Langkau ke kandungan utama

Bab 4 Abang mekanikku


BAB 4

Noli keresahan. Sepasang mata mula melingas memerhati sekeliling. Keadaan ladang kelapa sawit yang sunyi di kiri dan kanan jalan semakin meremangkan bulu romanya. Wajah Aira dipandang. “Woit, macam mana ni? Hari dah gelap. Jalan ni pulak makin lengang. Aku takutlah, Aira.”


Aira turut memerhati sekeliling mereka. Seperti Noli, dia juga semakin resah. Ketika pandangan berkalih ke arah kereta, rasa hendak saja ditendang-tendang setiap bahagian MyVi berwarna hitam itu. Tak fasal-fasal pula rosak. Sudahlah begitu, pemandu-pemandu kereta yang lalu-lalang bagai enggan berhenti untuk membantu. Kalau ada yang berhenti pun, mereka bukannya hendak menolong tetapi lebih kepada hendak mengganggu.

“Betul ke kau dah call mekanik tu, Aira? Kenapa dia tak sampai-sampai lagi ni? Eee, kalau aku tahu nak jadi begini... Sumpah, aku tak naik kereta kau. Kata kereta baru! Kalau betul baru, kenapa rosak? Ada ke patut...”

“Eh, mak cik! Kau boleh tolong aku tak?”

Noli yang tadi riuh mengomel sudah kebingungan mendengar soalan Aira itu. “Tolong?” tanya dia.

“Ha, ah! Tolong. Tolong diam, boleh tak? Tak habis-habis membebel dari tadi! Pot-pet, pot-pet! Kau ingat, kau seorang aje yang susah hati? Yang takut? Aku tak?” marah Aira. 

Dia dahlah sakit hati dengan MyVinya. Noli tambah perisa dengan rungutannya. Kata kawan. Bukan sepatutnya Noli cakap yang baik-baik sahaja kepada dia? Ini tidak. Membebel ikut suka mulut dia. Hesy, sakit hati betullah!

Terkulat-kulat jadinya Noli akibat dimarahi. Terus terdiam, tidak berani membalas. Noli tahu, kalau wajah Aira sudah merona merah alamatnya ribut taufan akan melanda. Silap hari bulan, mahu dia ditinggalkan Aira keseorangan di tepi jalan yang lengang ini nanti.

“Yang Uncle Tony ni pun satu. Dah dekat sejam kita tunggu. Usah kata si mekanik, bayang mekanik itu pun aku tak nampak. Takkanlah tak tahu nak cari jalan ni. GPS ada kut. Nak guna Waze pun boleh apa.” Giliran Aira pula untuk merungut. 

Noli sudah tercengang. Hendak ketawa, takut! Tapi hatinya memang bagai digeletek mendengar omelan Aira tadi. Yalah, kan. Kalau orangnya tak sampai bagaimana pula bayangnya harus ada di situ?

Hari semakin gelap. Sesekali, Aira merenung muka jam di pergelangan tangan kanannya. Terasa terlalu lambat jarum jam itu bergerak. Yang pasti, sudah lama jarum itu meninggalkan angka enam. Sebentar lagi pukul 7.00. Kemudian matahari pun akan tenggelam di ufuk barat. Habis, takkan hendak bersidai di tepi jalan menuju ke Sepang ini?

Dalam hati, Aira mengakui kesilapan diri. Sepatutnya dia terus balik sahaja ke Kuala Lumpur menggunakan lebuh raya yang sudah disediakan dengan segala kemudahan. Ini tidak! Konon teringin benar hendak makan sotong bakar di Morib. Macamlah sotong bakar itu hanya ada di Morib saja. Di KL tak ada? 

Sekarang, apa sudah jadi? Tiba-tiba sahaja keretanya buat hal! Meragam tak tentu fasal. Konon kereta baru. Yalah, kereta itu dibeli oleh ayahnya tiga bulan lepas sebagai hadiah hari jadi untuknya. Mana nak sangka kereta itu boleh rosak?

Aira mengeluh, berat. Kesal kerana menonong balik tanpa memberitahu kawan-kawan yang lain. Tinggalkan Ikram and the gang begitu saja. Langsung tak ada pesanan. Malah ketika Ikram menelefonnya tadi, dia tidak pula memberitahu yang dia menggunakan jalan ini. Itulah bahana apabila terlalu ikutkan perasaan.

