apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

8.4.13

Cintaku Ini edisi cerpen penuh



Hari ini, satu kerja pun tak mampu aku buat. Pegang itu tak kena, pegang ini pun tak kena juga. Ke hadapan, jalanku pincang. Ke belakang pun jalanku tempang. Memang aku tak senang duduk. Memang aku gelabah. Aku resah.

I must be crazy now,
Maybe I dream too much,
But when I think of you.....

Argh, mulalah hendak berangan-angan! Berangan-angan tentang dia. Dia yang sudah setahun tidak ku jumpa. Dia, dia yang menjadi lelaki kegilaanku. Lelaki yang setiap malam hadir dalam mimpi-mimpiku. Yang tidak pernah lepas daripada fikiranku sejak aku mula mengenali dirinya.

“Hensemnya dia! Ya Allah, aku tak pernah tau yang tuan Umar ada anak sesegak itu? Ke mana tuan Umar sorokkan anak dia selama ni?” 

Wanita mulut becok bernama Rohana itu memandang ke arahku. Terus dia bertanya soalan cepu emas yang berbunyi,

“Salhah, kenapa kau diam aje? Kau tak teruja ke nak jumpa encik Irfan Naufal?”

Kalaulah dia tahu apa yang aku rasa sekarang? Hai, tentu lagi becok mulutnya. Tentu lebih banyak modal untuk dia bercakap dan menjadi juruheboh di pejabat kami ini. Entah apalah yang akan dijajanya tentang aku? Entah-entah dia akan pukul canang dan mengumpulkan semua orang lalu menjerit...

“Hello, you all semua nak tahu tak? Rupa-rupanya Cik Salhah kita ni dah lama pendam perasaan pada anak tuan Umar. Dah tiga tahun dia ada hati pada encik Irfan!”

Aduh, malunya kalau diorang semua tahu tentang perasaanku kepada lelaki itu. Pasti semuanya akan memandang mukaku dengan riak tidak percaya. Paling aku takut kalau ada yang ketawa dan menyindirku....

“Hey, Salhah! Kau ni dah tengok cermin ke belum? Uisy, ada hati hendakkan lelaki tu? Kuss semangat! Badan dah lah ‘double XL’! Rabun pulak tu! Hai... cermin diri tu, cik adik! Kau dengan dia macam langit dengan bumi!”

Aku tahu! Sudah lama aku menyedari hakikat perbezaan di antara kami. Dari segi fizikal, dia lelaki paling sempurna yang pernah kutemui. Sejak dia melanggar tubuhku kali pertama itu, memang tidak ada lelaki lain yang sempurna di mata ini. Hanya dia sahaja! Ayah aku pun kalah... hehe. Kalau ayah tahu? Mati aku!!!

Tapi, kenangan itu memang yang terindah. Aku sedang berdiri di hadapan pintu lif. Sebaik pintu lif terbuka, dia hendak keluar tapi tidak langsung merenung ke hadapan. Aku tidak sempat hendak mengelak.

Gedebuk!

Kami berdua sama-sama jatuh. Aku pun tak tahu macam mana kami boleh jatuh sedangkan dia kurus sahaja dan aku gemuk. Tapi... dia cepat-cepat bangun. Terus mengutip barang-barang yang bersepah sambil mulutnya tidak berhenti-henti meminta maaf. Aku? Aku dah memang terpesona pada dia dah! Langsung memerhati dia dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

“Awak okey?“ 

Dia menghulur tangan untuk menarik aku bangun. Tapi, aku gemuk sangat! Manalah dia larat. Aku pula, dek kerana terlalu gelabah, langsung tak boleh hendak bangun. Isy, malu betul kalau mengingatkan kisah itu.

“Tak apa! Nanti saya bangun sendiri.” Balasku malu-malu.

Yang aku paling suka tentang dia ialah, dia tidak gelakkan aku seperti orang lain. Bibirnya tersenyum tetapi bukan senyuman sinis yang sering aku lihat pada orang lain. Malah dia amat prihatin.

“Betul ke boleh bangun sendiri?”

Aku angguk. Dan, aku tahu yang aku jatuh cinta pandang pertama aka cinta pertamaku berputik bila dia cakap...

“You are just so adorable. So cute! Kalau saya ada banyak masa, tentu saya tunggu awak bangun dan belanja awak minum kerana saya rasa bersalah sangat. Tapi, saya ada hal penting sekarang. Kawan saya dah tunggu dalam kereta. Saya kena pergi! Maaf ya, cik....”

“Nama saya, Salhah binti Osman,” aku memberitahunya dengan harapan dia akan ingat sampai bila-bila.


Dia senyum. “Saya, Irfan. Irfan Naufal bin Umar. Seronok kenal dengan awak, Salhah. Saya pergi dulu!”

Walaupun masa itu aku masih lagi terduduk di atas lantai, aku tidak peduli. Kupusingkan tubuhku untuk melihat dia. Selepas dia memasuki kereta kawannya, dia memandangku lagi. Tersenyum pulak tu! Lepas itu, aku dilambainya sebelum kereta meluncur laju, pergi dari situ.

Hmm, detik pertemuan yang cukup mengesankan. Cukup mendebarkan. Cukup menggetarkan perasaanku yang baru berusia 23 tahun. Sejak itu, nama Irfan Naufal melekat di mindaku dan bersemadi dalam hati ini. Ya, aku tidak malu mengakui bahawa aku mencintainya. 

I love you, Irfan!


.................

Kami berbaris menyambut ketibaannya. Aku berdiri di sebelah Shazana, nombor dua paling akhir. Ketika dia melangkah masuk di sisi ayahnya, tuan Umar, hatiku mulalah bergetar. Tanganku pula terketar-ketar. Lantas, kugenggam erat tangan kiri dan tangan kanan. Dapat kurasa betapa sejuk tapak tanganku.

