Langkau ke kandungan utama

Bab 10 Per: Jawatan Isteri





BERITA yang disampaikan oleh Aziz tadi benar-benar mengejutkan. Ayahnya, Haji Mohd Akil dimasukkan ke hospital akibat terjatuh selepas ambil wuduk di dalam bilik air. 

Fahad kini sedang memecut keretanya menuju ke Hospital Putrajaya. Ketika sampai dia terkejut tengok kaum keluarga yang berkumpul. Adik-beradik ayahnya ada. Adik-beradik ibunya pun ada. Cepatnya berita tersebar. Rasa malu tiba-tiba kerana dia sebagai anak baru saja sampai. Aziz memang nak kena ni, gumamnya dalam hati.

Dia terus masuk ke dalam bilik rawatan. Wajah ibunya langsung tidak dipandang. Hanya suara wanita itu yang sedang membaca surah Yasin didengarinya. Dia pula terus ke kepala katil di sebelah kanan. Tangan ayahnya digenggam. 

“Ayah, I ni. I dah sampai.” Dia berbisik di telinga Haji Mohd Akil. 

Selama ini Haji Mohd Akil tak pernah sakit. Sihat memanjang dan tidak ada masalah kesihatan. Bagaimanakah secara tiba-tiba ini yang terjadi? Sedih pula apabila melihat lelaki itu terkedang di atas katil. Kaku. Dengan mata yang terpejam. Dengan dada yang turun naik perlahan. Wayar pula berselirat di sana sini. 

“Doktor cakap apa?” Fahad tanya Aziz yang sudah berdiri di sebelahnya. 

Sebenarnya hati sedikit pelik dengan apa yang sedang terjadi. Boleh pula doktor benarkan mereka masuk ramai-ramai ke dalam wad kritikal ini? Bukan selalunya hanya seorang pelawat dibenarkan masuk pada satu-satu masa ke? Namun, otak tak dapat mencerna apa-apa. 

“Doktor suruh kita tunggu.”

“Tunggu? Tunggu apa, Ziz?” Fahad duduk. Tak faham dia melihat wajah-wajah murung di sekelilingnya. 

“Han...” Panggilan yang amat perlahan, namun masih dapat didengari semua. 

Fahad segera memandang muka ayahnya. Sepasang mata sedang terbuka. 

“Ayah!” Fahad menggenggam tangan ayahnya semakin kuat. Spontan tangan yang di dalam genggaman itu dibawa ke bibir dan dikucup. Lama. “I ada sini, ayah.” 

“Sini...”

Fahad kerutkan dahi. Tanda dia tak faham kehendak ayahnya.

“Dekatkan telinga kamu pada bibir ayah, Han. Ada benda yang dia nak cakap tu.”

Walaupun kebenciannya membara hanya dengan mendengar suara itu, namun arahan perempuan itu segera diikut. Dia tunduk melekapkan telinga hampir ke bibir kering Haji Mohd Akil. Sepasang mata ayahnya tertutup seketika. Apabila dibuka semula, bibir tua itu bergerak-gerak. Dan... Fahad mendengarnya. 

“Stop hating your own mother. Ibu kamu tak berdosa apa-apa. Dia tinggalkan kita kerana ayah.”

Fahad kaku mendengar pesanan itu. Andai kata ayahnya sedang sihat tentu sahaja dia mahukan penjelasan. Malangnya, keadaan tidak begitu. Jadi, semua yang dikatakan terpaksa ditelan begitu sahaja. 

“Han...” 

Fahad tersedar. Telinga kembali dirapatkan ke bibir ayahnya. 

“Be good. To... all. Terutama kepada ibu kamu.” Sekali lagi ayahnya mengaitkan wanita itu dalam pesanan terakhir lelaki itu. 

Saat itu dada Haji Mohd Akil sedang berombak. Dan sesuatu pada skrin monitor menggambar keadaan tidak begitu baik. Doktor berlari masuk. Begitu juga dengan para jururawat. 

“Ajar tuan haji mengucap, encik.”