“Entah-entah Ikram dah sampai rumah tak?” soal Aira dalam rasa bersalah sambil mendongak memandang langit. 

Noli hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak menyahut. Nanti kalau dia salah cakap takut Aira melenting semula. 

Suasana sepi antara mereka. Untuk mengisi kebisuan, Aira main Candy Crush. Nasib baik Samsung S4 miliknya ini masih banyak baterinya. Masih tahan.

“Aira, kau buat apa?” Noli mengajak Aira berbual. 

“Main CClah. Kenapa?” 

“Tak payahlah main. Sinilah, sembang dengan aku. Aku bosan ni.”

Aira tetap dengan hobinya. Enggan berkalih.

“Aira!” 

“Hmm.” Kepala tak diangkat langsung malah tangan masih laju bergerak seiring pergerakan candy yang pelbagai warna. 

“Aira, tengoklah tu! Cepatlah!”

Suara Noli yang sedikit cemas menyebabkan Aira panggung kepala dan segera melemparkan pandangan ke arah yang ditunjuk. Seperti Noli, Aira nampak sebuah motosikal sedang bergerak menghampiri mereka. Motosikal itu bergerak semakin perlahan dan sebaik sahaja berada di belakang kereta, enjin motosikal itu terus dimatikan oleh penunggangnya. Dan kini, lelaki itu sudah pun turun. 

Noli segera mendekati Aira. Wajahnya pucat. 

Aira pula cuba menghimpun nafas. Bohonglah kalau dia tidak berasa cemas, namun dia terpaksa memberanikan diri. Tidak mahu Noli tahu betapa kecut perut dia. Sambil itu, sepasang mata terus sahaja memerhati si penunggang motosikal dengan penuh asyik. Hmm, tinggi! bisik hati. 

Ya, lelaki itu memang tinggi. Tinggi dan tegap. Memakai baju-T yang berlengan pendek menyebabkan Aira tarik nafas dalam-dalam. Bisep dan trisep pemuda itu nampak berketul. Hmm, seorang yang rajin bersenam ni, detik hatinya lagi. Kini visor ditarik ke atas dan topi keledar sudah ditanggalkan. Rambutnya yang hitam lebat disisir dengan jari-jemarinya. 

Aduhai, kacaknya. Tapi kenapa rasa macam kenal aje? Lama dia memerhati lelaki itu atas bawah sehinggalah otaknya berjaya memproses maklumat. Dia? Lelaki yang kurang asam kat pantai tadi? Apa dia buat di sini?

“Aira?”

Tahu dah apa yang Noli nak cakap. 

“Mamat tuala tulah, Aira.” 

Kan betul? Noli memang tak akan lupa setiap kali dia nampak lelaki handsome. Handsome? Ceh, tarik balik pujiannya awal-awal tadi. 

“Kacaknya dia. Anak siapalah ni?” 

Spontan Aira menoleh ke arah Noli. Amboi, bukan main gatal anak dara Mak Cik Zainab ni? Dah kena rasuk ke? Bulat mata Noli memandang pemuda yang tidak mereka kenali itu. Gaya terpesona tahap petala.

“Hoi!” Aira tujah sedikit pinggang Noli. 

“Inilah dia yang dikatakan hitam-hitam si tampuk manggis. Makin dipandang, makin manis,” kata Noli lagi. Langsung tak endah pada Aira yang sudah mencuka.

Aira menggeleng. Geram melihat tingkah Noli yang macam sudah terkena miang keladi itu. 

“Dia bukan gula, tak ada manis pun. Dan, kulit dia tak hitam macam tampuk manggis. Dah, cukuplah berangan tu. Menyampah aku tengok,” marahnya. 

“Aira, kau ni buta ke apa? Tak nampak muka dia yang handsome tu?”

“Noli, kau jangan nak mengarut. Aku tak suka.” Tegas suara terlontar. Sakit hatinya masih belum hilang lagi terhadap lelaki ini. Jadi jangan harap dia hendak memuji. Maaflah!

Suara keras Aira menarik perhatian lelaki itu. Sepasang mata itu tajam merenung ke arah mereka berdua, tetapi tidak lama. Kini lelaki itu sedang leka mengeluarkan sesuatu dari peti simpanan motosikalnya. 