I long to feel your touch, 
To whisper in your ear,
Words that are old as time,
Words only you would hear,
                               If only you were mine

Kutarik nafas dalam-dalam. Kini, setiap langkah yang dia atur dalam perhatianku. Kulihat, dirinya masih seperti dulu. Tetap tegap, gagah dan keramahannya juga masih kekal. Dia berhenti untuk berbual seketika dengan setiap pekerja dan seperti biasa, dia pasti mengukir senyumnya yang mesra itu. Senyum yang lawa memikat jiwa.

Tak sabar untuk bersalam dengan dia. Ewah, Salhah? Gatalnya? Tak adalah! Aku tak sabar tunggu dia mendekat. Hendak mendengar suaranya lagi. Iyalah, kan... selama ini dia kuintai dari jauh sahaja. Manalah aku berani hendak melakukan lebih daripada itu? Siapalah aku?

Sejak hari bersejarah itu, aku cari maklumat tentang dirinya. Rupa-rupanya kami bekerja di bawah satu bumbung. Dia di tingkat 9 dan aku di tingkat 5, bangunan 10 tingkat milik Gelco. Dia bekerja sebagai juruteknik sementara aku hanya seorang kerani sahaja.

Satu hari dia masuk ke dalam pejabatku. Rupa-rupanya, dia hendak berjumpa dengan encik Halim, ketua jabatanku. Ketika dia melintasi mejaku, dia menangkap renunganku terhadapnya. Seperti dulu, dia mudah tersenyum. Tapi, aku rasa sebak bila dia menegur....

“Cik Salhah, kan?”

Tentu saja aku mengangguk. Malangnya, tidak ada perkataan meniti keluar dari bibirku. Ingin benar aku memberitahu dia yang aku suka dia tapi, aku bimbang nanti dia fikir aku tidak siuman pula.

“Awak kerja di sini, ya? Saya ingatkan awak kerja di tempat lain. Sejak kita jumpa hari tu, langsung tak pernah bertembung dengan awak. Menyesal pulak tak bagi awak kad nama saya. Kalau tidak tak adalah kita lost contact, kan?”

Tidak dapat kugambarkan betapa bahagianya aku. Alah, aku kan seorang perempuan? Tentulah aku rasakan yang kata-kata itu membawa maksud dia ingin berjumpa dengan aku lagi. Bayangkanlah perasaanku waktu itu? Tentulah aku rasa yang dia menghargai aku. Dia ingin kawan denganku. Seorang lelaki yang berperawakan menarik tidak hirau pada keadaan tubuhku yang montel ini. Oh, aku rasa terawang-awang. Seronok sangat!

Kenangan itu pergi bila kini dia berdiri di hadapanku. Kulontar jauh semuanya. Memori lama, untuk apalah diingat, bukan begitu?

Dia tersenyum menghulurkan tangan kanannya. “Lama tak jumpa. Apa khabar, Salhah?”

Waktu ini, kami menjadi perhatian semua orang. Aku tidak berani membalas renungannya sebab itu aku memerhati sekeliling kami. Tapi, dengan berbuat begitu, hatiku jadi semakin tidak keruan kerana melihat semua orang sedang berbisik-bisik. Yang sedihnya, sudah ada bibir yang terjuih-juih! Aku pun fahamlah. Aku bukan budak sekolah tahun satu. Tu, dah mula mengutuk akulah! Bukan aku tak biasa. Dulu... di ofis lama tu, semuanya kepochi begini. Mereka tak percaya yang Irfan kenal aku. Bukan setakat tidak percaya, malah jelas ada yang tidak merestui!

Eh, lama pula kubiarkan tangan itu dihulur. Irfan ni pun, macam tak faham yang aku tak akan menyambut tangannya itu. Aku dongak. Kemudian aku menjawab soalan yang ditanya tadi,

 “Alhamdulillah, saya sihat, encik Irfan.”

Kenapa dahinya berkerut? Kenapa senyumnya hilang? Kenapa dia marah?

“Masa setahun melarikan diri dari saya tak ubah apa-apa di antara kita, Salhah. Kita tetap kawan dan seorang kawan tak panggil kawan dia, encik, kan?”

Dia bisik hanya untuk pendengaranku saja tapi perbuatannya sekali lagi menyebabkan mereka di sekeliling kami mengerut dahi. Agaknya, mereka ingin benar tahu apakah yang diucapkannya kepadaku?

Aku tak sempat menjawab kerana tuan Umar tetiba menepuk bahunya. Mereka berbisik sebelum Irfan kulihat terangguk-angguk. Dia merenungku seketika sebelum berkenalan dengan Shazana. Lepas bertanya khabar lebih kurang, dia mengundur semula untuk berdiri di hadapanku.

“Nanti kita makan tengah hari sama-sama!” ujarnya sebelum meninggalkan kami.

.....................................

“Siapa di sini yang bernama Siti Salhah Ahmad?”

Aku dengar seseorang bertanya. Bila aku mendongak, dia sudahpun melangkah ke arahku. Matanya tajam. Wajahnya garang. Tapi, dia sangat cantik orangnya. Sangat bergaya juga.

“Cari saya, ya? Jemput duduk!” aku mempelawa.

Gadis itu tarik kerusi dengan kasar. Dia duduk sambil matanya tidak lepas dari aku. “Kau tak kenal siapa aku tapi itu tak penting. Yang penting sekarang ni ialah, aku nak kau lupakan Irfan Naufal. Dia bakal kahwin dengan aku dan aku tak mahu dia ragu-ragu dengan keputusan yag dah kami buat hanya disebabkan kau, perempuan gemuk yang tak sedar diri!”


