apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.4.15

Bab 7 Abang Mekanikku


BAB 7

Adham melangkah laju ke arah meja yang terletak di suatu sudut restoran makanan segera yang terletak di pusat membeli-belah Jaya Jusco, Taman Maluri. Di tangan, dia membawa sebuah dulang berisi dua snack plate dan dua bekas air Pepsi. Sambil berjalan, sepasang mata asyik memerhati gelagat seorang lelaki yang sedang sibuk bercakap di telefon bimbitnya. Daripada raut wajah, Adham dapat melihat kegelisahan. Ada riak ketidak puasan hati terpapar. Entah mengapa, tingkah lelaki itu menzahirkan senyuman yang sinis pada wajahnya.


Dia tidak tahu untuk apa Hamdan menghubunginya. Dia tidak mengerti mengapa adiknya yang dipanggil abang ngah itu menelefon untuk menemuinya. Sudah lama lelaki ini melenyapkan diri. Hilang begitu sahaja dan menyepi tanpa kabar berita. Mengapakah tiba-tiba hari ini dia di sini?

Hiruk-pikuk di dalam kedai tidak menarik minat Adham lagi. Sudah terbiasa begitu, terutama di awal bulan. Pekerja di kaunter tadi pun sudah tidak menang tangan hendak melayan permintaan pelanggan yang pelbagai. Ragam dan keinginan yang berbeza-beza serta sikap yang ingin cepat, memang menuntut kesabaran. 

Namun, seperti dirinya yang sudah terbiasa dengan keinginan pelanggannya di bengkel, Adham memang ‘tabik spring’ dengan sikap pekerja-pekerja di restoran KFC ini yang tenang dan tidak mudah melenting walau ada pelanggan yang nyata datang bersama-sama kesombongan.

“Mak kita sihat ke, abang long?”

Adham mendongak menatap raut muka adiknya. Dia tidak tergamak hendak memarahi bila sepasang mata itu berkaca-kaca merenunginya. Lantas, kepala dianggukkan.

“Adik-adik?” Hamdan bertanya lagi. Dia cuba untuk mengajak abangnya ini bersuara. 

Dia ingin berbual, mengembalikan suasana mesra antara mereka. Seperti waktu dahulu. Perlahan-lahan, sebuah keluhan Hamdan lepaskan. Mengenangi peristiwa silam bagai mencengkam suatu rasa dalam jiwa. Ada rindu mengulit yang menyebabkan dia teringin memiliki keindahan itu semula. Ingin menatap senyuman ibu, Adham dan adik-adik mereka. Ingin dimanjai oleh si ibu dan ingin mengusik adik-adik yang ramai. Dia rindukan kemeriahan itu. Rindukan gelak ketawa dan gurau senda mereka.

“Dia orang semua sihat, abang ngah,” balas Adham tanpa mendongakkan kepalanya. Dia masih setia meratah ayam di hadapannya. 

Bukan selalu dia dapat menikmati bahagian paha ayam KFC. Selalunya, jikalau dia bawa balik satu barrel ke rumah, dia akan membiarkan adik-adiknya memilih bahagian kesukaan mereka. Ayam yang terakhir itulah yang akan menjadi santapannya. Biasanya bahagian sayap sahajalah! Begitu pun, melihat adik-adiknya berebut-rebut memilih dan sesekali ada yang merajuk, memberi satu kepuasan kepada dirinya. Kepuasan yang tidak terhingga. Dan, melihat senyuman di bibir ibu mereka, hati Adham pastinya puas. Dia puas kerana berjaya membuat ibu mereka lupa seketika kepada abang ngah di hadapannya ini. 

“Abang ngah teringin nak bawak Anita balik ke rumah kita. Biar dia tengok kemesraan kita adik-beradik. Baru dia percaya cakap abang ngah yang mak dah didik kita dengan baik. Bukan macam dia dengan famili dia tu. Asyik bercakaran tak berhenti-henti. Harta yang tak banyak mana tu direbut-rebut. Ada sahaja rasa tidak puas hati sampai abang ngah rasa lemas dah!”

