apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.3.14

SSR Bab 3



Bab 3

Soalanmu jadikan aku kelu. ~ Amar

ERYNA pengsan. Itulah khabar yang menyapa telinga. Perkhabaran yang menyebabkan hatiku meronta-ronta nak berlari masuk ke dalam rumah pengantin. Kalau boleh, nak terjah bilik Erin. Mujur otak sempat memberi amaran. Bakal bini orang tu, Amar! Karang tak pasal-pasal dia dapat malu disebabkan kebodohanku. Tapi, aku betul-betul susah hati sekarang. Bimbang memikirkan dirinya. 


Tadi, sebaik sahaja aku berjaya memujuk Mak Non, kami keluar ke bangsal. Di situ, aku tinggalkan Mak Non di sebelah ibu. Tugas aku dah selesai. Kini, biarlah ibu pula yang menasihati sahabat baiknya itu. 

“Ibu, ajak Mak Non makan. Perut Mak Non kosong tu. Nanti masuk angin pula,” gesaku.

“Yalah. Nanti kami makan,” balas ibu.

Aku pula ingin pergi berbual dengan Sam yang sedang asyik menghadap telefon. Tak lain, dia sedang Wechat dengan Milah, cik buah hati. Pada ketika aku sedang berjalan melintasi dua orang budak lelaki, aku terdengar mereka berbisik-bisik. Langsung terhenti langkah kakiku. Kaku. 

“Dengarnya, Kak Eryna tu dapat SMS daripada tunang dia. Lelaki tu minta putus.” 

Aduh, cepatnya berita tersebar. Tak tahulah sama ada ini berita benar ataupun palsu. Jadi, aku terus pasang telinga. 

“Betul ke?” 

“Ya. Aku dengar mak aku bersembang dengan kawan-kawan dia tadi.”

“Kenapa minta putus?”

“Tak tahu pula.”

“Entah-entah...”

“Entah-entah apa?” 

Diam. 

Aku segera menoleh. Kulihat kedua-dua budak lelaki itu sedang tersenyum-senyum. Senyuman yang sumbing. Baru sudah mengutuk Erinlah tu. Tapi, aku tak mahu menyampuk lagi. Aku nak dengar dulu apa kata mereka sebelum menegur.

“Apa? Dia mengandung?”

Kan? Memang melampau dia orang ni. Kecil-kecil lagi sudah pandai bercakap yang bukan-bukan. Nampaknya mereka sengaja hendak menyalakan api kemarahanku. Aku berdeham. Serta-merta mereka berhenti bercakap. Masing-masing tundukkan muka. 

“Siapa mengandung?” Aku tanya dengan suara yang tegas.

Tak seorang pun antara mereka berdua panggung kepala. Malah, ketika ini, masing-masing sudah menjadi manusia yang pendiam pula. Atau, mereka takut dengan aku agaknya. Padan muka. Cuak bukan main air muka mereka sekarang. 

“Kamu ada baca SMS yang Erin dapat tu?” Aku bertanya lagi. Suaraku perlahan, tapi kulontarkan lebih keras daripada tadi.

Geleng. 

“Habis tu macam mana kamu tahu Erin mengandung?”

Diam. 

“Budak sekolah macam kamu ni pun pandai bawa mulut ya?” sindirku.

“Err...”

Tergagap-gagap pula mereka. Nampaknya aku memang ada aura garang macam harimau sebab aku sudah berjaya membuat dua orang makhluk Tuhan ini kecut perut. Tapi, kalau demi Erin, aku memang begini. Pantang aku kalau orang menuduh dia yang bukan-bukan. Mudah benar aku naik angin. 

Aku dekatkan muka kepada salah seorang daripada mereka. “Nak tuduh orang berzina kena bawa empat orang saksi yang tidak fasik. Dan saksi-saksi itu mesti nampak perbuatan yang kau orang duk tuduh tadi. Aku nak tanya, kau orang nampak ke?”

“Err...”

Err lagi? Dia orang ni memang sengaja cari penyakit dengan aku. “Kenapa duk err, err aje? Jawab soalan aku tu. Kau orang nampak atau tidak?”

Dua-dua menggeleng. Laju.

