apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.3.14

SSR Bab 2


Bab 2



Aku tenggelam dalam lara. ~ Eryna

WALAUPUN hari ini hari nikah aku, aku tetap sibuk menolong apa yang patut. Buat itu, buat ini sehingga larut malam. Sejak kebelakangan ini, tidur tak pernah cukup. Malah, sejak semalam, sepicing pun aku tak dapat lena. Mana nak dengar leteran, mana nak dengar nasihat. Ditambah dengan kegelisahan yang tidak berpenghujung. 


Sungguh... Sungguh aku berharap agar masa cepat-cepat berlalu. Aku ingin tinggalkan tempat ini dan balik ke Kuala Lumpur. Aku ingin hidup berdua dengan dia, kekasih hati yang bakal bergelar suamiku tidak beberapa jam sahaja lagi. 

Ketika ini, aku berseorangan di ruang tamu. Mana entah perginya orang lain yang tadi penuh di sini. Tapi, tak kisahlah. Masing-masing pun sibuk, bukan? Tentu ada kerja yang sudah diagih-agih antara mereka. Maklumlah, mak dan abah masih hendak mengamalkan konsep tradisional. Masih mahu bergotong-royong sesama kawan-kawan mereka di seluruh taman perumahan ini. 

Memang pelik perangai orang tuaku. Kalau guna perkhidmatan wedding planner kan senang? Tak payah nak buat macam-macam sebab semua dia orang yang uruskan. Bukannya tak mampu pun. Tapi, itulah, saja hendak memenatkan diri masing-masing. 

Waktu aku sibuk hendak membetulkan langsir yang entah siapa jatuhkan lalu ditinggalkan di tengah-tengah ruang tamu, ada orang berdeham di belakangku. Suaranya menyapaku.

“Biar saya tolong sangkutkan. Awak tu pengantin. Kalau jatuh dan terseliuh kaki tu, tak bersanding pula nanti.”

Aku tengok dia atas bawah. Eee, sakit mata. Geli. Dah macam pekerja di kedai mamak rupa dia. Dengan seluar panjang yang dilipat naik sampai ke bawah lutut, dengan kain buruk tersangkut atas bahu, dengan songkok kat atas kepala. Macam manalah mak boleh terfikir nak jadikan dia calon menantu? Jadi calon suamiku?

Tapi, itulah mak. Lelaki nerd berkaca mata tebal inilah lelaki kebanggaannya. Lelaki yang langsung tidak memiliki ciri-ciri lelaki idamanku. Memanglah dia bekerjaya. Doktor tu. Tapi, hati aku ini tak boleh nak suka dia. Tak boleh.

“Cik pengantin, saya nak tolong awak ni. Yang awak diam tak cakap apa-apa tu apasal?” 

Doktor ni kan... Saja nak buat aku naik angin agaknya. Seronok kena marah dengan aku kut? 

“Awak buat apa kat sini? Orang lelaki dilarang masuk ke dalam rumah, tahu?” Nada suaraku beralun tinggi.

Doktor nerd itu ketawa. Macamlah aku baru lepas buat lawak dengan dia. 

“Saya nak ke dapur, bukan nak berdua-duaan dengan awak di sini. Tapi, bila dah tengok awak duk terkial-kial hendak sangkutkan langsir tu, takkanlah saya nak tengok saja. Dah. Bak sini langsir tu.” 

Aku hulurkan apa yang diminta. Dia pandang aku. Hesy, si nerd ni nak apa lagi?

“Tolong turun dari kerusi tu, boleh?”

Laju aku ikut cakap dia. 

“Tolong ke tepi sikit, boleh?” 

Aku ke tepi. 

“Saya bukan apa... tak elok awak berdiri rapat-rapat sangat dengan saya. Nanti kalau orang nampak...”

“Biarlah. Bukan saya peluk awak pun,” cantasku. 

Amar sengih. Suka sangat dia kalau berjaya buat aku naik angin. Dari dulu, dari zaman sekolah lagi, dia macam tu. Selalu saja nak buat aku marah.

