Langkau ke kandungan utama

Cerpen : Aidilfitriku Seindah Senyummu



SUDAH lama kereta Savvy berwarna biru diparkir bertentangan dengan pagar kecil rumah agam itu. Kalau tadi enjin kereta sudah dimatikan dan dia berdiri di luar sambil berbalas mesej dengan seseorang, sekarang tidak lagi. Kini, dia sudah berada di dalam kereta, merendahkan kerusi pemandu dan mungkin kerana keletihan, dia sudahpun berdengkur kecil. Enjin kereta yang hidup membawa angin sejuk daripada alat pendingin hawa, nyaman membuai lena.


“Puan, pelan-pelan sikit langkah tu! Puan bukan sihat sangat. Nanti jatuh, macam mana?” 

Wanita itu tidak langsung mahu mendengar. Baginya, dia harus pergi dari situ. Tak boleh tidak! Memperlahankan langkah bermaksud memberi peluang kepada mereka yang berada dalam rumah agam itu untuk keluar dan menemui dirinya. Dia tidak mahu itu berlaku. Hati yang sedang luka ini harus dibawa pergi. Kalau boleh, dia hendak pergi jauh... jauh dari situ! Jauh dari semua...

“Puan!” 

Mak Long Leha dah tak tahu nak kata apa. Dia melaung tapi wanita yang juga majikannya itu langsung tak peduli. Terus saja melangkah mendahuluinya. Meninggalkannya! Menepati kata yang dia sangat-sangat ingin pergi dari rumah besar ini. Sudah tidak betah lagi berada di situ walaupun sesaat.

“Itu ke kereta anak saudara kamu, Leha? Kereta Savvy biru tu? Baguslah, enjin pun dah hidup tu. Kita masuk aje, kamu suruh dia pecut laju-laju. Biar tak seorang pun sedar yang saya dah tak ada dalam rumah tu.”

Waktu itu, dia yang berada dalam kereta sudahpun terjaga. Kerusi pemandu ditegakkan dan dalam keadaan mamai dia melihat dua orang wanita mendekati keretanya. Yang seorang tu, yang pakai baju kedah dan kain batik... memang dia kenal sangat. Itu mak longnya yang juga orang gaji di dalam rumah agam ini. Mak Long Leha. Tapi, yang seorang lagi tu? 

Alia segera keluar daripada kereta. Kening sudah berkerut. Hati tertanya-tanya. Apa ke halnya dengan perempuan-perempuan tu? Lari macam tak cukup tanah aje? Apa yang dikejar? Siapa yang mengejar? 

Dalam dia berusaha mencari jawapan, mak long sudah berteriak kepadanya. “Alia, masuk dalam kereta! Bila kami pulak yang masuk nanti kamu terus jalan. Jangan fikir apa dah! Cepat! Cepat!”

Sungguh dia keliru. Tapi, dia memang tak sempat hendak berfikir kerana wanita yang bersama mak longnya sudahpun masuk ke dalam kereta. Jadi, dia mesti masuk juga sebab dia yang akan memandu. Bukankah dia harus cepat membawa mereka pergi dari situ?

Tak apa! Bila keadaan sudah tenang nanti dia akan singgah di suatu tempat dan bertanya dari A ke Z. 

“Cepat, nak! Kita mesti pergi dari sini sekarang sebelum dia orang sedar mak cik dah hilang. Pandu aje laju-laju. Nanti, kemudian, mak cik akan cerita semuanya kepada kamu.” Wanita itu mengarah. Jadi, apa pilihan yang Alia ada? 

Pandu ajelah!
.........

"ITU... perempuan yang kau culik tu,"

"Ya, kenapa dengan perempuan tu?" tanya Alia. Matanya bulat memandang wajah yang serba sempurna di hadapannya. Sungguh, lelaki ini diciptakan Allah serba lengkap. Tak ada cacat cela luaran. Kalau dia seorang yang cepat terpesona pada gaya dan penampilan, pasti, pasti lelaki ini tersenarai paling atas. Tapi... sayang sangat! Harap muka sahaja lawa. Perangai? 

"You are tresspassing, lady! Yang kau culik tu, my mother! Aku datang ni nak bawak dia balik ke rumah. Now, tolong ke tepi. Move!" Hasif meninggikan suara. Melihat gaya 'buat bodoh' perempuan di hadapannya menyebabkan dia rasa macam hendak buat sesuatu. Geram ya amat! Boleh tak kalau dia tampar pipi gebu tu sikit? Tampar? Argh, kuno! Kan lebih baik kalau dicium aje?

Haip! Kenapa mengarut pulak otak aku ini? hati Hasif sudah marah-marah kepada diri sendiri. 

"Hello! Siapa yang menceroboh sebenarnya ni? Ini rumah saya, bukan rumah awak, tahu? Dan satu lagi! Saya tak culik mak awak, okey! Awak dan adik-beradik bodoh awak tu yang menyebabkan dia lari dari rumah. Eleh, senang-senang aje nak salahkan orang. Salah sendiri? Simpan! Apa punya orang!" balas Alia. Marah betul dia dengan lelaki yang dia tidak kenal ini. Tetapi dia tahu bahawa inilah anak sulung kepada Mak Cik Hana, majikan mak long yang dilarikannya 3 hari lepas. 

