Langkau ke kandungan utama

SAMPAI BILA - BAB 1


SUDAH hampir setengah jam Yanti terintai-intai di sebalik kain langsir tebal itu. Langsir berwarna hijau lumut yang labuh hingga menyentuh lantai, sekejap diselak, sekejap dilepaskan. Waktu ini, ruang tamu sengaja digelapkan. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia sedang menghendap! Mengendap mereka yang sedang berada di dalam kereta Mercedes C200, kereta yang sudah hampir setengah jam berada di hadapan rumah sewanya.


Yanti, gadis genit bertubuh kecil. Tingginya hanya 152 sentimeter. Kulitnya putih dan dia memiliki sepasang mata yang galak apabila merenung orang. Gadis cantik ini seorang yang agak pendiam, jadi dia tidak mempunyai ramai kawan. Hobinya? Oh, Yanti suka duduk di rumah dengan menghabiskan masa menonton pelbagai drama melalui siaran Astro yang dilanggan. Bukan setakat drama dan filem Melayu, cerita Hindi, Indon, Astro Bella, malah siaran 393 pun menjadi pujaan hatinya.


Tetapi, nampaknya malam ini, bukan drama di televisyen yang menarik perhatian Yanti. Dia lebih risaukan drama yang dilakonkan oleh teman serumahnya yang bernama Alisa. Alisa masih berada di dalam kereta mewah itu. Memanglah kereta itu sudah lama berhenti, tetapi faham-faham sahajalah! Itu kereta Mercedes! Enjin yang tidak dimatikan, bising benar! Yanti bimbang kalau-kalau bunyi itu akan mengganggu jiran tetangga. Lebih dia risau kalau-kalau mak cik-mak cik yang kepoh perihal mereka selama ini membuat cerita baru pula. Cerita baru tentang Alisa. Sudahlah apa sahaja yang Alisa buat selama ini sering menjadi perhatian mereka. Nampaknya, kejadian malam ini

akan semakin lunak. Lagi seronok untuk dijadikan bahan

umpat keji!


Masak macam ni! Esok hari Sabtulah pulak! Mesti aku kena dengan mak cik-mak cik tu masa aku nak beli ikan. Mestilah ada aje yang dia orang nak kutuk. Tengok ajelah nanti. Hatinya mengomel. Dia yakin bahawa dia akan kena sound dengan Mak Cik Onah, jiran sebelah kanan. Tak pun, dengan Mak Cik Embun, jiran di hadapan rumah. Buatnya kena leter dengan Mak Cik Minah pula yang memang mulutnya laser, lagilah sakit telinga. 


“Mak cik tu semua penyibuk. Tentu dia orang juga tengah menghendap Lisa, macam aku ni, hah. Entah apa ajelah yang dia orang tengah kutuk-kutuk si Lisa tu, dalam hati masing-masing. Hai, Lisa! Kenapalah engkau ni tak sensitif langsung? Kenapa tak pernah nak dengar nasihat aku?” Yanti mengomel lagi. Rasanya, sejak mereka tinggal bersama di dalam rumah sewa yang sama ini, dia sudah jadi seorang yang kuat berleter. Sama taraf dengan mak nenek!


Mata kembali terarah ke luar. Kalau ikut kata hati, mahu saja dia pergi ke kereta, buka pintu dengan kasar dan menarik tubuh Alisa keluar daripada keselesaan di dalamnya. Tetapi, takut punya pasal, niatnya dibatalkan. Bukan takut hantu, tidak! Yanti takut kalau-kalau terserempak dengan perlakuan tidak senonoh yang boleh menjatuhkan maruah Alisa dan lelaki pemilik kereta mewah itu. Jadi, lebih baik menunggu sahaja.


Hai, Lisa! Cukup-cukuplah dating tu! Keluarlah cepat!

Halaulah pakwe kau tu balik ke rumah dia. Hati merayu. Bagai diseru-seru, tiba-tiba Yanti lihat pintu belakang kereta itu dibuka. Teman serumahnya, Alisa, sedang keluar. Yanti melihat gadis itu membongkok sambil mulut kumat-kamit lagi. Lepas itu dia tersenyum. Sempat lagi tangannya melambai-lambai, sebagai lambang selamat jalan ketika kereta itu bergerak pergi. Amboi!!!


Cepat-cepat Yanti meninggalkan tepi jendela untuk duduk di atas kerusi. Tidak mahu tertangkap oleh Alisa kerana mengintai. Ketika bunyi kunci bergemerencing kedengaran, diikuti bunyi pintu gril yang ditarik, Yanti sudah pun duduk tegak sambil memandang tepat ke arah pintu.


