Follow Us @soratemplates

15.9.16

Cinta Allah - cinta paling agung

September 15, 2016 0 Comments

Aku sayang dia. Aku cinta dia. Cuma tak terluah. Tak terucap kepadanya.

Dia kini sudah berdua. Ke sana, ke mari dengan kekasihnya. Wajahnya pamer ceria. Tampak bahagia.

Hatiku diduga sebegini rencam. Tangis dalam diam. Menyaksi dirinya yang gembira sedang aku diulit derita.

Kata mereka kepadaku. Berterus teranglah kepadanya. Luahkan segala yang terpendam dalam hatiku ini.

Kata mereka lagi. Cinta itu satu perkongsian rasa. Rasa antara aku dan dirinya. Malangnya, rasa ini hanya milik aku. Dia tidak tahu.

Apakah yang harus aku lakukan?

Perlukah aku luahkan isi hatiku ini kepadanya? Andai dia terima cintaku, gadis itu pasti akan menderita. Sanggupkah aku?

Beginilah yang dipanggil ujian.

Allah mengujiku tatkala hati mula menjauh daripada-Nya.

Memilih yang lain. Mengutamakan yang lain untuk dicinta padahal cinta DIA yang seharusnya aku dambakan.

Aku kembali mencari kasih-Nya. Memohon ampun kerana khilafku. tersedar dari lena kerana sesungguhnya TIDAK ADA CINTA YANG LEBIH AGUNG DARI CINTA-NYA!
-----------------------

terima kasih kerana sudi baca :)

 

12.9.16

Selamat hari raya aidil adha

September 12, 2016 0 Comments








Salam aidil adha daripada kak sofi sekeluarga untuk anda yang sedang membaca entri ini. semoga setiap apa yang kita lakukan sentiasa mendapat redha Allah selalu hendaknya. Maaf zahir dan batin. 




Aidul Adha mengingatkan kita kepada pengorbanan. Menjadikan kita muslim yang tawadhuk dan rendah hati.

Dengan melaksanakan ibadah korban, kita dapat menolong orang yang tidak mampu membeli daging di pasar. Jadi di hari raya Aidul Adha ini mereka sama-sama dapat merasa daging yang segar dan elok. Alangkah gembiranya mereka dan bertuahnya kita yang menggembirakan mereka.

Kami admin Zonkuliah ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidul Adha dan terima kasih kepada semua sahabat sekalian yang tak putus-putus memberikan sokongan tak kiralah dari segi harta, wang ringgit, tenaga, hatta tolong share dan like kepada team ini. Kami hargai sangat-sangat. Teruskan sokong dan bantu kami.


Selamat berkorban. Moga apa yang kita korbankan untuk menegakkan syiar islam ini akan membuahkan pahala dan redha Allah swt.

Allahumma aamiin...     petikan daripada: Zonkuliah.

11.9.16

Blurp dan Harga buku Kompilasi Mininovel #suamiisteri

September 11, 2016 0 Comments






NOVEL MINI GABUNGAN 5 NOVELIS BEST-SELLER PFP
UNTUK MELANGGAN WHATSAPP 019-6128069

TAJUK : #SUAMIISTERI
ISBN: 978-967-365-267-9
HARGA : RM21.00 / RM24.00


#RiezmanSafieya – Hanny Esandra
Isteri Sejuta Rasa
“Sayang, abang nak dapatkan Fieya pun cukup susah dulu. Takkanlah abang senang-senang nak menduakan Fieya? Sia-sia ajelah usaha abang untuk ambik hati Fieya dulu. Sia-sia jugaklah abang tunggu Fieya untuk terima abang sebagai suami. Ini permata dan nyawa abang.” Safieya dan Riezman hanya memandang momen indah itu sambil masing-masing berbalas senyuman.

#ZarielLiana – Ana Sofiya
Diktator Itu Kamu 
“Siapa diktator?” 
“Diktator itu kamu!!”
“What? Liana?”
Oh Tuhan! Apa yang aku dah buat ni? Apa yang aku dah sebut? Sungguh, aku tak berani nak tengok muka Encik Zariel dah. Kecut!

#Za’baSeri – Bikash Nur Idris
Suami Selepas Deadline
“Youlah. Jadi suami I lepas I letak deadline. Kalau you tak balik dalam sekian masa, I takkan kahwin. Kalau tak sebab Opah Chik, mungkin taklah...”
“Oh! Bila deadline you tu?”
“Sehari sebelum I jumpa you balik lepas dekat 10 tahun. Bayangkan terkejutnya I masa tu.”
“Tu pasal sambut I dengan pensel tajam?” 

#KarlWafa – Shazie Kamaruzaman
Suami Terlebih Rela
“Sayang! How could you do that to me? Adeh, lemas abang!”
“Abang okey tak ni? Nak Wafa buat CPR tak?”
“Nak! Nak! Cepatlah bagi CPR. Abang tunggu ni.”
Wafa rasa nak cubit saja bibir Karl yang memuncung. Eee, bukan main lagi ya. Asal sebut CPR saja, suka bukan main!

#AbangLongDian – Rehal Nuharis
Isteri Untuk Abang Long
“Eh, tak apa. Dian boleh naik bas.”
“Berani kau lawan cakap ketua gengster ya?”
“Dian hanya takkan melawan cakap orang tua Dian dan suami Dian. Tu pun bila dah ada suami nantilah.”
“Kau tengah lamar aku ke apa sebenarnya ni?” sakat abang long.

#suamiisteri 

10.9.16

Blurp Dan Harga Lakonan Cinta

September 10, 2016 4 Comments



LAKONAN CINTA ialah buku Special Edition. Hanya dicetak sedikit sahaja. Khas kepada pembaca dan peminat ANA SOFIYA.


TAJUK : LAKONAN CINTA 
PENULIS : SOFI
HARGA : RM31 UNTUK SM DAN RM35 UNTUK SS

PERHATIAN KHAS: 
JIKA NAK ODER, TERUS PM PENERBITAN BESQ DI FACEBOOK!



BLURP:


Siapa Qif Farhan? Hebat sangat ke dia sampaikan semua orang perlu kenal? Kalau betul pun, Fazia tetap tak berminat nak tahu. Lelaki ego, bongkak... sedangkan tak hebat manapun pada diri seorang Fazia.


"Err, cik. Takkan tak kenal dengan Qif Farhan kut? Artis lelaki Malaysia yang paling popular ni!"

"Dah memang saya tak kenal dia, nak buat macam mana kan?"


Ego si pelakon popular mula tercabar. Tambahan pula bila peluang ada depan mata untuk kenakan 'si orang gaji'. Langsung dia tak lepaskan peluang. Tapi dalam sibuk mengenakan si orang gaji, hati mula dijentik cemburu bila si orang gaji lebih mesra melayan orang lain kecuali dirinya.


"I tak ada sebab nak cemburu, Id."

"Betul tak cemburu?"

"Kenapa dengan you ni, Id. Apa kes I nak cemburu bagai?"

"Yalah. Manalah tahu, kan?" Cik Gee kita ni kan ramah dan cepat mesra? Selain suka bersembang, dia rajin ambilkan air, rajin tolong kemaskan meja kerja kami dan dia suka tolong lapkan peluh..."

"Gee! You lap peluh siapa ni?"


Hah! Padan muka! Seronok sangat nak buli si orang gaji. Jangan nanti gigit jari pula!
------------------------

harap anda sudi beli ya! thanks....

Bab 4 - Lakonan Cinta

September 10, 2016 0 Comments


Qif Farhan tekun mendengar Idlan bercakap tentang projek terbaharu yang diterima. Pagi tadi Idlan sebagai pengurusnya telah pergi ke pejabat pihak produksi untuk mendengar taklimat tentang watak dan penglibatan Qif Farhan dalam drama rantaian 20 episod itu. 

“Bila dapat skrip?” soal Qif Farhan. Teruja pula dia apabila Idlan beritahu yang drama ini akan menjalani penggambaran di negeri Kedah, tanah kelahirannya. 

“Khamis depan, bos.” 

