Langkau ke kandungan utama

Bab 1 Abang Mekanikku



BAB 1

PANORAMA indah dalam bebayang lembayung petang yang sedang melabuhkan tirai memukau pandangan. Kala ini, mentari semakin pudar sinarnya. Bayu pula sedang berpuput lembut dan ombak yang menghempas pantai mengalun irama gemalai yang mengasyikkan. Di sekitaran, suasana kian damai. 


Bilangan pengunjung di Pantai Teluk Kemang itu sudah semakin kurang. Siang kian hilang jadi ramai pengunjung yang sudah beransur pulang. Sudah berkurangan hiruk-pikuk. Sudah reda keriuhan. Suara kanak-kanak dan tempik sorak mereka hanya sesekali mencecah pendengaran. 

Bagaimanapun, masih ada yang belum puas berseronok di pantai landai ini. Kelihatan di dalam air, masih ada yang berenang-renang dalam pelbagai gaya dan posisi. Nun di kawasan air yang agak dalam kedengaran suara mereka yang terjerit-jerit saat jet ski, banana boat dan lain-lain permainan membelah air. Jeritan penuh rasa teruja kerana diri terlambung-lambung dalam deru laju yang mendebarkan. 

Sementara di pesisir pantai pula terdapat sekumpulan remaja yang riuh-rendah bermain bola tampar. Juga ada yang berlarian, saling kejar-mengejar sesama sendiri. Tidak kurang juga terdapat pelbagai golongan dan peringkat umur sedang duduk santai, berbual-bual dan bergelak ketawa sesama sendiri. 

Tiba-tiba, seorang gadis muncul dari gigi air sambil menggoyang-goyangkan kepalanya. Rambut basah yang panjang melepasi bahu dikirai lalu berayun terbuai-buai disapa bayu. Kemunculannya mengundang mata-mata nakal untuk melirik ke arah tubuh yang hanya dibaluti bikini yang terdiri daripada seluar pendek dan tank top berwarna hitam. Namun, gadis itu tidak langsung menyedari bahawa dirinya sedang ralit direnungi. Langsung tidak tahu yang dia sudah menarik perhatian kerana pada waktu ini dia sedang marah. Teramat marah kepada seseorang. 

“Tak guna punya jantan! Saja suka ambik kesempatan,” bebelnya dengan mulut yang terkumat-kamit, berdecit penuh geram. 

“Kalau dah pakai macam tu... memanglah! Siapa yang tak nak ambik kesempatan?” Tiba-tiba pula ada suara garau menyampuk. 

Langkah terhenti. Pemilik suara itu dicari. Sekejap sahaja, pandangan bersabung. Dia dengan imbasan kemarahan, lelaki muda itu membalas dalam renungan yang sukar ditafsir. Namun senyum sinis yang terukir pada bibir nipis itu menyebabkan Aira Syuhada ketap gigi menahan geram. 

Lelaki itu mendekati Aira. Kini dia sedang berdiri betul-betul di hadapan gadis itu. Begitu hampir sehingga Aira dapat menghidu bau haruman yang dipakai. Bukan Calvin Klein bukan juga Dolce & Gabbana. Pun begitu tetap Aira selesa menikmati wangiannya. 

“Apa awak cakap tadi?” Entah kenapa Aira jadi gugup pula.

Adham Faiz tidak menyahut. Dia enggan bertikam lidah dengan gadis di hadapannya ini. Sebaliknya tuala yang tersangkut di atas bahu, dia tarik lantas dipindahkan ke atas bahu gadis itu pula. Bukan itu sahaja yang dilakukannya. Malah dengan sengaja tuala itu kemudian dililit agar dapat menutup bahagian atas tubuh gadis itu yang terdedah tadi. 

Tindakan itu menyebabkan Aira terpempan. Kaku dirinya seketika. Debar hati usah cerita. Mata memandang lelaki itu yang juga sedang memandangnya. Jarak wajah yang dekat membolehkan deru nafas hangat lelaki itu singgah menyapa pipinya. 

“Kesian betul pada bakal suami kau. Apa yang sepatutnya hanya untuk pandangan mata dia, dia kena kongsi dengan semua orang termasuk aku.” Adham mengutuk untuk kali yang kedua. 

