Follow Us @soratemplates

24.2.14

Masihkah cinta? 24

Februari 24, 2014 9 Comments
Suasana di sekeliling mereka tiba-tiba sahaja menjadi sepi dan beku. Diam tanpa ada suara yang kedengaran. Antara mereka juga kaku kerana masing-masing sudah kehilangan rasa. Keindahan yang dulu ada di antara mereka, entah ke mana hilangnya.

Qistina menyisip air perahan oren kegemarannya perlahan. Kalau boleh, dia tidak mahu memulakan bicara. Biar saja Safiy yang dulu meluahkan, kerana kehadirannya di sini adalah atas permintaan Safiy sendiri. Cuma, nekadnya, kalau Safiy membuka kisah lama, dia akan pergi dari situ secepat kilat. Dia sudah tidak mahu mengingati semuanya. 

"Abang nak ucap tahniah," ujar Safiy perlahan. 

"Untuk?"

"Untuk kebahagiaan Tina dengan Luqman yang bakal tiba."

Qistina macam tak percaya mendengar ucapan tahniah itu. Kerana itulah wajah Safiy ditatap tajam. Cuba mencari keikhlasan. Cuba memahami perasaan lelaki itu yang sebenar.

"Bukan mudah melepaskan Tina kepada Luqman. Bukan mudah, Tina, tapi abang mengaku kalah. Abang dah faham maksud sebuah kesilapan. Sekali kita lakukannya, penyesalan menjadi teman seumur hidup kita. Abang sedang merasainya," bisik Safiy penuh sendu.

Sebaknya rasa dalam jiwa. Menghadapi Safiy yang jauh berbeza daripada Safiy yang dulu. Sikap angkuh entah ke mana hilangnya dah. 

"Hari ini, abang nak minta ampun pada Tina. Banyak sangat dosa yang dah abang buat. Abang,"

Qistina gelengkan kepala. "Sudah-sudahlah tu. Jangan sedih sangat. Tina dah okey, kan? Peristiwa lepas tu semua jadi pengalaman berharga untuk kita. Lagipun, ujian Tuhan untuk kita, Tuhan beri yang termampu kita pikul.  Allah tak pernah membebankan hambaNya. Kalau kita rasa ujian itu satu yang amat berat, itu kerana kita belum mengenali Allah sepenuhnya. Tina tak mahu pandang ke belakang dah. Jadi, abang pun buatlah yang sama. Dunia tak kiamat kalau Tina tak di sisi abang. Betul tak?"

Safiy mengukir senyum. Buat pertama kali setelah sekian lama. "Tina jauh lebih matang sekarang," pujinya. 


"Biasalah! Kita kan makin tua?" 


"Luqman bertuah dapat Tina. Uwaisy bertuah dapat emak dan ayah yang benar-benar sayangkan dia,"


Wajah Qistina berubah bila mendengar nama Uwaisy meniti bibir Safiy. "Abang tahu tentang Uwaisy?" tanya dia.


"Luqman dah ceritakan semuanya termasuk tentang Uwaisy." Wajah luka jelas terlakar. Sepasang mata kelihatan ditakungi air jernih. 


"Abang, Tina.."


"Jangan minta maaf! Tina berhak lakukannya! Tina berhak menyembunyikan kehadiran Uwaisy sebab memang itu sumpah Tina yang abang tak pernah lupa. Abang tak marah pada Tina. Kalau abang di tempat Tina pun, abang akan buat yang sama. Mana mungkin menyatakan kebenaran bila waktu malam yang indah berakhir dengan perceraian yang tidak diketahui alasan dan sebab. Jangan sedih, Tina. Abang tidak sekali-kali akan dekati Uwaisy. Abang tahu, abang bukan suami yang baik dulu. Abang tak berhak jadi ayah dia."


Safiy bangun. Saat untuk dia pergi sudah tiba. Dia mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya. Kotak itu diberikan kepada Qistina. 


"Jam ni, Tina berikan pada abang masa first anniversary kita dulu. Abang sayang sangat dan kata orang, jika kita nak hadiahkan sesuatu kepada seseorang, kita berikan apa yang kita sayang. Kan?"


Qistina mengangguk. 


"Jadi, Tina berikannya kepada Uwaisy. Tanda sayang abang pada dia. Satu hari bila dia dewasa nanti, kalau kami terserempak, mungkin abang boleh cam anak abang tu.... Abang nak pergi dah. Selamat pengantin baru... Tina! Semoga berbahagia. Jaga diri baik-baik!"


Qistina terpaksa berpusing untuk melihat susuk tubuh Safiy yang semakin jauh darinya. Dia perhatikan lelaki itu yang berhenti dan berpelukan dengan Luqman. Lama dan akrab kelihatan kedua-duanya. Luqman yang seakan-akan menyedari Qistina sedang memerhati memandang tepat ke arahnya. Ulas bibir mengukir senyum. Puas mungkin setelah segala kekeruhan menjadi jernih. 


.................


"Sedih?"


Soalan yang membuat Qistina tersenyum. Macam ada bunyi cemburu dikesani. Hmm, tahu cemburu juga mamat ni! fikirnya.


"Saya cemburu."


Hmm, kan dah cakap?


"Pada Safiy? Kenapa?" Sengaja ingin mengetahui apa yang ada di lubuk hati paling dalam milik lelaki yang berpakaian santai di sebelahnya ini. 


"Sebab dia cinta pertama seorang Noor Qistina. Sebab dia pernah memiliki hati, jiwa dan raga awak. Sebab dia pernah menyebabkan awak hidup tak keruan satu masa dulu dan sebab dia ayah Uwaisy." Luqman mengaku tanpa selindung. 


Lama Qistina menatap wajah lembut di sisi. Baru menyedari betapa kacak lelaki ini. Dahi yang luas tanda banyak berfikir serta pandai, hidung yang mancung, mata yang lembut bila merenungi dirinya, bibir nipis yang kelihatan seksi...

Ouch!  Ke situ pula fikirannya melalut. Haisy!


"Awak pun tentu ada cinta pertama, kan?" Cepat-cepat dia bertanya, mengalihkan perhatian dari memikirkan tentang Luqman.


Luqman tatap wajah Qistina lama. 


"Kenapa tengok saya macam tu?" 


Senyuman tersungging di bibir lelaki itu. "Awaklah cinta pertama saya! Tengok awak... dan semua usaha untuk memiliki awak itu adalah anugerah cinta paling hebat dariNya. Saya bersyukur sangat! Kerana... awak satu anugerah untuk dihargai, dilindungi, dikasihi sepenuh hati... hingga akhir nanti. Saya cintakan awak, Noor Qistina Qayyum. Semoga cinta saya cukup untuk membahagiakan hidup kita sekeluarga nanti."


