Langkau ke kandungan utama

Bab 3 Per: Jawatan Isteri





ADELIA sedang berdiri di luar restoran. Sepasang mata meliar mencari tempat kosong di dalam. Sebaik sahaja dia terpandang sebuah meja yang belum diduduki sesiapa, teman di sebelah dicuit. Nani yang sedang bertelefon segera memberi isyarat menyuruh dia pergi dahulu ke meja kosong itu. 

“Kau nak makan apa?” Adelia menyoal sebaik sahaja Nani ambil tempat duduk di sebelahnya. 

“Saya nak satu roti telur dengan teh tarik, ya.” Nani laju memberitahu pelayan yang setia menunggu sedari tadi sekali gus menjawab soalan Adelia.

Pelayan itu segera bergerak ke arah rakannya yang sedang membuat roti canai di hujung restoran. Lima minit kemudian, pesanan mereka pun sampai. 

“Hmm, sedap.” Adelia memuji.

“Alah, kau memang! Asal mamak aje, semua sedap.” Sinis Nani membalas.

Adelia mengekek. “Tapi, sedap macam mana pun makanan di restoran mamak ni, tetap tak boleh lawan masakan mak ngah aku.”

Nani angkat ibu jari isyarat bagus. “Aku setuju cakap kau tu. Masakan Mak Ngah Aidah memang terbaik!”

Senyap seketika kerana masing-masing sibuk menjamu selera. Tak lama selepas itu kedengaran suara Nani bertanya, “Kau dapat tidur lena malam tadi?” 

Soalan merujuk pada insiden yang berlaku semalam. Dia sudah biasa, tetapi bagi Adelia, ini kali pertama. Memang kasihan kerana julung kali Adelia tidur di rumah barunya dan nak jadi cerita, malam tadilah juga jiran di depan rumahnya balik dalam keadaan mabuk dan bising-bising sehingga menyebabkan Adelia kecut perut.

Adelia mengeluh lantas menggeleng. 

“Kenapa? Kau terbayang muka dia yang handsome tu ke?”

Buntang mata Adelia. “Biar betul kau ni. Aku tak nampak muka dialah. Mana aku tahu dia handsome ke tidak. Lagipun, handsome kau mungkin tak sama takrif dengan handsome aku. Bagi aku, lelaki akan nampak handsome kalau dia pimpin tangan mak dia bila nak menyeberang jalan. Yang masak dan suap mak dia makan ketika mak dia sakit. Yang diam tak menjawab bila mak dia berleter. Kalau kau atau laki kau si Khairul ada kawan lelaki yang macam tu, kenalkan dekat aku.”

“Aisey, standard kau tinggi sangatlah, Adel. Mana kita nak jumpa spesies macam tu lagi sekarang ni?” 

“Tahu tak apa.”

“Eleh, kau! Yang semalam kau duk intai dia kat balik langsir tu apahal? Bukan itu tanda-tanda yang kau dah berkenan ke?”

Buntang sepasang mata Adelia. “Biar betul kau ni. Aku nak berkenan dengan kaki botol macam dia tu? Memang taklah.”

“Eleh, cakap besar! Ingat, Adel. Selalunya yang kita tak nak itulah yang kita dapat.”

Nauzubillahi minzalik,” ucap Adelia bersungguh-sungguh.

Nani sengih. “Jangan benci sangat! Takut nanti kau dengan dia berjodoh.”

“Eee, kami kenal pun tidak! Dan yang pasti, aku tak nak lelaki macam tu jadi laki aku.” Adelia balas, garang.

“Cik Adelia sayang, kadang-kadang dalam hidup ni, Allah letakkan perempuan yang baik untuk jadi isteri seorang lelaki yang jahat kerana Allah tahu yang perempuan tu mampu bimbing lelaki jahat tu untuk balik kepada Islam. Pun kadang-kadang Allah pasangkan lelaki baik dengan perempuan yang teruk akhlaknya supaya lelaki itu mampu bimbing isteri dia balik kepada Islam.” Nani memberikan nasihat.

“Jangan memandai, Nani ya! Kau jangan lupa yang dalam Quran Allah dah sebut, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya. Aku ni memanglah tak baik sangat, tapi sampai hati kau nak kenenkan aku dengan orang mabuk tu?” Sinis Adelia menjawab. 