Sungguh, kalau tidak disebabkan kutukan itu, Aira pasti masih leka dan ralit menatap seraut wajah asing itu. Masih melayan perasaan yang terbuai dek renungan yang tajam namun lembut itu. Ya, mujur saja dia cepat sedar. Bila dah sedar tentulah hati berasa marah. Dan, kemarahan menyebabkan sepasang mata mencerlung garang.

“Awak tak kenal saya jadi tolong jaga sikit mulut awak tu.” Laju dia mengeluarkan amaran. Sudahlah dia terkejut dengan gaya selamba lelaki itu tadi. Tak pasal-pasal pula mulut lelaki itu mericau kutuk dia. Memang sengaja nak naikkan angin dialah!

“Nak bagi nasihat tak perlu berkenalan, cik adik. Nak tegur pun macam tu jugak. Yang penting apa yang aku cakap sampai pada kau. Kau dengar, kan? Tak pekak.”

Aira dah cekak pinggang. “Siapa yang pekak? Cakap tu baik-baik sikit, ya!” 

“Kira aku ni dah cukup baik, tahu. Cakap pun bisik-bisik aje dengan kau.” Lelaki itu tidak mengendahkan kemarahan Aira. Selamba berkata-kata lagi ikut sedap mulut dia. 

“Yalah tu. Baiklah sangat konon! Yang awak duk mengutuk saya tu pun baiklah ya?” Angin dah naik atas kepala. Lelaki biadab ini benar-benar sudah menaikkan suhu marahnya. 

“Aku tegur kau aje. Itu pun nak marah?”

Senyum senget Adham sedikit pun tak berjaya mengurangkan rasa marah Aira. Hatinya masih sakit dengan jawapan yang diberi. “Menegur konon! Macam tu ke cara awak? Cakap sindir-sindir. Perli-perli. Kutuk-kutuk. Pada awak, cara awak tu betul sangat dah ya? Ikut suka hati awak nak cakap apa yang awak nak cakap. Tak tapis langsung. Macam tu?”

Bagi Adham, teguran yang dibuat adalah untuk kebaikan. Malang sekali, gadis sombong di hadapannya ini tak mahu faham. Nampak sangat egonya. Tegur sikit pun tak boleh?

“Cuba tengok kiri, kanan, depan dan belakang kau sekarang. Semua orang tengah tengok kau. Kau tentu suka, kan?” 

Mata Aira melingas memerhati sekelilingnya. Waktu itu terasa menderu darah naik ke muka setelah menyedari bahawa dirinya dan pemuda itu sedang diberi perhatian. Dipandang dengan penuh minat. 

“Dia orang tengok kau bukan sebab berkenan, tahu! Hati dia orang tu semua sedang tertanya-tanya...”

Aira akur memberi tumpuan pada apa yang cuba disampaikan oleh lelaki yang langsung tidak dikenalinya ini. 

Adham merapatkan bibirnya ke telinga Aira untuk menyambung ayat yang terhenti tadi. “Dia orang tu semua nak tahu satu perkara.”

“Apa dia?”

“Kau nak bagi dia orang peluang tak?” 

“Apa awak cakap ni? Saya tak faham. Bagi peluang? Peluang apa?” Aira semakin keliru. 

Adham angguk. “Ya. Peluang. Peluang untuk dia orang buat seperti apa yang boyfriend kau buat kat dalam air tu tadi.”

Aira menarik tuala lebih rapat buat menutup bahagian-bahagian tubuhnya yang kini sedang diintai oleh sepasang mata helang lelaki yang tidak dia kenali ini. Bukan main dia mengata orang padahal mata dia tu pun bukan main lagi. Hati menggumam. Dalam masa sama dia marah kerana dituduh memberi peluang kepada Ikram. Sedangkan semasa di dalam air tadi... Ah, sakitnya hati bila teringat! 

“Awak jaga sikit mulut tu. Awak ingat saya ni apa?” Aira menghambur marah. 

Senyuman sinis sekali lagi kelihatan. “Entah.”

“Kalau tak tahu apa-apa, lain kali diam. Jangan nak tuduh macam-macam.”

“Apa-apa ajelah, cik adik. Nampaknya kau ni bukan boleh ditegur pun. Asyik nak melenting aje. Dah, bagi balik tuala aku.” Adham kebosanan. Dia ingin pergi dari situ. 

