Follow Us @soratemplates

25.10.13

BAB 11 - Tiada Yang Lain

Oktober 25, 2013 1 Comments
susah tul nk cari gambar zharif yg x senyum. jumpa yg ni aje... bolehlah kut? 

SEBAIK sahaja kereta diberhentikan, Afif turun untuk membuka pintu pagar. Zharif memandu masuk. Ketika dia keluar daripada kereta, terus dia bertanya. 

“Abang, kenapa mak ngah suruh kita balik ke sini hari ini? Dah tu, rumah ni kosong aje. Dia orang semua ke mana?” 

Wajah Afif yang kelat tiba-tiba berubah ceria. Wajah yang sentiasa tegang kini nampak teruja. Zharif menyedarinya. Tampang Afif dipandang tak lepas. 

“Happy nampak? Ada apa-apa ke?” tanya dia.

“Sekejap lagi kau tahulah.” Nampaknya Afif mahu berteka teki. 

Zharif tiba-tiba dapat merasakan sesuatu. Dia senyum. 

“Dah tahu dah. Ni, mesti abang nak bertunang, kan?” Dia menyerkap jarang. 

“Merepeklah.” Afif mengelak tetapi masih bersama senyuman. 

Zharif ketawa. Saat ini, dia bersyukur sangat sebab dia lebih pintar daripada Afif. Dia tahu, tekaannya tepat. Eleh, kalau sudah tersengih-sengih macam orang biul, takkan dia tidak boleh meneka? 

“Jadi jugaklah abang dengan budak yang mak ngah sibuk cerita hari tu?” soalnya.

Afif akhirnya mengangguk. 

“Bila?” tanya Zharif lagi. 

“Dah pergi pun.”

Mata Zharif buntang. Air liur ditelan berkali-kali. 

“Dah pergi? Hari ini? Cepatnya!” Dia menggumam.

“Benda baik, buat apa nak bertangguh?” Afif memulangkan paku buah keras. 

Zharif garu kulit kepala yang tak gatal sambil tersengih. Dia hilang kata apabila Afif sudah mengenakannya.

Tiba-tiba dia terfikir tentang dirinya dan Atiqah. Isyarat hatinya kepada gadis itu. 

Ya, benda baik usah bertangguh untuk dilakukan. Terutama yang melibatkan perasaan. Perasaannya kepada Atiqah!

Rasanya, dia juga sudah bersedia untuk menyampaikan satu berita baik kepada keluarganya. Hmm, apakah agaknya reaksi ibunya nanti kalau dia beritahu yang dia juga sudah bersedia untuk berumah tangga? Tentu teruja tak hengat. Mahu dicanang satu kampung, fikirnya. Tetapi, bilakah masa yang sesuai untuk dia membuka rahsia hati? 

‘Tentu bukan sekarang, Zharif! Lagipun, Atiqah belum tahu isi hati kau. Takkan nak terjah ke rumah Atiqah terus kut?’

Biarkan saja dulu. Biarkan saja Puan Zhalilah dan Puan Nora kelam kabut menguruskan majlis untuk si dia di sebelahnya ini.

“Jadi abang dah bulat hati nak tinggalkan zaman bujanglah ni? Dah bersedia nak beristeri? Dah teruja hendak memiliki sebuah keluarga?” 

Ewah, dah macam soalan kaji selidik pula. 

Afif tersengih, mengangguk.

“Tak nak kenal dulu? Kan abang kata, abang nak kenal dulu dengan perempuan tu. Nak belajar bercinta, kan?” tanya Zharif lagi.

Afif rasa tersindir. Tapi tetap ketawa kerana dia memang sedang bahagia kala ini. 

“Kami kan dah kenal? Dah jumpa pun.”

“Berapa kali abang jumpa dia? Sekali itu aje, kan?” tanya Zharif beria-ia. Sudah bagaikan polis pencen, tanya macam-macam.

Afif menunjukkan jari telunjuknya.

“Kan betul? Sekali tu aje? Ingatkan dah banyak kali berdating?”

Zharif berasa hairan. Bagaimanakah Afif boleh membuat keputusan untuk bertunang secara tergesa-gesa begini? tanya dia dalam hati.

“Emak dia yang telefon suruh abang masuk meminang.”

“Ya? Pelik ni!”

“Pelik apa pulak? Mak dia suka abang. Lagipun, emak dia takut sebab ada orang nak kacau daun. Jadi, dia tak nak anak dia kahwin dengan lelaki yang dia tak kenal. Yang dia tak tahu asal usul.” Afif memberitahu. 

“Kiranya, abang ni menantu pilihan emak dia, ya?”

Afif mengangguk, berharap tidak ada halangan dalam urusan peminangan itu nanti. 

“Berapa lama nak bertunang, bang?”