“Kalau tak nampak, lebih baik kau orang zip mulut masing-masing sebelum aku tumbuk sampai berkecai gigi. Faham?” sergahku.

Laju mereka mengangguk sebelum angkat kaki. Tahu takut! 

Haih. Sesuka hati mereka sahaja hendak menuduh Erinku buat jahat. Kan dah kena. Itu baru aku jerkah, belum lagi aku layangkan sepakan maut aku. Kalau kena tendang dengan aku tadi, memang bakal menempah tanah kuburlah nampaknya. 

Tiba-tiba telingaku menangkap bunyi keriuhan di ruang tamu. Bingkas aku ke muka pintu utama. Terpaksa pula bersesak-sesak dengan mereka yang lain. Waktu inilah baru aku perasan betapa ‘prihatin’nya semua penduduk Taman Seri Setia. Sanggup bertolak-tolak, berasak-asak, sebab hendak tengok apa yang berlaku di dalam. Mereka semua ini penyibuk. Busybody. Eh, sedapnya aku mengutuk, padahal aku pun apa kurangnya? Duk ada tang ni juga.

Mujur aku ini tinggi. Tak payah nak jengket kaki dan tak payah nak menyeronot ke depan. Berdiri di belakang ini pun aku sudah boleh nampak kelibat semua orang di dalam. Kelihatan Erin yang ayu dalam pakaian serba putih. Berlabuci segala. Ada batu-batu Swarovski lagi. Tentulah persalinan indah itu pakaian untuk dipakai sewaktu majlis akad nikah tak jadinya tadi. 

Wajahnya tegang dan kesan-kesan baru lepas menangis jelas kelihatan.

Di belakang Erin, Mak Non dan beberapa orang wanita, termasuk Mak Su Zila, sedang menangis sambil mengesat air mata dengan tisu. Sementara Pak Wan tayang muka tanpa perasaan. Beberapa orang lelaki lain sedang berbisik-bisik. Ayah dan ibu juga ada di sana. Tak lain hendak memberi sokongan moral kepada Pak Wan dan Mak Non. Dah namanya pun kawan baik. Tentulah mereka sentiasa ada di sisi pasangan suami isteri itu. 

“Malunya saya, Kak Min. Kat mana saya nak letak muka saya ni? Sampai hati si Azlan tu buat keluarga kami macam gini.” 

Ya Allah. Luluh hatiku melihat muka Mak Non begitu. Sedih ya amat. Sungguh kasihan apabila wanita yang selalu ceria dan suka bergurau itu kini sedang menangis pilu.

“Apa salah saya, Kak Min? Apa dosa saya? Kenapa saya diuji sebegini?” 

“Sabarlah, Non. Sabar. Mengucap banyak-banyak. Beristighfar. Jangan duk merintih sebab merintih tu seolah-olah melawan ketentuan-Nya, tahu?” Ibu memujuk.

“Macam mana nak sabar, Kak Min? Kalau tak sukakan Erin, cakap awal-awal. Kenapa sekarang baru nak beritahu? Dengan SMS aje pula tu. Sampainya hati dia,” keluh Mak Non lagi. 

Pandanganku kini tertumpu hanya kepada Erin. Erin yang sudah tertunduk. Erin yang diam dengan riak wajah tanpa perasaan. 

“Kenapa Azlan tak jadi datang, Pak Wan?” Kedengaran satu suara bertanya.

“Entah. Dia kata mak dia tak bagi,” balas Pak Wan, lemah.

“Apa alasannya?” tanya yang lain.

“Sebab pilihan Azlan bukan pilihan mak dia.” Mak Non memberitahu dalam derai air mata.

“Hai, kut ia pun, kenapa baru sekarang mereka nak cakap macam tu?” Suara Mak Su Zila dah melengking kuat. Menjadikan suasana sunyi sepi ketika ini. 

“Tak lain niatnya nak memalukan kita,” sahut seorang wanita lain. 

Tiba-tiba Pak Wan berkata lagi. Suaranya kuat dan lantang. “Baru sekejap tadi Azlan SMS si Erin ni. Katanya, dia disuruh memilih salah seorang. Erin atau mak dia. Tentulah dia pilih mak dia, kan?”

