Langkau ke kandungan utama

Bab 1 Per: Jawatan Isteri




FAHAD duduk tegak, menyandarkan diri ke belakang kerusi. Riak wajahnya tegang. Tiada segaris senyum menghiasi bibir. Beberapa kali jam direnung diikuti dengusan, tanda tak puas hati kerana terpaksa menunggu lama. 


Mulanya dia enggan ke mari. Enggan datang. Enggan memenuhi permintaan perempuan itu. Namun, kerana sakit hati apabila dituduh yang bukan-bukan, dia akhirnya setuju untuk bertemu. Jadi, di sinilah dia menanti Nirina yang sememangnya tidak pernah tahu erti frasa menepati masa.




Ketika dia mencicip air kopi yang dipesan untuk kali kedua, sepasang mata segera mengesan kehadiran bekas kekasihnya itu. Kalau dahulu dia pasti sudah bangun dan berjalan dengan laju hanya untuk mengiringi gadis itu ke meja mereka, kini tidak lagi. Dibiarkan sahaja gadis itu tercari-cari dirinya. Angkat tangan pun tidak untuk beritahu dia di mana. Dia diam. Menanti gadis itu melangkah ke arahnya.


“Dah lama tunggu I?”


Senyumnya sinis mendengar soalan itu. 


“Sorrylah I lambat. Jalan sesak...”


“I dah biasa dengar semua alasan you. Jalan sesak, kereta buat hal, tak tahu nak pilih baju mana nak pakai. Tak payah cakaplah, Rina. Buat sakit telinga I aje.”


Dahi Nirina terus berkerut. “Kenapa perangai you lain macam hari ni, Fahad?”


“Sebab I tengah geram dengan you. Tengah sakit hati sangat-sangat ni.”


“Kut ia pun nak marah, sekejaplah. Bagi I duduk dulu. Boleh?” 


Dia ketap bibir. Hati mendongkol melihat gaya selamba Nirina. Dia tak nampak pun riak bersalah pada raut itu. Yang dia lihat sekarang hanya satu watak gadis yang angkuh. Berubah benar gadis di hadapannya ini. Jauh berbeza daripada Nirina yang amat dikenalinya.


“I lapar.”


Suara seakan-akan merengek itu tidak diendahkannya. “I tak nak sembang lama-lama dengan you, Rina. I tak ada masa. Jadi, lupakan pasal makan minum. Cakap apa you nak cakap supaya cepat I boleh pergi dari sini.”


Fahad tahu mungkin gadis itu tak sangka dia yang selama ini sentiasa berlembut mampu keluarkan kata-kata sebegitu. Rupa-rupanya kalau hati disakiti ia mampu mengubah sikap dan pendirian seseorang. Apabila rasa percaya dikhianati, tidak ada gunanya lagi dia berlembut dengan gadis di hadapannya ini. Terutama selepas apa yang berlaku. 


“I nak jumpa ni sebab I nak berterus terang dengan you.” Nirina memberitahu.


“Tentang semalam? I dah jelas tentang semuanya.” Namun, dalam hati Fahad tetap berharap agar Nirina meluahkan rasa kesal, rasa bersalah, malah kalau boleh dia mahu mendengar pengakuan gadis itu yang mahu bertaubat. 


Malangnya, melihat wajah gadis itu sekarang, dia tahu bahawa bukan itu yang mahu Nirina katakan kepadanya. Dia menunggu dengan hampa. 


“Okey, dengar ya Fahad. Hari ini, I... I mengaku yang I memang I ada affair dengan Tan Sri. Puas hati tak dengar pengakuan I ni?” Nirina sengaja mahu membakar perasaannya. 


“Dasar tak tahu malu!” Dia balas balik.


“Nak malu apa? I dah nak kahwin dengan dia. Nanti I hantar kad jemputan kepada you.”


Sudahlah tak ada rasa kesal, boleh pula Nirina membangga diri kerana berjaya memerangkap lelaki berpangkat Tan Sri itu. Tan Sri yang tak mahu perkara itu diketahui umum, sanggup dan bersetuju apabila pihak pegawai jabatan agama menyuruh mereka berkahwin. 


Kalau semalam dia memang berasa terluka yang amat. Namun, hari ini kekecewaan itu hilang sudah. Berganti kebencian yang mendalam. 


“You mesti tertanya-tanya kenapa I paling tadah daripada you. Jawapannya mudah aje. Tanya diri you, apa I dapat masa kita bercinta dulu? Ada tidak pun you tolong siapkan assignment I, itu aje. Nak harap you belanja I shopping? Kempunanlah. Makan di restoran mewah? Jangan harap. You tu tahi hidung masin. I nak minta you belanja I KFC pun payah,” kutuk Nirina. 


