Langkau ke kandungan utama

Bab 1 - last : Sampai Bila?

Bab 1 - last

Yanti termangu, kehilangan kata-kata. Kalau tadi, berapi-api dia memarahi Alisa, kini dia sudah terdiam. Dia sudah tidak mampu bersuara. Sedar betapa dia sudah membangkitkan kemarahan meruap-ruap yang selama ini diam membekam dalam dada Alisa. Mahu ataupun tidak, giliran dirinya untuk menadah telinga. Giliran dia untuk menerima lava berang yang membahang. 

“Habis satu kampung dia sebarkan cerita yang lain dan lari jauh daripada skrip kisah benar kami. Boleh dia cakap pada semua orang yang dia sebenarnya tak mahu aku, tapi aku yang tergila-gilakan dia. Dah tu, bila orang kampung tanya kenapa dia menolak aku, kenapa tak mahu aku, kau tahu apa dia jawab pada mereka? Sebab aku dah tak ada dara. Sebab aku ni bekas orang! Aku dah tidur dengan ramai lelaki, tak kira bangsa! Ayat tu ayat apa, Yanti? Bukan fitnah ke?” Puas hati Alisa melihat Yanti mengangguk dan membenarkan kata-katanya. 

“Jadi, kau tentu dah tahu dia fitnah aku. Kau tentu dah tahu kenapa aku meluat, aku menyampah dan kenapa aku benci sangat-sangat pada dia, kan?” 

Yanti mengangguk lagi. Anggukan yang menyebabkan Alisa menjerit sampai hendak terkeluar anak tekaknya. 

“Habis, salah ke kalau aku balas dendam? Salah ke kalau aku bencikan lelaki yang punya perangai yang sama dengan Haziq Asrar tu? Salah ke, Yanti?” Suara sudah sebak. Air jernih sudah bertakung di tubir mata. Bila-bila masa, pasti manik-manik halus itu akan gugur. Namun dia tidak mahu berhenti menceritakan apa yang dirasai. Alang-alang sudah dibuka luka lamanya oleh Yanti, lebih baik dia terus menceritakan kehampaannya selama ini. Lebih baik Yanti tahu apa yang selama ini terpendam nun jauh di dalam relung hatinya ini. 

“Orang kampung gelarkan aku pelacur, Yanti! Pelacur! Orang kampung tuduh emak bapak aku... ibu dan bapak ayam. Memang bukan semua orang kampung macam tu. Tapi, kau faham tak apa yang aku alami? Kau faham tak apa yang aku rasa? Dapat kau selami perasaan emak aku? Dapat kau bayangkan resah hati ayah aku?” Air mata diseka. Alisa menyambung lagi. “Kalau aku seorang saja yang dihina, aku tak peduli. Aku reda! Aku terima! Tapi emak aku? Ayah aku? Apa dosa mereka pada orang kampung tu?” 

Yanti cuba untuk memeluk tubuh Alisa. Cuba menenangkan gadis itu. Malangnya, Alisa sudah tidak mampu dipujuk. Dia rasa perlu untuk meluahkan sehingga habis semua yang terbuku dalam hati yang sekian lama bungkam. Bungkam kerana perbuatan Haziq Asrar! Alisa pandang wajah Yanti tak lepas. 

“Ayah dengan mak aku tak pernah sekali pun membalas hinaan orang pada kami. Tidak pernah walau sekali pun mereka dapat menjawab cercaan orang. Itu yang buat aku sedih, kau tahu tak? Sebab, aku tak mampu nak bela diri dan aku tak dapat hadapi penghinaan pada emak bapak aku,” keluhnya penuh kesal. 

Yanti melopong sekali ini. Meskipun dia tahu semuanya, namun melihat air mata yang berjuraian di pipi mulus Alisa, hatinya tersentuh. Dia turut merasakan luka dan kesakitan itu! 

“Dahlah tu, Lisa. Semua tu cerita lama. Dah tiga tahun dah!” Yanti memujuk. 