Gadis tinggi lampai itu meletak kasut tumit tinggi jenama Primavera yang dipakai tadi ke atas rak. Diri kemudian ditegakkan. Jemari runcingnya kini meraba-raba dinding, mencari suis lampu di ruang tamu yang kelam. Sebaik suis ditekan, anak mata berubah saiz kerana suasana gelap bertukar cerah. Saat itu, wajahnya sedikit terkejut apabila saling memandang dengan Yanti. 


“Aik, ada orang rupa-rupanya. Apa hal kau duduk macam patung kat atas kerusi tu? Dalam gelap lagi! Dah hilang akal ke?” Mulut terus menyindir. Laju sahaja tiap patah kata keluar, meniti bibirnya.


Yanti mencebik. Sakit hati mendengar sindiran halus Alisa terhadap dirinya. Tetapi dia diam saja. Malas hendak membalas lagi.


“Kau tak tidur lagi?”


Hmm, soalan yang patut dijawab dengan penampar, bisik hati Yanti. Tetapi dibalasnya sinis. “Dah nampak aku tercongok kat sini, boleh lagi tanya soalan tu?”


Alisa yang memakai skirt labuh yang ketat di pinggul dengan blaus yang mendedahkan pangkal dadanya,

tergelak halus. Dia tahu bahawa soalannya tadi memang

soalan tak masuk akal. Dah nampak sangat si Yanti duk ada kat depan mata boleh pula dia tanya soalan bodoh begitu. Memang kena pancunglah jawabnya!


“Kenapa kau gelak? Apa yang lucu sangat tu?” Yanti sakit hati dengan perangai Alisa. Dia sedang serius, boleh pula gadis itu tergelak. Hisy!


Perlahan-lahan ketawa Alisa hilang. Dahi pula mula 

berkerut. Dia tidak faham kenapa Yanti harus menjerit 

begitu. 


“Tak pasal-pasal kau angin ni, kenapa pulak? Marah

sebab terpaksa tunggu aku balik? Tapi, ada aku suruh

kau tunggu ke? Rasanya tak, kan? Sebab aku ada kunci

spare ni?” Alisa bertanya sambil kunci rumah digoyang-goyangkan di hadapan mata Yanti.


Yanti semakin geram mendengar kata-kata Alisa. 

Menyampah betul apabila Alisa berpura-pura tidak memahami sindirannya. Malah, dia dapat rasa yang Alisa

sengaja hendak menyakitkan hatinya.


“Alisa binti Azman, aku ni kawan baik kau tau! Kau

ingat, aku boleh lena selagi kau tak sampai ke rumah

dengan selamat?” marahnya.


Alisa angkat kedua-dua belah bahunya. Acuh tak acuh dia membalas, “Alah, kau bukannya tak tahu aku keluar dengan siapa. Kan aku selalu cakap, kalau aku keluar dengan dia, kau tak payahlah risau. Dia akan jaga aku dengan baik. Lupa ke?”


Kepala Yanti semakin berasap mendengar jawapan itu. Seolah-olah Alisa tidak menghargai pengorbanannya

berjaga malam semata-mata kerana risaukan diri sahabatnya. Begitu dia bersengkang mata menunggu, Alisa

boleh cakap yang dia tidak pernah menyuruh. Memang

Alisa sengaja hendak buat dia naik angin lagi!


“Sebab kau keluar dengan orang tua itulah aku makin risau. Sejak kau dengan dia, kau dah tak tahu nak balik awal. Malah, sejak kau dengan dialah kau dah pandai tak balik ke rumah. Dulu, ke mana kau pergi, kau ajak aku. Tapi, sejak kau bercinta dengan orang tua tu, kau langsung tak pedulikan aku. Habis, macam mana aku tak risau?” marah Yanti. Tinggi suaranya menengking. Dia sengaja menunjukkan kemarahan yang selama ini dia pendam.


“Aisey, macam merajuk aje bunyinya?” Alisa angkat-angkat

kening. Sengaja mengusiklah tu!


“Merajuk? Mintak maaf banyak-banyak! Tak kuasa nak merajuk dengan kau,” balas Yanti.


“Kalau tak merajuk, kenapa marah bila aku tak ajak kau jalan-jalan sama dengan aku? Kenapa tuduh aku langsung tak pedulikan kau pulak?” selar Alisa. 


Muka Yanti sudah berubah rona.