“Saya tak kisah kalau awak nak peluk saya. Lagi suka adalah.” 

Aku ketap gigi. Rasa nak tukar jadi Hulk lepas tu nak angkat dia baling jauh-jauh hingga ke Jupiter. Baru padan muka dia. Dia ingat aku terhegeh-hegeh hendak berdiri dekat dengan dia? Teringin sangat nak peluk dia? Sorry ya. Kirim salam.

“Marahkan sayalah tu, kan? Saya kenal sangat dengan awak, Erin. Kalau awak marah, awak suka sangat gigit-gigit bibir awak tu. Tu yang buat saya...”

“Boleh tak kalau awak diam? Nak tolong, tolong aje. Jangan nak cakap merapu, okey.”

“Okey.” Amar tersenyum sinis kepadaku. Kemudian dia mula memasukkan rod aluminium melalui ring eyelet langsir yang jatuh tadi. Dah siap, dia terus meletakkan kembali rod aluminium itu ke tempatnya. Dengan ketinggiannya, mudah sahaja dia melakukan itu.

“Dah siap,” ujarnya. 

Aku jongket bahu. Tiba-tiba dia berdiri, menghadapkan wajahnya ke wajahku. Perbuatan yang menyebabkan hatiku tiba-tiba jadi berdebar. Selalunya, kalau itu aku rasakan bererti doktor kerek itu sedang menilik muka aku. Seperti yang selalu dilakukannya waktu dulu-dulu. Waktu zaman persekolahan kami berdua. Ah, tak mahulah kenang.

“Tunggu apa lagi ni? Kata tadi nak ke dapur. Ni, yang duk tilik muka anak jiran sebelah rumah, apa ke halnya?” marahku. Namun sebenarnya, lebih kepada hendak menutup rasa gugup. 

“Tiliklah sementara boleh. Kejap lagi dah jadi hak orang, tak dapatlah nak tenung begini lagi,” balas Amar. 

Aik, kenapa suaranya bagaikan berjauh hati saja? Aku mendongak. Pandangan mata kami berlaga sebelum Amar melarikan pandangannya. 

“Saya tahu awak kecewa, tapi ramai lagi gadis lain di luar sana, Amar.” Rasa kasihan yang hadir secara tiba-tiba menyebabkan aku memujuknya. Tapi, Amar? Amar langsung tidak menyahut. Sebaliknya, dia berpaling untuk meninggalkan aku. Kata-kataku tadi terbiar sepi. 

“Terima kasih,” ucapku agak kuat. 

“Tak apa. Bukan besar mana pun pertolongan tu tadi,” katanya tanpa menoleh kepadaku lagi. 

Aku lepaskan keluhan. Mataku masih lagi memerhati dirinya. Dia yang kukenali sekian lama, sejak umur kami lapan tahun lagi. Sejak keluarganya berpindah ke mari dan membeli rumah sebelah dan kami menjadi jiran. 

Dia, lelaki pelik. Dari dulu perangainya tidak mudah kutelah. Yang aku tahu, dia sentiasa ada untuk membantu apabila aku ditimpa masalah, tapi lepas itu dia hilang. Kadang-kadang, aku nak ucap terima kasih pun tak sempat. 

Aku tengokkan saja dia mengatur langkah menuju ke dapur. Dari dulu, rumahku ini sudah seperti rumahnya sendiri. Mak sudah lama menganggap Amar seperti anak lelakinya. Agaknya, dia nak jumpa maklah tu. Mungkin dia hendak memujuk sebab mak memang mogok dengan aku. Mak mogok suara. Mogok segala-gala. 

Hmm, aku nak menghendap mereka. Nak dengar kata-kata memujuknya. Nak dengar sama ada dia akan kutuk aku ataupun tidak. Kalau dia sama naik dengan mak, mengutuk dan mengata aku, aku tak akan teragak-agak untuk membalas. Tahulah bagaimana aku nak sakitkan hati dia nanti. 

