Langkau ke kandungan utama

Bab 7 Per: Jawatan Isteri




FAHAD hilang untuk beberapa hari. Lelaki itu tidak menelefonnya. Tidak juga menghantar sebarang mesej atau pesanan. Biarpun hatinya risau, Adelia bertahan. Dia tak mahu telefon atau bertanya. Biarlah Fahad melayan perasaannya. Apabila masalahnya selesai, Adelia yakin yang Fahad akan mencarinya.

Hari ini Adelia berjalan sendiri ke gerai yang menjual nasi campur. Cadangnya nak tapau bawa naik ke ofis. Dari pagi dia tak makan sebab tidak berselera akibat diserang selesema. Namun, melihat ramainya orang yang sedang berbaris menunggu giliran, Adelia ubah fikiran. Dia gerakkan kaki ke dalam kedai mamak di seberang jalan. 

Baru hendak mula menyuap, tempat duduk di hadapannya ditarik. Tak perlu tanya siapa, dia dah tahu. 

“Makan tak ajak.” Suara Fahad kedengaran. 

“Nak ajak macam mana? Saya tak tahu awak di mana.” Adelia membalas. 

“Kenapa tak telefon I?” 

“Takut. Nanti awak cakap saya nak kacau awak pulak.”

Fahad menggeleng. Adelia sentiasa ada jawapan bagi setiap soalannya.

“You tak risaukan I ke?” soalnya.

“Taklah risau sangat. Awak kan dah besar panjang? Lagi tua daripada saya kut. Takkanlah awak tak pandai nak jaga diri sendiri tu, kan?”

Fahad hilang kata. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Laju tangan gagau kocek seluar. Kotak empat segi dikeluarkan dan diletak di hadapan gadis itu. 

“Apa ni?” Adelia dah teruja. Kotak dicapai dan dibuka. Cincin dikeluarkan dan tanpa disuruh, terus disarungkan ke jari. Jari itu kemudian ditayang di depan muka Fahad.

“Muat dengan jari you.” Fahad dah tersenyum.

Adelia angguk. “Bagi kat saya ke ni? Terima kasih. Saya suka.” 

“Cium pipi I.”

“Huh?” Adelia terkejut. Permintaan apakah itu?

“Perempuan-perempuan yang I kenal semua cium I lepas dapat hadiah, tau.” Fahad tersengih memberitahu. 

“Saya akan cium suami saya aje bila dia bagi saya hadiah. Jadi, bersyukurlah dengan ucapan terima kasih yang awak dapat daripada saya tadi tu.”

Fahad tersenyum sinis. “Anggap aje I ni bakal suami you.”

“Bakal aje pun, kan? Jadi awak tak layak dicium oleh saya.” Adelia balas. Sinis.

“I dah agak yang you akan menyombong dengan I. Nampaknya cincin tu pun tak berjaya buat you sukakan I, Adel! “ Fahad mendengus.

Mata Adelia bulat. Hati dah berdebar. Kalaulah Fahad tahu betapa gementarnya dia setiap kali mereka bersama? Kalaulah Fahad tahu betapa dia selalu teringatkan diri lelaki itu? Kalaulah dia boleh meluahkan apa yang dia rasa? Tapi, dia memaksa diri untuk melawan segala perasaan yang melanda. 

Dia kena sedar diri. Perlu sedar siapa dia. Dia tak mahu kecewa sepertimana yang pernah dialami ketika bersama Doni dahulu. Dia perlu awasi hati dan perasaannya. Jangan mudah-mudah nak luahkan rasa hati sendiri. Bahaya! 

Fahad amati wajah di hadapannya. Tidak langsung dapat dibaca riak itu. Dia tak dapat meneka apa yang sedang bergolak dalam kepala Adelia. Itu yang menyakitkan hatinya. Itu yang buat dia gelisah. Itu yang dia tidak suka. 

Nampaknya, dia mesti cekalkan hati dan terus pada pelaksanaan misi. Nampak sangat hati dia yang dah tunggang-langgang. Kalau masih berlengah dia bimbang nanti dia semakin tak boleh mengawal diri dan perasaannya. Kerana itulah tanpa teragak-agak dia letakkan sehelai kertas bertulis tangan di hadapan Adelia. 

“Baca dan fahamkan.” Dia memberi arahan. 

“Apa pulak ni?” Adelia segera lakukan apa yang disuruh. Usai membaca, Adelia diburu tanda tanya. “Kenapa bagi syarat banyak sangat ni?” 

