2013/10/17

BAB 5 - Tiada Yang Lain



 WAKTU pagi di Taman Tasik Permaisuri pada hari Sabtu itu dipenuhi dengan warga kota yang datang untuk beriadah. Tempat parkir penuh dengan kereta dan motor. Suasana pagi yang nyaman dan segar menceriakan pengunjung. Yang berlari dan berjoging, yang menapak di atas batu refleksologi, semua mempunyai satu matlamat. Untuk menjaga kesihatan.

Berhampiran tasik, tiga orang gadis sedang menyejukkan badan. Serentak, mereka menarik nafas melalui hidung dan kemudian menghembus perlahan melalui mulut. Pada waktu yang sama, tangan didepangkan sambil mengangkat tumit untuk berjengket. Setelah beberapa kali dilakukan, barulah masing-masing mencapai tuala kecil yang dibawa untuk mengelap peluh yang meleleh di muka dan leher. 

“Kak long nak air?” tanya Atifah kepada Atiqah. 

Atiqah angguk. Memang tekaknya berasa kering setelah berlari mengelilingi tasik sebanyak 2 pusingan. Dahaga sungguh! Jadi, sebaik adiknya menghulur botol air, terus sahaja air itu diteguk. Nyaman sedikit rasa tekak. 

“Hai, takkan minum sorang kut?” 

Atiqah segera berhenti. Botol disua kepada Nurain, kawan baiknya. 

“Mujur kau cakap. Kalau tidak memang habis aku minum. Aku dahaga sangat tadi,” katanya. 

“Dahaga ke stress, kak long?” Atifah tanya sambil kerdip mata. Mengusiklah tu!

“Stress? Kenapa pulak kak long kamu ni rasa tertekan, Tipah?” Nurain menagih jawapan. 

“Laa, Kak Ain tak tahu lagi ke?”

“Tahu apa?”

“Kak Ain, Kak Ain tahu tak yang kawan baik Kak Ain ni dah nak kahwin?” tanya Atifah. Sedikit pun dia tidak peduli pada renungan membunuh yang Atiqah lemparkan kepadanya. Baginya, perkara itu tidak perlu dirahsiakan. 

Atiqah mendengus kasar. Rasa geram kepada adiknya semakin menjadi-jadi. Mata sengaja dijegilkan ketika memandang wajah comel itu. 

“Kenapa, Tipah? Ada orang dah masuk meminang kak long kamu ni ke?” tanya Nurain. Kalau betul, teruja dia hendak tahu siapakah lelaki bertuah itu.

Wajah Atiqah mencuka tatkala membalas renungan Nurain. Tu tanda dia marah. Baginya, soalan itu memang tak masuk akal. 

“Kau layanlah budak otak senget tu! Silap haribulan nanti kau pun jadi senget. Macam dia!” Atiqah mengutuk.

“Apa senget-senget ni, kak long? Orang cakap benda betullah!” Atifah membela diri. 

“Benda betul? Helo! Kak long tak pernah cakap yang kak long nak kahwin, tahu! Apa lagi kalau nak kahwin dengan pilihan mak. Memang taklah!” balas Atiqah, tegas.

“Tapi, kenapa? Kalau betul mak cik suka budak tu, apa salahnya kau terima? Kau tu pun bukannya ada pak we lagi.” 

Atiqah resah. Mendengar kata-kata itu dia teringat kepada ibunya. Soalan yang sama juga ditanya oleh ibunya semalam. 



“Mak suka Afif. Dia anak kawan baik emak dengan ayah. Mak dah kenal hati budi mereka. Jadi, apa masalahnya kalau kamu terima dia? Kamu tu pun bukannya ada boyfriend, kan?” 



Masalah betullah! Sejak keluarga doktor itu bertandang ke rumah, ibunya tak henti-henti memuji Afif. Asyik cakap itulah jodoh terbaik untuknya. Seolah-olah Afif sahaja pemuda paling hebat di dunia ini. Tak ada lelaki lain dapat menandinginya! 

“Mak aku tu pelik la. Keluarga doktor tu tak masuk meminang pun. Tapi, dia dah beria-ia paksa aku dengan Afif. Beria-ia nak suruh aku terima Afif tu. Masalahnya,”

“Apa? Dia tak kacak?” sinis Nurain. Bukan dia tak kenal Atiqah. Pantang tengok lelaki handsome, mesti tertoleh-toleh. Apa lagi kalau muka mirip Go Soo, hero cerita Korea bertajuk Empire Gold itu. Habis hati! 