Afif geli hati melihat Zharif yang nampaknya lebih teruja daripada dia. “Tak tahu juga. Tapi, percaya tak kalau abang cakap... sebulan?” 

Zharif ketawa. Begitulah kalau orang sudah tidak menyempat-nyempat, kan?

“Rif, abang rasa, abang suka dia. Dia yang paling sesuai jadi bini abang,” bisik Afif penuh keyakinan. 

“Baguslah kalau macam tu. So dah jatuh cinta balik?” perli Zharif. 

Afif ketawa lalu mengangguk. 

“Dia tahu abang suka dia?”

Afif menggeleng.

“Hesy, boleh pulak macam tu? Kenapa tak cakap? Abang, tak kiralah sama ada dah dapat restu orang tua atau tidak, bagi saya, abang kena juga tanya dia. Apa pendapatnya tentang hubungan ni? Setuju ke tidak? Dah ada pak we ke belum? Takut mak dia aje beria-ia, anaknya tak sudi. Kalau kahwin karang, ada masalah pulak.” Zharif melahirkan pendapatnya. Dia tidak suka memikirkan kalau-kalau perempuan itu dipaksa. Perkahwinan paksa tentu tidak akan membahagiakan, sama ada Afif mahu pun si dia. 

“Emak dia sukakan abang, Rif. Full stop! Abang yakin, emak dia akan pujuk dia supaya terima abang biarpun dia dah ada kekasih hati,” balas Afif penuh yakin.

“Abang! Tak adillah kalau macam tu? Mana boleh paksa perempuan tu kahwin dengan abang kalau dia dah ada kekasih? Lagipun, tak berbaloi abang kahwin dengan dia. Abang hanya akan buat dia merana.” Marah Zharif. Dia tidak suka mendengar bicara Afif tadi. Seolah–olah memaksa gadis itu untuk menerima dirinya.

“Nothing is fair in love and war, Zharif! Kalau dia ada kekasih, lepas kami kahwin nanti dia mesti lupakan lelaki itu. Kalau tidak...” 

Zharif berdebar mendengar kata-kata yang kedengaran seperti ugutan itu. Dia salah dengar ke apa? 

“Apa maksud abang? Abang nak buat apa pada dia kalau dia tak suka abang?”

Afif jongket bahu. 

“Dia mesti belajar terima abang. Lagipun, perempuan mana tak mahu orang macam abang ni, Rif? Cuba cakap? Kecuali kalau mata dia tu dah rabun, mungkinlah dia reject mamat maco ni.” 

Zharif ketawa. Tidak disangka pula yang Afif kuat perasan orangnya. 

“Abang nak naik mandi. Kalau kamu nak makan apa-apa, rasanya mesti ada makanan kat atas meja di dapur. Makanlah dulu!”

Saat bersendirian di ruang tamu menjemput ingatan terhadap Atiqah. Ada rindu bertandang menyesak dada. Lalu Zharif cuba menelefon Atiqah lagi. Malangnya, gadis itu masih tidak mahu menjawab panggilannya. 

‘Sabar, Zharif. Sabar! Atiqah sibuk tu. Nanti bila dia nampak bilangan missed calls yang kau buat pasti dia akan berasa terharu. Masa tu nanti mesti dia akan telefon kau. Percayalah!’ hati memujuk. 

Ketika sedang melayan angan, satu pesanan masuk. 

‘Hmm, MMS. Gambar apa pulak ni?’ desis hati kecilnya. Laju saja jemarinya menekan punat-punat aksara.

Sepasang mata terpaku, merenung tajam gambar yang terpampang. Gambar ibunya, wanita anggun yang memakai baju kurung berwarna biru sedang menyarungkan cincin di jari manis seorang gadis. Gadis itu memakai baju kurung daripada kain organza warna pic yang indah. Gadis itu sedang tunduk.



*Ayah hantar kat abang gambar ni. Cantik tak dia?* 



Zharif terus terhenyak di atas kerusi. Berkali-kali gambar itu direnungi. Berkali-kali dia menggeleng. Dia cuba menafikan hakikat. 

Pedih rasa hati. Sakit rasa dada. Tetapi, kenyataan tidak mungkin ditolak. Gambar ibunya yang sedang menyarungkan cincin di jari manis gadis itu di hadapannya kini. 

“Tuhan, ujian apakah ini?”

Derap laju kaki Afif menuruni anak tangga rumah 3 tingkat itu menyebabkan Zharif cuba mengawal rasa yang mendatang.

“Dah tengok gambar dia?” soal Afif sambil tersenyum.

Zharif mengangguk dalam senyum yang dibuat-buat. 

“Cantik tak?” 

Angguk lagi. 

‘Dia memang cantik, bang. Dahlah cantik, manja pulak tu!’ 

“Jadi, tentu kamu tahu kenapa abang tak boleh lepaskan dia, kan?”

