Langkau ke kandungan utama

Hatiku Dibawa Lari 3

Sambungan Hatiku Dibawa Lari tapi bab 3 ni tak ada hero. Jangan marah hah.... Nanti bab 4 kita bubuh hero banyak2.
Hatiku Dibawa Lari


Bab 3

Persidangan tergempar! Itu yang Mek Yah bisikkan kepada Fazia tadi. Kehadiran wajib sebab wan sudah mengamuk. Mak tok juga. Kerana itu, Fazia kini sedang berpapasan dengan mak su untuk ke bilik utama, bilik tidur wan dan mak tok yang juga merupakan bilik solat keluarga.

“Ni mesti ada kena mengena dengan perbuatan kamu tadi, Faz!” Mak su mula menuduh. 

Langkah Fazia terhenti. Tangan mak su turut dilelar supaya mak su berdiri pegun di sisinya. 

“Faz buat apa?” soal Fazia terpinga-pinga. Tak faham betul dengan tuduhan mak su yang meletak kesalahan di atas pundaknya. 

“Lagi mahu tanya? Siapa yang buat bising kat luar tadi? Siapa yang guna judo bagai nak malukan orang? Siapa yang mulut macam bertih jagung maki hamun si....”

Fazia cekak pinggang. “Kalau makhluk dua orang tu tak cari pasal dengan Faz, mak su... Faz pun tak adalah nak naik angin macam tadi!” balasnya garang. Rasa kecil hati pun ada, rasa gerampun ada dengan mak su. Takkan tak tahu siapa yang mulakan pergaduhan? Sengaja hendak membela mamat poyo perasan hensem tu?

“Tak habis-habis lagi korang berdua ya? Anak saudara dengan mak saudara sama naik! Banyak perangai!” jerkah mak tok di hadapan pintu bilik. Sergahan yang menyebabkan Fazia mengunci mulut. Diam! Mak su? Sudah tersengih macam kerang. Yang busuklah!



Fazia dan Mak Su Zarina tunduk pandang lantai. Tak berani membalas renungan wan yang tajam. Tak berani tengok muka mak tok yang garang. Sudah sepuluh minit suasana sepi dalam bilik. Kedinginan suhu alat pendingin hawa nampaknya tidak mampu menyejukkan hati pasangan suami isteri yang baru pulang daripada makan kenduri di Kg Binjai itu.

“Sejak bila kamu jadi orang gaji mak tok, Faz?” 

Fazia panggung kepala. Renungan mak tok dibalas seketika sebelum dia tunduk. Hati dah siap sumpah seranah kepada ‘spy’ mak tok. Siapa lagi kalau bukan Mek Yah dan Abang Jai? Dua orang kepercayaan pasangan suami isteri ini. 

“Kamu tu cucu mak tok, Faz. Mak tok yang bela kamu masa kamu kecik dulu. Bertahun-tahun kamu tinggal kat sini. Bila dah umur 10 tahun, pandai pulak emak bapak kamu ambik kamu bawak balik ke Kuching. Kamu tahu tak betapa seronoknya mak tok bila kamu datang dua hari lepas? Cucu kesayangan mak tok balik ke pangkuan selepas sekian lama kamu dijauhkan daripada kami. Tiba-tiba, kamu bagitahu yang kamu orang gaji kat rumah ni? Kenapa? Dalam dua hari ni kamu rasa susah ya? Kamu rasa mak tok dengan wan kulikan kamu?” soal mak tok bertubi-tubi. 

Bulat bola mata Fazia Nur Imani. Hati bergetar hebat. Mula memahami kenapa mak tok dengan wan marah. Kiranya, mereka menyangka yang....

Fazia segera mendapatkan mak tok. Tubuh tua itu didakap erat-erat. Rasa sayang yang selama ini enggan ditunjukkan, menggebu tiba-tiba. Menggera bibir untuk mengucup pipi tua itu bertalu-talu. Kiri dan kanan sehingga mak tok ketawa bahagia. 