“Dah habis baca?”

“Dah. Tapi, untuk apa semua tu? Apa hal ni?”Adelia tidak sembunyikan rasa hairannya. 

“Salah ke I bubuh syarat-syarat tu semua?”

Adelia geleng. “Taklah salah, tapi saya rasa macam pelik pulak. Kenapa sekarang baru nak bagi syarat-syarat tu semua? Kenapa tidak waktu awal-awal kita kawan dulu?” 

“Waktu awal-awal dulu I tak nampak keperluannya. Sekarang masa yang sesuai sebab I nak elakkan salah faham antara kita.”

“Salah faham tentang apa?”

“Tentang kita.”

“Apa ajelah yang awak fikir sampai timbul idea tentang syarat-syarat awak ni, Fahad?” Adelia tergelak-gelak untuk seketika. 

“Jangan nak gelak sangatlah. Tak lawak, okey!” Fahad dah mula marah.

“Macam mana saya tak gelak. Syarat awak tu melampau sangat. Konon saya tak boleh hubungi awak. Tak ke pelik tu?”

“Pelik? Apa yang pelik bila I tak nak you mesej, telefon atau WhatsApp I?”

“Selama ni boleh aje?”

“Sebab itu I ubah. Sekarang dah tak boleh.”

“Itu saya faham. Tapi, apa alasannya? Kawan apa kalau tak boleh mesej, tak boleh telefon, tak boleh nak WhatsApp? Cuba cakap!” Adelia mula meninggikan suara. 

Fahad tarik nafas panjang. Dia harus berterus terang. “I baru terfikir yang kita tak boleh rapat sangat.”

“Kenapa?”

“Sebab I lelaki dan you perempuan. Kalau setiap masa kita asyik mesej, asyik telefon, asyik WhatsApp, I takut hati I ada sesuatu. Kalau tak hati I, hati you pula nanti yang Dil To Pagal Hai. Kita janji nak berkawan aje, kan? Jadi, kita kena pastikan hubungan kita kekal begitu.”

Adelia pandang wajah Fahad dalam-dalam. “Awak macam takutlah.”

“Takut apa?”

“Takut jatuh cinta dengan saya?” Adelia dah tergelak halus. Terasa lucu mendengar ayatnya sendiri. Jatuh cinta dengan dia? Fahad? Memang taklah. 

Fahad dengus. “I takut. Memang. Tapi, takut you yang jatuh cinta dengan I.”

“Eee, tak adanya saya nak jatuh cinta dengan awak!” 

Jawapan yang laju itu menyebabkan Fahad jegil mata. 

“Awat terkejut sangat tu cek? Tak percayakah?” Adelia buat muka comel. Senyumnya meleret kepada Fahad. 

“Alah, apa nak hairan dengan syarat-syarat awak? Benda-benda tu semua memang saya dah buat pun. Sebelum awak senaraikan syarat-syarat tu semua, awak sepatutnya tanya diri awak. Selama ni ada saya call? Ada saya mesej awak? Tak ada, kan? Memang kita jadi orang asing bila kita bukan di waktu pejabat. Jadi, dengan sendirinya syarat pertama awak tu tak valid dah.” 

Fahad termalu sendiri. Kerana itu laju dia menyuruh Adelia baca syarat berikutnya. 

“Jangan ambil tahu hal masing-masing. Aduhai, macam-macamlah awak ni, Fahad.”

Fahad tarik nafas panjang. “I tak main-main, Adel. Lepas ni you jangan ambil tahu hal I. I pun sama. I tak akan ambil tahu apa-apa pun tentang you. Semua yang I dah ceritakan kepada you, I harap you lupakan. Tak penting pun.”

“Dalam kata lain, jaga tepi kain sendiri aje. Tak gitu? Hisy, rasa menyesal pula saya beritahu awak tentang keluarga saya.” 

Nasib baik dia tak pernah cerita tentang Doni. Agaknya kalau dia beritahu tentang lelaki itu tentu Fahad akan ingat dia ni semua benda nak cerita. Kisah cinta yang tak kesampaian pun dia nak bongkar. Eee, malunya! Nasib baik habaq dah siap-siap. Bolehlah dia zip mulut rapat-rapat selepas ini.

“Jangan marah I, Adel.”

“Kenapa pulak saya nak marah awak?”

“Dengan syarat-syarat tu semua...”