Zharif menarik nafas panjang. Perlahan-lahan, dia mengangguk lagi. Tiada suara yang mampu keluar daripada kerongkongnya. 

Dia hilang kata. Malah, hati turut mengakui bahawa sebenarnya dia sudah pun kehilangan Atiqah. Belum sempat menghulur cinta, Afif sudah merampas gadis itu daripadanya. 

“Abang, saya kena balik! Bos panggil. Ada mesin rosak, katanya.” 

“Pulak? Habis, apa aku nak cakap pada mak nanti?” 

“Alah, nanti-nanti saya datang balik.” 

Zharif terus saja keluar dari situ membawa kehampaan bersama-samanya.

“Kenapa awak tak bagi tahu saya yang awak dah ada orang lain, Iqa? Kenapa tak cakap yang awak nak bertunang dengan Afif? Patutlah mesej saya awak tak balas. Rupa-rupanya, awak dah menolak saya. Sekarang baru saya faham.” 

Tapi, kenapa hati berasa terlalu pedih? Kenapa terlalu hampa?
............
dah kata x nak bagi tapi uols nak jugak. tu, mesti ada yg dh ngamuks... huhu. jangan lepas ni x nk baca sudah... patah hati ai aduhhh...


22.10.13

BAB 10 - Tiada Yang Lain

Oktober 22, 2013 1 Comments


ZHARIF menunggu dengan sabar di tempat letak kereta Hospital Selayang sambil melayan lagu dan celoteh juruhebah radio Suria FM, siaran kegemarannya.

Menanti Afif menghabiskan tugasannya, memang begini. Abang sepupunya itu tidak pernah menepati masa. Asyik lewat sahaja! Nanti, pasti akan ada alasan yang diberi oleh tuan doktor itu. 

Ada kes kecemasanlah! Ada pesakit yang tiba-tiba semakin tenat. Ada yang baru masuk dan perlukan perhatiannya di wad! 

Alahai, Zharif sudah mangli, sudah biasa benar dengan sikap abang sepupunya ini. Jadi, sabar ajelah!

Tiba-tiba hati teringat kepada Atiqah. Segera telefon bimbit dikeluarkan daripada kocek seluar. Melihat skrin yang kosong, Zharif mengeluh kecil. Kecewa. 

‘Nampaknya, awak merajuk benar dengan saya, Iqa. Dah dua minggu tapi awak langsung tak call saya. Mesej saya pun awak tak balas. Bila saya call awak, awak tak angkat pulak. Haih, apa nak jadi dengan kita berdua ni? Awak tak suka saya ke?’ 

Risau sungguh hatinya. Bimbang diri bertepuk sebelah tangan. Pasti kecewa nanti!

Ketukan pada cermin tingkap mengejutkannya. Bulat sepasang bola mata melihat si dia yang sudah tersengih, menanti dia keluar untuk menyapa. Cepat-cepat Zharif membuka pintu kereta. 

“Adira? Dr Adira? Kau buat apa di sini?” tanya dia. Teruja ya amat kerana Dr Adira, gadis manis di hadapannya ini ialah bekas teman sekelas Zharif semasa di sekolah menengah dahulu. Orangnya tinggi, berkulit putih, cantik sekali. Meskipun penampilannya agak ringkas namun gaya seorang doktor itu tetap terserlah. 

“Weh, ini kan hospital? Aku pulak doktor! Tentulah aku kerja kat sini. Kau pulak? Apa kau buat dalam kereta ni?” 

Zharif resah. Serba salah untuk menjawab. “Adalah.” 

Jawapan paling selamat dapat diberi. 

Adira mengerutkan dahi. Jawapan itu tidak berapa digemari. 

“Cakap betul-betullah, Zharif. Kau buat apa dalam kereta ni? Tunggu mak we, eh?” Dia mengusik. 

“Pandailah, kau! Aku mana ada mak we la.” Cepat-cepat Zharif menafikan. 

Riak wajah Adira sudah tidak ceria lagi. Kalau bukan mak we, tentu lelaki itu. Dia tahu sangat betapa rapat perhubungan di antara Zharif dengan lelaki itu. Sejak dia mengenali kedua-duanya, di mana ada Afif, di situ ada Zharif. Begitu juga sebaliknya. Mereka berdua bagaikan isi dengan kuku. 

“Jadi, kau tentu tengah tunggu dia, kan? Kalau macam tu, lebih baik aku jalan dulu, Zharif.”

Adira sudah ingin melangkah pergi ketika Zharif bertanya. 

“Dira? Tak boleh ke kalau kita berbual sekejap? Kenapa nak pergi padahal kita baru jumpa?”

Adira menoleh memandang Zharif. 

“Kau pun tahu apa sebabnya. Lagi mahu tanya?” soalan dijawab dengan soalan.

