Langkau ke kandungan utama

BAB 3 - Tiada Yang Lain

senyumnya menggoda, kan?

GEMBIRA sungguh Salmah dan Idris menyambut ketibaan tetamu-tetamu mereka. Kawan lama yang hampir 25 tahun tidak berjumpa. Sebab itu, sebaik sahaja Nora turun daripada kereta, Salmah memeluknya erat. Begitu juga dengan Dr Husin yang dipeluk oleh Idris. Masing-masing melepaskan rindu yang lama terpendam. 

“Lamanya kita tak jumpa, Deris. Tengoklah! Tua dah kita, kan?” ujar Dr Husin penuh mesra. 

Idris segera mengangguk. 

“Memang kita dah tua. Tengoklah ni. Masa aku balik kampung dulu, umurnya baru 6 bulan. Sekarang, dah 25 tahun pun.” 

Semua mata tertumpu kepada Atiqah menyebabkan gadis itu berasa serba salah. Untuk menutup resah, Atiqah tunduk menyalami tangan Nora. 

Dr Husin mengamati raut yang cantik itu. 

“Ni... Atiqah ke Deris?” tanya dia. 

Idris angguk. 

“Cantiknya kamu, Iqa.” Nora menambah perisa. 

“Dan yang debab sikit ni, nama dia Atifah. Muda lima tahun daripada kakaknya tu,” sambung Idris. 

Waktu itu pintu di bahagian pemandu terbuka. Seorang pemuda keluar dengan bergaya. Sungguh kemas penampilannya, siap bertali leher lagi. Dr Husin segera memanggil. 

“Afif, sini!”

Afif mendekat tapi dia tidak bersuara. Diam sahaja. 

“Mari ayah kenalkan. Ini Pak Cik Deris. Yang itu Mak Cik Salmah. Yang cantik-cantik ni, anak-anak mereka. Yang ini, Atiqah. Tu adik dia, Atifah.”

Afif tunduk bersalam dengan Idris. Tetap tanpa suara. Tidak tersenyum juga. 

Atifah suruh kakaknya tunduk dan pinjamkan telinga kepadanya. Terus dia bisikkan. “Sombong!”

Atiqah sembunyi senyum sambil mengangguk. 

Wajah Idris tampak keliru pula. 

“Afif? Bukan nama anak kau dulu tu... Hasif ke, Husin?”

Wajah Dr Husin berubah. Nampak sedih secara tiba-tiba. 

“Kau ingat lagi pada Hasif, Deris?” tanya dia.

Idris angguk. Mana boleh lupa? Hasif tua 5 tahun daripada Atiqah. 

Dulu, waktu mereka muda, mereka selalu jumpa. Kadang-kadang Idris ke rumah Dr Husin. Sesekali Dr Husin pergi ke rumah Idris. Hasif suka sangat pada Atiqah. Tapi, itulah... Hasif ialah kanak-kanak istimewa. Dia menghidap down sindrom.

“Hasif dah lama meninggal, Deris. Mujurlah kami ada Afif. Dialah pengubat rindu kami pada Hasif.” kata Nora, sebak. 

Salmah segera memeluk tubuh kawan baiknya itu. 

“Maaflah, Nora. Kami tak tahu pun. Apa sakitnya?” tanya dia.

Nora dan Dr Husin saling berpandangan. 

“Pendarahan otak, Sal.” Lambat-lambat Dr Husin memberitahu. 

Tidak mahu keadaan ceria bertukar sedih, Idris menepuk-nepuk bahu Afif. 

“Mujur ada kamu ya, Afif?” 

Susah untuk ditafsir senyum yang menguntum pada bibir pemuda itu. 

Waktu itu, Salmah kelihatan teruja sekali.

“Afif kerja apa?” tanya dia. 

“Doktor.” Jawapan pendek tanpa senyuman. 

Semakin meleret senyuman di bibir Salmah. “Oh! Doktor!”

Atiqah dan Atifah berbalas renungan. Rasa pelik pula dengan perangai ibu mereka. Senyum bukan main meleret lagi. Apa hal? Dah suka pada doktor muda yang sombong tu? 