“Cik whatever your name is, sila ke tepi. Aku nak masuk dalam, nak pujuk mak aku balik ke rumah.” Hasif menekan suara. Sengaja nak bagi perempuan cantik ini takut dengan dia. Malangnya, gadis itu sedikitpun tak berganjak. Malah tangan didepangkan menghalang pergerakannya. 

“Nak masuk? Saya tak pernah benarkan lelaki masuk dalam rumah ni. Jadi, apa istimewanya awak sampai saya kena izinkan?” Alia masih berkeras. 

“Kenapa dengan kau ni? Perempuan, jangan cabar aku! Aku datang baik-baik ni. Kalau kau duk uji tahap kesabaran aku, aku tak akan teragak-agak telefon polis dan suruh mereka datang sini tangkap kau atas dakwaan menculik. Mahu begitu?” Suara Hasif dah naik oktaf. 

Alia ketawa besar mendengar ugutan itu. 

“Culik? Awak bukak kamus dewan sekarang dan cari maksud culik tu. No! Tak payah! Biar saya saja yang beritahu. Penculikan dalam undang-undang jenayah bererti mengambil seseorang tanpa kerelaan, biasanya bagi menahan tanpa kebenaran/tanpa menurut undang-undang yang sah. Ini mungkin dilakukan bagi tujuan wang tebusan atau langkah awal bagi jenayah lain, atau berkait dengan pertikaian penjagaan anak.

Sekarang saya nak tanya awak. Awak ada terima ugutan? Ada sesiapa minta wang tebusan? Atau mungkin ada yang dah cakap kat awak yang saya dah bunuh dia?”

“Shut up!”

“Tak adalah tu, kan? So, maknanya, emak awak bukan diculik. Dia keluar dari rumah awak tu dengan rela hati. Kan?” ujar Alia. Masih boleh bertenang biarpun sedang geram tengok gelagat lelaki ini. Macamlah dia sayang sangat kepada ibunya itu? 

Hasif menarik nafas panjang. Dia sedar yang dia kena tukar taktik. Kalau berkasar tak jalan, dia akan memujuk. Kalau perlu beri wang kepada perempuan ini, akan dilakukannya. Asalkan dia dapat ibunya semula.

“Please! Aku nak jumpa dia.” Hasif merayu. 

Alia angkat kening. “Bukan saya tak bagi tapi Mak Cik Hana yang tak nak jumpa awak atau adik-adik awak.”

Hasif terus naik angin semula. 

“Mengarut betul! Hei! I am her son. Yang sulung! She loves me!” jerit Hasif. Dah tak boleh nak kawal rasa marah dengan kata-kata gadis ini. Pelik betul! Mummy tak mahu jumpa aku? Ridiculous, bentak hatinya. Tiba-tiba dia mendengar telefon bimbit gadis itu berbunyi. Pantas sahaja direbut.

“Mummy!”

Di hujung talian, sepi seketika. 

“Mummy, it is me, Hasif. I datang nak ajak you balik ke rumah kita, mummy. Please!” 

Terbeliak bijik mata Alia dengar kata-kata lelaki itu. I? You? Dengan emak? Err... mummy dia? Memang kurang asam jawa betul mamat ni! Dia ingat Mak Cik Hana tu kawan dia ke?

Telefon dihulur kepadanya. Lelaki itu memberitahu, “Mummy nak cakap dengan kau.”

Alia buka pembesar suara. Mahu lelaki ini dengar kata-kata mummynya. 

“Alia, suruh Hasif balik. Mak cik tak ada apa-apa nak cakap dengan dia dan adik-adik dia lagi. Semua dah mak cik serahkan kepada peguam. Nanti, harta yang depa duk rebut tu akan jadi hak depalah. Hasif, mummy tak mahu jumpa you all. Anggap aje mummy dah mati, okey!”

“Mummy!”

Alia matikan telefon bimbitnya. Kini dia sedang bercekak pinggang. Matanya garang mencerlung. 

“Orang, dalam bulan puasa ni sepatutnya jadi makin baik. Tapi, awak? Adik-adik awak? Dah jadi anak derhaka pulak.” sinisnya.

Tanpa sedar, Hasif mendekat. “Jaga sikit mulut kau tu!”

“Kenapa? Salah ke apa yang saya cakap tu?”

“Lebih baik kau diam sebab kau tak tahu apa-apa!” jerkah Hasif. Dia tak mahu berlengah lagi. Tidak mahu berkompromi! Jadi, dia tidak punya sebab untuk akur pada kehendak ibu mahupun kehendak perempuan ini. Ada yang lebih penting untuk dibuat! Jadi, ugutan atau apa pun, dia tidak akan peduli. Yang penting dia bertemu ibunya. Yang penting, segala kekusutan akan terlerai.