Ada nada kesalan yang dapat Adham dengari. Sebaik mendongak menatap wajah Hamdan, dahi Adham berkerut-kerut memerhati wajah yang hilang keceriaan itu. Kini, baru dia dapat melihat betapa walau baru berusia menginjak ke 25 tahun, Hamdan kelihatan jauh lebih tua daripada usia sebenar. Kalau dirinya kelihatan berusia dan matang kerana kerja kerasnya, Adham yakin bahawa lelaki di hadapannya ini pasti jadi begini kerana dibebani masalah.

“Dua tahun dulu, masa abang ngah buat keputusan untuk berkahwin dengan Anita, abang ngah cukup bangga. Maklumlah, abang ngah kahwin dengan anak orang kaya, kan? Hidup kita yang dulu sekadar cukup makan berubah menjadi serba lengkap bagi abang ngah. Tu buat abang ngah jadi leka. Lupa pada mak. Lupa pada adik-adik. Tapi, lama-lama abang ngah jadi bosan dengan Anita dan keluarganya. Abang ngah rasa macam nak pergi jauh daripada dia orang.” Hamdan meluahkan kesalan. 

Ya, dia kesal kerana menurut kata hati. Dia kesal kerana meminggirkan keluarga sendiri setelah dia memilih Anita. Perkahwinannya ditentang keras oleh Puan Mahani, namun dia tidak tega menghadapi tentangan. Waktu itu, dia menganggap ibunya hanya wanita bodoh yang tidak mengerti hati dan perasaannya.

“Baru dua tahun kahwin dah ada rasa macam ni? Mana perginya rasa cinta kasih abang ngah pada dia?” Adham mengecilkan sepasang mata bila soalan itu dikemukakan. Sungguh dia tidak memahami. Apakah cinta membutakan mata hati sehingga kasih sayang seorang ibu habis terlerai?

“Abang ngah baru perasan yang Anita tak sepenuh hati cintakan abang ngah.”

Adham menatap wajah di hadapannya dalam-dalam. Hati bergetar mendengar curahan rasa itu. Debaran yang menggendang diri hingga menjadikan tangan turut terketar. Resah mendatang. Gundah menyerang. Tawa sinis menutup segala yang menghantui fikiran saat ini. 

“Karut! Dulu, masa nak kahwin dengan abang ngah, kan abang ngah jugak yang cakap dia yang ajak? Dia ajak abang ngah kahwin dengan dia. Kalau bukan disebabkan cinta pada abang ngah, takkan dia buat macam tu, kan?” bidasnya.

“Waktu itu dia cuma perlukan seorang lelaki untuk diri dan hidupnya. Mungkin pakwe dia menolak kehendaknya, siapa tahu? Abang ngah dijadikan tempat untuk dia menyakiti hati kekasih dia,” bisik Hamdan perlahan. 

Rasa ringan kepalanya setelah dapat berkongsi masalah rumah tangganya dengan si abang. Rasa semua yang terbeban selama ini berjaya diketepikan. Rupa-rupanya, masalah tidak boleh dipendam, fikirnya. Lagi disimpan, lagi semak kepala. Kini, setelah ia dapat diluahkan, hati merasa lapang. Fikiran menjadi lega. Tidaklah bercelaru dan haru-biru seperti sebelumnya.

Berlainan dengan Adham. Kata-kata Hamdan mengembalikan ingatan kepada Anita. Wajah cantik itu terimbau semula. Sepasang mata bulat dan bundar. Hidungnya mancung. Pipi tidak pernah tumbuh walau sebiji pun. Rambut panjang melepasi bahu yang sering terbiar, terurai dihembus angin. Jari-jemari yang runcing, lembut dan halus, tanda gadis itu tidak pernah langsung melakukan satu apa pun di rumah.

“Abang long tak tahu nak nasihatkan abang ngah dalam hal rumah tangga ni. Tapi, kalau abang ngah mintak pendapat abang long, satu aje yang abang long nak suruh abang ngah buat.”