“Salah tu, Kak Ain. Abang Afif tu tersangatlah handsome. Macho! Tegap! Kulitnya hitam manis. Doktor lagi!” Atifah memberitahu.

“Wah!” 

Atiqah mencebik. Menyampah tengok gaya kagum Nurain. 

“Maksudnya, kau dah pernah jumpa dengan Afif tu, ya?” Nurain merisik. 

“Alah, keluarga dia datang ke rumah kami minggu lepas,” balas Atiqah acuh tak acuh. 

“Sebenarnya Kak Ain, Dr Husin tu kawan ayah masa dolu-dolu. Dua minggu sudah, ayah dengan Dr Husin bertembung di Econsave. Dah lama tak jumpa, kan? Ayah pun apa lagi? Ajak datang ke rumahlah. Bila depa datang, tu dia... siap bawak anak teruna sekali. Tentulah mak kami suka sangat, kan? Doktor tu!” Atifah bercerita disambut hilai tawa Nurain.

“Kira pakej lengkaplah ni?” usik Nurain sebaik tawanya reda.

Atifah angguk. 

“Masa tu kan, Abang Afif tu selalu curi-curi pandang pada kak long. Tapi, kawan Kak Ain ni jual mahal. Muka dia macam dah minum cuka sebotol. Tak senyum langsung! Asyik masam memanjang.” 

“Ya?”

“Ya, Tipah tak tipu.” 

Kedua-duanya ketawa serentak. Sesekali dapat mengusik Atiqah, memang seronok.

“Aku menyampahlah dengan dia tu. Depan orang tua pun tak tahu nak jaga mata. Tengok orang macam nak telan. Kau tahu, Ain? Aku rasa macam dia X-ray aku dengan mata dia tu, tau! Geli!” Atiqah memberitahu.

Ketawa lagi. 

“Gelaklah! Gelak lagi. Gelak!” marah Atiqah. 

“Peliklah perangai kau ni, Iqa. Sebab itu aje kau tak suka dia? Ke, kau dah ada buah hati?” soal Nurain bersama kerutan di dahi. 

“Ain? Berapa lama kau jadi kawan baik aku?”

Nurain segera kembangkan sepuluh jari, bermakna mereka sudah berkawan selama 10 tahun.

“Habis tu, ada kau nampak aku serius dengan sesiapa?”

Nurain menggeleng. Laju.

Atiqah berdiri. Dia tersenyum memandang raut Nurain dalam-dalam.

“Aku yakin, Afif tu bukan untuk aku. Kami tak ada chemistry la. Bila dia tengok aku, aku tak rasa apa-apa pun, tau! Rasa nak marah, rasa meluat, adalah!”

“Apa-apa tu, apa, kak long?” 

Lama Atiqah memandang wajah lembut adiknya. 

“Cik Atifah sayang, kalau dia lelaki ‘Mr Right’ kita, Allah akan beritahu kita. Masa tu, jantung kita akan berdegup kencang bila dia tengok kita. Bila dia senyum aje, hati kita terus bergetar. Bila dia dekat, kita gelisah. Bila dia jauh, kita teringat-ingat. Bila dia bercakap, suara dialah yang paling sedap.” Atiqah memberitahu, tersenyum sambil berundur sedikit demi sedikit. Dia langsung tidak memahami isyarat mata Nurain yang menyuruh dia berhenti. Dia langsung tidak endahkan Atifah yang menutup mulut dengan tapak tangan. Hanya setelah dirinya jatuh tersembam ke atas rumput, barulah dia mengerti! 

Budak berdua itu menyuruhnya berhenti untuk mengelak lelaki yang sedang berlari turun menuju ke arah dia. Tapi, dia tak faham. Sebab itu mana sempat mengelak? Apa lagi? Berlanggarlah! Sekarang ni, tubuh lelaki itu sudah menghempap dirinya. Oh tidak! 

“Adoi!”

Jeritan halus Atiqah melantun kuat di pagi hari nan hening. 

“I’m sorry, miss. So very sorry.” 

Mujurlah lelaki itu segera bangun. Jadi, tentu dia bukan jenis yang suka ambil kesempatan. Lepas tu, dia tahu yang dia dah buat salah. Sebab itu dia cepat-cepat minta maaf. 

Tak tahu kenapa, tiba-tiba Atiqah rasa jantungnya berdegup laju. Tak fasal-fasal rasa berdebar. Tapi, dek kerana kakinya berasa sangat sakit, tetaplah ada rasa marah dalam hati.

