Langkau ke kandungan utama

Bab 1 - Lakonan Cinta



Fazia tegakkan kerusi yang diduduki. Setelah berpuas hati, dia berikan tumpuan kepada tali pinggang pula. Tali keselamatan itu segera dipakai ke pinggang. Ditarik kuat-kuat seperti mana yang sering dia lihat dalam video yang ditayangkan. Setelah berasa selesa, dia menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi sambil menutup sepasang mata. Tidak dia endahkan keadaan kelam kabut di sekitarnya. Dia tahu kabin krew tentu lebih arif mengendalikan sikap dan perangai manusia yang berada dalam penerbangan yang akan membawanya ke Kuala Lumpur nanti. 

Tiba-tiba dia berasa seperti tempat duduk di sebelahnya yang tadi kosong sudah berisi. 

“Hmm, three is company,” bisik hatinya tanpa menoleh mahupun membuka mata. 

“You ni memang tak gunalah, Id. You tunggu ya! Balik KL nanti, habislah you I pecat!” 

“Janganlah marah-marah, bos.” 

“Habis, you nak suruh I gelak dengan semua ni?” 

“Relakslah, bos...” 

“I suruh you booked flight siang, you ambil yang malam. I suruh you booked business class, you booked kelas ekonomi. Lepas tu pandai pulak you suruh I relaks, ya?” 

“Syy, bos!!” 

“Tak ada satu pun kerja yang I bagi you, you buat betul-betul sekarang ni. You dah dapat tawaran dari artis lain kut? Yang lebih tinggi gaji dia ya? Sebab itu you buat perangai supaya I pecat you. Betul?” 

“Hesy, mana ada bos!” Idlan sengih. Namun dia segera kalih ke lain apabila Qif Farhan memandangnya garang. Bukan dia takut dengan Qif Farhan. Bukan! Umur mereka lebih kurang saja kut, nak takut apanya? Dia cuma tak nak layan kemarahan Qif Farhan, itu saja. 

Lagipun dia amat menghormati Qif Farhan. Ya, Qif Farhan memang cepat melenting tetapi cepat juga sejuknya. Qif Farhan ni hangin satu badan orangnya tapi bab bayar gaji, Qif Farhan tip top. Bab bagi elaun makan, elaun jalan, elaun tambahan kepadanya, Qif Farhan tak pernah berkira. Jadi, apalah sangat kalau dia perlu tadah telinga begini. Bukan lama mana pun marah pelakon dan penyanyi terkenal di sebelahnya ini. Kejap lagi eloklah tu! 

“You ni...” Bla bla bla! 

Fazia mendengus. Ketenangannya terganggu dek bebelan lelaki di sebelahnya ini. Niat nak tidur terus tak jadi. Terbantut dek gangguan mulut yang mengalahkan buntut ayam itu. 

“Three is no more a company. Three is a crowd now!” gumamnya. Namun suaranya sengaja dikuatkan dengan harapan lelaki itu dengar. 

Qif Farhan yang sedang mengamuk, terus diam. Dia ambil peluang itu untuk tengok orang sebelah. Cuba menilik muka si dia. Malangnya gadis itu menyibukkan diri dengan jari asyik menekan punat-punat yang terdapat di skrin tv di hadapannya. Sikit pun tak toleh tengok dia. Jeling pun tidak! 

Qif Farhan sentap dengan sikap tak endah gadis itu kepadanya. Namun tak lama. Dia hulurkan tangan kanannya. 

“Hai. I, Qif Farhan. Kenal I, kan?” ujarnya sambil senyum manis. 

Lama gadis itu pandang tangan yang Qif Farhan hulur. Dia kemudian jongket bahu. 

“Tak kenal. Awak siapa?” sahutnya. 

Idlan sampuk. “Err, cik. Takkan tak kenal dengan Qif Farhan kut? Artis lelaki Malaysia yang paling popular ni.” 

“Dah memang saya tak kenal dia, nak buat macam mana kan?” Gadis itu masih dengan gaya tak pedulinya. 

Tiba-tiba Qif Farhan sengetkan tubuhnya kepada Idlan. 

“I rasa orang kat sebelah kiri I ni alien,” bisiknya. 

Idlan panjangkan leher memandang objek yang dikatakan alien itu. Dia sengih. 