“Yanti, tiap kali aku nak keluar, aku mesti ajak kau ikut sama, kan? Tapi, kau yang tak mahu ikut. Kau cakap kau tak nak kacau daun. Tentang tak pedulikan kau tu, tolong jangan nak buat fitnah. Kalau aku tak peduli pada kau… minggu lepas masa kau masuk wad sebab kena denggi, siapa yang tunggu kau di hospital? Bukan aku ke?”


Alisa menghumban diri untuk berbaring di atas kerusi panjang, tempat dia selalu lepak kalau hendak menonton televisyen. Sepasang matanya yang bundar, dipejam rapat. Rambut yang panjang ditarik ke tepi agar tidak kusut. Dia tidak langsung memandang Yanti. Malas! Gadis itu sekarang ini memang sudah kuat membebel. Sudah macam mak nenek.


“Tak ada maknanya aku nak merajuk! Dan, tak ada

maknanya aku nak ikut kau. Nak tengok kau buat maksiat

depan mata? Buat sakit hati aku saja!” jerit Yanti.


Dia langsung tidak peduli sama ada dia sudah menggores

perasaan Alisa ataupun tidak. Yang penting, Alisa patut tahu perasaannya. Perasaan menyampah yang sudah bersarang dalam dada.


Alisa tahu, kalau dia terus menjawab, maka akan

berpanjanganlah leteran Yanti. Padahal, hari sudah larut

malam. Dia pula sudah berasa terlalu letih. Jadi, lebih baik dia berpura-pura tidak mendengar. Kerana itu, mata sengaja dipejamkan. Biar nampak seperti dia hendak tidur.


Ketenangan Alisa membuat Yanti hilang sabar. Gelagat

Alisa yang selamba menyakitkan hatinya. Lantas,

dihamburkan apa yang sudah terbuku lama. “Lisa, aku nak pesan pada kau sikit! Lain kali, bila kereta pakwe tua kau tu dah sampai depan rumah, tolonglah! Tolong keluar cepat-cepat! Jangan nak bertapa dalam kereta tu! Tak elok kalau jiran tetangga kita nampak, Lisa. Lagipun, aku dah tak tahan nak dengar mulut mak cik-mak cik kat sekeliling rumah kita ni kutuk kau. Kau tahu tak?”


Alisa diam tidak berkutik. Tidak kuasa hendak menyahut. Malas dia! Balik-balik itu yang diungkit oleh Yanti. Padahal, dia tak kisah pun. Lantaklah apa orang hendak fikir tentang dirinya. Lantaklah apa dia orang nak kata!


“Alisa, aku tengah cakap dengan kau ni!”


Jeritan Yanti menyebabkan Alisa memasukkan jari

kelengkeng ke dalam telinga yang sedikit berdengung. “Kut ya pun marah, janganlah jerit kat telinga aku ni. Nanti pekak, macam mana?” Menarik nafas perlahan, dia kemudian menyambung, “Alah, bukannya lama mana sangat kereta Abang Tiar tu berhenti kat depan rumah kita ni! Itu pun nak bising ke?”


“Kau tahu tak, Lisa? Bila kereta berhenti dan kau tak turun-turun, otak kotor mak cik-mak cik tu akan mula bayangkan yang bukan-bukan. Apa yang kau buat dengan si tua bangka tu di dalam kereta. Esok, waktu membeli ikan, dia orang akan berkumpul ramai-ramai dan semua orang akan tahu apa yang kau orang berdua buat. Siapa yang malu nanti kalau cerita yang tak senonoh tu tersebar? Bukan kau ke?” jerkah Yanti.


Bulat mata Alisa. Amboi, Yanti! Bukan main jauh 

imaginasinya. Perkara yang belum terjadi pun sudah

boleh dijangka ya?


“Cerita tak senonoh?” tanya dia.


“Yalah! Dia orang mesti soksek-soksek kisah kau dan apa kau buat dalam kereta…”


“Aku dengan Abang Tiar? Dalam kereta? Yanti, takkan aku dengan Abang Tiar nak berpeluk, nak bercumbu sakan sedangkan Pak Mail ada duk tercongok di tempat pemandu! Kau ingat aku dengan Abang Tiar gila ke apa?” marah Alisa.


“Tapi…”


“Jangan risau yang bukan-bukanlah, Yanti. Biasalah! Abang Tiar tu bukan mudah nak bagi aku turun. Kau bukannya tak tahu yang dia tu tengah mabuk asmara, kan? Memang payah sikitlah dia nak lepaskan aku.” Alisa sudah tertawa kecil dengan kata-katanya itu.


