apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

4.1.14

Masihkah Cinta 2

untuk semua yang x sabar2 nk tahu kenapa Qistina kena cerai, sila baca sambungannya di sini ya...


3

Mereka kini berada di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Selangor. Safiy Zahidi nampaknya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk merealisasikan perceraian mereka. Dia hadir memakai seluar slack berwarna hitam dengan baju kemeja berwarna biru gelap. Ibu bapanya turut hadir bersama-samanya.

Hati Qistina terlalu sayu bila Safiy tidak langsung memandang wajahnya. Semakin kecil hatinya bila huluran tangannya tidak disambut oleh ibu mentua. Maheran yang geram segera menarik tangan anaknya. Dia tidak mahu Qistina menangis di hadapan manusia yang tiba-tiba menjadi sombong ini.

“Jom kita masuk. Lagi cepat benda ni semua berakhir, lagi mudah untuk kamu memulakan hidup baru!” katanya memberi perangsang kepada Qistina.

Mulanya Safiy dipanggil masuk. 10 minit kemudian giliran Qistina tiba. Sebaik dia duduk di hadapan lelaki bersongkok yang namanya bertulis Ustaz Naim, Qistina dapat merasakan bahawa tuduhan yang Safiy lemparkan kepadanya amat berat. Belum lagi ustaz itu berkata-kata, hatinya sudah dapat meneka.

“Suami puan menulis di sini bahawa puan nusyuz. Puan selalu keluar rumah tanpa izinnya. Puan mengingkari setiap kali dia menasihati. Puan sering balik ke rumah waktu tengah malam, dalam keadaan mabuk sehingga pada kemuncaknya, dia ceraikan puan kerana puan bawa seorang lelaki balik ke rumah. Ada apa-apa yang puan nak cakap?”   

Noor Qistina tidak mampu berkata-kata. Dia tidak mampu bersuara. Rasa kecewa, rasa hampa, rasa terluka terlalu menyeksa perasaannya ketika ini. Dia mengharapkan satu sebab yang pasti! Namun sebaliknya dia difitnah suami yang amat dia sayangi. Suami yang amat dia sanjungi. Suami yang amat dia cintai.

Amat payah menerima kenyataan ini. Amat payah menerima hakikat yang terlalu pahit. Amat payah untuk menelan tanpa ada rasa marah dan sakit hati.

“Puan?’ Ustaz Naim memanggil.

Qistina menarik nafas dalam-dalam sambil menggeleng.

“Tak baik apa yang puan lakukan ini. Kesian suami puan. Puan masih muda. Suami puan pun nampaknya seorang yang cukup sempurna. Tak sepatutnya puan berkelakuan seperti itu.”

Qistina segera mencelah, “Ustaz, maafkan saya. Saya tahu niat ustaz cukup baik. Tapi terima kasih ajelah. Insya-Allah, kalau saya perlukan nasihat, saya ada emak dan ayah saya untuk menegur kelakuan ‘buruk’ saya tu. Boleh saya keluar sekarang?”

Ustaz Naim mengeluh. Nampaknya, walau wajah dan orangnya kelihatan lembut, wataknya cukup berbeza. Luaran, bukan cerminan hati, fikirnya.

“Kita kena dengar lafaz dari mulut Encik Safiy!” ujar Ustaz Naim.

Qistina meminta ustaz itu memanggil semua orang masuk. Dia mahu mendengar Safiy melafazkan talak kepadanya di hadapan ibu dan ayah mereka masing-masing sebagaimana dulu, Safiy melafazkan ijab kabul di hadapan mereka. 

Sambil menunggu, hati dicekalkan. Hatinya kini sudah terkunci rapat. Di dalamnya hanya ada rasa marah, sakit hati dan dendam yang terpendam. Cinta? Sebaik ustaz menyenaraikan alasan yang Safiy kemukakan tadi, dia telah menguburkannya. Cinta itu berkubur tanpa ada batu nisan pun! 

Biarlah... biarlah cinta hilang dihakis waktu. 
Biarlah... biarlah cinta yang pernah menjadi milik Safiy, dihapuskannya! 

Dia tidak akan sekali-kali merayu lagi! Dia tidak akan sekali-kali mencari sebab yang sebenar. Semuanya sudah berakhir. Sudah tamat!

“Tina?”

Suara Qayyum memanggil kedengaran penuh kerisauan.

Qistina memandang tepat ke arah ayahnya. Sekuntum senyuman menghiasi bibir. Senyuman yang menyebabkan ibu dan ayah terpana.

“Tina? Kenapa kamu tersenyum pulak ni? Tak jadi bercerai ke?” tanya Qayyum bersama sebuah harapan.