Ungkapan penuh ketegasan menusuk jauh ke dasar hati. Betapa bersyukur dirinya memiliki cinta lelaki ini. Lupakan kisah lama dulu! Manusia... tidak ada yang sempurna. Jika dirinya sebegini disayangi, selayaknyalah, Luqman menerima cintanya juga.


"Saya juga menyayangi awak, Luqman. Mencintai awak. Lupakan siapa yang pernah hadir di antara kita dulu. Yang penting, awak ada saya sekarang dan saya ada awak. Semoga Allah bersama kita. Meredai kita. Menyayangi kita."


Luqman rasa tenang kini. "Tak lama lagi, kan? Awak jadi hak milik kekal saya?"


Senyum...


"Hmm, senyum....membahagiakan! Dengan senyuman, terjalinlah... ikatan!" 

Masihkah Cinta 25

Februari 24, 2014 7 Comments
Zara memandang ke arah rumah baru Luqman. Hmm, dari luar pun keadaannya amat mendamaikan jiwa dan memberi ketenangan. Rasa bahagia menyelinap masuk ke dalam sanubari. 

"Tak lama lagi aku akan menjadi penghuni rumah ni. Hmm..." katanya kepada diri sendiri sambil tersenyum kecil. Kemudian senyuman itu menjadi tawa yang menggila. Seronok benar kelihatannya. 

21.2.14

Masihkah Cinta 23

Februari 21, 2014 10 Comments


Safiy sudah dapat melihat kelibat lelaki itu. Sudah lama dia menunggu! Gembira betul dia bila nampak lelaki itu kini yang hanya berseorangan. Hmm... inilah masanya! 

Tidak menunggu lama, langkah tegap diatur mendekati Luqman. Sebaik dalam jarak yang sesuai, bahu Luqman ditepuk. Bila Luqman berpaling, terus muka lelaki itu ditumbuk oleh Safiy. Satu tumbukan padu yang tidak mampu Luqman elak dalam keadaan diri yang tidak bersedia. 

"Itu, sebab kau nak rampas apa yang patut jadi milik aku!" jerit Safiy dalam keadaan marah yang meluap-luap. 

Luqman mengelap hujung bibir yang berdarah. Sepasang mata kini bagai helang, cuba mengawasi tingkah Safiy di hadapannya. Dia belum mahu bersuara. Belum masanya lagi!

"Bukan main kau nasihatkan aku supaya cuba rebut hati Qistina balik. Kenapa kau suruh aku berlembutlah, tacklelah, pada hal kau sendiri tak mahu tinggalkan dia? Kau sendiri nak rampas dia dari aku! Pandai kau bermuka-muka, ya?" 

Kali ini, ketika Safiy cuba menghayun satu lagi penumbuk ke muka Luqman, Luqman sudah bersedia menghadapinya. Sepantas kilat tangan Safiy digenggam, kemudian dikilas ke belakang. Kini, dia pula menguasai permainan ciptaan Safiy. 

"Aku rasa macam nak bunuh kau!" jerit Safiy kuat. Geram dan sakit hati kerana Luqman berjaya mengelak tumbukan dan tendangan yang cuba diasak ke tubuh itu.

Luqman tersenyum. "Hanya kerana seorang perempuan? Kau nak bunuh aku kerana Qistina dah tak mahu pada kau lagi?" tanya dia. 

"Kau, kau yang menyebabkan Tina berubah. Kalau kau tak ada pasti dia mahu balik pada aku!" 

"Safiy! Safiy! Di mana kau letak iman dan kepercayaan? Dah lupa pada takdir? Sampai bila kau nak menyusahkan diri begini? Sampai bila nak merintih pada kesilapan yang kau buat dulu?" 

"Kau jangan nak tunjuk baiklah, Luqman! Zara dah ceritakan semua pada aku. Dia cakap anak dia tu, anak yang menyebabkan aku kahwin dengan dia tu, anak kau! Kau ingat aku tak tahu ke?" 

Luqman melepaskan genggamannya, membiarkan Safiy buat seketika. Tubuh disandarkan ke kereta. Kepala mendongak ke langit yang sudah gelap, tanda bila-bila masa hujan akan turun membasahi bumi. 

"Aku mengaku, dulu, aku bukan lelaki yang baik, Safiy. Aku pernah buat semua benda jahat tu. Mabuk, berzina... Semoga Allah ampunkan dosa-dosa aku!" Sebak suara Luqman bila mengenangi kisah silam yang penuh kejahilan. Kisah silam yang hitam! 

"Eleh!" 

"Tapi, kau pun tahu yang itu bukan anak aku. Itu anak kau dengan dia. Kau yang dah duakan Tina. Kau curang! Ujian DNA dah buktikan itu anak kau dengan Zara, kan? Kenapa kau serang aku pula?" 
Safiy tergamam. Wajah Luqman ditatap tajam. "Macam mana kau tahu?"

"Kau kata kau sayang Tina tapi kau khianati cinta dia. Kenapa?" tanya Luqman pula.

"Rahsia tu tak akan bocor kalau mak bapak Zara tak ugut emak bapak aku pasal kau! Kau anak luar nikah dia orang!" Safiy bertempik. meluahkan rasa sakit hatinya.   

Safiy mendengus lagi. Nafasnya ketat menahan marah. 

Wajah Safiy ditenung lama. "Aku bukan anak dia orang, Safiy! Emak dengan ayah kau tak perlu tunduk pada ugutan bapak Zara tu!" Luqman memberitahu.

"Bukan?" Safiy keliru. 

Luqman geleng. "Aku dah tanya mereka berdua. Aku inginkan kepastian. Mak ayah kau menafikannya. Dia orang cakap, aku anak orang gaji mereka. Seorang perempuan yang bernama Aini binti Ali. Dia mati waktu melahirkan aku."

Safiy dah melopong. "Ayah kau?" tanya dia. 

Luqman angkat bahu tanda tak tahu. 

"Tuhan.... kenapa emak dengan ayah aku tu? Kalau kau bukan anak mereka, kenapa takut sangat dengan bapak Zara sampai sanggup pisahkan aku dengan Qistina? Kenapa?" Safiy longlai dalam mencari sebuah jawapan. Tidak memahami mengapa ibu dan ayahnya sanggup merayu, memohon agar dia tinggalkan Qistina dan berkahwin dengan Zara. Mereka terlalu memaksa sehingga dia tidak punya pilihan. 

"Kau harus bertanggungjawab dengan perbuatan kau pada Zara!" 

"Arghh, betina tu? Dia sengaja perangkap aku!" 

"Kau yang perangkap diri kau sendiri. Kau dah ada bini, yang kau main kayu tiga tu, kenapa?" bentak Luqman penuh geram. Kalau ikutkan hati yang marah, mungkin Safiy sudah menjadi mangsa tangannya yang gatal hendak menampar ini! 

"Waktu kau suruh aku rebut balik hati Qistina tu, kau masih tak tahu perkara sebenar? Kau percaya yang kau anak..." tanya Safiy perlahan. 