Hesy, siapa dia ni? Hati Aira bertanya lagi. Mamat tuala itu amat santai orangnya. Baju-T yang dipakai bukanlah daripada produk berjenama. Seluar jean yang tersarung itu pun sudah agak lusuh. Malah, kasut yang dipakai tanpa stoking itu kalau Aira tak silap agak, adalah kasut sekolah jenama BATA. Ah, mamat tuala ini sangat-sangat selekeh! Macam gengster pun ada juga, rungutnya lagi dalam hati.

Tiba-tiba Aira dilanda cemas. Tertanya-tanya apa yang lelaki itu mahu lakukan. “Noli, dia nak ambil pisau yang dia simpan ke kat dalam bakul tu?” 

Noli yang panik tak mampu menjawab. 

“Biar betul ni! Tak pasal-pasal kita berdua jadi mangsa rompakan pulak,” ujar Aira lagi. 

“Kau tanyalah dia, Aira. Tanya apa dia nak.” 

Aira mengangguk. Memang dia nak tanya pun. Lantas Aira berdeham. Berusaha memberanikan dirinya. “Eh, awak! Kenapa awak berhenti di sini? Apa awak nak? Tu... tu... Awak tengah buat apa? Awak nak rompak kami ke? Mentang-mentang kami perempuan, berdua aje, awak ingat awak boleh apa-apakan kami?”

Serentak dengan soalan demi soalan, tangan kanan sudah bersedia dimasukkan ke dalam beg galasnya. Ada sesuatu sedang digenggam. Aira nekad. Kalau lelaki itu datang menghampirinya, pasti sahaja lelaki itu akan dikejutkan oleh semburan lada hitam pada matanya yang macam helang itu.

Adham tersenyum. Sinis sekali kelihatannya. Namun dia tidak pula menyahut. Sebaliknya dia memasukkan sesuatu ke dalam poket seluar sebelum melangkah mendekati Aira. 

Bimbang dengan gelagat lelaki itu, Aira mengundur ke belakang. Ketika langkahnya mati dek badan kereta di belakang tubuh, lelaki itu sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Kini, mata Aira bulat menatap raut tampan itu. 

“Jangan dekat!” Aira memekik. 

Senyum sinis menghiasi bibir lelaki itu. “Takut nampak?” sindirnya. 

“Si... siapa yang ta... ta... Awak nnn... nak buat apa ni?” Gementar hatinya kerana lelaki itu semakin menundukkan muka, mendekat ke wajahnya. 

Suara garau itu kini seakan-akan berbisik, “Aku cuma nak jawab soalan-soalan kau aje. Kenapa? Kau ingat aku nak buat apa pada... Adoi! Hoi, kenapa ni? Apa kau dah buat, hah? Adoi!”

Aira bangga dengan dirinya. Waktu ini dia amat berterima kasih kepada ibunya yang selalu berpesan agar dia sentiasa berhati-hati dengan kaum lelaki. Mujur dia simpan penyembur lada hitam itu di dalam beg galasnya. Dapat juga digunakan untuk mem‘buta’kan si dia di hadapannya ini.

Lelaki itu menjerit lagi. Lebih kuat daripada tadi. “Hoi! Cepat ambik air! Aku nak basuh muka aku ni!”

“Ewah! Ada hati pulak nak suruh-suruh kita?” Aira menyindir.

Adham berasa sungguh-sungguh panas hati. Dengan mata yang masih tertutup dia memerintah. “Hei, perempuan! Kalau kau tak ambikkan aku air, aku tak akan baiki kereta kau ni, tau! Biar padan muka kau orang berdua sebab kena tidur kat tepi jalan ni nanti! Silap-silap kena seret dengan orang jahat ke dalam hutan tu. Tahu-tahu, esok masuk headline. Mayat dua orang gadis ditemui dalam keadaan berlumuran darah di...”

Ayat terakhir itu berjaya menyebabkan tubuh Aira menggigil ketakutan. Ketika Noli mendekat, terus tubuh kawan baiknya itu dipeluk. 

“Weh! Cakap tu elok-elok sikit ya!” marahnya. 

Dalam keadaan mata yang masih lagi terpejam dan pedih, Adham mencebik. Dia tahu gadis-gadis itu sebenarnya takut. Getar suara yang terlontar menyebabkan dia mencemuh mereka. “Tahu takut, ya? Kau orang berdua ni datang dari mana? Kerajaan dah sediakan kemudahan lebuh raya, kan? Yang kau orang lalu ikut jalan ni, kenapa? Kan bahaya?”