“Memang aku tunggu Afif. Jadi, apa masalah kau? Takkan sebab dia, aku tak boleh berbual dengan kawan baik aku masa di sekolah dulu? Takkan sebab dia, kau tak boleh bercakap dengan aku?” 

Ada kemarahan dalam lantunan suara Zharif kali ini. 

Adira berpatah balik dan kali ini, dia berdiri betul-betul di hadapan Zharif. Mendongak, dia meluah rasa tidak senangnya. 

“Masalahnya, Zharif, aku tak boleh tengok muka dia. Aku hangin satu badan bila nampak dia. Hati aku ni sakit sangat bila aku teringat apa dia buat pada manusia yang kat rumah aku tu. Jadi, nak selamat, lebih baik kami jangan bertembung. Tak gitu?” 

Lama Zharif termangu mendengar kemarahan di sebalik suara Adira. Lama, baru dia mampu bersuara. 

“Kau dah tak pandai bergurau, Dira. Tak macam dulu. Serius betul kau terutama sejak...”

“Sejak abang sepupu kesayangan kau tu tinggalkan kakak aku!” Adira pintas cakap Zharif. 

“Hmm, betul tu! Dia bukan saja dah bunuh jiwa dan perasaan Syakila. Dia jugak dah menyebabkan hidup keluarga aku yang bahagia dulu, jadi huru hara! Dia dah musnahkan kegembiraan kami, Zharif! Sebab itu, aku dah tak reti nak senyum langsung.” Adira bersuara tegas dengan wajah yang amat serius. 

Zharif terdiam. Bentakan Dr Adira menyebabkan dia terkedu. Namun, sedikit sebanyak dia faham kenapa Adira begitu bencikan Afif. 

Siapakah yang tidak marah kepada lelaki yang telah menyebabkan kakak kesayangannya jatuh sakit? 

Siapakah yang tidak membenci kepada lelaki yang telah berjanji untuk sehidup semati dengan kakaknya tapi lelaki itu bukan sahaja tidak menunaikan janji malah telah memutuskan hubungan mereka?

“Lama sungguh mereka bercinta, kan? Sejak di tahun satu lagi. Ke hulu, ke hilir, macam belangkas. Tup-tup, bila dah tamat belajar, waktu masing-masing hendak memulakan karier, terus Afif putuskan hubungan mereka. Macam mana kakak aku tak jadi gila, Zharif? Cuba kau cakap!” hambur Adira.

Sememangnya, kisah cinta Afif – Syakila diketahui oleh keluarga Syakila. Malah direstui! Dan setahu Zharif, ibu dan ayah Syakila sangat sayangkan Afif. 

Zharif menyandarkan tubuh ke kereta. Kaku jadinya apabila mendengar kemarahan Adira. Namun, apakah yang dapat dilakukannya? Dia sendiri pelik dengan kerenah Afif. Konon, Syakila ialah cinta hatinya. Konon, cintanya hanya satu, untuk Syakila seorang. Nampaknya, semua itu hanya dongengan. Cinta mereka tidak kesampaian. 

“Sejak bila kau posting kat sini, Dira?” 

Zharif sengaja tidak mahu meneruskan perbualan tentang kisah cinta Afif. 

Adira menarik nafas lega. Berterima kasih kerana Zharif tidak berlama-lama dengan kisah menyayat itu. Hati yang panas tadi kini dah menyejuk. Ialah... Dia marahkan Afif. Tetapi, haruskah Zharif menjadi mangsa amukan dan kebenciannya? Haruskah tempias itu kena pada Zharif?

“Baru aje! Esok, genap sebulan aku kat sini.” 

Hanya itu sebagai jawapan.

“Oh, ya ke? Baguslah! Nanti, kalau aku ada masalah dengan jiwa aku ni, boleh aku cari kau, kan?” 

Zharif berjenaka untuk mengurangkan ketegangan di antara mereka. Lega hatinya melihat raut Adira yang sudah mampu tersenyum semula. Bagaimanapun, melihat Adira, masakan boleh dia membisu dan membiarkan sahaja persoalan tentang Syakila. Dia ingin tahu tentang keadaan gadis itu lagi. 

“Dira? Dah lama peristiwa itu berlaku. Macam mana dengan Sya sekarang? Dah okey ke? Dah dapat terima kenyataan tak?” tanya dia. 

Lama Adira menatap wajah Zharif. Kalau ikutkan hati yang sakit, dia tidak mahu menjawab soalan itu. Lelaki ini bertanya tentang Syakila yang putus cinta dengan Afif namun keadaannya mengalahkan perempuan yang kematian suami.

Bagaimanapun, dia tidak mungkin marah kepada Zharif. Bukan Zharif yang bercinta dengan Syakila, tapi Afif! Afiflah kekasih kakaknya. Afif, cinta agung kakaknya. Afif, cinta pertama Syakila, cinta yang sukar sungguh untuk dilepaskan. 

