Luahan

apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

BAB 2 Melihat nombor telefon yang tertera di skrin telefonnya, Adham merengus. Sejak kali pertama dia menjawab panggilan itu dan se...

Bab 2 Abang Mekanikku

By April 20, 2015


BAB 2

Melihat nombor telefon yang tertera di skrin telefonnya, Adham merengus. Sejak kali pertama dia menjawab panggilan itu dan sekarang dia asyik mengabaikan, sudah berbelas-belas panggilan yang diterima dalam tempoh tiga hari. Naik rimas dengan orang yang tak reti bahasa ni! Hati membentak. Panggilan sudah diputuskan dan kini satu pesanan ringkas diterima sebagai ganti. Mahu tak mahu terpaksalah juga dibaca.


Tolong angkat panggilan I, Am. I need you.

Tak kuasa aku nak angkat call kau. Tak pasal-pasal cari aku, pehal? dengus Adham.

Pertembungan tiga hari lalu dengan perempuan itu di sebuah pasar raya menyebabkan semua ini terjadi. Menyesal sungguh dia kerana memenuhi permintaan perempuan itu yang mengajaknya makan tengah hari bersama. Sudahnya, dia terpaksa menadah telinga mendengar curahan masalah rumah tangga wanita itu. 

“Aku patut biarkan dia saja. Tak payah nak dengar dia bercerita. Sekarang apa dah jadi? Tak pasal-pasal dia cari aku. Haila, rimas! Rimas!”

Kenapa ada perempuan macam ni? Makin dikata ‘jangan’ makin dibuat. Semua larangannya diabaikan. Masih juga menghubungi. Tak dapat dengar suara dia, wanita itu hantar SMS. Nasib baik telefon Nokia Adham ini telefon generasi tok kaduk. Bukan telefon canggih yang boleh hantar gambar dan video. Kalau tidak tentu kepalanya akan lebih sakit. 

Dia tertekan. Benar-benar tertekan. Kerana itulah dia buat keputusan nak ke mari. Nak ambil angin tepi pantai Port Dickson. Mencari tenang. Mencari damai. Menghilangkan stres yang dialami. Namun nampaknya, di sini pun dia kena kacau juga. Minah bikini tu dah ambil tuala dia. Nak balik pun tak boleh nampak gayanya. Kenalah tunggu si dia juga. Kalau tidak, kena beli tuala baru pula. Hesy, tak pasal nak beli tuala baru padahal tuala dia masih elok lagi. Jadi, baik dia ambil balik daripada perempuan garang itu. 



Aira mengekek. Geli hati yang teramat sangat setelah dia tahu siapa lelaki yang dimaksudkan oleh Noli. Tak lain tak bukan si dia yang tadi itulah. Yang bungkus badan dia dengan tuala. Hesy. Ada ke patut? Noli ni dah tak ada mata agaknya.

“Yang kau gelak sangat tu, kenapa?” Noli pula yang keliru sekarang. 

“Kaulah. Pandai kau buat aku gelak.”

“Eh, manalah tau kut-kut lelaki tu jodoh kau.”

Aira menggeleng. “Jangan nak mengarut.”

“Kenapa?”

“Sebab aku muda lagi. Masih sekolah. Lupa?”

Noli sengih. “Masih sekolah tu ya, tapi umur dah 19 tahun, kan? Dah boleh kahwin dah.”

Lengan Noli menjadi sasaran. “Gatal kau ni.”

“Eleh, bila aku kenen dengan mamat tuala tu, tiba-tiba aje kau jadi muda ya? Tapi sebelum ni, dengan Ikram mengaku couple pulak.” Noli menyindir. 

“Bukan aku yang mengaku, okey. Ikram tu yang sebarkan perkara tak betul. Couple konon. Tak ada makna aku nak couple dengan dia. Kawan biasa biasa aje bolehlah. Macam kita.” Aira beria-ia menafikan.

“Habis, kau tak kisahlah dia dengan Erma?”

Aira geleng. “Tak kuasa aku nak sesakkan kepala aku ni dengan hal dia orang. Lantaklah apa yang Erma nak buat dengan Ikram. Kalau Ikram nak sangat dengan budak tu pun, tak ada hal. Aku tak peduli, okey.”

Noli ketawa. “Ia? Jangan-jangan nanti bila balik, kau menangis teresak-esak tak?”

“Tolong sikit, ya! Tak kuasa nak buang air mata sebab si Ikram tu.”

Tiba-tiba wajah Noli bertukar serius. “Kenapa kau tak nak dia? Ikram tu anak orang kaya, sama macam kau jugak. Anak tunggal lagi. Habis STPM nanti, dia akan ambil alih business bapak dia. Untung kau nanti, Aira.”

Aira juihkan bibir. “Untung? Ke sakit jiwa aku nanti? Mengaku diri tu boyfriend aku tapi dengan perempuan lain bukan main mesra lagi. Hari ini dengan Erma. Esok-esok? Hesy, daripada aku fikirkan dia, daripada aku sakit mata tengok perangai dia, baik tak payah.”