Ketika itu, Safiy turut menuntaskan pandangan ke arah Qistina. Raut wajah tersembunyi 1001 persoalan.

Qistina membalas pandangan itu sambil berkata dengan jelas, “Encik Safiy Zahidi. Terima kasih. Ustaz Naim dah terangkan semuanya pada saya. Sekarang ni, saya rela diceraikan. Tapi, saya harap, Encik Safiy tidak menceraikan saya dengan talak 1. Saya lebih rela diceraikan dengan talak 3. Bukankah itu lebih baik, Encik Safiy? Bukankah itu lebih sesuai untuk perempuan yang seperti mana encik tuliskan itu?”

Safiy terpana. Tubuhnya terketar dengan sendiri. Untuk seketika, dia memandang sayu seraut wajah itu yang kini masih memandangnya tanpa perasaan. Dia sedar bahawa, dirinya menjadi kebencian Qistina saat ini. Mungkin tidak ada yang lebih dibenci selain dirinya.

Puan Zaidah lantang menegur, “Jangan mintak yang bukan-bukan, Qistina. Talak 1 tu pun dah cukup bagus. Macam mana kalau dia gantung kamu tidak bertali, hah?”

Maheran pula menjadi panas hati. 

“Puan Zaidah, awak ingat anak saya ni anak yatim ke? ingat, kita orang ni tak boleh balas semua perbuatan korang ni? Melampau betullah! Perasan bagus!” marahnya.

“Apa awak cakap?” tengking Puan Zaidah.

“Mama... sudahlah! Tak baik bergaduh. Biarkan saya lafazkan semua. Lepas tu kita dah boleh balik!” Safiy memujuk ibunya.

Kini sahlah sudah status Qistina berubah. Sudah sahlah dia diceraikan Safiy dengan talak 1. Cabarannya tadi tidak Safiy endahkan. Qistina tidak faham mengapa Safiy tidak melakukannya. Apakah lelaki itu berharap agar satu masa nanti, mungkin mereka akan dijodohkan semula? 

Arghh, gila!

Ketika di tempat parkir, Qistina menahan pergerakan lelaki itu yang begitu laju seolah-olah sudah tidak sabar-sabar hendak meninggalkan pekarangan mahkamah syariah itu.

“Encik Safiy!”

Langkah Safiy terhenti. Ketika berpaling dia segera bertanya, “Kenapa Tina panggil abang, encik?”

Noor Qistina memandang wajah Safiy dengan rasa terkejut. Dia kemudian ketawa kecil sambil kepala digeleng-gelengkannya.

“Awak bukan abang saya, okey!”

“Tina?”

Qistina kembali serius. Wajah itu ditatap garang, “Encik Safiy, saya hendak beritahu beberapa perkara sahaja.”

Dia menghulurkan segugus kunci kepada lelaki itu.

“Kunci rumah awak! Ambillah balik. Saya dah keluarkan semua barang-barang saya. Lagipun, tak ada apa-apa yang penting. Saya hanya ambil yang betul-betul kepunyaan saya, yang saya beli dengan duit saya. Yang lain-lain tu, semua saya tinggalkan. Kalau mata awak sakit melihatnya nanti, buanglah! Bakarlah! Buatlah apa awak suka!”

“Qistina, abang tak bermaksud...”

Qistina tidak mahu mendengar. Dia pantas mencelah, “Kita dah bercerai. Dan, awak masih berhutang dengan saya, Encik Safiy. Saya masih tak tahu alasan yang sebenar. Tapi, saya reda menerima fitnah awak tu. Ya, saya terima semua tuduhan awak. Tapi, awak nak tahu tak, Encik Safiy? Sekarang ni, saya marah! Tersangat marah pada awak! Dan marah itu sudah menjadi benci. Terus terang saya cakap yang saya sangat-sangat bencikan awak sekarang. Sampai bila-bila, saya tidak akan pernah memaafkan awak, Encik Safiy. Dan dengar ini baik-baik! Kalau Allah takdirkan saya mengandung, saya berdoa pada Dia agar anak ini anak lelaki. Sebab nanti, dia tak perlu mencari ayahnya untuk jadi wali nikah. Awak faham tak maksud saya? Maksudnya, awak tak akan pernah tahu yang awak ada anak, sampai awak mati!”

Qistina melangkah laju meninggalkan Safiy sendirian. Dia tidak menoleh ke belakang. Baginya kini, Safiy ialah kenangan yang ingin dilupakan. Kenangan yang tidak mahu diabadikan, walau dalam mimpi sekalipun!         

2 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.