apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

4.4.13

Bab 1 (iii) : Sampai Bila?

sambungan Bab 1

Alisa terus ketawa mengekeh. Soalan Yanti terlalu lucu baginya. “Gila kau? Takkanlah aku nak kahwin dengan orang tua tu? Mengarut betullah kau ni.”

Jawapan yang menyebabkan Yanti melepaskan keluhan. “Itulah jawapan kau yang buat aku risau, Lisa.”

Erk?

“Kau tak serius dengan dia, rupa-rupanya. Sama macam yang lain-lain juga, ya? Lisa, berapa ramai lagi lelaki yang nak kau mainkan? Tak puas lagi ke?”

“Apa maksud kau marah-marah pada aku ni, Yanti?” tanya Alisa. Dia tahu ada sesuatu yang terbuku dalam kotak fikiran Yanti. Dia yakin, Yanti mahu memuntahkannya malam ini. Yanti sudah tidak mahu lagi menyimpan apa juga kata yang terpendam.

Lama Yanti berdiam sebelum meluahkan.

“Kau tu! Kau jadi macam ni sebab kau nak balas dendam, bukan? Kau nak balas dendam kepada semua lelaki! Betul tak cakap aku ni?”

Gugup Alisa sebaik mendengar soalan itu. Tangannya jadi ketar. Degup jantung tiba-tiba menderu laju. Lama dia termangu. Lama dia terdiam. Terpaku! Hanya sepasang mata buntang merenung tepat ke hadapan, ke arah Yanti! Satu renungan yang amat sukar untuk ditafsir.

“Lisa, sudah-sudahlah tu! Berhentilah! Cara kau ni tak betul, kau tahu tak?” seru Yanti. Matanya tepat mencari anak mata Alisa. Kata orang, kalau hendak memastikan seseorang itu mengikut kata, kita mesti pandang tepat-tepat ke dalam anak matanya semasa kita bercakap dengan dia. Buat dia jadi gugup. Buat dia berfikir!

“Apa yang tak betul? Cuba kau cakap aku!” Alisa tidak mahu kalah. Kata-kata Yanti buat dia ingin bertekak, ingin membela diri dan perbuatannya.

“Kau tu! Kau berdendam dengan Haziq Asrar, kan? Dia lelaki jahat yang dah fitnah kau, dah kutuk-kutuk kau. Kerana dia, kau bawa diri ke Kuala Lumpur. Itu aku boleh terima. Aku faham! Tapi, yang aku tak boleh terima, yang aku tak faham ialah sikap kau!”

“Sikap aku?” Mata Alisa sudah membuntang. Hairan mendengar ujaran Yanti.

“Ya! Sikap kau yang semakin teruk dari hari ke hari tu! Lisa, Aku boleh faham kalau kau nak balas dendam pada Haziq. Masalahnya, dia tak ada di sini. Dan, kau, kerana dendam kau pada dia, kau anggap semua lelaki macam dia. Kau tak dapat balas kat Haziq, semua lelaki yang dekat dengan kau jadi mangsa. Kau buat mereka sukakan kau, jatuh cinta pada kau. Lepas tu? Kau tinggalkan mereka.”

Alisa merengus kasar. Sebaik nama Haziq Asrar disebut oleh Yanti, wajah putihnya berubah rona. Dia sudah tidak boleh menahan sabar lagi. Sudah banyak kali dipesan supaya nama itu tidak disebut di hadapannya lagi. Tapi, nampaknya, Yanti degil benar.

“Jangan sebut nama dia, boleh tak?” pinta Alisa perlahan. Dia sedang cuba menahan marah.

“Mana boleh? Dia yang jadikan kau begini! Dia yang menyebabkan kau punya perangai buruk ni! Sebab dia, kau jadi player!” Yanti menyerangnya lagi.

Kening Alisa terjongket sedikit. “Player? Aku? Bagusnya kau gelar aku, Yanti?” marahnya.

“Habis? Kalau lelaki yang asyik bertukar teman wanita, kita panggil dia playboy, kan? Kau tu pulak, sejak tiga tahun lepas, asyik bertukar pakwe. Lepas seorang, seorang lagi. Dah jemu dengan A, kau jumpa B. Bila bergaduh dengan B, kau mula goda C. Lepas tu D, E... Sampailah sekarang. Encik Bakhtiar kau tu entah nombor yang ke berapa, aku pun dah tak mampu kira, Lisa!” kutuk Yanti.