Malu aku bila mendengar kata-katanya. Apatah lagi bila semua teman pejabatku memasang telinga. Kemarahan aku tahankan. Suara cuba kuluahkan selembut yang boleh. “Cik, cik cakap apa ni? Saya baru dua kali saja jumpa encik Irfan tu. Kedua-duanya secara tidak sengaja dan ada ramai orang di sekeliling kami. Kami kawan pun bukan. Jadi, mengapa pula cik rasa yang saya ni hendak merampas bakal suami cik?”

Dahi perempuan itu berkerut-kerut. “Tapi, Irfan cakap....”

“I dah teka! You mesti datang menyerang Salhah, Nina. Memang I dah agak dah! You ingat, I ni barang, ya? Trofi yang you boleh rebut? Untuk pengetahuan you, Nina, I saja aje reka cerita tentang Salhah sebab I nak tengok.... Nak tengok apakah cik Nina Ariana sanggup tinggalkan kesibukannya untuk rebut hati I semula. Tapi, you ni kan, tetap dengan ego you! I, you tak nak lepas dan bila ada orang lain yang sukakan I, you akan mula nak kawal. Mula cakap dengan semua orang yang I ni kekasih you, akan kahwin dengan you. Lepas tu, bila you berjaya buat orang lain mengundur, you balik dengan perangai lama you. Buat I macam tak wujud. Tak begitu cik Nina Ariana?”

Mulutku terlopong. Owhh, pergaduhan kekasih rupa-rupanya. Tapi, Irfan, yang aku puja-puja tu menggunakan aku untuk menyakitkan si dia. Adakah patut? Sampai hati dia!

“Awak? Boleh kelahi di tempat lain tak? Sebab dah nyata, saya tak terlibat sama sekali dalam kes awak berdua ni.”

Irfan ketawa sebaik habis aku bercakap. Apa yang lucu? Aku tanya dia.

“Awaklah! Kesian awak jadi mangsa. Awak marah saya, ya, cik Salhah?”

Kalau aku marahpun, tentu tidak jadi juga bila melihat dia. Tak sanggup aku! Biarlah dia memperalat namaku, tak apa! Asalkan dia bahagia.

“Tak baik tau, you gunakan dia ni untuk uji hati I. Nasib baik..”

Dahi Irfan berkedut. “Nasib baik?”

Nina mengangguk lalu menjungketkan kaki untuk berbisik di telinga Irfan. Tapi, bukannya dia berbisik pun! Aku tahu, dia sengaja hendak aku dengar apa katanya...

“Nasib baik dia ni si gendut! Tak cantik dengan cermin mata tebalnya tu. Kalau tidak, you ingat I senang-senang nak biarkan?”

Irfan merenung aku dan aku balas tatapannya. Tak sanggup membalas, aku pandang ke tempat lain. Hatiku terguris. Rasa macam nak menangis di situ juga. Tapi, kutahankan. Lalu aku capai beg. Kalau mereka berdua tak mahu pergi, biar aku saja yang keluar. Habis cerita.

“Salhah, awak nak ke mana?”

Aku tak peduli. Aku terus melangkah. Dalam hati, aku sudah jitu bertekad. Aku berjanji pada diriku sendiri, untuk tidak memasang angan-angan yang tinggi. Irfan Naufal bukan untukku. Irfan Naufal hanya boleh kurindu tapi aku tidak boleh jatuh hati kepadanya. Kalaupun aku sudah terpikat, semua anganan tentangnya hanya untuk kupendamkan. Selama-lama. Dia tak boleh tahu isi hatiku! 

 ......................
I wish I could go back to the very first day I saw you
Should've made my move when you looked in my eyes

“Salhah!”

Aku angkat muka.

“Masuk bilik saya sekejap.”

Amboi.... Sejak menjawat jawatan yang tinggi di sini, kerjanya asyik hendak memberi arahan sahaja. Pantang tengok aku tak ada kerja, pasti aku akan dipanggil ke dalam. Bila aku dah tercongok depan dia, mulalah suruh aku buat segala macam benda. Sampaikan nak kemas meja dia yang bersepahan itupun, aku yang kena buatkan! Kalau dia naikkan gaji aku, kan bagus. Ini tak! Aku yang buat macam-macam, setiausaha dia, makan gaji buta. Geram betul!

Aku pun masuk. Dia sudah bersandar di kerusinya semula selepas memanggil aku tadi. Demi melihatku, dia tersenyum manis. Jadi, macam mana aku hendak marah?

“Nak apa?” Terus sahaja aku bertanya.

“Garangnya!” Dia mengusik. Terus aku ketawa, tak jadi hendak marah. Itulah aku! Suka benar gelak. Sebab itu, badan aku ni susah hendak susut. Kata orang, orang gemuk sepertiku yang periang, memang payah hendak menurunkan berat badan. Betullah tu!  

“Nanti awak temankan saya beli hadiah anniversary mama dengan papa, ya! Then, malam nanti, kita pergi sama-sama ke Hotel Imperial. Majlisnya di situ.”

Aku pandang wajahnya tajam. Kemudian aku korek-korek telinga.

“Awak tak salah dengar! Memang saya nak awak temankan saya malam ni!”

Aku geleng kepala. “Cik Nina kan ada? Cik Nozi, Kathy, Masna....” Rasanya, adalah sepuluh nama yang telah ku sebut. “Pilih saja salah sorang daripada mereka. Kenapa nak ajak saya pulak?” tanyaku.

“Sebab dah tiba masa....” Dia biarkan ayat tergantung begitu. Kemudian dia gelak. “Saja aje saya nak awak temankan saya. Kenapa, Salhah? Awak ada temujanji dengan lelaki lain ke?”