“Abang Tiar konon! Mabuk asmara? Lisa, orang tua tu sebaya Pak Cik Man, tahu! Sebaya ayah kau!” Yanti

semakin lantang.


Alisa tetap tenang. Kenyataan, buat apa disangkal, fikirnya. Memang pun ayahnya sebaya dengan lelaki itu. Tidak perlu dipertikai. “Kenapa kalau dia sebaya ayah aku? Apa masalahnya?”


“Kau ni kan…”


“Orang tua ni, Yanti, best tau tak? Cakapnya lemah lembut, caring pulak tu. Prihatin lagi! Tak cepat marah, banyak pengalaman. Sesungguhnya, aku memang gembira

dengan dia. Dia tak macam lelaki-lelaki lain yang

pernah aku kenal.” Dengan bangga Alisa memberitahu.

Tiba-tiba Alisa teringat akan sesuatu. Pantas dia menegakkan badan lalu mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya yang mahal. Sebuah kotak baldu berwarna

merah hati dibuka dan…


Wau! Silau biji mata Yanti memandang kalung berlian

yang berkilauan, yang kini sedang diperagakan oleh Alisa di lehernya. Tentu sahaja kalung cantik dan mahal itu adalah hadiah daripada Bakhtiar. 


“Cantik tak?” tanya Alisa riang. Seronok melihat reaksi Yanti yang sedang melopong mulutnya ketika ini.


Yanti merengus. “Cantik sangat! Tu hadiah daripada orang tua tulah, kan? Sebab itu kau tak sanggup lepaskan dia. Tak mahu tinggalkan dia! Betul tak?” sindirnya.


“Mana ada?” Alisa mengelak.


“Huh! Usahlah nak nafikan kebenaran, Lisa. Memang kau tu tamak! Pisau cukur! Tengoklah! Tiap kali balik ke rumah aje, mesti ada hadiah yang kau bawak,” sindir Yanti terus-terusan.


Alisa tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan itu. Selamba dia membalas, “Dah orang beri, aku ambillah.”


“Dah orang beri, aku ambillah!” Yanti mengajuk. Matanya mencerlung menatap paras jelita itu. “Hadiah tu untuk apa sebenarnya, Lisa? Balasan untuk khidmat kelas pertama kau ke?”


Pertanyaan itu buat Alisa terkesima. Tangan yang sedang membelek-belek pemberian Bakhtiar, terhenti. Namun, dia langsung tidak melatah. Hanya wajahnya sedikit kelat kerana tidak mempercayai bahawa Yanti sanggup berkata begitu.


“Kalau ayah kau tahu kau bercinta dengan orang tua tu, menangis dia, Lisa! Macam dah tak ada orang muda dalam Malaysia ni sampai suami orang yang dah tua kerepot itu juga yang kau kejar.” Yanti masih belum puas menyakiti hati Alisa. Dia rasa marah yang teramat melihat riak wajah kawan karibnya yang masih bersahaja, langsung tidak berperasaan!


“Helo, aku tak kejar dialah, Yanti. Dia yang kejar aku, okey. Dia yang datang, menagih kasih aku. Dia yang memujuk rayu. Dia yang terhegeh-hegeh!” balas Alisa bersungguh-sungguh. Dia menyatakan yang benar. Bahawa, bukan dia yang memulakan hubungan, tetapi Bakhtiar. Bukan dia yang menggoda lelaki itu tetapi lelaki itu yang mendekatinya terlebih dahulu. Seolah-olah tidak mampu hidup tanpa dirinya. Hendak buat macam mana?


Tiba-tiba telefon bimbit Alisa berbunyi. Melihat nombor yang tertera, dia terus memberikan telefon itu kepada Yanti.

“Cakap aku dah tidur,” arahnya. 


Yanti mengetap bibir sebelum menekan punat hijau.

“Waalaikumussalam. Bukan! Saya Yanti, encik. Lisa? Dah tidur dah! Balik tadi, lepas mandi aje, terus lena. Nak saya kejutkan dia?”


Alisa jegilkan biji mata, namun dia berasa lega kerana akhirnya…


“Okey, nanti saya sampaikan pada dia. Waalaikumussalam.”

Wajah Alisa direnung. Telefon bimbit diserahkan semula kepada gadis itu. “Buah hati kau kirim salam,” kata Yanti.


Salam dijawab dalam hati.


“Kau nak kahwin dengan dia ke, Lisa?”


“Kahwin? Dengan siapa?”


Yanti mendengus kasar. Sikap blur Alisa buat dia geram semula. “Siapa lagi? Encik Bakhtiarlah!”


