Langkau ke kandungan utama

Bab 6 Abang Mekanikku


BAB 6

“Abang burger, cepatlah sikit! Dah lama kita orang tunggu ni, tahu!”


Ini sudah kali kedua suara budak perempuan itu didengarnya. Hati muda si abang burger sudah panas sekarang. Dia semakin geram dengan sikap tidak sabar yang ditunjukkan. Tidakkah perempuan itu nampak bilangan orang yang sedang berbaris di hadapan gerainya, menunggu giliran? Tidakkah perempuan itu nampak betapa sibuknya dia? Tak menang tangan ni? Haih, budak perempuan tu memang nak kena!

Segera dia menoleh ke kiri memandang adik-adiknya, Udin dan Akub. Mereka berdua merupakan dua orang pembantunya di gerai burger ini. 

“Udin!” dia memanggil.

“Ya, abang long!” Laju panggilan dijawab.

“Perempuan tu buta ke?”

Udin segera menoleh ke arah sebuah meja di hujung kedai Mamak Maidin. Rasa-rasanya dari situlah suara nyaring itu kedengaran tadi. Dia nampak tiga orang gadis. Manis-manis belaka. Cantik. Tak ada pun perempuan buta? Jadi segera dia menggeleng sambil cakap, “Tak,” kepada abang longnya.

“Jadi, dia tahulah yang kita sibuk, kan? Dia nampak yang ramai orang sedang beratur kat depan abang long ni, kan?” tanya Adham lagi. 

Udin tengok muka Akub. Akub pandang Udin. Kedua-duanya cepat-cepat mengangguk lagi. 

“Jadi, apa masalah perempuan tu?” 

Serentak, Udin dengan Akub angkat bahu tanda tak tahu.

Adham terus buka apron yang menutupi bahagian hadapan baju-T berwarna hitam yang dipakai. Apron itu diletak di atas bangku plastik yang memang sedia ada di sisi gerai. Kemudian dia pandang muka Akub. 

“Tunggu sini! Abang long nak tengok budak-budak perempuan tu kejap,” pesannya. Tak menunggu balasan, laju langkah diatur ke arah meja di mana suara bising itu datang. 

“Abang long nak mengamuk ke tu?” Akub tanya kepada adiknya, Udin. 

“Tak adalah. Dia nak bagi nasihat aje tu,” balas Udin selamba sambil menyerahkan bungkusan burger kepada pelanggan yang pakai baju berwarna merah. Duit bertukar tangan kemudiannya. “Datang lagi, bang.” 



Aira, Noli serta kawan sekelas mereka, Sherry, berbalas renungan. Masing-masing kehairanan melihat seorang lelaki muda yang memakai topi dan memegang spatula sedang berdiri di hadapan meja mereka. 

“Apa hal mamat ni? Dahlah berdiri macam tiang bendera depan kita lepas tu tengok macam nak telan orang. Pelik, kan?” Noli berbisik di telinga Aira. 

“Entah. Tapi, jom kita pekena dia nak?” balas Aira. 

Sherry yang duduk di kirinya terus menarik sengih. Suka sangat kalau Aira buat perangai gila-gila dia. 

Aira membetulkan duduk. Kaki sengaja disilangkan. Mata merenung tajam ke arah lelaki yang masih setia berdiri di hadapan meja. Dia kemudian bertanya, “Abang nak apa? Nak saya belanja teh tarik ke?” 

Adham mendengus. Benci melihat perangai mengada-ada gadis di hadapannya ini. Untuk tenangkan hati, topi distro ditarik dari atas kepala. Rambut diusap sedikit untuk merapikannya.

Melihat wajah di hadapannya dalam-dalam, hati tiba-tiba berdebar. Rasa macam kenal pula. Rasa macam pernah jumpa. Tapi di mana? Rasa ingin tahu menyebabkan Aira beranikan diri untuk menatap wajah itu lebih lama. Dekat tiga minit, otak geniusnya segera menghantar maklumat. Inilah mamat sengal, si mekanik yang bekerja dengan Uncle Tony itu. Lelaki yang membaiki keretanya tetapi enggan mengambil duit upah sehingga dia terpaksa pergi ke kedai tauke Cina itu pada keesokan harinya.