“Sombongnya kau ni.”

“Dahlah, Noli. Buat apa nak fikirkan benda-benda macam ni? Bosanlah!” Aira mendengus. 

Noli ketawa besar melihat gelagat Aira. “Kau ni... semua benda buat kau bosan. Belajar bosan, buat assignment bosan. Bersembang fasal lelaki pun bosan juga. Apa yang kau suka?”

Soalan yang berjaya membuat Aira tersengih. “Tidur. Shopping. Travel.”

Noli mencebik. “Itu ajelah yang kau tahu. Tidur, shopping, travel,” ejeknya. 

Aira tersengih. Geli hati melihat Noli yang sudah marah. Tapi memang itulah kenyataannya. Tidak guna menafikan. Melancong sambil membeli-belah tidak boleh dipisahkan daripada dirinya. Terutama kalau ibu dan ayah membawa dia ke luar negara. Hmm, mesti borong habis punya. 

“Dah ada rancangan nak ke overseas ke?” tanya Noli, berasa cemburu sangat dengan Aira. Setiap tahun ada saja agenda bercuti ke luar negara. Yalah, orang kaya katakan. Dia? Dia dah berkira-kira nak mencari kerja. Mungkin jadi salesgirl di supermarket agaknya. 

“Kali ini uncle dengan aunty nak bawak kau ke mana pulak?” 

“Entah. Aku pun tak tanya lagi. Tapi kau jangan risaulah, Noli. Kalau aku kat sana nanti, kau cakap aje kau nak apa. Aku belikan.” Habis bercakap Aira terus bangun. Tangan dihulur untuk menarik Noli berdiri di sebelahnya.

“Nak buat apa ni?” tanya Noli. 

“Jom!” ajak Aira pula.

“Ke mana?”

Aira jegil mata. “Salin bajulah, lol! Nak ke mana lagi?” ujarnya sambil melangkah menuju ke kereta. 

Dia mahu menukar pakaian dan beg pakaian berada di dalam bonet kereta. Beg itu dikeluarkan. Beg Noli pula terus diberikan kepada gadis itu. Kini mereka seiringan menuju tandas awam yang terletak berhampiran.

“Aira, aku nak tanya sikit, boleh?”

Aira mengangguk.

“Kau suka lelaki yang macam mana?”

“Entah. Aku tak pernah fikir pasal tu.”

“Takkanlah. Ke kau nak yang gentleman macam lelaki tadi?”

Soalan Noli menyebabkan Aira tergelak besar. Gentleman? Lelaki tuala itu? Kalaulah Noli dengar apa yang lelaki itu cakap kepada dia tadi, tentu Noli tak akan puji begitu. “Aku tak ada jawapan untuk soalan kau tu. Tapi, meh aku nak bagi kata-kata nasihat yang mak aku selalu duk pesan tiap kali aku nak keluar dengan Ikram.”

“Eh, kata tadi Ikram tu kawan biasa aje?”

“Memanglah. Tapi dia selalu ajak aku keluar dinner. Jadi, daripada duduk kat rumah, tak ada salahnya kan kalau aku keluar dengan dia. Betul tak?” balas Aira.

Noli tak pedulikan soalan itu. Sebaliknya dia dah tak sabar nak dengar apakah nasihat berguna daripada puan doktor kepada Aira. “Dah, tak payah bincang pasal Ikram lagi. Sekarang aku nak kau bagi tahu aku pasal nasihat berguna Puan Sri Idayu. Cepat cerita.” 

Aira tersengih memandang Noli. Kalau pasal bab kahwin, Noli memang suka dengar, fikirnya. “Yang pertama, kata mak aku... Kalau kita nak kahwin, kita kena kahwin dengan lelaki yang cintakan kita. Bukan sebaliknya. Tapi kalau cinta dua hala, memang rezeki kaulah.”

“Nampaknya kita kena cari cinta mulai sekarang, Aira.” 

“Cari cinta buat apa? Cari lelaki, tu baru betul.” Aira cubit pipi gebu Noli. Geram.

“Yang nombor dua, apa pulak?” Noli semakin ingin tahu.

“Cari lelaki yang ikhlas dengan kita.”

Noli dah picit kepada. “Mana ada dah sekarang ni.”

“Jangan negatif sangat. Kalau ada yang jahat, yang baik pun ramailah. Insya-Allah satu hari kita akan jumpa dia orang ni.” Aira bersikap positif.

“Macam mana nak kenal lelaki yang ikhlas ke tak ikhlas dengan kita, Aira?”

“Yang ini, aku pun tak berapa faham apa mak aku cakap. Tapi, kata dia... yang ikhlas tu tentu yang baik. Yang baik tu pulak tentulah yang buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang.”

“Ayat tu macam menyindir kita aje.” Noli terasa. 

Aira angkat bahu. “No comments. Tapi...”

