apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.10.13

Bab 2 - Sampai Bila





TUBUHNYA sudah basah dihujani keringat. Jantungnya pula sedang berdegup dengan kencang. Sepasang mata kaku memandang ke satu arah. Di situ, dalam rintik hujan yang semakin lama semakin lebat, sekujur tubuh sedang menggelepar. Bagai ayam yang baru sudah disembelih, kaki dan tangan bergerak-gerak, tanda diri sedang mengalami kesakitan yang teramat sangat. Bersama alir air hujan di atas bumi yang bergerak perlahan ke arahnya, Alisa melihat warna merah. Darah! Ya, darah! Itu darah ibunya! Dan itu, yang sedang menggelepar itu adalah ibunya! 

Kenapa? Apa yang sudah berlaku? Apa yang sudah terjadi sehingga ibunya kesakitan begini?

“mak! Kenapa, mak? mak!!! Jangan pergi! Jangan tinggalkan Lisa, mak! mak...” 

Sepasang mata terus terbuka, liar memerhati sekeliling ruang kamar tidurnya. Nafas yang tadi mencungap kini sudah beransur perlahan. Helaannya semakin teratur. Tahu bahawa tadi dia hanya bermimpi. Tahu bahawa segala yang kelihatan benar itu adalah kisah silam yang masih ingin menghantui hidupnya. Argh, kalaulah Yanti tidak bercakap tentang lelaki itu, pasti mimpi ini tidak akan hadir. Pasti tidurnya nyenyak sekali. 

“Kaulah ni, Yanti! Sebab kau, aku dapat nightmare itu lagi. Benci kau!” Alisa bebel sendiri. Tubuh diserkup dengan gebar semula malah kali ini gebar itu ditarik sehingga menutup kepala. Namun mampukah menjauh segala kenangan pahit itu? Mampukah menghalangnya daripada lekat di ingatan?

“YA Allah!!!”

Suara jeritan ayahnya buat Alisa terkesima. Dia bangun dan bergerak ke muka pintu. Terkejut melihat ayah yang sudah berlari ke arah rumpun serai di tepi rumah. 

“Asiah!!!”

Sekali lagi ayahnya menjerit. Kali ini menyebut nama ibunya pula. Kenapa? Kenapa ayahnya menjerit memanggil nama ibunya sebegitu? Sayu dan sedih? Pilu? Berkaki ayam, Alisa mengikut ayahnya dari belakang. Tidak lagi peduli pada hujan yang sedang menyimbahi bumi. 

“Asiah!!!” 

“mak? mak!!!”

Sepasang mata kaku memandang. Di situ, di hadapannya, dalam rintik hujan yang semakin lama semakin lebat, sekujur tubuh sedang menggelepar. Bagai ayam yang baru sudah disembelih, kaki dan tangan bergerak-gerak, tanda diri sedang mengalami kesakitan yang teramat sangat. Bersama alir air hujan di atas bumi yang bergerak perlahan ke arahnya, Alisa melihat warna merah. Darah! Ya, darah! Itu darah ibunya! Dan, yang sedang menggelepar itu adalah ibunya! 

Kenapa? Apa yang sudah berlaku? Apa yang sudah terjadi sehingga ibunya kesakitan begini?

“Kenapa ni, Siah? Siapa yang buat awak sampai jadi macam ni?” Suara Azman terlontar penuh kesedihan. 

“Am... ampun... ba... bang.” 

“Kenapa ni, Man? Apa yang dah jadi pada Siah? Ya Allah, kesiannya kawan baik aku.” Suara mak Cik Samiha meratap pilu, semakin menghimpit perasaan. 

“Dia kena langgar ni! Agaknya Haziq yang langgar dia tadi. Aku nampak kereta Haziq keluar dari rumah kau, Man. Aku nampak tadi.” Begitu beria-ia Pak Wan memberitahu. 

“mak? Betul ke, mak? Betul ke dia yang langgar mak? Cakaplah, mak! Cakaplah!” Alisa mengongoi sedih. 

Azman merenung wajah Alisa. “Haziq?” soalnya. 

