Langkau ke kandungan utama

Bab 5 Abang Mekanikku


BAB 5

Lama dia duduk di dalam kereta. Diam di tempat pemandu dengan hati yang berbagai rasa. Yang pasti, dia sudah berasa selamat. Tadi, di sepanjang perjalanan, entah mengapa dia terasa seolah-olah ada yang mengekori keretanya. Dia yakin sangat yang penunggang motosikal itu ikut dia namun siapa lelaki itu, dia tak tahulah pula. Nak kata si mekanik sengal tu... takkan kut! Lelaki itu dah dulu-dulu laju meninggalkan dia dengan Noli selepas membaiki kereta tadi. Habis tu, siapa? 


Takut dan risau punya pasal, sebaik sahaja Noli turun dan masuk ke dalam kawasan rumah dia, Aira terus memecut balik ke rumahnya. Elok kereta dipandu masuk ke anjung dan sebaik sahaja pintu pagar automatik tertutup, barulah nafas lega dihela. Selamat, fikirnya. 

Dalam dia berfikir-fikir itu, tiba-tiba seseorang membuka pintu kereta dari luar dan menjerit di tepi telinga Aira. “Hoi!” 

Aira pun apa lagi? Terkejut sambil beg tangan yang di dalam genggaman laju dihentam ke bahu orang yang mengganggunya. 

“Adoi! Sakitlah, Aira. Sampai hati pukul akak.” Tangan wanita itu segera mengusap bahu sendiri yang sedang kesakitan. Sepasang mata menjeling geram. Nasib baiklah anak bos, kalau anak sendiri memang dah kena lempang si Aira ni, gumamnya perlahan. 

“Lain kali kalau Kak Senah buat macam tu lagi, jagalah akak. Memang saya katuk tangan akak tu sampai berbekas.” Aira memberi amaran dengan suara melengking kuat. 

Kak Senah dah cebik. “Alah, orang usik sikit pun tak boleh ke?”

“Sikit apa macam tu? Terkejut tahu tak?” 

“Alah, anak bos yang sombong ni. Saja aje suka melenting,”

“Eh, suka hati sayalah nak melenting ke apa.”

Kak Senah menjuihkan bibir. Bengang dia dengan perangai Aira. Kalau depan Tan Sri Fahmi dan Puan Sri Idayu bukan main hormat kepada dia. Tapi kalau di belakang, tengoklah. Dah macam anak singa. 

“Jangan duk kutuk saya dalam hati tu. Ingat saya tak tahu?” 

“Mana ada kutuk.” Kak Senah membela diri. Bimbang juga kalau si Aira mengadu kepada bos dia. Buatnya Puan Sri Idayu berhentikan dia kerja, tak ke menyesal tak sudah nanti? 

“Apa lagi tu? Kenapa buat muka macam tu? Tak puas hati apa lagi?” Aira yang sedang keluar dari kereta bertanya bersama sebuah renungan yang mencerlung. Kecut perut Kak Senah dibuatnya. 

Kak Senah laju menggeleng. 

“Sekarang akak bukak bonet, ambil kain baju orang yang basah tu semua dan bawak basuh. Faham?” 

“Baik, Aira.” Eee, anak bos ni berlagak diva betullah. Hati Kak Senah mengomel lagi. Namun arahan si gadis tetap dipatuhi.

“Ayah mana? Tak balik lagi ke?” 

Kak Senah segera menutup bonet kereta. “Tan Sri dengan Puan Sri ada jamuan malam ni. Kita tinggal berdua aje.”

Aira dah kerut dahi. “Habis tu, tak ada apa nak makanlah ya?” 

“Kalau Aira nak makan, akak boleh panaskan lauk tengah hari tadi. Ada masak lemak tempoyak ikan patin, ada sambal udang, ada...”

“Hesy, orang tak sukalah semua tu.”

Kak Senah tersengih. Lupa pula dia yang anak orang kaya ini tak makan masakan kampung begitu. Lainlah kalau ada lamb chop ke, chicken steak ke. Barulah menepati selera. 

“Lepas masukkan kain tu dalam mesin basuh, akak masakkan orang nasi goreng ayam black pepper tau. Dengan Milo ais sekali. Hantar kat depan sebab orang nak tengok TV. Buat cepat-cepat sikit, ya!”

Kak Senah nak kata apa lagi? Nasib baik Puan Sri dah pernah ajar dia masak makanan kegemaran Aira itu. Kalau tidak, jenuh dia. Sakitlah telinga apabila anak dara itu berleter pula nanti. 

“Weh, menung apa lagi kat situ? Nak berangan ke nak kerja? Ke nak kena potong gaji?” 

Soalan Aira menyebabkan Kak Senah segera membawa masuk beg yang penuh berisi kain basahan Aira. Tak berani nak balas, nanti makin kuat pula suara anak bos dia. 

“Jangan masuk ikut sinilah, kak! Nanti basah menitik air dalam beg tu, akak juga yang penat nak kena mop kat situ. Dah, pergi masuk ikut pintu belakang. Pergi!” Aira mengarah lagi. 

