Langkau ke kandungan utama

Bab 6 Per: Jawatan Isteri




DATANG kerja sudah menjadi satu keseronokan kepadanya. Kadang-kadang cuti pada hujung minggu dirasakan terlalu panjang. Malah, kehadiran Isnin amat dinanti-nantikan. Kalau dulu, nak pergi kerja baru nak gosok baju, tetapi sekarang tidak lagi. Sebelum tidur semua sudah siap menanti untuk dipakai esok hari. Malah, setiap hari dia pasti melaung ayahnya untuk cepat-cepat masuk kereta.

Isnin datang lagi. Turun dari kereta laju kaki dibawa ke lif untuk naik ke tingkat tiga di mana pejabatnya terletak. Elok sampai, beberapa orang teman sedang mengerumuni meja kerjanya. Sebaik sahaja mereka nampak Adelia, masing-masing bergerak ke tepi.

Dan terserlahlah sejambak bunga mawar merah menujah pandangan Adelia. Jambangan yang sudah hampir setengah jam diletakkan di atas meja kerjanya. 

“Amboi, ada orang tu dapat bungalah.” 

Entah suara siapa, Adelia tak perasan. Tumpuannya hanya ke arah jambangan yang diterima. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia dapat bunga. Malangnya dia tak tahu siapakah pengirim bunga itu dan apakah tujuannya. Hari jadi dia lambat lagi. Dah tu, tiada kad ucapan yang dikepilkan bersama. Semua ini buat dia waswas dan risau. 

Ada orang sengaja hendak main-mainkan perasaan dia ke? 

“Adel, siapa yang bagi bunga ni?”

Adelia jongket bahu. “Tak tahu.” 

“Awak dah ada boyfriend ya? Tahniah, Adel.” 

Adelia senyum menerima ucapan tahniah itu. Tak pasal-pasal ramai pula yang teruja dengan apa yang terjadi. Seolah-olah satu isu besar apabila dirinya yang besar ini menerima bunga. 

“Tapi, Adel. Awak kena jaga boyfriend awak baik-baik, tahu. Jangan kasi mata dia juling tengok perempuan-perempuan lain, terutama yang kurus-kurus. Nanti awak putih mata kalau si dia paling tadah.”

Di mata, dia terpandang wajah Fahad. Dia berharap Fahad yang hantar bunga itu kepadanya. Tapi, Fahad dan dia baru saja berkawan. Kenapa perlu nak bagi bunga? Nak beritahu semua orang yang dia boyfriend aku kut, omel hati. Kalau betul, perlukah dia jaga Fahad baik-baik? Perlukah pastikan Fahad tidak disambar orang lain? 

Mengarutlah! Apa salahnya kalau ada yang nak mengurat lelaki itu? Tentu sebelum ini pun ramai yang sudah mencuba. Spesies mengancam seperti Fahad tentu ramai perempuan yang tertarik. Nak buat macam mana, kan? Fahad tu lelaki bukannya anak patung yang boleh disembunyikan dalam laci. Kerana itu, pada Adelia dia hanya mampu berkata begini; May the best woman win. 

Bunyi macam tak ada peluang untuk dia saja. Ah, tak payah fikir. Hidup mesti relaks, Adelia. Jangan nak susah hati fikirkan hal sebegitu, okey! 

“Tak lama lagi bolehlah kami tumpang makan nasi minyak ya, Adel?”

Eee, ke situ pulak dia orang ni. Makan nasi minyak? Dengan siapa? Fahad? Dia dengan lelaki itu baru sahaja kenal dan berkawan. Dengan orang yang bagi bunga ni? Kenal pun tidak. Habis, nak buat macam mana?

Adelia memerhati kawan-kawan sepejabatnya. 

“Kalau dah habis gosip, sila balik ke meja masing-masing, ya!” halaunya. Lega kerana mereka akur tanpa bertanya apa-apa lagi.

Tiba-tiba telefon bimbit Adelia berbunyi. Nombor Fahad di talian. Dada tiba-tiba berdegup kencang. Dan jari laju membenarkan panggilan itu masuk. Cepat-cepat Adelia memberi salam. 