"Ya. Tapi sekarang tidak lagi! Aku cintakan Qistina dan aku tahu Qistina juga cintakan aku. Aku tak akan lepaskan dia."

"Nekadnya kau nak rebut Qistina dari aku!" sinis Safiy.

Luqman melepaskan keluhan. "Kau dah lama lepaskan dia, Safiy. Aku tak pernah rebut dia dari kau, kau pun tahu itu."

Sebak rasa dada mengakui kebenaran kata-kata Luqman. Ya, memang benar. Dia yang salah. Dia yang melepaskan Qistina. Caranya yang kasar dan meninggalkan bekas kudis yang mencengkam dalam hati wanita itu, tidak siapa dapat menafikan betapa kejam perbuatan dan sikapnya dulu. 

"Aku bukan saja menceraikan dia. Aku fitnah dia. Aku berikan maklumat palsu di pejabat kadi. Qistina cukup terluka dengan aku. Dengan perbuatan aku. Sampai dia separuh gila..." tangis Safiy dalam sesal yang tidak berpenghujung. 

Luqman hanya mampu melepaskan keluhan. Rasa kasihannya memang banyak kepada lelaki yang sedikit muda daripada dirinya ini namun dia tidak akan melepaskan permata hatinya hanya kerana rasa itu. 

"Safiy, bukan mudah untuk Qistina terima aku dalam hidup dia. Bila sekarang dia berikan aku kepercayaan sepenuh-penuhnya, aku tak sanggup nak khianati dia walaupun untuk membahagiakan kau. Maafkan aku! Aku..."

Safiy tahu yang dia sudahpun tewas. Dia tak akan pernah mampu memiliki hati Qistina semula. Segalanya di antara mereka sudahpun berakhir. Dia yang menamatkan kisah cinta itu setelah dia terpedaya dengan gaya manja Zara. Dia yang lupa pada cintanya untuk sedetik namun perbuatannya itu menghancurkan masa depannya dengan Qistina, isterinya yang setia. Sungguh, dialah yang bersalah!

Luqman genggam tangan lelaki muda di sebelahnya. Kemas. 

"Yakinlah, kebahagiaan kau ada kat depan. Kau hanya perlu meneruskan langkah kaki tanpa berpaling ke belakang lagi. Maafkan aku sebab mengambil kebahagiaan kau tapi aku tak mampu menolak bila Qistina dah balas cinta aku pada dia. Tolong doakan kami, Safiy. Dan, tolong maafkan aku!" 

Safiy memeluk Luqman kejap dan erat. Hari ini, dia menemui sebuah ketenangan. Hari ini, api kemarahannya telah dipadamkan Luqman. Ya, dia telah kehilangan Qistina namun seperti kata Luqman tadi, dia tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Masa hadapannya terbentang luas. Kesilapan yang sudah dibuat, harus jadi peringatan untuknya. Agar tidak diulangi! Agar tidak dilupakan! Menjadi benteng dan batas sempadan antara tindakan dan ego, pada hari-hari mendatang. 

"Man, aku ada dua permintaan."

Luqman angguk.

"Hati-hati dengan Zara dan..."
.......

Qistina memandang wajah Luqman yang tenang di sebelah. Langkah diatur lembut, seiring dengan langkah tegap Luqman yang sengaja diperlahankan agar mereka dapat bergerak seiring, seia, sekata. 

"Man..."

"Hai, bakal isteriku! Bila nak panggil... abang?" Luqman mengusik, menjeling sekilas wajah si dia yang kini sedang merona kemerahan. 

"Tak naklah usik-usik macam ni. Malu tau!" balas Qistina lembut. Mengundang senyum Luqman. "Kita buat apa di sini?" 

"Buat apa di VS? Makan stiklah, kan?" Luqman berpura-pura tidak faham soalan yang diajukan. 

"Awak tak pernah ajak saya keluar berdua-duaan kalau hanya untuk makan, Man!" balas Qistina. 

"Memang kita tak berdua. Tengok kat sana tu..."

Qistina berhenti melangkah. Lemah sendinya memandang sosok lelaki yang seorang itu. Sangkanya mereka tak akan jumpa lagi tapi nampaknya, pertemuan ini sudah diatur oleh bakal suaminya sendiri. Hendak marahkan Luqman? Tak akan mampu dilakukannya kerana Qistina amat pasti bahawa Luqman punya alasannya yang tersendiri. 

"Jangan buat muka macam tu."

"Muka macam mana?"

Luqman ketawa. "Macam nak marahkan saya tapi tak sanggup. Macam nak balik dah, tapi tak sanggup jugak." 

Qistina senyum. "Awak ni, kan... Tak cemburu tengok saya dengan dia? Kami pernah berkongsi segalanya, Man. Takkan hati awak tu sikitpun tak terdetik perasaan tu apabila tengok kami berdua?" ujarnya, sengaja ingin membakar perasaan Luqman. 

Lelaki itu hanya tersengih. "ALLAH maha mengetahui perasaan saya, Tina. Tapi, saya tawakkal. Berharap dalam hati dan berdoa semoga hati awak tetap milik saya. Semoga apa juga yang Safiy nak cakap nanti, tidak mengubah perancangan kita. Tapi, kalau takdirnya, perasaan awak berbolak balik selepas ni, saya reda. Demi kebahagiaan Qistina saya, saya rela mele..."

"Jangan sebut lagi! Bimbang ia jadi doa dan dimakbulkan saat ini. Saya dah pilih awak, Man. Insya-ALLAH, mohonlah hubungan kita tak ada yang menghalang lagi, termasuk dia." 

Luqman angguk. "Tina..."

Qistina mendongak. 

"Be fair dengan Safiy, ya. Dengar apa dia nak cakap. Jangan marah-marah. Saya ada di sini, menanti awak."

Qistina senyum. Anggukannya memberikan kelegaan pada Luqman. Mengerling dengan ekor mata pada Safiy yang tenang merenung mereka. 

"Pergilah. Safiy dah lama tunggu tu!" 

Masihkah Cinta? 22

Februari 21, 2014 8 Comments
"Awak sayang saya?” tanya Luqman polos. 

Qistina ketawa. “Soalan yang lucu,” balasnya. 

Luqman mengangkat kening, ingin tahu apa maksud yang tersembunyi. 

"Kenapa lucu? Saya tak buat lawak tau, Tina!" bisik Luqman.

“Awak tahu tak yang sepanjang kita kenal, awak tak pernah pandang muka saya tepat-tepat?" 

Luqman senyum dan mengangguk.

"Hobi awak... awak suka tengok saya tapi sekejap aje. Bila saya tengok awak balik, cepat-cepat awak toleh. Kenapa?" 

"Ingat awak tak perasan," kata Luqman pula.

"Mahunya tidak! Tapi, yang lucunya, masa awak tengok ke lain tu, barulah nak cakap yang awak rindulah, sayanglah, kasihlah..."