Alisa terus ketawa mengekeh. Soalan Yanti terlalu lucu baginya. “Gila kau? Takkanlah aku nak kahwin dengan

orang tua tu? Mengarut betullah kau ni.”


Jawapan yang menyebabkan Yanti melepaskan keluhan.

“Itulah jawapan kau yang buat aku risau, Lisa.”


Erk?


“Kau tak serius dengan dia, rupa-rupanya. Sama macam

yang lain-lain juga, ya? Lisa, berapa ramai lagi lelaki yang nak kau mainkan? Tak puas lagi ke?”


“Apa maksud kau marah-marah pada aku ni, Yanti?” tanya Alisa. Dia tahu ada sesuatu yang terbuku dalam kotak fikiran Yanti. Dia yakin, Yanti mahu memuntahkannya malam ini. 

Yanti sudah tidak mahu lagi menyimpan apa juga kata yang terpendam.


Lama Yanti berdiam sebelum meluahkan. “Kau tu! Kau jadi macam ni sebab kau nak balas dendam, bukan? Kau nak balas dendam kepada semua lelaki! Betul tak cakap aku ni?”


Gugup Alisa sebaik mendengar soalan itu. Tangannya jadi ketar. Degup jantung tiba-tiba menderu laju. Lama dia termangu. Lama dia terdiam. Terpaku! Hanya sepasang mata buntang merenung tepat ke hadapan, ke arah Yanti! Satu renungan yang amat sukar untuk ditafsir.


“Lisa, sudah-sudahlah tu! Berhentilah! Cara kau ni tak betul, kau tahu tak?” seru Yanti. Matanya tepat mencari anak mata Alisa. Kata orang, kalau hendak memastikan seseorang itu mengikut kata, kita mesti pandang tepat-tepat ke dalam anak matanya semasa kita bercakap dengan dia. Buat dia jadi gugup. Buat dia berfikir!


“Apa yang tak betul? Cuba kau cakap aku!” Alisa tidak mahu kalah. Kata-kata Yanti buat dia ingin bertekak, ingin membela diri dan perbuatannya.


“Kau tu! Kau berdendam dengan Haziq Asrar, kan? Dia lelaki jahat yang dah fitnah kau, dah kutuk-kutuk kau. Kerana dia, kau bawa diri ke Kuala Lumpur. Itu aku boleh terima. Aku faham! Tapi, yang aku tak boleh terima, yang aku tak faham ialah sikap kau!”


“Sikap aku?” Mata Alisa sudah membuntang. Hairan

mendengar ujaran Yanti.


“Ya! Sikap kau yang semakin teruk dari hari ke hari tu! Lisa, Aku boleh faham kalau kau nak balas dendam pada Haziq. Masalahnya, dia tak ada di sini. Dan kau, kerana dendam kau pada dia, kau anggap semua lelaki macam dia. Kau tak dapat balas kat Haziq, semua lelaki yang dekat dengan kau jadi mangsa. Kau buat mereka sukakan kau, jatuh cinta pada kau. Lepas tu? Kau tinggalkan mereka.”


Alisa merengus kasar. Sebaik nama Haziq Asrar disebut

oleh Yanti, wajah putihnya berubah rona. Dia sudah tidak boleh menahan sabar lagi. Sudah banyak kali dipesan supaya nama itu tidak disebut di hadapannya lagi. Tapi, nampaknya, Yanti degil benar.


“Jangan sebut nama dia, boleh tak?” pinta Alisa perlahan.

Dia sedang cuba menahan marah.


“Mana boleh? Dia yang jadikan kau begini! Dia yang menyebabkan kau punya perangai buruk ni! Sebab dia, kau jadi player!” Yanti menyerangnya lagi.


Kening Alisa terjongket sedikit. “Player? Aku? Bagusnya kau gelar aku, Yanti?” marahnya.


“Habis? Kalau lelaki yang asyik bertukar teman wanita, kita panggil dia playboy, kan? Kau tu pulak, sejak tiga tahun lepas, asyik bertukar pakwe. Lepas seorang, seorang lagi. Dah jemu dengan A, kau jumpa B. Bila bergaduh dengan B, kau mula goda C. Lepas tu D, E… Sampailah sekarang. Encik Bakhtiar kau tu entah nombor yang ke berapa, aku pun dah tak mampu kira, Lisa!” kutuk Yanti.


Alisa mencebik, namun dia malas hendak menyahut. Buat sakit hati saja.