“Dah dapat bunga?” tanya Fahad di hujung sana. 

“Awak yang hantar?”

“Berapa banyak boyfriend yang you ada, Adel? Saja nak buat I cemburu ke?” Fahad mengusik. 

“Sebab tak adalah saya tanya awak. Sebab selama ni tak pernah dapat, tu yang saya terkejut hari ni.” 

Fahad gelak. “Suka tak?”

“Suka aje. Terima kasih, awak.”

“Terima kasih aje?”

“Hisy, sabarlah. Ni baru saya nak buka mulut nak ajak awak makan sama-sama tengah hari nanti. Sudi tak?” 

“Tentulah I sudi, Cik Adelia.” 

Adelia tak tahu yang di hujung talian Fahad sedang tersenyum sinis. Bukan susah nak mengayat perempuan ni. Bagi bunga aje, cairlah hati dia. Fahad optimis dengan apa yang dilakukannya. Yakin yang tidak lama lagi dia akan berjaya membuat Adelia jatuh cinta kepadanya.

Mula hari itu, mereka akan makan tengah hari bersama-sama jika berkesempatan. Kadang-kadang mereka makan di gerai berhampiran. Ada masa mereka makan agak jauh sedikit dari pejabat. 

Adelia gembira apabila bersama Fahad. Sikap Fahad yang suka mengusiknya sering dibalas penuh riang. Kadang-kadang, dia pula yang akan curi peluang untuk mengusik lelaki itu. Dia gembira apabila Fahad tersengih pada setiap usikannya. Dari hari ke hari, terasa dirinya semakin akrab dengan lelaki itu.



DI dalam kereta pada satu tengah hari, Fahad beritahu bahawa dia nak raikan ulang tahun ke sebulan mereka berkawan. Adelia terlopong. 

“Baru sebulan aje kut.” Dia protes. 

“Apa salahnya? Setahun atau sebulan, ingatan I kepada you, itu yang penting.”

Adelia kedip-kedip mata. “Haila, tak sangka kawan saya ni berbeza daripada lelaki-lelaki lain. Bukan ke orang lelaki selalu lupa tarikh-tarikh penting? Suami selalu lupa tarikh lahir isteri, malah ada yang lupa tarikh ulang tahun mereka kahwin, awak.”

“Adelia, ini Fahadlah! I tak sama dengan lelaki-lelaki lain, okey!” Giliran Fahad pula untuk mengerdipkan sepasang matanya. 

Hisy, dia ni nak mengurat aku ke? Dia tak tahu ke hati perempuan ni macam mana? Cepat cair, okey! Tengok dia buat macam tu pun hati ni dah melting. Aduhai! Adelia bermonolog.

“Kita nak ke mana ni?” Adelia berasa perlu bersuara. Kalau ralit sangat fikirkan Fahad, bimbang lelaki itu perasan pula. 

Fahad di sebelah menjawab, “I nak bawa you ke restoran kegemaran I.”

“Okey. Tapi awak kena pastikan kita boleh sampai ke pejabat semula sebelum pukul 2.00, ya.”

Lima minit kemudian, mereka sampai ke Restoran Bombay. Elok duduk sahaja, makanan yang dipesan lelaki itu dalam kereta tadi pun dihidangkan. Nasi beriani bersama lauk-pauk Moghul yang berasal dari India Utara kelihatan begitu enak di hadapan mereka. 

Melihat hidangan yang disediakan untuk mereka, hati Adelia jadi cuak tiba-tiba. Timbullah tanda tanya dalam kepala. Mampukah Fahad nak bayar harga makanan ini nanti? Dia bukan apa. Takut nanti masing-masing kena basuh pinggan di dapur restoran sebab tak cukup duit nak bayar. Malu seh!

“Pssttt!”

Fahad yang sedang ralit makan memaku renungan ke wajah Adelia yang nampak cemas. Kening dijongket. “Kenapa? Tak sedap ke?”

Adelia geleng. 

“Ermm, awak ada duit tak nak bayar nanti?” soalnya tak bertapis.

Fahad gelak. “Adel, kalau duit I tak ada, apa susah? I pinjam duit youlah.”