“Kenapa?”

“Sebab mak si Azlan tu mengugut. Dia tak mahu mengaku yang Azlan anak dia kalau Azlan pilih Erin. Dia akan halau Azlan keluar dari rumah dan Azlan tak akan dapat harta mak dia yang banyak tu.” 

“Sampai macam tu sekali? Harta lebih penting daripada Eryna ke, Pak Wan?” 

Aku dah tak peduli. Aku berpaling sambil tangan kubuka luas memegang dinding konkrit beranda luar. Jari-jemari sudah kugenggam. Kemas. Marah menguasai diriku. Terutama apabila kudengar ayat-ayat yang keluar dari mulut pak ngah. 

“Erin, jantan apa yang kamu pilih jadi kekasih kamu? Buta dah ke mata hati kamu sampai langsung tak nampak Azlan ni jenis lelaki yang macam mana?”

“Maaf, pak ngah. Orang pun tak sangka dia sanggup buat begini pada orang.” 

Suara Erin perlahan menyapa gegendang telingaku. Ah, kasihannya dia. Malang nasibnya diperlakukan begini. Hati kecilku merintih.

“Kalau sebab harta dia sanggup tinggalkan kamu, Erin, memang dia tu jahat. Manusia tak ada hati perut. Mujur Allah tunjukkan pada kamu sekarang. Kalau buatnya lepas kamu menikah baru kamu tahu sikap dia, menyesal tak sudah kamu nanti.” 

Alasan-alasan yang tidak logik berlegar-legar di dalam otakku. Alasan-alasan yang menunggu penampar hinggap ke muka. Sebab mak dia tak bagi konon? Sebab Erin bukan pilihan mak dia konon? Sebab suami-tak-jadi-Erin-itu takut tak dapat harta yang sudah maknya wasiatkan konon? Alasan-alasan apakah itu? 

Bercinta macam nak rak, tapi semua kehendak ibunya hanya diberitahu kepada kekasih hati pada hari pernikahan mereka? Lelaki jenis apakah itu yang sanggup menganiaya kekasih sendiri? Memberi malu dan mencalar maruah sehingga Erin tidak sanggup hendak angkat muka pun?

Grr... Kalaulah suami-tak-jadi-Erin-itu ada di hadapanku sekarang, memang aku...

Tak tahu bilakah masa aku tumbuk dinding konkrit anjung rumah Pak Wan. Memang aku tak sedar. Tiba-tiba sahaja kawan-kawan peluk aku dan halang pergerakan tanganku. Rupa-rupanya tanganku sudah berdarah malah kulit pada buku-buku jari sudah melelas. Mereka bawa aku masuk ke dalam rumah, ke dalam ruang tamu yang sudah penuh dengan sanak saudara Erin. 

“Amar, kamu buat apa tadi? Kenapa nak sakitkan tangan sendiri?” Suara Mak Non yang penuh kerisauan mengejutkan aku sehingga tak mampu hendak menjawab soalannya.

“Mana first aid kit? Cepat bersihkan darah pada tangan Amar ni,” arah Pak Wan. 

“Biar orang yang buat.”

Aku dongak pandang dia yang sudah terpacak di hadapanku. Mulalah dadaku berombak kencang. Meskipun kelihatan kusut-masai, dia masih lagi Erinku yang jelita. 

“Kenapa tumbuk dinding? Awak ingat awak kuat sangat ke?” Erin bertanya sambil menuang iodin ke atas kapas. Kapas itu kemudian ditekap ke atas lukaku. Pedih, tapi aku langsung tak terasa. Malah, aku mampu tersenyum mendengar soalannya. Ada hati nak marah aku konon.

“Dah suami-tak-jadi-awak-yang-pengecut-tu tak ada, saya tumbuklah dinding. Kalau dia ada, tentu dialah yang saya kerjakan,” balasku bersungguh hati. 

“Garang ya. Nampak lembik aje selama ni.” 

Aku terus mencari anak matanya. Dalam rasa hairan, kerana dia masih mampu bergurau. Dalam gamam, kerana dia masih mampu bersuara. Suaranya biasa-biasa saja, langsung tak ada tanda serak akibat banyak menangis. Kini, aku pula yang bimbang. Bimbang dia pengsan lagi apabila derita hati tak tertanggung nanti. 

