Luahan

apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

BAB 3 “Apa hal kau?” tanya Aira, musykil melihat perlakuan Noli. Sejak masuk dalam kereta tadi kawan baiknya itu asyik tersenyum-se...

Bab 3 Abang Mekanikku

By April 20, 2015


BAB 3

“Apa hal kau?” tanya Aira, musykil melihat perlakuan Noli. Sejak masuk dalam kereta tadi kawan baiknya itu asyik tersenyum-senyum. 


“Kenapa kau tak masuk A-Level, Aira? Atau pergi kolej swasta ke? Macam mana kau boleh belajar di tingkatan enam pulak?”

Fuh. Aira berasa lega. Dia fikir Noli masih mahu bercakap tentang lelaki tadi. Mahu saja dia ketuk kepala kawan baiknya itu. Mujur tidak. Bagaimanapun soalan Noli memang lucu. 

“Kau ni, Noli. Bila kau jadi kawan baik aku? Semalam ke?” Aira jawab dengan soalan. 

Mereka saling memandang. Peristiwa lama mengimbau. Waktu itu mereka berdua baru balik dari mengambil keputusan peperiksaan SPM di sekolah. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah Aira...



“Lima tahun kamu bersekolah menengah, Aira. Daripada lapan subjek, kamu dapat kumpul 2A aje? B berbaris pulak tu! Apa ni?”

Aira tayang muka selamba. Sedikit pun tak nampak takut. 

“Ni, macam mana boleh dapat B untuk Bahasa Malaysia? Hah?” Suara halilintar bergema lagi. 

Sekali lagi Noli tengok Aira relaks sahaja. 

“Soalan BM susahlah, ayah. Kan, Noli?”

Noli terpaksa mengangguk. Terpaksa menyebelahi Aira sebab mereka kan kawan baik? Kawan mesti tolong kawan dia. 

“Kamu nak sambung belajar di mana dengan keputusan kamu yang macam ni, Aira?”

“Masuk universitilah, ayah. Tak pun, masuk kolejlah.”

“Tak ada universiti awam yang nak terima kamu dengan keputusan teruk ni, tahu!” 

“Ayah ni, itu pun nak marah. Nanti, ayah hantarlah Aira buat A-Level dekat KDU. Apa susah?” Aira masih berani melawan.

“Apa? Nak ke kolej swasta? Banyak duit kamu?” marah Tan Sri Fahmi.

Aira tersengih. Manja dia memaut lengan ayahnya. “Aira mana ada duit, tapi duit ayah kan banyak? Ayahlah sponsor Aira belajar di situ!” 

“No way! Ayah tak nak bazirkan duit ayah. Punya banyak kerajaan bina segala macam kolej dan sekolah untuk rakyat, kamu pulak mengada-ada nak ke kolej swasta yang mencekik darah tu? Tak boleh!” Keras suara Tan Sri Fahmi menegah.

“Mak, tengoklah ayah ni! Macam anak dia ada 11 orang yang dia nak berkira sangat tu!” Aira cuba meraih simpati ibunya, Puan Sri Idayu yang diam sedari tadi.

Puan Sri Idayu mengeluh. Hendak dibela, dia sendiri pun geram melihat keputusan peperiksaan SPM Aira. Dia tidak menyangka, keputusan itu yang akan diperoleh oleh anaknya. Kini, dalam menentukan hala tuju masa depan Aira, dia tidak mahu bercanggah pendapat dengan suaminya. Dia juga tidak suka anaknya ke kolej swasta. Buat apa hendak membazir duit, fikirnya.

“Mak setuju dengan pendapat ayah kamu, Aira. Tak payah ke KDU tu. Sambung aje belajar dalam tingkatan enam. Senang!”

Aira terkedu. Sangkanya, emak akan menyokongnya seperti selalu. Malangnya, hari ini emak tidak menyebelahinya. Sedih betul!

“Aira tak nak masuk tingkatan enam. Kalau mak dengan ayah tak kasi, baik Aira duduk di rumah aje.” Dia memberontak.