“Eee, awak ni! Ada hati nak kenakan saya rupa-rupanya? Kalau saya tahu, saya tak ikut awak makan di sini.” Adelia dah kerut dahi. Wajah Fahad ditatap tajam. 

“Kenapa tengok I macam nak telan? Marah sebab I cakap I nak pinjam duit you ke? Alah, Adel. Ramai aje lelaki yang buat macam tu. Bila habis duit, memang jadi tugas kawan perempuanlah untuk bantu kawan lelaki dia. Tu namanya tolong-menolong, cik adik!” 

Adelia cebik. “Kenapa ya orang lelaki zaman sekarang suka sangat buat perangai macam ni?”

“Apa maksud you?”

“Lelaki yang suka gunakan perempuan. Contoh... Lelaki yang bergaji kecil macam awak, tapi dia orang mengurat perempuan lulusan universiti yang bergaji besar. Bila dah kahwin, gaji perempuan tulah yang bakal bayar semua perbelanjaan rumah. Bayar sewa, bayar ansuran kereta, bayar bil... Sampai nak beli seluar dalam si suami pun, guna duit isteri. Gaji suami buat apa? Buat belanja kawan-kawan dia. Mana boleh buat macam tu?”

“Kenapa tak boleh?”

“Sebab yang patut cari nafkah dalam sesebuah rumah tangga tu ialah suami, bukan isteri.”

Fahad geleng. “Kahwin ialah satu perkongsian. Suami dengan isteri mesti berkongsi apa saja, Adel.”

“Boleh, kalau isteri halalkan duit dia untuk suami belanjakan. Masalahnya sekarang, lelaki suka ambil kesempatan. Apabila isteri berkorban duit ringgit, suami selalu abaikan tanggungjawab yang sepatutnya dia pikul, tahu tak?”

“Dah itu suami yang si isteri pilih, kan? Kenapa nak merungut pulak?”

“Eh, senangnya awak cakap, Fahad? Tapi yalah, memang ramai sangat lelaki yang macam tu sekarang ni, termasuklah awak. Lelaki yang lupa bahawa dia adalah imam dan isteri serta anak-anak mereka adalah makmumnya. Lelaki yang keliru dengan dunia. Yang lalai. Padahal, masa di akhirat nanti dia akan ditanya soalan-soalan berkaitan anak dan isteri kerana mereka adalah amanah dia. Dah jelas dia mengabaikan amanah itu di dunia. Hak isteri diabaikan. Hak anak-anak dibiarkan. Jangan ingat Allah nak biar macam tu aje.”

Fahad terkedu. Tak sangka yang gadis ini petah melontar idea dalam bicara berilmiah. Kagum sekejap. Tiba-tiba dia bandingkan Adelia dengan gadis-gadis yang pernah dikepitnya. Seingatnya, tak pernah ada perbualan seperti ini. Yang mereka pandai bercakap tentulah tentang mahu berbelanja di pusat-pusat membeli-belah dengan niat nak habiskan duit dia. 

Uisy, sabar dulu! Jangan nak puji sangatlah. Karang kalau tersuka, tak ke susah? Jaga hati tu, Fahad!

“Fahad, dengar ke tidak ni? Hisy, orang bersembang dengan dia, dia boleh pulak duk menung kat situ.” Adelia berleter.

“You cakap apa?” balas Fahad. Terkejut. 

“Banyak yang saya cakap. Macam-macam dah saya sebut. Saya malas nak ulang.”

Sepasang mata Fahad tajam menikam anak mata Adelia. “Alololo, sayang I ni. Merajuk pulak dia.”

“Saya tak merajuklah!”

“Okey, I janji lepas ni I akan beri tumpuan kepada you seorang aje. Dan, sayang, I janji juga yang I akan dengar tiap perkataan yang keluar dari bibir mungil you tu.”

“Yang itu pun saya nak tegur jugak.”

Erk? Apakah? Fahad semakin tak faham dengan gelagat Adelia. 