‘Ceh! Jawab soalan emak pun dengan muka tak ada perasaan. Itu pun emak berkenan?’ Atiqah mengutuk di dalam hati.

“Err, mak, ayah! Ajaklah mak cik dengan pak cik masuk ke dalam rumah kita. Takkan nak biar tetamu berdiri di luar aje?” sinis Atifah.

Atiqah berasa lega ya amat. Kalau tidak, jenuh nak berdiri di sini lagi. Bukan apa! Dia rimas dengan perangai doktor muda itu. Tak menahan langsung! Agak-agaklah kalau nak tenung anak dara orang, macha! Takkan di hadapan emak bapak dia pun mata tu macam nak telan orang? 

Sakit hati dengan tingkah Afif yang terus-terusan merenungnya, Atiqah segera meminta diri.

“Iqa ke dapur dulu, mak. Nak bancuh air. Jom, Tipah!” 

Tidak menunggu jawapan Salmah, laju sahaja Atiqah mengatur langkah sambil tangannya menarik tangan Atifah. Pontang-panting tubuh debab itu mengikutnya. 

“Kak long, apa ni? Tarik-tarik tangan orang! Relakslah! Bukan kita nak masak. Semua dah ready, apa?” Atifah meluah rasa tidak puas hati. 

Atiqah memekakkan telinga. Selamba dia memanaskan air. Dia kemudian mengambil tin susu sejat F&N lalu menyerahkannya kepada Atifah. 

“Nah! Bancuh air nescafe. Ayah pesan suruh kamu buat. Sedap, katanya.” Dia memerintah. Garang!

Atifah kehairanan. Mana tidaknya? Tiba-tiba sahaja kakaknya jadi singa lapar. Kenapa? 

Waktu itu pandangannya tertuntas ke ruang tamu. Ah, baru dia faham. Lantas ketawa geli hati. Terus dia mendekati kakaknya yang sedang mengaut bihun goreng ke dalam bekas. 

“Kak long rimas ek? Sebab abang tu asyik tengok kak long, ya?” usiknya.

“Mata dia tu nak kena cucuk dengan garpu,” balas Atiqah, tidak menyembunyikan rasa meluat terhadap Afif.

“Kenapa marah sangat? Dia tengok aje kut?” gumam Atifah pula.

“Kak long tak suka orang yang tak reti nak jaga mata macam tu. Tengok sekali lepas tu tundukkanlah pandangan. Ini tidak! Dia pandang kak long atas bawah dan lepas tu dia senyum sorang-sorang. Gatal! Eeii, tak tahan! Panas hati kak long dibuatnya.” 

Atifah terangguk-angguk. 

“Betullah! Tapi, tu tanda dia dah suka kat kak long, kan? Dalam hati dia dah ada taman!” 

“Shut up!” Atiqah memberi arahan sambil mengetap bibir.

“Kenapa suruh orang diam pulak?” Atifah bertanya. 

“Kak long tak suka kamu usik-usik macam tu!” Atiqah berterus terang. 

Lagilah adiknya tidak memahami. 

“Kak long tak suka abang handsome tu?” tanya Atifah. 

“Tak suka!”

“Peliklah kak long ni. Tuan doktor tu!” Atifah sengaja membakar perasaan kakaknya.

“Kak long tak suka doktor,” balas Atiqah, tegas.

Atifah ketawa. Teringat kisah waktu mereka kecil dahulu. Setiap kali Atiqah demam, dia pasti cuba berlagak sihat. Hanya kerana dia tidak mahu ke hospital. Takut benar nak makan ubat. Takut juga kalau-kalau kena suntik. Aduhai...

“Sebab doktor suka cucuk orang, ya? Kak long kan takut hospital?” 

Atiqah tidak mengendahkan usikan itu. 

“Kak long ni memilih sangatlah! Sebab itu umur dah 25 tahun tapi tak ada boyfriend lagi,” kutuk si adik.

Bulat sepasang mata Atiqah mendengar kutukan itu. Tapi, dia malas membalas. Biarlah Atifah dengan andaiannya. 