Aira pegang tuala itu kuat-kuat. Bimbang lelaki tanpa nama itu buat kerja gila dan tarik pula. Lelaki kasar itu tentu mampu melakukannya. 

Melihat gadis di hadapannya tidak mahu melepaskan tuala itu, Adham berasa kasihan pula. Hati tak tergamak hendak memaksa gadis itu memulangkan. Jadi, sebelum fikiran berubah, dia segera mengayun langkah meninggalkan gadis itu. Berlari dengan laju tanpa menoleh lagi. 

Aira tak sangka yang lelaki itu akan pergi begitu saja. Namun kemarahan masih bersisa. “Dia ingat dia tu siapa? Lelaki perasan! Bajet bagus sangat! Kenal pun tidak, pandai nak kutuk aku?” 

“Aira!” 

Aira segera menoleh ke arah kiri. Demi melihat wajah kawan baiknya, Noli, langkah dicepatkan. Dia terus duduk di sebelah gadis itu lantas mencapai sebotol air mineral. Setelah tutup botol dibuka, air jernih itu diteguk rakus. Buat beberapa ketika, Aira tidak mampu bersuara. 

“Nah!”

Buah epal yang Noli beri terus saja diunggis. Dikunyah dengan laju seolah-olah dia sedang mengunyah pemuda mulut jahat itu tadi. Kunyah sampai lumat! 

“Siapa dia?” tanya Noli. Soalan yang menyebabkan Aira menoleh sambil mengerut dahi. 

“Siapa?” Dia pula yang bertanya. 

“Yang tutup badan kau dengan tuala tadi tu?”

Bibirnya dijuih. “Entah. Orang gila agaknya!” 

Jawapan yang menyebabkan Noli ketawa. 

“Orang gila? Mungkin betul agaknya. Gila tak tahan tengok kau seksi sangat kut!” sindirnya. 

Aira yang baru hendak menyejukkan hatinya kini mencerlungkan sepasang mata ke arah Noli. Nampak sangat tak puas hati akibat disindir tadi. Geram sungguh dia. Sakit hati tak tahu nak lepaskan kepada siapa. Maka, Nolilah yang menjadi mangsa amukannya. “Aku tak fahamlah dengan kau orang ni! Tengok orang putih pakai bikini kau orang tak bising pun. Bila aku yang pakai, riuh bukan main. Apa hal?” 

“Kau marahlah ni, ya?”

Mata Aira semakin buntang. 

“Okay, sorry. Aku tak nak cakap apa dah. Chill!” Noli ambil keputusan untuk mendiamkan diri buat seketika. Tak mahu menaikkan suhu kemarahan Aira lagi. Bukan dia tak tahu perangai Aira kalau sudah naik hantu. Pekak telinganya nanti kena maki dengan gadis itu. 

“Lelaki semua sama, Noli! Hipokrit! Macam Ikram tu! Tengoklah!” kata Aira, menjuihkan bibirnya ke arah laut. 

“Ah, kau marahkan Ikramlah ni! Aku ingatkan kau marah pada lelaki yang selimutkan tuala tu kat badan kau tadi,” tebak Noli. Wajah Aira ditatap tajam. 

Aira mendengus. Tak tahu apa yang perlu disahut. 

Noli tarik nafas panjang seraya menyebut, “Sah. Memang kau tengah marah pada Ikram. Ni tak lain si Ikram tu ada buat something pada kau dalam air tu tadi. Betul tak?”

Soalan yang menyebabkan kepala Aira hampir terteleng ketika menoleh, memandang sahabat baiknya. Laju dia menyahut, “Mana ada Ikram buat apa-apa!” 

Malulah nak berterus terang, okey! Nanti kena gelak dengan Noli. Tak sanggup dia! 

“Baguslah kalau dia tak buat apa-apa pada kau. Cuma...”

“Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan boleh tak?” marah Aira. Cuak tengok gaya tak puas hati Noli tadi. 

“Kalau dia tak buat apa-apa kenapa kau marah sangat pada dia?”

Dush! Kena sebiji! Tak boleh elak langsung! Aira melepaskan nafas berat. Teringat kembali pada apa yang berlaku di dalam air tadi. Peristiwa yang menyebabkan dia marah lalu naik ke darat. Waktu itu dia sedang mengapungkan diri. Tiba-tiba Aira terasa kakinya ditarik, menyebabkan dia hampir tenggelam. Tentulah dia berasa panik! Jadi secara spontan sepasang tangan berusaha mencapai sesuatu. Dan, sesuatu itu ialah badan Ikram!