“Ya, ayah. Haziq! Dia datang sini tadi. Dia nak jumpa ayah. mak suruh dia tunggu kat atas. Tapi dia kacau Lisa kat dapur. Lisa geram sangat pada dia tadi, Lisa baling muka dia dengan gelas. Pecah kena dahi dia. Lepas tu, Lisa ugut nak rodok perut dia dengan kaca. Dia melampau sangat, ayah! Lisa tak tahan! Sebab itu Lisa mengamuk. Mana Lisa tahu yang dia langgar mak pulak. Sumpah, Lisa tak tahu, ayah.” Alisa merintih dalam raungan. 

“mak kamu di mana, Lisa?” tanya mak Cik Samiha. 

“mak cakap dia nak bagi ayam makan,” tangis Alisa lagi.

“Allah! Agaknya masa Haziq tu undur kereta dia tak nampak kamu di reban ayam tu. Siah oi! Allah!!!” mak Cik Samiha merintih lagi. 

“Allahuakbar! Allahuakbar!!!” Azman cuba menenangkan hati dan perasaan. 

“Lisa...” 

Kedengaran suatu suara terlontar lemah dari dua bibir yang sudah pucat, yang sedang terketar-ketar dan menahan kesakitan. Alisa jadi longlai mendengar suara yang tidak bermaya itu. Baru tadi ibunya senyum. Baru tadi ibunya ketawa bersama. Tetapi sekarang? 

“Datang dekat lagi, Lisa,” panggil Azman yang masih memangku kepala isterinya. 

Diri didekatkan kepada ibu yang sedang nazak. Tangan ibu yang terkulai digenggam. Alisa merintih, “Maafkan Lisa, mak. Lisa tak dengar apa-apa pun tadi. Lisa tak tahu. Ampunkan Lisa, mak!” 

Beberapa orang jiran yang turut mengerumuni mereka tiga beranak, lelaki dan perempuan, turut menitiskan air mata. Tentulah hiba apabila melihat bagaimana seorang anak berasa amat bersalah atas apa yang menimpa ibunya. Mereka berasa kasihan melihat Alisa yang menangis tidak berhenti-henti. 

“Jom, Man! Jom, naik kereta aku! Kita hantar Siah ke hospital,” ajak Pak Cik Mansor. Pak Cik Mansor dan mak Cik Samiha ialah ibu bapa Yanti. 

“Aku telefon ambulans, Man?” kata Pak Wan pula. 

Namun Azman hanya menggeleng. Dia seakan-akan tahu bahawa riwayat hidup isterinya sudah sampai ke penghujung. Dengan tenang, tubuh isteri didakap sambil diajar mengucap syahadah. 

“Ayah?” Alisa jadi tidak keruan apabila melihat keadaan ibu yang semakin hilang.

Azman merapatkan bibir ke telinga Asiah. Mengajar untuk kali terakhir, kalimah syahadah, kalimah yang menjadi tonggak pertama dalam rukun Islam yang lima. Datang ke dunia sebagai Muslim dan pergi diiringi dengan kalimah yang sama. Yang hidup pasti mati. Yang bernyawa pasti akan pergi apabila Dia memanggil pulang. Yang dibawa pergi hanyalah amal, iman dan takwa. Tanpanya siapalah kita di sana? Maka, berpisah sudah segala-galanya, yang tinggal hanyalah kenangan, diiring doa dan air mata, yang pergi takkan kembali lagi.

Ya, di remang petang hari Khamis malam Jumaat itu, dalam hujan lebat, Alisa kehilangan ibunya. Asiah meninggalkan dirinya. Hanya air mata menemani, hanya doa kudusnya yang mengiringi.



“AYAH, kenapa tak mahu buat laporan polis, ayah? Kenapa nak dibiarkan Haziq tu lepas bebas sedangkan memang dia yang dah langgar mak? Dia yang bunuh mak Lisa, ayah. Dia!!!” 

Azman cepat-cepat memeluk tubuh kurus anaknya. “Jangan berdendam, Alisa. Tak baik!” Dia memujuk.

Alisa menggeleng. Kadang-kadang dia tidak faham dengan sikap ayahnya yang lembut. Yang sabar sangat! Sudah berkali-kali dia mengajak ayahnya membuat laporan polis. Melaporkan bahawa Haziq yang telah melanggar ibunya. Tetapi ayahnya tetap berkeras. Tetap tidak mahu melakukan.

“Ayah, Lisa bukan dendam dengan dia. Lisa cuma nak tuntut bela kematian mak. Haziq dah bunuh mak, ayah! Dia mesti dihukum!” balasnya dengan suara yang tegang. 