“You dah pastikan penggambaran drama tu tak clash dengan mana-mana movie I? Dengan iklan?” 

Idlan angguk. Tentulah dia dah pastikan semua itu tak berlaku. Jenuh kalau bertembung jadual. Tak sangguplah dia nak kena maki hamun dengan Qif Farhan. 

“Siapa heroin I kali ni?” 

Idlan sengih. “Bos mesti suka.”

Qif Farhan jongket kening. Melihat sengih lebar Idlan, matanya terbeliak. “You don’t say...”

“Dialah, bos! Kata Fida, bila Kak Zila called nak ambil dia berlakon, dia tanya siapa hero. Dengar nama bos aje, terus dia melompat dowh.”

Seronok tak terkata encik hero apabila mendengar celoteh Idlan. Dengan gaya macho dia betulkan kolar bajunya. 

“Well... itulah pengaruh seorang Qif Farhan okey! I’m the best,” ujarnya dengan berlagak.

Idlan juih bibir. 

“Malangnya, ada juga perempuan Malaysia yang tak kenal bos. Kasihan!” sinisnya.

Kata-kata yang terus hilangkan semangat Qif Farhan.

“You!!!” jeritnya. Marah betul dia apabila Idlan sentuh tentang perempuan atas penerbangan mereka hari itu. Perempuan yang sampai ke sudah tidak mampu dia dekati. Yang sampai keluar daripada pesawat, terus hilang daripada penglihatannya. 

“Mengaku ajelah, bos. Mira Edura bos boleh takluk. Malangnya, perempuan tu... ada cop kat kepala bos. L.O.S.E.R. Loser. Ops...”

Idlan dah kelam kabut lari meninggalkan Qif Farhan di ruang tamu sendirian. Tak berani dia nak tunggu di situ selepas gelaran yang diberikannya tadi. Namun dia ketawa. Serasa menang setelah dapat mengusik Qif Farhan. 



Qif Farhan mendengus. Dalam hati dia berharap agar dia boleh jumpa perempuan sombong itu lagi. Waktu itu nanti dia akan pastikan perempuan itu tunduk kepadanya. Dia akan pastikan ada sesuatu terjadi antara mereka. Dia kan Qif Farhan? Qif Farhan tak pernah kalah dengan perempuan!
-------------
ada satu bab lagi, lepas tu saya akan masukkan blurp dan harga. babai :)

DIKTATOR ITU KAMU - 3

September 10, 2016 0 Comments




Aku toleh tengok Zakri. Kemudian mataku tertancap kepada encik bos. Lama. Menanti jawapan mereka.

“Yes, dear. Your boss is my along. Abang sulung aku ni.” Akhirnya Zakri yang membuka mulutnya.

“Aku tak tahu pun.” Aku mendesah.

“What? Jangan bagi tahu aku yang bos kau ni tak pernah sebut nama aku depan kau?”

Aku geleng. “Tak pernah.”

Zakri pandang muka along dia. “Kenapa? Kan Zek suruh along beritahu Liana yang kita berdua adik-beradik?”

“Ini pejabat siapa?” Encik bos keluar suara tegas.

“Pejabat alonglah. Pejabat siapa lagi?” Zakri menjawab. Malas.

“Jadi, suka hati alonglah nak buat apa pun, kan?”

Zakri terdiam. Aku juih bibir. Kepala kugeleng. Cis! Rupa-rupanya, selama ini encik bos tahu aku kawan baik Zakri tapi dia sengaja tak beritahu aku hubungan mereka berdua. Kenapa? Rasa-rasanya aku tahu apa alasannya. Tentulah supaya dia boleh buli aku. Dia sengaja nak menganiaya kawan baik adik dia. Yang sadisnya, bila aku pandang muka dia, boleh pula dia angkat bahu? Lelaki hipokrit betul!

“Kamu datang sini sebab apa, Zek?” soal encik bos. Keras.

“Nak ajak along lunchlah!” 

“Habis tu? Yang duk sembang tak berhenti-henti lagi tu pasal apa?”

“Sekejaplah, along. Zek baru jumpa budak ni balik. Rindu!”

Buntang mataku mendengar jawapan Zakri. Bersahaja dia cakap rindukan aku kepada encik bos. Dia tak nampak air muka encik bos dah berubah?

“Sampai bila nak bersembang? Tak lapar lagi ke?” 

Encik bos tanya adik dia tapi matanya tajam tengok aku. Apa ke halnya nak marah-marah? Memang aku tak faham betullah dengan perangai lelaki ini. 

“Okey, okey! Jom, Na! Jom ikut kami.”

“Pergi mana?” Aku tanya Zakri.

“Lunch.” 

Jawapan Zakri menyebabkan aku dongak tengok muka encik bos. Mengharap dia juga turut mengajakku. 

“Apa tengok-tengok?” Dia jegil mata padaku.

Aku buat muka tak tahu malu. “Bos nak ajak saya ikut sekali atau bos dengan Zakri aje?”

Kenalah tahu, kan? Nanti buatnya dia marah dan tuduh aku kacau daun, aku juga yang akan makan hati. Lagi satu, kalau dia sudi benarkan aku ikut, aku perlu tahu dia nak bawa kami makan di mana. Kalau di hotel lima bintang, aku tak nak pergi. Bukan apa, perangai encik bos ni aku tak boleh nak agak. Katalah dia suruh aku bayar harga makanan aku sendiri, mana aku nak cekau duit?

“Saya nak bawa Zakri ke Marriot.”

“Marriot, bos? Kalau macam tu, tak apalah. Saya tapau nasi bungkus kat gerai Mak Jah ajelah, bos.”

“Jangan mengada-ngada. Ikut aje kita orang. Kalau along tak nak belanja, aku boleh bayarkan untuk kau. Dah, jangan banyak fikir. Jom!” Dengan kata-katanya itu, Zakri tarik tangan aku dan aku tak ada pilihan selain mengikut. Menoleh ke belakang aku dapat lihat muka masam encik bos. Dia marah ke?
_________________--

okey, itulah dia si liana yang sentiasa blur terutama utk fahami perangai encik bos dia yang bernama zariel tu. harap uols suka. kalau nak beli, pm atau wasap saja Penerbitan Fajar Pakeer, ya.

9.9.16

Lagi Review Lakonan Cinta

September 09, 2016 0 Comments




Komen Pembaca 1 - Salawati Abas

Dah khatam.... citer yg ok.... tak bosan... kisah qif n gee... couple yg suka gaduh2 manja..benci tapi sayang.



Komen Pembaca 2 - Nor Faridah

Tahniah kak sofi. ....LC dah abis baca n as usual mmg best. Jln cerita yg disusuli ngan situasi yg menghiburkan. 
Ada sedih ttg apa yg berlaku atas fazia 
Geram watak org tuanya yg sngt pentingkan kekayaan 
Ceria ngan tok wan sekeluarga yg amat sygkan cucu 
Maksu yg ceria n sempoi serta org yg ada dikelilingi fazia 
n the best part is...
Qif hero yg amat berkarisma yg duk usik n goda main2 dah terjatuh cinta n bila cinta dihati seorg yg setia.

I like...tq kak sofi....πŸ™‹πŸ»πŸ’ƒπŸ»πŸ˜˜πŸ˜˜πŸ˜˜


Komen Pembaca 3 - June Nadzri PNm

Layan 1 hari tamat... klakar betul la en pelakon terkenal Qif Farhan ni tak leh terima hakikat ade tak kenal dia.. sampai stress tak leh berlakon nagai .. si nakal fazia aka gee terus menghuru-hara Qif nasib la mak tok n tok wan tak mengamok... dalam marah2 hati ada taman sitambah pulak Idlan pembantu aka bff mencucuk2 cemburu Qif ... best sesuai ubat stress..

tahniah kak Ana Sofiya Sofi Ghaz


Komen Pembaca 4 - Masniza Saad

Akakkkkkkk

Best sgt2 LC

Mlm td dah pulun bc

Tk boleh nk berenti

Best sgt akak

Tahniah akak

Berjaya buat sy pegang tk lps buku tu

Tak sabaq tggu buku akak yg seterusnya
------------------------
Anda bila lagi nak beli? hehe

Bab 3 - Lakonan Cinta

September 09, 2016 0 Comments


Fazia berjalan dua tiga langkah di belakang emak saudaranya. Hatinya sedang berdebar kerana dia kini sudah pun sampai ke destinasi. Biarpun dia bukanlah dirinya yang sebenar sebentar lagi, dia tetap gembira. 

