Langkau ke kandungan utama

Tak Mungkin Kuhindar Bab 5

#throwbacktmkh
#anasofiya
---------------------

HARI Ahad, Maria ditinggalkan sendirian di rumah. Kawan-kawan serumahnya sudah pergi menonton wayang. Dia tidak ikut serta. Sengaja mengasingkan diri. 

Sejak mengetahui tentang Hisyam, Yana, Aini dan Salwa tidak berhenti-henti mengusik. Mereka tidak mempedulikan kemarahannya. Mereka tidak kisah kalau dia merajuk. Semakin dia berkecil hati, semakin galak mereka melakukannya. Tidak jemu-jemu.

Dia sedang makan ketika pintu rumahnya diketuk. 

Hai, siapa pulak yang datang ni? Tanya Maria dalam hati. 
Sangkanya jiran mereka, Kak Munah, yang datang untuk mengambil baju yang telah siap dijahit, baju yang ingin dipakai untuk menghadiri majlis kenduri kahwin anak majikan suaminya nanti.

Maria tidak bersedia untuk bertemu pandang dengan lelaki di hadapannya kini. Lelaki yang sentiasa berada di ruang fikirnya selama ini. Lelaki yang pernah menolongnya, lelaki yang asyik mengganggunya di telefon. Hari ini, Hisyam kelihatan kacak dengan seluar jean dan baju-T berwarna biru. 

Melihat senyuman yang menguntum di bibir lelaki itu, Maria yakin Hisyam dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.

“Awak buat apa kat sini? Macam mana awak tahu alamat ni? Kenapa awak datang? Kenapa tak telefon dulu?” soal Maria bertalu-talu. 

Lama Hisyam merenung diri Maria hingga membuat Maria rasa tidak selesa.

“Saya tak akan jawab soalan-soalan awak tu di sini. Sekarang, saya nak awak masuk ke dalam dan bersiap. Kita pergi makan.”

Maria menghempaskan daun pintu sehingga tertutup rapat. 

Mengapa Hisyam memberi arahan itu? Dia ingat dia tu siapa? marah Maria geram. Tak kuasa nak layan. Biar dia berdiri di luar tu. Nanti bila dah jemu, tahulah dia balik.

Maria duduk di atas kerusi di ruang tamu dengan hati yang berdebar-debar. Perbuatan lelaki ini sentiasa di luar jangkaannya. Di saat dia merasakan bahawa dirinya sudah dilupakan, lelaki ini muncul semula. Selama seminggu, Maria terpaksa melayan kerenahnya di telefon. Secara tiba-tiba, lelaki itu menghilangkan diri, sepi tanpa berita. Hari ini, entah apa mimpinya, Hisyam muncul di hadapan rumah. Mengarah dirinya supaya bersiap. Mengajaknya keluar makan. Tidakkah gila namanya tu?

Tiba-tiba pintu rumahnya terbuka luas dan mata Maria terbeliak melihat lelaki itu sedang menanggalkan kasut. Bergegas dia berlari ke muka pintu. 

“Awak nak buat apa ni, hah?” jerkah Maria. 

Hisyam menghentikan perbuatannya.

“Saya nak masuk dalam sebab awak tak nak ikut saya keluar. Atas meja tu nampaknya ada hidangan. Bolehlah saya makan, tak gitu? Saya sebenarnya dah lapar ni,” jawab Hisyam selamba.

“Tak boleh!” Maria menjawab pantas. Wajahnya pucat.

Pada ketika itu, Hisyam sedang menoleh ke kiri sambil tersenyum. Suami Kak Munah sedang keluar daripada kereta. Balik dari pasar agaknya. Abang Aziz sedang merenung ke arah mereka berdua. Hai, entah apalah yang sedang lelaki itu fikirkan, keluh Maria.

Hisyam kembali memandang Maria. 

“Nampaknya, awak dah berjaya tarik perhatian jiran-jiran awak. Kalau mereka tanya siapa saya nanti, bolehlah saya cakap yang saya ni kekasih awak, kan? Saya nak beritahu dia orang yang awak tengah merajuk. Datang ni sebab nak pujuk awak,” ujar Hisyam sambil tersenyum sinis.

“Jangan nak mengarut!” balas Maria. Wajahnya jelas bimbang kalau-kalau Hisyam benar-benar akan masuk ke dalam rumah. 