Susah hendak membuka mulut untuk bertanya tentang Syakila. Bimbang Adira membentak. Bimbang Adira naik angin. Bimbang kalau-kalau soalan yang ditanya itu... salah. 

Memang pun! Soalan yang salah! Dahi Adira sudah berkerut semula nampaknya. Jelas dia tidak suka mendengar pertanyaan itu!

“Dira, maafkan aku. Aku...” 

“Yang kau pulak mintak maaf ni, kenapa? Bukan salah kau, Rif. Abang sepupu kau tu yang tak bertanggungjawab. Dia yang tergamak buat Sya sampai jadi macam orang tak betul,” tukas Adira.

“Dira!”

“Kenapa Afif buat macam tu? Nak kata dia ada buah hati yang lain, dia tak kahwin-kahwin sampai sekarang, kan? Apa agaknya masalah dia orang ya? Perangai Sya tu memang berubah 100 peratus. Sampai sekarang, dia asyik murung. Asyik sedih! Malah, dia kena makan tranquilizer, kau tahu tak? Kalau tidak, jangan harap dia boleh lena.” 

Adira melepaskan keluhan lagi. Entah sudah berapa kali. 

“Kesian, Sya.” Hanya itu yang mampu Zharif luahkan. 

“Sedih tau tengok Sya macam tu. Jenuh emak bapak aku bawak dia berubat. Tapi...” 

Adira ingin meneruskan namun kelibat seseorang mematikan kata. Kelibat Afif yang sedang menuju ke arah mereka. Melihatnya, hati menjadi panas. Menyampah!

“Err, Zharif. Aku minta diri dululah. Aku dah lambat ni.” 

Tanpa menunggu balasan daripada Zharif, Adira terus sahaja berlalu meninggalkannya. 

Dahi Zharif berkerut. Tidak faham kenapa Adira pergi dengan tergesa-gesa. Apa yang sudah berlaku? 

“Siapa tu?” Suara garau Afif menyapa. 

Oh patutlah! Patutlah Adira pergi macam lipas kudung. Dia sudah nampak kelibat Afif tadi. Tidak mungkin Adira hendak berlama-lama. Musuh tu!

“Lambatnya!” sahut Zharif, mengabaikan soalan Afif sambil masuk semula ke dalam kereta. 

Afif menjongket bahu. Gelagat Zharif sedikit pun tidak dipeduli. Pantas dia masuk ke ruang di sebelah pemandu. Sebaik merasakan diri selesa, mata dipejamkan. Baharulah terasa kepenatan setelah sepanjang malam bertungkus lumus bekerja.

Suasana sepi seketika. Zharif memberi tumpuan kepada pemanduan. 

“Tak jawab pun bila abang tanya tadi. Siapa perempuan tu? Girlfriend kau ke?” 

Afif mengulangi soalannya tadi. Masih tidak puas hati apabila Zharif diam, membekukan diri.

Zharif tersengih. Girlfriend? Adira? Tidak pernah terlintas di fikiran. Sekilas, wajah penat Afif ditatap. 

“Abang ni! Adira pun abang dah tak kenal?” tanya dia.

“Adira?” 

Mata Afif buntang. Entah mengapa dada jadi bergetar pula.

“Ya! Dia pun kerja kat sini. Baru sebulan pindah.”

Afif tidak jadi hendak melelapkan mata. Risau semacam wajah dia sekarang. 

“Kenapa abang tak tahu pun? Di jabatan mana?” tanya dia.

Giliran Zharif untuk menjadi rimas. 

“Tanya saya banyak-banyak ni, apasal? Manalah saya tahu dia kerja di bahagian mana, Dr Afif. Pergilah cari dia esok, okey! Boleh juga abang risik-risik keadaan Syakila.” 

Wajah Afif terus berubah. Disertakan dengan satu dengusan kasar. 

“Tak payah sebutlah nama budak tu!” bentaknya. 

Mendengar dengusan Afif, Zharif menggeleng. Dia tidak faham dengan perangai abang sepupunya ini. Sebut nama Syakila sahaja, terus naik hantu. Pelik memikirkannya. Tadi, Adira pun begitu. Sebut nama Afif sahaja, sudah mencuka wajahnya. Payah betul hendak dimengerti. Sikap Afif, sikap Adira, Syakila... 

Siapakah yang bersalah? Siapakah yang benar? Kenapa berahsia sangat? 

Baik Afif mahu pun Syakila, tidak pernah mahu memberitahu sebab-sebab hubungan mereka putus. Afif tidak mahu bercerita. Syakila juga menutup mulutnya rapat. Yang pasti, sejak hubungan itu putus, hanya kebencian di antara mereka. 