Debaran menjadi semakin laju. Tak pasal-pasal pula jantung dia turut terasa bagai baru dipalu. Apa hal? Takkan bila dah tahu siapa mamat ni hati jadi teruja semacam? Teruja? Kenapa mesti teruja? 

“Aira, dia ni...”

Aira tunduk bertanya kepada Noli. “Kau pun ingat juga mamat sengal ni?”

Noli menyengih. “Mana boleh lupa? Mamat tuala kau tu.”

Aira mencebik. “Huh!” 

Direnungnya Adham atas bawah, atas bawah dua tiga kali. Baru dia perasan yang tadi dia ada pesan burger kepada lelaki ini di gerai kat depan sana. La, dah jual burger pulak? Hesy, hesy! Miskin sungguh lelaki ini agaknya? Sampai terpaksa melakukan dua tiga kerja dalam satu hari. Tapi, kenapa pulak ni? Datang ke meja aku dengan muka macam singa tu? Apa hal? Hati tertanya-tanya.

“Siapa di antara kau orang bertiga ni yang menjerit tadi?” tanya Adham. 

Sepasang mata tajam merenung seorang demi seorang. Dan, ketika bertentang mata dengan Aira, pandangan tertancap lama pada raut itu. Entah mengapa, hati meneka bahawa inilah dia mastermind atau ketua kumpulan. Cara gadis ini membalas renungannya dengan berani, menjadi bukti.

Aira membetulkan duduknya. Matanya dan mata Adham bersatu sebelum dia melarikan pandangan. Sinis dia membalas. “Alah, ingatkan nak mintak kami belanja teh tarik? Rupa-rupanya nak tanya soalan tu aje.” 

“Tentu kaulah, kan?” soal Adham, tegas.

“Ha’ah, betullah tu! Memang saya yang menjerit tadi? Kenapa? Ada larangan menjerit ke kat sini?” jawab Aira sambil tayang muka selamba. 

Wah, berani betul minah ni. Kuat menjawab pun ia juga. Melampau! Kalau dia ni adik aku...

“Nak tahu kenapa saya jerit?”

Adham jongket kening. Diam dan sengaja membiarkan perempuan itu bercakap terlebih dahulu. 

“Sebab awak ni lembapb sangat! Dah lama kami oder tapi tak dapat-dapat burger tu! Kenapa ya? Susah sangat ke nak buat tiga burger ayam spesial?” Aira luah rasa tak puas hati. Maklumlah, dia dan kawan-kawannya sudah duduk di meja itu hampir setengah jam, namun langsung tak ada yang datang mengambil pesanan. Jadi, bagi dirinya, cara terbaik ialah menjerit. Semua orang boleh dengar. 

Seboleh-bolehnya Adham tak mahu bertekak. Apa kes nak bergaduh dengan pelanggan, kan? Perempuan pula tu. Jadi, biarlah dia bercakap lembut-lembut dahulu dengan gadis-gadis ini. Be a gentleman. Biarpun hati menggelodak penuh marah. “Aku nak tanya sikit. Kau orang ada pergi ke gerai aku?”

“Buat apa?” tanya Aira.

“Buat pesanan ler. Takkan nak menyanyi kut?” 

Aira paling marah kalau orang menyindir dia begitu. “Kenapa macam tu pulak. Bukan sepatutnya awak atau pekerja awak yang datang ke meja ni? Tanya?”

“Selalu memang macam tu, tapi malam ni, kami tak menang tangan. Jadi, daripada awak terjerit-jerit macam tadi, bukan ke elok kalau awak datang ke gerai? Cakap baik-baik dengan kita orang kat situ?” Adham masih berlembut.

“Banyaklah pulak songeh si mamat burger ni, kan?” Aida tanya Noli dan Sherry. 

“Aku ke kau yang banyak songeh ni?” Adham smash balik. Geram sudah. Begitu pun masih mampu melontar kemarahan dalam lembut. 