Aira kerut dahi. Sakit hati mendengar soalan itu. Terasa macam lelaki ini sedang marah dan tuduh dia bodoh pula. 

“Bila kau nak bagi aku basuh muka aku ni?” tanya Adham sambil cuba membuka matanya. Tapi tetap berasa pedih juga.

“Siapa awak? Maksud saya, kalau awak ni mekanik, siapa yang hantar awak datang sini? Nama dia? Beritahu saya, siapa nama dia? Kalau tidak, saya tak bagi awak basuh muka awak tu.” Aira cuba bermain tarik tali.

Adham mendengus kasar. Kalau ikutkan hati yang marah, mahu dia tinggalkan sahaja perempuan cerewet ini. Tapi, macam mana? Mata pun masih terkatup rapat dan pedih. Jadi, terpaksalah berterus terang. “Uncle Tony! Uncle Tony yang suruh aku datang sini baiki kereta kau ni, hah.”

Aira terus sahaja mendail nombor tuan punya bengkel itu. Setelah bercakap dan berasa puas hati dengan penjelasan Uncle Tony, Aira kemudian pergi ke bonet kereta dan mengambil sebotol air mineral. Dengan berhati-hati Aira menghampiri mamat tuala itu. Risau juga rasa hati. Manalah tahu kut-kut lelaki itu berpura-pura sahaja. Tahu-tahu nanti apabila dia dekat sahaja lelaki itu terus pegang tangan dia. Jenuh.

“Lain kali, cakaplah yang awak tu pekerja Uncle Tony,” marah Aira.

Adham berasa rimas dengan keadaan mata yang sangat-sangat pedih. Dia bertempik lagi, tidak peduli apa dah. “Cepatlah! Mana air? Aku nak basuh muka aku ni!”

“Sini! Tadah tangan tu!” 

Sebaik sahaja Adham menadah telapak tangan, Aira segera menuang air ke atasnya. Terpegun sejenak melihat gaya lelaki itu mencuci muka. Dari dekat, dia harus akur dengan pujian Noli. Ya, lelaki ini memang kacak. Sangat kacak sebenarnya. Tapi sayang, kerja mekanik aje. Ni, mesti spesies malas belajar. Kaki ponteng masa sekolah dulu. Entah-entah dulu dia ni kaki pukul tak? Mana tahu kut-kut dia jadi ahli kumpulan samseng? Eee, takutnya! Hati mengutuk sambil bergerak ke belakang. Takut diri diapa-apakan.

Adham sudah mendapat penglihatannya semula. Tisu yang dihulur oleh Aira diambil lalu digunakan untuk mengelap muka yang basah. Tisu itu kemudian dicampak ke atas rumput. 

Hesy, dia ni pengotor betullah! Buang sampah merata-rata. Tak ada kesedaran sivik langsung! desis hati Aira. 

Kini, Adham sedang menatap wajah kedua-dua orang gadis itu. Bergilir-gilir. Sekejap tengok Aira, sekejap toleh tengok Noli kemudian tajam anak matanya menikam anak mata Aira semula. Tidak ada senyuman terukir pada bibir nipisnya. Malah pandangan matanya penuh kemarahan. Merenung kedua-dua gadis itu bagai hendak menelan. Ya, sesungguhnya, rasa marah itu masih bersisa! 

“Bukan nak tanya ke apa. Ni tidak! Terus aje sembur biji mata aku. Self defenselah sangat, kan? Huh, bukan main garang lagi kau ni ya, perempuan? Macam singa! Nasib baik mata aku ni tak buta! Kalau tidak, memang aku saman aje kau!” Adham meluah rasa geram lalu berpaling. Cuba mengawal rasa marah dalam hati. 

Sambil menarik nafas dalam-dalam dan beristighfar, langkah kemudian dibawa ke bonet hadapan kereta Myvi itu. Tanpa menoleh kepada cik tuan punya kereta, dia menjerit menyuruh Aira menghidupkan enjin. 

“Kalau boleh start, tak adanya saya nak telefon Uncle Tony suruh hantar awak datang repair kereta ni,” kata Aira sambil menjeling. 

Adham menegakkan tubuhnya. Kini dia sudah bercekak pinggang pula. “Bila aku suruh kau hidupkan enjin, kau buat ajelah! Aku nak cari punca kerosakan. Yang kau membebel tu apasal?”