“Sampai bila abang dengan keluarga Sya nak bermusuh?” tanya Zharif lembut.

“Bukan abang, okey! Syakila dengan keluarga dia yang tak nak terima kenyataan,” balas Afif. 

“Tapi, apa sebabnya? Apa yang abang dah buat sampai Sya jadi teruk macam tu? Abang tahu tak? Sya tu kalau sehari tak ambil ubat penenang, dia langsung tak boleh dikawal, bang. Kenapa sampai macam tu sekali?” 

“Manalah aku tahu, Zharif? Iman dia yang tak kuat, kenapa nak salahkan aku pulak?” 

Suara Afif melantun kuat. 

“Siapa salahkan abang? Saya tak cakap abang salah. Saya cuma nak tahu sebab mengapa hubungan kau orang berdua putus. Itu aje!” balas Zharif. Dia ingin benar tahu sebab itu. Tadi, jawapan yang diharap tidak ditemui pada Adira. Adira zip mulutnya rapat. Kini, Afif juga buat yang sama. Nampaknya rahsia itu akan kekal menjadi rahsia!

Zharif pula yang risau. Baginya, kalau ini perkara kecil, masakan sampai begitu sekali Adira dan keluarganya membenci Afif. Tapi, kalau besar persoalannya, mengapa hendak disembunyikan? 

“Alah, biasalah putus cinta ni. Sya yang tak mahu terima hakikat. Dia tak mahu faham yang abang dah tak boleh terima dia,” balas Afif dengan riak tidak bersalah. 

“Iyalah, mungkin cara abang putuskan hubungan tu, tak betul kut? Tu yang merana si Sya,” bentak Zharif. Kadang-kadang, dia geram juga dengan Afif. Selamba derk sahaja apabila bercakap tentang Syakila. Tidak adakah sedikit pun rasa bersalah? Nasib baik emak ayah semua tidak tahu. Kalau tidak, tentu kecoh. 

“Kalau kau kesian dia, kau ambillah dia! Ganti tempat aku.” 

Dahi Zharif berkerut. Stereng kereta digenggam kuat. Kalau orang lain yang berkata begitu kepadanya? Pasti, pasti sudah makan penumbuknya ini. Tetapi, Afif? 

Tak sangka! Tak sangka Afif sanggup cakap macam tu? Boleh gelak lagi! Bunyi gelak itu pun semacam sahaja. Jahat! 

Entah mengapa, dia pula rasa sakit hati sekarang. Geram betul tengok muka abang sepupunya itu. 

“Tu sebab saya tak suka bercinta sebelum kahwin ni. Masa suka, tak ingat dunia. Bila berpisah, putus silaturrahim.” Zharif menyindir penuh kemarahan. 

“Boleh stop tak? Aku penat ni, Rif. Subuh tadi ada satu kes cubaan membunuh diri. Entah apa nak jadi dengan budak sekarang, tak tahulah. Frust sikit aje dah nak ambil nyawa sendiri. Kalau mati tak apa jugak. Ini hidup lagi tapi menyusahkan orang.”

Zharif tidak percaya seorang doktor yang tugasnya menyelamatkan nyawa pesakit sanggup berkata begitu. Bukankah sumpah seorang doktor ialah untuk menyelamatkan nyawa manusia? Jadi, mengapa lelaki di sebelahnya ini harus mengeluh?

“Jadi, budak tu tak matilah. Alhamdulillah.”

“Syukur apanya? Orang lemah mental macam dia, macam Syakila tu, mati lagi baik, Zharif!”

Astaghfirullahil’azim. Sabar ajelah dengan doktor muda ini. Langsung tak beretika! Adakah patut dia cakap macam tu? 

Zharif tak kuasa nak berbual dah. Buat sakit hati dia sahaja. Lantas dia terus memandu dalam senyap. Membiarkan suasana sepi sehingga mereka sampai di rumah orang tua Afif di Gombak.





Selama dua minggu Atiqah berada di Pulau Pinang. Berkursus. Itu pun kerana menggantikan Kak Ramlah yang keguguran. Ingat seronok ke berkursus? Memang taklah! Asyik sibuk memanjang dari pagi santak ke malam. Sangat-sangat membosankannya. Dah tu, dia tertinggal telefon di rumah. Haru betul! Sebab itu hatinya hancur sebaik dia jejakkan kakinya ke rumah semalam. Hancur lumat dengan kerenah tidak bertimbang rasa ibunya. 

Belum sempat turun daripada kereta Nurain, ibunya terus memberi amaran. 

“Pergi masuk bilik dan duduk di situ senyap-senyap. Jangan keluar selagi mak tak suruh. Faham?”

Mana mungkin dia faham. Malah Atifah turut terkedu. Nurain juga!