Yalah, bukan selalu dia dapat peluang nak tunjuk taring di hadapan cik orang gaji. Kalau ada ibu dan ayahnya, dia terpaksa cakap lembut-lembut dan berhati-hati. Mereka tak suka dia berkeras dan cakap kasar. Ayah dengan emak tu lembut sangat. Baik tak kena tempat. Sebab itu senang orang nak ambik kesempatan. 

Kesimpulan itu bukan saja-saja dibuat. Itu kenyataan. Emak dengan ayahnya memang peramah dan mudah mesra dengan semua orang. Dengan orang gaji yang satu ini pun emak dengan ayah suka bagi muka. Tapi dia? Jangan haraplah. Tak pasal dia nak berbaik-baik dengan orang gaji. Tak nak benarkan Kak Senah pijak-pijak kepala dia nanti. 



Puan Mahani meletakkan beberapa biji gelas ke dalam dulang. Sebuah jag berisi air oren dan sepiring kuih lapis diletakkan sama. Dia kemudian membawa dulang tersebut dan meletaknya di atas pangkin, tempat ahli keluarganya selalu lepak. Pangkin itu dibuat oleh arwah suaminya di bawah pokok mangga di hadapan rumah usang mereka. Dia duduk. Sepasang mata menangkap kelibat anak-anak lelakinya yang sedang bermandi peluh.

Adham dan adik-adiknya baru selesai menggantikan atap zink rumah mereka yang bocor. Adham sendiri yang memanjat ke atas bumbung untuk menukar atap yang lama dengan yang baru. Bukan kerja mudah untuk dilakukan. Adham tidak membenarkan adik-adiknya memanjat. Hanya dia dan Akub. Itu pun Akub sekadar berdiri di atas tangga untuk menerima dan memberi atap buruk dan baru kepadanya. Adham sendiri yang memaku atap zink yang baru itu.

“Cukuplah tu, Am. Mari sini. Minum,” panggil Puan Mahani.

Yang lucunya, Adham yang dipanggil, orang lain yang datang. Akub, Udin, dan Bob yang laju berlari, berebut-rebut mendapatkan si ibu. Puan Mahani tersenyum memerhati gelagat mereka. Masing-masing sudah pun besar tetapi perangai macam budak-budak. Sebaik sahaja ketiga-tiganya sudah mengambil tempat duduk, dia segera menghulurkan gelas. Tahu yang masing-masing sudah terlalu dahaga. 

Gelas yang dihulur, disambar rakus oleh tiga beradik itu. Air diteguk laju. Membasahi tekak selepas bekerja keras di bawah seliaan Adham.

“Hmm, sedapnya air ni, mak,” kata Akub.

Puan Mahani tersenyum. “Air tu mak bancuh macam biasa aje, Akub. Nak tahu kenapa jadi sedap?”

Bukan setakat Akub malah yang dua lagi itu pun turut terangguk-angguk. 

“Sebab kamu minum waktu kamu tengah dahaga.”

Akub tahu bahawa ada sesuatu yang cuba ibunya sampaikan. Dia menunggu.

“Maksudnya, kita ni akan lebih menghargai sesuatu kalau kita perlukannya. Sebab itu Allah berikan kepada kita apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Faham tak?” 

Masing-masing mengangguk. Walaupun sedikit namun ilmu yang diberi oleh ibu mereka itu amat memberi kesan ke dalam hati masing-masing. 

“Am, cepatlah! Biarkan aje atap zink tu di situ. Esok-esok, kalau India besi buruk tu datang, boleh mak jualkan.” Rasanya dah dekat lima kali dia memanggil Adham, namun dia juga sudah faham benar dengan perangai anak lelakinya itu. Selagi tak siap kerja, tak kemas, memang Adham tidak akan berhenti. 

“Mak, kalau bersepah-sepah zink kat sini, esok adik-adik nak pergi sekolah takut tersepak! Luka nanti, satu hal pulak. Biar Am kemaskan semua ni dulu. Nanti dah siap Am minum, okey!” balas Adham sambil meneruskan kerjanya.

Puan Mahani hanya dapat menggelengkan kepala. Dia tahu, dia tak perlu bersuara lagi. Adham tidak akan datang minum selagi kerjanya belum siap.

“Mak, kita orang nak pergi main bola kat padang.” Udin memberitahu.

Adham lantas bercekak pinggang. “Woi, tak tengok jam? Dah pukul berapa sekarang?” soalnya.

Adik-adiknya saling berpandangan langsung mengekek. Memang hari sudah lewat petang. Sudah gelap. Dari surau berhampiran sudah kedengaran suara orang mengaji Quran. Nampaknya Udin sengaja mencari pasal dengan abang longnya.

“Dah, jangan berangan nak pergi main bola. Lepas badan tu dah tak berpeluh, pergi mandi. Boleh kita ke surau sama-sama.”

Perintah abang long tidak boleh tidak, terpaksa dipatuhi. Lantas, masing-masing saling bertolak-tolakan untuk mandi. 

“Kaulah mandi dulu! Kau dah lama rehat!” Udin memerintah Akub.

“Aku pulak? Boblah! Dia yang asyik lepak dari tadi!” Akub menjawab malas.