Segera Luqman pintas. "Itulah kenyataannya!"

"Ya ke? Tapi, kenapa tak berani tengok muka saya, pandang anak mata saya ni dan ucapkan dengan tulus, Man?” 

Luqman ketawa besar mendengar luahan hati Qistina itu. Dia bahagia mendengar suara Qistina yang teruja. Kemarahan yang seperti sengaja dibuat-buat, tidak langsung berjaya membuat dia berkecil hati. Semakin bersemarak rasa ingin memiliki di dalam hatinya. Rasa yang hanya Qistina mampu melakukan! 

“Dulu, ada orang tu sombong dengan saya, tau! Jenuh nak mengurat dia ni! Ingatkan dah gagal merebut hatinya rupa-rupanya dia sekadar menguji. Sekarang, saya dah tahu bahawa hatinya milik saya saja."

"Mudah ya meneka isi hati saya?" tanya Qistina.

Luqman angguk. 

"Awak tak jawab lagi soalan saya, Man!"

"Belum masanya untuk saya pandang awak tepat-tepat, Tina."

"Sebab?"

"Takut tergoda!"

"Jawapan apa macam tu?" 

"Awak tak tahu betapa cantik sepasang mata awak tu, Tina. Renungannya dah tikam jantung saya ni. Jadi, tak naklah terus terusan kena tikam sebelum kahwin ni. Tak tahan! Sakit!"

"Sakit?" Qistina dah keliru. 

"Sakit menanggung rindu!" 

Qistina gelak sakan mendengar luahan hati Luqman. Tak sangka yang lelaki maco ini juga jiwang orangnya.

"KAYA lelaki kerana AKHLAK mahmudah, Tina. Saya nak jadi lelaki kaya itu selepas kita kahwin. Nak awak tahu yang saya memiliki banyak sifat baik yang masih tersembunyi."

Wah... hati Qistina dah berbunga-bunga. Memandang Luqman dengan penuh rasa cinta. "You are one handsome man, Man!" bisiknya.

Luqman senyum. "Thank you. Cuma saya harap sangat awak terpesona dek kerana kejernihan wajah saya. Bagi saya, jernih wajah yang sering dibasahi wuduk itulah yang saya harap awak tatap dengan penuh kasih sayang. Yang menyebabkan awak kata saya tampan." 

Qistina tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. "Mungkin betul kut! Saya nampak dan sedar awak ni wujud hanya selepas awak bertaubat, Man!"

Tersenyum Luqman mendengar pengakuan itu. Dia faham sangat tentang apa yang Tina katakan. Waktu dia jahil, sedikitpun Tina tak terusik hatinya untuk dia. 

"Senyuman manis awak tu tolong niatkan untuk sedekah, ya!" usik Qistina kepadanya. Menyebabkan senyum itu menjadi semakin lebar.  

"Apa yang awak suka pada saya ni lagi, Tina?" 

Qistina terdiam. Mula mencari-cari... Hmm, dia suka sifat Luqman yang baru yang sentiasa bersederhana dalam apa juga keadaan. Dia suka sebab Luqman seorang yang tenang dan penuh kesabaran tapi yang lebih dia sukai ialah sikap Luqman yang teguh dengan pegangannya setelah kembali 'pulang'. baginya, Luqman lelaki yang mulia.

"Tina?"

"Entah, tak tahu nak cakap apa lagi. Cukuplah awak tahu yang saya suka awak." 

"Bila kita dah kahwin nanti, saya akan buat awak lebih sukakan saya!" janji Luqman kepadanya.  

Betapa terharu rasa hati Qistina. Saat ini, cinta yang Luqman tunjukkan memang mengasyikkan. Terbuai dalam bayangan kemesraan. 

“Cinta saya milik awak bila kita dah kahwin nanti,” janji Qistina pula. 

Luqman bagaikan terpukau. Tenggelam dalam keindahan perasaan. Rasa tidak sabar untuk memiliki Qistina. Memberi seribu erti dalam keindahan sebuah perkahwinan. 

Semoga kau sentiasa di sisi 

Usah kau ragui keikhlasanku 

Usah kau ragui oh hasratku 

Kuserah seluruh jiwa dan cintaku 

Semua adalah untukmu 


19.2.14

Masihkah Cinta 21

Februari 19, 2014 16 Comments

Qistina memerhati wajah tidak terurus milik lelaki itu. Langkah yang diatur mendekat kelihatan lemah dan tidak berdaya. Tiada senyuman terukir pada bibirnya. Rambut yang kusut dilurut. Mungkin, kekeliruan dan kecelaruan fikirannya sama seperti kusut rambut yang menghiasi kepala. 

Demi melihat Qistina, lelaki itu terus melepaskan keluhan. Dia kemudian duduk di sisi wanita itu. 

“Buat apa datang jamin abang? Kan baik biarkan abang mereput kat dalam lokap ni? Bukan itu yang Tina nak ke? Tina suka abang mati, kan?” soalnya kasar. 

“Saya tak pernah doakan awak mati, Safiy.” 

Safiy menjegilkan mata. “Apa Safiy, Safiy? Ke mana perginya rasa hormat Tina pada abang?” marahnya. Geram kerana Qistina tidak mahu berlembut dengannya. 

Giliran Qistina untuk merasa sakit hati pula. “Awak ni kan...! Tak sedar-sedar lagi ke? Masih nak bermimpi lagi?” jerkahnya. 

Safiy terus terpanar. Sepanjang perkahwinan mereka, Qistina tidak pernah menjerit, apalagi hendak mengamuk begini. Dulu, tutur kata Qistina selalu lembut. Sikapnya penuh manja. Tapi, tadi, lain sungguh tingkahnya. Garang betul! Rasa kecut pula! 

“Dah, pergi isi borang dan tanda tangan. Boleh saya hantar awak balik,” kata Qistina lalu berdiri. Dia hendak cepat beredar dari balai polis itu. Rasa malu bagaikan dia pula yang sudah membuat salah. Orang kan ramai di sekeliling mereka? Ada pula yang memandang ke arah mereka seolah-olah sedang melihat banduan pula. Hai, masyarakat suka benar memandang serong. Terlalu mudah menjatuhkan hukuman! 

Safiy mengekori Qistina selepas usai berurusan dengan pegawai polis di kaunter. Menyampah betul dia apabila berbagai-bagai nasihat keluar daripada mulut pegawai itu. Macam-macam yang dibebelkan. Hisy, itu baru 24 jam dirinya ditahan reman. Kalau lama? Mahu bernanah telinga. Haih! 

“Kereta siapa pulak ni,Tina? Ini bukan kereta Tina, kan?” tanya Safiy sebaik sahaja mereka menghampiri sebuah kereta BMW berwarna hitam. 