Rasa hendak gugur jantungnya mendengar berita yang sebentar lagi, dia akan ditunangkan. Air mata terus gugur dengan laju. Ingin benar hendak membentak. Hendak menolak. Hendak jerit kata...

“TAK NAK!” 

Tetapi, di dalam rumah, jiran sekeliling sudah ramai bertamu. Membantu itu ini. Ada yang menggubah hantaran. Ada yang sibuk di dapur. Ada yang hanya datang untuk bersembang. 

Apa kata mereka nanti kalau dia buat perangai? Apa nanti yang mereka fikir jika dia menjerit dan meraung? Lagipun, dia tak sanggup hendak memalukan ibu bapanya. Jadi, dia hanya mampu mendiamkan diri.
.............
ujian sudah melanda....


21.10.13

BAB 9 - Tiada Yang Lain

Oktober 21, 2013 6 Comments


SEUSAI solat Isyak, Salmah mengajak Idris berbual di ruang tamu. Dah kebetulan anak-anak tak ada di rumah, dia hendak menggunakan kesempatan ini untuk berbincang hati ke hati dengan suaminya. Dia mahu Idris tahu betapa susah hatinya sekarang. Dia mahu masalah ini diselesaikan segera. Mesti!

“Abang, abang tahu tak betapa rimasnya saya sekarang?” Salmah bertanya. 

“Rimas dengan siapa?” tanya Idris acuh tak acuh.

“Abang tak sedar ke? Bang, tengok sekeliling awak! Tak nampak ke awak jambangan bunga hidup yang banyak tu?” 

Idris memerhati ke sekitar ruang tamu yang berbau harum. Dia melihat ada beberapa buah pasu berisi jambangan bunga mawar pelbagai warna. 

“Setiap hari, ada aje budak dari ‘Lover’s Florist’ yang datang untuk hantar jambangan bunga ke rumah kita ni. Hari ini bunga teluki, esok pula bunga tulip. Lepas itu bunga mawar. Putih? Kuning? Pink? Merah hati? Semua jenis ada. Abang tak perasan ke?” tanya Salmah.

“Jadi?”

“Abang, abang tahu tak siapa pengirimnya? Tak ada orang lain selain dia. Budak tu!” 

Idris sengih. “Itu pun nak jadi isu? Biarlah, Sal. Duit dia banyak kut? Tu yang hari-hari dia hantar bunga ke sini. Bagus apa? Wangi rumah kita.” 

“Banyak duit? Zharif yang kerja kilang tu abang kata banyak duit? Mengarut! Tapi, kalau dia banyak duit pun saya tetap tak suka dia.” marah Salmah.

“Awak cemburu ke sebab Zharif bagi bunga tu pada Iqa? Bukan pada awak?” usik Idris sambil tertawa halus.

“Abang!” jerit Salmah sambil menampar paha suaminya. 

“Sakitlah, yang. Garangnya awak ni,” kata Idris sambil menggosok paha yang sedikit sengal.

“Lain kali jangan nak bergurau bila saya serius.”

“Yalah!” Idris beralah. 

Suasana sepi seketika. Masing-masing tidak bersuara. Masing-masing sedang membayangkan wajah Zharif agaknya. 

“Sal, Zharif tu bukan alien. Dia baik. Setiap kali dia datang sini dan berbual dengan abang, abang tak nampak sikap buruk dia. Yang awak anti sangat dengan dia tu, kenapa?” tanya Idris menghilangkan kebisuan di antara mereka.

“Alah, baik nak mengena!”

“Awak ni!”

“Saya hairan dengan sikap abang ni. Budak Zharif yang macam kutu rayau tu abang kata baik?”

“Ya! Dia ramah. Dia hormat saya. Dia hormat awak. Bercakap dengan suara yang rendah dengan kita. Beradab aje! Apa yang kurang lagi?” tanya Idris. 

“Diri dia tak terurus. Kereta kecik. Buruk pulak tu.”

“Itu semua luaran. Awak ni materialistik ke apa ni?”

Salmah tarik muka. 

“Habis, Zharif tu berakhlak sangatlah? Beragama sangat? Alim?” 

Suara keras isterinya menyebabkan Idris tersentak. Lama baru dia menyahut. 

“Salmah, kalau ada jodoh anak awak dengan Afif, tak akan ke mana. Kalau Allah dah tetapkan nama suami Atiqah tu, Afif, tak adanya Zharif dapat potong jalan! Yang susah hati tak tentu fasal ni, kenapa? Awak tak percaya pada qadak dan qadar?” marahnya.

Salmah terdiam untuk seketika. Mencari cara untuk memahamkan si suami. 

“Fikir apa lagi tu?” tanya Idris. Bimbang melihat sikap isterinya. Apakah lagi yang mahu dikatakan?

Tiba-tiba Salmah tersenyum meleret menyebabkan Idris mengangkat kening. 