“Bagus juga tu. Ada orang masuk meminang, boleh ayah kahwinkan kamu.” Tan Sri Fahmi mengusik.

Ayah...” Aira bersuara penuh lirih sambil menghentak-hentak sepasang kakinya.

“Okey, kalau kamu tak nak sekolah lagi dan tak nak kahwin lagi, tak apa. Kamu masuk Kolej Komuniti. Ada banyak kursus di situ. Nanti boleh ayah uruskan.”

Kolej Komuniti? Tahulah keputusan SPM dia teruk tapi takkanlah ayah dia nak dia ambil kursus yang ada di Kolej Komuniti? Dia tak minatlah. Sebab itu Aira membentak. “Ayah ni tak adil tau. Berkira. Kedekut.”

“Aira, jaga sikit mulut tu! Amboi-amboi, dah lupa adab bertutur dengan mak ayah?” marah Puan Sri Idayu sambil membulatkan sepasang mata ke arah anak tunggalnya.

“Sorry, ayah. Tapi, Aira memang tak boleh terima kalau ayah suruh Aira belajar kat Kolej Konumiti tu.”

“Kalau ia pun tak suka, kamu tetap kena hormat ayah. Mana boleh marah-marah macam tadi.” 

“Alah, Aira tak niat nak melawan. Aira tak puas hati aje.” Aira pamer wajah sedih.

“Dah, jangan banyak cakap! Sekarang kamu cuma ada dua pilihan saja. Sama ada nak ke Kolej Komuniti atau naik ke tingkatan enam. Cakap, kamu nak yang mana?”



“Garang betul mak bapak kau tu kan, Aira? Kecut perut aku tengok kau kena jerkah masa tu,” kata Noli perlahan.

“Itulah mak dengan ayah aku! Aku ni, Noli, nama aje anak Tan Sri. Anak tunggal pulak tu. Tapi cuba kalau aku buat sesuatu yang dia orang tak suka, jenuhlah bernanah telinga aku ni.” Aira memberitahu.

Noli tersengih. “Eh, Dia orang tahu ke kau ke PD? Tu bikini yang kau pakai tu kan, dia orang tahu ke kau beli benda alah tu?”

Aira ketawa. “Kalau mak aku tahu dah lama dia beritahu ayah. Dah lama dua-dua sekali mengamuk dengan aku.”

“Kau ni memang keras kepala, kan?”

Aira hanya tersengih lebar. Waktu itu telefon bimbit Aira berbunyi. Dia melihat nama yang tertera sekilas sebelum menyuruh Noli menjawab panggilan itu untuk dia. Isyarat diberi supaya loudspeaker dibuka. 

“Aira, you balik dengan siapa?” Sah Ikram. Suara maco yang sedang marah.

“Dengan aku.” Noli yang menjawab. 

Kepala Aira terangguk-angguk. 

“Aira, you won’t mind if I go home with Ikram, right?” Terdengar suara Erma di hujung sana. Bunyi bagaikan tergelak-gelak. Sukalah agaknya setelah berjaya menarik perhatian Ikram. 

“Saja nak sakitkan hati kaulah tu,” bisik Noli. 

Aira mengangguk. Dia terus jerit. “I tak kisahlah, Erma. Ambil ajelah Ikram tu. Dia memang sesuai dengan you.” 

Talian terus dimatikan. Puas hati Aira setelah dapat melepaskan kemarahannya.

“Tak menyesal?”

“Tak pasal aku nak menyesal.”

“Betul ni?”

Aira tidak menyahut. Sebaliknya dia kelihatan panik. “Eh, kenapa semua lampu menyala ni, Noli?” tanya dia.

“Lampu apa?” Noli turut cemas.

“Lampu kat meter. Hesy, apa hal pulak kereta ni?”



Noli yang risau menyuruh Aira berhenti di bahu jalan. Disuruhnya juga Aira matikan enjin kereta. Malang sekali, apabila enjin hendak dihidupkan semula, langsung tak boleh. Masing-masing saling memandang. Ah, sudah!

You Might Also Like

0 comments

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.