Terhendap-hendap aku melangkah, mengikut arah yang diambil oleh Amar tadi. Aku berdiri di sebalik pintu dapur. Aku agak, dari situ aku akan dapat mendengar perbualan mereka. Kini, aku lihat Amar menarik kerusi di hadapan mak. Dia duduk di situ. Lama, dia hanya memandang mak yang asyik menangis. Waktu itulah aku dengar mak bersuara.

“Mak Non sedih, Amar. Sedih sangat.”

Amar tarik nafas panjang sebelum menyahut. “Saya tahu, Mak Non.”

Mak pandang muka lelaki muda itu. 

“Kenapalah anak Mak Non yang seorang ni langsung tak nak dengar nasihat? Kenapa dia tak nak pilih kamu? Kenapa mesti lelaki lain yang jadi menantu Mak Non? Kenapa bukan kamu?” 

Mata aku buntang. Hati aku terasa dicucuk-cucuk dengan garpu. Sakit sungguh rasanya apabila mak aku sendiri enggan mengiktiraf lelaki pilihanku. Masih juga berharap agar lelaki yang sudah berkali-kali kena reject dengan aku ini menjadi menantu dia. 

“Mak Non, tak baik cakap macam tu. Hari ini hari bahagia Erin. Kalau Erin nampak Mak Non menangis macam ni, dia mesti sedih.” 

Hmm, sejuk rasa hatiku mendengar kata-kata memujuk lelaki itu. 

“Dari dulu, kamu hanya fikirkan Erin aje.”

Erk? Aku tak faham. 

Amar pula dah tergelak kecil. “Mana ada? Mak Non nilah...” 

“Ya. Jangan nak elak. Dulu, kamu yang selalu susah hati kalau dia sedih. Kamu risau kalau dia merajuk. Kamu yang gelisah bila dia menangis,” kata mak.

Amar geleng. “Itu kisah lama, Mak Non,” sahutnya. 

“Kamu memang. Kalau Erin menangis, kamu paksa Mak Non pujuk dia, kan? Tapi, sekarang, bila Mak Non yang menangis, kenapa kamu tak suruh Erin pujuk Mak Non?”

Betulkah apa yang aku dengar? Amar sedih bila aku sedih? Amar gelisah bila aku menangis? Tapi, kenapa? 

“Kenapa Mak Non menangis ni? Erin nak kahwin, tapi mak Erin menangis. Patut ke?” 

Soalan Amar buat aku tersentak. Berani dia sindir mak macam tu?

“Kenapa Erin tak pernah nampak kebaikan yang kamu buat, Amar?”

Lain yang Amar tanya, lain yang mak buat. Bukan saja dia tak jawab soalan penting itu, malah mak tanya soalan yang entah apa-apa kepada Amar pula. Tak faham betul aku dengan perangai mak. Kebaikan? Kebaikan apa yang Amar buat untuk aku? Rasa hendak sahaja aku terjah masuk. Biar jadi penyibuk daripada mendengar cakap mak yang tak habis-habis memuji doktor itu. Macam istimewa sangat! Macam bagus sangat! Eee, sakit hati betullah.

“Dahlah tu, Mak Non. Jom kita ke depan. Ibu cakap, Mak Non belum makan apa-apa pun lagi. Jom.”

“Mak Non tak ada selera.”

“Makan dengan saya pun Mak Non tak nak? Sampai hati.”

Aduhai. Mamat ni memanglah. Pandai betul dia pujuk mak. Aku tengok, mak sudah pun tersenyum.

“Mak Non tahu kamu sayangkan Mak Non. Tapi, Mak Non juga tahu yang kamu akan pergi jauh bila Erin dah kahwin nanti. Itu yang Mak Non tak sanggup, Amar.”

“Saya nak ke mana, Mak Non? Rumah saya kat sebelah tu aje,” nafi Amar.

“Memanglah. Tapi, nanti entah-entah kamu dah jarang balik ke mari...”