 

Aku bayangkan wajah ayah. Semalam aku dah janji dengan ayah yang malam ni kami akan makan malam sama-sama. Ayah nak temukan aku dengan seseorang. Dalam hati, aku tahu bahawa ayah sudah menemukan pengganti ibu dan aku sudah tidak sabar untuk berkenalan dengan wanita yang berjaya mencuri hati ayah selepas hampir 15 tahun ayah menduda. Tak kan aku hendak lepaskan peluang itu? Aku tak mahu ayah fikir yang aku tidak merestui hubungannya. Aku bimbang nanti, kerana aku, ayah tidak mahu meneruskan niat berkahwin semula. Kasihan ayah! Sudah bertahun-tahun hidupnya sepi selepas ibu meninggal dunia. Adalah tidak wajar sama sekali jika aku menghampakannya!

Tetapi, Irfan mengajakku menghadiri majlis yang amat bererti untuknya. Majlis ulangtahun perkahwinan tuan Umar dan isterinya, majlis istimewa kedua-dua ibubapanya. Bukankah ini satu penghormatan buatku? Alahai, kenapa mesti kedua-dua peristiwa berlaku pada waktu dan malam yang sama? Kasihanilah daku! Hatiku menjerit!


“Awak macam di dalam dilema. Kenapa? Apa yang lebih penting dari ajakan saya ni? Siapa yang lebih penting daripada saya, Salhah?”

Aku sudah terlalu rapat dengannya sehingga telah kutahu dan mengenali riak kecewa yang terukir pada raut wajahnya itu.

“Malam ni tak boleh, awak. Saya dah janji dengan dia lebih dulu. Sori laa!”

Dia tunduk. Dia belek-belek fail di atas meja. Lepas tu dia panggung kepala. Dia tengok aku dengan pandangannya yang tajam. Rasa macam kena tikam sekarang ni.

“Batalkan!” Dia hulur telefon bimbitnya kepadaku. “Dail nombor lelaki tu dan cakap dengan dia yang awak ada hal malam ni,” Irfan memaksaku.

Aku gelengkan kepala. “Tak boleh! Irfan, tolonglah faham! Saya tak sampai hati nak kecewakan dia. Dia berharap sangat supaya saya mahu makan malam dengan dia. Dah lama dia aturkan supaya saya...”

“Saya ingat awak tak ada boyfriend? Saya ingat, saya aje kawan lelaki awak? Tak sangka pulak, yang awak ni laku juga, ya?”

Berdesup darah naik ke mukaku. “Apa maksud awak, Irfan?”

Pandangan bersalah yang tertuntas kepadaku, buat hatiku berasa hiba. Of all the people, aku tidak menyangka yang dia sanggup ungkapkan begitu kepada diriku ini.

“Tak sangka pulak yang awak ni laku juga, ya?”

Kiranya, Irfan tidak berbeza dengan mereka yang lain!

Aku teringat pada pesanan kak Rohana.

“Jangan kamu menaruh harap pada dia, Salhah. Dia cuma anggap kamu tu kawan sahaja. Bukan special girlfriend dia! Iyalah, kan! Kamu kena gunapakai otak kamu untuk berfikir dengan waras. Cuba kamu jawab....., Ada ke seorang yang normal, kacak, menawan seperti encik Irfan tu sudi buat kamu jadi bini dia? Kak Ana boleh senaraikan puluhan sebab untuk soalan tu!

  1. Badan kamu yang double XL tu tak padan dengan dia
  2. Kamu rabun
  3. Kamu tu kalau dapat gelak, tak ingat dunia
  4. Kamu kasar, dia lemah lembut
  5. Kamu miskin dia kaya.”

“Baru lima, kak? Kata tadi ada puluhan sebab?” aku menyindir kak Rohana.

Dia mencubit pahaku. Sakit!

“Sal, akak tak nak nanti kamu menangis. Cukuplah lima tu pun! Yang penting, kamu kena tahu yang korang berdua tak sesuai sangat! Sebenarnya, kamu nak berkawan dengan dia pun, tak boleh, tahu! Apa lagilah kalau hendak jadi buah hati dia. Dan, lagilah tak boleh, kalau dalam hati kamu tu ada niat nak kahwin dengan dia! Memanglah kamu akan jadi burung pungguk yang rindukan bulan! Kita ni, Salhah, kena belajar ukur baju di badan sendiri. Kena faham peribahasa, pipit tak kan boleh terbang dengan enggang.”

Aku sudah menangis teresak-esak. Hiba sungguh rasa hatiku kini. Orang yang paling rapat denganku selain ayah, cakap, “Tak sangka pulak yang awak ni laku juga, ya?”

Aku sangkakan Irfan berbeza.

Entah bila, Irfan mendekatiku, aku tak sedar. Dia hulurkan sapu tangan padaku. Tapi aku tidak ingin menyambutnya. Aku berpusing dan nekad untuk keluar.

“I’m sorry! I know, I should not have said that!”

Kata-katanya menghentikan langkahku untuk seketika. Tapi aku tidak mahu berpaling untuk melihat wajahnya. Tak sanggup aku!

“Tak apalah. Maaf diterima.” Balasku perlahan.

Dia mendahuluiku ke pintu. Dirinya disandarkan dan aku tak boleh keluar.

“Saya tak sengaja, Sal. Sumpah! Tolong maafkan saya. Saya janji saya tak cakap macam tu lagi!” Dia merayu.

Aku tak peduli. Aku tak mahu ambil tahu. Hanya dia dan Tuhan yang tahu apa di sebalik kata. Cuma kini, aku harus akui, bahawa selamanya, tidak akan ada insan yang sudi berkawan ikhlas denganku. Ya, aku harus sedar diri. Siapa aku? Hanya seorang gadis gemuk dan hodoh.