“Kisahnya.” Kepala Fahad terangguk-angguk. Pengakuan itu sesuatu yang baru baginya. 


“Ya, itu kisahnya. You nak tahu tak satu cerita, Fahad?”


Fahad silangkan tangan di dada. Bersedia untuk mendengar.


“Waktu mula-mula I nampak you dulu, ada orang bagi tahu I yang you anak orang kaya. Sebab itu I tackle you. I ingat bila I jadi girlfriend you, you akan mewahkan I. I ingat you akan beri apa saja kepada I. Belikan barang-barang yang I nak. Tapi, nasib I malang. I dapat boyfriend yang kedekut. Yang berkira! Dan I benci you sebab tu.”


“I bukan kedekutlah. I jimat. I simpan duit. I menabung. Semua tu untuk apa? Untuk kita bila kita kahwin nanti. Itu pun you tak faham ke?” Fahad membela diri.


“Simpanlah duit dengan harta you tu. I tak nak pun.”


“Sebab you dah dapat orang tua tu?”


“You jealous ke?”


“Tak pasal I nak cemburukan dia.”


“Kalau you nak I, I boleh patah balik. Tapi, I nak tanya you. You boleh bagi I kereta BMW? You boleh bayar sewa kondo mewah yang I duduk sekarang? You boleh bagi I duit poket ribu-ribu?” 


Soalan-soalan itu menyebabkan Fahad mendengus. Sepasang matanya tajam memandang jauh ke dalam anak mata Nirina. Mencari sinar cinta yang pernah ada untuknya satu masa dulu. Namun, tidak ditemuinya. 


“You sengaja nak sakitkan hati I ke apa ni, Rina? You tahu yang I cuma boleh bagi you cinta I. Itu aje.” 


Lelah Fahad dengan sikap gadis ini. Tak pernah terduga dek akal yang Nirina begini orangnya. Bercinta sejak tahun pertama di universiti sehinggalah mereka sedang meniti perjalanan semester terakhir, dia terlalu setia pada cinta mereka. Siap menganyam impian untuk buat majlis perkahwinan mereka yang gilang-gemilang. Malah dia juga bercadang hendak memperkenalkan Nirina kepada kedua-dua ibu dan ayahnya. Sungguh dia kecewa. Terlalu kecewa dengan sikap gadis itu kini.


“Pada I, cinta aje tak cukup. Tak boleh menjamin hidup I. I nak hidup yang mewah. I nak duit.”


“Penting sangat duit pada you, Rina? Sampai sanggup buat perkara tak senonoh? I rasa, orang tua you di kampung mesti tak tahu apa yang you buat di sini. Betul tak?” 


“Tiap-tiap bulan I masukkan 500 dalam akaun emak I, Fahad. Tu dah cukup untuk dia. Macam mana I dapat duit tu, you rasa dia peduli ke? Biar I bagi tahu you. Dia tak peduli. Emak I tak pernah nak tanya. Cuba kalau I tak bank-in sekali. Bernanah telinga I kena kutuk, you tahu tak?”


Fahad mendengus lagi. 


“Emak dengan anak serupa. Dua kali lima. Mata duitan,” kutuknya.


“You anak orang kaya, bolehlah kutuk I macam tu. Cuba you ambil tempat I tengok. Entah-entah you pun sibuk nak jual diri.” Nirina pula naik angin. Sakit hatinya dikutuk-kutuk oleh Fahad. 


“You ingat I tak ada maruah?” Fahad menengking.


“Bila susah, bila adik-adik menangis lapar, bila emak you asyik merungut tak ada duit, bila bapak you asyik gila main judi... You ingat I nak peduli sangat dengan maruah I?” Giliran Nirina meninggikan suara. Sakit hati agaknya dengan Fahad yang asyik mengutuk dia. 


“Kalau semua orang miskin gadai maruah untuk tampung hidup, I boleh terima alasan you. Tapi Rina, cuba you tengok sekeliling kita. Ramai aje orang miskin, kan? Ramai aje yang fakir pun. Tapi tak adalah semua nak perangkap orang kaya macam yang you buat.”


“You tak akan faham.”


“I pun tak nak faham dah.”


“Bagus! Tu yang I nak dengar.”


“You campak I macam sampah, Rina dan I tak akan maafkan you sampai bila-bila.” 