Namun soalannya berjaya menyebabkan seluruh kawasan sekitar kedai Mamak Maidin itu menjadi sunyi seketika. Mungkin hairan melihat Adham yang tegas selama ini bertanya dalam nada rendah.

Aira terus berdiri tegak. Jaraknya dengan Adham sengaja didekatkan. Terpanar seketika apabila mendapati bahawa dirinya yang tinggi itu hanya separas bahu si dia sahaja, malah dia terpaksa mendongak untuk bercakap. “Eh, mamat tuala! Jangan buang masa boleh tak? Tolonglah pergi masakkan burger tu. Yang duk membebel di sini, buat apa?”

Mamat tuala? Adham ambil peluang itu untuk mengingat. Hanya seorang sahaja yang panggil dia begitu. Gadis sombong yang ditemui di Port Dickson. Tak ada orang lain. Aduhai, dia tak ingat langsung kisah kat tepi pantai itu. Tapi gadis ini? Kuat sungguh daya ingatannya. 

“Dah ingat? Haila abang mekanik oi. Miskin sangat ke awak ni? Sebab itu awak terpaksa buat dua tiga kerja dalam sehari, eh? Tulah! Dulu-dulu masa mak bapak suruh belajar, malas. Kan dah kerja mekanik aje? Lepas tu kena tampung dengan jual burger pulak. Isk, isk, kesiannyalah.”

Adham lantas berpeluk tubuh. Tak banyak, sedikit tentulah dia terasa dengan sindiran Aira. Namun, dia masih cuba mengawal perasaan. 

“Apa tunggu lagi ni, abang mekanik? Tak guna awak nak bertekak dengan saya tau. Awak tak akan menang punya.”

“Jadi?”

“Jadi, awak tentu tak mahu saya jerit lagi, kan? Helo, perut kami bertiga ni dah lapar. Kalau tak jerit, entah bila boleh dapat burger tu. Hesy, lain kali kalau nak berbusiness, cekap-cekaplah sikit buat kerja! Jangan biar pelanggan tertunggu-tunggu, tahu?” bidas Aira selamba.

Kesabaran Adham sudah sampai ke limitnya. Wajah sudah merah. Hati sudah cukup sakit mendengar penghinaan demi penghinaan. Nampaknya mulut gadis ini perlu dikunci. Biar diajar agar lain kali dia tahu menghormati. “Cik adik, kau ni memang melampaulah. Yang kurang ajar sangat ni kenapa? Apa yang kau nak tunjuk sebenarnya?” 

Kata-kata yang tentu sahaja menaikkan darah Aira pula. Jari telunjuk sudah dihala ke wajah Adham. “Eh, pak cik! Awak jangan nak naikkan darah saya! Saya nak jerit ke, nak kurang ajar ke, suka hati sayalah! Eh, tolong hormat sikit pada saya, ya!” 

Adham menepis jari telunjuk Aira dengan spatula yang dari tadi digenggam. “Kita ni orang Melayu. Beragama Islam pulak tu. Perempuan Islam kena berakhlak. Perempuan Melayu kena tertib. Beradat. Santun. Kau tak ada semua tu. Jadi, macam mana aku nak hormat kau, cik sombong?”

“Cik sombong? Saya? Saya memang patut sombong pun. Saya kaya, tau. Woit, awak tahu tak saya ni anak siapa?” Aira dengan bangga bertanya.

Adham mencebik. Peduli apa dia? Siapa pun perempuan ini, waima anak menteri pun, ada dia kisah?

“Jangan nak cebik sangatlah.” Aira menoleh ke arah Noli dan Sherry. 

“Kawan-kawan, tolong beritahu pada penjual burger berlagak ni siapa I?” Aira menekankan suaranya. Macam mengada-ada sahaja bunyinya.

“Helo, abang burger. Aira ni anak Tan Sri tau!” Sherry memberitahu sambil tersengih-sengih. Seronok dapat mengenakan Adham.