“Sal..”

Aku tatap wajahnya. “Awak nak tahu tak, Irfan? Saya ingat, selama ni awak ikhlas jadi kawan saya. Tapi, awak pun sebenarnya sama macam yang lain. Awak...”

“Tak, Salhah! Tak! Saya tak sama macam orang lain. Saya cakap macam tu sebab saya....”

Aku tunggu kata-kata selanjutnya tetapi entah kenapa, Irfan tiba-tiba diam pula. Aku tunggu lagi tapi dia tetap diam. Macam susah benar untuk dia mengungkapkan kata-kata itu. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk keluar. Dengan mudah, aku tolak tubuhnya. Peduli apa aku kalau dia jatuh tersungkur? Dia bukan kawan aku lagi.

“Salhah?”

“Sudahlah tu, encik Irfan. Saya harap lepas ni, encik layan saya macam pekerja encik saja.”

“You are my friend!”

“Bukan lagi mulai sekarang.”

“Jangan cakap macam tu!”

“Kawan mesti jujur dengan kawan dia. Kawan mesti hormat kawan dia. Kawan mesti jaga hati kawan dia. Awak bukan kawan saya. Awak, ketua saya.”

“Salhah, sebab perkara kecil macam tu....”

Kali ni aku beranikan diri membalas renungannya. Perkara kecil? Kejamnya dia cakap macam tu!

“Awak tahu tak? Dia tak pernah kecilkan hati saya. Dia tak pernah kutuk saya. Dia terima saya seadanya. Saya cari dia dalam diri awak tapi.... tak ada!”

Kuhempas pintu dengan kuat. Ramai yang sedang berada di luar, merenungku. Aku tak peduli. Terus pergi ke meja dengan hati yang parah. Pasti, selepas ini, ramai yang hairan kerana aku dengan Irfan tidak akan mesra lagi. Mungkin, akan ada yang menyakat, menyindirku. Tak apalah! Aku harus pasrah!

Dia bukan untukku.   

.........................
“Ayah, kenapa kita kena makan di sini pulak? Carilah tempat lain, tak boleh ke? Mahal tau makan kat hotel! Dah tu, bukannya sedap sangat pun!”

Haji Osman iaitu ayah aku, kini memandang wajahku dengan penuh rasa hairan. Aku tahu, dia mesti tertanya-tanya mengapa sikapku begini. Mesti dia rasa pelik.

“Tapi, ayah dah janji dengan kawan ayah tu yang kami akan makan di sini. Tentu dia dah tunggu ayah sekarang. Ayah tak tahu pulak yang kamu tak suka makan di hotel?”

“Hotel lain tak apa tapi,”

“Kenapa dengan Hotel Imperial ni?”

Err... takkan nak cerita pada ayah, kut? Ayah kenal Irfan pun tidak. Nanti, tak fasal-fasal, dia beri ceramah motivasi padaku. Eei, dalam keadaan kepalaku yang sedang berserabut sekarang, tak sudi aku nak dengar nasihat ataupun ceramah ataupun bebelan. Tak sanggup!! Jadi, aku terpaksa mengukir senyum pada ayah.

“Sori, ayah. Actually, hotel ni best.” Aku dekatkan bibir ke telinga ayah untuk berbisik, “Orang takut sebab hotel ni mahal!”

Ayah gelak. Tu, tanda dia dah terima maaf aku. Senang. Cepat-cepat kutarik tangan ayah sebab kami perlu segera ke restoran. Aku takut nanti terbertembung dengan Irfan pulak. Aku terbaca tadi bahawa majlis keraian keluarganya berlangsung di Nusantara Ballroom, Hotel Sheraton Imperial ini.

Kami masuk ke dalam restoran makanan Itali, Villa Danieli. Mata tercari-cari wanita yang minat sangat dengan ayah aku ni. Kata ayah, dia sudah menunggu. Hai, selera tinggi nampaknya bakal mak tiri aku ni. Makan di hotel, kat restoran barat pulak tu? Mahu muflis ayah aku bila mereka kahwin nanti, huhu!

“Itupun dia!” ayah berbisik.

Hampir terduduk aku. Terkejut!

“Betul ke ayah ni? Perempuan tu....”

Ayah pandang wajahku sambil tersengih. “Kenapa? Tak kan ayah tak boleh bercinta dengan orang putih, kut?” usiknya.

“Orang putih tu dahlah satu hal. Muda pulak tu! Berapa umurnya?” Aku tak puas hati.

“38 tahun.”

Lemah lutut aku. Umurnya 38 tetapi dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya malah nampak jauh lebih muda daripadaku. Argh, rasa macam diriku disindir pula.

Ayah tarik tanganku mendekati wanita itu yang kini tersenyum lebar ke arah kami. Di hadapannya, ayah berhenti. Yang pelik, wanita itu terus salam tangan yang ayah hulurkan. Dikucupnya lembut. Rasa ingin ku tarik tangan ayah sebelum bibirnya menyentuh namun tak sempat. Hisy, ayah... dah buang tabiat agaknya!

“Gina, ni abang kenalkan anak abang, manja abang, Siti Salhah. Sal, ini mak baru Sal, Regina binti Abdullah. Ayah kahwin dengan Gina 2 minggu lepas.”

Aku pandang wajah ayah dan Gina bergilir-gilir. Rasa hiba hatiku. Sungguh! Tak sangka aku yang ayah sudah berkahwin tanpa pengetahuanku. Tapi, kenapa?  

“Ayah minta maaf sebab rahsiakan perkahwinan ayah daripada pengetahuan Sal. Ayah sebenarnya takut nak beritahu. Bimbang Sal tak setuju.”