“Masuk ajelah! Tak payah nak tanya macam-macam!” jawab Qistina selamba. Dia terus menekan alat kawalan jauh kereta milik Mifzal Luqman. Sedikit tersenyum bila mengingati kata-kata lelaki itu sewaktu dia ingin ke sini tadi. 

“Nah, bawak kereta saya. Ni, saya dah hidupkan GPS. Kalau Safiy cuba kidnap awak, saya tahu di mana nak cari. Saya dah set semuanya dengan Samsung Galaxy saya.” 

Qistina ketawa. Begitu Luqman bersungguh, risaukan keselamatan dirinya apabila bersama Safiy. Malah lelaki itu berkeras tidak membenarkan dia menjamin bekas suaminya tetapi bagi Qistina, dia sudah jemu menghadapi kerenah tidak matang Safiy. Dia sudah bosan! Biarlah hari ini, dia berterus terang. Semoga Safiy faham dan mahu berundur dan tidak lagi mengganggu! 

“Sayang nak bawak abang ke mana?” tanya Safiy berani setelah melihat Qistina tersenyum. Sangkanya tentulah Qistina seronok apabila bersamanya. Fikirnya, Qistina menjamin dia kerana bekas isterinya itu sudah menyedari bahawa cinta di antara mereka masih utuh dan teguh. 

“Nak balik ke rumah mak awaklah. Ke mana lagi? Mak dengan ayah awak tengah tunggu awak di rumah tu!” balas Qistina sambil menghidupkan enjin kereta. 

Safiy diam. Wajah serius Qistina membantutkan apa yang mahu dikatakan. Hanya hatinya diulit bahagia kerana kini mereka sedang berdua-duaan, bagai dulu. Dipandang wajah itu tanpa jemu. Ditatap dalam rindu yang sentiasa membara. Dalam bahagia bersama, ada sedih menyelit. Sedih kerana Qistina tidak langsung kelihatan teruja ketika bersamanya. Wajah Qistina tegang dan serius. Senyum yang tadi menyungging sudah hilang daripada pandangannya. 

“Terima kasih kerana datang jemput abang hari ini, Tina. Abang bahagia sangat tengok Tina tadi. Gembira tak terkata,” ujarnya. 

“Tak payahlah nak gembira sangat. Saya hanya kesiankan awak. Cukuplah awak tidur dalam lokap tu semalaman saja. Awak kan anak manja? Nanti kalau dibiarkan dua, tiga malam, demam! Kesian emak bapak awak kena jaga awak pulak!” Qistina menoleh sekejap ke arah lelaki itu sebelum menyambung, ”Sepatutnya, bila dah umur meningkat tua, awak tak menyusahkan hati mak bapak awak lagi. Tapi hairan betul saya! Tak habis-habis awak buat hal! Tak kesian pada dia orang?” 

Safiy mendengus, “Semua ni salah mereka, Tina! Kalau papa dengan mama tak paksa abang kahwin dengan Zara tu, tak adalah keadaan jadi begini!” 

Qistina mencebik. “Awak dah besar! Dah boleh berfikir mana baik, dan yang mana buruk untuk diri sendiri. Tapi, awak tak! Tak ada siapa boleh paksa awak buat benda yang awak tak suka, Safiy!” Sindirnya. 

Safiy semakin tidak gembira mendengar Qistina memanggilnya Safiy. Tak hormat langsung, fikirnya. 

“Tina, panggil abang, abang. Please! Abang sedih bila Tina tak hormat abang!” pintanya. 

Giliran Qistina untuk berasa marah. “Awak tak ada hak nak suruh saya cakap atau buat benda yang saya tak suka, Safiy.” 

“Kenapa Tina berubah sangat ni? Kenapa tak hormatkan abang?” 

‘Dah ke situ pulak fikirnya. Hisy, dia ni! Silap-silap, aku turunkan di tepi jalan ni, baru dia tahu!” rungut Qistina di dalam hati. 

“Berapa kali abang nak beritahu Tina yang abang menyesal sangat melepaskan Tina dulu? Berapa kali...” 

“Sebab itu, Encik Safiy... bila kita nak buat sesuatu, kita mesti fikir, fikir dan fikir dulu. Bukan sekali! Fikir sampai puas hati! Ini tidak, dahlah tak berfikir, bincang pun tak mahu!” 

Qistina membalas garang. Dia tidak mahu memberi peluang kepada lelaki itu untuk terus meluah rasa. Dia mual! Dia rasa hendak muntah! Dia bosan! 

“Tina?” 

Qistina pandang wajah bekas suaminya sekilas sebelum membalas, “Awak nak sangat dengar saya bercakap dengan awak, kan? Sebab tu awak buat kerja bodoh menghendap, mengikut ke mana saja saya pergi. Sampai saya rasa tak selamat dah!” 

Safiy cuba mencapai tangan bekas isterinya namun Qistina pantas mengelak. 

“Tak payah nak pegang-pegang! Saya tengah drive ni, buta ke? Lagipun, saya tak suka awak pegang sebab kita bukan suami isteri lagi! Faham!” 

“Kasarnya Tina dengan abang,” keluh Safiy. 

“Eloklah kalau awak sedar, kalau awak tahu. Saya dah tak boleh nak berlembut dengan awak, Safiy!” 

“Tapi,” 

“Hari ini, nanti, di rumah emak awak, awak akan dengar apa yang selama ni saya pendam, Safiy. Saya akan beritahu awak apa yang saya alami. Apa yang saya lalui bila awak tinggalkan saya dulu. Dan, kenapa saya boleh jadi sekeras ini!” 

Safiy menanti Qistina meluahkannya kerana dia juga ingin tahu sebab dan alasan mengapa Qistina berubah sikap. Mengapa Qistina tidak lagi mahu tersenyum, macam dulu apabila memandang wajahnya. Apakah yang telah dilalui sehingga dirinya terlalu dibenci... 

"Saya harap, lepas saya luahkan semua, awak akan terima keputusan yang saya buat. Malah, saya harap, kita tak jumpa lagi dah. Faham?” 

Pintu pagar sudah siap terbuka namun Qistina hanya memarkir kereta Luqman di luar rumah. Bila Safiy bertanya kenapa tak pandu masuk, Qistina cakap ini bukan rumah dia. Jawapan yang membuat Safiy jadi bengang. Dan, geram! 

Safiy tidak menyangka bahawa di dalam rumah, Qayyum dengan Maheran sudah ada dan sedang berbual-bual dengan papa dan mamanya. Begitu mereka bersifat melindungi. Bimbang benar Qistina dipengapakannya. 

Setelah minum dan makan kuih yang dijamu oleh Zaidah, tibalah masa untuk membuka semula kisah lama. Agar semuanya terungkai. Agar Safiy memahami apa yang telah terjadi. Mengapa Qistina menjadi sekeras ini. 

