Langkau ke kandungan utama

Bab 3 - Lakonan Cinta



Fazia berjalan dua tiga langkah di belakang emak saudaranya. Hatinya sedang berdebar kerana dia kini sudah pun sampai ke destinasi. Biarpun dia bukanlah dirinya yang sebenar sebentar lagi, dia tetap gembira. 

Dia sudah selamat berada di sini. Apa pun yang bakal terjadi nanti, dia yakin yang tok wan akan menjaga dan melindungi dirinya. Walau hanya sebagai majikan dan pekerja. Walau hanya sebagai tuan rumah dan orang gaji, dia yakin dengan kredibiliti datuknya. 

“Perkara pertama kamu kena ingat ialah, kamu tu orang gaji kami. Gaya kena betul. Kamu tak boleh pakai mekap dan semua hiasan diri yang ada pada kamu tu, kamu mesti simpan.”

“Baik, mak su.”

“Kedua, pastikan lagak hidung tinggi dan gaya anggun kamu selama ni, kamu buang. Bahu tu kasi jatuh sikit. Mata tu jangan duk pandang orang tepat-tepat, mesti menunduk selalu. Ada faham?”

“Faham, mak su.”

“Good. Yang ketiga, sembunyikan pakaian kamu. Sepanjang jadi maid ni, kamu hanya pakai baju yang mak su beli tadi. Tak payah nak kemas-kemas kat badan. Biarlah senget benget tudung kat atas kepala. Sebab, kalau nak berlakon, mesti berlakon betul-betul. Tak boleh biarkan orang syak siapa diri kamu tu.”

Kepala Fazia terangguk-angguk. “Saya cuba, mak su.”

Fazia senyum nipis sambil melangkah. Secara asasnya, dia sudah praktikkan kehendak mak su. Dia tahu, kalau ayahnya pandang dirinya sekilas, lelaki itu pun tak akan cam dirinya sekarang. Dengan cermin mata yang dia pakai, dengan tudung yang menutupi kepala, kain batik yang disarung ke badan dan baju kedah besar gedabak, dia memang kelihatan berbeza. Idea mak su memang terbaiklah!

“Mak, abah!”

Laungan mak su buat hati Fazia berdebar-debar. 

Sebentar saja lagi dia akan menatap muka dua insan yang memelihara dirinya sejak hari dia lahir sehinggalah ke umur dia empat tahun. Dua insan yang dirampas kasih sayang mereka daripadanya oleh Datuk Fadil. 

Fazia dan mak su sudah pun masuk ke dalam ruang tamu yang luas. Fazia melangkah perlahan sambil mata memerhati ke sekeliling dengan penuh rasa kagum. 

“Mak, abah. Ina rindu mak dengan abah sangat!”

Fazia telan liur tengok mak su memeluk tok wan dan mak tok bergilir-gilir. Sayu hatinya melihat dahi mak su dikucup penuh kasih oleh kedua-duanya. Entah bila giliran dirinya, Fazia hanya mampu menggeleng sambil membatukan diri dalam jarak sedikit jauh daripada mereka.

“Siapa budak ni, Ina?” tanya mak tok sambil memerhati budak perempuan yang dibawa balik oleh anaknya dengan penuh hairan. Gadis yang nampak agak comot dengan tudung yang dah herot bengot kedudukannya di atas kepala. Gadis yang sedari tadi menunduk dan tidak angkat muka ke arah dia dan suami. 

“Ni orang gaji baru kita, mak, abah. Nama dia, Fauziah. Fauziah, mari sini. Salam tangan mak dengan abah saya.”

Fazia tunduk mematuhi arahan. Terasa ketat dadanya saat mengucup tangan dua insan di hadapannya ini. Namun dia tahankan air mata agar tidak menitis. 

“Nama kamu Fauziah?” mak tok tanya. Ada sesuatu tentang gadis ini yang menarik perhatiannya.

“Ya. Tapi orang kampung panggil Gee.”

