Langkau ke kandungan utama

Bab 3 - Sampai Bila



“WAU!”




Pemuda itu mengerutkan dahi. Tajam dia memandang ke arah teman rapat yang duduk di sebelahnya. Tiba-tiba sahaja mengeluarkan suara yang menunjukkan rasa penuh kagum dan terpesona. Bunyi pun semacam aje! Gatal!

“Wau!” 

Kali ini, dia menoleh ke arah yang dilihat oleh Samad. Ingin juga mengetahui apa yang membuat kawannya itu terpegun sangat. Tetapi, sekali pandang sahaja, Adnan Malik sudah menggelengkan kepala. 

“Ingat apalah tadi,” gumamnya sambil mencapai gelas berisi teh tarik yang baru diletak di atas meja. Malas hendak merenung. Fikirnya, ada benda pelik yang membuat Samad teruja. Rupa-rupanya, teruja tengok perempuan. Isk... Isk!

“Cantik betul perempuan yang pakai baju warna biru tu, Ad. Trendy orangnya! Padan betul baju dengan warna seluar Palazzo yang dipakainya tu. Seksi dan...”

“Dan?”

“Dan menggiurkan.” 

Adnan Malik mencebik. 

Kerana kata-katanya tidak bersahut, Samad menoleh. Wajah selamba, tidak beriak, tanpa perasaan milik Adnan Malik, ditatap. 

“Ad, nak kata kau ni gay, tidak. Tapi, aku hairan betul dengan sikap kau. Macam mana kau boleh tak tergugat tengok minah cun melecun macam tu? Mata kau dah rabun, ek?” sindirnya. 

Lelaki itu tetap begitu. Diam. Bisu. Tanpa suara. 

“Ad!”

Adnan Malik meletakkan sudu dan garpu. Nasi yang sedang dikunyah, ditelan. Hati menggumam geram kerana rasa terganggu dengan perangai Samad. Waktu makan, kalau boleh, Adnan Malik memang tidak suka bercakap. Lagipun dia tidak suka kalau topik perbincangan ialah tentang perempuan. Boleh patah selera! Huh!

“Kau pun tahu yang aku memang tak suka cakap fasal perempuan, kan? Bagi aku, mereka makhluk yang menyusahkan!” balasnya.

Giliran Samad pula untuk mencebik. “Sebab itu, dah umur 30 tahun pun, masih tak ada girlfriend. Anti perempuan sangat! Takut dia orang nak dekat dengan kau!” kutuknya. 

“Aku rasa kan, Samad, kita kena cari ofis barulah! Yang besar sikit daripada ofis kita sekarang ni. Pejabat kita tu dah sempit sangat sampai ruang nak melangkah pun tak ada.” Adnan Malik mengubah topik. Hatinya lebih seronok kalau mereka bercakap tentang pejabat dan kerja. Dia lebih suka berbincang tentang rekaan, hiasan, wallpaper, berbanding menyentuh soal perempuan. Dia benci bercakap tentang spesies itu. Topik yang memang tak pernah masuk dalam senarai hidupnya!

“Jangan nak ubah topik, Ad. Nanti-nanti, kita boleh bincang tentang pejabat kita tu. Sekarang ni, kita sedang sembang pasal kau. Pasal sikap kau terhadap perempuan. Kenapa kau benci mereka?” Samad beria-ia hendak tahu. 

La, tak habis lagi Samad ni? rungut Adnan Malik dalam hati. Dalam dengusan, dibalasnya sinis, “No comment!” 

“Ad! Selama aku kenal kau, kau tak pernah ada girlfriend. Ramai yang minat pada kau, semua kau buat tak peduli. Tak ada perkataan yang sesuai untuk sikap kau tu kecuali dua. Satu, kau anti perempuan. Dua, kau tu... gay! Jadi, yang mana satu yang betul? Pilih cepat!” desak Samad. Wajah Adnan Malik ditatap sambil tersenyum-senyum. 

Adnan Malik berasa tidak selesa. Tetapi, dia perlu menjawab soalan itu. Tidak mahu dianggap yang bukan-bukan oleh Samad atau sesiapa pun! 