Nani sengih. “Apa salahnya, Adel? Manalah tahu entah-entah di lohmahfuz dah tertulis yang jiran aku tu jodoh kau, kan? Dia tengah tunggu kau tu.” 

“Jangan nak takutkan aku, boleh tak?”

“Bayangkan, Adel... Kau pilih dia, seorang lelaki yang dah tersesat jauh daripada agama. Berapa banyak pahala kau akan dapat dalam usaha untuk menarik, membimbing dan membawa dia balik kepada agama. Bukan calang-calang orang boleh buat semua tu, tahu tak?”

Tunak sepasang mata Adelia memandang Nani. Kepala laju digeleng. “Tugas tu terlalu berat untuk aku. Tak mampu aku, Nani oi! Takut terbalik pulak yang jadi. Aku yang terseret dan diheret ke arah dia. Bukan aku yang bimbing dia, tapi dia yang akan haru-birukan hidup aku. Eee, tak naklah! Tak nak! Biar aku begini saja. Lagi bagus!”

Nani menggeleng. Adelia memang suka cakap lepas. Rasa nak saja dia cilikan mulut gadis itu yang cakap langsung tak reti nak tapis.

“Oh ya, Nani. Mula hari ini aku nak kau jaga diri kau baik-baik. Hati-hati dengan jiran kau yang kaki botol tu.”

“Kenapa pulak?” Nani keliru. 

“Orang mabuk ni bahaya, Nani.”

Adelia dan Nani tak sedar bahawa sejak mereka sampai, perbualan mereka sedang dicuri dengar oleh seorang lelaki yang duduk bertemu belakang dengan Adelia. Lelaki itu sedang memasang telinga luas-luas kerana dia yakin benar bahawa perkataan-perkataan ‘orang mabuk’ dan ‘kaki botol’ itu ditujukan kepadanya. 

“Dah berapa lama dia tu jadi jiran kau?” Adelia tanya lagi.

Nani angkat bahu. “Dua bulanlah agaknya. Sejak aku pindah ke sini memang muka dia aje yang keluar masuk rumah nombor 302 tu. Aku rasa itu rumah dia.”

Sah! Memang dia orang tengah mengumpat aku. Tak boleh jadi ni. Aku kena dengar sampai habis, omel hati lelaki itu yang sudah menegakkan duduknya. 

“Pernah bertegur sapa?”

Nani geleng. “Tak.”

“Jadi, kau tak kenal dialah?”

“Bukan tak kenal. Aku cuma tak cam dia aje.”

“Itu lagi bahaya. Buatnya dia menyamar jadi plumber? Atau menyamar jadi orang yang baiki gas? Sekali bila dia dah masuk dalam rumah kau, cuba kau bayangkan apa dia boleh buat.”

“Bahaya? Aku? Apa yang aku boleh buat? Haih! Perempuan tu memang tak sayang mulut.” Lelaki itu membentak dalam diam.

“Adel, kau ni saja aje nak takut-takutkan aku, ya? Tak baik tau! Lagipun, selama ni tak pernah aku dengar yang buruk-buruk pasal jiran aku tu. Jadi, aku rasa tak ada apa yang nak dirisaukan pasal dia.”

Oh, nama perempuan yang duk kutuk aku ni Adel ya? Melebih-lebih sungguh dia! Encik jiran dah panas hati.

Adelia cemik. “Kalau begitu, tak apalah. Cuma... Kau pun tahu kan, Nani? Aku memang tak boleh dengan kaki minum ni. Aku benci dia orang. Benci sangat!” 

“Kenapa? Kenapa kau benci sangat dengan kaki botol, Cik Adel?” Lelaki di belakang sibuk bertanya sendiri. 

Tentulah Nani tahu apa yang menyebabkan Adelia bencikan sangat orang-orang yang bergelar pemabuk dan dia tak akan mengungkit kisah sedih itu. Dia tak mahu Adelia murung. 

Dah diam pulak dia orang berdua kat belakang aku ni. Apasal? Dah habis modal mengumpat ke? Lelaki itu tak betah menangani kesunyian yang tiba-tiba. 

Nani perlu ceriakan Adelia semula. Dan, dia tahu apa yang perlu dikatakan. 

“Adel, tengok aku,” arahnya. Selepas mendapat perhatian gadis itu, Nani menyambung. “Aku akan ikut cakap kau.” 

Adelia serta-merta jadi segar semula. “Betul ni? Janji?”

Nani angguk.