“Kita ni cuma kawan aje dan kawan tak adanya nak bersayang-sayang, ya! Geli ketiak! Lepas ni saya tak nak dengar panggilan itu dah. Jangan panggil saya macam tu lagi. Saya tak suka.” Adelia cuba bertahan dengan panahan mata si dia yang masih enggan ke lain. Malangnya, dia kalah melawan renungan Fahad. Jadi, dia tunduk menyambung makan. 

Suasana hening antara mereka. Hanya bunyi sudu dan garpu yang kedengaran. 

Fahad masih tak percaya yang Adelia berani benar marahkan dia. Nampaknya, perempuan di hadapannya ini tak lut dengan panggilan sayang yang dia guna. Tak lut dengan kelembutan tingkahnya. Tengoklah tu! Gunalah panggilan manis dan mesra, boleh pula Adelia kata dia tak suka. Kenapa gadis ini berbeza? Ah, keliru sudah!

Tiba-tiba...

“Han, tak sangka jumpa you kat sini. You sihat? Tahu tak, I rindu you sangat-sangat.”

Sapaan seorang gadis mengejutkan mereka. Spontan Adelia memusatkan renungan ke arah gadis itu. Dan sudah tentu dia terpegun. Gadis yang sedang berdiri di hadapan mereka itu sangat cantik dan stailo orangnya. Namun, bukan itu yang jadi isu. Apa yang Adelia nampak gadis itu pandang Fahad tak lepas.

“You nampak tak I ada kawan sekarang? Pergi dari sini. Jangan kacau kita orang.”

Bulat mata Adelia mendengar suara garang Fahad. Rasa tak percaya dengar Fahad halau gadis itu yang berhasrat hendak duduk atas kerusi kosong di sebelahnya. Sikap biadab itu perlu ditegur. 

“Fahad, tak baiklah awak ni. Dia kan tegur awak elok-elok. Kenapa awak balas garang macam tu?” marahnya. Pandangan mata mencerlung.

“Mungkin sebab dia ingat I nak kacau you all agaknya.” Gadis itu yang menyahut. Entah kenapa bibir merah gadis itu boleh tersenyum bagai tak ada apa-apa. 

Eee, kalau akulah yang kena sound macam tadi, dah lama aku menonong pergi dari sini! Adelia gumam.

“Duduklah, awak. Takkan nak berdiri aje?” Adelia mempelawa.

“Boleh ke?”

“Tak boleh.” Fahad lebih dahulu mencantas keizinannya, menyebabkan Adelia rasa bersalah.

“Maaf ya. Err, tak tahu nak cakap apa.” Rasa tebal kulit muka dan rasa geram dengan Fahad juga. Terutama kerana lelaki itu beriak selamba. 

“Tak apa. I dah biasa.” Pandangan gadis itu melekat semula ke muka Fahad. “Tapi kan sayang, taste you dah berubah eh? Dah tukar? Sekarang you suka girls yang... besar?”

“Jaga mulut tu!”

“Wau, garang lagi!”

Adelia merenung bergilir-gilir antara gadis itu dengan Fahad. Daripada gaya pertengkaran mereka dia yakin yang kedua-duanya pernah bercinta, tetapi kini hubungan cinta itu sudah berakhir. Ada macam-macam cara cinta diputuskan. Yang pasti untuk insan berdua ini, tentulah hubungan itu tidak berakhir dengan baik. Macam ada dendam saja! Macam ada tak puas hati. 

Sebab itu Fahad marah-marah. Sebab itu si gadis duk sinis tak habis-habis. Agaknya aku kalau jumpa dengan Doni balik, macam ini ke juga nanti? Haisy, tak kuasa! Nanti Doni ingat aku ada perasaan lagi kepada dia. Haila, fikirkan bekas kekasih pula. Apa hal? Masalah di depan mata ni lagi kacau. 

“You tunggu apa lagi, Miza?” Fahad benar-benar hangat hati dengan si pengacau. 

Kalau Adelia tidak ada sudah pasti perang dunia ketiga terjadi. Masalahnya, Adelia ada dan nampak jelas gadis itu sedang marahkannya. Ah, Miza sudah kacau daun. Macam manalah mereka boleh terserempak di sini?