Suara doktor dan ayatnya mengejutkan Fahad. Dia terkedu. Terpempan. Kaku kaki dan tangan. Mengucap? Ajar ayahnya mengucap? Apakah? Macam mana nak menyebutnya? Entahlah. Dia bagai lupa pada kalimah itu. Jenuh dia mahu mengingat, tetap sebaris ayat itu tak mampu meniti bibir.

“Han! Ajar ayah kamu mengucap, nak!”

Pandangan matanya dan pandangan ibunya bersatu buat pertama kali sejak sekian lama. Pandangan si ibu nyata penuh kesayuan. Kepala wanita itu sedang tergeleng-geleng. “Lailaha illallah...”

Ya, kalimah itu yang ingin disebut, namun ia tidak hadir dari bibirnya. Fahad hanya mampu menjadi pemerhati. Ketika ini Aziz yang sedang mentalkinkan di telinga ayahnya. Bukan dia! 

Dalam hati, ada sesal bermukim namun segera ditepisnya. Dia lelaki. Dia tak boleh menyesali apa-apa. Keangkuhan mengatasi segala perasaan lain dalam dirinya. 



SEGALA urusan untuk membawa jenazah pulang diuruskan oleh ibunya bersama-sama Aziz. Di rumah, jenazah Haji Mohd Akil diletakkan di ruang tamu bagi memudahkan adik-beradik dan saudara-mara untuk memberi penghormatan. 

Fahad hanya menjadi pemerhati. Dia nak buat apa selain itu? Nak mengaji? Dia tak tahu. Dah lama dia tak buka kitab itu. Lagipun orang lain semua ada. Ibunya, Munirah... Cukuplah mereka yang membaca Quran.

Fahad rimas. Dia ingin naik ke biliknya. Mahu mandi dan bersihkan badannya yang melekit. Tapi, sebelum itu dia mahu ke dapur. Tekak yang kering ingin dibasahkan. Sedang dia meneguk air kosong itulah, dia terdengar suara-suara berbisik.

“Kesian abang haji tu. Anak sulungnya lelaki, tapi... pemabuk! Waktu dia sampai di hospital tadi, ramai yang cakap satu badan dia bau arak, tahu. Eee, malang betul nasib abang haji dapat anak perangai tak senonoh macam tu.”

Fahad tersentak. Rasa diri terhina mendengar kutukan itu. Pun begitu dia kehairanan. Bagaimana mungkin badannya berbau arak sedangkan dia langsung tak sentuh benda tu? Argh! Pandai-pandai saja kaum kerabatnya membawa mulut!

“Dengarnya, kak hajah suruh Aziz jadi imam solat jenazah nanti.”

“Biar betul! Alahai, malangnya nasib abang haji. Sepatutnya anak sendiri yang jadi imam solat terakhir untuk dia. Bukannya menantu!”

Kali ini Fahad terhenyak. Pipi rasa tebal akibat dimalukan sebegitu rupa. 



JENAZAH ayahnya telah selamat disemadi. Malam ini malam pertama rumah besar ini ketiadaan Haji Mohd Akil. 

Mungkinkah ibunya akan sunyi? Bukan dia tak tahu betapa erat hubungan antara pasangan suami isteri itu. Dan, hubungan erat itulah yang menyebabkan dia marah kepada arwah ayahnya. Sepatutnya pasangan itu sudah lama bercerai. Sepatutnya sudah lama mereka tidak hidup bersama. 

Malangnya, Haji Mohd Akil terlalu pemaaf dan dia tak boleh terima sikap lelaki itu. Disebabkan itu jugalah dia jadi dirinya yang sekarang. Yang hati dipenuhi perasaan benci. Yang hati tidak langsung suka kepada kaum Hawa. Semua disebabkan ibunya dan Nirina. Namun, sampai ke saat ini dia masih tidak faham kenapa ayahnya berpesan yang bukan-bukan.

“Stop hating your own mother. Ibu kamu tak berdosa apa-apa. Dia tinggalkan kita kerana ayah.”