Sepasang mata tok wan dan mak tok mengecil. Mata berkalih kepada mak su. Mahukan penjelasan. 

Mak su tarik nafas panjang. “Mak dengan abah ni bila dengar nama panggilan Gee aje, mulalah teringat pada cucu, ya? Dahlah, mak, abah. Lupakan aje dia. Tapi kalau mak dengan abah rindu sangat pada Gee tu, anggap ajelah Gee yang ini sebagai cucu mak dengan abah. Gee ni pun umur dia sebaya dengan Ina, dengan Gee, cucu mak yang lupa diri tu.”

Sengaja mak su cakap pedih-pedih supaya mak dengan abah dia tak banyak fikir. Tengok dahi mereka berkerut pun dia dah susah hati. Dia takut rahsia bocor.

“Kamu ni, Ina. Cuba jaga sikit mulut tu!” mak tok dah mula tunjuk riak tak puas hati. 

Fazia tak mahu kisah ‘cucu’ sebenar mak tok dan tok wan masuk dalam agenda. Jadi dia cepat-cepat pegang hujung baju mak su. “Err, Cik Ina...”

“Hesy, tak payah nak ber cik cik bagai, Gee. Semua orang gaji dalam rumah ni panggil saya mak su. Jadi, kamu pun kena panggil saya macam tu jugak. Kan, mak?”

Mak tok tengok dua insan itu lama sebelum mengangguk. “Betul tu, Gee. Dan kamu boleh panggil saya, mak tok dan panggil orang tua sebelah saya ni, tok wan. Semua orang gaji dalam rumah ni panggil kami macam tu.”

“Terima kasih, mak tok. Terima kasih, tok wan.” Penuh hati-hati Fazia luahkan kata.

Pasangan suami isteri itu berpura-pura tak nampak betapa orang gaji baru mereka cuba menahan air matanya daripada menitis. Kesayuan pada wajah ayu itu menyucuk hati mereka. Namun hendak bertanya mereka bimbang dianggap penyibuk pula. 

“Mak, abah... Ina nak letak Gee dalam bilik warna pink tu ya.”

Bulat mata mak tok dan tok wan. Nampak enggan membenarkan.

“Alah, mak! Bilik tu bukan ada sesiapa duduk pun. Biar ajelah Gee tinggal kat situ.”

“Bilik tu bilik Fazia, Ina.” Keras suara mak tok menahan geram dengan sikap mak su yang pandai-pandai nak masukkan orang gaji tinggal dalam bilik cucu kesayangannya. 

“Hesy, cucu yang tak pernah ingatkan nenek itu juga yang disebut-sebut.”

Fazia amat terasa dengan sindiran mak sunya. Jadi cepat-cepat dia mencelah. Mahu larikan diri daripada topik tentang cucu mak tok dan tok wan. 

“Mak su, saya boleh aje tinggal dengan orang gaji yang lain. Jangan risaukan saya.”

“Tak boleh. Dekat rumah orang gaji tu dah crowded sangat. Sempit. Kesian kamu nanti tak boleh nak lena.” Mak su masih berdegil.

“Tapi...”

“Mak, bolehlah! Bilik tu kan kosong? Bagi ajelah Gee tinggal kat dalam tu. Boleh juga dia tolong halau jin dengan hantu yang dah tidur bangkit dekat 22 tahun dalam bilik tu.” Mak su tetap berkeras dengan kemahuannya.

Fazia berasa nafasnya tersekat mendengar omel emak saudaranya. Lebih 22 tahun? Umur dia sekarang 26 tahun. Dia diambil oleh ayahnya waktu dia berumur 4 tahun. Sejak itu, hubungannya putus dengan mak tok dan tok wan. Ayah dan emak tirinya sentiasa memastikan dia putus hubungan dengan mereka. 

Rasa bersalah benar dia dengan dua insan di hadapannya ini. 

