Follow Us @soratemplates

9.4.13

Bab 3 : Sampai Bila?


Bab 3

“WAU!” 

Pemuda itu mengerutkan dahi. Tajam dia memandang ke arah teman rapat yang duduk di sebelahnya. Tiba-tiba sahaja mengeluarkan suara yang menunjukkan rasa penuh kagum dan terpesona. Bunyi pun semacam aje! Gatal! 

“Wau!” 

Kali ini, dia menoleh ke arah yang dilihat oleh Samad. Ingin juga mengetahui apa yang membuat kawannya itu terpegun sangat. Tetapi, sekali pandang sahaja, Adnan Malik sudah menggelengkan kepala. 

“Ingat apalah tadi,” gumamnya sambil mencapai gelas berisi teh tarik yang baru diletak di atas meja. Malas hendak merenung. Fikirnya, ada benda pelik yang membuat Samad teruja. Rupa-rupanya, teruja tengok perempuan. Isk... Isk! 

“Cantik betul perempuan yang pakai baju warna biru tu, Ad. Trendy orangnya! Padan betul baju dengan warna seluar Palazzo yang dipakainya tu. Seksi dan...” 

“Dan?” 

“Dan menggiurkan.” 

Adnan Malik mencebik. 

Kerana kata-katanya tidak bersahut, Samad menoleh. Wajah selamba, tidak beriak, tanpa perasaan milik Adnan Malik, ditatap. 

“Ad, nak kata kau ni gay, tidak. Tapi, aku hairan betul dengan sikap kau. Macam mana kau boleh tak tergugat tengok minah cun melecun macam tu? Mata kau dah rabun, ek?” sindirnya. 

Lelaki itu tetap begitu. Diam. Bisu. Tanpa suara. 

“Ad!” 

Adnan Malik meletakkan sudu dan garpu. Nasi yang sedang dikunyah, ditelan. Hati menggumam geram kerana rasa terganggu dengan perangai Samad. Waktu makan, kalau boleh, Adnan Malik memang tidak suka bercakap. Lagipun dia tidak suka kalau topik perbincangan ialah tentang perempuan. Boleh patah selera! Huh! 

“Kau pun tahu yang aku memang tak suka cakap fasal perempuan, kan? Bagi aku, mereka makhluk yang menyusahkan!” balasnya. 

Giliran Samad pula untuk mencebik. “Sebab itu, dah umur 30 tahun pun, masih tak ada girlfriend. Anti perempuan sangat! Takut dia orang nak dekat dengan kau!” kutuknya. 

“Aku rasa kan, Samad, kita kena cari ofis barulah! Yang besar sikit daripada ofis kita sekarang ni. Pejabat kita tu dah sempit sangat sampai ruang nak melangkah pun tak ada.” Adnan Malik mengubah topik. Hatinya lebih seronok kalau mereka bercakap tentang pejabat dan kerja. Dia lebih suka berbincang tentang rekaan, hiasan, wallpaper, berbanding menyentuh soal perempuan. Dia benci bercakap tentang spesies itu. Topik yang memang tak pernah masuk dalam senarai hidupnya! 

“Jangan nak ubah topik, Ad. Nanti-nanti, kita boleh bincang tentang pejabat kita tu. Sekarang ni, kita sedang sembang pasal kau. Pasal sikap kau terhadap perempuan. Kenapa kau benci mereka?” Samad beria-ia hendak tahu. 

La, tak habis lagi Samad ni? rungut Adnan Malik dalam hati. Dalam dengusan, dibalasnya sinis, “No comment!” 

“Ad! Selama aku kenal kau, kau tak pernah ada girlfriend. Ramai yang minat pada kau, semua kau buat tak peduli. Tak ada perkataan yang sesuai untuk sikap kau tu kecuali dua. Satu, kau anti perempuan. Dua, kau tu... gay! Jadi, yang mana satu yang betul? Pilih cepat!” desak Samad. Wajah Adnan Malik ditatap sambil tersenyum-senyum. 

Adnan Malik berasa tidak selesa. Tetapi, dia perlu menjawab soalan itu. Tidak mahu dianggap yang bukan-bukan oleh Samad atau sesiapa pun! 

“Samad, aku tak benci perempuan, okey. Aku sayang mak aku apa? Adik-adik aku, anak-anak saudara aku yang perempuan. Aku tak ada masalah dengan kaum Hawa ni.” Adnan Malik sudah mula meninggikan suara. 

Samad senyum. “Maksudnya, kau ni...” 

Kerana geram, Adnan Malik menendang kaki Samad di bawah meja, menyebabkan kawan baiknya itu terjerit kecil. 

“Sekali lagi kau sebut perkataan tu, aku angkat kau, aku campak atas kuali roti canai mamak yang panas tu! Kalau kau nak rasa jadi udang kena bakar, kau buat!” jerkahnya dalam suara yang cuba dikawal kelangsingannya. 

Samad ketawa. Ketawa yang mengundang kepala-kepala berpaling ke arah mereka. Kebetulan, gadis yang menjadi perbualan mereka turut merenung. 

Adnan Malik terkesima. Diam, tidak mampu bersuara. Dalam hati dia turut menyetujui kata-kata Samad. Memang gadis itu cantik. Tak puas mata merenung. Mereka saling memandang. Untuk seketika, Adnan Malik hanyut dalam pesona rasa. Entah mengapa, ada getar dalam dada melawan renungan lembut yang dilemparkan ke arahnya. Namun dalam sekelip mata juga, Adnan Malik segera menoleh ke arah lain. Cukuplah! Dia tidak mahu tergoda!
.................
ini kali pertama Adnan Malik terpandang Alisa. belum ada apa2 rasa kut hehe

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.