Hasif terus masuk ke dalam rumah. Ada benda yang perlu diketahui. Perlu dijelaskan juga! Semua itu hanya di antara dirinya dengan mummy! 

Ya, mummy! Mummy saja!
............

MEMANG keras kepala betul anak Mak Cik Hana ni. Tak masuk dalam otak dia yang dia tak diperlukan di sini. Menonong aje dia masuk. Alia tak mampu buat apa-apa. Jadi, apa lagi? Hanya mengekori daripada belakang sahajalah. 

Hasif berhenti melangkah sebaik terpandang susuk ibunya yang sedang terbaring di atas sofa. Sehelai tuala diletak pada dahi. Selimut pula menutup hingga ke dada. Memang nampak jelas yang ibunya itu tidak sihat sama sekali. 

Pedih hatinya melihat keadaan wanita itu. Tiba-tiba hati jadi sebak. Sungguh, dia pilu melihat keadaan itu sehingga ada air jernih bertakung di tubir mata. 

“Mummy, kenapa sampai jadi macam ni? Terlantar dalam rumah asing sedangkan bilik mummy jauh lebih besar daripada sini. Jauh lebih selesa, kan?” ujarnya sambil mencangkung di atas lantai berhampiran sofa. Tangan ibunya digenggam. Semakin kuat Puan Hana menarik keluar tangannya, semakin kuat genggamannya.

“Lepaskan tangan mummy!”

“I love you, mummy. You pun tahu, kan?” 

Puan Hana sudah teresak. “Tapi, kamu tak cari mummy pun. Dah 3 hari baru datang.”

“I sampai KL malam semalam, mummy. Tak ada siapa bagi tahu apa-apa pada I. Masing-masing diam sehinggalah bila I cari you, baru masing-masing gelabah. Baru keluar cerita yang ada orang dah culik you. Bawak you lari naik Savvy,” kata Hasif sambil menjeling ke arah gadis bertudung biru yang sedari tadi asyik menelinga perbualan di antara dia dan ibunya. Pelik betul! Menyibuk! Tapi, dia tidak pula menghalau Alia. Biarlah gadis itu dengar versi dia pula. Kalau tidak, asyik nak tuduh dia anak derhakalah bagai! Cili mulut tu karang, baru tahu!

“Erk, pembetulan ya! Saya tak culik mummy awak. Kebetulan saya ke situ nak jemput mak long saya yang baru habis waktu kerja dia kat rumah agam, besar gedabak awak tu. Tup-tup, Mak Cik Hana masuk dalam kereta saya lepas tu suruh saya pandu cepat-cepat tinggalkan kawasan rumah mewah awak. By the way, siapa yang bagi tahu fasal Savvy saya?” Alia buat edisi 2 dalam 1. Memberitahu sambil ingin tahu bagaimana sampai tergamak menuduh dia sebagai penculik. Kalau buat laporan polis, sah-sah dia kena hukum penjara minima 20 tahun. Eei, tak sanggup!

“Rumah mak cik tu ada aje CCTV di merata-rata tempat, Alia.” Puan Hana memberitahu. 

Hasif pandang wajah ibu dan Alia silih berganti. Lama, dia mengambil masa untuk bersuara. “So, kalau mummy tak kena culik, kenapa? Kenapa lari dan tinggal kat sini macam orang merajuk. And apa kes dengan harta, tukar nama semua tu? Apa yang umi rajukkan sebenarnya? Selama ni, benda macam ni tak pernah timbul. Kenapa sekarang?”

Soalan bertubi-tubi anaknya menyebabkan Puan Hana hela nafas panjang. Hiba terasa. Semakin hiba apabila suara anak sulung kesayangan kedengaran sebak meluah rasa. 

“Siapa antara adik-adik I yang dah buat you rasa sakit hati ni, my dear mummy? Cakap aje pada I. Biar I ajar dia cukup-cukup! I sendiri tak pernah berkasar dengan you, berani dia orang nak buat perangai? Dia orang dah lupa siapa yang melahirkan dia orang tu? Tell me, mummy! Tell me!”

Nafas disedut dan dihembus perlahan. Satu keluhan terlontar. 

“Hasif, tak apalah. Mummy tak nak mengadu apa-apa. Nanti jadi panjang. Biarkanlah...”

Cepat sahaja Hasif menggeleng. 

“Mana boleh macam tu, mummy. Mummy pun tahu kan... Allah tak reda pada kami selagi mummy tak reda. Mummy marah kami, maknanya Allah marah kami juga. Katalah, jadi apa-apa misalnya kami accident ke, mati kami dalam keadaan hina, mummy. Tak rela!” 

Alia juih bibir. Rasa macam over actinglah pulak mamat handsome ni! Pandai sungguh dia manipulasi ibunya. Dah nampak keruh wajah Puan Hana. Nampak kesal sangat!

“Mummy sedih dengan dia orang, Hasif. Mummy tahulah yang adik-adik kamu tu lebih sayangkan daddy. Tapi, mana boleh asyik puji daddy depan mummy? Mummy ada harga diri tahu tak? Lepas tu, siap cakap pada mummy yang kalau daddy dengan mummy tak bercerai, harta mummy dapat tu tentu dah boleh agih-agih sesama mereka. Tu yang mummy tak boleh terima. Macamlah mummy ni kejam sangat rampas harta dia orang selepas kena cerai dengan daddy.”