“Kenapa, Lisa? Kenapa sebab Haziq Asrar, kau jadi liar macam ni? Kenapa sebab dia, kau dendam pada semua lelaki? Kau goda mereka, kau buat mereka jatuh cinta pada kau, kau pura-pura cintakan mereka, bila kau dah jemu, kau tinggalkan. Kau langsung tak peduli perasaan mereka.”


Alisa mendengus. Dia ingin segera membalas. Namun tidak berjaya. Baru hendak membuka mulut, Yanti menyergahnya lagi. 


“Berapa kali aku nak cakap pada kau? Berapa kali aku nak pesan? Tak baik berdendam, Lisa! Tapi kau? Kau tetap degil. Kau tetap dengan sikap keras kepala kau tu. Kau buat tak endah dengan nasihat aku. Kau terus juga dengan perangai buaya betina kau tu. Bukan seorang dua, Lisa! Ramai yang dah makan hati dengan perbuatan kau! Tu, Encik Bakhtiar tu pun, entah-entah sedang tunggu masa kena reject dengan kau. Betul tak?” 


Yanti puas hati dapat memuntahkan apa yang terbuku 

dalam dada dengan panjang lebar. Selama ini dia tidak berkesempatan melakukannya, tapi malam ini, buat pertama kali, Yanti rasa seronok dapat mengutuk Alisa cukup-cukup. Tidaklah berbuku perasaannya lagi. 


“Lisa, aku hairan betul dengan kau ni! Yang kau beria-ia sangat nak hancurkan hidup lelaki-lelaki tu semua, apasal? Apa dosa dia orang pada kau? Contohnya Encik Bakhtiar! Dah angau orang tua tu aku tengok. Langsung tak boleh jauh daripada kau. Siang, malam, pagi, petang, kalau boleh, dia nak berkepit dengan kau. Dah tu, macam-macam hadiah dia bagi. Malam ni, kalung berlian yang nilainya beribu-ribu ringgit, kau dapat. Tapi, aku tertanya-tanya dalam hati. Sampai bila kau dengan dia? Esok? Lusa?”


Alisa senyum. Lenyap sekejap rasa sakit hati terhadap Yanti. “Abang Tiar ni istimewa, Yanti! Dia lain daripada yang lain,” luahnya.


“Alah, lain daripada yang lain konon! Bila kau dah jemu dengan dia, kau tetap akan tinggalkan dia macam tu saja. Ingat aku tak kenal kau ke?” ujar Yanti dengan wajah yang keruh.


“Mungkin. Cuma, buat masa sekarang, aku suka dia. Belum jemu lagi.” Alisa membalas dengan selamba. 


“Kan aku dah cakap. Kau ni memang dasar buaya betina kau tahu tak? Asal jumpa orang kaya aje, kau ngap! Harta dia kau sapu. Cinta dia kau tolak. Adil ke macam tu?” tuduh Yanti.


Lama membeku kerana Alisa cuba menahan sabar, akhirnya dia bertanya keras. “Habis tu? Adil ke apa yang Haziq buat pada aku, Yanti?” 


Yanti menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya

perlahan. Melihat wajah penuh amarah Alisa saat ini, dia tahu, bahawa kisah lama sedang ligat bermain di dalam kepala gadis itu. Tentu semua kenangan sedang bertandang saat ini. Betul tekaannya. Kali ini, giliran dia pula untuk menadah telinga. Mendengar kemarahan Alisa kepadanya.


“Hidup di kampung tu, aku tak pernah kacau orang lain. Kau pun tahu, kan? Tapi jantan tu! Dia asyik kacau aku. Dari zaman sekolah sampailah tiga tahun lepas, dia asyik ganggu hidup aku. Ganggu hidup keluarga aku!” Alisa menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Aku tak pernah berkenan pada dia. Aku tak pernah suka dia. Malah, semua tentang Haziq Asrar tak pernah menarik minat aku biarpun dia tu anak orang yang paling berpengaruh kat kampung kita. Berkali-kali aku cakap pada dia, pergi cari perempuan lain untuk dicintai. Bukan aku! Pergi curahkan perasaan pada orang lain sebab ramai gadis yang hendak pada dia, tapi dia degil. Tetap juga hendakkan aku, konon!”


“Habis, mana pernah perempuan tolak dia mentah-mentah

macam kau? Dia tu kan glamor? Dia hebat di sekolah. Dia pakej yang lengkap! Muka handsome, aktif dalam persatuan, kesayangan cikgu pulak tu! Tentulah dia tak faham kenapa kau tak suka dia,” ujar Yanti.