“Sebab you memang hampeh. You tak ada apa-apa. Jangan ingat I kisah sangat sama ada you maafkan I ataupun tidak. I tak kisahlah!” 


Fahad mengetap gigi. Geramnya sudah di tahap maksimum. 


“Hebat kan you. Tak ada gelaran yang lebih baik dapat I fikir kecuali satu. You ni memang pisau cukur,” kutuknya.


Nirina senyum sinis. 


“You boleh kata apa saja. I tak kisah. Lagipun, you jangan ingat yang cinta you tu berharga sangat. Jangan fikir yang cinta you tu cinta paling agung. Tak usah nak perasanlah, Fahad!” cemik Nirina.


“Hari ini I dah sedar, Rina. Cinta you tu yang sebenarnya tak ada nilai langsung. Malah, perempuan macam you ni tak ada harga. You ingat you boleh bahagia dengan Tan Sri tu? Dengan lukakan hati I? Dengan runtuhkan kebahagiaan Tan Sri dengan keluarga dia? Gelaklah, Rina. Gelaklah sekarang sebab satu masa nanti you akan rasa bagaimana sakitnya apabila diri you dikhianati. Percaya cakap I ni.”


Nirina ketawa. “Kat luar sana, ramai aje perempuan yang macam I, Fahad. Kami ni perempuan-perempuan yang bijak. Yang tahu bahawa dalam hidup ni, semua yang kami nak... perlukan duit. Nak beli barang, nak masuk hospital, nak hantar pada emak bapak kat kampung, semua tu pakai duit, Fahad. Bukan pakai madah cinta you aje. Satu lagi. I tak khianat kepada sesiapa. Tan Sri yang curang kepada isteri dia. Dan you? I tinggalkan you untuk cari masa depan yang lebih baik untuk I. Jangan salah anggap, ya.”


Fahad enggan menunggu lagi. Benci benar dia dengan Nirina. Benci mendengar suara itu juga. Lalu dia bangun. Wajah itu direnung untuk kali terakhir. “Hari ini, I nak isytihar yang I sangat-sangat bencikan you. Jangan pernah tunjukkan muka you depan I lagi. Faham?”


Dan dia pergi. Membawa hati yang penuh benci. Penuh dendam. Penuh marah kepada kaum sejenis Nirina. Terlalu!






KELUAR dari Pasar Seni, Adelia berasa haus tiba-tiba. Melihat kiri dan kanan jalan yang agak lapang, dia laju melintas jalan untuk ke 7-Eleven tidak jauh dari situ. Sambil-sambil itu dia melihat muka jam di tangan kiri. Risau pula kalau nanti ayahnya sampai dan dia tak ada di tempat yang dijanji.


Di muka pintu kedai 7-eleven itu, dia bertembung dengan seorang lelaki. Dia ke kiri, lelaki itu turut ke kiri. Dia bergerak ke kanan, lelaki itu juga sama. Adelia geram. Hati menyumpah. Namun, baru dia angkat muka nak hambur marah, lelaki itu yang terlebih dahulu menjerkahnya. 


“Yang duk ikut I ni pasal apa, budak kecik? Tak boleh tunggu I keluar dulu baru you masuk?”


Adelia dah panas telinga. “Bila saya ikut awak?”


Lelaki itu menjegilnya, namun Adelia sedikit pun tidak mengendahkan. 


“Jangan bergerak!” Adelia mengarah.


Lelaki itu jongket kening. Bagaimanapun arahan Adelia dipatuhinya.


Adelia tersenyum puas. Dia sudah menang. Dengan gaya diva dia bergerak, badan sengaja melanggar lelaki itu sebelum dia meneruskan langkah masuk ke dalam kedai.


“Hey, you!”


Adelia tidak peduli. Waktu itu telefon bimbitnya sudah berbunyi. Panggilan daripada ayahnya yang sudah tiba di tempat parkir di hadapan Pasar Seni. Tak jadi Adelia mahu meneruskan niat membeli air mineral. Bimbang ayahnya lama menunggu dia pula, dia segera keluar dari kedai. 


“Semua salah lelaki tu!” Adelia menjeling lelaki yang kini sedang berdiri di kaki lima sambil mencerunkan pandangan kepadanya. Penumbuk ditunjukkan, isyarat dia geram dan tak puas hati. 





Lelaki itu membulatkan mata. Memerhati gadis cilik itu berlalu pergi dengan laju menjauhinya. “Eleh, ada hati nak tumbuk aku konon. Tak padan dengan kecik.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…