“Jaga diri. Kunci pintu rumah kau setiap masa. Kalau terserempak dan kaki botol tu tegur kau, kau buat tak tahu aje. Jangan layan dia. Faham?” pesan Adelia lagi.

Hai, melebih-lebih betul perempuan seorang ni. Macamlah aku ni nak sangat mengurat kawan dia. Weh, bini orang tu! Dia ingat aku ni hadap sangat? Tak memilih? Lelaki di belakang dah ketap bibir menahan geram. 

“Orang mabuk ni, Nani, dia lupa semua. Akal dia tak ada fungsi. Dia tak ada pertimbangan. Dia tak ada logik. Dia bahaya.”

“Kau ni melebih-lebihlah, Adel. Aku rasa orang depan rumah aku tu taklah teruk sangat. Aku yakin dia tu baik orangnya.”

Ya, betul tu! I memang orang baik. Terima kasih, kawan Adel. Hati si dia menyahut sambil bibir mengukir senyum.

“Tak ada orang mabuk yang baik, Nani. Dia orang tu tak waras. Semua yang dia buat, dibuatnya dalam keadaan separa sedar. Sebab itu bila dah mabuk, macam-macam benda buruk dan jahat, mampu dibuat. Kau jangan tak percaya, Nani. Orang yang dah minum arak akan berzina kalau diberikan perempuan kepada dia. Malah, boleh jadi pembunuh juga. Kalau tidak, tak adalah orang kata arak adalah ibu daripada segala kejahatan. Betul tak?” 

“Ya tak ya juga, kan? Hisy, aku rasa takut pulak dah. Kaulah ni, Adel! Tak habis-habis duk bercakap pasal jiran aku tu.” 

“Macam mana nak habis? Kepala otak aku ni asyik teringatkan dia aje.”

“Pelik pulak aku dengan perangai kau ni. Dah jatuh cinta ke apa sampai teringat-ingat?”

I pun nak tanya soalan yang sama. Si Adel tu dah jatuh hati kat I ke? Bukan Nani sahaja yang dah bulat mata. Si dia di belakang pun sama. Siap tersenyum simpul lagi. 

“Coi, simpang malaikat 44!” Adelia mencemik.

Cis! Dia hina aku tu! Menyirap rasa darah lelaki itu. Geram hingga tak terkata. 

“Kau jangan, Adel! Selalunya, yang kau tak nak itulah yang kau akan dapat.”

“Syuh, syuh! Tolong jangan cakap lagi. Jangan nak berdoa yang bukan-bukan untuk aku, okey!” 

Dua sahabat sedang mengekek. Namun, orang di belakang tahan perasaan. Terasa dirinya dihina dan dia tak suka. Langsung tidak! 

Adelia lepaskan keluhan. “Aku asyik tertanya-tanya kenapa dia jadi kaki botol, Nani. Aku tak ralat kalau agama dia lain. Tapi masalahnya, dia tu Islam. Kalau betul Islam, apa ke halnya duk teguk air kencing syaitan tu?”

“Biarlah. Itu bukan urusan kita pun.”

“Salah tu! Kita tengah bercakap tentang seseorang yang terang-terang dah buat benda mungkar, Nani. Setahu aku, apabila kita dengar tentang seseorang yang dah buat jahat, kita perlu tegur dia. Yang paling baik, tegur gunakan lidah. Kalau tak mampu, gunakan tangan. Kalau tak mampu juga, tegur dalam hati. Entahlah, hati aku ni tertanya-tanya. Tak ada sesiapa ke yang boleh nasihatkan dia, Nani? Dalam keluarga dia, takkan tak ada sesiapa yang menegur? Ayah? Emak? Adik-beradik dia? Apa yang mereka semua buat?” 

Meremang bulu roma lelaki di belakang Adelia mendengar soalan itu. Entah kenapa dia amat terkesan dengannya. Membawa ingatan kepada keluarganya. Mahu saja dia beritahu kepada gadis penyibuk itu untuk jaga tepi kain sendiri. Jangan bercakap tentang hal keluarganya. 

Gadis itu tidak tahu apa-apa tentang ayah dan ibunya. Atau tentang Aziz dan Munirah. Takkan dia nak buat hebahan yang semua pun asyik duk membebel sampai naik bingit telinga dia. Takkan dia nak cakap yang dia tak terkesan dengan apa-apa pun yang ahli keluarga dia cakap? 