Dia sudah selamat berada di sini. Apa pun yang bakal terjadi nanti, dia yakin yang tok wan akan menjaga dan melindungi dirinya. Walau hanya sebagai majikan dan pekerja. Walau hanya sebagai tuan rumah dan orang gaji, dia yakin dengan kredibiliti datuknya. 

“Perkara pertama kamu kena ingat ialah, kamu tu orang gaji kami. Gaya kena betul. Kamu tak boleh pakai mekap dan semua hiasan diri yang ada pada kamu tu, kamu mesti simpan.”

“Baik, mak su.”

“Kedua, pastikan lagak hidung tinggi dan gaya anggun kamu selama ni, kamu buang. Bahu tu kasi jatuh sikit. Mata tu jangan duk pandang orang tepat-tepat, mesti menunduk selalu. Ada faham?”

“Faham, mak su.”

“Good. Yang ketiga, sembunyikan pakaian kamu. Sepanjang jadi maid ni, kamu hanya pakai baju yang mak su beli tadi. Tak payah nak kemas-kemas kat badan. Biarlah senget benget tudung kat atas kepala. Sebab, kalau nak berlakon, mesti berlakon betul-betul. Tak boleh biarkan orang syak siapa diri kamu tu.”

Kepala Fazia terangguk-angguk. “Saya cuba, mak su.”

Fazia senyum nipis sambil melangkah. Secara asasnya, dia sudah praktikkan kehendak mak su. Dia tahu, kalau ayahnya pandang dirinya sekilas, lelaki itu pun tak akan cam dirinya sekarang. Dengan cermin mata yang dia pakai, dengan tudung yang menutupi kepala, kain batik yang disarung ke badan dan baju kedah besar gedabak, dia memang kelihatan berbeza. Idea mak su memang terbaiklah!

“Mak, abah!”

Laungan mak su buat hati Fazia berdebar-debar. 

Sebentar saja lagi dia akan menatap muka dua insan yang memelihara dirinya sejak hari dia lahir sehinggalah ke umur dia empat tahun. Dua insan yang dirampas kasih sayang mereka daripadanya oleh Datuk Fadil. 

Fazia dan mak su sudah pun masuk ke dalam ruang tamu yang luas. Fazia melangkah perlahan sambil mata memerhati ke sekeliling dengan penuh rasa kagum. 

“Mak, abah. Ina rindu mak dengan abah sangat!”

Fazia telan liur tengok mak su memeluk tok wan dan mak tok bergilir-gilir. Sayu hatinya melihat dahi mak su dikucup penuh kasih oleh kedua-duanya. Entah bila giliran dirinya, Fazia hanya mampu menggeleng sambil membatukan diri dalam jarak sedikit jauh daripada mereka.

“Siapa budak ni, Ina?” tanya mak tok sambil memerhati budak perempuan yang dibawa balik oleh anaknya dengan penuh hairan. Gadis yang nampak agak comot dengan tudung yang dah herot bengot kedudukannya di atas kepala. Gadis yang sedari tadi menunduk dan tidak angkat muka ke arah dia dan suami. 

“Ni orang gaji baru kita, mak, abah. Nama dia, Fauziah. Fauziah, mari sini. Salam tangan mak dengan abah saya.”

Fazia tunduk mematuhi arahan. Terasa ketat dadanya saat mengucup tangan dua insan di hadapannya ini. Namun dia tahankan air mata agar tidak menitis. 

“Nama kamu Fauziah?” mak tok tanya. Ada sesuatu tentang gadis ini yang menarik perhatiannya.

“Ya. Tapi orang kampung panggil Gee.”

Sepasang mata tok wan dan mak tok mengecil. Mata berkalih kepada mak su. Mahukan penjelasan. 

Mak su tarik nafas panjang. “Mak dengan abah ni bila dengar nama panggilan Gee aje, mulalah teringat pada cucu, ya? Dahlah, mak, abah. Lupakan aje dia. Tapi kalau mak dengan abah rindu sangat pada Gee tu, anggap ajelah Gee yang ini sebagai cucu mak dengan abah. Gee ni pun umur dia sebaya dengan Ina, dengan Gee, cucu mak yang lupa diri tu.”

Sengaja mak su cakap pedih-pedih supaya mak dengan abah dia tak banyak fikir. Tengok dahi mereka berkerut pun dia dah susah hati. Dia takut rahsia bocor.

“Kamu ni, Ina. Cuba jaga sikit mulut tu!” mak tok dah mula tunjuk riak tak puas hati. 

Fazia tak mahu kisah ‘cucu’ sebenar mak tok dan tok wan masuk dalam agenda. Jadi dia cepat-cepat pegang hujung baju mak su. “Err, Cik Ina...”

“Hesy, tak payah nak ber cik cik bagai, Gee. Semua orang gaji dalam rumah ni panggil saya mak su. Jadi, kamu pun kena panggil saya macam tu jugak. Kan, mak?”

Mak tok tengok dua insan itu lama sebelum mengangguk. “Betul tu, Gee. Dan kamu boleh panggil saya, mak tok dan panggil orang tua sebelah saya ni, tok wan. Semua orang gaji dalam rumah ni panggil kami macam tu.”

“Terima kasih, mak tok. Terima kasih, tok wan.” Penuh hati-hati Fazia luahkan kata.

Pasangan suami isteri itu berpura-pura tak nampak betapa orang gaji baru mereka cuba menahan air matanya daripada menitis. Kesayuan pada wajah ayu itu menyucuk hati mereka. Namun hendak bertanya mereka bimbang dianggap penyibuk pula. 

“Mak, abah... Ina nak letak Gee dalam bilik warna pink tu ya.”

Bulat mata mak tok dan tok wan. Nampak enggan membenarkan.

“Alah, mak! Bilik tu bukan ada sesiapa duduk pun. Biar ajelah Gee tinggal kat situ.”

“Bilik tu bilik Fazia, Ina.” Keras suara mak tok menahan geram dengan sikap mak su yang pandai-pandai nak masukkan orang gaji tinggal dalam bilik cucu kesayangannya. 

“Hesy, cucu yang tak pernah ingatkan nenek itu juga yang disebut-sebut.”

Fazia amat terasa dengan sindiran mak sunya. Jadi cepat-cepat dia mencelah. Mahu larikan diri daripada topik tentang cucu mak tok dan tok wan. 

“Mak su, saya boleh aje tinggal dengan orang gaji yang lain. Jangan risaukan saya.”

“Tak boleh. Dekat rumah orang gaji tu dah crowded sangat. Sempit. Kesian kamu nanti tak boleh nak lena.” Mak su masih berdegil.

“Tapi...”

“Mak, bolehlah! Bilik tu kan kosong? Bagi ajelah Gee tinggal kat dalam tu. Boleh juga dia tolong halau jin dengan hantu yang dah tidur bangkit dekat 22 tahun dalam bilik tu.” Mak su tetap berkeras dengan kemahuannya.

Fazia berasa nafasnya tersekat mendengar omel emak saudaranya. Lebih 22 tahun? Umur dia sekarang 26 tahun. Dia diambil oleh ayahnya waktu dia berumur 4 tahun. Sejak itu, hubungannya putus dengan mak tok dan tok wan. Ayah dan emak tirinya sentiasa memastikan dia putus hubungan dengan mereka. 

Rasa bersalah benar dia dengan dua insan di hadapannya ini. 

Kalau tidak kerana ujian yang Tuhan beri, dia pasti tidak menyelongkar kotak biru yang tersimpan kemas di bawah lipatan pakaiannya. Kalau tidak kerana tindakan Datuk Fadil, dia pasti masih leka dan lupa kepada mak tok, tok wan dan mak su. 