“Dia tahulah, Yanti. Aku dah cakap pada dia. Aku tak suka dia sebab dia sombong. Sebab dia gatal. Sebab dia suka hina mak bapak aku yang miskin. Dia tahulah!” bentak Alisa. Sakit hatinya apabila Yanti seolah-olah membela perbuatan Haziq Asrar pula. “Kenapa? Kenapa dia fitnah aku? Kenapa dia jaja satu kampung yang aku ni perempuan miang yang tak cukup dengan dia seorang? Sampai sekarang, aku masih tercari-cari sebab dan jawapan pada soalan-soalan 

ini. Satu, kenapa dia malukan aku begitu? Dua, kenapa dia fitnahkan aku? Tiga, kenapa dia kutuk keluarga aku? Empat, kenapa dia heret emak ayah aku dalam masalah kami berdua?” Wajah Yanti ditatap bagai hendak menelan apabila dia bertanya, “Kau tahu semua tu, tapi kau masih nak marahkan aku, Yanti?”


Yanti termangu, kehilangan kata-kata. Kalau tadi, berapi-api dia memarahi Alisa, kini dia sudah terdiam. Dia sudah tidak mampu bersuara. Sedar betapa dia sudah membangkitkan kemarahan meruap-ruap yang selama ini diam membekam dalam dada Alisa. Mahu ataupun tidak, giliran dirinya untuk menadah telinga. Giliran dia untuk menerima lava berang yang membahang.


“Habis satu kampung dia sebarkan cerita yang lain dan lari jauh daripada skrip kisah benar kami. Boleh dia cakap pada semua orang yang dia sebenarnya tak mahu aku, tapi aku yang tergila-gilakan dia. Dah tu, bila orang kampung tanya kenapa dia menolak aku, kenapa tak mahu aku, kau tahu apa dia jawab pada mereka? Sebab aku dah tak ada dara. Sebab aku ni bekas orang! Aku dah tidur dengan ramai lelaki, tak kira bangsa! Ayat tu ayat apa, Yanti? Bukan fitnah ke?” Puas hati Alisa melihat Yanti mengangguk dan membenarkan kata-katanya. “Jadi, kau tentu dah tahu dia fitnah aku. Kau tentu dah tahu kenapa aku meluat, aku menyampah dan kenapa aku benci sangat-sangat pada dia, kan?”


Yanti mengangguk lagi. Anggukan yang menyebabkan Alisa menjerit sampai hendak terkeluar anak tekaknya. “Habis, salah ke kalau aku balas dendam? Salah ke kalau aku bencikan lelaki yang punya perangai yang sama dengan Haziq Asrar tu? Salah ke, Yanti?” 


Suara sudah sebak. Air jernih sudah bertakung di tubir mata. Bila-bila masa, pasti manik-manik halus itu akan gugur. Namun dia tidak mahu berhenti menceritakan apa

yang dirasai. Alang-alang sudah dibuka luka lamanya oleh Yanti, lebih baik dia terus menceritakan kehampaannya

selama ini. Lebih baik Yanti tahu apa yang selama ini terpendam nun jauh di dalam relung hatinya ini.


“Orang kampung gelarkan aku pelacur, Yanti! Pelacur! 

Orang kampung tuduh emak bapak aku… ibu dan bapak ayam. Memang bukan semua orang kampung macam tu. Tapi, kau faham tak apa yang aku alami? Kau faham tak apa yang aku rasa? Dapat kau selami perasaan emak aku? Dapat kau bayangkan resah hati ayah aku?” Air mata diseka. Alisa menyambung lagi. “Kalau aku seorang saja yang dihina, aku tak peduli. Aku reda! Aku terima! Tapi emak aku? Ayah aku? Apa dosa mereka pada orang kampung tu?”


Yanti cuba untuk memeluk tubuh Alisa. Cuba menenangkan

gadis itu. Malangnya, Alisa sudah tidak mampu dipujuk. Dia rasa perlu untuk meluahkan sehingga habis semua yang terbuku dalam hati yang sekian lama bungkam. Bungkam kerana perbuatan Haziq Asrar! Alisa pandang wajah Yanti tak lepas.


“Ayah dengan mak aku tak pernah sekali pun membalas

hinaan orang pada kami. Tidak pernah walau sekali pun mereka dapat menjawab cercaan orang. Itu yang buat aku sedih, kau tahu tak? Sebab, aku tak mampu nak bela diri dan aku tak dapat hadapi penghinaan pada emak bapak aku,” keluhnya penuh kesal.