“Mak tok dah salah faham ni! Okey, biar Faz bagitahu apa yang sebenarnya,” kata Fazia sambil mengajak mak tok duduk di sebelah wan. Tangan wan juga ditarik supaya memberikan perhatian kepadanya. “Pelakon tu yang mereka-reka cerita. Dia tengok Faz pakai selebet terus dia cakap Faz ni orang gaji, mak tok! Faz malas nak nafikan. Saja nak tengok manusia bodoh sombong tu nak buat apa lagi pada Faz.”

Mak su mencelah. “Ikut sedap mulut dia aje cakap Qif Farhan tu bodoh sombong. Qif punyalah baik...” 

“Mak su tu memang! Pantang tengok orang hensem sikit...”

“Hah! Mengaku pun kamu yang dia tu hensem!” pintas Mak Su Zarina. Seronok betul dia dapat mengenakan Fazia yang sudah merona merah mukanya menahan malu. Kini dia mengalih perhatian kepada ibu dan ayahnya. “Mak, pak... Cucu mak dengan pak ni yang mental. Dia cari pasai dulu. Dia tunjuk samseng kat anak teruna orang, mak oi!”

“Fazia?” Wan dan mak tok jerit serentak. 

Fazia tayang gigi. Nak kata apa lagi. Satu kampung dah heboh tadi. ‘Orang gaji baru di rumah mak tok tu... tak betul!’

Ada ke? 

“Alah, relakslah wan, mak tok! Bukan luakpun cucu wan ni kalau digelar orang gaji. Buat apa nak marah?” akhirnya dengan gaya ‘cool’ Fazia cuba tenangkan hati kedua-dua orang tua itu. 

“Memang tak luak tapi wan tak suka. Malam ni wan nak kenalkan Faz pada semua orang masa kita dinner nanti,” Wan bersuara tegas. 

“Mana boleh, pak?” mak su menegah.

“Awat hang ni, Zarina? Hang suka orang kulikan anak sedara hang ni?” mak tok jegil mata kepada anaknya. Wan pun sama. Tidak faham dengan perangai anak bongsu yang nyata suka apabila cucu mereka dipanggil dan digelar sebagai orang gaji. 

Mak Su Zarina membetulkan duduk. Memandang wajah semua orang silih berganti sambil tersenyum manis. “Cuba mak bayangkan apa Qif Farhan rasa bila dia tahu orang yang dia duk suruh buat itu ini tadi, ialah cucu mak dengan pak. Mesti dia malu, kan? Dia tu bukan boleh dijangka, mak! Buatnya dia jadikan itu alasan tak mau berlakon, siapa susah? Mak pak jugak! Buatnya pihak produksi saman kita? Haru satu Malaysia, mak!” 

Mak tok mencebik. “Hang ni melebih-lebihlah pulak,” ujarnya sambil menunjal dahi si anak bongsu. 

Fazia menggeleng. “Cakap mak su tu betul, mak tok. Encik pelakon tu ego tinggi. Bodoh sombong, mak tok, wan! Faz rasa, kalau dia tahu Faz ni cucu mak tok, dia mesti buat hal. Jadi, biarlah dulu! Faz tak kisahlah jadi orang gaji dia. Setakat nak buat kerja dalam rumah ni, apalah sangat, kan?” pujuknya. 

Wan mendengus. “Wan tak suka kamu mainkan orang, Faz.” keluhnya.

“Alah, bukan lama. Dua minggu, kan? Lagipun, wan... Kita nak jaga air muka dia. Tak mahu dia malu sebab dah terlajak kata tuduh Faz ni orang gaji. Kalau kita diam-diamkan perkara ni, sampai dia balik KL pun, dia takkan tahu. Betul tak, mak tok?” kata Fazia sambil tersenyum. Kali ini dia yakin bahawa wan dan mak tok tidak lagi marah. Malah, pasangan suami isteri itu pasti akan merestui apa yang dilakukannya.

Mak tok dan wan saling berpandangan. Bagai ada bicara dalam pandangan mata masing-masing. Bagai ada bisikan rahsia yang dimengerti oleh mereka sahaja sedang merentas semilir. Fazia menjongket kening. Mak su pula mengerut dahi. Tidak mengerti keresahan yang terpamer di raut tua di hadapan mereka. 

“Mak tok, wan...please! Dah lama Faz tak rasa seronok macam ni. Janganlah marahkan Faz. Faz cuma nak hiburkan hati Faz ni aje...” 