“Samad, aku tak benci perempuan, okey. Aku sayang mak aku apa? Adik-adik aku, anak-anak saudara aku yang perempuan. Aku tak ada masalah dengan kaum Hawa ni.” Adnan Malik sudah mula meninggikan suara. 

Samad senyum. “Maksudnya, kau ni...”

Kerana geram, Adnan Malik menendang kaki Samad di bawah meja, menyebabkan kawan baiknya itu terjerit kecil. 

“Sekali lagi kau sebut perkataan tu, aku angkat kau, aku campak atas kuali roti canai mamak yang panas tu! Kalau kau nak rasa jadi udang kena bakar, kau buat!” jerkahnya dalam suara yang cuba dikawal kelangsingannya. 

Samad ketawa. Ketawa yang mengundang kepala-kepala berpaling ke arah mereka. Kebetulan, gadis yang menjadi perbualan mereka turut merenung. 

Adnan Malik terkesima. Diam, tidak mampu bersuara. Dalam hati dia turut menyetujui kata-kata Samad. Memang gadis itu cantik. Tak puas mata merenung. Mereka saling memandang. Untuk seketika, Adnan Malik hanyut dalam pesona rasa. Entah mengapa, ada getar dalam dada melawan renungan lembut yang dilemparkan ke arahnya. Namun dalam sekelip mata juga, Adnan Malik segera menoleh ke arah lain. Cukuplah! Dia tidak mahu tergoda! 


“KALAU Abang Tiar kau tengok cara kau pandang lelaki tu, Lisa, menangis dia!” perli Yanti di sebelah, sambil menggeleng. 

Dari tadi, dia perasan bagaimana Alisa asyik memandang ke satu arah. Ketika dia menoleh, dia melihat seorang lelaki. Entah apa yang menarik tentang lelaki itu di mata Alisa, Yanti tidak tahu. Tetapi, nampaknya, lelaki itu berjaya menarik perhatian sahabat baiknya itu. 

Alisa ketawa mendengar usikan Yanti. Pipi rasa pijar. Malu juga apabila disakat begitu. Terasa macam dia terlebih gedik pula. 

“Tak sangka pulak, ada lelaki yang mampu menarik minat kau. Selalunya, kau yang buat kepala dia orang terpusing-pusing. Tapi hari ini, kali pertama aku tengok kepala kau terteleng tengok lelaki. Pelik ni,” ujar Yanti lagi.

Alisa melarik senyum. Masih tidak bersuara. 

“Tapi, aku tengok dia tu lain macam sikit.” 

Kening Alisa terangkat. Sudah seperti Ziana Zain mendengar kata-kata Yanti. “Kenapa?” 

“Sebab, dia tak toleh berkali-kali macam lelaki lain. Kawan dia tu, ya! Sekejap-sekejap toleh. Sekejap-kejap tengok. Tapi dia? Macam tak peduli saja.” 

Alisa mengangguk. Memang itu yang dia rasa. Lelaki itu tidak kisahkan dia. Tidak langsung peduli kepadanya. Kan bagus kalau ramai yang seperti dia? Aman dunia. Hati mengomel. Menoleh sekali lagi ke arah lelaki itu, dia dapati meja itu sudah kosong. Lelaki itu sudah tiada. 

“HELO, Lisa. Hari ini makan kat kedai mamak aje? Selalu, kalau tak di Restoran Berputar, aku jumpa kau di Kenny Rogers. Tak pun, di Eden. Victoria Station ke? Tapi, hari ni? Di sini? Tak jatuh standard ke?” 

Sapaan seorang lelaki mengejutkan Alisa dan Yanti. Ketika mendongak, Alisa menjeling geram. Dia kenal benar dia dengan lelaki yang sedang tersengih, berdiri berhampiran dirinya. Itulah Rudi. Rudi ialah bekas teman lelaki yang ditinggalkannya enam bulan yang lepas, sebaik saja dia mula rapat dengan Bakhtiar. 

“Samalah juga dengan orang yang bertanya tu! Duit dah tak cukup ke nak belanja member kat restoran mahal? Atau mungkin kad kredit dah kena sekat sebab tak mampu nak bayar bil?” balas Alisa pedas. Balasan yang menyebabkan pipi lelaki berkulit putih itu merona kemerahan. 