“Mestilah ada kut. Takkanlah dia orang nak biarkan aje dia. Tapi aku rasalah, dia yang tak nak dengar nasihat sesiapa. Dah tua macam tu, mana dia suka orang tegur perangai dia? Betul tak?” balas Nani.

Adelia gigit bibir. Namun, dia mengangguk juga akhirnya. “Mungkin mereka tak mampu nak tegur dia depan-depan. Tapi, mereka masih boleh tegur salah dia dalam hati. Mudah-mudahan Allah dengar doa dan rintihan, terutama yang ada dalam hati ibu dia.”

Rasa sesak nafas lelaki itu. Sebak juga. Semua kerana perkataan ibu yang dia dengar. 

“Aku rasa, dia jadi kaki botol selepas dia putus cinta.” Adelia meneka. 

“Pandailah kau.” Dahi Nani dah berkerut.

Sentap. Hati si dia di belakang jadi berdebar. Macam mana si Adel tu tahu? Dia tertanya-tanya.

“Kau tak pernah putus cinta, Nani. Sebab tu kau tak tahu macam mana kesannya kepada kami yang putus cinta ni.” 

“Alah, melankoliklah kawan aku ni!”

Dahi lelaki itu berkerut-kerut kerana dia hairan mendengar dua suara bergabung dalam ketawa yang panjang. Kata putus cinta, tapi boleh pula mereka berdua ketawa tak berhenti-henti. Hairan betul dia. Apa yang sudah terjadi?

“Dahlah, Adel. Jangan fikirkan hal jiran aku tu. Fikirkan diri kau tu, hah. Sampai bila nak jadi mak buntal ni?”

“Ni yang aku menyampah. Kau nak aku merajuk jugak ke?” Bunyi kerusi ditolak dan tak lama lepas itu kerusi lelaki itu turut bergoyang tanda orang di belakang bangun dalam keadaan tergesa-gesa.

“Adel, tunggu aku!”

Lelaki itu membiarkan buat seketika. Beberapa saat kemudian dia menoleh ke belakang. Bulat matanya memerhati susuk tubuh seorang daripada gadis-gadis itu. Dari belakang dah macam anak gajah berjalan. 

“Gemuk-gemuk perempuan tu pun ada yang sayang dia. Aku?” Keluhan dilontar penuh kesakitan ketika melihat gadis-gadis itu yang masih lagi berpelukan sambil berjalan-jalan. 



SUDAH berhari-hari keadaannya begini. Setiap malam, sepasang mata sukar sungguh untuk dilelapkan. Dia asyik bergolek ke kiri dan ke kanan di atas katil. Sepanjang masa fikiran sentiasa dihantui oleh bayangan gadis montel itu. Bukan bayangannya sahaja, malah suara dan kutukannya juga!

Dia pejamkan mata dan seperti dijangka, suara gadis itu terus bergema. 

“Orang mabuk ni, Nani, dia lupa semua. Akal dia tak ada fungsi. Dia tak ada pertimbangan. Dia tak ada logik. Dia bahaya.”

Ayat pertama tu memang dia boleh terima. Ya, dia lupa semua setiap kali dia meneguk air itu. Tapi setahunya, akal dia masih berfungsi dengan baik. Dia tak pernah lagi hilang pertimbangan sehingga boleh dituduh yang dia bahaya. Perempuan tu memang pandai mengarut ke apa? 

“Tak ada orang mabuk yang baik, Nani. Dia orang tu tak waras.” 

Sentap dibuatnya. Dia... tak waras? 

“Aku tak ralat kalau agama dia lain. Tapi masalahnya, dia tu Islam. Kalau betul Islam, apa ke halnya duk teguk air kencing syaitan tu?”

Kutukan itu menyebabkan Fahad bingkas menuju ke bar kecil di sudut bilik tidurnya. Botol dicapai dan air berwarna kuning dituang ke dalam gelas. Seketul ais diletakkan ke dalamnya. Namun, sebaik ingin didekatkan ke bibir, perkataan air kencing syaitan bergema di telinga. Dia rasa panas. Diri terasa bagai terbakar sehingga gelas laju dicampak ke dinding. 

Penumbuk dikepal. Bibir diketap. “Kau dah hina aku, perempuan! Kau ingat aku nak biarkan kau ke?” 



Dalam hati, satu azam ditanam. Satu tekad tersemat. Dia nekad. Gadis itu harus ditundukkan!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…