“Mata bos dah rabun kut sampai tak boleh bezakan perempuan cantik dengan alien,” kutuknya. 

Qif Farhan semakin tunduk. “Kalau dia perempuan, dia mesti kenal I.” 

“Alah, bos! Bos bukannya comel macam Joong Ki pun. Bos ni tipikal hero Malaysia yang so-so aje. Jadi, tak heranlah kalau tak semua orang kenal bos.” 

Sentap perasaan dengar pengurus sendiri mengutuk dirinya. Bibir diketap. Nak cakap lebih-lebih pun dah tak boleh bimbang mengganggu orang lain. Sebagai artis dia kena juga jaga imej. Segala perasaan mesti cuba dikawal sebab takut nanti tak pasal-pasal muka dia viral di media sosial dengan tajuk... Pelakon terkenal mengamuk dalam Malaysia Airlines. 

Siapa yang malu nanti? Dia juga! 

Sekali lagi Qif Farhan toleh ke kiri. Bulat matanya tengok gadis itu yang dah siap pakai kain penutup mata. 

“Potong betullah dia ni. Kapal terbang belum naik lagi dia dah tidur,” omelnya. 

“Senyap boleh tak? Sejak awak masuk dalam kapal terbang ni, mulut awak tu tak diam-diam. Nak saya zipkan ke?” 

Aik? Perempuan tu marahkan dia? Apasal? Apa dosa yang dia dah buat? Mata Qif Farhan dah terkebil-kebil. Mulut pun dah kelu, tak boleh nak balas seolah-olah dah kena pukau lagaknya. 

Fazia puas hati selepas dapat diamkan lelaki yang kononnya pelakon itu. Tak sangka betul yang dia akan jumpa seorang lelaki yang kuat membebel. Fikirnya Datuk Fadil sajalah satu dalam sejuta manusia yang sentiasa suka mengomel walaupun pada perkara-perkara kecil yang berlaku. Tetapi hari ini dia jumpa klon ayahnya. Agaknya kalau kedua-dua lelaki dimasukkan dalam sebuah bilik yang sama tentu riuh rendah bilik itu dengan perbualan dan celoteh mereka. 

Mengenang ayahnya, hati mendongkol. Geram dan semua perasaan tak puas hati menguasai diri. Dia teringat kepada kejadian yang menyebabkan dia nekad naik pesawat ini tadi. 

“Kunci semua pintu. Pastikan Fazia tak keluar dari rumah sehingga hari nikah dia dengan Johan. Faham!” 

Mungkin semua orang lain faham dan mengangguk, takut dengar suara garang ayahnya. Tapi tidak dia. Tidak Fazia! 

“Kenapa ayah buat saya macam ni?” soalnya. 

“Sebab kamu tu degil sangat.” 

“Saya degil sebab saya dah bosan dengan semua ni. Ayah tak dengar ke apa yang saya bagi tahu tadi?” 

“Ayah dengar tapi semua tu tak akan ubah apa-apa.” 

“Saya tak akan ikut arahan ayah.” 

Dia ditampar ayahnya kerana ayat melawan itu. Namun Fazia tak peduli. Dia mahu terus melawan, demi dirinya. Demi harga dirinya. 

“Saya tak faham kenapa saya kena kahwin dengan Johan selepas apa yang dia dengan Fariza dah buat. Kalau ayah nak sangat Johan jadi menantu ayah, kahwinkan dia orang berdua. Kahwinkan Johan dengan Fariza!” 

“Miss!” 

“Hesy, apa ni!” Fazia jegilkan mata kepada orang sebelah. Dahlah dia masih angin dengan hal yang berlaku di rumah, sekarang anginnya semakin naik dengan perangai lelaki yang dengan sesuka hatinya saja nak sentuh-sentuh tangan dia. Tumbuk karang baru tahu! 

“Garang betul you ni! I panggil baik-baik kut tadi.” 

“Baik? Siap cuit-cuit lengan saya, itu awak cakap awak baik?” 

“Dah you tu asyik duk berangan, kenalah I cuit-cuit untuk kejutkan you.” Qif Farhan mempertahankan tindakannya. 

“Nak apa?” Fazia membentak. 

Qif Farhan sengih. “Nak you boleh?” 