“Mak su...”

“Tak apa, Gee. Dah Ina nak sangat kamu tinggal dalam bilik pink tu, pergilah. Duduklah di situ. Buat macam bilik kamu sendiri.”

Mak su seronok benar mendapat persetujuan ibunya sehingga dia berlari memeluk orang tua itu. “Love you, mak.”

“Err...”

Fazia rasa gementar melihat pandangan yang dilontarkan tok wan kepadanya. Entah marah atau kecewa, dia tak mengerti erti renungan itu. 

“Weh, orang gaji! Tunggu apa lagi tu? Jom ikut mak su.”

“Baik.”

Mak tok dan tok wan berbalas renung. Tok wan bagi isyarat ajak mak tok masuk ke bilik mereka. Ada perbincangan yang perlu dibuat. 

Sementara itu, mak su heret Gee masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan. Apabila lampu dibuka, terserlahlah warna kegemaran setiap gadis itu di dinding. 

Sepasang mata Gee mula bergenang meskipun bibir mengorak senyum. Dalam samar-samar ingatannya, segala yang ada dalam bilik itu masih mampu menggamit memori lama yang indah yang pernah pudar. 

“Bilik ni...” desahnya.

“Bilik kamu. Sejak abang rampas kamu daripada kami, abah tak benarkan sesiapa usik apa-apa pun dalam bilik ni. Orang gaji yang masuk ke sini hanya masuk untuk kemas bilik ni saja.”

Fazia pejamkan mata yang bergenang. Tangan menyentuh setiap perkakas sambil menggamit memori silam datang bertandang. Namun, setakat manalah ingatan seorang budak berusia 4 tahun mampu mencelah. Begitupun, dia bersyukur kerana kini dia berpeluang berada di sini. Dia yakin, satu demi satu ingatan manis ketika di sini akan kembali ke ruang memorinya. 

“Abah pernah cakap dengan kami yang dia yakin satu hari nanti cucu dia akan balik dan tidur dalam bilik ni.” 

Getar suara mak su mengundang sebak semula. Perlahan-lahan kepala diangguk. Dia bergerak ke katil. Dia duduk. Tangan menepuk di sebelah, mengajak mak su duduk bersama.

“Kita pernah tidur berdua dalam bilik ni, kan mak su?”

“Hmm. Dan kamu entah berapa kali jatuh sebab tidur buas sangat.”

Fazia ketawa membayangkan dirinya terduduk di atas lantai. 

“Saya menangis tak, mak su?” soalnya, ingin tahu.

“Mestilah. Kamu tu dari kecil memang kuat menangis. Cuma, sebab kamu budak baik, sekejap ajelah air mata kamu tu keluar.”

Fazia jongket kening tanda tak faham.

“Kamu menangis tak lama sebab tiap kali kamu jatuh, abah akan datang pujuk dan tidurkan kamu semula.”

“Owh...”

Aduhai, bagaimanalah dia boleh lupakan semua itu?

“Mak su tak faham dengan kamu, Gee. Kenapa kamu tak pernah hubungi kami selama ni?”

“Maafkan Gee, mak su. Gee benar-benar tak ingat.”

“Agaknya mak tiri kamu suruh bomoh buat sampai kamu lupakan kami kut.”

Lama Fazia pandang muka mak sunya. “Tak baik cakap benda khurafat macam tu.”

“Habis, dah kamu lupa terus pada kami. Macam tak logik aje, kan?”

Fazia hanya mampu mengangguk. Tuduhan mak su amat berat namun tidak mustahil untuk dilakukan oleh ayah mahu pun ibu tirinya. Dulu mungkin Fazia meraguinya namun sekarang dia yakin yang pasangan suami isteri itu mampu lakukan apa saja untuk keselesaan diri mereka.

“Gee, bila mak su tengok muka sedih mak dengan abah tadi kan... mak su rasa menyesal pulak jadikan kamu orang gaji. Tiba-tiba mak su rasa bersalah. Mak su rasa macam nak tarik kamu jumpa dia orang dan berterus terang...”

“Syy!” Fazia letak jari telunjuk pada bibir mak su. “Tolonglah, mak su. Belum masanya lagi untuk kita beritahu dia orang siapa saya sebenarnya. Sabar, ya.”

Mak su lepaskan keluhan. “Abah dengan mak tu bukan bodoh, Gee. Tak lama lagi tentu dia orang akan tahu jugak rahsia kita ni. Mak su takut abah marah. Abah tu kalau dia mengamuk, teruk kita berdua nanti. Tahu tak?” 

“Saya pun takut, mak su. Saya takut kalau rancangan kita ni gagal. Saya takut kalau ayah serbu rumah ni. Saya takut nak hadap kebencian wan pada saya. Tapi mak su, kita terpaksa teruskan misi kita ni.” Fazia memohon pengertian.

“Berapa lama, Gee?”

“Sampai saya rasa saya dah selamat di sini.”

Mak su angguk. 

“Okeylah. Kita tunggu masa tu tiba. Buat masa sekarang kita relaks dulu.” Senyum nakal menguntum di hujung bibirnya.

“Aik, kenapa saya rasa kecut aje perut saya ni? Rasa macam... ada orang tu nak ambil kesempatan aje, tau!” 

Mak su gelak besar dengar suara Fazia yang cuak.

“Jangan cakap mak su tak payung ya?” usiknya.

Fazia juihkan bibir. 

“Weh, orang gaji tak boleh buat muka macam tu ya!”

“Mak su...”

“Apa?”

“Kenapa saya rasa macam mak su nak buli saya aje?”

“Dah ini yang kamu nak, kan? Jadi, jangan harap mak su nak bagi muka pada kamu sebab kamu tu anak saudara mak su. Mak su akan ambik peluang ni untuk buli kamu cukup-cukup,” ujar mak su penuh ceria.

Fazia gelak. “Tak heran pun! Kita dah biasalah, mak su.”

“Kemas rumah? Lap perabot? Vakum?” 

“Mak su ingat siapa yang buat semua tu kat rumah banglo milik Datuk Fadil dengan Datin Rahimah? Orang gaji?” 

Mak su ketap gigi.

“Mak tiri kamu tu memang kurang ajar,” marahnya. Darahnya mendidih apabila membayangkan Fazia yang terpaksa buat semua kerja rumah sedangkan abang dan kakak iparnya mampu mengupah orang gaji.

“Syy!”

Laju tangan Fazia tutup mulut mak su. “Dah, dah! Mak su pergi keluar. Nanti apa pulak mak tok dengan wan fikir tengok mak su lama-lama kat dalam bilik ni.”

“Erm okey! Nak berehat ke apa...”

“Ya, mak su. Saya faham. Babai!”

Tubuh mak su ditolak dan pintu bilik laju ditutup. Fazia sandarkan diri di belakang pintu. Mata dipejamkan untuk seketika. 

Menarik nafas panjang dia menegakkan diri. “Come on, Gee! Ujian ni kecik aje kut! Kau tak berperang macam mereka di Syria. Kau tak kebuluran macam mereka di Sudan. Kau tak kena bom dan putus kaki tangan. Kau boleh hadapi semua ni. Pasti boleh!”

Buku lima digenggam kemas. Azam ditanam kukuh dalam hati. Amanah ini akan dilakukan seikhlas mungkin. Yang penting, dia sudah berada hampir dengan mereka. Mereka yang benar-benar ikhlas menyayanginya dulu malah dia yakin bahawa sehingga hari ini, kasih sayang itu tidak pernah berkurang biarpun sedikit.
__________________

sayang2 semua, sampai bab 3 saja ya! selepas ni saya akan masukkan blurp dan harga untuk anda. muahhh.  

8.9.16

DIKTATOR ITU KAMU 2

September 08, 2016 0 Comments


Hati tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh ada di sini? Yang paling penting, bagaimana dia boleh tahu yang ini tempat kerja aku?

Dia terus melarik senyum. Dia berdiri dan kini pantas gerakannya mendekat, menghentikan langkah yang kuatur. Kini dia berdiri betul-betul di hadapanku.