“Kenapa ayah fikir macam tu? Sal tak pernah bangkang apa yang ayah buat selama ini, kan? Habis, tak kan Sal nak halang perkahwinan ayah pulak?”

Gina mencelah, “Semuanya salah mak cik, Salhah. Mak cik takut ayah Salhah batalkan hasrat kami kalau Salhah tak suka mak cik. Mak cik tak rela berpisah dengan dia. Jadi, mak cik bagi idea ini kepada ayah Salhah. Dengan harapan, kalau kami sudah kahwin, Salhah tak marah kami nanti.”


Aduhai, dahlah cantik, pandai pula berbahasa Melayu. Sopan pulak tu! Hmm, memang patut ayahku terpikat kepadanya. Tapi, aku sengaja hendak mengenakan mereka berdua. Biar diorang kecut sekejap.

“Dan ayah? Terus saja setuju... Sampai hati ayah!” Aku pura-pura merajuk.

Ayah peluk bahuku.

“Sorry, princess. Maafkan ayah, sayang. Ayah...”

“Sayang, bukan salah ayah awak. Salah mak cik ni!”

Aku kenyitkan mata kepada mak cik Gina. Melihatnya, dia kelihatan mengerti dan senyuman cantik menghiasi bibir. Ayah memerhati kami. Tidak lama kemudian dia rangkul tubuhku kemas.

“Nyaris ayah tak pengsan, tau! Anak ayah ni suka sangat main-main.”

Aku hulurkan tangan kepada ibu tiriku. Sebaik tangan bercantum, aku tunduk mengucupinya. Kemudian aku peluk tubuh mak cik Gina erat-erat.

“Terima kasih sebab mak cik dah bahagiakan ayah. Jangan bimbang, Sal yakin, kita akan berbaik-baik dan saling menyayangi, kan?”

Mak cik Gina angguk. Ada air jernih di tubir matanya. Aduh, melodramatiklah pulak. Tapi, malam ini, kesedihan dalam hati kutepis jauh demi insan-insan di hadapanku. Aku mahu ayah tahu yang aku sangat gembira dengan perkahwinannya. Aku bahagia bila dia bahagia.

“Lepas ni, mak cik Gina duduk mana? Tak nak pindah ke rumah kita?” tanyaku.

“Nak! Nak!”

Kami ketawa lagi. Nampaknya kami berdua ni sekepala. Seronok aku dapat mak tiri muda. Harap-harap...

“Bila boleh Sal dapat adik?”

Wajah ayah merona merah. Begitu juga dengan mak cik Gina. Gelihatiku melihat mereka. Tapi... seronok kan kalau dapat adik?

“Salhah? Awak di sini juga?”

Makkk..... suara itu! Ahh! Hilanglah bahagia dan keceriaanku! Aduh! Kenapa dia harus menjelma di celah-celah keriangan ini?

..........................
Kenapalah takdirku begini? Kenapa aku harus diketemukan dengannya? Apa hal dia masuk ke Villa Danieli ini sedangkan majlis ulangtahun perkahwinan papa dan mamanya tentu masih berlangsung di Nusantara Ballroom. Naya betul! Terbongkar rahsia!

“Sal tak nak kenalkan ayah dengan mak cik Gena pada dia ni? Sal tak nak kenalkan dia pada ayah?” soal ayah padaku. Saat itu aku mendongak melihat muka Irfan. Mengapa aku melihat sinar matanya bercahaya? Kenapa dia tiba-tiba tersenyum pula? Dan tanpa malu, dia menghulurkan tangan kepada ayah.

“Dia terkejut tu, pak cik. Dia tak sangka saya akan masuk ke restoran ini sebab sekarang saya sedang menghadiri majlis dalam dewan di luar sana. Oh ya, nama saya Irfan Naufal bin Umar, pakcik. Saya...”

“Encik Irfan ni bos Nurul, ayah, mak cik.”

Kenapa aku menyampuk, aku pun tak tahu. Apa yang aku takutkan sangat jika dia memberitahu bahawa dia kawanku, pun, aku tidak mengerti. Tetapi, aku tidak mahu dia memberitahu pada ayah yang dia kawan aku. Mungkinkah sebab aku dah putuskan persahabatan kami?

“Sebenarnya, kami kawan rapat, pakcik. Hubungan kami bukan setakat majikan dengan pekerja tapi kami berdua ni memang mesra. Cuma, Salhah ni terlalu rendah diri. Dia selalu fikir yang dia tak layak menjadi kawan saya.”

Aku jegil dia yang kini selamba menarik kerusi dan duduk di sebelahku. Kedudukan kami rapat, malah aku rasa, dia sengaja menarik kerusinya supaya dekat dengan aku. Aku pandang wajah ayah. Tatapannya buat aku jadi malu. Ayah merenungiku seolah-olah, menyembunyikan hubungan persahabatan di antara aku dan Irfan, satu kesalahan yang amat besar. Agaknya ayah terasa hati kerana aku jarang merahsiakan apa-apa darinya. Entahlah, mungkin betul apa yang Irfan katakan tadi. Mungkin aku sememangnya punya ‘self-esteem’ yang tersangat rendah!

“Dah lama kawan?” tanya mak cik Gena.

Irfan memandang wajahku. Aku faham. Mungkin dia tertanya-tanya siapakah wanita Eropah yang cantik ini.

“Ini mak cik Gena. Emak baru saya.” Aku memperkenalkan mak cik Gena kepadanya. Irfan tunduk hormat dan mak cik Gena tersenyum kepadaku. Entahlah, dia seolah-olah hendak memberitahu bahawa Irfan sangat sesuai denganku. Eh, perasanlah pulak!