“Saya ni punyalah besar berdiri tegak kat situ, boleh awak tak nampak? Awak langgar jugak? Kat mana awak bubuh mata?” jerkahnya lalu mendongak. Hendak juga tengok paras rupa orang yang melanggarnya. Apa lagi? Sebaik sahaja pandangan bertaut... 

“Kau?” Lelaki itu menjerit.

“Awak?” 

Atiqah pun sama. 

Masing-masing terkejut bukan main!

Sudah seminggu sejak kejadian di pagi hari Isnin itu. Rasa malu akibat diusik Zharif, masih belum hilang lagi. Hari ini, mereka bertembung pula. 

Kenapa setiap kali terserempak, mesti ada kejadian yang memalukan dirinya begini? 

Atiqah menyambut huluran tangan Atifah. Kini, dia sedang berdiri. Ketika hendak melangkah, kaki kanannya berasa terlalu sakit. Nasib baik Atifah ada memeluk dia. 

“Kau terseliuh ni, Iqa! Tengok! Dah bengkak di sekeliling buku lali kau tu. Boleh ke kau berjalan?” tanya Nurain penuh risau. 

Zharif mendekat. Wajah gadis yang sedang menahan sakit itu ditatap.

“Tengok apa? Saya masih boleh berjalanlah.” Atiqah memberitahu. 

“Kalau macam tu, berjalanlah! Jalan sekarang! Yang berdiri tercegat lagi tu, kenapa?” perli Zharif.

“Saya nak berjalanlah ni! Yang awak jadi pak pacak depan saya ni, pasal apa? Shooh! Shooh! Pergi sana!” Atiqah menghalau. 

Atifah dan Nurain saling berpandangan. Kedua-duanya pelik melihat perangai Atiqah. Kenapa dengan dia? 

“Kak long, apa pasal garang sangat ni?” Atifah garu kepala. 

“Oh, dia ni memang garang, dik. Cengil!” 

Zharif yang menyahut. Puas hati dapat mengutuk Atiqah. Garang sangat! Padan muka!

“Awak tu mulut jahat,” balas Atiqah.

“Suka kutuk orang.” 

Zharif tidak mahu kalah. 

“Perasan.”

“Betul tu! Awak la! Perasan bagus!”

“Kak long!” 

Panggilan Atifah segera menyedarkan Atiqah. Dia menoleh memandang seraut wajah yang sedang tersenyum nakal. 

“Siapa ni?” Atifah tanya. 

Aik? Nak tanya soalan itu aje?

“Dia tak kenal abang, dik. Abang pun tak tahu nama dia! Masa kami jumpa kali pertama dulu, dia ni ingat abang nak...”

Ayat tergantung? Kalau sedang menjawab soalan Bahasa Melayu SPM, gerenti gagal, hati Atiqah menggerutu geram. 

“Tutup mulut awak tu, ya! Pandai aje nak mengutuk orang. Tak habis-habis!” marahnya. 

“Awak tu yang sepatutnya diam, tahu?” Zharif berkata lalu menoleh ke arah Atifah. “Dia dengan adik ni siapa?” 

“Kakak saya ni, bang. Kak long saya. Nama dia Atiqah.” Atifah memberitahu. 

“Oh, Atiqah. Nama abang, Zharif. Umur, 28 tahun.” Zharif kenalkan dirinya.

“Eleh, orang tak tanya pun.” Atiqah mencebik. 

Zharif sengih. “Saja nak bagi tahu.”

Atiqah terus jeling. Sakit hati kerana setiap kali dia kutuk, ada sahaja jawapan yang keluar daripada mulut Zharif. Grrr!

Atifah dan Nurain melirik dan tersenyum. Berasa seronok melihat dua insan yang asyik hendak bertekak di hadapan mereka. Geli hati pun ada terutama ketika melihat gelagat Atiqah yang tidak mahu kalah bertikam lidah. Aisey, muka tu macam tak puas hati saja?

Tiba-tiba ada suara melaung. “Zharif, berapa lama lagi nak jual minyak urat? Kami nak balik dah.”

Atiqah mencemik. 

‘Mesti kawan-kawan dia tu. Senget macam dia jugak!’ kutuknya di dalam hati. 

“Weh, tunggu aku!” balas Zharif. Tanpa pamitan, dia terus pergi mendapatkan kawan-kawannya itu. 

“No manners!” Atiqah merungut. 