"Hai sayang. Missed me?"

Sapaannya sedikit mengejutkanku. Sayang? Dia panggil aku sayang? 

“Gila ke apa panggil aku sayang?” 

Seperti waktu-waktu dulu, sedikit pun dia tak terkesan dengan kemarahanku. Malah kini, dia sedang melambakkan tawanya. 

“Jangan cakap kau tak rindukan aku, sayang!” 

Eee, sayang lagi tu! 

"Stop! Jangan ngada-ngada nak panggil aku sayang, ya! Dan satu lagi, apasal pula aku nak rindukan kau?" marahku. Aku muncungkan mulut tanda geram pada dia.

“Alaa, sampai hati kau tak rindu pada aku?” Dia garu kulit kepala sambil pamer muka sedih. 

“Alaa!” Aku ajuk dia. Mukaku sengaja aku masamkan. Dia ketawa. Ketawa yang berjangkit kepadaku. Yang mengingatkan aku kepada masa-masa lalu kami berdua.

"Zakri?”

Suara keras itu buat aku terkejut kali kedua. Spontan aku pusing 180 darjah. Whoa, encik bos sedang cekak pinggang. Renungan mata dia tajam macam nak tikam pemilik nama Zakri itu. Tapi, bagaimana encik bos boleh ada di sini? Dia ikut aku ke tadi? 

Belum sempat aku nak cari jawapan kepada soalan itu, sekali lagi aku dikejutkan. Kali ini oleh tindakan Zakri yang selamba letak tangan dia atas bahu aku. Akibatnya, aku dongak dan tertengok muka encik bos. Dah tentulah muka ketat dia yang aku nampak.

"Turunkan tangan kamu tu, Zek."

Arahan encik bos buat aku tersedar. Pantas saja tangan aku cuba menolak tangan Zakri tapi kenapa pula tangan kawan baik aku masa belajar di UiTM Shah Alam dulu, dah jadi macam sotong kurita? Nampak macam nak kena karate dah ni!

"Sayang, kenapa macam tak biasa aje?” Zakri cakap kuat-kuat sambil sengih pada aku. 

“Kau ni dah kenapa, Zek? Kena rasuk? Macam tak tahu yang aku memang tak biasa, tak pernah dipegang-pegang macam ni. Cepat turunkan tangan kau kalau tak nak kena sepak dengan aku.” Aku jegilkan mata bersama amaran perlahan yang meniti bibir. 

“Syy! Relakslah. Sekejap aje.”

Aku tetap tolak tangan Zakri. Tetap tolak dia jauh-jauh. Mamat tak cukup akal betul dia tu. Berani dia pegang-pegang aku? 

Tiba-tiba Encik Zariel tarik tangan aku supaya aku jauh daripada Zakri. Namun matanya hanya kepada kawan baik aku itu. Hesy, risau pula rasa. Buatnya dia hilang sabar dan pukul Zakri, macam mana?

“Apahal kamu ni, Zek? Buat perangai tak senonoh di lobi ofis along? Nak malukan along ke?”

“Along?”
---------------------

Liana dah terkejut tu. ada yang nak lagi sambungannya? hehe.....

Review Lakonan Cinta... mana tahu kut boleh tersuka nak beli LC

September 08, 2016 2 Comments


TERIMA KASIH atas komen yang positif.... Jom dapatkan novel LAKONAN CINTA karya Ana Sofiya ataupun Kak Sofi.

Dah ada di pasaran tetapi khas untuk belian online sahaja!




Lakonan cinta

Sebuah bacaan yang santai je , baca pun tkde stress. 

Saya asyik tersenyum senyum je bila baca telatah Qif dn Gee ni

Memang stress betul Qif bila Gee tk tau siapa dia, pelakon popular hero Malaya. Bagi Gee , Qif ni mamat perasan bagus, playboy berdasarkan reputasi dia . Lagi2lah sbb pengalaman dgn bekas tunang , memang tk lah Gee mudah dibuai oleh perhatian si jejaka.

Memang pada mulanya Qif pun tk menyedari perasaan dia pada Gee tp bila dia dh tau tu, memang dia cuba nak mendekatilah Gee. Tanpa disedari perkenalan mereka memang dirancang Tok Wan Gee.

Ia bukan sekadar kisah cinta Qif dn Gee tp ttg hubungan keluarga .

Saya suka dgn karakter2 dlm cerita ni, hubungan keluarga Gee dgn mak saudara , Tok wan dan mak tok. Lain nk dikatakn ttg hubungan Gee dgn ayah dn mak tiri dia yang amat mementingkan harta sampai mengorbankan perasaan anak sendiri

Bila dh kawin tu pun manis2 je, sebab masing2 pandai menilai pasangan masing2, adanya pengacau pun tk cepat membuat kesimpulan. Kepercayaan dn kasih sayang antara pasangan yang diutamakan.


Tahniah kak .. satu lagi karya akak yg saya sangat suka. Sebenarnya lama dh abis baca . Baru nk tulis review 

Hero heroin yg mencuit hati. Masih imagine telatah mereka bila tulis review ni.. tk boleh lupa part Qif kidnap Gee sbb cemburu πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

........................

Dekat atas tu ucapan terima kasih daripada Penerbit. Yang ini pula ucapan terima kasih khas daripada Kak Sofi. 

saaaayangg Azida hehe.


Bab 2 - Lakonan Cinta

September 08, 2016 0 Comments



Di dalam Saloma Bistro, dua insan duduk saling berhadapan. Yang seorang sibuk bercerita, yang seorang menadah telinga dan cuba menjadi pendengar yang baik. Sesekali bibir diketap menahan geram. Sesekali air mata menitis akibat sedih. Sehingga habis akhirnya dan kini masing-masing diam namun tangan saling bergenggam.

“Mak su rindukan kamu, Gee. Masa mak su dapat message kamu, tak tahu nak cakap macam mana seronoknya mak su, tahu tak? Anak saudara mak su yang hilang, hubungi mak su. Wah, rasa macam dalam mimpi lagi ni.”

“Maaf, mak su. Saya baru tergerak hati nak buat jejak kasih selepas saya jumpa kotak permainan saya yang tersorok lama. Kalaulah saya buka kotak tu lebih awal, dah lama saya cuba hubungi.”

Mak su senyum lebar. Bahagia kerana anak saudara masih mahu mencarinya. Masih mahu menyambung silatur rahim. “Tapi mak su hairan juga. Macam mana kamu boleh dapat nombor mak su?”

“Saya upah penyiasatlah, mak su.”

“Wah, hebat! Pakai PI segala.” 

“Demi lepaskan diri daripada cengkaman ayah, mak su.”

Mak su mengeluh. “Tak sangka perangai teruk abang mak su tu tak berubah-ubah lagi. Berapa jauh lagi dia nak pergi? Tak cukup lagi ke harta benda yang dia dah ada?”

Muka emak saudara yang buat pertama kali ditemui selepas 22 tahun ditatap penuh hiba.

“Dah, jangan sedih-sedih lagi. Mak su, wan dengan mak tok kamu ada. Kami sentiasa ada untuk kamu.”

Air jernih yang ditahan gugur juga. Kini dia teresak. Tangisan penuh syukur kerana berjaya menemui semula mereka yang lebih menyayangi dirinya. Ya, selama 22 tahun dia lupa yang dia ada keluarga lain selain keluarganya di Miri. Dia lupa bahawa nun jauh tersembunyi ada yang masih mengingatinya. Malah, sentiasa merinduinya.

“Terima kasih, mak su.” Nada sayu meniti bibir Fazia.

Mak su bangun dan duduk di sebelah anak saudaranya. Tubuh gadis itu ditarik ke dalam dakapannya. Dipeluk erat-erat penuh kasih sayang. 

“Saya tak sangka yang mak su sudi terima saya. Dengan apa yang ayah dah buat pada wan dan mak tok, saya ingat tentu mak su pun marahkan saya juga,” keluh Fazia.