“Pak cik bawa anak isteri ke mari sebab nak temukan mereka. Pak cik curi-curi kahwin dengan mak cik Gena tanpa pengetahuan ratu hati pak cik di sebelah kamu tu. Malam ni, malam penting bagi pak cik. Menemukan dua wanita yang pak cik sayang. Bolehlah dikatakan yang pak cik dah paksa Sal datang ke sini.”

Irfan menoleh kepadaku. “Kan senang kalau berterus terang yang awak ada ‘date’ dengan ayah awak? Taklah saya cemburu setengah mati, tahu tak?”

Aku tercengang-cengang mendengar kata-katanya itu. Rasa darah menyerbu ke muka. Luahan itu betul-betul buat aku rasa cemas.

Cemburu setengah mati? Biar betik! Irfan cemburukan aku? Cemburukan ayah? Tapi, kenapa hendak berasa cemburu? Aku kan kawan dia saja? Hisy, tak faham betullah!

“Pak cik, pak cik rasa ganjil sangat ke kalau ada seorang lelaki sukakan Salhah?”

Ayah tersneyum mendengar soalan Irfan. Kemudian dia menggelengkan kepalanya. “Tak ada yang ganjil dan mustahil bila ALLAH menghendakinya. Tapi,”

Kami semua menunggu dengan debar lanjutan kata-kata ayah.

“Tapi, pak cik tak hairan kalau Salhah fikir kamu anggap dia kawan, tak lebih dari itu. Sebab, dia ingat badan dia yang gendut dan cermin mata tebal dia tu takkan mampu buat orang lelaki sukakan dia. Apa lagilah kalau lelaki itu ada perasaan yang lebih dalam. Tentu susah untuk Sal percaya tu.”

“Sebab dia tak pernah yakin dengan saya, pak cik.”

Aku kalih pada Irfan. “Awak nak mengacum apa ni? Kenapa pelik sangat perangai awak hah? Cakap saya tak yakin pada awaklah... Macam-macam...”

Mak cik Gena genggam tangan aku erat-erat. “Sal..” Aku tunggu mak cik Gena meneruskan kata. Dia pandang wajahku sambil tersenyum.

“This young man has fallen head over heels in love with you!”

Aku tidak dapat menyembunyikan rasa tidak percaya ini. Aku tidak mungkin dapat mempercayai. Aku memang berharap tetapi aku tidak yakin kami mempunyai rasa yang sama. Siapalah aku? Siapalah dia? Macam kata kak Rohana, perbezaan kami bagai langit dan bumi. Bagai pipit dan enggang. Jauh! Terlalu jauh!

“Saya kenal anak pak cik ni tiga tahun dulu. Saya terlanggar dia. Kuat sangat kut sampai dia pun boleh jatuh sama-sama dengan saya. Saya tercari-cari dia tapi tak pernah jumpa sehinggalah satu hari saya turun ke pejabatnya. Sejak tu, saya cuba ajak Salhah keluar makan, jalan, makan angin, semua dia tolak. Saya cuba yakinkan dia yang saya tak peduli saiz dia ke, mata dia ke.. tapi saya tahu dia tak percaya.”

“Salhah pernah kecewa dalam bercinta. Budak tu kutuk dia kaw kaw. Tak sedar dirilah, hodohlah, gendutlah... Sebab itu agaknya, Salhah terlalu berhati-hati dengan lelaki.” Ayah membelaku.

“Bila dia dah boleh terima pelawaan saya, kami dah selalu keluar makan sama-sama, tetiba, dia pindah tempat kerja. Pun, Salhah tak beritahu saya sebabnya tapi saya tahu lalu saya ikut dia ke situ. Kebetulan, syarikat tu milik ayah saya. Saya ceritakan pada papa dan mama tentang Salhah. Diorang okey aje, tapi sekali lagi, anak pak cik ni buat bodoh dengan saya.”

Aku geram. Wajahnya kutatap garang. “Pandai-pandai aje awak ni tuduh saya buat bodoh dengan awak!” marahku.

“Tu kenyataanlah! Tu apa yang saya rasa. Sebab, setiap kali saya nak masuk cerita peribadi aje, awak mesti bukak cerita lain. Bila saya nak luah perasaan aje, awak mesti tukar topik.”

Aku terdiam. Kemarahannya berasas. Memang benar, aku tidak berani menyentuh hal peribadi kami. Setiap kali dia ingin berkata sesuatu yang melibatkan perasaannya, aku tepis. Bagi aku, aku cukup bimbang kalau-kalau dia hanya berpura-pura. Atau, kalau dia hanya sekadar hendak memainkan hati dan perasaanku. Jadi, lebih baik jangan mendengar apa-apa.

“Kamu sayangkan Salhah? Sungguh-sungguh sayang?” tanya ayah. Reaksiku? Terkejutlah! Apa lagi? Buntang sepasang mata merenung antara ayah dengan Irfan.

“Kalau pak cik izinkan, saya nak kahwin dengan anak pak cik ni. Lagi cepat, lagi bagus. Dah tiga tahun saya cintakan dia dalam diam, pak cik. Saya dah tak sanggup lagi dah. Boleh kan, pak cik?”

Aku menangis. Tidak menyangka si kacak ini begitu mencintaiku. Tidak menduga, dia terlalu menyayangi. Aku rasa amat dihargai. Tapi, mengapa ayah menggelengkan kepalanya?

“Pak cik tak izinkan. Tidak buat masa ini.”

“Tapi, kenapa?”

Ehhh.... kenapa soalan itu serentak kami berdua tanyakan pada ayah? Malunya aku bila Irfan pandang wajahku bersama senyumannya itu. Baru aku perasan yang dalam tidak sedar, aku sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi isterinya. Aduhh..malu!