“Are you okay?” tanyaku.

“Saya tak apa-apa dah.”

“Biar betul. Awak ingat saya percaya ke?”

“Kenapa tak percaya pula?” tanya Erin sambil mengerutkan dahinya. 

“Sebab, yang dah buat awak dan keluarga awak malu begini adalah lelaki yang sangat-sangat awak cintai. Takkan awak tak sedih? Tak menangis?” balasku. 

Erin angkat bahu. “Awak tak nampak ke saya menangis tadi?”

“Bila?”

“Lepas saya pengsan tadilah! Saya menangis sampai bengkak-bengkak mata. Cer tengok ni.” 

Aku memang sedang tengok dia. Pandanganku melatari wajahnya. Pandangan yang penuh keliru. Meskipun aku nampak apa yang dia cuba beritahu kepadaku, hatiku tetap tertanya-tanya. Mengapakah dia tidak nampak seperti kecewa? Mengapakah keadaannya terlalu tenang?

“Tapi, awak tentu kenal siapa saya, kan?”

Soalan yang memaksa aku merenunginya sekali lagi. Tanpa suara, aku berusaha memahami apa yang cuba dia sampaikan kepadaku.

“Amar, saya ni bukan perempuan yang suka menangis. Saya pun tak suka jadi perempuan yang lemah. Dan, saya tak akan jadi lemah hanya disebabkan Abang Lan tak datang hari ini. Bagi saya, kami tak ada jodoh. Full stop. Habis cerita.” 

Nafas penuh kelegaan, aku hela. Rasa syukur kupanjatkan kepada-Nya. Kebimbanganku beransur kurang. Kerana aku sudah mendapat kembali Erinku. Ya, inilah dia Erin. Gadisku. Yang sedari dahulu aku kagumi. Sikap tegasnya, sikap jujurnya. Kehampaan tidak pernah mematikan semangatnya. Kekecewaan tak pernah menyekat keinginan untuk meneruskan hidup. Dia cekal. Dia bersemangat. Dia sentiasa bangkit daripada kegagalannya. 

“Tapi...”

Satu perkataan itu sahaja sudah cukup untuk membuat aku berasa risau semula. 

“Apa yang awak nak cakap, Erin?” tanyaku lembut. Memerhati dia yang tekun mengemas dan membelek isi bekas first aid yang digunakannya tadi. 

Erin angkat muka. Dia merenung wajah aku tepat-tepat. Tak pernah pun selama aku kenal dia, dia buat begini. Perbuatan yang mengundang debar dalam dadaku lagi. Rasa sesak nafasku dek renungannya itu. 

“Amar...” 

Aku jongket kening. Hairan aku mendengar suara Erin beralun lembut. Lantas kutatap wajahnya. Lama kami berbalas renungan. Apakah yang Erin fikirkan? Dan kenapakah dia panggil aku dengan suara lembut macam tu?

“Amar...” Namaku dilaung sekali lagi.

Ibu mendekatiku. Mencuit pinggang meminta aku menyahut panggilan pengantin-tak-jadi itu. 

“Saya, Erin. Kenapa?” 

Sekali lagi Erin tatap wajahku. Dalam. Tajam. Namun, entah mengapa, aku melihat harapannya di sana, dalam renungan penuh sendu sepasang mata indah itu. 

Erin menarik nafas panjang. Dia kemudian memandang wajahku tepat-tepat. Sebentar kemudian keluar soalan yang aku tidak pernah sangka akan keluar dari bibir mungilnya.

“Amar, sudi tak awak ambil saya jadi isteri awak? Kita kahwin? Boleh?”

Terkejut aku mendengar soalan itu. Erin ajak aku kahwin? Betul ke tidak ni?

5 ulasan:

  1. Hah! Kahwin? Tentunya sudi, kan Amar... Hehehe...

    BalasPadam
  2. aaa.. x sbr nak bca.. dah order dgn FP.. my novel otw..

    BalasPadam
  3. aaa.. dah order.. my novel otw.. x sbr nak bca..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.