“Eee, aku lempang jugak mamat senget ni kang.” 

“Hesy, nak gurau sikit pun tak boleh.” 

“Awak kawan saya ke? Bukan, kan?” 

“You betul-betul tak kenal I?” 

Ya Allah! Dia ni pekak ke apa? Tak faham bahasa ke? Fazia ketap gigi menahan geram. 

“Saya memang betul-betul tak kenal awak. Tolong terima hakikat tu,” ujar Fazia. Perlahan tapi tegas. 

Idlan dah mengekek. Seronok pula dia tengok Qif Farhan yang dah terkulat-kulat. Mungkin tak sangka yang ada seseorang dalam Malaysia ni yang tak kenal dia. Oh mai! 

Qif Farhan geleng. Pun begitu, dia cuba control macho. Dengan tenang dia pandang wajah gadis yang langsung dia tak nampak mata itu. 

“Okeylah. Lupakan pasal tu. Sekarang ni I nak tanya you. You nak makan apa malam ni?” 

Fazia tetap tak pedulikan suara lelaki itu. 

“Cik, kalau you buka penutup mata you tu you akan nampak yang pramugari tengah duk hidang makan malam kita sekarang.” 

Fazia intai dengan mengangkat sedikit penutup matanya. Baru dia perasan yang di lorong antara penumpang ada dua orang pramugari yang sedang berhidang makan malam untuk mereka. Pun begitu, dia tak berasa hendak makan. Dia masih tak punya selera sejak peristiwa yang berlaku. Jadi, laju dia geleng lalu kembali menutup matanya. Niat di hati dia mahu lena. Mahu tidur dan lupakan masalah yang sedang dia hadapi. 

Qif Farhan kerut dahi tengok perangai gadis di sisi. Dahlah garang semacam, orang tanya tak jawab pula, gerutunya. Namun dia mintakan juga makan malam untuk gadis itu. 

“Kenapa bos? Bos nak makan perempuan tu punya dinner ke?” Idlan dah keliru. 

“Dia lapar tapi sebab dia banyak masalah, dia buat-buat macam dia tu kenyang sangat. Jadi I ambilkan untuk dia. Nanti bila dia jaga bolehlah dia makan.” 

“Wah, baiknya hati bos.” 

Idlan kadang-kadang kagum juga dengan bos dia yang seorang ini. Qif Farhan terkenal dengan sifat garang dan berlagak. Sombong dan tak berperi kemanusiaan. Namun malam ini, dalam pesawat MH 2368 dari Miri ke Kuala Lumpur ini, terserlah sikap prihatin yang dia tak pernah tahu. Hai, kalaulah bosnya selalu tunjuk sikap baik begini, tentu senang dia nak jaga. Tapi itulah! Dah nama pun Qif Farhan, memang sentiasa saja mencipta masalah. 

“I bukannya baik. I cuma tak nak perempuan tu terjerit-jerit sebab sakit perut nanti.” 

Yalah tu! 

Kehadiran artis kegilaan ramai dalam pesawat mula diketahui. Maka sewaktu pesawat sedang terbang mendatar, beberapa orang peminat datang menyerbu ke tempat duduk Qif Farhan dan Idlan. 

“Qif, boleh tak you selfie dengan I?” 

“Qif, boleh tak kasi signature you kat sini?” 

“Qif, I suka sangat tengok you berlakon tau. You tu my favourite actor.” 

Sebagai pengurus artis, Idlan melakukan yang terbaik untuk memastikan Qif Farhan memenuhi permintaan-permintaan itu. Dia tahu Qif Farhan tak selesa tapi apa boleh buat, Qif Farhan harus jaga nama baiknya. Bukankah dalam kalangan peminatnya, Qif Farhan terkenal sebagai artis yang murah senyuman dan mesra? Jadi, malam ini lelaki itu harus membuktikannya. 

Suara-suara yang bising dan riuh rendah mengejutkan Fazia. Penutup mata dibuka dan rambut yang sedikit kusut disisir sebelum dia menoleh ke kanan. Kedua-dua tempat duduk di sebelahnya kosong namun tidak jauh dari situ dia perhatikan ramai orang berkumpul. Dahinya berkerut. 