“Argh, tak naklah! Bob banyak peluh ni. Nantilah!”

“Kamu jangan mengada-ada, Bob. Kamu tu kalau mandi, slow ya amat. Kamu pergi masuk dulu. Pergi cepat!” Udin sudah bercekak pinggang.

“Orang pulak! Alanglah dulu!” Bob masih berdegil.

Adham lantas bercekak pinggang semula. Geram sungguh melihat perangai adik-adiknya yang saling tolak-menolak. Sepasang mata sudah mencerun geram. Wajahnya memerah, tanda hati sudah panas. Melihat wajah abang long begitu, masing-masing tidak lagi berbalah. Tahu-tahu, kelibat ketiga-tiga mereka sudah hilang ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, bunyi bising kedengaran di dalam bilik air.

“Kalau Am tak campur tangan, tak sah. Depa tu kalau tak berkelahi, tak boleh ke, mak?” 

Puan Mahani menguntum senyum. “Biasalah tu. Budak-budak. Kamu dengan abang ngah dulu pun begitu juga.”

Adham mendengus. Cukup tak suka kalau dirinya dikaitkan dengan abang ngah. Tak mahu mengingat kisah lama mereka. 

Bukan dia tak nampak wajah Adham yang sudah berubah kelat. Hatinya sendiri turut terkilan kerana terlajak sebut tentang abang ngah, anaknya yang nombor dua, adik kepada Adham. Tahu bahawa sedikit sebanyak dia sudah melukakan hati si abang long. Jadi, untuk betulkan kesalahan, sengaja dia bertanya tentang perkara semalam. 

“Am, seronok ke pergi Port Dickson semalam?”

Semalam tak sempat mereka hendak bersembang. Balik saja dari Port Dickson, Adham bergegas pula ke gerai burgernya di Pandan Indah. Anaknya yang seorang ini memang tak ada banyak masa di rumah. Jadi, peluang berbual sekali-sekala harus dimanfaatkan sepenuhnya.

“Am dah salah tempat nak berehat, mak. Pergi ke situ waktu hari cuti umum memang tak sesuai. Menambahkan stres adalah.” 

Tambah bila jumpa budak gedik seorang tu. Eee... bukan setakat stres. Boleh sakit jantung jugak. Tu kata hati Adhamlah. Takkan nak luah kepada emak dia. Takut mak dapat sakit jantung bila dengar dia selimutkan tuala pada badan putih gebu anak orang kaya tu. 

“Apa yang kamu stres sangat sampai terpaksa pergi mandi laut, Am?” Si ibu bertanya. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran Adham. 

Adham diam. Dia sudah nekad untuk merahsiakan. Takkan dia beritahu apa-apa kepada ibunya. Dia tak mahu mak susah hati kalau mendengar ceritanya. Jadi, biarlah dulu. Kalau dia rasa dia dah tak boleh nak selesaikan masalah itu nanti, baru dia minta tolong kepada ibu kesayangannya ini. 

“Tak nak bagi tahu pun tak apa. Mak bukan apa. Risaukan kamu aje.”

“Insya-Allah, biar Am handle dulu masalah ni. Nanti dah selesai, Am beritahu semua pada mak.” Adham membalas.

“Janji?”

Adham mengangguk. 

Puan Mahani menarik nafas panjang. Wajah anak yang sedang mengelap peluh itu direnung. Sesungguhnya dia bahagia dan bangga apabila bersama dengan anak sulungnya ini. Adham, anak yang bertanggungjawab. Sejak suaminya meninggal tiga tahun dahulu Adhamlah yang telah mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Adhamlah yang banyak membantu dirinya membesarkan lima orang adik-adiknya. 

Ya, nasib baik dia ada anaknya yang seorang ini! Namun, tidak dapat dinafikan, bayangan anak yang seorang lagi sesekali menghias pandangan. Sungguh dia rindu kepada abang ngah. 

Adham sudah siap mengemaskan apa yang patut. Dia lantas duduk di sisi ibunya, mengambil gelas air yang dihulurkan lantas meneguk air oren itu sehingga habis. Kuih lapis kegemarannya dimakan selapis demi selapis. Satu tabiat yang sudah menjadi tabiat semenjak dia masih kecil lagi. 

“Kalau terus dimakan semuanya kan, senang?” Si ibu mengomen.

Adham tersengih. “Alah, sedap makan macam ni, mak. Dah terbiasa,” jawabnya.

“Sama aje kalau digigit terus semuanya, Am.”

“Mak, macam ni lebih nikmat. Terasa lemaknya, terasa manisnya. Ermm, sedap,” balas Adham lantas mengambil sepotong lagi dan melakukan yang sama.

“Dah, cepat makan tu. Adik-adik kamu dah siap nak ke surau. Yang kamu pulak, santai kat sini. Nanti, jadi macam ketam. Suruh anak jalan lurus tapi diri sendiri asyik jalan senget menyerong.” 



Adham ketawa besar mendengar omelan ibunya. Tak menyahut, dia segera bangun. Dia ingin ke surau. Dia ingin menjadi contoh yang baik untuk adik-adiknya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…