Lelaki itu menundukkan wajahnya hampir ke muka Alisa. “Amboi, mulut? Hei, aku tak sengkeklah, Lisa. Kau tu aje yang bodoh tinggalkan aku untuk mengejar si tua kutuk tak sedar diri tu!” marahnya.

Alisa menghempaskan sudu dan garpu ke atas pinggan. Mata mencerlung garang. 

“Suka hati akulah nak kejar dia pun. Kau peduli apa? Sedap mulut kau cakap dia orang tua kutuk tak sedar diri, ya? Kau tu lagilah! Dah orang tak berkenan, duk terhegeh-hegeh lagi. Nak merayu jugak-jugak! Tak faham bahasa!” balasnya garang. 

Rudi sakit hati mendengar cemuhan Alisa terhadapnya. “Helo, siapa yang nak merayu pada kau? Perasan!”

“Baguslah kalau kau tak nak merayu-rayu aku ni. Jadi, apa tunggu lagi? Blahlah! Sakit mata aku tengok muka kau tu, tau!” 

Yanti panas punggung. Dari tadi, dia memegang dan menarik-narik tangan Alisa. Dia takut kalau-kalau Rudi akan buat sesuatu kerana wajah itu sangat garang dan seperti hendak menelan orang. 

“Jangan sombong sangat dengan aku, Lisa! Jangan ingat bila kau dah dapat orang tua kaya tu, kau nak berlagak dengan aku. Aku yakin, bila esok-esok dia tak dapat puaskan kau, kau patah balik cari aku. Kuat mana sangatlah orang tua tu, kan?” bisik Rudi sambil mengelus-elus pipi kiri Alisa. 

Jari-jemari itu segera Alisa tepis. Bibirnya menguntum senyum yang amat manis tatkala suara terlontar. “Bakhtiar memang tua, Rudi. Tapi dia jauh lebih baik daripada kau. Dahlah pemurah, banyak duit, gagah pulak tu! Kau? Sampai bila-bila pun kau tak akan dapat menyaingi dia, tahu! Jadi, aku harap kau jangan tunggu aku atau jangan nak merayu aku balik pada kau pulak. Sebab kalau aku nak lelaki macam kau, bersepah-sepah ada kat Kuala Lumpur ni. Tapi, aku dah serik! Biarlah aku dengan orang tua tu, daripada makan hati dengan yang muda tapi tak guna macam kau ni!” 

Rudi tersentak mendengar penghinaan yang meniti bibir Alisa. Sakitnya hati, tak tahu nak cakap! Hanya penumbuk yang dikepal menunjukkan betapa geramnya dia kepada gadis yang terlalu celopar mulutnya ini. 

“Aku? Tak guna? Jagalah kau, Alisa! Satu hari, aku akan tunjukkan pada kau siapa aku! Kau tunggu!!!” bentak Rudi sebelum berlalu meninggalkan meja gadis itu. 

Yanti menggeleng. Wajahnya cemas. Dia risau memikirkan ugutan Rudi terhadap Alisa tadi. 

“Kau ni, Lisa. Cubalah jaga sikit mulut tu! Kau tak takut ke dengan dia?” marahnya. 

Alisa tersengih. “Jangan risau sangat. Rudi memang begitu. Cakap berdegar-degar, tapi habuk pun tarak!” 

Yanti pandang wajah Alisa dalam-dalam. “Jangan anggap remeh cakap dia, Lisa. Rudi tu dendam sangat dengan kau. Aku takut nanti, bila dia dah tak boleh kawal perasaan cemburu, dia akan apa-apakan kau. Kalau dia baling asid kat muka kau, macam mana?”

Pucat muka Alisa mendengar cakap Yanti. Risaulah juga! Terbayang wajah-wajah yang pernah dilihat di kaca TV dan di dada akhbar. Wajah-wajah yang dahulunya cantik bertukar menjadi hodoh akibat perbuatan balas dendam si kekasih yang dikecewakan mangsa. Kecacatan teruk dan kekal akibat terkena simbahan asid!