Kalau tidak kerana ujian yang Tuhan beri, dia pasti tidak menyelongkar kotak biru yang tersimpan kemas di bawah lipatan pakaiannya. Kalau tidak kerana tindakan Datuk Fadil, dia pasti masih leka dan lupa kepada mak tok, tok wan dan mak su. 

“Mak su...”

“Tak apa, Gee. Dah Ina nak sangat kamu tinggal dalam bilik pink tu, pergilah. Duduklah di situ. Buat macam bilik kamu sendiri.”

Mak su seronok benar mendapat persetujuan ibunya sehingga dia berlari memeluk orang tua itu. “Love you, mak.”

“Err...”

Fazia rasa gementar melihat pandangan yang dilontarkan tok wan kepadanya. Entah marah atau kecewa, dia tak mengerti erti renungan itu. 

“Weh, orang gaji! Tunggu apa lagi tu? Jom ikut mak su.”

“Baik.”

Mak tok dan tok wan berbalas renung. Tok wan bagi isyarat ajak mak tok masuk ke bilik mereka. Ada perbincangan yang perlu dibuat. 

Sementara itu, mak su heret Gee masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan. Apabila lampu dibuka, terserlahlah warna kegemaran setiap gadis itu di dinding. 

Sepasang mata Gee mula bergenang meskipun bibir mengorak senyum. Dalam samar-samar ingatannya, segala yang ada dalam bilik itu masih mampu menggamit memori lama yang indah yang pernah pudar. 

“Bilik ni...” desahnya.

“Bilik kamu. Sejak abang rampas kamu daripada kami, abah tak benarkan sesiapa usik apa-apa pun dalam bilik ni. Orang gaji yang masuk ke sini hanya masuk untuk kemas bilik ni saja.”

Fazia pejamkan mata yang bergenang. Tangan menyentuh setiap perkakas sambil menggamit memori silam datang bertandang. Namun, setakat manalah ingatan seorang budak berusia 4 tahun mampu mencelah. Begitupun, dia bersyukur kerana kini dia berpeluang berada di sini. Dia yakin, satu demi satu ingatan manis ketika di sini akan kembali ke ruang memorinya. 

“Abah pernah cakap dengan kami yang dia yakin satu hari nanti cucu dia akan balik dan tidur dalam bilik ni.” 

Getar suara mak su mengundang sebak semula. Perlahan-lahan kepala diangguk. Dia bergerak ke katil. Dia duduk. Tangan menepuk di sebelah, mengajak mak su duduk bersama.

“Kita pernah tidur berdua dalam bilik ni, kan mak su?”

“Hmm. Dan kamu entah berapa kali jatuh sebab tidur buas sangat.”

Fazia ketawa membayangkan dirinya terduduk di atas lantai. 

“Saya menangis tak, mak su?” soalnya, ingin tahu.

“Mestilah. Kamu tu dari kecil memang kuat menangis. Cuma, sebab kamu budak baik, sekejap ajelah air mata kamu tu keluar.”

Fazia jongket kening tanda tak faham.

“Kamu menangis tak lama sebab tiap kali kamu jatuh, abah akan datang pujuk dan tidurkan kamu semula.”

“Owh...”

Aduhai, bagaimanalah dia boleh lupakan semua itu?

“Mak su tak faham dengan kamu, Gee. Kenapa kamu tak pernah hubungi kami selama ni?”

“Maafkan Gee, mak su. Gee benar-benar tak ingat.”

“Agaknya mak tiri kamu suruh bomoh buat sampai kamu lupakan kami kut.”

Lama Fazia pandang muka mak sunya. “Tak baik cakap benda khurafat macam tu.”

“Habis, dah kamu lupa terus pada kami. Macam tak logik aje, kan?”

Fazia hanya mampu mengangguk. Tuduhan mak su amat berat namun tidak mustahil untuk dilakukan oleh ayah mahu pun ibu tirinya. Dulu mungkin Fazia meraguinya namun sekarang dia yakin yang pasangan suami isteri itu mampu lakukan apa saja untuk keselesaan diri mereka.