“Apa lagi yang mak kau cakap?”

“Nak lelaki yang ikhlas, kita kena ikhlas dulu. Nak yang baik, kita kena jadi baik dulu. Kau faham ke?”

Noli geleng.

“Aku pun tak faham,” balas Aira.

“Susah nak faham cakap mak kau ni. Suka sangat berkias-kias.”

“Tau tak apa.” Aira dah mengekek. 

“Mak kau tu kalau bercakap, ayat dia mesti panjang-panjang. Mesti ada maksud tersirat. Sepatutnya dia jadi doktor cinta, bukan doktor pakar kanak-kanak, Aira,” omel Noli.

“Dah, nanti kita sambung. Bilik air dah kosong tu. Jom mandi.”



Kini mereka sudah berada di tepi kereta. Aira sedang mengoles wajah. Noli sedang menyikat rambutnya. 

“Aira, cepat sambung.”

“Hesy, ingat lagi tu.”

“Mestilah.”

Aira cuba mengingat. Ayat ibunya mahu disampaikan betul-betul. “Kalau kita jumpa lelaki yang cakap elok-elok dengan kita, yang jaga diri kita, lindung kita, yang nasihat kita kalau kita buat silap, mak aku kata... kita jangan lepaskan lelaki tu. Lelaki baiklah tu, katanya. Entahlah, aku pun tak faham. Yang aku tahu aku belum jumpa lagi kut lelaki yang macam tu.”

Mata Noli tak berkelip pandang Aira sehingga Aira jadi rimas. 

“Kau dah kenapa?” tanya dia. 

“Kau dah jumpa lelaki tu.”

Aira ketawa besar sambil menggeleng. Noli ni memang propa betul. “Dah jumpa? Kereklah kau ni!”

“Ya. Kau dah jumpa dia. Lelaki tadi tu.”

“Tolonglah! Jangan sebut pasal mamat tuala tu boleh tak?”

Noli tersengih. Nampak nakal pula gelagatnya. 

“Ni apa hal duk gelarkan aku mamat tuala bagai? Dah tak ada nama lain kau nak bagi aku?”

Spontan Aira menoleh ke belakang. Sekali lagi dia dikejutkan oleh suara garau itu. “Awak?”

“Ya. Aku.”

“Nak apa datang sini? Sibuk ajelah.” Aira pamer muka menyampah. Entahlah. Lelaki ini mudah benar buat dia naik angin. 

“Aku cari kau sebab aku nak tuala aku balik.”

“Hah? Tuala?”

“Ya. Tuala. Mana tuala aku? Takkan nak buat harta kut?”

Aira buka bonet. Beg plastik berisi pakaian basah diselongkar. Mahu mencari tuala biru milik lelaki itu. Bila dah diberikan nanti senanglah dia nak halau lelaki itu jauh-jauh.

“Hati-hati. Aku nak tuala aku aje. Tak nak benda kecik warna merah tu.”

Pipi Aira merona merah. Geram kerana lelaki itu sempat menjeling ke dalam bonet dan nampak apa yang baru disebutkan tadi. Malu usah cakaplah. Sebab itu sebaik sahaja dijumpai laju tuala diserahkan kepada tuannya.

Adham sambut tuala yang dihulur dengan hati yang bungkam. Sengaja dia pandang muka gadis di hadapannya lama-lama. 

“Awak nak apa lagi? Tu tuala awaklah.” Aira tanya dengan riak tak puas hati.

“Kau ni tak reti-reti nak ucap terima kasih ke?” balas Adham pula. 

“Yalah, Aira. Kau patut dah ucap terima kasih pada abang ni sebab dah bantu tutup malu kau tadi.” Noli menyampuk. Seronok mencelah di tengah-tengah pertengkaran dua insan itu. 

“Aku...”

“Tak apa!” Adham hentikan kata-kata Aira. “Nak ucap terima kasih kena ikhlas. Bukan dipaksa-paksa. Oh ya. Hari dah nak pukul 5.30. Tak tahu tahu nak balik ke?”

Aira sentap sungguh dengan lelaki yang seorang ini. “Orang nak baliklah ni. Tak payahlah nak jadi macam mak nenek. Awak tu lelaki.”

Dengan kemarahan itu, Aira terus melangkah ke pintu pemandu. Di situ dia berhenti merenung Noli yang keliru. “Kau nak balik dengan aku ke tak?” 

Noli tunjuk arah laut. “Dia orang?”

“Kau nak balik dengan dia orang ke?”

Laju Noli menggeleng. Laju juga dia mengatur langkah ke kiri. Pintu kereta dibuka namun sempat lagi dia memandang wajah lelaki yang begitu asyik merenung Aira. “Terima kasih, abang. Kita orang balik dulu.” 



Adham angguk. Tersenyum. Dan senyuman melebar saat kereta dipandu laju meninggalkan dia di situ. “Perengus betul perempuan tu. Tak boleh ditegur langsung ke?”

You Might Also Like

0 comments

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.