“Apa dia?”

“Berbincang! Duduk sama-sama dan bincang dengan bini abang ngah tu apa yang abang ngah tak puas hati dengan dia.”

Hamdan tersenyum sinis. “Tiap kali abang ngah ajak dia duduk berbincang, tiap kali itulah dia akan mengelak, abang long.” 

“Kenapa jadi macam tu?”

Hamdan mengeluh lagi. “Dia tuduh abang ngah kahwin dengan dia sebab abang ngah nak hidup mewah. Dia kata abang ngah ambil kesempatan bila papa sukakan kerja abang ngah di pejabat. Dia tuduh abang ngah cuba tackle dia melalui papa, sampai papa anggap abang ngahlah lelaki yang paling layak jadi suami dia.”

Adham cuba menyelami kata-kata Hamdan, namun semakin dia cuba menerima, semakin hatinya menidakkan. Ya, dia memang faham situasi adiknya yang selama ini terkurung dalam sangkar kemiskinan. Lalu, apabila kesempatan untuk keluar daripada kurungan itu diperoleh, tentu sahaja peluang tidak dilepaskan begitu sahaja. Keupayaan meraih kepercayaan pemilik syarikat gergasi, Buruan Mega Sdn Bhd tentu merupakan satu bonus. 

Hamdan bukan seperti dirinya yang panas baran. Hamdan sentiasa akur dengan sebarang perintah. Sikap patuh itu tidak Adham miliki. Bagi Adham, dia hanya akan mematuhi arahan yang dirasakan betul. Kalau tidak? Jangan harap dia akan menjadi pak turut.

“Dia kahwin dengan abang ngah sebab itu kehendak papa dia. Dia tak cintakan abang ngah. Sebagai suami, abang ngah dapat rasakannya.”

Satu pengakuan yang mengejutkan Adham. 

“Selepas dua tahun?” tukasnya dalam rasa tidak percaya.

“Sejak malam pertama lagi!” 

Melihat wajah terkejut Adham, Hamdan menyambung, “Jiwa dan raga tidak diserahkan sepenuhnya pada abang ngah, abang long. Tubuh dia milik abang ngah, tapi hati dia tidak!”

“Maksud?”

“Dia ada kekasih.”

Mata Adham buntang. Hati jadi berdebar. 

“Tak tahulah sama ada dia dengan kekasih dia tu masih berhubung atau tidak. Cuma, sekarang sikap dia makin teruk. Dia langsung tak tahu macam mana nak cakap baik-baik dah.”

“Macam mana boleh jadi macam tu?”

“Entahlah! Mungkin dia rasa menang dengan buat macam tu agaknya!”

Lagilah Adham tak faham. “Menang? Kau orang bertaruh ke? Bertaruh apa?” soalnya.

“Mana ada bertaruh. Dia cakap direct pada abang ngah yang dia tak bahagia dengan abang ngah. Dia kata dia sanggup tinggalkan abang ngah kalau lelaki itu mahu terima dia semula!”

Adham menggeleng. Dalam masa sama, tangan menggaru sedikit permukaan kulit kepala yang tiba-tiba dirasakan gatal. Dia tak faham bagaimana semua itu boleh berlaku hanya dalam tempoh dua tahun berkahwin. 

“Tapi, abang ngah... Tak payahlah nak cemburu sangat. Kalau Anita suka dan sayang sangat pada lelaki itu, dia tak akan kahwin dengan abang ngah. Dia patut setia pada lelaki itu. Dia sepatutnya sanggup berkorban, sanggup tinggalkan kemewahan yang dia ada demi cinta yang kononnya agung sangat tu.”

“Kalau abang ngah tahu siapa lelaki tu...”

Rasa tersekat air liur di kerongkong mendengar suara Hamdan yang tiba-tiba lantang menujah telinganya. “Abang ngah nak buat apa pada dia?”

“Abang long rasa apa patut abang ngah buat pada perampas macam jantan tu?”

“Jangan tuduh sesuka hati, abang ngah. Entah-entah abang ngah yang rampas Anita daripada dia tak?”