Mana nak sangka bahawa lelaki itu akan mengambil kesempatan? Manalah dia nak tahu yang Ikram akan memeluk dirinya erat-erat? Malah, bukan itu sahaja yang lelaki itu lakukan. Tangan Ikram mula meraba-raba tubuhnya. Menyentuh yang tidak sepatutnya! Aira jadi baran. Sungguh dia tak tahu dari manakah dia mendapat kekuatan untuk menendang dan menolak lelaki itu sekuat hatinya. Jauh-jauh! Dia berjaya juga meloloskan diri. Malah dia juga sempat memaki hamun si Ikram tadi!

“Kau marah sebab dia peluk kau?” 

Aira tersentak. 

“Semua orang nampak apa dia buat tadi,” Noli memberitahu. 

“Patutlah semua orang duk tengok aku,” keluh Aira. 

Noli tersengih. “Mestilah tengok. Dahlah pakai bikini, lepas tu kau peluk si Ikram...”

“Jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan, Noli. Aku tak sengaja peluk dia tadi, tahu tak? Dia tarik aku masuk dalam air. Aku hampir nak lemas, tu yang aku paut badan dia. Dia pulak ambil kesempatan. Terus peluk aku! Tapi, aku puas hati sebab aku dapat tendang dia tadi. Padan muka.” 

“Kan aku dah cakap. Jangan pakai benda alah tu. Kau degil, kau pakai juga. Manalah Ikram tak terliur? Sudahnya, kan dah kena peluk dengan dia.” Noli pulangkan paku buah keras.

Aira terdiam. Sedikit sebanyak terkesan juga hatinya dengan tuduhan Noli. Bukan Noli saja, malah tuduhan lelaki tadi juga. Mungkin di sini, disebabkan tak ramai yang berani memakai seperti itu maka mereka menjadi perhatian. Lainlah kalau di luar negara, kan? 

“Tengok tu. Dah naik jet ski pulak.” Sengaja Noli berkata begitu. Seperti dia, Aira juga sedang memandang ke arah laut. Tentu Aira nampak Ikram yang sedang berlegar di atas jet ski dengan membawa Erma. Erma yang bukan main manja memeluk pemuda itu.

Aira menjuihkan bibir. “Yang tu memang sesuai dengan dia,” gumamnya.

Laju Noli mencubit lengan Aira. “Kau ni kan... Tak takut ke boyfriend kacak kau tu jatuh ke tangan Erma? Takkanlah kau tak tahu yang Erma tu ada hati pada Ikram? Dah lama dia ushar, tahu! Kalau kau tak hati-hati, nanti dikebasnya pakwe kau tu!”

Aira bagaikan tidak mendengar. Sepasang mata masih dihalakan ke laut. Tidak lama kemudian diajukan soalan ini kepada Noli. “Noli, antara aku dengan Erma siapa lagi lawa?”

“Eleh, nak suruh aku puji dialah tu, kan? Mentang-mentang dagu dia tu lekuk macam dagu Nasha Aziz,” perli Noli.

Aira tersengih. Seronoklah juga bila diri dibandingkan dengan wanita yang pernah menjadi supermodel Malaysia itu. Tapi itu bukan soalnya sekarang. Yang penting ialah pendapat Noli tentang dirinya dengan Erma. Itu sahaja. “Kiranya, aku lebih cantik daripada si Erma tulah, kan?” 

Noli membaling tisu yang baru lepas digunakannya ke wajah Aira, menyebabkan Aira terjerit halus. “Perasanlah kau ni. Weh, kau memang cantik, tapi kau garang. Ikram tu dah jemu dengan kau yang garang ni. Sebab itu dia sengaja menunjuk-nunjuk perangai dia dengan Erma. Erma yang manja...”

“Yang gedik, yang mengada-ada. Kan?”

Noli laju mengangguk. 

“Eh, lantak dia oranglah. Aku tak kisah pun.” 

“Yalah. Orang tu dah dapat pengganti Ikram, kan? Bolehlah cakap macam tu. Betul tak?” 



Bulat mata Aira menandakan dia sedang keliru. Dia dah ada pengganti Ikram? Siapa?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…