Hisyam yang ketika itu sedang berpeluk tubuh direnung dengan mata yang sengaja dijegilkan. 

“Tolonglah! Pergilah balik. Saya tak akan keluar dengan awak. Tolong jangan ganggu saya, boleh tak?”

“Saya bukan nak ganggu awak, Maria. Saya nak ajak awak keluar makan tengah hari dengan saya. Tapi, awak tak mahu. Sebab tu saya nak masuk ke dalam. Saya nak temankan awak makan. Tentu awak tak seronok makan sorang-sorang, betul tak?” Hisyam mempelawa dirinya sendiri. Kemudian dengan senyuman nakal, dia menyambung, “Oh ya, lupa pulak saya nak cakap. Awak nampak cantik sangat hari ini.”

Ayat yang terakhir itu membuat wajah Maria merona merah. Lelaki ini memang sudah tidak betul, fikirnya. Adakah dia cantik bila hanya berkain batik dan berbaju-T yang sendat? Mukanya pula dipenuhi bedak sejuk. Aduh, malunya dia! 

“Awak ada dua pilihan sebenarnya, Maria. Terima ajakan saya keluar atau benarkan saya masuk ke dalam rumah. Yang mana satu?” Hisyam mendesak.

“Encik Hisyam, saya…”

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Hisyam mencelah, “Mana satu, Maria?” 

Maria tidak mahu memilih. Kedua-dua tawaran lelaki itu mencemaskannya. Yang dia tahu, dia tidak mahu bersama Hisyam. Ada sesuatu tentang Hisyam yang menakutkannya. Ada sesuatu mengingatkan dirinya bahawa dia perlu menjauhkan diri. Bagaimana harus dia membuat Hisyam faham? Lama dia diam. Otaknya sedang ligat memikirkan alasan-alasan bila suara Hisyam begitu kuat menampar telinganya.

“Maria, saya tanya awak untuk kali terakhir. Yang mana satu yang awak nak? Ikut saya pergi makan atau saya masuk ke dalam rumah awak? Saya beri awak lima saat untuk menjawab. Satu... Dua... Tiga...”

Rasa bimbang dengan apa yang bakal Hisyam lakukan membuatkan Maria tidak sempat berfikir dan terus sahaja berkata, “Baiklah, baiklah! Pergilah tunggu saya dalam kereta awak. Beri saya masa sepuluh minit untuk bersiap.” 

Maria terpaksa beralah. Sikap Hisyam yang suka mendesak membimbangkannya. Dia tahu lelaki itu tidak akan teragak-agak untuk masuk ke dalam rumah sekiranya dia terus menolak. Hisyam bukan seorang yang cepat mengalah. Dia amat pasti tentang itu.

Hisyam tersenyum, tetapi dia menggelengkan kepala. 
“Oh, no! Awak ada masa lima minit aje. Kalau tidak, saya akan bunyikan hon sehingga semua jiran-jiran awak keluar tengok kita,” jawab Hisyam selamba.

“Kalau awak buat macam itu, saya tak akan keluar dari rumah ini. Nanti biar semua orang anggap awak tu orang gila.” Maria membalas sambil menjeling.

“Awak cabar saya ke? Awak betul-betul mahu saya bunyikan hon tu? Jangan ingat saya tak berani, Maria.”

Hisyam sudah melangkah ke arah kereta. 

Apakah dia akan melakukannya? Apakah dia akan terus membunyikan hon itu tanpa henti? Macam mana nanti? Tentu mereka juga yang malu.

“Hei, awak nak ke mana tu?” soal Maria. 

Hisyam menoleh ke arahnya semula. “Kan awak yang suruh saya tunggu dalam kereta?”

Maria terpinga-pinga. Dia masih kebingungan bila lelaki itu melihat jamnya.

“Maria, masa tinggal tiga minit sahaja lagi...” Hisyam mengingatkannya. 

Maria tersentak. Dia menjeling tajam. “Awak ni memang melampau, tahu tak? Suka mendesak, suka mengugut, suka…”

Ketawa Hisyam menambahkan geram di hati Maria.
------------------------------
dah tamat. kalau ada sesiapa rasa nak beli, bolehlah pm Penerbitan Fajar Pakeer ya. esok, kita masukkan teasers utk novel kedua kak sofi ya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…