“Salhah yang ini tidak boleh kahwin dengan kamu. Pak cik tak mahu nanti, pada hari nikah kamu, ada suara-suara mengutuk dia. Pak cik tak mahu serahkan dia pada kamu dan kemudian dia hidup dalam murung dan sedih kerana hanya kamu yang menerima dia seadanya tetapi tidak orang lain dalam keluarga kamu. Irfan Naufal, percayalah, pak cik akan serahkan pengantin kamu ini dengan keadaan yang berbeza. Pak cik harap kamu bersabar. Pak cik yakin yang Salhah akan merubah dirinya sebab dia juga ingin menjadi cantik, sihat, dan kelihatan sesuai dengan kamu. Yang lebih penting, pak cik nak dia melengkapkan dirinya dengan ilmu. Ilmu untuk menjadi isteri solehah yang sejuk mata suaminya memandang.”

Aku terdiam mendengar hujah ayah. Aku lihat Irfan pun bagai terpesona mendengar. Dia kemudian merenung wajahku. Lama dan kulihat sinar cinta dalam redup pandangannya.

“Terima kasih pak cik. Kalau inilah yang terbaik, saya akan sabar menanti. Tak kan lari gunung di kejar, kan?”

Ya, tak kan lari gunung dikejar. Hilang kabus tampaklah ia. Demi cintaku yang terpendam lama untuknya, aku akan berusaha untuk berubah. Fizikalku dan dalaman juga. Aku tahu bahawa cinta sahaja tidak akan membahagiakan sebuah rumah tangga. Agama teras terpenting. Aku harap sangat agar aku dapat menjadi seorang isteri solehah. Bukan sahaja di dunia, malah bersamanya di akhirat nanti. 

...................
Aku jadi malu bila sepasang mata itu masih tidak mahu berkalih ke arah lain. Pipiku hangat dek renungannya yang memikat itu. Rasa pijar wajahku. Tidakkah dia tahu?

Dia menghulurkan tangannya kepadaku. Kepalanya diangguk tanda dia mahu aku menyambut huluran tangannya itu. Serba salah aku dibuatnya. Langsung, kepala ku geleng. Bukan aku mengingkari perintah pertamanya sebagai suami cuma aku belum biasa lagi. Aku masih kekok kerana ini duniaku yang baru.

“Malu?” tanya dia.

Aku angguk.

Irfan tersenyum lalu berdiri. Selangkah demi selangkah, dia menghampiriku. Selangkah demi selangkah, aku berundur sehingga tiada lagi jalan keluar untuk melarikan diri. Tangannya kemudian melingkari pinggangku. Kulihat dia mendongak ke arah langit lalu aku turut melakukan yang sama, memerhati mentari merah yang bakal bersembunyi di kaki langit.

“Cantik, kan?”

Aku angguk. Memang cantik pemandangan di waktu senja ini.

“Secantik Siti Salhah yang hampir setahun menyembunyikan diri daripada abang sehingga membuat abang nanar diamuk rindu.” Dia meluahkan rasa.

Aku tersenyum. Sukakan bait-bait romantis yang meniti pada bibirnya yang merah. Kalau selama ini, segalanya tercurah setiap kali dia menghantar SMS kepadaku, hari ini, buat pertama kali aku mendengar luahannya. Aku merasakan kerinduannya. Aku melihat cinta dalam sinar matanya.


Selepas pengakuannya di hadapan ayah, kami tidak lagi berjumpa. Ayah memaksa aku ke gimnasium untuk bersenam dan menurunkan berat badanku secara sihat. Mak cik Gena pula menjadi jururawat yang sentiasa menjaga dan memerhati pengambilan makanan dan dietku. Memang aku terseksa. Memang aku pernah beberapa kali berputus asa, tetapi kegigihan ayah dan ibu tiriku membuat aku berasa tersangat malu.

Kata ayah, Irfan tidak boleh mendekatiku. Dan, Irfan patuh. Permintaannya supaya kami menikah, ayah tolak mentah-mentah. Kata ayah, semuanya akan dibuat sekali pada hari nikah kami. Aku tahu Irfan hampa. Aku juga begitu tetapi kami tidak berdaya melawan kata-kata dan kehendak ayah.

Hari ini, semuanya sudah selesai. Majlis perkahwinan yang cukup meriah sudahpun berlangsung. Aku bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Dari majlis pertunangan sehinggalah saat Irfan mengucup dahi ini, tidak ada cacat cela. Pujian diterima dari tetamu membuat aku mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Dan, aku amat berterima kasih pada ayah. Ketegasannya memaksa aku mengubah penampilan diri, menjadikan diri ini seorang wanita yang berani hari ini. Aku sudah tidak lagi punya rasa rendah diri. Meskipun aku tidak secantik mana, tapi aku tahu bahawa aku cantik di penglihatan Irfan. Cukuplah, kan?

“Sal...”

Suara lembutnya memanggilku. Aku tatap sepasang mata itu.

“I love you. Tak kiralah Sal gemuk atau kurus, abang memang dah lama jatuh hati pada Sal.”

“Terima kasih kerana menyayangi diri Sal.”

“Sama-sama kasih.”

Indahnya dilamun cinta. Indahnya alam percintaan.

I love you,
Please say you love me too,
These three words
They could change our lives forever
And I promise you that we will always be together
Till the end of time

terima kasih kerana sudi membaca satu lagi kisah merapu nukilan ana sofiya...:)

5 ulasan:

  1. Sweet sgt crita ni kak...memang superb

    BalasPadam
  2. best..ada satu babak ni buat saya sebak

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. sofi…sweetnye citer ni..suka sgt

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.