Hasif tarik nafas dalam-dalam. 

Kini dia sudah mengerti. Rajuk mummynya hanya kerana sikap adik-adik yang tidak pernah berpuas hati dengan perceraian ibubapa mereka. Adik-adik yang sering menyalahkan mummy sehingga daddy terpaksa melafaz talak. Entahlah, sukar sungguh dimengerti. 

“Pergilah balik! Mummy selesa di sini.” Puan Hana menghalau anaknya. 

Hasif tersengih melihat tingkah ibunya. Adoyaii, bila orang dah tua merajuk, memang sukar betul nak pujuk, kan?

“Daddy risaukan mummy.”

Umpan sudah mengena. Sebut daddy sahaja, terus sepasang mata ibunya jadi bercahaya. Hailah... Hasif berasa hairan sungguh. Bagaimana perkahwinan yang sudah berusia hampir 30 tahun itu berkecai hanya kerana fitnah sekeping gambar yang dihantar kepada mummy. Bukanlah gambar daddy sedang berpeluk ke hapa, tapi mummy sangat-sangat terkesan melihatnya sehingga pertengkaran demi pertengkaran berlaku. Akhirnya, kerana berasa tercabar dengan sikap mummy, daddy mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Mereka berpisah tapi daddy tak pernah lupa menitip khabar mummy. Malah seluruh harta telah diberikan kepada mummy kecuali kondominium yang daddy tinggal. itu sahaja jadi milik daddy. 

“Daddy kamu sihat?” 

Hasif angguk. 

“Bulan puasa ni... kesian dia! Selalu mummy ada untuk masak apa aje yang dia nak makan. Tapi,”

Hasif menyeka air mata yang terbit. 

“Jangan nangis, mummy. Mummy pun tahu yang mummy dengan daddy masih dalam iddah. Boleh rujuk semula. Itupun kalau mummy nak masakkan daddy lauk-lauk kesukaan dialah. Kalau mummy kesian pada daddy. Kalau tidak...”

Alia memang langsung tidak memahami. Sekejap mereka bercakap tentang anak-anak, adik-adik. Sekarang tentang daddy maddy... tentang cerai, tentang sahur. Apa ni? 

Tiba-tiba Alia rasa telinganya kena piat. Sakit woo! Tapi nak jerit tak boleh! Sebab mak long dah tutup mulut dia dengan tapak tangannya yang lebar! 

“Yang kamu ni menyibuk pasang telinga tentang hal rumah tangga keluarga Mak Cik Hana kamu tu, pasal apa? Hah? Kamu nak jadi menantu dia ke?”

Owh... soalan maut tu mak long!

............
ALIA mundar-mandir dalam ruang tamu rumahnya. Berjalan ke sana ke mari sambil-sambil intai di celah langsir. Memandang ke luar ke arah lelaki yang tetap setia menunggu dia bagi lampu hijau untuk masuk ke dalam rumah ini. 

Untuk apa lelaki ini datang ke mari, Alia tidak tahu. Rasanya kisah Mak Cik Hana dah beres dah. Wanita itu sudah berjaya dipujuk oleh anak sulungnya itu. Kata mak long, adik-adik mamat sengal yang ‘kepoh’ dulu, sudahpun meminta maaf kepada ibu mereka. Dan, berita sensasinya, Mak Cik Hana sudah berjaya dipujuk agar kembali ke pangkuan encik ‘daddy’. Itupun kerana perempuan yang menghantar gambar kepadanya datang menangis-nangis meminta maaf. Drama sungguh!

“Alia! Kenapa kamu tak ajak si Hasif tu masuk?” 

Alia tepuk dahi. Habislah! Mak long sudah usai solat. Dan nampaknya emak saudaranya itu sudah sedar akan kehadiran Hasif. Terkocoh-kocoh mendapatkan lelaki itu yang sedang enak bersandar pada dinding keretanya.
Entah kata-kata pujukan macam mana telah mak long gunakan sehingga lelaki itu sanggup masuk ke dalam rumah. Boleh tersenyum pulak tu. Pandai mak long buat lawak, ya? 

“Duduk, Hasif! Alia, pergi buat air!” 

Arahan itu mandatori, memang Alia tak boleh nak kata tidak. Jadi tuan rumah kenalah beradap. Tetamu mesti diraikan. Jadi dengan langkah longlai, Alia ke dapur. 

"Lapar sangat ke? Tadi, buka puasa kan dah makan?” gumamnya. 

Selang lima minit kemudian dia meletakkan talam ke atas meja. Ada dua biji cawan berisi air teh dan kuih Seri Muka biarpun wajah tukang hantar kuih langsung tak ada seri. Masam mencuka adalah!