“Saya tak kisahlah, awak.”

Fahad tertanya-tanya kenapa gaya Adelia lain sangat. Begitu bersahaja dan tersenyum seolah-olah syarat-syarat yang dia beri itu tak penting langsung. 

Melihat Fahad yang keliru, Adelia tersenyum. “Sekarang, siapa yang menyibuk hal siapa? Kata tadi tak nak ambil tahu apa-apa tentang saya. Tapi, awak sibuk tanya kenapa saya macam ni, kenapa saya begitu. Peliklah awak ni, Fahad. Dah cakap jangan ambil tahu maka janganlah pedulikan saya dan apa yang saya buat. Saya pun sama. Tak akan ambil tahu apa-apa tentang awak.” 

“You tak sedih, Adel?”

“Nak sedih buat apa? Bukannya awak patahkan hati saya pun.”

“Betul ni?”

“Hoi, jangan risaulah! Saya tak terasa hati. Tak kisah pun. Lagipun rahsia awak, awak punya hal. Saya tak akan ambil pusing. Rahsia saya, hak saya dan awak tak dibenarkan ambil tahu. Saya setuju dengan syarat-syarat tu semua.”

Akan Adelia pegang kata-katanya itu. Selagi hubungan mereka sebagai kawan, dia akan patuhi syarat-syarat yang Fahad mahu dia ikut. Dia tak mahu sesakkan kepala memikirkan kenapa lelaki itu mahukan begitu. Biar saja. Dia bahagia menjadi kawan Fahad dan dia mahu Fahad juga sama. 

Fahad terangguk-angguk dalam keliru hatinya. Tak sangka yang Adelia mudah menyerah dan mengikut kemahuannya sehingga dia jadi tak terkata. 

“Terima kasih, awak. Terima kasih sebab bagi syarat-syarat ni semua. Sekurang-kurangnya ini jadi panduan supaya saya tak masuk campur urusan hidup awak, kan?” Nak kata apa lagi? Takkan nak tunjuk yang dia sebenarnya agak sedih dengan syarat yang berbagai-bagai? 

“You memang sentiasa ceria macam ni eh?” 

Adelia angkat kening. Dalam hati tertanya juga. Dia ketawa ke sekarang? Senyum? Sampai soalan itu yang keluar dari bibir Fahad? Pun begitu, dia sudah ada jawapannya. “Hidup kita ni pendek aje, Fahad. Kita ada banyak pilihan untuk jalaninya. Saya nak tanya awak, mana lebih mudah? Nak senyum atau nak keluarkan air mata?” 

“Senyum?”

“Kan? Jadi, syarat awak tu tak akan ubah saya. Saya tetap Adelia yang ini juga.”



DALAM diam, Adelia tahu ada sesuatu berlaku pada hatinya. Sesuatu yang dia tidak pernah sangka akan hadir menyerikan hidupnya kembali. Berikanlah berbagai-bagai syarat pun, kalau hati dah suka, apa nak dikata? Hati yang degil memang payah hendak dilarang. Apabila perasaan itu sudah pandai mengetuk hati, syarat-syarat yang Fahad beri tidak langsung mampu menghalang rasa itu daripada bercambah. 

Namun dalam masa sama, dia enggan membenarkan. Enggan mengalaminya semula. Biarpun keengganan itu bakal melenyapkan warna pelangi indah yang baru mewarnai hatinya. Biarpun akan menguncupkan semula bebunga cinta yang baru hendak berputik. Dia rela lenyapkan semua, demi Fahad. 

Semua kerana dia tahu Fahad tak pernah anggap dirinya lebih daripada seorang kawan. Adelia yakin, Fahad tak akan pernah melangkaui garisan persahabatan mereka, malah tak akan izinkan dia melangkauinya juga.

“Kenapa perasaan ni tak mahu pergi? Dah dua minggu kami tak jumpa. Aku dah berjaya elak dia. Patutnya dia tak boleh ada dalam fikiran aku. Syuh, syuh! Pergi jauh-jauh. Pergi!”

Melihat gelagat Adelia yang ralit bercakap seorang diri, Mak Ngah Aidah pandang muka Emylia dan Emylia pandang muka emak saudaranya. Emylia kemudian dekatkan mukanya ke muka wanita kesayangannya itu. 

“Tanyalah, mak ngah. Jangan diam aje.” Suara Emylia kedengaran. Perlahan. 

“Tak tahu nak tanya apa.” Mak Ngah Aidah balas.