Apa ke halnya? Bising betul! Macam tak pernah naik atas kapal terbang sampai nak berselfie bagai, gumamnya. 

Tiba-tiba Fazia terperasan akan sesuatu. Di hadapannya, atas ruang makan ada kotak dan air oren. 

“Siapa punya ni?” soalnya. 

“Dah ada depan aku, maknanya aku punyalah, kan?” soalannya dijawab sendiri. 

Tiba-tiba pula perut keluarkan bunyi. Erk? 

Nasib baik orang sebelah tak ada, kalau tidak malu aku. Hailaa perut! Berbunyi pula kau ya, omelnya. Tangan kiri usap perut, tangan kanan buka penutup. 

“Hmm, ikan masak masam manis ni. Mesti sedap.” 

Jadi apa tunggu lagi? Lajulah dia menyuap ke mulut. Lagipun orang kat sebelah tak ada. Sibuk berselfie nampaknya. Senanglah dia nak makan. Tak kalut nak cover ayu. 

“Alhamdulillah,” ucap syukur kepada Allah yang memberi rezeki. Kini dia hanya perlu tunggu pramugari lalu untuk menyerahkan bungkusan makanan yang sudah pun kosong. 

Baru nak tenangkan diri, jiran sebelah sampai. Fazia pura-pura tak nampak. Dia meralitkan diri memandang ke luar tingkap, pada gelap malam. Pada awan yang kelam. 

Qif Farhan jongket bahu dan sengetkan mulut tunjuk kepada Idlan ke sebelah kirinya. 

“Dah habis.” Mulut ungkap tanpa suara. 

Idlan angguk tunjuk isyarat bagus kepada Qif Farhan. 

“Thank you, boss!” Idlan bisik. Dia bersyukur sangat apabila Qif Farhan sudi layan kerenah peminatnya tadi. 

“It’s okay. Tapi, you nampak tak? Kalau you booked awal-awal, I dah selesa berehat di kelas business tadi. Tak ada orang tahu I dalam pesawat ni dan tak adalah I sibuk bergambar dekat sejam.” 

Ya Allah! Lelaki yang seorang ni kalau tak merungut tak boleh ke? Ni spesis tak reti bersyukur ke apa, kutuk Fazia dalam hatinya. 

“Bos, pelan sikit suara tu. Nanti peminat bos sentap.” Idlan letak jari telunjuk di bibir. Memberi amaran. 

Qif Farhan mendengus. Masih dengan riak tak puas hatinya. 

“Tapi bos, semua ni bagus untuk promot filem terbaru bos. Moga-moga dapat box-office jugak. Kayalah bos nanti bila Michael bagi bonus ribu-riban.” Idlan melobi. 

Qif Farhan sengih. “You pun tentu untung kalau I untung. Tak gitu, Id?” 

Haisy, sempat lagi menyindir tu! 

Hati Fazia teruja juga nak tahu latar belakang lelaki yang mengaku artis terkenal di sebelahnya ini. Dia senyum mengenangi betapa terkejut lelaki itu apabila dia beritahu yang dia tak kenal Qif Farhan. Hailaa, kesian sungguh. Tapi nak buat macam mana? Dia memang tak pernah ambil tahu hal dunia artis. Sepanjang dia hidup dia hanya ada dua dunia. Dunia di rumah dan dunia di tempat kerja. Lain-lain semua dia tak pernah peduli. 

“Dah jaga, cik adik?” 

Fazia kembali menutup mata. “Saya nak tidur balik. Jadi awak dengan kawan awak tu tolong diam ya.” 

“Haih, kan dah nak sampai KL ni. You tak nak selfie dengan I ke?” 

“Tak nak.” 

Qif Farhan rasa terluka sangat. Tak percaya sungguh dia bahawa masih ada perempuan yang tak pedulikan dirinya. Yang tidak mengendahkannya. Mahu saja dia bertanya kenapa namun perempuan itu memang langsung tak tunjuk minat nak bercakap. Sudahnya dia beralah. 

“Tak apa. You tidur ajelah.” 

“Jadi, tolonglah diam ya! Jangan nak mengomel sangat. Bising.” 

Qif Farhan ketap bibir. Sakit telinganya dengan teguran itu. Namun hatinya lebih sakit lagi. Sakit sungguh!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…