“Sebaik sahaja kami balik meninggalkan mahkamah syariah, kami kemalangan. Teruk! Tina yang duduk di depan dekat enam bulan tak boleh berjalan. Ingat-ingat lupa pulak tu! Dia asyik meracau tanya mana Safiy. Kami nak jawab apa? Takkan nak cari Safiy sedangkan kami tahu Safiy dah kahwin masa tu.” Maheran memulakan. Masing-masing mendengar dengan penuh perhatian. 

“Tina lemah benar masa tu. Mungkin sebab dia tak sangka Safiy sanggup tinggalkan dia, dia jadi runsing dan hilang akal. Apabila keadaan semakin runcing, kami bawa dia ke sebuah rumah perlindungan wanita. Kami asingkan dia dan jauhkan dia daripada gambar Safiy, sebab dia langsung tak boleh tengok. Kalau dia nampak aje, terus dia menangis, mengongoi. Dia mintak kami bawak dia jumpa Safiy. Rayu Safiy ambil dia balik.” 

Perasaan Safiy jadi tidak menentu mendengar cerita Qayyum. Dia ingin mendekati Qistina, ingin menenteramkannya. Ingin berkata bahawa dia masih ada. Namun, Qistina menggeleng, tidak mahu Safiy mendekatinya. 

“Selepas dia me..." 

Qistina memandang wajah ibunya seraya menggeleng menyebabkan Maheran terhenti bicara. Agak lama, baru dia menyambung semula.  

"Selepas sepuluh bulan, seorag kawan saya, Ustaz Syahran suruh kami hantar Qistina ke sebuah pondok di Gunung Semanggul. Berat hati nak berpisah dengan dia tapi kerana takut Qistina jadi gila, kami hantar dia ke sana.” 

Qistina meneruskan. “Dekat setahun saya duduk di sana, mendalami Islam, mendekatkan diri pada ALLAH, memohon agar DIA beri kekuatan setelah saya rasa kebahagiaan saya direntap dengan kejam dari saya. Alhamdulillah, berkat doa umi dengan ayah, saya pulih. Tak gila lagi dah!” 

Maheran menjegil anaknya. Tidak suka mendengar Qistina berkata begitu. Encik Mukhtar mengesat air mata yang bergenang. Betapa tidak menyangka bahawa begitu terseksa jiwa bekas menantunya ini setelah Safiy menceraikannya. Begitu juga dengan Puan Zaidah. dia sedang menangis teresak-esak. 

“Maafkan mama, Tina!” Hanya itu yang mampu Puan Zaidah ucapkan. Dia malu mengakui betapa kejam perbuatannya dahulu. 

Safiy terus berlutut di hadapan bekas isterinya. Tidak peduli pada kerutan di dahi itu. 

“Abang dah ada semula. Kita bina hidup baru bersama. Tak siapa boleh kacau dan pisahkan kita lagi!” ujarnya. 

Qistina jadi berang. Sakit hatinya melihat gelagat bodoh Safiy. Tak faham-faham! Bentaknya. 

“Sama ada awak bodoh atau pura-pura bodoh! Atau buat-buat lupa...entahlah! Tak faham lagi ke pada apa yang saya cuba beritahu awak, Safiy? Saya tak boleh terima awak! Tak mahu terima awak! Sebab, luka ni dah terlampau dalam sehingga bila tengok awak saja pun, saya rasa sakit. Sakit sangat-sangat! Tahu tak?” jeritnya. 

“Tina, please...” 

“Tak! Awak kena dengar! Awak kena tolong saya! Jauhkan diri awak dari saya, Safiy! Jauhkan diri awak dari saya! Dan, tolong! Tolong jangan kacau saya!” 

"Tina, tolonglah! Abang mengaku salah! Abang lakukan kesilapan. Abang tak sengaja tidur dengan dia. Dia yang paksa..."

Qistina terpanar. Wajahnya jelas menunjukkan dia tidak faham apa yang Safiy ingin katakan. 

"Apa yang awak cakapkan ni, Safiy?" 

"Bapa Zara paksa dia orang menikah sebab Safiy..."

"Awak curang dengan saya?"

"Tina, dengar dulu apa abang nak cakap! Abang tak sengaja, sayang. Abang..."

"Saya dah nak maafkan awak. Nak lupakan semua yang awak pernah fitnahkan saya. Tapi, hari ini, rahsia sebenarnya terbongkar! Awak sentuh saya tapi dalam masa sama awak curang! Awak memang jantan tak guna, Safiy!" 

“Tina, Tina nak ke mana?” jerit Safiy apabila Qistina mula bergerak ke arah pintu besar. Tanpa peduli, tubuh Qistina terus didakap. 

“Tina tak boleh pergi! Tina tak boleh keluar dari rumah ni! Tak boleh!” 

Satu tumbukan hinggap di pipi kiri. Kemudian satu lagi tumbukan mengena sasaran juga menyebabkan Safiy jatuh tersembam. Ketika, satu tumbukan padu ingin dilepaskan lagi, Qistina sudah memegang tangan kekar milik Luqman. 

“Kau memang pentingkan diri kau, Safiy! Kau dah dengar betapa gila jadinya Qistina tapi kau masih tak mahu bagi dia ruang untuk bernafas tanpa kau! Dengar sini, Tina tak akan balik jadi isteri kau lagi. Tidak selepas apa yang kau dah buat pada dia!” 

Safiy masih tak puas hati. 

“Kenapa? Sebab kau nak kahwin dengan dia? Hey, hari tu kau cakap, kau nak tolong aku. Kau suruh aku pujuk Tina lembut-lembut. Sekarang, apa sudah jadi? Kau nak potong jalan, eh! Kau nak rampas dia?” jeritnya. 

“Tak! Aku tak rampas dia dari kau, Safiy! Sebab kau tak pernah ada dalam hati dia dah! Hubungan antara kau orang berdua dah tamat sebaik sahaja kau curang dengan Tina. Sebaik sahaja kau menduakan dia. Sebaik sahaja kau tuduh dia macam-macam di mahkamah Syariah dulu! Ya, aku pernah suruh kau pujuk Tina tapi itu sebelum aku kenal siapa sebenarnya kau ni! Sekarang, aku nak ingatkan kau! Tina bakal isteri aku. Tanamkan hakikat tu dalam kepala otak kau!” balas Luqman tegas. 

Qistina mengajak Luqman dan ibu bapanya keluar. “Dah, jom kita balik. Kalau Safiy masih dengan kebodohan dia, kita tak boleh nak buat apa dah!” 

"Tina..."

Qistina memandang Safiy semula. “Awak yang buang saya, Safiy! Awak yang tak mahu saya! Jangan merayu lagi. Jangan menahan saya untuk melangkah pergi tinggalkan awak. Air mata saya ni dah puas jatuh, dah puas menangisi perpisahan kita dulu. Kalau dulu, awak tutup pintu hati awak untuk saya, sekarang... giliran saya untuk menutupnya. Bukan membalas dendam, Safiy. Tapi inilah takdir kita. Berbahagialah dengan apa yang sudah kita pilih.” 

