di rumah mamanya petang nanti.
“Okey, abang singgah dalam pukul 6.00. Pastikan awak dah siap bekalnya dan berdiri dekat pintu pagar. Abang tak nak masuk ke dalam. Faham?”
“Takkan tak nak masuk?”
“Eh apa hal ni? Sejak bila awak ni mengada-ngada, Ayuni?”

Ayuni sentap. Tak terjawab soalan suaminya itu.
----------------
bersambung :)

Anugerah Terindah

April 10, 2017 0 Comments

Anugerah Terindah tu bukan cilok tajuk novel sesiapa, k. Yang dimaksudkan dengannya ialah...

saya nak kongsi keseronokan dan kegembiraan setelah dapat satu pengiktirafan. gambar tu menceritakannya.

Terima kasih kepada semua yang bersama-sama saya ketika itu.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan novel dan drama Suami Sebelah Rumah. Jasamu dikenang.

Namun, kesyukuran yang banyak dipanjatkan kepada Allah. Alhamdulillah.

Apabila Allah mahu memberi rezeki tak ada siapa yang boleh menghalang.

Semoga hati ini makin kental untuk meneruskan perjuangan. insya-Allah!

9.4.17

Di Taman Larangan - Bab 1

April 09, 2017 0 Comments

Bab 1

Mak Siah pandang ke arah pintu rumah yang diketuk orang. Dahinya berkerut.
“Siapa pula yang datang ni? Hailaa! Nak tengok TV pun tak senang,” rungutnya. Dia berdiri. Tangan laju capai tudung yang sedia tergantung di belakang kerusi. Tak lama kemudian, daun pintu rumah No 1, Flat PPR Laksamana itu sudah terbuka luas.
“Encik Zul? Sesat ke apa ni?” Mak Siah terkejut melihat Zuhayr, salah seorang pelanggan di gerai makannya yang datang.
Zuhayr senyum. “Hai, Mak Siah. Apa khabar?”
Mak Siah jongketkan kening. “Mak Siah sihat aje, Encik Zul. Encik Zul tanya macamlah kita tak jumpa tengah hari tadi.”
“Ya tak ya juga. Tapi kan Mak Siah, Mak Siah tak nak ajak saya masuk ke?”
“Itulah... Terkejut punya pasal sampai lupa nak jemput Encik Zul masuk. Kejap ya, Encik Zul. Mak Siah ambil kunci gril.”

Di Taman Larangan - Prolog 2

April 09, 2017 0 Comments

Prolog 2

Wanita itu mengusap lembut pipi gebu gadis kecil di sebelahnya. Air mata yang berjuraian di pipi itu cuba diseka. Tubuh yang sedang bergoncang akibat teresak-esak menangis, didakap erat sambil dia memerhati jirannya dan beberapa orang lain mengangkat barang dari dalam rumah untuk dinaikkan ke atas lori.

“Dahlah tu, sayang. Asyik nangis aje. Bengkak dah mata comel ni.” Dia memujuk.

“Orang tak nak pindah. Orang nak duduk sini. Nak temankan mak.”

Kalau boleh, dia juga mahukan begitu. Mahu anak gadis ini sentiasa di sisinya kerana sejak tujuh tahun dahulu, hubungan mereka berdua sudah terjalin erat. Sejak dari hari pertama keluarga polis ini berpindah masuk ke rumah sebelah dan menjadi jirannya, kasih sayangnya tumpah kepada anak sulung mereka yang waktu itu baru berusia tiga tahun ketika itu. Rumahnya menjadi rumah kedua kepada anak ini. Lama-kelamaan, dengan dialah anak kecil ini tidur hampir setiap malam. Ke mana saja dia pergi, akan dibawanya anak ini bersama-sama. Ke pasar, ke pasar malam, ke pasar raya, tangan halus itu akan dipegangnya untuk melintas jalan dan beriringan, mereka akan menapak mencari apa yang mahu dibeli. 

Di Taman Larangan - Prolog 1

April 09, 2017 0 Comments



Prolog 1

Sesekali dia menoleh ke arah lelaki yang sedang terbaring di atas katil. Lelaki yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali untuk mengerdipkan sepasang mata. 

Dia tak tahu apa yang lelaki itu mahu. Selama ini, lelaki itu hanya terlantar tanpa suara. Menahan kesakitan yang ditanggung tanpa ada sedikitpun rungutan. Namun tiba-tiba saja pada waktu subuh tadi, Haji Ibrahim meraung. Terkejut semua orang dibuatnya. Itulah kali pertama lelaki itu mengeluarkan bunyi selepas hampir tiga bulan diisytiharkan lumpuh oleh doktor-doktornya. Lumpuh selepas jatuh dari tangga dalam rumah besar mereka. 

Selepas penat meraung, Haji Ibrahim meracau dan menyebut entah apa-apa. Apabila doktor-doktornya datang merawat, mereka cakap lelaki itu hanya berhalusinasi. 

Di Taman Larangan - Blurp

April 09, 2017 0 Comments
assalam. nak perkenalkan anak kak sofi yang ke 10. hehe... ramai, kan? dh byk anak ai... 

okey jeng jeng... my baby...

Tajuk: Di Taman Larangan



Penulis: Ana Sofiya (Kak Sofi)



Penerbit: Penulisan2u



ISBN: 978-967-2102-04-5



Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak)


Terbitan : April 2017