Pelik. Kenapa itu yang ayahnya pesan kepada dia? Berhenti membenci? Semakin benci adalah. Apalagi dengan segala yang dia dengar hari ini. Rasanya, dia dapat agak dari mana semua orang tahu tentang perangainya. Tak lain tentulah ibunya yang membawa cerita. 

Kalau tidak kenapa wanita itu langsung tak mahu pandang muka dia? Langsung tak mahu dekat? Nak bercakap dengan dia? Lagilah tidak. Kenapa? Itulah yang ingin diketahuinya. Dan malam ini, dia mahukan jawapan. Mahu membuat perhitungan dengan wanita itu. 

Dia menunggu sehingga ibunya usai solat. Sebaik pintu bilik sembahyang itu ditutup, dia terus mendapatkan wanita itu. “I ada hal nak cakap dengan you.”

Sedikit pun wanita itu tak pandang muka dia. “Kalau nak cakap pasal wasiat ayah kamu, esok ajelah.”

Fahad ketap bibir menahan geram. Apa yang difikirkan oleh wanita ini? Hati bertanya.

“Bukan sebab hartalah. Ini sebab lain,” bentaknya dengan wajah mencuka masam.

Si ibu enggan melayan kerenah Fahad. “Ibu mengantuk. Ibu nak tidur. Kamu pun tidurlah. Kita masing-masing dah penat ni.” 

Fahad masih berdegil. Selagi dia tak tahu apa yang berlaku selagi itulah dia tak puas hati. Jadi, langkah lemah ibunya dihalang juga. “Selagi you tak jawab soalan I selagi itu I tak boleh lena. Jadi, daripada I kacau you bila you dah tidur, bukankah lebih baik kalau I kacau you sekarang?” 

Fahad masih berdegil. Nak kata dia keras kepala atau kepala batu, dia relakan sahaja. Dia memang sentiasa buruk pada pandangan semua. Kerana itu, apa perlunya sopan santun sekarang?

“Soalan? Soalan apa yang kamu nak tanya sampai tak sabar-sabar nak tunggu esok?” Suara Hajah Zuraini dah naik oktaf. Bibit-bibit kemarahan masih belum mampu dihapuskan daripada hatinya. 

“Soalan pertama, I nak tahu kenapa you marah sangat dengan I?” Fahad tak bertangguh. 

Hajah Zuraini memandang ke luar balkoni. Pandangan yang kosong, sekosong hatinya kini. Hati yang sudah mula pandai menyeru nama suaminya. Hati yang sudah mula mengalun irama syahdu penuh kerinduan. Namun, dalam rindu itu terpahat kesalan. Kesalan yang hanya dia menanggung. 

“Tahu pula kamu yang ibu marah, ya?” 

“Tentulah tahu. Masalahnya sekarang, I tak tahu sebab apa you marahkan I. Sebab I tak ajar ayah mengucap ke?” Fahad menagih jawapan. 

Sayu rasa hati mendengar soalan itu. Namun, Hajah Zuraini menyahut juga. “Itu salah satu sebabnya.”

Fahad telan liur sebelum memberitahu. “I panik masa tu. Sebab itu I terlupa...” 

“Jangan bagi alasan mengarut macam tu. Kamu bukannya panik. Bukannya lupa pun. Air syaitan yang kamu teguk itulah yang dah buat kamu tak boleh sebut kalimah suci tu.” Buat pertama kali Hajah Zuraini tinggikan suara kepada anak sulungnya. 

Dada yang sendat tadi sedikit lapang setelah kemarahan yang dipendam sekian lama terlontar. Biarpun terlalu sedikit, Hajah Zuraini yakin yang Fahad sedang terkejut. Mungkin tak menyangka bahawa Hajah Zuraini mampu menjadi naga sekali-sekala. 

Fahad tunduk. Dia hilang kata. 

“Ada lagi soalan?” tanya si ibu. Dia tahu masih ada perkara yang bermain dalam kepala Fahad. 

Fahad ambil kesempatan itu untuk mengangguk. 

“Apa dia, Han?” 