Amar segera mencelah, “Taklah. Saya kena jenguk ibu dengan ayah. Saya ni kan satu-satunya anak ibu?”

“Memanglah! Cuma Mak Non dapat rasa yang kamu tak akan masuk ke dalam rumah Mak Non ni lagi.”

Amar tergelak halus. “Mak Non ni kan... banyak fikir sangatlah.”

Mak mengeluh. Keluhannya buat aku rasa bersalah sangat. Tapi, ini soal masa depanku. Kenapa mak asyik mengungkit keenggananku? Kepada si nerd tu pula? 

“Redalah dengan kehendak Allah, Mak Non. Terimalah pilihan hati Erin. Jangan seksa perasaan Mak Non macam ni lagi. Sedih saya tengok, tahu tak?”

“Tapi, Amar...”

“Janganlah mogok. Buat apa nak bersembunyi kat dalam sini?”

“Mak Non sakit hati, Amar.”

Aku tengok air muka Amar dah berubah. Dia marah ke?

“Sakit hati? Kenapa?” 

“Patutnya, tak payah buat kenduri ni. Biar Erin tu nikah koboi aje.”

Aku tekup mulut tatkala ayat itu aku dengari. Rasa kecil hati sangat dengan mak. Sampai hati dia cakap macam itu.

“Sanggup ke, Mak Non? Erin tu anak sulung Mak Non, tahu?”

Diam. Mak hilang kata agaknya apabila mendengar suara Amar yang dah naik oktaf. Pandai marah juga si nerd tu. 

“Saya nak Erin bahagia, Mak Non. Dengan Azlan, sebab Erin sayang sangat pada budak tu. Patutnya, sebagai mak Erin, Mak Non pun doakan dia orang bahagia. Tak gitu?” 

Amar berjeda seketika. Mak pula kulihat sedang menyeka air matanya. Semakin hatiku berasa bersalah. Apakah aku terlalu kejam terhadap mak? Keras hati sangatkah aku ini? 

“Tentu bakal menantu Mak Non tu lelaki terbaik untuk Erin. Restui mereka, Mak Non. Tu aje yang saya minta.”

“Kalau Mak Non merestui mereka, macam mana dengan kamu?” 

Sesak nafasku mendengar soalan itu. Begitu pentingnya Amar bagi mak. Memang Amar yang disayanginya, bukan aku. Sedihnya.

“Saya lelaki. Saya kuat dan saya percaya yang Allah akan berikan jodoh yang terbaik untuk saya nanti.”

Aku tak mahu lagi berada di situ. Gundah rasa hati ini melihat adegan pujuk-memujuk itu. Sayu dan pilu sangat. Rupa-rupanya mak masih enggan menerima pilihan hatiku. Aku menyangka mak sudah mengalah, tapi aku silap. Sampai sekarang, hanya sejam sebelum aku nak menikah pun, mak tetap tak suka. Tetap tak boleh terima Abang Lan jadi menantu dia. Sampai hati mak.

Aku tinggalkan mereka di situ. Melangkah lemah menaiki anak tangga menuju ke bilikku. 



AKU tutup pintu bilikku rapat. Kusandarkan tubuhku pada daun pintu itu. Mata sengaja aku pejamkan. Ingatanku masih lagi kepada dua insan yang agaknya masih berada di ruang dapur sana. 

Kenapa mak begitu sayangkan Amar? Sejak Amar dan keluarganya berpindah ke rumah sebelah, dia menjadi insan kesayangan mak. Mak tak pernah berhenti memuji Amar. Bagi mak, Amarlah yang terbaik dalam serba-serbi. Sejak dia hadir dalam hidup kami, fokus mak hanya kepada Amar sehingga aku berasa kerdil. Sehingga aku berasa yang diriku ini telah dianaktirikan oleh mak aku sendiri.

Sebab itu aku benci dia. Ya, aku benci Amar. Benci sangat. Bagiku, Amar ialah perampas. Dia merampas kasih sayang dan perhatian mak terhadapku. 