Adelia luruskan pandangan tepat ke wajah-wajah yang sedang asyik berbisik-bisik. 

“Kutuk along ke tu?” soalnya. Televisyen yang sejak tadi asyik bercakap sendiri, ditutup. Kini dia berkalih menghadap Emylia. 

“Mak ngah, tahu pula along tu yang kita kutuk dia?” Emylia menyindir.

“Tentulah tahu.” Adelia dah menyilangkan dua tangan di dada sambil pamer riak serius. 

“Mak ngah cakap, muka along makin lawa.”

Wajah Emylia dipandang. “Tu bukan isu. Along memang lawa. Cerita benda yang along tak tahu.”

“Coi! Masuk bakul angkat sendiri nampak?” Emylia mengekek. Suka tengok pipi kakaknya yang sudah merona merah. Dia tambah lagi. “Along, mak ngah cakap along dah ada buah hati.” 

Adelia sengih sambil alihkan perhatian kepada emak saudaranya pula. “Tak baik bergosip, yo!”

“Gosip ke? Rasa macam tak aje. Rasa macam ada orang tu tengah hangat bercinta,” usik mak ngahnya. 

“Kalau dah bercinta tu, mengaku ajelah. Lagi satu, sila buka pintu hati along tu luas-luas sikit supaya senang orang tu nak masukkan hati dia untuk along simpan.”

Adelia cebik. “Tak kuasa nak simpan hati orang. Hati sendiri pun along takut cicir, tahu.”

“Dahlah, Emy. Jangan cakap apa-apa pasal tu dengan along kamu. Selagi boleh dia tentu nak sorok apa yang ada dalam hati dia tu.”

“Bukan tak nak cakap, mak ngah. Sebenarnya saya tak ada apa-apa nak beritahu tentang Fahad tu.”

“Nama budak tu... Fahad?”

Adelia angguk. 

“Fahad tu suka along?” Emylia tanya.

“Dia cakap dia nak kawan dengan along. Jadi rasanya dia sukalah juga kut dekat along kamu ni. Betul tak, mak ngah?”

“Hmm. Ada kamu dengan dia keluar makan sama-sama? Jalan-jalan ke?” Mak Ngah Aidah teruskan usaha menjadi perisik.

Adelia angguk.

“Dah serius ke hubungan kamu? Dia ada bagi hint nak lebih rapat?” Mak Ngah Aidah nampak benar-benar ingin tahu. 

Cepat-cepat Adelia geleng. “Kami kawan ajelah.”

“Yalah kawan. Tapi, sampai bila nak kawan saja? Kenalah usaha supaya...”

“Lepas kawan boleh kahwin!” Emylia sampuk ayat Mak Ngah Aidah, membulatkan mata wanita tua itu. “Alah, janganlah marah! Emy ni nak sangat tengok along kahwin, mak ngah.”

“Hubungan kami tak akan sampai ke situ.”

“Kenapa kamu cakap macam tu, Adel?” tanya emak saudara dengan rasa tak puas hati. 

“Sebab dia cuma nak jadi kawan saya. Malah, dia siap bagi saya syarat supaya kami kekal sebagai kawan. Tak boleh melebih-lebih.”

Dahi Mak Ngah Aidah sudah berkerut. Begitu juga dengan Emylia. Masing-masing tampak keliru. 

“Kenapa dia cuma nak kawan aje dengan kamu? Sebab kamu debab?” 

Adelia geleng. “Dia ada sebab dia sendiri dan saya rasa saya tak perlu tahu sebab tu. Cukuplah jadi kawan dia saja. Sebagai kawan pun dia dah cukup istimewa dalam hati saya ni dan saya rasa saya pun ada tempat istimewa dalam hati dia.”

Emylia tak faham. Bukankah selalunya apabila seorang perempuan berkawan dengan seorang lelaki, perempuan itu akan berharap agar lelaki itu mahukan dirinya? Kenapa perangai kakaknya ini lain macam pula? Dia orang kawan aje? Boleh ke macam tu? Lelaki dengan perempuan berkawan baik? Tak ke pelik? Hisy, takkan hati tak degap-degup? Takkan tak ada rasa apa-apa?

“Kenapa pelik sangat perangai Fahad tu?” 

Wah, nampaknya mak ngah fikir apa yang sedang aku fikirkan ni, gumam Emylia.

“Tak peliklah, mak ngah. Itu terus terang namanya.” Adelia membela tindakan Fahad.