“No way. Anita tu...”

“Anita tu bini abang ngah. Jaga dia. Jaga hak abang ngah sebagai suami.”

“Payah, abang long. Dia nekad nak balik pada boyfriend dia tu.”

“Tepuk sebelah tangan tak berbunyi, abang ngah. Bincang elok-elok. Jangan bagi Anita buat benda yang tak elok. Jangan sampai perbuatan dia menjadi fitnah pada bekas kekasih dia. Lelaki itu mungkin tak tahu apa-apa langsung!”

“Tapi...”

“Abang long ingat abang ngah nak jumpa abang long sebab abang ngah nak balik jumpa mak. Rupa-rupanya nak luahkan masalah. Abang ngah tak malu ke? Lepas kahwin hilang macam tu aje. Tiba-tiba abang ngah muncul dalam keadaan serabut macam ni. Apalah!”

Hamdan terasa hati disindir Adham. Namun, dia tak boleh menafikan. Memang dia tak patut buat apa yang dibuatnya ini. Waktu senang, lupa diri. Bila dah susah hati, cari adik-beradik. 

“Mak tu rindukan abang ngah. Adik-adik pun sama. Dia orang selalu teringatkan abang ngah. Abang ngah kan abang favourite dia orang. Lainlah abang long ni. Kasar. Suka marah-marah. Suka tengking orang. Siapa yang suka?”

“Dia orang dah lupakan abang ngah kut.” 

“Nak tahu jom ikut abang long balik.”

Hamdan menggeleng. Sambil itu, dia mengeluarkan dompet untuk mengambil beberapa keping duit 50 dan seratus. “Nah, bagi duit ni pada mak.”

Adham hanya merenung. Tangannya tidak langsung menyambut huluran itu. “Abang ngah, abang ngah ingat duit tu boleh gantikan diri abang ngah ke? Abang ngah ingat bila mak dapat duit tu dia akan seronok? Gembira sebab anak dia masih ingat pada dia? Macam tu ke abang ngah fikir?”

“Abang long...”

“Simpan duit tu. Kalau setakat tiga ratus ringgit, abang long bagi mak lagi banyak daripada tu tiap bulan.”

Hamdan mengeluh. 

“Bila nak balik ni?” Adham tanya lagi. 

“Nantilah.”

“Nanti? Jangan macam tu, abang ngah. Abang long rasa, dah tiba masa abang ngah balik jumpa mak. Sampai bila nak jadi anak derhaka?”

“Abang long! Sampai hati abang long...”

Adham mencelah, “Hidup abang ngah tak tenang, kan? Macam mana nak tenang kalau abang ngah asyik buat mak sedih. Mak rindu abang ngah, tapi abang ngah tak balik jenguk dia. Baik ke tu?”

Wajah Hamdan menjadi keruh. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata sindiran Adham Faiz. Gementar dirinya digelar anak derhaka. Ketakutan yang teramat sangat. Bagaimanapun, dia masih belum bersedia untuk kembali. Dia masih tidak sanggup kehilangan segala-gala yang sedang dimiliki, walau rumah tangga semakin hambar.

“Kalau rasa nak balik, balik aje. Kita orang tunggu.”

Perlahan-lahan Hamdan mengangguk. Dia memerhati Adham yang kini sudah berdiri di hadapannya. Pasti abangnya itu ingin pulang.

Tangan bergenggam erat. “Balik tau. Penyelesaian yang mak bagi tentu lebih baik daripada nasihat abang long tadi.” 

Tiba-tiba satu suara halus menyapa dari arah belakang Adham. “Darling, you kat sini rupanya? Kenapa you tak cakap masa I call you tadi? Sengaja nak sakitkan hati I ya?”



Suara manja itu milik Anita, isteri Hamdan. Adham kenal sangat dengan suara itu. Kenal juga dengan pemiliknya. Dan kerana dia kenal, Adham tahu dia perlu pergi dari situ. Dia masih belum bersedia untuk bersemuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.