Lirih suara cucu yang memang diketahui dalam kesedihan akibat putus tunang menyebabkan datuk dan nenek tidak sanggup hendak mengecilkan hatinya lagi. Biarpun tidak bersetuju dengan Fazia yang dianggap mahu mainkan perasaan encik pelakon namun keceriaan pada wajah cucu kesayangan tidak sanggup hendak dilunturkan. 

“Bang, dua minggu aje kan? Biarlah...” kata mak tok. 

Bunga senyum menghiasi wajah indah cik cucu. 

“Tapi nanti, kamu kena mintak maaf dengan dia, Fazia.” tegas wan memberi ingatan. 

Fazia berdiri tegak. Dia kemudian menabik bekas pegawai kastam di hadapannya. “Yes, sir!” 

“Mai sini! Wan belum peluk kamu lagi hari ni, kan?” 

Tidak perlu datuknya mengulang kata. Diri terus saja dilontar ke dalam dakapan erat wan yang tersayang. Rasa diri disayangi sepenuh hati. Rasa kebahagiaan mengisi sepenuh relung hati. 

Ketukan pada pintu bilik mengejutkan mereka. Mak Su Zarina segera membuka. Dan, wajah Mek Yah terjengul di hadapan mereka. 

“Encik Qif tu cari cik. Dia tak tahu di mana cik letak beg dia.” Mek Yah memberitahu. 

“Mek Yah, kan tadi Abang Jai dah letak dalam bilik Faz?” tanya Fazia dengan dahi yang sudah berkerut. 

“Bilik kamu, Fazia?” tanya mak tok.

“Habis, nak letak dia kat dalam bilik mana lagi? Siapa suruh dia duduk kat sini? Orang lain semua duduk kat homestay. Heroin pun duduk di hotel. Yang dia tu...”

“Dia tak suka bilik kamu tu!” 

“Apa?” Fazia dah mencekak pinggang. Mencerun matanya memandang Mek Yah. 

“Dia kata dia pening tengok warna pink dalam bilik tu.” Mek Yah memberitahu. 

“Faz!” 

Fazia berhenti bergerak. Tak jadi hendak keluar menyerang mamat poyo bajet bagus tak sedar diri itu. 

“Biar wan tengok dia. Wan nak pindahkan dia ke bilik di tingkat atas tu,” ujar wan sambil melirik senyum kepada mak tok. 

Mata Fazia membuntang. “Wan? Mana boleh? Kan wan cakap wan renovate bilik tu untuk jadikan bilik pengantin Faz?” tanya dia. Kemudian mulut terus ditekup. Termalu sendiri. Itulah fasal. Cakap tak mahu fikir dulu. Tapi, rasa sebak pun ada. Apabila difikirkan, jika ada jodohnya dengan Johan sudah pasti di dalam bilik itulah dia dan Johan akan tidur ketika menetap di sini. Mak su pernah memberitahunya dahulu yang bilik itu direka oleh wan istimewa untuknya. Apa yang istimewa, entahlah. Mak su tidak pula menyambung cerita. Tapi, ahh.... lelaki itu yang akan menikmati keindahan bilik istimewa itu. Grr...

Semakin bertambah-tambah rasa benci Fazia kepada Qif Farhan.
  

Ulasan

  1. owh, sangat teruja dengan citer ala2 sengal akak ni, best sgt!!
    suka bab2 antara fazia dgn qif farhan. hope byk dialog antara diaorg berdua.

    BalasPadam
  2. kak sofi!!!!!!!...something different...ha ha
    dah lama tunggu karya baru kak sofi....rindu

    -che`leen-

    BalasPadam
    Balasan
    1. silakan baca n enjoy ya che leen hehe

      Padam
  3. Assalamualikum Kak sofi.
    nak emel boleh?
    Nak tanya2 pasal JDR. kak sofi active lg jdr?

    Apa2 pun penulisan yg mantop! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. semua yang ada di sini ajelah pengalaman kak sofi. tu aje dik

      Padam
  4. tak boleh nk ingat gaya selebet fazia tuh..haha

    BalasPadam
  5. Best...cepat2 smbg lagi kak

    BalasPadam
  6. please continue this story kak...tak sabar dah nak baca....:D

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…