“Abah dengan mak tak pernah salahkan kamu, Gee. Kita kan kecik lagi waktu tu? Lagipun, ayah kamu tu yang bawak kamu lari. Dan kami yakin, ayah kamu juga yang tak izinkan kamu hubungi kami. Betul tak?” 

Fazia angguk. Tak ada apa yang hendak disembunyikannya kerana itulah kebenarannya.

“I bet, dia tak pernah sentuh pasal kami kepada kamu. Betul?”

Fazia angguk lagi.

“Hesy! Dasar anak derhaka memang macam gitulah.”

Memang sedih mendengar kata-kata mak su namun Fazia tak menyahut. 

“Okey, sekarang kamu dah selamat dekat sini. Jadi, bolehlah kamu ikut mak su balik ke Junjung. Kamu memang nak jumpa wan dengan mak tok, kan Gee?”

“Tapi tak boleh sekarang, mak su. Kita kena tunggu dua tiga hari lagi.”

“Kenapa?”

“Sebab saya yakin ada konco-konco ayah duk intai kat rumah tok wan tu.” Fazia luahkan resahnya.

Mak su angguk. Itu memang tak mustahil, fikirnya. Abangnya mampu buat apa saja demi diri sendiri. Sekarang ni Fazia adalah aset pentingnya yang hilang. Tentu sajalah dia akan gandakan usaha mencari Fazia sampai jumpa. Tiba-tiba mak su dapat satu akal.

“Gee, jangan sedih-sedih lagi. Nak tahu kenapa? Sebab sekarang ni mak su dah dapat satu brilliant idea.”

“Ya?”

“Ya. Kita akan balik dengan keadaan kamu yang...” Mak su tengok Fazia atas bawah sebelum sambung. “Berbeza.”

Dahi Fazia dah berkerut. “Apa maksud mak su ni??”

Mak su buat isyarat menyuruh Fazia mendekatkan telinga. Dia bongkar plan yang hadir di minda, idea spontan yang dia pasti amat berkesan untuk meleraikan masalah anak saudaranya. 

“Macam mana? Setuju?” soalnya teruja.

Laju Fazia mengangguk. 

“Mestilah setuju. Idea mak su ni bernas sangat,” jawabnya tersenyum. Kali pertama selepas sekian lama dilanda masalah.

“Kalau macam tu, jom kita pergi Jalan TAR.”

“Nak buat apa dekat situ?” Dahi Fazia dah berkerut seribu.

“Beli baju yang sesuai dengan kerjaya baru kamulah, ngok! Beli tudung sekali.”

“Oh ya ke? Okey, okey! Setuju.” Fazia bangun namun dia teringat akan sesuatu. Lalu tangan mak sunya ditarik. Wajah wanita sebaya dirinya itu ditatap tajam.

“Ingat tau, ini rahsia kita berdua. Orang lain tak boleh tahu, ya.” Amaran diberi.

“Termasuk abah dengan mak?”

Fazia angguk. “Terutama mak tok dengan tok wan.”

“Okey! Deal!”

Fazia sengih. “Pinky primise?”

“Hmm. Pinky promise.”



Dua jari kelingking bertemu kemudian ibu jari bercantum tanda perjanjian sudah dibuat dengan jayanya.

7.9.16

DIKTATOR ITU KAMU 1

September 07, 2016 0 Comments





Aku campak beg ke atas meja kerjaku sebaik sahaja aku sampai di pejabat. Tak sempat nak jeling kiri kanan kerana perut yang sedang memulas ini perlu aku layan terlebih dahulu. Sejak dari dalam kereta tadi lagi aku kesakitan. Nasib baiklah jalan tak sesak. Berjayalah juga aku memandu dengan laju seolah-olah aku ini isteri Michael Schumacher. Dan nasib baik juga encik bos belum sampai. Kalau dia dah ada dalam bilik dan buatnya dia nampak aku tadi, jenuhlah aku nak tahan rasa sakit ini.

Okey, selesai. Alhamdulillah! Aku atur langkah untuk ke meja kerjaku semula. Ada banyak yang perlu kubuat sebelum encik bos sampai. Kalau boleh, aku tak mahu bertembung dengan dia pagi ini. Aku bosan nak tengok muka lelaki itu yang asyik meroyan sekarang.

Dia sangat annoying. Kadang-kadang aku berasa seolah-olah dia seperti sengaja hendak menguji kesabaranku. Seolah-olah sengaja nak bagi darah aku naik hari-hari. Sengaja suka buat aku hangin dengan dia. Sekejap dia marah, sekejap dia tengking aku. Ada masa dia berbisik lembut tapi selalunya dia lebih suka tinggikan suara. 

Ini peristiwa dua hari lepas. Entah apa mimpinya, dia suruh aku pindah masuk duduk dalam bilik dia. Katanya, senang dia nak suruh aku buat kerja. Sudah tentulah aku bantah. Tak pasal aku nak ikut perintah dia. Apa masalahnya kalau aku duduk di tempat aku sekarang? Dah setahun aku duduk di luar biliknya. Tak pernah pula aku abaikan kerja yang dia beri. Kalau dia malas nak keluar bilik untuk berikan arahan secara berdepan, dia guna interkom untuk suruh aku buat itu ini. Rasanya, setakat ini kerja aku tip top. Tak pernah dia terlepas temujanjinya dengan klien. Tak pernah aku taip perkara yang tak sepatutnya. 

Kerana aku degil dan tak mahu ikut kehendak dia, mulalah dia mengamuk. Ada saja yang tak kena. Ada saja yang hendak dileterinya. Aku simpan marah dalam hati. Aku pesan pada diri supaya terus bersabar. Kalau ikutkan hati memang aku berasa seperti nak panggil doktor ke pejabat. Nak minta tolong doktor itu scan otak encik bos! 

Sehingga waktu makan tengah hari tiba, kelibat encik bos tidak kelihatan. Aku relaks saja. Seronok dengan rasa damai yang sedang kunikmati ini. Kalau dia sudah berada dalam bilik, biarkan saja dia terus bertapa di situ sampai lepas aku balik kerja nanti. Hehe, nakal tak aku?

Sedang aku bersiap-siap nak turun beli nasi bungkus, telefon atas mejaku berbunyi. Linda, si penyambut tetamu menelefonku.

"Cik Liana, ada orang nak jumpa cik di lobi." 

Siapa yang datang? Siapa yang nak jumpa aku? Mak? Tak mungkin. Mak di kampung. Lagi pun kalau mak nak datang, mak mesti call aku lebih dulu. Orang lain? Emak-emak saudara? Sepupu sepapat? Kawan-kawan lama? Alahai, daripada asyik menyoal diri lebih baik aku tengok sendiri siapa orangnya. 

Entah kenapa hari ini ramai pula orang yang naik turun lif. Dekat lima minit, aku ambil keputusan untuk turun guna tangga dari tingkat tiga. Jadi, aku sedikit mencungap ketika tiba di lobi. Memandang ke arah Linda, dia tunjuk ke kiri. Di atas sofa, ada seseorang sedang melayan telefon pintarnya. Dialah yang mahu jumpa denganku. 

Hati berdebar dan tertanya-tanya siapakah dia. Namun, saat dia mendongak dan pandangan kami bersabung, aku terpegun. Bulat sepasang mataku. Bibir laju mengorak senyum.

“Kau? Kau yang nak jumpa aku?”
.........................

kepada yang sudi beli, sila pm Kak Sofi di FB okey!

Bab 1 - Lakonan Cinta

September 07, 2016 0 Comments


Fazia tegakkan kerusi yang diduduki. Setelah berpuas hati, dia berikan tumpuan kepada tali pinggang pula. Tali keselamatan itu segera dipakai ke pinggang. Ditarik kuat-kuat seperti mana yang sering dia lihat dalam video yang ditayangkan. Setelah berasa selesa, dia menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi sambil menutup sepasang mata. Tidak dia endahkan keadaan kelam kabut di sekitarnya. Dia tahu kabin krew tentu lebih arif mengendalikan sikap dan perangai manusia yang berada dalam penerbangan yang akan membawanya ke Kuala Lumpur nanti. 