“Saya nak suruh Nora masuk meminang. Lagi cepat, lagi baik!” ujar Salmah setelah agak lama membisu. 

Idris termangu. 

“Biar betul awak ni, Sal!”

“Itu aje caranya, bang. Supaya kita dapat berbesan dengan Nora dan Dr Husin,” kata Salmah lagi, penuh semangat.

Idris melepaskan keluhan. 

“Oh! Jadi, sebenarnya itulah tujuan awak, ya? Nak berbesan dengan doktor? Nak bermenantukan seorang doktor? Uisy, panjang angan-angan awak, ya Sal?” sindirnya. 

“Tak adalah, bang. Saya nak Afif jadi menantu kita sebab kita dah kenal Nora dengan Dr Husin tu. Dah kenal hati budi mereka. Kalau daripada keluarga baik-baik, tentulah Afif seorang yang baik, kan?” nafi Salmah beria-ia. 

Idris tersenyum. Sinis sekali kelihatannya. 

“Yalah tu! Pada awak, Zharif tak sesuai jadi calon menantu awak, kan? Tak sesuai jadi suami Iqa! Yalah, berapa sangat gaji Zharif? Budak tu kerja kilang aje. Mampu ke dia nak tanggung Iqa nanti? Kalau tengokkan gayanya sekarang, tentu awak ingat yang dia tu nak tampung diri sendiri pun tak lepas. Iya tak?” 

“Memang! Cuba abang fikir. Awak suka ke kalau esok-esok, selepas dia kahwin dengan Iqa, habis dia ambil duit gaji anak kita tu. Lelaki macam dia tu... Hesy!” bentak Salmah.

“Saya tak fikir Zharif sanggup buat macam tu!” 

“Awak boleh jamin ke? Tak, kan? Bang, saya tak mahu nanti kita menyesal kemudian.” 

“Susah cakap dengan awak ni, Sal. Asyik cakap awak aje yang betul.” 

“Memang. Saya selalu betul! Sebab itu, sebelum cinta Iqa pada Zharif berputik, lebih baik saya cantas.”

“Atiqah tu dah besar, Sal. Abang tak suka awak paksa dia.” 

“Abang, abang tahu tak? Kalau Iqa dengan Zharif? Pakat naik kancillah jawabnya! Buatnya selepas kahwin nanti, dia cakap nak duduk dengan kita. Macam mana? Suka?” 

Idris tersengih lebar. 

“Apa salahnya? Anak kita dua orang aje, Sal. Kalau menantu abang sanggup duduk sekali di sini dengan kita, alhamdulillah. Ada juga teman abang berbual. Ada juga teman abang nak pergi ke masjid,” balasnya. 

“Hesy! Tak rela!”

Sekali lagi terdengar keluhan keluar daripada mulut Idris. 

“Sal, abang takut Nora aje yang beria-ia nak bermenantukan Iqa. Tapi, Afif? Entah-entah, Afif dah ada calonnya sendiri. Lagipun, harta dengan wang ringgit bukan jaminan bahagia, Sal. Tengok kita berdua. Abang tak kaya, kan? Habis, awak tak bahagia dengan abang? Macam tu?”

Salmah tidak tahu hendak cakap apa-apa lagi. Takut suaminya salah faham. Nanti kalau Idris kecil hati, susah dia hendak memujuk. Orang tualah, katakan? 

“Awak tahu tak, Sal? Bila tengok sikap awak ni, dah macam tengok Mak Dara dalam Ibu Mertuaku pulak! Garang, pandang harta, sombong pulak tu! Ingat, Sal! Jangan duk perlekeh orang sangat. Esok-esok, diri awak pulak orang perlekeh. Sakit nanti!” ucap Idris penuh sindiran. Kalau Salmah masih juga tidak faham-faham, tak tahulah!

Salmah ketawa mendengar omelan suaminya itu. 

“Saya buat semua ni untuk Iqa, bang. Supaya dia gembira. Supaya dia hidup senang. Tentang Afif, abang usah risau. Kata Nora, Afif memang dah berkenan dengan Iqa. Insya-Allah, Iqa akan bahagia jadi bini Afif tu. Abang tengoklah nanti!”

Lama Idris termangu memandang wajah isterinya. Dia diam, malas hendak terus membangkang. Mustahil dia akan menang. Baik tutup mulut, tutup buku dan pura-pura menguap. 

“Abang dah mengantuk. Esok aje sambung angan-angan awak tu. Selamat malam.” 

“Abang, Iqa akan bahagia dengan Afif. Saya yakin!” 

Salmah berbisik sendiri sambil melihat suaminya mengatur langkah lemah menuju ke bilik mereka. Dia sudah nekad. Esok dia akan hubungi Nora. Majlis pertunangan Iqa – Afif akan diatur nanti dengan seberapa segera yang boleh!
.................
konflik dah bermula....