Safiy terhenyak di atas lantai. Kini dia mengaku bahawa hati yang lembut itu tidak mungkin akan terpujuk lagi. 

Di dalam kereta, suasana hening sahaja. Sunyi sepi sehinggalah Qistina berpaling menatap wajah tenang Luqman yang sedang memandu. 

"Awak dah tahu tapi kenapa awak tak ceritakan pada saya?" soalnya lembut. 

"Saya nak awak dengar sendiri dari mulut dia."

"Mujur umi panggil polis dan dia ditahan. Bolehlah atur pertemuan tadi, kan? Betullah kata orang, rahsia tak akan bertahan selamanya."

"Belajarlah memaafkan, Tina. Perlahan-lahan, belajarlah menjadi seorang yang pemaaf. Memaafkan Safiy dan mendoakan kesejahteraannya."

Qistina mendengus. "Kenapa pulak? Dia dah..."

"Kerana dia dah ceraikan awak, saya berpeluang menjadi suami awak, Tina. Jangan lupa tu!"

Qistina mencebik.  

"Janganlah buat mulut macam tu. Kalau senyum kan cantik?" 

"Kenapa nak senyum pulak?"

Luqman menghentikan keretanya di bahu jalan. Dia berpaling, memandang wajah dambaannya dengan dada yang berombak kencang. 

"Luqman?"

"Bismillah.... Qistina binti Qayyum. Tadi saya dah minta izin ayah dengan umi. Mereka setuju. So, sekarang, saya nak tanya awak pulak."

Qistina mengulum senyum. Tahu sudah apakah yang bakal terbit daripada bibir Luqman sebentar lagi. Menanti dengan getaran hati yang kencang sekali. 

"Tina, sudi jadi isteri saya? Kita nikah seberapa cepat yang boleh. Nak tak?" 

Masihkah Cinta? 20

Februari 19, 2014 16 Comments
“Uwaisy, makanlah sayur ni. Bayam ni elok tau untuk kesihatan. Meh, ibu suap sikit. Nganga mulut...aaa!” Qistina terus memujuk. Sesekali dia mengeluh. Sudah hampir 20 minit dia menyuap, Uwaisy masih belum sudah. Sambil makan, sambil berlari. Lepas tu duduk pula depan televisyen, tengok iklan. Tiap kali hendak disuapkan nasi ke mulut, Uwaisy tutup rapat bibirnya bila ternampak sayur. 


“Tu laa.., kan umi dah cakap. Salah cara kamu tu! Sepatutnya, duduk di meja. Biar dia makan dengan tekun. Lagipun, kalau nak tumpah, tak adalah nasi tu berselerak sangat, kan? Sayur pun dia akan makan sebab takut tak dapat tengok TV. Sekarang, siapa yang penat? Tinalah! Budak Uwaisy tu, tak kan mahu duduk diam. Macam kamu tak tahu yang anak kamu tu lasak!” leter Maheran. 

Qistina hanya tersengih menyedari kesilapan diri. Fikirnya, hari ini, biarlah diberi sedikit kebebasan kepada Uwaisy. Tak mahulah ikut ‘rules umi’ sangat. Tapi, memang! Penat dia dibuat oleh anak kesayangan. Dari pagi, memperuntukkan masa berkualiti dengan Uwaisy, rasa macam dah kena buli. Tadi, waktu berjogging, Uwaisy yang comel dibawa bersama. Sudahnya, dekat nak sampai ke rumah, Uwaisy sudah ‘surrender’. Terpaksalah didukungnya bila Uwaisy sudah tegak macam patung, tidak mahu berjalan lagi. Tambah kasihan bila air mata bergenangan. Hisy, kecil-kecil lagi sudah pandai... 

Ingatan kepada Safiy menjelma. Kadang-kadang, sifat manja Uwaisy membuat dirinya terkenang kepada lelaki itu. Dahulu, Safiy juga sering ingin dimanjai oleh Qistina. Kadang-kadang, sengaja mencari fasal dan bila Qistina marah, terus Safiy menarik muka masam dan merajuk. Bila diperhatikan, Uwaisy juga begitu. Mudah sangat merajuk dengannya. Uwaisy... 

Macam mana nak terangkan pada anak kecil itu tentang ayahnya? Tentang Safiy? Dia pernah berjanji pada diri untuk merahsiakan semua tentang Safiy daripada pengetahuan Uwaisy. Pernah bersumpah bahawa Uwaisy tidak akan pernah tahu yang ayahnya masih ada. Masih bernyawa. Malah, kalau boleh, dia tidak mahu Uwaisy tahu tentang kewujudan Safiy pun! 

Tapi, dendamnya kepada Safiy tidak harus melibatkan Uwaisy. Dia benci lelaki itu tapi antara Uwaisy dengan Safiy, mereka masih ada ikatan. Ada pertalian darah. Mereka anak beranak! 

Kerana dia tenggelam dalam kebuntuan fikiran, Qistina tidak sedar bahawa uminya, Maheran, sudah duduk di hadapannya. Perlahan-lahan, pinggan ditarik daripada jemarinya. “Pergi basuh tangan! Umi sakit mata tengok kamu suap anak kamu ni! Dah, biar umi aje yang bagi Uwaisy makan. Kamu berehat!” 

Qistina tidak membantah. Dengan langkah yang longlai, dia menuju ke dapur. Dia tidak menyedari bahawa Maheran sedang merenung pergerakannya dengan dahi yang berkerut. 

‘Entah apa yang Tina ni fikirkan lagi, aku pun tak tahu. Banyak benar masalah dia. Luqman pun satu! Bila nak buka mulut sebut tarikh nikah pun, entah. Kalau dah ada tarikh, kan senang?’ omel Maheran di dalam hati. 

Bunyi deruan enjin kenderaan di luar rumah menghentikan lamunan Maheran. Seketika kemudian, pintu kereta dihempas dengan kuat. Tak lama selepas itu, wajah Safiy terjengul di jeriji pintu utama. 

“Saya nak masuk, umi! Buka pintu ni!” Lantang suaranya memerintah. 

Maheran yang sedikit gugup, terus berasa marah. 

“Macam mana kamu boleh tahu kami duduk di sini, Safiy? Dah! Pergi balik! Jangan mengada-ada nak masuk ke dalam. Kamu dengan Qistina bukan suami isteri dan ini rumah umi. Kamu tak boleh masuk sebab umi tak izinkan!” ujar Maheran penuh ketegasan. 

Safiy menggoncang-goncang pintu gril. “Kenapa semua orang bertindak zalim sangat dengan saya? Saya cuma nak bincang dengan Tina. Saya cuma nak cakap elok-elok, bukan nak kelahi dengan dia! Kenapa susah sangat kau orang nak faham, hah?” jeritnya. 