Oh, dia panggil gadis tu Miza! Nama penuhnya apa? Asmiza? Mama Cu Noor Asmiza atau... Hisy, kenapa dengan kamu ni Adelia? Siapa pun tak apa, jangan diambil kisah. Simpan saja nama Miza tu dalam hati. Simpan kemas-kemas dan rapat-rapat. 

“Girl, boleh tak kalau I nak nasihatkan you sikit?” 

Adelia terpinga-pinga mendapat perhatian Miza. 

“Jangan percaya cakap buaya darat ni. Jangan taruh harapan kepada dia. Dia akan patahkan hati you bila dia dah puas dengan you nanti.”

“Cik, awak salah faham ni. Kami kawan aje.” Cepat-cepat Adelia menafikan.

Gadis itu tergelak. “Kawan aje? Awak dengan dia ni? Boleh percaya ke?”

“Bukan hal you, Miza. Jangan sibuk.”

“Memang bukan hal I, Han. Sebab itu I nak bagi satu lagi nasihat. Boleh, girl?”

“Miza!” Suara Fahad memetir.

Adelia tak terkata apa. Kecut perut mendengar suara Fahad melengking kuat. Pun begitu, dia salut kepada Miza. Selamba saja muka gadis itu, malah terus bercakap, memberi Adelia nasihatnya.

“Selain daripada dia ni cepat jemu, dia juga suka sakitkan hati you. Kalau you dah masuk dalam senarai ex dia, dia tak akan cakap yang baik-baik dengan you dah. Hati-hati dengan dia ni! Nanti you makan hati macam I. Sedih dan seksa, tahu tak?”

Pandangan Adelia hanya pada muka Fahad. Tegang raut itu dengan rahang yang bergerak-gerak menyebabkan Adelia diamkan diri. Begitu pun hati mula tertanya-tanya. Siapa Fahad sebenarnya?

“So darling, enjoy your day.”

“Diamlah! Tutup mulut you tu!”

“Okey. I pun nak pergi dah ni. Selamat tinggal, Han!” Dengan bergaya, gadis itu pergi tinggalkan mereka. 

Adelia tak betah. Ada yang berbuku dalam perasaannya. “Err, Fa...”

Belum sempat habis nama lelaki itu disebut, Fahad angkat jari telunjuk letak di bibir. “Jangan tanya apa-apa. You tak berhak.”

Dan-dan tu angin Adelia naik. “Saya pun bukan teringin nak tanya pasal perempuan tu. Saya cuma nak bagi awak sedikit nasihat aje.”

“Nasihat apa?” Suara Fahad tetap tinggi.

“Belajarlah hormatkan orang. Belajar cakap baik-baik dengan orang, terutama perempuan.”

Fahad ketawa. “You siapa nak nasihatkan I ni?”

Adelia sentap. “Kita kan kawan? Tugas seorang kawan adalah membetulkan kesalahan kawan dia. Itu yang saya cuba buat sekarang. Walau siapa pun perempuan tu, girlfriend awak ke, ex-girlfriend awak ke, hormatilah dia. Cakaplah lembut-lembut dengan dia walau benci awak pada dia setinggi Gunung Everest sekalipun! Bila awak hormat pada orang lain, orang lain akan menghormati awak pulak. Itu peraturan hidup, Encik Fahad. Takkan tak tahu kut?”

Fahad tak sangka dirinya akan kena dengan Adelia. Dia terkedu. Mulut pun jadi kelu. Tak boleh nak balas balik. 

Adelia berdiri. Wajah masih tegang. Geramkan Fahad punya pasal. “Jom balik ofis.”

Fahad tarik nafas panjang sebelum mengangguk. 

“Kejap!” Adelia menghalang Fahad dari meninggalkan meja. Lelaki itu angkat kening kepadanya. 

“Saya cuma nak cakap, saya tak suka perangai angin puting beliung awak ni. Itu aje.”

“Weh, nak ke mana tu?”

“Saya tunggu awak dekat kereta.”



Fahad tak sangka akan tengok gaya Adelia begitu. Tak sangka Adelia boleh tinggalkan dia macam itu saja.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…