2013/10/13

BAB 1 - Tiada Yang Lain



“HAI, sorang aje hari ni?”


Fitriah Atiqah berhenti melangkah. Dia berpaling ke belakang untuk melihat pemilik suara garau itu. Dihadiahkan lelaki itu sebuah jelingan sebelum berpusing lantas meneruskan semula langkah kakinya. 

“Pagi-pagi lagi mamat serabut ni dah kacau orang.” Dia menggumam dengan wajah yang masam. 

“Awak!”

Hati Atiqah mula cuak. Spontan, tangan kanannya segera mengepit beg tangan jenama CR di bawah ketiak. 

CR bukan Carlo Rino, ya! C ialah untuk Chowkit dan R untuk Road. Jenama Chowkit Road yang murah! Ya, itulah dirinya. Baju, kasut mahu pun beg tangan yang dibeli semua murah-murah belaka. Kerana, dia bukan anak orang kaya yang mampu membeli jenama branded luar negara. Dia juga bukan model terkenal yang memperaga segala jenama mahal untuk bergaya. 

‘Tapi, peragut bukan peduli semua itu, Iqa! Beg mahal ke, murah ke, tak penting! Yang mereka nak ialah duit kat dalam beg kau tu,’ bisik hati. Bisikan yang menyebabkan semakin kemas beg tangannya dikepit di bawah ketiak. 

Lelaki itu pun berasa hairan juga. Sudahlah panggilannya tidak disahut. Makin laju pula gadis itu berjalan menjauhinya. Apabila dia melajukan langkah untuk mendekat, gadis itu sudah lari-lari anak. Apa kena? 

‘Dia takut pada aku ke? Hesy, takkan kut? Lelaki stok alim dan baik macam aku ni pun dia nak takut? Helo, aku sangatlah tidak bahaya, okey!’ Hatinya mengomel. 

Sampai bila nak main kejar-kejar ni? Zharif tanya pada diri. Jadi, dia tak mahu membuang masa lagi. Suara garaunya seakan-akan memberi perintah. 

“Hey, awak! Tunggu!” 

Atiqah terpaksa berhenti juga. Dalam keadaan penuh waspada. Kalau lelaki itu cuba buat benda tak elok pada dia, siaplah! Mesti kena tumbuk punya! 

Lelaki itu sedang mendekatinya. Atiqah ambil peluang untuk memerhati. Diteliti lelaki itu dari atas ke bawah. Daripada hujung rambut ke hujung kaki. 

‘Tak ada apa yang menarik pun! Serebeh sangat! Seluar jeans yang dipakai dah luti! Kemeja dia tu warna putih ke warna cream? Ke, dah bertahun tak diganti?’ 

Ketika mata memandang ke arah kaki, terus tangan menekup mulut. 

‘Dia pakai selipar Jepun? Hesy, dia ni tak kerja ke sampai tak ada duit nak beli kasut? Zaman IT ni, mana ada lelaki yang sanggup berjalan ke hulu ke hilir pakai selipar Jepun kecuali peragut atau penagih dadah. Sah! Memang sah yang dia ni orang jahat. Tak silap dah. Eeii, muka dahlah penuh jambang. Rambut panjang pulak tu! Bukan nak ikat ke apa? Serabut sungguh!’

Mata masih melekat memandang lelaki di hadapannya. 

‘Tapi, dia tinggilah! Badan dia tegap.’ 

Tiba-tiba pula hatinya memuji. Haip!

“Dah puas tengok?”

Atiqah tersentak. Rasa pijar pipinya ditegur begitu. Malu pun ada. 

‘Yang mata ni pun satu hal jugak! Kenapalah aku pi tengok muka dia lama-lama sangat? Kan dia dah perasan?’ Diri dimarahi. 

“Kenapa awak asyik ikut saya? Saya tak kenal awak pun. Awak kenal saya ke?” 

Lelaki itu mengerut dahi. 

“Tak! Awak tak kenal saya dan saya pun tak kenal awak, cik sombong!”

Mata Atiqah membulat. 

“Cik sombong? Awak tak kenal saya tapi awak boleh pulak gelarkan saya macam tu?” marahnya. 

“Dahlah sombong, garang pulak tu! Isk! Isk!” kutuk lelaki itu lagi tanpa sedikit pun rasa bersalah. Malah, melihat wajah yang merah di hadapannya, dia rasa semakin seronok mengusik. Sesuatu yang tidak pernah terlintas akan dilakukan olehnya sebelum ini! 