Yanti melopong sekali ini. Meskipun dia tahu semuanya,

namun melihat air mata yang berjuraian di pipi mulus Alisa, hatinya tersentuh. Dia turut merasakan luka dan kesakitan itu! 


“Dahlah tu, Lisa. Semua tu cerita lama. Dah tiga tahun dah!” Yanti memujuk.


“Kau yang tak mahu faham aku, Yanti! Kau tahu sebab kenapa aku benci sangat pada Haziq Asrar tu! Dan, kau jugak tahu kenapa aku jadi benci pada lelaki. Kenapa kau nak sakitkan hati aku dengan soalan-soalan kau tadi?” Alisa mengherdik lagi.


Yanti terkesima. Resah mencari jawapan.


“Aku tak boleh maafkan dia! Aku benci dia! Bukan saja sebab fitnah dia pada aku, tapi sebab dia juga pembunuh mak aku. Sampai bila-bila, aku tetap berdendam. Bukan dengan dia sorang, tapi dendam pada semua jantan-jantan hidung belang di luar sana! Aku nak ajar mereka, Yanti! Nak ajar mereka erti sebuah kebencian! Erti sebuah dendam!” ujar Alisa bersama api kemarahan yang tidak pernah pudar.


Yanti menggeleng. Yang ini, cakap Alisa kali ini, dia

tak boleh terima. Dia tak setuju. “Tapi, Lisa, apa bezanya kau sekarang dengan kau yang Haziq gambarkan pada orang kampung, hah? Apa yang kau buat sekarang ni dengan apa yang Haziq Asrar cakap, dah tak ada beza. Kau sekarang ni perempuan yang teruk tu!” marahnya.


Alisa tatap wajah Yanti dalam-dalam. “Aku tak peduli apa orang nak fikir tentang aku. Aku tak kisahlah! Pengalaman tiga tahun dulu lebih sakit, Yanti! Tak ada yang mampu beri kesakitan pada hati dan perasaan aku macam itu lagi!” balasnya.


“Lisa, kau tak boleh cakap macam tu! Dendam kau ni tak bawa kau ke mana-mana. Hidup kau pun tak akan tenang, kau tahu tak?”


“Yang tak tenang tu, aku, kan? Bukan kau! Buat apa kau nak risau?” sindir Alisa.


Yanti jegilkan matanya. “Kau kawan aku! Tentu aku ambil berat pasal kau,” gumamnya.


Alisa mencemik. “Ambil berat? Kalau macam inilah caranya kau ambil berat fasal aku, Yanti, terima kasih ajelah. Baik tak payah,” kutuknya.


Yanti jadi berang. “Kau ni kan, Lisa! Aku dah tak tahu nak kata apa dah! Melampau betul kau sekarang. Asyik nak berkelahi dengan aku aje!” 


“Helo! Kau yang cari pasal dengan aku, tau! Kau yang mulakan dulu!”


“Lisa!!!”


Alisa meletak jari telunjuk ke bibir, tanda dia mahu mereka menoktahkan perbincangan. Dia kemudian bangun dan berpura-pura menguap, seolah-olah sudah bosan dengan apa yang mereka berdua bualkan. “Dahlah! Aku mengantuk ni! Aku nak tidur! Cukup-cukuplah berkisah cerita lama tu! Benda dah jadi sejarah pun!” 


“Kau memang! Pantang aku sebut nama dia, mesti kau naik angin dengan aku,” rajuk Yanti.


“Dah tahu begitu, lain kali jangan buat dah! Lagipun, tak payahlah nak nasihatkan aku. Aku dah besar. Aku tahu apa yang betul, apa yang tidak, apa yang baik untuk aku. Faham?” omel Alisa.


“Yalah tu! Jadi, kau ingat, Bakhtiar tu satu anugerah untuk kau? Dia yang terbaik? Macam tu?” 


Wajah Yanti ditatap dalam-dalam. Sambil tersenyum, Alisa membalas, “Mungkin. Siapa tahu?”


Pandangan mata Yanti mencerlung. “Kau dah gila! Dia tu laki orang, Lisa. Tua pulak tu! Eii, geli aku dengar!” jeritnya sambil melangkah laju menuju ke bilik. Kalau lagi lama dia di ruang tamu itu, maka pasti hatinya jadi lebih sakit berlawan cakap dengan Alisa. Jadi, lebih baik dia tinggalkan gadis itu sebelum mereka bertengkar lagi!


Alisa juga ingin masuk ke biliknya. Dia juga ingin tidur. Hari sudah larut malam bukan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…