Tiba-tiba dia berasa seperti tempat duduk di sebelahnya yang tadi kosong sudah berisi. 

“Hmm, three is company,” bisik hatinya tanpa menoleh mahupun membuka mata. 

“You ni memang tak gunalah, Id. You tunggu ya! Balik KL nanti, habislah you I pecat!” 

“Janganlah marah-marah, bos.” 

“Habis, you nak suruh I gelak dengan semua ni?” 

“Relakslah, bos...” 

“I suruh you booked flight siang, you ambil yang malam. I suruh you booked business class, you booked kelas ekonomi. Lepas tu pandai pulak you suruh I relaks, ya?” 

“Syy, bos!!” 

“Tak ada satu pun kerja yang I bagi you, you buat betul-betul sekarang ni. You dah dapat tawaran dari artis lain kut? Yang lebih tinggi gaji dia ya? Sebab itu you buat perangai supaya I pecat you. Betul?” 

“Hesy, mana ada bos!” Idlan sengih. Namun dia segera kalih ke lain apabila Qif Farhan memandangnya garang. Bukan dia takut dengan Qif Farhan. Bukan! Umur mereka lebih kurang saja kut, nak takut apanya? Dia cuma tak nak layan kemarahan Qif Farhan, itu saja. 

Lagipun dia amat menghormati Qif Farhan. Ya, Qif Farhan memang cepat melenting tetapi cepat juga sejuknya. Qif Farhan ni hangin satu badan orangnya tapi bab bayar gaji, Qif Farhan tip top. Bab bagi elaun makan, elaun jalan, elaun tambahan kepadanya, Qif Farhan tak pernah berkira. Jadi, apalah sangat kalau dia perlu tadah telinga begini. Bukan lama mana pun marah pelakon dan penyanyi terkenal di sebelahnya ini. Kejap lagi eloklah tu! 

“You ni...” Bla bla bla! 

Fazia mendengus. Ketenangannya terganggu dek bebelan lelaki di sebelahnya ini. Niat nak tidur terus tak jadi. Terbantut dek gangguan mulut yang mengalahkan buntut ayam itu. 

“Three is no more a company. Three is a crowd now!” gumamnya. Namun suaranya sengaja dikuatkan dengan harapan lelaki itu dengar. 

Qif Farhan yang sedang mengamuk, terus diam. Dia ambil peluang itu untuk tengok orang sebelah. Cuba menilik muka si dia. Malangnya gadis itu menyibukkan diri dengan jari asyik menekan punat-punat yang terdapat di skrin tv di hadapannya. Sikit pun tak toleh tengok dia. Jeling pun tidak! 

Qif Farhan sentap dengan sikap tak endah gadis itu kepadanya. Namun tak lama. Dia hulurkan tangan kanannya. 

“Hai. I, Qif Farhan. Kenal I, kan?” ujarnya sambil senyum manis. 

Lama gadis itu pandang tangan yang Qif Farhan hulur. Dia kemudian jongket bahu. 

“Tak kenal. Awak siapa?” sahutnya. 

Idlan sampuk. “Err, cik. Takkan tak kenal dengan Qif Farhan kut? Artis lelaki Malaysia yang paling popular ni.” 

“Dah memang saya tak kenal dia, nak buat macam mana kan?” Gadis itu masih dengan gaya tak pedulinya. 

Tiba-tiba Qif Farhan sengetkan tubuhnya kepada Idlan. 

“I rasa orang kat sebelah kiri I ni alien,” bisiknya. 

Idlan panjangkan leher memandang objek yang dikatakan alien itu. Dia sengih. 

“Mata bos dah rabun kut sampai tak boleh bezakan perempuan cantik dengan alien,” kutuknya. 

Qif Farhan semakin tunduk. “Kalau dia perempuan, dia mesti kenal I.” 

“Alah, bos! Bos bukannya comel macam Joong Ki pun. Bos ni tipikal hero Malaysia yang so-so aje. Jadi, tak heranlah kalau tak semua orang kenal bos.” 

Sentap perasaan dengar pengurus sendiri mengutuk dirinya. Bibir diketap. Nak cakap lebih-lebih pun dah tak boleh bimbang mengganggu orang lain. Sebagai artis dia kena juga jaga imej. Segala perasaan mesti cuba dikawal sebab takut nanti tak pasal-pasal muka dia viral di media sosial dengan tajuk... Pelakon terkenal mengamuk dalam Malaysia Airlines. 

Siapa yang malu nanti? Dia juga! 

Sekali lagi Qif Farhan toleh ke kiri. Bulat matanya tengok gadis itu yang dah siap pakai kain penutup mata. 

“Potong betullah dia ni. Kapal terbang belum naik lagi dia dah tidur,” omelnya. 

“Senyap boleh tak? Sejak awak masuk dalam kapal terbang ni, mulut awak tu tak diam-diam. Nak saya zipkan ke?” 

Aik? Perempuan tu marahkan dia? Apasal? Apa dosa yang dia dah buat? Mata Qif Farhan dah terkebil-kebil. Mulut pun dah kelu, tak boleh nak balas seolah-olah dah kena pukau lagaknya. 

Fazia puas hati selepas dapat diamkan lelaki yang kononnya pelakon itu. Tak sangka betul yang dia akan jumpa seorang lelaki yang kuat membebel. Fikirnya Datuk Fadil sajalah satu dalam sejuta manusia yang sentiasa suka mengomel walaupun pada perkara-perkara kecil yang berlaku. Tetapi hari ini dia jumpa klon ayahnya. Agaknya kalau kedua-dua lelaki dimasukkan dalam sebuah bilik yang sama tentu riuh rendah bilik itu dengan perbualan dan celoteh mereka. 

Mengenang ayahnya, hati mendongkol. Geram dan semua perasaan tak puas hati menguasai diri. Dia teringat kepada kejadian yang menyebabkan dia nekad naik pesawat ini tadi. 

“Kunci semua pintu. Pastikan Fazia tak keluar dari rumah sehingga hari nikah dia dengan Johan. Faham!” 

Mungkin semua orang lain faham dan mengangguk, takut dengar suara garang ayahnya. Tapi tidak dia. Tidak Fazia! 

“Kenapa ayah buat saya macam ni?” soalnya. 

“Sebab kamu tu degil sangat.” 

“Saya degil sebab saya dah bosan dengan semua ni. Ayah tak dengar ke apa yang saya bagi tahu tadi?” 

“Ayah dengar tapi semua tu tak akan ubah apa-apa.” 

“Saya tak akan ikut arahan ayah.” 

Dia ditampar ayahnya kerana ayat melawan itu. Namun Fazia tak peduli. Dia mahu terus melawan, demi dirinya. Demi harga dirinya. 

“Saya tak faham kenapa saya kena kahwin dengan Johan selepas apa yang dia dengan Fariza dah buat. Kalau ayah nak sangat Johan jadi menantu ayah, kahwinkan dia orang berdua. Kahwinkan Johan dengan Fariza!” 

“Miss!” 

“Hesy, apa ni!” Fazia jegilkan mata kepada orang sebelah. Dahlah dia masih angin dengan hal yang berlaku di rumah, sekarang anginnya semakin naik dengan perangai lelaki yang dengan sesuka hatinya saja nak sentuh-sentuh tangan dia. Tumbuk karang baru tahu! 

“Garang betul you ni! I panggil baik-baik kut tadi.” 

“Baik? Siap cuit-cuit lengan saya, itu awak cakap awak baik?” 

“Dah you tu asyik duk berangan, kenalah I cuit-cuit untuk kejutkan you.” Qif Farhan mempertahankan tindakannya. 

“Nak apa?” Fazia membentak. 

Qif Farhan sengih. “Nak you boleh?” 

“Eee, aku lempang jugak mamat senget ni kang.” 

“Hesy, nak gurau sikit pun tak boleh.” 

“Awak kawan saya ke? Bukan, kan?” 

“You betul-betul tak kenal I?” 

Ya Allah! Dia ni pekak ke apa? Tak faham bahasa ke? Fazia ketap gigi menahan geram. 