“Kau yang tak mahu faham aku, Yanti! Kau tahu sebab kenapa aku benci sangat pada Haziq Asrar tu! Dan, kau jugak tahu kenapa aku jadi benci pada lelaki. Kenapa kau nak sakitkan hati aku dengan soalan-soalan kau tadi?” Alisa mengherdik lagi. 

Yanti terkesima. Resah mencari jawapan. 

“Aku tak boleh maafkan dia! Aku benci dia! Bukan saja sebab fitnah dia pada aku, tapi sebab dia juga pembunuh mak aku. Sampai bila-bila, aku tetap berdendam. Bukan dengan dia sorang, tapi dendam pada semua jantan-jantan hidung belang di luar sana! Aku nak ajar mereka, Yanti! Nak ajar mereka erti sebuah kebencian! Erti sebuah dendam!” ujar Alisa bersama api kemarahan yang tidak pernah pudar. 

Yanti menggeleng. Yang ini, cakap Alisa kali ini, dia tak boleh terima. Dia tak setuju. 

“Tapi, Lisa, apa bezanya kau sekarang dengan kau yang Haziq gambarkan pada orang kampung, hah? Apa yang kau buat sekarang ni dengan apa yang Haziq Asrar cakap, dah tak ada beza. Kau sekarang ni perempuan yang teruk tu!” marahnya. 

Alisa tatap wajah Yanti dalam-dalam. “Aku tak peduli apa orang nak fikir tentang aku. Aku tak kisahlah! Pengalaman tiga tahun dulu lebih sakit, Yanti! Tak ada yang mampu beri kesakitan pada hati dan perasaan aku macam itu lagi!” balasnya. 

“Lisa, kau tak boleh cakap macam tu! Dendam kau ni tak bawa kau ke mana-mana. Hidup kau pun tak akan tenang, kau tahu tak?” 

“Yang tak tenang tu, aku, kan? Bukan kau! Buat apa kau nak risau?” sindir Alisa. 

Yanti jegilkan matanya. “Kau kawan aku! Tentu aku ambil berat pasal kau,” gumamnya. 

Alisa mencemik. “Ambil berat? Kalau macam inilah caranya kau ambil berat fasal aku, Yanti, terima kasih ajelah. Baik tak payah,” kutuknya. 

Yanti jadi berang. “Kau ni kan, Lisa! Aku dah tak tahu nak kata apa dah! Melampau betul kau sekarang. Asyik nak berkelahi dengan aku aje!” 

“Helo! Kau yang cari pasal dengan aku, tau! Kau yang mulakan dulu!” 

“Lisa!!!” 

Alisa meletak jari telunjuk ke bibir, tanda dia mahu mereka menoktahkan perbincangan. Dia kemudian bangun dan berpura-pura menguap, seolah-olah sudah bosan dengan apa yang mereka berdua bualkan. “Dahlah! Aku mengantuk ni! Aku nak tidur! Cukup-cukuplah berkisah cerita lama tu! Benda dah jadi sejarah pun!” 

“Kau memang! Pantang aku sebut nama dia, mesti kau naik angin dengan aku,” rajuk Yanti. 

“Dah tahu begitu, lain kali jangan buat dah! Lagipun, tak payahlah nak nasihatkan aku. Aku dah besar. Aku tahu apa yang betul, apa yang tidak, apa yang baik untuk aku. Faham?” omel Alisa. 

“Yalah tu! Jadi, kau ingat, Bakhtiar tu satu anugerah untuk kau? Dia yang terbaik? Macam tu?” 

Wajah Yanti ditatap dalam-dalam. Sambil tersenyum, Alisa membalas, “Mungkin. Siapa tahu?”
...............
ada x yg berbulu dgn alisa? hehe..jgn maree, ya! ni baru permulaan. okey, pasni heroin akan jumpa hero plak. suka x?

bahagian2 awal : bab 1 dan prolog 

Ulasan

  1. tak....suka wtak dia....byk2 cerpen akak crpen yg kisah alisa nilah yg paling sy suka....n sekarang novel ni pulak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. ty cempaka rembulan... ya insya-allah akan kuar nnt

      Padam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…