Kini Alia sudah tahu kenapa lelaki ini datang. Otak dia dah ingat balik. Teringat pada soalan Puan Hana. Teringat pada tempoh masa yang diberi oleh wanita itu kepadanya. Ya, tempoh 3 hari yang Mak Cik Hana berikan sudah sampai. Jadi, lelaki ini mahukan jawapan darinya. 

Arghh... kalau ikut hati memang Alia hendak jerit kuat-kuat, biar pekak telinga Hasif. Tengok dia sahajapun, mood Alia sudah dipengaruhi aura negatif. Bagaimana kalau... 

“Kau dah ada jawapannya?”

Alia pandang muka lelaki itu. Lama. Tapi, dia kalah bab nak lawan mata ni. Tak sanggup dia membalas renungan tajam Hasif kepadanya. 

"Cakap pada mak cik, saya tak suka awak." 

Hasif ketawa besar mendengar kata-kata Alia itu. Jawapan yang memang sudah dijangka. 

"Kau ni kan, memang lucu. Macam badut, tahu tak?" kutuknya. 

Alia berang. Dengan bercekak pinggang, dia balas. "Sebab inilah saya tak suka awak. Mulut awak tu memang tunggu masa nak ditenyeh dengan cabai burung! Cakap tak pakai otak. Ikut suka keluar, kan?"

Hasif angkat bahu. 

"Mulut aku, aku punya sukalah! Ni, aku nak tanya kau. Berapa lama lagi aku kena tunggu?" soalnya. Sudahlah tadi dekat sejam dia tunggu di dalam kereta. Nasib baik mak long nampak dia duk tercegat kat luar. Dapatlah dia masuk. Nak harap perempuan ni, jenuhlah! Boleh buat selamba badak dia aje! 

Alia juih bibir. "Saya tak suruh awak tunggu pun." 

Hasif mendengus. 

"Kalau aku ni saintis, aku klon dah kau ni. Tapi aku programkan perangai dia supaya tak memberontak macam kau la. Biar dia baik aje. Ikut aje cakap aku. Dan, yang penting, dia tak pandai nak ampu-ampu mummy aku tu. Tak adalah macam sekarang. Pada mummy, kau ni dah macam malaikat. Semua baik aje! Tak ada cacat cela langsung! Tu yang sampai suruh aku ambik kau buat bini tu!" 

Muka Alia dah merah padam. Marah kerana dia seolah-olah dituduh menggunakan Puan Hana untuk menjadi isteri lelaki yang ada di hadapannya ini. Sakitkan hati sungguh! Tak pernah terbetik pun dalam hati dia. Macamlah dia teringin sangat pada lelaki yang tak tahu nak hormatkan orang ini? Hisy!

"Diam pulak? Dah habis modal nak marah aku ke?" tanya Hasif.

"Awak ingat, saya nak sangat awak jadi suami saya? Lelaki yang tak tahu hormat emak dia ni? Eeeii, tolong sikit!"

Buntang mata Hasif. "Tarik balik kata-kata kau tadi!"

"Terasa ke?"

"Aku tak pernah tak hormat mummy, tahu tak?" bentak Hasif, garang.

Alia senyum sinis. "Yalah tu! Cakap dengan emak guna I, you... itu awak cakap awak hormat mummy awak? Adab bercakap dengan parents pun tak dikuasai, baiklah sangat, kan?"

“Dah, dah! Kamu berdua ni memang pantang jumpa, kan? Mesti nak bertekak. Kamu tahu tak, Hasif, Alia? Ramai yang macam kamu ni memang sudahnya kahwin jugak. Sebab benci tu tandanya sayang!”

“Mak long!” 

“Apa?” Mak long jegil mata pada Alia. Pada waktu itu juga Hasif sudah mengekek. Apakah yang lucu sangat agaknya? Alia mengerling ke arah lelaki itu. 

“Mak long, sebenarnya dalam kes kami berdua ni, anak saudara mak long tu mana ada pilihan. Dia memang kena kahwin dengan saya,” kata Hasif.

“Eh, tolong sikit! Saya tak sudi!” jawab Alia, berang.

“Kau tak ada pilihan! Kau yang mulakan semua ni,” balas Hasif.

Dahi Alia berkerut. Tidak memahami apa sebenarnya yang ingin dikatakan Hasif.

“Kau bawak lari mummy aku ke sini. Selama dengan kau, mummy dilayan dengan baik katanya. Dia tengok kau, dia berkenan dengan cara kau. Apa saja yang kau buat, dia puji depan aku. Dan, dia cakap mati hidup balik pun aku tak akan dapat isteri tip top macam kau. So, aku rasa aku perlu setuju dengan mummy. Sebab, kalau aku tak setuju, mummy pasti akan bebel dan bebel sampai naik menanah telinga ni nanti. So, jangan nak mengelak. Kita tetap akan kahwin sama ada kau suka atau tidak. Faham?”

Rasa macam mengarut sahaja apa yang menimpa dirinya. Sungguh... Salah diakah menunggu mak long tempoh hari? Salah diakah apabila terpaksa men‘culik’ Puan Hana? Salahkah dia melayan wanita itu dengan baik sepanjang dia tinggal dalam rumah mak long ini? 

“Jodoh kamu dah sampai, Alia,” kata mak long sambil tepuk-tepuk bahu anak saudaranya. Satu-satunya zuriat adiknya yang telah dipelihara sedari kecil. Anak yatim piatulah katakan! Ayahnya kemalangan sewaktu Alia masih di dalam kandungan. Ibunya pula meninggal sewaktu melahirkannya. Dah 27 tahun umurnya tapi tak pernah dibawa boyfriend balik ke rumah. Bila ditanya, Alia akan kata yang dia tak ada pak we. 

Teringat pula kepada majikannya. Kata Puan Hana, sikap Alia yang ceria itu yang dia suka. Mak long hanya mampu mengangguk. Alia memang sentiasa ceria. Hanya bila dengan Hasif, perangai terus berubah. Kenapa agaknya? 

“Mak long, Alia tak nak kahwin lagilah. Boleh tak mak long bagitahu pada Puan Hana macam tu?” Alia bertanya sambil memeluk lengan ibu saudaranya. 

“Tak nak kahwin atau tak nak kahwin dengan Hasif?” tanya mak long. 

“Dua dua!” Laju Alia menjawab sambil melirik ke arah lelaki yang asyik sahaja memandangnya. 

“Sebab?”

“Alasan kau tu tak diterima.” Hasif mencelah. 

“Kena terimalah! Saya mahu lelaki yang soleh jadi suami saya. Bukan seorang yang macam awak ni! Orang Melayu tapi hidup macam orang putih. Cakap dengan emak bapak macam cakap dengan kawan. Isy, tak suka. Tahu tak?” 

Hasif pelik betul dengan sikap konservatif Alia. Masyarakat memang beginikah? Asyik menilai orang melalui pandangan mata kasar. Apa yang tersirat, mengapa tidak pernah cuba difahami? Sempit! Otak Alia sempit! 

“Aku tak cukup baik untuk kau? Kau ingat kau tu...”

“Saya tak cakap yang saya ni hebat, Hasif. Cuma, saya nak awak tahu yang awak sangat bertuah. Awak ada emak, ada ayah untuk awak hormati. Dia orang masih hidup, masih bernyawa! Tengok saya ni! Saya cuma ada mak long. Saya tak pernah kenal erti kasih sayang ibu dan bapa kandung. Salahkah kalau saya mahukan suami yang menunjukkan kasih sayangnya kepada dua ibu bapa dengan tutur kata yang lembut? Yang apabila telinga saya mendengar, mulut saya tak mencebik mengutuk. Salah ke?”

Hasif hilang kata. Tiba-tiba dia rasa macam kena henyak. Entah mengapa dia jadi sedih terutama ketika menatap wajah yang sudah basah dalam derai air mata itu. 

“Maaflah. Saya belum bersedia untuk menerima awak.” 

Hasif tarik nafas panjang. Matanya menyorot langkah Alia yang berlalu ke biliknya. Tidak sekali gadis itu menoleh kepadanya. 
...........

“BARU balik?”

Hasif tersentak mendengar soalan daddynya. Segera dia menghampiri lelaki berusia 55 tahun tapi masih tegap dan segak itu. Dia tunduk menyalami tangan yang dihulur.

“Kenapa daddy tak tidur lagi? Kan dah dekat pukul 3 pagi ni?” tanya Hasif sambil melabuhkan punggung ke atas kerusi. Mata terarah ke dapur. “Mummy pun tak tidur lagi?”

Encik Burhan menggeleng. “Belum. Kami tunggu kamu balik.” 

Hasif rasa bersalah pula. Kerana dia, ibubapanya terpaksa bersengkang mata. Tapi, kenapa pula mereka mesti menunggu dia balik? Mesti ada apa-apa ni! 

“Apa khabar kawan seguru kamu hari ini?” 

Soalan daddy menyebabkan Hasif tersengih lebar. Kawan seguru? Terbayang wajah itu. Wajah comel yang pernah satu ketika sukar tersenyum kepadanya tetapi selepas hampir tiga bulan, bunga senyum itu sudah kelihatan. Gadis itu dah kurang garang dengannya. Fuh, bukan senang! Jenuh merayu, jenuh memujuk!

“Abang tanya aje fasal budak tu, Hasif terus sengih ya?” 

Hasif terkejut mendengar suara sinis ibunya mengusik.

“Ha’ah. Agaknya, budak tu dah berlembut dengan dia kut?” balas si bapa.

“Perempuan kan ibarat kerak nasi? Kena air, lembutlah. Kan, Hasif?” 

Sengih lagi tapi kali ini dia terus laju mengangguk.

“Mummy syukur sangat kita ditemukan dengan Alia. Akhirnya, dia berjaya sedarkan kita sekeluarga tentang erti hormat sesama kita.” Puan Hana berkata.

Encik Burhan menghela nafas yang panjang. “Kita... lama sangat duduk kat luar negara. Terutama masa di Washington dulu. Dari kecik, Hasif dengan adik-adik dia duk berkawan dengan anak-anak Mr Robert, si Al dengan Joe. Anak orang putih... mak bapak pun panggil nama aje. Yang kita pulak terikut-ikut,” katanya.

“Bila kita bercerai, budak-budak ni langsung tak hormat pada Hana. Terutama Hanina dengan Hanis. Hari-hari kalau tak kelahi dengan Hana, tak boleh! Dah tu, mulut punyalah... aduh! Malu betul Hana dengan Leha. Tu yang Hana mintak tolong Leha larikan Hana tu. Si Alia tak tahu apa-apa pun. Tapi bila dia dengar cerita Hana, nampak sangat dia marah dengan budak-budak ni!”

Hasif ketawa. Kebenaran yang tak mampu dinafikan. Malah Alia terang terang mengaku tak suka pada dirinya. Sehingga dia ditolak dengan alasan bukan calon suami yang baik. Tapi, nasib baik otak Hasif geliga. Teringat pada pertemuan di malam raya...

“Nak apa?” Seperti biasa, garang aje bunyi suara Alia padanya.

“Aku nak kau jadi kawan seguru aku. Kita dalami ilmu agama sama-sama. Nak tak?”

Alia cerlung mata. Tak faham dengan ayat Hasif itu. 

“Awak cakap apa ni?” tanya dia.

Hasif suruh Alia duduk di hadapannya. Kemudian dia keluarkan satu brosur. Dia suruh Alia baca.

“Al-Infitah?” 

“Hmm. Kita berdua akan belajar dengan Ustaz Hakim dan Ustazah Sazila. Sejam sehari, 3 kali seminggu. Ustazah akan datang ke sini, dan ustaz akan ke kondo aku.”

“Eh, kejap! Kenapa saya terlibat sama pulak?”

“Kenapa tak boleh? Kau dah alim sangat ke?” 

Kan dah kena sebijik?

“Sama-sama, kita akan dalami Fardu Ain. Kita akan perbaiki tajwid. Malah kita juga akan hadiri majlis ilmu di setiap hujung minggu. Semua ini sebagai persediaan sebelum kita kahwin.”

“Awak! Kan saya dah cakap...”

“Aku tak peduli. Aku tetap nak kau kahwin dengan aku. Kau cakap aku tak cukup syarat sebab pengetahuan agama aku cetek kan? Jadi, sekarang kau tak ada alasan lagi. Takkan kau nak menolak sedangkan kita nak buat perkara yang baik ni?” 

Hasif sengaja porak-porandakan perasaan Alia. Sengaja mahu melihat apakah gadis ini benar-benar mahu melihat perubahan dirinya ke arah positif. Kalau mahu, alhamdulillah. Dia tidak salah memilih. 

Perlahan-lahan Alia angkat muka. “Tapi, saya tak nak janji apa-apa dengan awak. Kalau nak mendalami ilmu agama, saya tak ada masalah.”

“That is my girl!”

Hasif sengih. Tercapai sudah hajat di hati. Tidak sia-sia dia berusaha. Semakin banyak dia belajar, terasa bagaikan semakin banyak ilmu yang dia tercicir. Semakin banyak dia membaca, semakin banyak juga yang tidak diketahuinya. Benarlah, mencari dunia, hanya dunia yang ditemui. Namun, andai berusaha mencari akhirat, Allah berikan dunia dan akhirat, kedua-duanya sekali.

Kenapalah dulu dia tidak pernah terfikir tentang itu? Mujur ada Alia. Kehadirannya dan kata-kata yang terbit daripada bibir mungelnya itu berjaya mengejutkan Hasif daripada terus hanyut dalam keindahan sementara duniawi. 

“So, anak daddy dah propose pada Alia?”

Serta merta Hasif tarik sengih sebelum mengangguk dengan laju. 

“Alhamdulillah. Tercapai juga hajat hati mummy, ya!” kata Puan Hana.

“Hajat hati saya juga, mummy.” sahut Hasif. 

Puan Hana tersenyum.

“Kata dulu tak suka? Siap cakap benci lagi!” usiknya.

Hasif tarik nafas panjang.

“Kalau saya tak kenal dia, mungkin saya biar saja diri saya ni terus hanyut dalam menilai hubungan kita, mummy, daddy. Tapi, dia menyedarkan saya yang ada batas yang tak boleh saya dan adik-adik langkaui antara kita. Kerana dia, saya mencari diri saya yang hilang. Saya bersyukur sangat.” ujarnya bersama sendu yang tak terluah. 

Tangan anak lelaki sulung itu dicapai dan digenggam erat oleh si ibu. “Anak mummy bukanlah jahat sangat pun. Sebenarnya semua ni Allah atur untuk temukan kamu dengan bakal isteri kamu. Jodoh dah mari.”

Encik Burhan segera mencelah. “Kali ini, ada syarat tak?” 

Hasif ketawa besar mendengar soalan itu. “Amboi, daddy! Melampaulah bakal menantu daddy tu kalau dia bagi syarat lagi!”

“Mana tahu, kan?” Puan Hana menyampuk.

“Kali ini, saya yang bagi dia syarat, mummy,” ujar Hasif. Bangga.