“Saya memang betul-betul tak kenal awak. Tolong terima hakikat tu,” ujar Fazia. Perlahan tapi tegas. 

Idlan dah mengekek. Seronok pula dia tengok Qif Farhan yang dah terkulat-kulat. Mungkin tak sangka yang ada seseorang dalam Malaysia ni yang tak kenal dia. Oh mai! 

Qif Farhan geleng. Pun begitu, dia cuba control macho. Dengan tenang dia pandang wajah gadis yang langsung dia tak nampak mata itu. 

“Okeylah. Lupakan pasal tu. Sekarang ni I nak tanya you. You nak makan apa malam ni?” 

Fazia tetap tak pedulikan suara lelaki itu. 

“Cik, kalau you buka penutup mata you tu you akan nampak yang pramugari tengah duk hidang makan malam kita sekarang.” 

Fazia intai dengan mengangkat sedikit penutup matanya. Baru dia perasan yang di lorong antara penumpang ada dua orang pramugari yang sedang berhidang makan malam untuk mereka. Pun begitu, dia tak berasa hendak makan. Dia masih tak punya selera sejak peristiwa yang berlaku. Jadi, laju dia geleng lalu kembali menutup matanya. Niat di hati dia mahu lena. Mahu tidur dan lupakan masalah yang sedang dia hadapi. 

Qif Farhan kerut dahi tengok perangai gadis di sisi. Dahlah garang semacam, orang tanya tak jawab pula, gerutunya. Namun dia mintakan juga makan malam untuk gadis itu. 

“Kenapa bos? Bos nak makan perempuan tu punya dinner ke?” Idlan dah keliru. 

“Dia lapar tapi sebab dia banyak masalah, dia buat-buat macam dia tu kenyang sangat. Jadi I ambilkan untuk dia. Nanti bila dia jaga bolehlah dia makan.” 

“Wah, baiknya hati bos.” 

Idlan kadang-kadang kagum juga dengan bos dia yang seorang ini. Qif Farhan terkenal dengan sifat garang dan berlagak. Sombong dan tak berperi kemanusiaan. Namun malam ini, dalam pesawat MH 2368 dari Miri ke Kuala Lumpur ini, terserlah sikap prihatin yang dia tak pernah tahu. Hai, kalaulah bosnya selalu tunjuk sikap baik begini, tentu senang dia nak jaga. Tapi itulah! Dah nama pun Qif Farhan, memang sentiasa saja mencipta masalah. 

“I bukannya baik. I cuma tak nak perempuan tu terjerit-jerit sebab sakit perut nanti.” 

Yalah tu! 

Kehadiran artis kegilaan ramai dalam pesawat mula diketahui. Maka sewaktu pesawat sedang terbang mendatar, beberapa orang peminat datang menyerbu ke tempat duduk Qif Farhan dan Idlan. 

“Qif, boleh tak you selfie dengan I?” 

“Qif, boleh tak kasi signature you kat sini?” 

“Qif, I suka sangat tengok you berlakon tau. You tu my favourite actor.” 

Sebagai pengurus artis, Idlan melakukan yang terbaik untuk memastikan Qif Farhan memenuhi permintaan-permintaan itu. Dia tahu Qif Farhan tak selesa tapi apa boleh buat, Qif Farhan harus jaga nama baiknya. Bukankah dalam kalangan peminatnya, Qif Farhan terkenal sebagai artis yang murah senyuman dan mesra? Jadi, malam ini lelaki itu harus membuktikannya. 

Suara-suara yang bising dan riuh rendah mengejutkan Fazia. Penutup mata dibuka dan rambut yang sedikit kusut disisir sebelum dia menoleh ke kanan. Kedua-dua tempat duduk di sebelahnya kosong namun tidak jauh dari situ dia perhatikan ramai orang berkumpul. Dahinya berkerut. 

Apa ke halnya? Bising betul! Macam tak pernah naik atas kapal terbang sampai nak berselfie bagai, gumamnya. 

Tiba-tiba Fazia terperasan akan sesuatu. Di hadapannya, atas ruang makan ada kotak dan air oren. 

“Siapa punya ni?” soalnya. 

“Dah ada depan aku, maknanya aku punyalah, kan?” soalannya dijawab sendiri. 

Tiba-tiba pula perut keluarkan bunyi. Erk? 

Nasib baik orang sebelah tak ada, kalau tidak malu aku. Hailaa perut! Berbunyi pula kau ya, omelnya. Tangan kiri usap perut, tangan kanan buka penutup. 

“Hmm, ikan masak masam manis ni. Mesti sedap.” 

Jadi apa tunggu lagi? Lajulah dia menyuap ke mulut. Lagipun orang kat sebelah tak ada. Sibuk berselfie nampaknya. Senanglah dia nak makan. Tak kalut nak cover ayu. 

“Alhamdulillah,” ucap syukur kepada Allah yang memberi rezeki. Kini dia hanya perlu tunggu pramugari lalu untuk menyerahkan bungkusan makanan yang sudah pun kosong. 

Baru nak tenangkan diri, jiran sebelah sampai. Fazia pura-pura tak nampak. Dia meralitkan diri memandang ke luar tingkap, pada gelap malam. Pada awan yang kelam. 

Qif Farhan jongket bahu dan sengetkan mulut tunjuk kepada Idlan ke sebelah kirinya. 

“Dah habis.” Mulut ungkap tanpa suara. 

Idlan angguk tunjuk isyarat bagus kepada Qif Farhan. 

“Thank you, boss!” Idlan bisik. Dia bersyukur sangat apabila Qif Farhan sudi layan kerenah peminatnya tadi. 

“It’s okay. Tapi, you nampak tak? Kalau you booked awal-awal, I dah selesa berehat di kelas business tadi. Tak ada orang tahu I dalam pesawat ni dan tak adalah I sibuk bergambar dekat sejam.” 

Ya Allah! Lelaki yang seorang ni kalau tak merungut tak boleh ke? Ni spesis tak reti bersyukur ke apa, kutuk Fazia dalam hatinya. 

“Bos, pelan sikit suara tu. Nanti peminat bos sentap.” Idlan letak jari telunjuk di bibir. Memberi amaran. 

Qif Farhan mendengus. Masih dengan riak tak puas hatinya. 

“Tapi bos, semua ni bagus untuk promot filem terbaru bos. Moga-moga dapat box-office jugak. Kayalah bos nanti bila Michael bagi bonus ribu-riban.” Idlan melobi. 

Qif Farhan sengih. “You pun tentu untung kalau I untung. Tak gitu, Id?” 

Haisy, sempat lagi menyindir tu! 

Hati Fazia teruja juga nak tahu latar belakang lelaki yang mengaku artis terkenal di sebelahnya ini. Dia senyum mengenangi betapa terkejut lelaki itu apabila dia beritahu yang dia tak kenal Qif Farhan. Hailaa, kesian sungguh. Tapi nak buat macam mana? Dia memang tak pernah ambil tahu hal dunia artis. Sepanjang dia hidup dia hanya ada dua dunia. Dunia di rumah dan dunia di tempat kerja. Lain-lain semua dia tak pernah peduli. 

“Dah jaga, cik adik?” 

Fazia kembali menutup mata. “Saya nak tidur balik. Jadi awak dengan kawan awak tu tolong diam ya.” 

“Haih, kan dah nak sampai KL ni. You tak nak selfie dengan I ke?” 

“Tak nak.” 

Qif Farhan rasa terluka sangat. Tak percaya sungguh dia bahawa masih ada perempuan yang tak pedulikan dirinya. Yang tidak mengendahkannya. Mahu saja dia bertanya kenapa namun perempuan itu memang langsung tak tunjuk minat nak bercakap. Sudahnya dia beralah. 

“Tak apa. You tidur ajelah.” 

“Jadi, tolonglah diam ya! Jangan nak mengomel sangat. Bising.” 

Qif Farhan ketap bibir. Sakit telinganya dengan teguran itu. Namun hatinya lebih sakit lagi. Sakit sungguh!