“Kenapa you langsung tak cakap apa-apa pun dengan I sepanjang hari ini?”

“Apa yang pelik sangat ni, Han? Dah lama kita macam ni. Kamu yang tak nak tengok muka ibu. Tak nak bercakap dengan ibu. Kamu ni dapat alzheimer ke? Atau kamu ni menghidap amnesia sampai lupa perangai sendiri macam mana?” 

Sampai hati ibu mengutuk dia? Sengaja nak buat dia terasa agaknya? Tak boleh jadi ni. Hajah Zuraini perlu tahu betapa kecewanya dia sebagai anak yang terpinggir.

“I sihat dan tak ada segala penyakit yang you sebut tu. I cuma tersinggung sebab... Nak uruskan hal pengebumian arwah ayah tadi pun you serahkan kepada Aziz.” Rajuk hati Fahad luahkan tanpa selindung. 

“Terasa?”

Aik, macam sengaja nak naikkan darah dia balik ni. Fahad merengus. “Mestilah I terasa. Dia cuma menantu. I ni anak you.” 

Si ibu sudah malas nak cakap baik-baik. Nak berkias-kias pun dia tak mahu dah. Fahad bukan faham pun. Jadi, dia buat keputusan untuk cakap lepas sahaja. “Walaupun Aziz tu menantu ibu, pada ibu dia lebih layak buat semua tu berbanding kamu.”

Buntang mata Fahad. “Dia lebih layak?”

“Ya.”

“Apa maksud you?”

Ibunya ketawa besar mendengar soalan itu. “Kamu tak faham atau kamu buat-buat tak faham ni?”

“I...”

“Dahlah, Han! Baik kamu pergi tidur.” Hajah Zuraini bangun. Niat hati nak masuk bilik. 

Melihat ibunya berdiri, Fahad menahan. “I ada soalan lagi ni.”

Buntang mata Hajah Zuraini. “Ada lagi? Banyak perkara juga yang kamu tak puas hati, ya? Tak sangka pula ibu.”

Fahad tarik nafas panjang. “Apa maksud ayah bila dia cakap you tak bersalah? Kenapa dia asyik bela you sedangkan dulu you tinggalkan kami bertahun-tahun lamanya? Apa yang dirahsiakan sangat daripada I?”

Soalan-soalan yang menyebabkan dada Hajah Zuraini bergetar hebat. Terasa darah terpaksa dipam lebih laju oleh jantungnya. Sekian lama, soalan-soalan itulah yang dia tunggu namun saat mendengarnya, dia hampir putus nafas. Dan untuk seketika, lidahnya juga jadi kelu tak semena-mena. 

“Stop hating your own mother. Ibu kamu tak berdosa apa-apa. Dia tinggalkan kita kerana ayah. Apa maksudnya? Boleh tolong jelaskan pada I tak?” 

Kali ini Hajah Zuraini tarik nafas panjang apabila Fahad mengulangi amanat Haji Mohd Akil. Perlahan-lahan dia mendongak demi membalas renungan tajam anak sulungnya itu. 

“Ibu tak ada apa nak beritahu kepada kamu. Lupakan saja pesanan ayah kamu tu. Biarkan saja semuanya.”

Fahad semakin tak puas hati. “Kenapa susah sangat you nak berterus terang?”

“Kan ibu dah cakap, ibu tak ada apa nak beritahu kamu. Susah sangat ke kamu nak faham ayat tu? Dah, ibu nak tidur. Penat, tahu tak? Ibu penat!” 

Fahad termangu sendiri. Hanya leretan mata menyaksi langkah lemah yang diatur oleh ibunya, meninggalkan dirinya sendirian di ruang keluarga itu. Nampaknya dia tidak akan tahu maksud pesanan terakhir ayahnya. Belum lagi!



Diri dibawa ke bilik. Dia mahu tidur. Elok saja badan menyapa tilam, dia baru sedar yang sebenarnya dia sangat penat hari ini. Dan tak lama selepas itu, dengkurannya mengisi ruang bilik tidur itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…