“Kalau dia dihukum, mak kamu boleh hidup balik ke, Lisa?” Azman bertanya.

Alisa hanya mampu menggeleng. 

“Ayah tak mahu kamu ulang-ulang perkataan itu lagi. Jangan sebut lagi nama budak tu dalam rumah ni. Biarlah! Ayah tak nak besar-besarkan kisah langgar lari tu,” tegas Azman, menolak untuk ke sekian kalinya.

“Tapi, ayah...”

Azman menarik nafasnya panjang-panjang. “Cukuplah, Lisa. Cukuplah! Macam timun, kita ni ditindih luka, menindih pun luka juga dek durian yang penuh duri tu!”

Dahi Alisa berkerut tanda tidak memahami. 

Azman melepaskan keluhan. Dia berkata, “Nak, kita ni orang susah. Apa pun yang kita cakap, tak siapa peduli di kampung ni. Tak ada siapa nak percaya pada kita. Jadi, lupakan semuanya!”

“Ayah?” Alisa sudah menangis teresak-esak. 

“Esok, kamu mesti pergi dari sini, Lisa. Ayah nak, kamu pergi cari Yanti. Ayah dah mintak alamat rumah sewa dia daripada Pak Cik Mansor dengan Mak Cik Samiha kamu. Pergilah, pergi cari kerja di Kuala Lumpur sana. Lupakan apa yang dah terjadi di sini. Bina hidup baru!” pesan ayahnya. 

Alisa termangu. Dia tidak menyangka bahawa ayahnya sudah merancang sesuatu untuk dirinya. Rasa terlepas daripada beban yang sedang ditanggung. 

“Ayah pulak? Kenapa ayah tak nak ikut Lisa? Kenapa ayah nak duduk di sini juga? Menghadap muka orang-orang kampung yang kejam ni?” tanya dia.

Azman tersenyum. 

“Bukan semua orang kampung kutuk kita, nak. Ramai yang masih percayakan ayah. Ingat lagi apa berlaku tiga hari lepas? Ramai yang datang tengok jenazah arwah emak, kan? Ramai yang iringi ke kubur. Kawan ayah masih ramai rupanya. Lagipun, di sini emak kamu bersemadi. Ayah nak dekat dengan dia,” jawabnya.

Alisa menarik nafas panjang. Tidak perlu ayahnya meneruskan kata, tentu sahaja dia sudah faham. Ayahnya tidak akan sanggup meninggalkan semua kenangan antara dirinya dengan arwah ibunya. Tetap sanggup menghadapi cemuhan dan penghinaan kerana cinta yang mendalam kepada arwah.

“Pergilah, Lisa. Pergilah! Lupakan Haziq! Lupakan perbuatan jahatnya pada kamu. Bina hidup baru di Kuala Lumpur,” pesan Azman lagi.

Kerana kata-kata itu, Alisa membawa diri dan berpindah ke Kuala Lumpur. Kepada Yanti, semua kisah pahit itu sudah diluahkan. Yanti yang penuh pengertian tentu sahaja sanggup membantu dirinya. Kebetulan, ada kerja kosong di tempat Yanti bekerja. Sebagai kerani. Melalui Yanti, dia akhirnya berjaya masuk ke Samira Corps. Hari demi hari, kekuatan ditanam dalam diri. Alisa bertekad untuk tidak menjadi perempuan yang lemah lagi. Kini, dia tidak mahu menjadi manusia yang tewas. Tidak mahu tertindas. Tidak mahu kalah!

Kerana sakit hati kepada spesies bernama lelaki, Alisa mula merubah penampilan. Gaya sopan gadis desa sudah hilang. Dia adalah Alisa yang baru. Dia bukan gadis pingitan lagi. Dia bukan seorang yang pemalu lagi. Kini, Alisa lebih selesa menggayakan pakaian mengikut trend semasa. Alisa yang mudah digoda dan menggoda. Sudah berapa ramai lelaki yang jatuh cinta kepadanya. Seramai itu juga sudah dikecewakannya. 

Tidak ada penyesalan. Tidak ada sedikit pun rasa bersalah. Malah Alisa bahagia dengan apa yang dilakukan. Setidak-tidaknya, dia telah menyelamatkan ramai gadis yang baik daripada lelaki spesies Haziq Asrar. 

Bukankah ini satu pengajaran baik yang diberikannya?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.