Qistina yang berada di dapur tersentak. Argh, Safiy yang gila talak sudah sampai, fikirnya. Benci betullah! Tak bolehkah dia hidup aman sekarang? 

“Safiy, tak ada apa-apa yang kamu dengan Tina perlu bincangkan. Dah tiga tahun kamu dengan Tina bercerai, Safiy! Apa lagi? Pergilah balik! Kamu dah ada isteri, kan? Dengarnya, dah ada anak, pun! Yang dok terhegeh-hegeh mencari Qistina, buat apa?” bentak Maheran. 

Buntang mata Safiy merenung wajah bekas ibu mentuanya. Sakit hati mendengar kata-kata Maheran tadi. Dia terhegeh-hegeh? Arghh.... 

“Tu, budak tu! Anak siapa?” tanya Safiy sambil merenung raut Uwaisy. 

“Anak angkat umi. Kenapa?” 

Safiy mencebik. “Betul ke, umi? Entah-entah anak saya, tak? Umi sengaja nak sorokkan, kut?” 

Maheran panas telinga. “Ada hati tu nak mengaku anak orang jadi anak dia? Kalaupun Uwaisy ni anak kamu, kamu ingat, umi nak beri dia pada kamu? Pada lelaki yang menghina anak umi, Qistina? Yang buat tuduhan palsu untuk ceraikan anak umi? Baik kamu berambus, Safiy! Sebelum angin umi naik, baik kamu pergi dari sini. Pergi, sebelum umi panggil polis!” 

Safiy tidak tahan lagi. Semua orang asyik hendak memisahkan dirinya dengan Qistina. Semua orang begitu buta sehingga tidak nampak betapa dalamnya rasa kasih dia kepada isterinya itu. Asyik-asyik, mereka mengungkit kesilapannya tiga tahun dahulu. Bukan besar manapun kesalahannya! Sedangkan Nabi lagi ampunkan umatnya? 

Tubuhnya melurut jatuh di hadapan rumah. Dia menangis teresak-esak. Malu sudah dibuang ke tepi. Yang dia tahu, dia ingin hidup bersama Qistina semula. Orang nak cakap apa, cakaplah! 

“Tina, abang tahu Tina ada kat dalam. Tolong, Tina. Cakap pada dia orang yang kita saling sayang. Cakap pada dia  orang yang Tina isteri abang. Cakap yang Tina tak suka dia orang hina abang. Tina, Tina tak kesian pada abang, ke? Abang dah ceraikan Zara, Tina! Abang dah tak ada hubungan dengan dia. Dari dulu, abang tak nak kahwin dengan dia. Tina pun dah tahu, kan? Tina... baliklah pada abang. Abang janji, abang akan jaga Tina. Abang tak akan lukakan hati Tina lagi! Percayalah!” 

Di pintu pagar, seorang perempuan sedang memerhati gelagat Safiy dengan senyuman sinis. Hendak ketawa pun ada melihat Safiy sudah bagaikan pengemis menagih cinta bekas isterinya. Lelaki bodoh! Ya, Safiy ialah lelaki paling bodoh dan lemah yang pernah dia temui. Lelaki malang yang tidak punya masa depan lagi. 

Kerana asyik mencari Qistina dan selalu sangat cuti sakit, Safiy sudah dibuang kerja. Tengok sahajalah dirinya yang tidak terurus itu. Memang teruk dan memalukan! 

“Safiy, kesian I tengok you ni! Ada bini yang baik macam I, you ceraikan. Lepas tu, terhegeh-hegeh depan rumah bekas isteri lama. Orang dah tak suka, pun, tak faham-faham jugak! Hello, you ada apa nak tawarkan pada bekas bini kesayangan you tu? Harta? Dah habis you serahkan semua pada I masa kita bercerai hari itu! Dah tu, you kena buang kerja pulak. Kalau I jadi Qistina tu pun, I takkan pandang sebelah mata pada you, you tahu tak, Safiy? Lebih baik I pilih Luqman. Luqman lagi hensem, lagi kaya, malah beribu kali lebih baik daripada you, tahu tak?” 

Safiy tidak tahan mendengar kata-kata Zara. Zara yang amat dibenci. Zara yang tidak tahu malu, yang sentiasa sahaja mengekori ke mana-mana dia pergi. 

“Apa lagi yang kau nak dari aku, Zara? Semua hak aku, aku dah bagi pada kau. Dah tak ada apa yang tinggal lagi. Boleh tak kalau kau pergi jauh-jauh. Tolong jangan kacau aku lagi! Tolong biarkan aku!” rayunya. 

Wajah Zara terus mencuka. “Aku nak tengok kau berdrama, tak boleh ke?” Hilang dah I-you! “Aku nak tengok macam mana cara perempuan tu buang kau! Tak sabar nak tengok dia mengamuk, maki hamun kau dan sakitkan hati kau! Aku nak tengok kebencian dia. Tak boleh?” 

Safiy naik hantu. Terus ditamparnya pipi Zara Khalida. “Kau ingat Qistina tu macam kau, hah? Dia tak akan pernah buang aku! Dia takkan pernah mengamuk, berkasar dengan aku. Sebab dia sayang aku! Sebab dia cintakan aku!” 

Zara ketawa. Bagi dirinya sekarang, Safiy sudah jadi seperti orang gila. Safiy terlalu bodoh! Dan, dia juga bodoh! Bodoh kalau dia membiarkan Qistina menjadi milik Luqman. Jadi, dia hendak menimbulkan huru hara di sini supaya Safiy mengapa-apakan Qistina sehingga Luqman tidak mahu kepada perempuan itu lagi! 

“Kau tak akan mampu buat Qistina cintakan kau lagi sebab hati dia dah ada orang lain. Kau kenal Luqman, kan? Dia orang nak kahwin tahu tak? Kalau kau tak paksa Qistina, kau pasti melepas!” 

Safiy bingung. Qistina hendak berkahwin dengan lelaki lain? Melampau! 

Terus dia melangkah laju, lalu mengetuk pintu yang sudah ditutup oleh Maheran. 

Maheran sudah menyuruh Qistina mengunci semua pintu dan tingkap. Dia bimbang kalau-kalau Safiy hilang akal nanti. Malah, dia juga sudah menelefon polis. Luqman juga sudah diberitahu. Perkara ini sudah lama sangat mengganggu mereka. Hari ini, fikir Maheran, biarlah semuanya berakhir! 

“Tina, Zara kata Tina nak kahwin dengan Luqman! Jangan perasan, Tina. Jangan harap Tina boleh buat begitu! Abang tak akan izinkan. Tina hak abang saja! Tahu tak?” 

Qistina tidak pedulikan semuanya. Dia kini sedang menghadap TUHAN. Menyembah Yang SATU agar diberi ketenangan hati. Dia lemah dengan situasi ini. Jadi, biarlah ALLAH memberi dirinya kekuatan untuk terus tabah dan agar dia terus mampu berdiri.