Aira hendak menghentak kaki tanda protes kerana lelaki ini asyik marah dan mengarah itu ini, tapi terbantut apabila Noli menggeleng. Mungkin Noli tidak mahu mereka bertekak lagi. Jadi, laju sahaja Aira masuk ke tempat pemandu. Dia cuba menghidupkan enjin kereta, seperti yang dipinta.

“Berlagak betul! Sakit hati aku ni, tahu tak?” Aira membisikkan rasa geram ke telinga Noli. 

Noli hanya mampu tersengih. 

“Relakslah! Lepas ni karang, kau marahlah dia. Sekarang, biar dia baiki kereta kau ni dulu, ya,” pujuknya.

Hampir 15 minit selepas itu barulah Adham menemui punca kerosakan. 

“Macam mana boleh jadi begini? Kau tak pernah tengok enjin kereta ni langsung ke?” tanya dia selepas membetulkan apa yang patut.

“Alah, itu bukan kerja saya. Itu kerja mekanik macam awaklah!” sindir Aira bersama sebuah jelingan. Satu jelingan maut yang menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Adham. 

“Apa kau cakap?”

“Awak ni kan, sudahlah tadi asyik memerintah, suruh saya buat itu ini. Sekarang tanya pulak soalan bodoh macam tu. Awak ingat saya ni mekanik ke? Kalau saya ni tukang baiki kereta dah tentu saya repair sendiri kereta ni tadi! Tak adalah nak melangut di tepi jalan ni dekat sejam tunggu awak, tahu tak?” Aira mengomel.

“Aku pun tak suruh kau repair kereta tu. Aku tanya kenapa kau tak pernah hantar servis. Faham?” balas Adham. 

Sombong betul anak orang kaya ni! Hesy, kalau tak disebabkan Uncle Tony paksa aku datang, tak ingin aku baiki kereta dia. Biar padan muka dia berumah tangga kat tepi jalan yang lengang ni. Memang dasar tak ada otak. Dah tahu jalan ni sunyi, yang hendak lalu ikut sini juga, kenapa? Ikut lebuh raya kan lebih selamat? Kalau emergency, boleh buat panggilan SOS. Saja aje mencari bala! gumam Adham dalam hati.

“Berapa?” soal Aira sambil mengeluarkan dompet ketika dia melihat Adham sudah pun menyelesaikan kerjanya. Enjin sudah berjaya dihidupkan. Rasa macam nak melompat sebab dia seronok sangat. 

Adham mengecilkan sepasang mata ketika memandang wajah Aira, namun dia tidak pula menyahut. Dia kemudian dengan selamba berjalan ke arah motosikalnya.

“Weh, saya tanya awak ni. Berapa upah?” Nyaring suara Aira bertanya. Geram dengan lagak si mekanik.

Adham jongket bahu. “Tu, kau kena tanya pada Uncle Tony. Aku bukan cashier dan aku tak ambil upah kat tepi jalan.”

“Weh!”

“Esok, bawak kereta kau ke bengkel.” Adham memesan sambil menyarungkan topi keledar ke atas kepala. Visor sudah diturunkan untuk menutup muka. Enjin motosikal LCnya juga sudah dihidupkan. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus sahaja pergi. 

Aira mendengus. 

“Kau nampak tak tu, Noli? Nampak? Macam itulah sikap orang yang tak ada pelajaran. Tak tahu nak menghormati orang lain. Meluat betul aku dengan dia. Harap-harap aku tak jumpa dia lagi. Hesy! Benci!” jeritnya.

“Dahlah tu. Jom kita balik.” Noli memujuk lembut. 

Aira tarik nafas dalam-dalam. Cuba mengawal rasa marah yang melanda dirinya. Tapi mana boleh? 

Jadi, di sepanjang perjalanan pulang, Noli terpaksa menadah telinga untuk mendengar rungutan demi rungutan Aira terhadap lelaki yang langsung tidak mereka kenali itu. Sabar ajelah, Noli! Nak buat macam mana? Dah memang begitu sikap Aira. Cepat benar hendak marah dan melenting. Nasiblah kau jadi kawan baik dia, kan? desis hati sambil memejamkan mata. 



Nampaknya lambat lagilah hendak sampai ke rumah!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…