Prolog Abang Mekanikku



PROLOG

Tingkap bilik sengaja dibiarkan terbuka. Memandang jeriji yang ditutupi kain net berwarna hijau, dia terkenang kepada si suami. Rumah kayu beratap zink itu pasti akan lebih panas kalau tiada inisiatif lelaki itu dahulu. Dengan memasang net, angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasai desirannya dan sang nyamuk tak dibenarkan masuk ke dalam rumah, mencari mangsa untuk dihisap darahnya. 


Malam ini malam ketiga suaminya tidak di sisi. Dia sudah dipanggil pulang oleh Ilahi. Hanya kenangan yang tinggal untuk dia dan anak-anak dalam meneruskan kehidupan.

“Mak, mak dah solat?”

Puan Mahani berkalih ke arah pintu. Di situ berdiri anaknya yang nombor enam. Yani sedang memandangnya dengan wajah gusar. Laju dia mengangguk. Tak mahu melihat Yani ternanti-nantikan jawapannya. “Sekejap ya, sayang. Mak nak sangkut telekung ni dulu. Lepas tu mak keluar.”

Ketika dia melangkah ke ruang tamu, semua anaknya sudah ada di situ. Daripada yang sulung sehinggalah yang bongsu, begitu setia menanti kehadirannya. Dia tersenyum melihat mereka. 

“Untuk hari ini, biar mak jadi pengerusi mesyuarat keluarga kita ni. Yang akan datang nanti insya-Allah, abang long yang akan ambil alih tempat ayah.” Kata-katanya adalah mandatori. Tak siapa dibenarkan menolak kerana itu adalah amanat suaminya. Anak sulung lelaki wajib mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas pemergiannya.

“Mak, abang ngah nak tanya sikit.” 

Dia angguk. Membenarkan. 

“Macam mana kami semua nanti? Adik-adik yang bersekolah. Abang ngah dengan abang long di universiti. Siapa nak tanggung? Mak pun tau kan yang duit PTPTN tak pernah cukup?” 

Puan Mahani menarik nafas panjang. Persoalan yang sentiasa menjadi topik perbualan antara dia dengan arwah. Inilah dia. Macam mana dengan pelajaran anak-anak andai suaminya tiada lagi?

“Mak dapat duit pencen ayah.” 

“Mana cukup, mak.”

“Mak jual kuih nanti.”

“Abang long ada benda nak beritahu.”

Semua orang memandang Adham. Begitulah selalunya. Bila Adham buka mulut saja, semua orang akan memberi sepenuh perhatian kepadanya. 

“Abang long dah buat keputusan untuk tangguh pelajaran abang long di universiti.”

Satu keputusan yang mengejutkan semua, terutama Puan Mahani. 

“Maksud kamu, abang long?” tanya dia.

“Abang long takkan balik ke universiti lepas ni. Abang long dah cakap dengan Uncle Tony yang abang long nak kerja di bengkel dia. Dia pun dah setuju.”

Puan Mahani macam nak menangis mendengar keputusan yang sudah dibuat oleh Adham Faiz. Dia sedar, dia tak boleh nak kata apa-apa lagi. Antara semua anaknya, yang sulung inilah yang paling keras kepala. Keputusannya selalu muktamad. Tak boleh nak dipertikai lagi. “Kenapa tak bincang dengan mak dulu, Am?”

“Alah, mak. Nak bincang buat apa lagi? Betullah keputusan yang abang long dah buat tu. Dia anak sulung. Dia kena berkorbanlah untuk kami adik-adik dia ni,” kata Hamdan.

“Abang ngah cakap main sedap mulut abang ngah aje. Abang long tu nak masuk tahun akhir, tahu. Sayanglah kalau abang long berhenti. Lagi dua sem aje kut.” Fauziah, anak ketiganya yang dipanggil Gee mencelah. 

Gee dan Hamdan memang selalu tak sependapat. Memang akan bertengkar ketika sedang berbincang. Memang tak sebulu.

“Itulah yang dikatakan pengorbanan.” 

Gee jegil mata kepada Hamdan. “Kalau gitu, abang ngah ajelah yang berkorban. Abang ngah tu pun bukan pandai sangat belajar. Setakat dapat dua pointer tu, lebih baik abang ngah berhenti dan bagi abang long sambung pelajaran dia.”

“No way! Abang ngah tak nak tangguh-tangguh.”

“Kesian abang long. Pelajaran dia cemerlang tapi terpaksa tangguh dan bagi laluan pada abang ngah yang selfish ni.”

“Eh, apa kata kau aje yang berhenti, Gee. Asyik duk kutuk aku aje. Kau sanggup?” Hamdan dah merah padam mukanya menahan marah. 



“Dah, tak payah nak bertekak lagi. Sekarang ni, keputusan, abang long yang buat. Dan, dengar cakap abang long ni. Kau orang tak payah nak berkorban apa-apa pun. Tugas kau orang, belajar. Tentang duit dan makan minum, belanja hidup semua, biar abang long yang cari. Faham?”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen