Langkau ke kandungan utama

Prolog Sampai Bila

assalamualaikum... kak sofi masukkan pula 5 bab2 awal novel ke 3 kak sofi iaitu Sampai Bila. Mungkin ada di antara anda yang belum beli novel ini, kan? Jadi, kak sofi harap, dengan munculnya bab2 awal ini dapatlah menarik minat anda untuk terus menghayati watak Alisa dan Adnan Malik. selamat membaca...



Prolog

PAGI Rabu yang cerah. Sinar mentari sedang memancar, menerobos masuk ke setiap celah ruang bagi menebarkan sinarnya yang indah. Langit membiru memantulkan cahaya ke dalam air kolam yang tenang. Suasana terasa aman. Meskipun di bawah sana hiruk-pikuk bunyi kenderaan sedang mengalami kesesakan lalu lintas, bangunan megah ini teguh berdiri tanpa peduli apa pun. Malah, penghuni unit kondominium mewah itu sedang lena, bagai tidak terusik oleh apa pun.
Tidurnya pulas dengan hembusan nafas yang teratur. Dada turun naik perlahan. Rambut yang panjang sudah kusut malah ada yang berjuntaian menutup muka. Katil yang luas kelihatan berselerak dengan cadar dan bantal yang bersepah. Nampak benar lasaknya!

Pintu bilik dibuka dari luar. Kelihatan seseorang sedang tersenyum manis sambil mengangkat dulang berisi sarapan pagi untuk dibawa ke sisi katil bersaiz king itu. 

“Morning laling! Bangun, bangun! Sarapan!” jerit Rozi di telinga gadis yang sedang enak dibuai mimpi. 

Terpisat-pisat keadaan Alisa apabila terjaga daripada tidurnya. Jari-jemari menggosok-gosok sepasang mata. Keadaannya masih lagi mamai. 

“Apa ni, Lisa? Dah pukul 10.00 duk lena lagi? Mata tu karang akak tongkatkan dengan mancis, baru tahu,” usik Rozi. 

Alisa tersengih mendengar usikan Rozi. Perlahan-lahan dia tegakkan badannya. Dua tangan diangkat untuk membaca doa ketika bangun daripada tidur. Habis berdoa, Alisa berselawat ke atas Nabi SAW pula. Setelah siap, dia melakukan sedikit regangan tubuh. Dan akhirnya, barulah dia kembali merenung Rozi yang masih setia bersama dulang sarapannya. 

Sebaik dulang itu diletak di atas riba, Alisa terus jerit, “Wah, sedapnya, kak! Ada sandwic tuna, ada air oren, ada strawberi campur betik. Eh, bihun goreng pun ada jugak? Nyum, nyum! Jom makan... Bismillahirrahmanirrahim.” 

“Eii, tak berus gigi ke?” Rozi buat muka comel. Geli.

Alisa ketawa besar. “Hello, laling. I sudah mandi sebelum solat subuh tadi, wokey!”

“Yo! Tapi tadi, lu sudah titon ma...” Rozi terus mengusik lagi.

“Alah, Kak Rozi ni! Orang tidur-tidur ayam ajelah!” 

“Ya ke? Tapi akak dengar bunyi orang berdengkur tadi, tahu?” Rozi masih main-main.

“Amboi, amboi, kakak aku ni! Nampak benar menipu ya! Lisa tak pernah tidur berdengkur seumur hidup Lisa ni, okey!” Wajah Rozi ditatap. Kening terjongket ke atas. Ragu-ragulah pula. “Tapi, betul ke Lisa berdengkur, kak? Isk, isk... buat malu aje!” 

Rozi ketawa. “Tak adalah! Kamu tu cuma lasak aje.”

“Lasak?”

“Ya! Tengah malam tadi akak tengok habis baju tidur kamu tu terselak sana, terselak sini. Hisy, kalau Adnan Malik nampak, mesti dia terliur tengok betis kamu yang putih gebu tu.”

Alisa tersedak mendengar usikan Rozi. 

“Akak ni kejam! Orang tengah makan akak sebut nama lelaki gila tu. Sakit kerongkong orang, tahu tak?” marahnya sambil urut-urut dada. 

Rozi langsung tidak ada riak bersalah. Sebaliknya dia terus sahaja ketawa. Suka sangat melihat Alisa begitu. “Akak bukan apa, Lisa. Saja nak ingatkan kamu kepada mamat tu. Kamu kan ada temu janji dengan dia hari ini? Pukul berapa ek?” 

“12.00.”

“Hmm, pukul 12.00. Sekarang dah pukul sepuluh suku, cik? Bila nak bangun? Bila nak bersiap? Awak tu kalau dapat mekap, berjam-jam. Nanti Adnan Malik geram, dia balik. Apa jadi? Melepaslah awak nak jadi teman tidur dia, Cik Lisa oi!”

Buntang mata Alisa mendengar Rozi mengusiknya begitu. Teman tidur? Uisy, tak sudi! Langsung tidak! Dia cuma mahu masuk ke dalam rumah agam milik lelaki itu semula. Mahu memporak-porandakan kedamaian Adnan Malik dan Fasihah selama ini. Itu saja! Nak merealisasikan perkahwinan mereka? Kirim salam! Tak sudi langsung!

“Apa lagi tu? Hisy, budak ni, asyik berangan aje! Lisa!!!”

“Yalah! Yalah! Lisa nak bersiaplah ni. Jangan risaulah, Kak Rozi. Ini misi Lisa. Matlamat hidup Lisa sekarang. Takkanlah Lisa nak gagalkan rancangan Lisa sendiri, kan? Rancangan yang dah dua minggu Lisa rancang, kak,” ujar Alisa bersungguh-sungguh. 

“Baguslah kalau macam tu. Akak pun nak bersiap juga ni. Tapi, akak pergi dulu tau. Nak siapkan apa yang patut untuk perjumpaan kau orang nanti.”





KETIKA Alisa memarkir kereta Audinya di ruang parkir bangunan 27 tingkat Menara Tun Sambanthan, dia terpandang susuk suaminya, Adnan Malik. Lelaki itu sedang bercakap dengan seseorang di telefon sambil menyandarkan tubuh yang sasa ke pintu kereta Honda Aztec miliknya, yang berwarna hitam. 

Sudah dua minggu tidak bertemu, lelaki yang berkulit cerah itu tetap begitu. Tetap kacak, tetap bergaya dan tetap kelihatan hebat pada pandangan sepasang matanya. Malangnya, lelaki yang baru berusia 30 tahun itu bukan seorang manusia, tetapi monster. Monster yang menakutkannya. Amat menakutkannya dua minggu yang lalu. Bagaimanapun, Alisa bersyukur. Kalau tidak kerana sikap lelaki itu, tidak mungkin dia berada di sini hari ini. Tidak mungkin dia ke mari. Malah, mungkin, dia sedang menangisi nasib dan takdir. 

Alisa berasa tidak sabar untuk melihat reaksi Adnan Malik apabila terpandang dirinya nanti. Apakah akan terkejut? Atau wajah yang memanjang serius itu akan berubah, menjadi marah? Spontan Alisa merenung jari-jemarinya. Inai yang masih merah tiba-tiba menyemarakkan satu rasa dalam jiwa. Rasa yang bercampur baur, antara marah dan sakit hati, antara geram dan dendam menyebabkan dia mengambil keputusan senekad ini.

Alisa diam menekur di tempat duduk. Tidak mahu keluar lagi. Sengaja dia menunggu sehingga lelaki itu habis berbual dan mula melangkah meninggalkan kereta, barulah dia sendiri keluar lantas mengekori lelaki itu untuk ke pintu lif. 

“Hmm, tak sangka bertembung dengan awak kat sini. Cepat awak sampai? Macam tak sabar aje nak jumpa... Faris,” ujar Alisa sebaik dia berdiri di sisi suami. 

Adnan Malik sungguh terkejut dengan kehadiran gadis itu di sisinya. Serta-merta semua organ dan deria di dalam tubuhnya menjadi alert. 

Deria bau sudah menghidu haruman lembut yang dipakai oleh Alisa. Matanya sudah terperangkap pada lekuk tubuh yang indah. Jantungnya sudah berdegup laju. Satu keadaan yang Adnan Malik tidak suka. Sebaik pandangan bertaut, dia terus bertanya, “Apa kau buat di sini?” 

Alisa jongket bahu. “Encik Faris call, suruh datang.” 

“Jadi, dia nak jumpa dengan kau jugak?”

“Hmm. Kenapa? Ada masalah ke?” 

Lelaki itu mendengus. 

“Kenapa Faris nak jumpa kita? Kau tahu?” Keras suara garaunya bertanya. Kali ini dia fokuskan minda untuk tidak menoleh ke arah Alisa langsung. 

“Oh, bukan awak ke yang atur pertemuan ni?” tanya Alisa sambil memanah pandangan ke wajah Adnan Malik. Sengaja berlama-lama merenung. Sengaja ingin membuat lelaki itu kegelisahan. Dan, dia berjaya. Adnan Malik kelihatan sangat tidak selesa dengan kehadirannya. 

“Kenapalah lif ni lambat sangat? Masa orang nak cepat, masa itulah dia tak turun-turun!” rungut Adnan Malik. 

“Bagus jugak macam tu! Boleh saya ambil peluang ni untuk tengok muka awak. Kalau tidak, tak kenal pulak suami sendiri, kan?” ujar Alisa sambil tergelak kecil. Dari ekor mata, dia nampak Adnan Malik yang terkejut mendengar kata-katanya. Sepasang mata itu merenungnya tak lepas! 

“Kau cakap apa ni?” Adnan Malik menyoalnya. Garang.

“Ops, lupa! Awak tak suka isteri awak ni, kan?” 

Suara Alisa yang sedikit lantang itu menyebabkan beberapa orang yang berdiri hampir dengan mereka memandang ke arah Adnan Malik dengan dahi yang berkerut. Alisa tidak peduli, buat-buat tak nampak. Hanya Adnan Malik yang kelihatan malu dengan keadaan itu. Mujur lif sudah sampai. Bolehlah melarikan diri sekarang. 

Sekali lagi, mereka bergelut dengan perasaan apabila tangan masing-masing sama-sama hendak menekan butang untuk ke tingkat 12. Bagai terkena renjatan elektrik, sepantas kilat tangan ditarik. Tapi, sentuhan itu tetap menyebabkan dada bergetaran. Adnan Malik paling ketara gemuruhnya sehingga kehilangan kata-kata. 

“Awak sihat?” tanya Alisa, sengaja ingin membakar perasaan. 

Wajah Adnan Malik sudah merona merah. Sakit hati kerana merasa diri seolah-olah disindir dengan soalan itu. 

“Tentulah sihat, kan? Kalau tidak, pasti awak dah terlantar kat hospital. Macam ayah saya.” 

Kan betul? Alisa sengaja hendak menimbulkan rasa bersalah dalam hatinya. Sengaja hendak mengingatkan dia pada perbuatannya dua minggu lalu. Segala kata-kata juga kemarahan yang sudah terluah. Namun tetap dia bertanya, “Ayah kau masih di hospital?”

Lif sudah berhenti. Mereka keluar, beriringan menuju ke pejabat Faris, peguam muda yang mengatur pertemuan ini. 

“Kejutan yang awak bagi menyebabkan ayah dapat strok. Takkan cepat sangat nak sembuh, kan? Tapi, tak apalah. Kalau tak dimasukkan ke hospital, ayah saya tu bukan tahu merehatkan diri. Jadi, sekarang, awak anggaplah yang perbuatan awak pada ayah tu satu kebaikan pada dia.” 

Sekali lagi, Adnan Malik terasa diri disindir. Sudahlah rasa bersalah itu sering sahaja menghantuinya. Kini, setelah mendengar kata-kata Alisa, semakin dia rasa terbeban. Terbeban dengan rasa bersalah yang amat sangat!



SETIAUSAHA Faris tersenyum-senyum menyambut kedatangan mereka berdua.

“Duduk kejap ya, Lisa. Encik Faris ada tetamu. Lisa nak minum apa?” tanya Rozi.

“Teh hijau yang biasa Kak Rozi buat tu sedap. Lagipun, ia menenangkan otak. Saya nak minum tu.” Alisa menyahut sambil tersenyum. Melirik ke arah suaminya, dia melihat lelaki itu sudah mengerutkan dahi.

‘Hmm, tu mesti dia rasa hairan tengok Kak Rozi baik dengan aku. Maklumlah, pada dia, aku ni perempuan yang teruk! Macam mana perempuan baik, beriman macam Kak Rozi boleh berkawan dengan aku, kan?’ Desis hati Alisa. 

“Okey,” sahut Rozi lalu terus pergi dari situ.

Pandangan Alisa sekali lagi tertumpu kepada Adnan Malik. Kalau tidak silap, dia dengar lelaki itu menggumam, “Kenapa Rozi tak tanya aku nak minum apa? Pilih kasih ke apa ni?”

Untuk kedua kalinya, dahi lelaki itu berkerut lagi! 

Alisa berasa hendak ketawa namun ditahankan. Hanya sekuntum senyuman sinis menghiasi bibir. ‘Padan muka! Kak Rozi pun marah pada awak, Adnan! Sebab itu, dia malas nak tanya awak apa yang awak nak minum.’

Kata-kata yang bermukim di dalam hati. Beranikah hendak mengeluarkan sindiran itu lantas menujah telinga Adnan Malik? Tidak! Belum masanya lagi untuk dia menaikkan suhu kemarahan lelaki itu. Tunggulah sekejap lagi! 

Pintu bilik Faris terbuka. Dia berkata sesuatu dengan kliennya, seorang lelaki separuh baya. Selepas berjabat tangan, lelaki itu meninggalkan mereka. Faris menumpu perhatian kepada Alisa. 

“Marilah masuk, Lisa.” Dia mempelawa. 

Puas rasa hati Alisa kerana Faris tidak langsung mengendahkan Adnan Malik. Untuk seketika, dia rasa menang. Menang kerana menerima sokongan daripada Faris secara total. Biarlah Adnan Malik berasa terpinggir. Biarlah lelaki itu berasa tidak dipedulikan. Kerana, memang sepatutnya begitu! Orang sombong dan berlagak macam Adnan Malik, seharusnya tidak diberi muka!

“Duduklah.” Faris menarik kerusi untuk Alisa. Dia merenung Adnan Malik sekilas. Lelaki itu sudah pun mengambil tempat duduk di sebelah isterinya. 

“Teh hijau dah siap.” Rozi berkata sambil meletak dulang di atas meja. Untuk Alisa dan Faris, cawan diletakkan betul-betul di hadapan mereka. Tetapi untuk Adnan Malik, sengaja cawan itu diletak jauh. Sengaja ingin menyusahkannya sedikit. Bukan apa-apa, kan?

Sambil itu, Faris memerhati pasangan suami isteri di hadapannya. “Kau orang berdua apa khabar?”

“Saya sihat, Encik Faris,” jawab Alisa sambil tersenyum meleret. 

“Apa hal pulak ni, Faris? Kenapa kau panggil kami ke sini?” 

Alisa mendengar Adnan Malik bertanya. Ah, nampak sangat betapa lelaki itu tidak mahu berlama-lama di situ. Kenapa? Takut tergodakah?

Faris menoleh ke arah Alisa. Kemudian pandangan itu tertuntas pula kepada Adnan Malik. “Alisa nak jumpa awak, Adnan. Dia ada benda nak cakap.” 

Alisa nampak kening lelaki itu terjongket sedikit. Hmm, tentu lelaki itu tidak menyangka bahawa dia yang mengatur pertemuan ini. Yalah, tadi, dia cakap Encik Faris yang hendak berjumpa. Sekarang lain pula cerita.

“Kau nak apa lagi, Alisa? Kau pekak ke apa? Tak faham ke kau pada apa yang aku cakap hari tu?” 

Alisa tersenyum. Menasihati diri agar bertenang, biarpun singa jantan di sebelahnya ini seakan-akan ingin menerkamnya. Lama dia hanya memandang raut tampan itu. Sesungguhnya, dalam ketenangan ini, hatinya tetap bergetar membalas renungan penuh kebencian itu. Bergelora jiwanya menahan panahan sepasang mata itu. 

Kepala digeleng-gelengkan sedikit untuk membuang segala rasa. Dengan menarik nafas yang dalam, Alisa kemudian memberitahu, “Memang saya yang minta Encik Faris aturkan pertemuan kita ni. Memang saya nak jumpa awak. Kenapa? Tak boleh?” 

“Kau tak jawab lagi soalan aku!” 

Alisa sekadar tersenyum. Dia sudah bersedia menghadapi kerenah Adnan Malik. Masa dua minggu sudah cukup untuk dia melatih diri agar mampu bertahan dengan sikap lelaki ini terhadapnya. Sekali ini, dia bukan lagi wanita yang tewas. Sekali ini, dia bukan lagi wanita dua minggu lalu yang hanya mampu menangis dan berdiam diri apabila dicerca, dimaki, dihina dan dituduh dengan pelbagai nama oleh lelaki ini dan ibunya, Fasihah. Hari ini, dia adalah Alisa yang baru. Dia punya nekad dan tekad yang utuh, yang kebal dan paling penting, dia kembali bersama dendam yang bersarang dalam diri. Untuk semua kesakitan yang diberi oleh Adnan Malik kepadanya!

“Saya nak balik ke rumah awak, Adnan Malik. Sebagai isteri awak yang sah, tempat saya di sisi awak! Bukan begitu?”
...............
macam mana? masuk x dalam jiwa? suka x? komen sikit please...


Ulasan

  1. Nk beli Kak. Tak smpt nk trf duit lg. once dh byr, I let u know tau Kak. Saya suka wtk Alisa ni.

    BalasPadam
  2. nice story..masih tertanya2 bagaimana Alisa boleh berkahwin dengan Adnan Malik..kena baca bab seterusnya..

    BalasPadam
  3. Kak sofi. Sedih ni. Dh trf duit byr novel Sampai Bila, br perasan post lama akak yg mention stok dkt akak dh abis. Saya ada email kt akak tau.

    BalasPadam
  4. Cik Sofi saya dah baca prolog ni .Sangat menarik.penuh rasa sedih ,atas penghnaan seorang suami dan dan ibu mertua. Terdapat kebangkitan semangat membalas dendam terhadap penganiayaan suami .Dari gambaran yang diberi cinta kasih Alisa dan Adnan Malik belum berakhir malah baru bermula. Memang pembaca hook terus dengan ceriter ni.Thumb up,Cik Sofi.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…