“Terus terang apanya? Menyakitkan hati adalah.” Mak Ngah Aidah masih tak puas hati. 

“Dah kenapa nak sakit hati pulak? Bila dia cakap macam tu saya dapatlah jaga hati saya ni supaya tak berharap kepada dia. Cuba dia tak cakap awal-awal, kalau saya fefeeling, siapa nak jawab?” Adelia angkat-angkat kening, niat mengusik Mak Ngah Aidah.

Mak Ngah Aidah mendengus. Tiba-tiba dia jadi tak berkenan dengan manusia bernama Fahad itu. Hati dipagut resah. Bimbang kisah lama berulang. Akan hampakah hati anak saudaranya sekali lagi? 

“Tapi kan along, Emy pun rasa cara dia tu pelik. Dan Emy tak suka dia.”

“Tak suka?”

Emylia angguk. “Along cakap tadi dia bagi macam-macam syarat, kan? Untuk apa? Pada Emy, dia macam nak cakap dengan along yang... Okey, kita boleh kawan, tapi tak boleh lebih daripada tu sebab saya tak akan pilih orang macam awak jadi bini saya. Kita tak sepadan.”

“Mak ngah setuju dengan kamu, Emy. Pada mak ngah, Fahad tu perasan bagus. Dia mesti ingat yang along kamu ni tak layak untuk dia.”

“Melampaulah dia tu, along. Pada Emy, dia tu jahat. Nak berkawan pun kena bersyarat ke? Mana ada syarat dalam berkawan kalau hati betul-betul ikhlas, along?”

Soalan Emylia sedikit sebanyak menyebabkan Adelia terfikir ada betulnya juga. Nak berkawan, berkawan sajalah. Kenapa tak boleh begitu, tak boleh begini? Takut jatuh cinta? Kenapa takut? 

Adelia tarik nafas panjang. Baru terfikir dan tertanya-tanya kenapa Fahad takut jatuh cinta kepadanya. Tentulah kerana dia gemuk dan mereka tak sepadan. Hati bagai diracik lumat setelah menyedari alasan itu. Jadi, tidak salah apa yang sudah dilakukannya. Dia sudah pun berusaha menjauhkan diri daripada Fahad perlahan-lahan. 

Sebelum cinta bersemi dalam hati. Sebelum hatinya dicuri lelaki itu. Sebelum kisah sedih antara dia dengan Doni berulang dan dia tewas mengawal diri dan perasaannya. 

“Kamu dah suka dia, Adel?”

Adelia gelabah. Soalan emak saudaranya tak tahu mahu dijawab bagaimana.

“Mak ngah dapat rasa yang sikit sebanyak kamu dah jatuh hati kepada Fahad tu.”

Adelia urut dada yang risau tiba-tiba.

“Jauhkan diri kamu daripada dia, Adel. Jangan jumpa dia dah. Kalau boleh, tinggalkan dia terus. Tak ada gunanya kamu rapat dengan dia. Dah jelas, dia tak nak hubungan kau orang pergi jauh. Jadi apa gunanya kamu berkawan dengan dia lagi?”

“Sokong 200 peratus.” Emylia menyampuk lagi.

“Kamu dengar tak ni, Adel?”

Adelia angguk. Dia dengar semuanya. Ada yang dapat dihadam, ada yang masih cuba difahami.

“Mak ngah bukan apa, Adel. Mak ngah tak mahu tengok kamu sedih. Tak sanggup tengok kamu dikecewakan sekali lagi. Faham kamu?” 

Wajah emak saudaranya dipandang tidak berkelip. Hati tertanya-tanya. Nampak sangatkah apa yang sedang dialami dalam hati? Kalau emak saudaranya boleh perasan, Fahad macam mana? Mungkinkah lelaki itu dapat mengesannya juga? Oh, Tuhan, dia tak mahu Fahad tahu. Dia tak mahu Fahad tahu isi hatinya. 

“Lepas ni, kamu bawa bekal. Makan tengah hari di pantri, tak payah turun ke kedai lagi. Kalau dia cari kamu di pejabat, sembunyikan diri kamu. Nanti mak ngah suruh ayah kamu ambil kamu lepas kerja. Dalam pukul 5.00 petang, gitu. Setuju?”



Adelia angguk. “Ayah mesti suka. Dah lama ayah nak jemput saya balik kerja sama-sama. Kan mak ngah?”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…