Adham mencebik lagi. “Aku tak kisah dia ni siapa. Yang Tan Sri tu bapak dia. Yang kaya tu pun bapak dia. Tak payahlah nak berlagak dan menyombong sangat.”

“Awak ni!”

“Kalaupun kau ni kaya, ada yang lebih kaya daripada kau, cik sombong. Lagipun tak baik meninggi diri. Orang tak suka. Allah lagilah murka.” Adham menasihat. 

“Saya bukan nak berlagak ke, menyombong ke. Cuma nak ingatkan awak yang bapak saya tu sangat-sangat berpengaruh, tahu! Cuba bayangkan kalau saya mengadu pada dia tentang perangai buruk awak ni! Takut esok-esok awak dah tak boleh berniaga di sini lagi, pak cik! So, go and make that burger for us!” Aira memberi arahan. 

Kata-kata Aira sekali ini benar-benar menyebabkan Adham naik darah. Dia cukup pantang kalau anak orang kaya cuba menunjuk lagak di hadapannya. Dia cukup menyampah apabila anak orang kaya cuba menutup periuk nasinya. Dan dia paling meluat sekiranya anak orang kaya cuba menunjuk kuasa. Kalau tadi dia cuba bersabar, sekarang tidak lagi. Jadi laju sahaja dia menengking. 

“Kau jangan ingat aku takut dengan ugutan kau tu. Dan, jangan ingat aku nak buat burger untuk kau. Maaflah! Aku tak jual burger pada perempuan sombong macam kau. Lebih baik aku bagi burger free pada minah Indon yang bekerja di kedai mamak ni daripada aku jual pada kau! Faham?”

Sakitnya hati Aira mendengar. Dia rasa terhina. Ada ke patut dirinya dibandingkan dengan pekerja kedai mamak ini? Apa kelas? 

“Hei, jaga sikit mulut awak tu!” Aira mengherdik lagi. 

“Aku dah cuba jaga dah. Tapi kau asyik provok aku. Mana boleh tahan. Kau nak sangat aku balas cakap kau, kan? Kenapa naik angin pulak?” balas Adham.

“Awak ni siapa nak jaga tepi kain orang, hah?” Suara Aira melengking kuat. Geram kerana lelaki ini berani benar mengutuk dirinya. Terlalu berani! Lantang benar menegur dan mengherdik. Terlalu garang dan tidak mengendahkannya. Menyampah betul dia. 

Adham menghentakkan spatula di atas meja. “Aku benci tengok perempuan macam kau. Anak orang kaya yang perasan kekayaan kau tu kebal sangat sampai tak boleh ditegur, tak boleh nak dimarah. Kau buat perangai mengada-ada kau dekat sini macamlah kita orang ni suka sangat nak tengok? Kau...” 

Aira segera cantas. “Ah, sudahlah! Macam bagus! Menyampah! Baru jual burger dah pandai nak komen orang tu ini. Blahlah!” bentaknya.

“Aira, dahlah. Jom kita pergi tempat lain.” Noli mengajak demi terpandang wajah kelat Aira. 

Sherry turut mengangguk. Mood gembira sudah hilang.

“Okey, jom. Makin lama kat sini makin menyampah aku nak layan orang gila ni!” balas Aira sambil meraba-raba beg galasnya. Dia ingin mencari kunci kereta.

“Huh!” Dengusan Adham jelas kedengaran sambil dia memerhati kumpulan gadis itu beredar. 

Hatinya yang panas semakin membara melihat gelagat sombong mereka apabila Aira menjerit kepada tauke kedai dan membaling wang kertas RM100 ke atas meja sebelum melangkah ke arah kereta. Kalau diikutkan rasa geram mahu sahaja dia pergi menampar pipi gadis itu, namun Mamak Maidin sudah menghalang. 

“Biarkan aje! Tak guna marah-marah anak orang kaya macam tu, Adham.”

Adham kesal. Inilah masyarakat zaman ini. Kononnya tidak mahu menjaga tepi kain orang. Kononnya tidak mahu dianggap sebagai penyibuk! Lantas? Apakah yang akan terjadi pada masyarakat? Apa yang akan terjadi kepada anak-anak? Tidak ada yang berani menegur. Lama-kelamaan nanti runtuhlah akhlak dan moral.