“Dah siap berhidang? Bila nak jemput tetamu kita minum ni? Dah lupa apa ayah cakap? Tetamu mesti dirai. Kena cepat-cepat hidangkan air untuk mereka. Tak ingat?” bebel Salmah yang tiba-tiba terjengul di muka pintu dapur bersama-sama Nora.

Kelam kabut dua beradik itu meletakkan teko dan cawan di atas meja. Macam lipas kudung pergerakan mereka kali ini. Tidak sampai lima minit, semua siap terhidang. 

“Jemput minum, mak, mak cik.” Atiqah mempelawa. 

Salmah menarik tangan Nora untuk duduk di kerusi dalam ruang makan yang sempit itu. 

“Jom minum! Boleh rasa air tangan budak-budak ni.” Dia kemudian menatap wajah Atifah. 

“Tipah, pergi panggil ayah. Jemput pak cik doktor dengan Abang Afif sekali.”

Atifah mengerling ke arah kakaknya sekilas sambil tersenyum-senyum menyebabkan Atiqah berasa geram. Ingin sahaja dia mencubit bibir itu. Wajah merona merah apabila melihat ibunya dan Nora saling berbalas renungan. Apakah yang sedang mereka fikirkan? 

Janganlah hendaknya ada agensi pencari jodoh di sini, pinta hatinya. “Cantik anak-anak kamu, Sal. Iqa ni dah kerja ke?” tanya Nora ramah. Sepasang mata tidak lepas merenung paras Atiqah. 

“Dah. Iqa kerja di Affin Bank, Seri Kembangan, Nora. Lulusan banking kat UiTM tu!” 

Dengan bangga Salmah memberitahu. 

“Baguslah tu. Cuma, kerja di bank ni selalulah balik lambat, kan?” 

Nora masih berminat ingin tahu aktiviti harian Atiqah. 

Salmah mengangguk. 

“Itulah pasal! Sal tak berapa berkenan sebenarnya, Nora. Faham-faham ajelah! Kerja bank ni, perginya awal pagi. Waktu balik pula tak tentu masa. Kadang-kadang tu pukul sepuluh, sebelas malam baru sampai ke rumah. Langsung tak ada masa untuk diri sendiri. Asyik kerja, kerja, kerja! Risau hati Sal ni!” omelnya.

“Alah mak ni! Bukannya selalu orang balik lambat. Hujung bulan aje.” 

Atiqah sudah tidak sanggup menjadi pendengar sahaja. Tidak sanggup juga aktiviti hariannya diceritakan kepada orang lain. 

“Kalau kau nak tahu, Sal, si Afif tu pun apa kurangnya. Asyik sibuk memanjang. Mentang-mentang kerja doktor? Pagi, petang, siang, malam, asyik ulit pesakit dia aje. Nak ajak ke mana-mana, susah bukan main, tau!” 

Nora pula mengadu tentang sikap Afif. 

Ah sudah! Apasal banding-banding hidup aku dengan doktor tu? Macam ada yang tersirat sahaja. Atiqah mula berasa tidak seronok. Risau pun ada. 

“Tapi, bila diajak ke mari, mahu pulak dia. Gerak hati tu, Sal! Tengok cara dia duk pandang-pandang ke dapur ni tadi, ada peluang kita...”

‘Ada peluang? Peluang untuk apa?’

Dada Atiqah rasa bagai nak pecah. Nampaknya, memang ada agensi pencari jodoh sekarang. Di antara ibunya dengan Mak Cik Nora, seolah-olah sedang mengatur sesuatu. Aduhai! Mereka berdua ingat ini zaman sebelum merdeka ke? Siap nak matchmake orang bagai? 

Satu keluhan terlontar. 

Tak suka! Tak suka!
.......
yang ni pula kak sofi nak kenalkan anda kepada watak afif pula. dia hero kedua cerita ini. harap anda suka. kepada yang pernah baca kisah ini lama dulu, kak sofi cuma nak habaqa yang semua sudah berbeza. tak lagi seperti dahulu, okey! 

enjoy!


Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…