Ketukan yang bertalu-talu mengejutkan aku. Segera pintu kubuka. Wajah Kak Lin, kakak sepupu merangkap mak andamku, dalam pandangan. Dia sedang merenungku tajam. 

“Kenapa duduk seorang diri di dalam bilik ni? Kenapa tak turun ke bawah, makan sekali dengan akak tadi?” tanya dia.

“Ada ke Kak Lin ajak orang?” balasku sinis. 

Kak Lin tersengih. “Kamu tak ada di sini tadi waktu dia orang panggil makan. Jadi, akak ingat kamu dah turunlah. Ni, dah makan ke belum?” 

Aku geleng. Sesungguhnya seleraku sudah mati. Tak lalu nak makan, terutama apabila aku teringat akan drama lakonan mak dengan Amar tadi. 

“Karang kalau lapar, macam mana?” tanya Kak Lin. 

Aku jongket bahu. Malas hendak bersuara. 

“Dah dekat pukul 11.30. Sejam lagi pengantin lelaki dah nak sampai, kan?”

“Hmm.”

“Dah, pergi mandi. Sambil kamu mandi, boleh Kak Lin suruh dia orang hantar satu hidangan ke bilik ini. Lepas mandi boleh makan. Lepas tu gosok gigi. Dah selesai, bolehlah mula bersiap.” 

Aku akur. Laju kaki aku melangkah ke arah bilik air. Walaupun pagi tadi aku sudah pun mandi, kena juga mandi sekali lagi. Nak jadi pengantin kenalah wangi-wangi, kan? 

Sepuluh minit kemudian aku keluar. Hmm, aroma lauk-pauk dan nasi kenduri semerbak, membuka seleraku yang hilang sebelumnya. Tanpa disuruh-suruh, aku terus duduk menghadap hidangan. Sedapnya. Ada nasi minyak, ayam masak merah, daging yang dimasak rendang tok, acar rampai dan dalca. Memang lauk kesukaanku. 

“Makan perlahan-lahan, takut tercekik pula nanti.” 

Aku juihkan bibir. Buat tak tahu pada sindiran Kak Lin. Usai makan, aku ke bilik air untuk memberus gigiku. Apabila aku masuk semula ke dalam bilik, baju kurung moden yang berwarna putih gading sudah terdampar di atas katil. 

“Nak pakai sekarang ke?” Aku bertanya kepada Kak Lin.

“Pakailah.”

Laju aku sarungkan pakaian pengantinku ke tubuh. Kak Lin datang untuk zipkan di bahagian belakang. Kemudian dia suruh aku duduk. 

Ketika mukaku sedang dirias, telefonku berbunyi menandakan satu pesanan ringkas masuk. Aku senyum kerana aku tahu bahawa SMS itu daripada si dia. Lelaki kesayanganku. Aku tinggalkan Kak Lin lalu duduk di birai katil. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi ingin membaca apa yang dititipkan oleh bakal suamiku. Wajah-wajah di sekelilingku, adik-adik dan sepupu yang baru masuk, tidak kupeduli. 

Namun, madah-madah cinta yang kuharapkan tidak terlakar pada skrin telefonku itu. Sebaliknya, yang tertulis di situ menyebabkan hati yang sedang berbunga ini tiba-tiba terasa bagaikan ditusuk sembilu. Dadaku berombak kencang. Mataku berpinar. Aku rasakan tubuhku longlai saat ini. Juga, aku sudah tidak berdaya lagi menahan air mata daripada mengalir membasahi pipi. 

Kenapa sampai hati Abang Lan buat aku begini?

Tubuhku yang lembik terasa melurut jatuh dari katil. Kelibat manusia di sekelilingku tadi kini menjadi bebayang hitam yang bergerak mendekatiku. Jeritan suara entah siapa tidak langsung kufahaminya. 

Aku hanyut dalam duka. Aku tenggelam dalam lara. Aku hilang... Hilang dalam kekecewaan yang tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.