“Kau ni pun satu jugak! Rudi tu sikit punya smart, bergaya! Anak orang kaya pulak tu! Kerja CEO di pejabat ayah dia. Dah tu, dia gilakan kau separuh mati. Tapi, sikit pun kau tak mahukan dia. Tak mahu langsung balas cinta dia. Yang tua nak mati tu jugaklah yang kau ikut ke sana, ke mari. Usah kata si Rudi tu, aku ni pun sampai sekarang tak faham kenapa kau pilih orang tua tu, tahu!” bebel Yanti lagi.

Alisa ketawa. “Helo, Rudi tu anak orang kaya. Bakhtiar pulak, pemilik Samira Corps Sdn Bhd. Rudi tu ikan bilis aje sedangkan Bakhtiar, ikan jerung, weh! Buat apa aku nak pilih ikan bilis bila aku boleh dapat jerung yang besar? Betul tak?” balasnya riang. 

“Yalah tu! Eloklah! Pilihlah ikan jerung yang ganas! Sekali dia ngap kau, habis!” rungut Yanti sebelum dia bangun untuk mencuci tangannya. 

Sambil duduk, Alisa melihat ke arah skrin telefon bimbitnya. Dia tersenyum manis apabila ada mesej yang baru masuk. Mesej daripada teman lelakinya, Bakhtiar. 


Sayang, I rindulah! 


Segera dibalasnya. 


Dah buang tabiat ke, Abang Tiar?


Tidak lama kemudian, 


Sampai hati sayang cakap macam tu! Nak merajuklah! 


Alisa ketawa. 

Yanti yang sudah duduk semula di tempatnya sambil menyisip air tembikai, terus menarik muka masam. Meluat betul dia melihat keceriaan pada wajah Alisa apabila saling berbalas mesej dengan lelaki tua itu. 

“Lisa?” panggilnya. Yanti mahu mengajak Alisa pergi dari situ. Banyak lagi yang hendak dibuat. Kalau asyik melayan lelaki tua itu dan SMSnya, bila nak gerak?

Alisa mendongak. 

“Jom! Kata tadi nak beli novel,” ajak Yanti. Dia rimas dan ingin. 

“Kejap, Yanti. Aku nak balas mesej Abang Tiar ni hah. Kejap aje, okey!” ucap Alisa. Jari-jemari runcingnya sibuk menekan tiap simbol dan huruf. 



Abang, Lisa nak pergi MPH ni. Nak beli novel. Abang jangan nakal-nakal, ya! Kalau pergi mana-mana, biar Pak Mail bawa kereta. See you tomorrow. Luv you, Alisa.

Tak sampai setengah minit, balasan pesanan ringkas daripada lelaki itu masuk. Alisa ketawa mengekeh semasa membacanya. 



Sayang, I nakal dengan you aje.



Ia ke?



Sumpah! 



Alisa ketawa lagi. Pesanan baru masuk lagi. 

Yanti sudah gelisah. Rimasnya!



You jangan main mata dengan orang lain, tau. Nanti I jealous. Okey, sayang, I nak tidur kejap. Tapi, frankly, I tak sabar tunggu esok. I nak... hahaha. (Tu mesti dah blush! Kan?) 



Senyum menghiasi bibir Alisa. Hmm, tak sabar tunggu esok, bisik hatinya. 

“Aku rasa kan, kau ni dah angau dengan orang tua tu. Bila aku fikir-fikirkan, kau dengan dia yang paling lama. Dah enam bulan dan masih lagi bertahan. Selama ni, paling kuat, paling lama pun, dua bulan sahaja. Lepas tu, selamat jalan Romeolah jawabnya.” Yanti berkata dengan dahi sedikit berkerut. Ada kebimbangan dalam hati yang terluah. Takut memikirkan Alisa sudah jatuh cinta kepada lelaki tua itu.

“Kau sengaja nak perli aku, ya? Macam aku tak tahu yang kau tu anggap aku ni playgirl, kan?” 

“Bukan aku cakap macam tu! Kau yang sebut ya!” Yanti membalas. 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…