Nurain kerut dahi tengok sahabat baiknya yang mencuka mukanya. 

“Awat marah-marah, cek? Kuciwa sebab si dia buat derk ka?” Saja dia mengusik dalam loghat Kedah. Maklumlah dia, Changlun mari. 

“Dahlah! Jangan nak sindir-sindir aku pulak. Jom balik! Aku dah lapar ni!” bentak Atiqah. 

Baru hendak memulakan langkah, Atiqah terus terjerit. “Sakitnya!”

Dia tak mampu bergerak. Malah kembali terduduk. Kini, kakinya tidak boleh diangkat sama sekali. Hendak melangkah? Lagilah!

“Dah patah ke kaki kak long kamu ni, Tipah? Macam mana ni? Apa nak buat?” tanya Nurain, cemas. 

Dahi Atiqah sudah berkerut-kerut menahan sakit. Rasa hendak menangis pun ada. Ingatkan sikit saja tadi. Tetapi, kenapa hendak berdiri pun dia tidak mampu? 

Tiba-tiba dirinya yang ringan terasa dicempung seseorang. 

“Hey, apa ni?” Atiqah menjerit sambil terkapai-kapai dalam dukungan sepasang tangan kekar. Hendak melepaskan diri tetapi tidak berjaya.

Rupa-rupanya, Zharif datang semula dan kini sedang mendukung Atiqah sambil berjalan menuju ke arah keretanya. Nurain dan Atifah yang turut terkejut, kehilangan kata-kata.

“Jangan cakap apa-apa! Perkara pertama yang kau orang mesti tahu ialah aku bukan nak ambil kesempatan. Aku cuma nak tolong dia ni aje. Aku nak bawak dia ke klinik terdekat. Kau orang ada kereta?” 

Atifah angguk. 

“Kalau macam tu, kau orang ikut kereta aku dari belakang. Aku nak bawak dia ni pergi klinik.” Zharif memberi arahan kepada Nurain dan Atifah. Arahan yang tidak mampu hendak disanggah oleh mereka. 

“Tapi...” Atifah sedikit ragu. 

Zharif tersengih. Geli hati melihat gelagat Atifah yang cemas. 

“Relaks la! Jangan risau! Aku tak bawak lari kakak kau ni. Tak ingin aku!” 

Kata-kata itu menyebabkan Nurain dan Atifah mengekek. Zharif bermuka selamba. Namun, Atiqah? 

Atiqah sedang marah. Sebab itu, dia meronta-ronta. 

“Lepaskan! Saya nak turun! Lepaskan! Saya boleh jalan sendiri,” jeritnya.

Zharif berhenti melangkah. Atiqah yang sedang didukung, direnung. 

“Aku campak kau sekarang, ya?” 

Zharif membuat gaya seperti hendak mencampak Atiqah. Kerana takut, Atiqah terus memeluk leher Zharif sambil memejamkan sepasang mata. 

Entah mengapa, hati masing-masing bergetar hebat. Jantung masing-masing degup-degap. Ada yang tak kena dengan kedua-dua organ itu, fikir mereka.

Atiqah tak bergerak dah. Kaku dan malu. Tak pernah-pernah mengalami situasi macam ni. Aduhai, di mana nak letak muka?

“Hah, macam tu la! Jangan asyik nak melawan cakap orang.”

Atiqah berasa sakit hati apabila disindir Zharif. 

“Helo, boleh jalan laju sikit tak? Saya tak tahanlah dengan bau badan awak ni! Masam!” 

Sengaja dia hendak mengenakan Zharif.

“Ada jugak yang nak kena campak dalam tasik ni karang.” Zharif mengusik. 

Erk?
...............
ada yang suka zharif dengan atiqah jatuh cinta? oh... jalan masih berliku. banyak lagi dugaan bakal ditempuh. pape pun, enjoy citer ni ya!


6 ulasan:

  1. tapi cm best je kalau tiqah ngan En. Doktor...adventure je...cz kalau ngan zharif tu cm bese sgt dlm cerita2 novel...nyway gudluck in giving the best story

    BalasPadam
    Balasan
    1. utk tahu... teruskan membaca bab2 seterusnya. ada kejutan utk anda... hehe

      Padam
  2. tapi kalau boleh nak tiqah ngan en. doktor yg kerek tu...cm best je to make and interesting story - with more adventure plot....

    BalasPadam
    Balasan
    1. insyaallah hope x miss bab2 akan dtg

      Padam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Komen

blogger-fcebook

Disqus Shortname