“Gee, bila mak su tengok muka sedih mak dengan abah tadi kan... mak su rasa menyesal pulak jadikan kamu orang gaji. Tiba-tiba mak su rasa bersalah. Mak su rasa macam nak tarik kamu jumpa dia orang dan berterus terang...”

“Syy!” Fazia letak jari telunjuk pada bibir mak su. “Tolonglah, mak su. Belum masanya lagi untuk kita beritahu dia orang siapa saya sebenarnya. Sabar, ya.”

Mak su lepaskan keluhan. “Abah dengan mak tu bukan bodoh, Gee. Tak lama lagi tentu dia orang akan tahu jugak rahsia kita ni. Mak su takut abah marah. Abah tu kalau dia mengamuk, teruk kita berdua nanti. Tahu tak?” 

“Saya pun takut, mak su. Saya takut kalau rancangan kita ni gagal. Saya takut kalau ayah serbu rumah ni. Saya takut nak hadap kebencian wan pada saya. Tapi mak su, kita terpaksa teruskan misi kita ni.” Fazia memohon pengertian.

“Berapa lama, Gee?”

“Sampai saya rasa saya dah selamat di sini.”

Mak su angguk. 

“Okeylah. Kita tunggu masa tu tiba. Buat masa sekarang kita relaks dulu.” Senyum nakal menguntum di hujung bibirnya.

“Aik, kenapa saya rasa kecut aje perut saya ni? Rasa macam... ada orang tu nak ambil kesempatan aje, tau!” 

Mak su gelak besar dengar suara Fazia yang cuak.

“Jangan cakap mak su tak payung ya?” usiknya.

Fazia juihkan bibir. 

“Weh, orang gaji tak boleh buat muka macam tu ya!”

“Mak su...”

“Apa?”

“Kenapa saya rasa macam mak su nak buli saya aje?”

“Dah ini yang kamu nak, kan? Jadi, jangan harap mak su nak bagi muka pada kamu sebab kamu tu anak saudara mak su. Mak su akan ambik peluang ni untuk buli kamu cukup-cukup,” ujar mak su penuh ceria.

Fazia gelak. “Tak heran pun! Kita dah biasalah, mak su.”

“Kemas rumah? Lap perabot? Vakum?” 

“Mak su ingat siapa yang buat semua tu kat rumah banglo milik Datuk Fadil dengan Datin Rahimah? Orang gaji?” 

Mak su ketap gigi.

“Mak tiri kamu tu memang kurang ajar,” marahnya. Darahnya mendidih apabila membayangkan Fazia yang terpaksa buat semua kerja rumah sedangkan abang dan kakak iparnya mampu mengupah orang gaji.

“Syy!”

Laju tangan Fazia tutup mulut mak su. “Dah, dah! Mak su pergi keluar. Nanti apa pulak mak tok dengan wan fikir tengok mak su lama-lama kat dalam bilik ni.”

“Erm okey! Nak berehat ke apa...”

“Ya, mak su. Saya faham. Babai!”

Tubuh mak su ditolak dan pintu bilik laju ditutup. Fazia sandarkan diri di belakang pintu. Mata dipejamkan untuk seketika. 

Menarik nafas panjang dia menegakkan diri. “Come on, Gee! Ujian ni kecik aje kut! Kau tak berperang macam mereka di Syria. Kau tak kebuluran macam mereka di Sudan. Kau tak kena bom dan putus kaki tangan. Kau boleh hadapi semua ni. Pasti boleh!”

Buku lima digenggam kemas. Azam ditanam kukuh dalam hati. Amanah ini akan dilakukan seikhlas mungkin. Yang penting, dia sudah berada hampir dengan mereka. Mereka yang benar-benar ikhlas menyayanginya dulu malah dia yakin bahawa sehingga hari ini, kasih sayang itu tidak pernah berkurang biarpun sedikit.
__________________

sayang2 semua, sampai bab 3 saja ya! selepas ni saya akan masukkan blurp dan harga untuk anda. muahhh.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…