“Iya? Apa syarat kamu tu?” Teruja benar mummynya hendak tahu. Keterujaan yang menyebabkan Hasif ketawa besar.

“Saya cakap... Dia kena bagi saya anak setiap tahun selama 5 tahun.” Hasif memberitahu. Terbayang gelagat lucu Alia sebaik dia memberikan syarat itu semalam. 

“Anak? Eei, gatal betul awak ni! Kahwin pun belum...”

“A’ ah. Tak baik tau cakap kasar-kasar dengan bakal suami.”

Bibir gadis itu muncung panjang. 

“Baru aje belajar bab nikah kahwin, kan? Isteri mesti buat apa? Patuh kepada kehendak suami, kan?” 

Mata bundar itu memandangnya macam nak telan. “Habis, suami buat apa? Bagi syarat macam itu ingat bagus sangat?”

“Suami akan jadi suami dan ayah yang baik. Insya-Allah, isteri akan dibantu selagi terdaya.” Hasif berjanji. 

Lama Alia terdiam sebelum bertanya, “Betul ni?”

Hasif angguk. Laju. Senyum pada bibir Alia menjawab segala. Tidak perlu berkata apa-apa lagi. Janji untuk bersama akan terlaksana dengan izin-Nya. 
........

“SAYANG! Kan abang dah pesan, sayang jangan buat apa-apa? Mari sini!” 

Alia yang comel bergaya dengan jubah berwarna ungu lembut dan berselendang ala-ala gadis pengacara Hijabista melangkah perlahan ke arah suaminya. Suami yang menikahinya 6 bulan yang lalu. Suami yang setiap masa cuba melindunginya terutama sekarang ketika dia baru sahaja disahkan sudah berbadan dua. 

“Semua benda tak bagi orang buat. Bosan tahu tak asyik tak boleh buat itu ini!” keluh Alia. 

“Siapa cakap abang tak bagi sayang buat kerja? Ada, cuma sayang aje yang kedekut.”

Pulak? Eeii, suami aku ni memang pandai pusing cakap dia. Hisy!

“Muka macam tu maknanya tak percaya cakap abang, kan?” 

“Memanglah! Cuba cakap, apa yang abang benarkan Alia buat? Nak menjahit tak boleh. Nak sapu rumah, kemas rumah.. semua tak bagi. Masak aje yang boleh itupun kalau abang teringin nak makan apa-apa. Orang rasa macam dah jadi OKU tau!” 

Hasif gelak besar. 

“Janganlah gelak! Orang marah karang...”

“Isteri abang cuma perlu senyum pada abang aje. Nak tahu kenapa? Sebab senyum tu sedekah untuk suami.”

“Yalah! Orang senyum ajelah,” ujar Alia sambil cuba menahan diri agar tidak tersenyum. Tapi, masakan boleh. Untuk suami, senyumpun dapat pahala. Tak gitu?

Tubuh Alia didakap erat sambil bibir berbisik menyuruh isteri memandang langit yang indah. 

“Pagi Syawal ni, sayang. Senyumlah untuk abang sebab senyuman sayang tu mengindahkan Aidilfitri abang, tahu tak?” pinta Hasif lembut. 

Wah, hati isteri mana tak cair mendengar suami ungkapkan kata-kata indah sebegitu. Okeylah... Nak senyum satu hari ini. Demi suami kerana Aidilfitri suami jadi indah hanya dengan melihat senyumanku ini. Dan Alia mula melakar senyum pada bibir nan indah...
........ 

Ulasan

  1. Hehehehehe...sweet....thx kak,sofi..

    BalasPadam
  2. sweet...berubah ke arah kebaikan...

    BalasPadam
  3. Ehem..ehem...bgs btl hasif...ajak sma2 mendalami agama...alhamdulillah...kalo ada lelaki cmni lg alangkah bertuahnya...tq ka sofi utk cerpen yg best...ada pengajaran...yg tua harus dihormati...krn syurga itu dibwh tapak kaki ibu, bahagia itu disisi ayah tercinta...

    BalasPadam
    Balasan
    1. As salam.. blog Jari jemariku dan keyboard bila nak aktif semula?... ada cerita menarik yg blm tamat kan?...

      Padam
  4. Ehem..ehem...bgs btl hasif...ajak sma2 mendalami agama...alhamdulillah...kalo ada lelaki cmni lg alangkah bertuahnya...tq ka sofi utk cerpen yg best...ada pengajaran...yg tua harus dihormati...krn syurga itu dibwh tapak kaki ibu, bahagia itu disisi ayah tercinta...

    BalasPadam
  5. Best sesangat kak Sofi....thaks...♡♡♡♡♡

    BalasPadam
  6. Best sesangat....thanks Kak Sofi

    ♥♥♥♥♡♡♡♡ Nitashari

    BalasPadam
  7. Best sesangat kak Sofi....thaks...♡♡♡♡♡

    BalasPadam
  8. best lah kak sofi.. walaupun dgn hanya panggilan, nilai santun, mesra & hormat akan tetap dirasai...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…