“Awak nak apa? Kenapa awak buat perangai macam ni? Mengacau anak dara orang di tengah-tengah jalan? Dah tak ada kerja lain nak buat? Awak ni mesti penganggur, kan? Tak pun, awak baru diberhentikan kerja. Sebab tu awak mengacau, mengurat anak dara orang! Helo, silakan bertaubat, ya! Tak baik buat benda tak berfaedah macam ni, tahu tak?” 

Zharif sakit hati dah. Tak fasal-fasal dapat macam-macam gelaran pula. Memang gadis ni nak kena dengan dia. 

“Sombong, garang dan perasan! Mulut pulak jahat! Hmm, memang lengkap pakej awak!” sinisnya. 

Atiqah naik rimas. Kenal pun tidak tetapi bermacam-macam yang sudah keluar daripada mulut lelaki itu. Kalau dia terus berada di sini, tak tahulah! Mungkin, perang besar mereka nanti. Jadi, lebih baik dia pergi. 

Kali ini, dia nekad. Sekali dia melangkah ke hadapan, dia tidak akan berpaling biarpun berkali-kali lelaki itu memanggilnya. Dia akan buat dunno sahaja. Buat-buat pekak! Lantaklah kalau lelaki itu hendak menjerit sampai terkeluar anak tekak pun!

Namun, hanya selepas beberapa langkah dia berjalan, Atiqah mula sedar akan sesuatu. Tangan kirinya... 

Eh, kenapa kosong aje? 

‘Bukan tadi aku ada bawa barang ke?’ omelnya di dalam hati.

Otak terus ligat menghantar isyarat untuk memikirkan apa yang dia sudah terlupa. Dan akhirnya... 

“Uwaaa... Mana beg Burberry kesayangan aku?” jerit Atiqah memecah kesunyian pagi. 

Segera, mata melingas memerhati sekeliling. Mana tahu kalau-kalau beg itu terjatuh dekat-dekat situ? Tapi, cari punya cari, dia tak jumpa apa-apa pun. 

Kaki kanan dihentak-hentak ke atas jalan. Muka sedih habis. Lagak dah macam budak kecil tak dapat makan ais krim. 

“Sedihnya! Penat aje aku bangun awal pagi tadi. Apalah nasib! Aku yang berhempas pulas memasak, orang lain yang dapat makan.” Atiqah mengomel. 

Memang dia berasa terkilan sangat. Ini percubaan pertamanya menyediakan bekal ke tempat kerja. Bukan apa, Atiqah berasa tercabar apabila hari-hari dia disindir.

“Iqa, kau ni tak tahu masak ke? Kau tak pernah bawak bekal kan?”

Jadi, untuk membuktikan bahawa dia boleh masak, dia bangun awal hari ini. Bangun untuk memasak nasi goreng cendawan. Rasa puas hatinya semasa memasukkan ‘tupperware’ ke dalam beg tadi. Tak sabar hendak menunjukkan hasil air tangannya kepada Nurain, cik kawan baik. Tentu melambung pujian yang bakal diterima nanti. 

Tapi, apa hendak dikata? Dia yang lalai. Entah di mana beg dan bekalnya tertinggal. 

“Kenapa tu? Awak cari apa?” 

Suara garau itu kedengaran lagi. 

“Diamlah!” Atiqah menjerkah. 

“Hmm, baru tersedar ke yang awak tertinggal... Ini?”

‘Kacau betullah dia ni! Ah, jangan dilayan! Tapi...’ 

Atiqah segera memandang ke arah lelaki itu. Buntang sudah matanya. Terkejut apabila dia nampak si dia menggoyang-goyangkan beg Burberry yang berwarna putih cokelat di hadapannya. Itulah beg yang dia sedang cari. Tetapi, macam mana beg kesayangannya boleh berada di tangan lelaki itu? 

“Awak curi beg saya!” 

Pipi Zharif merona merah. Dia berasa amat marah sekarang. Sejak tadi dia hanya ingin pulangkan beg itu tapi gadis ini menuduhnya mencuri pula. Menyakitkan hati betul!

Beg burberry sudah bertukar tangan. 

“Terima kasih,” ucap Atiqah. 

“Kasih tak diterima,” balas Zharif lalu meninggalkan Atiqah.

Erk? 

‘Harap muka aje cantik! Tapi mulut, laser. Memang tak adalah aku berkenan! Nak buat bini? Haruslah tidak! Buat sakit telinga aku aje dengar dia berleter hari-hari. Uisy!’

Atiqah kerut dahi. 

‘Aku tak salah dengar kan? Dia kutuk aku tadi tu! Eeii, geramnya!’ 

Mata melingas mencari susuk itu. Nak balas balik setiap kutukan. Malangnya, si dia dah hilang. Kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi. 

Nasib baik! Kalau tidak...

mailah komen... mai mai....


2 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Komen

blogger-fcebook

Disqus Shortname