“Harap-haraplah dia tak datang ke sini lagi. Kalau tidak tentu perang besar lagilah nampaknya.” Adham menggumam sambil mengatur langkah untuk ke gerainya semula. 

Sudah lama benar dia tinggalkan Udin dan Akub. Kesian mereka. Pada waktu itu telefon bimbitnya berbunyi. Dahi sedikit berkerut. Keliru antara mahu menjawab ataupun tidak. 



Noli pegang tali pinggang keselamatan kuat-kuat. Begitu juga dengan Sherry di tempat duduk belakang. Muka masing-masing pun nampak pucat lesi akibat kelajuan mengalahkan peserta Grand Prix yang dilakukan oleh Aira. Meter pun sentiasa tunjuk angka 120km/h dan lebih. Nak ditegur anak Tan Sri ni, Noli cuak. Karang tak fasal kena tinggal kat tepi jalan di lebuh raya Besraya, tak ke naya. Jadi, dia terpaksa menahan hati. 

“Esok kita cuti nak?”

Erk? Tiba-tiba? 

“Betul ke, Aira? Betul kau nak ponteng?” Noli teruja bukan main. Sherry di belakang pun sudah tersenyum simpul. 

“Yalah. Apa pulak tak betulnya? Aku tak ada mood nak ke sekolah.” Aira memang dah malas nak menghadap buku. Lagi malas nak tengok muka cikgu-cikgu yang suka benar membebel. 

Dia orang dah tingkatan enam kut. Sepatutnya cikgu anggap dia orang sama seperti pelajar universiti atau budak-budak matrik. Ini tidak. Mentang-mentanglah dia orang belajar di sekolah, tetaplah dilayan seperti budak sekolah. Itu yang menyebabkan dia jadi rimas sangat.

“Tapi kita dah selalu sangat ponteng, Aira.” Walaupun seronok, namun hati tetap cemas. Bimbang surat dihantar pihak sekolah ke rumah. Bimbang emak dan ayah tahu yang selama ini dia dan Aira selalu tuang sekolah. 

“Aku ingat esok aku nak ke Genting.” Aira mengumpan sambil menjeling ke sebelah. Mengharap Noli jadi teruja.

“Genting?” Bukan Noli seorang sahaja yang seronok, Sherry di belakang pun gembira sangat-sangat. Laju-laju mereka sebut, “Nak.”

“Okey, kalau macam tu aku ambil kau orang macam biasa. Bawak baju lain sama. Sampai di R&R Gombak, kita tukar pakaian. Amacam?”

“Set.” Noli dan Sherry siap buat high five lagi.

Masing-masing berwajah ceria. Tak sabar nak tunggu esok nampaknya. 

“Kau ni kan, Aira... Tadi bukan main kau kutuk mamat tuala tu. Kau cakap dia malas belajar bagai. Tengok apa dah jadi sekarang? Kau pun sama dua kali lima.” Noli menyindir. 

Aira ketawa besar mendengar usikan kawan baiknya. Langsung tak marah pun. Macam mana nak marah? Dia pun sama dengan lelaki itu. Tak boleh nak kata apa dah. “Tapi, kami berbeza, okey. Aku ni ponteng pun tak apa. Harta emak bapak aku banyak. Tak habis dan tak adanya aku akan jadi macam dia. Dia pulak...”

“Apa?”

“Dia sepatutnya belajar rajin-rajin. Dah tahu diri tu orang susah, janganlah nak tuang sekolah, nak jadi gengster ke apa. Belajar pandai-pandai dan ubah nasib sendiri. Betul tak?” Aira memperlekeh. 

“Mungkin kut.”

“Tu yang sebenarnya, Noli. Dia malas. Aku...”

“Sama aje.” Sinis kata Noli.

“No, no, no! Aku tak malas ya. Aku cuma tak rajin aje.”



Dan ketawa mengisi sepanjang perjalanan balik ke rumah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…