Alisa mencebik, namun dia malas hendak menyahut. Buat sakit hati saja.

“Kenapa, Lisa? Kenapa sebab Haziq Asrar, kau jadi liar macam ni? Kenapa sebab dia, kau dendam pada semua lelaki? Kau goda mereka, kau buat mereka jatuh cinta pada kau, kau pura-pura cintakan mereka, bila kau dah jemu, kau tinggalkan. Kau langsung tak peduli perasaan mereka.”

Alisa mendengus. Dia ingin segera membalas. Namun tidak berjaya. Baru hendak membuka mulut, Yanti menyergahnya lagi.

“Berapa kali aku nak cakap pada kau? Berapa kali aku nak pesan? Tak baik berdendam, Lisa! Tapi kau? Kau tetap degil. Kau tetap dengan sikap keras kepala kau tu. Kau buat tak endah dengan nasihat aku. Kau terus juga dengan perangai buaya betina kau tu. Bukan seorang dua, Lisa! Ramai yang dah makan hati dengan perbuatan kau! Tu, Encik Bakhtiar tu pun, entah-entah sedang tunggu masa kena reject dengan kau. Betul tak?”

Yanti puas hati dapat memuntahkan apa yang terbuku dalam dada dengan panjang lebar. Selama ini dia tidak berkesempatan melakukannya, tapi malam ini, buat pertama kali, Yanti rasa seronok dapat mengutuk Alisa cukup-cukup. Tidaklah berbuku perasaannya lagi.

“Lisa, aku hairan betul dengan kau ni! Yang kau beria-ia sangat nak hancurkan hidup lelaki-lelaki tu semua, apasal? Apa dosa dia orang pada kau? Contohnya Encik Bakhtiar! Dah angau orang tua tu aku tengok. Langsung tak boleh jauh daripada kau. Siang, malam, pagi, petang, kalau boleh, dia nak berkepit dengan kau. Dah tu, macam-macam hadiah dia bagi. Malam ni, kalung berlian yang nilainya beribu-ribu ringgit, kau dapat. Tapi, aku tertanya-tanya dalam hati. Sampai bila kau dengan dia? Esok? Lusa?”

Alisa senyum. Lenyap sekejap rasa sakit hati terhadap Yanti. “Abang Tiar ni istimewa, Yanti! Dia lain daripada yang lain,” luahnya.

“Alah, lain daripada yang lain konon! Bila kau dah jemu dengan dia, kau tetap akan tinggalkan dia macam tu saja. Ingat aku tak kenal kau ke?” ujar Yanti dengan wajah yang keruh.

“Mungkin. Cuma, buat masa sekarang, aku suka dia. Belum jemu lagi.” Alisa membalas dengan selamba.

“Kan aku dah cakap. Kau ni memang dasar buaya betina kau tahu tak? Asal jumpa orang kaya aje, kau ngap! Harta dia kau sapu. Cinta dia kau tolak. Adil ke macam tu?” tuduh Yanti.

Lama membeku kerana Alisa cuba menahan sabar, akhirnya dia bertanya keras. “Habis tu? Adil ke apa yang Haziq buat pada aku, Yanti?”

Yanti menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Melihat wajah penuh amarah Alisa saat ini, dia tahu, bahawa kisah lama sedang ligat bermain di dalam kepala gadis itu. Tentu semua kenangan sedang bertandang saat ini. Betul tekaannya. Kali ini, giliran dia pula untuk menadah telinga. Mendengar kemarahan Alisa kepadanya.

“Hidup di kampung tu, aku tak pernah kacau orang lain. Kau pun tahu, kan? Tapi jantan tu! Dia asyik kacau aku. Dari zaman sekolah sampailah tiga tahun lepas, dia asyik ganggu hidup aku. Ganggu hidup keluarga aku!” Alisa menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Aku tak pernah berkenan pada dia. Aku tak pernah suka dia. Malah, semua tentang Haziq Asrar tak pernah menarik minat aku biarpun dia tu anak orang yang paling berpengaruh kat kampung kita. Berkali-kali aku cakap pada dia, pergi cari perempuan lain untuk dicintai. Bukan aku! Pergi curahkan perasaan pada orang lain sebab ramai gadis yang hendak pada dia, tapi dia degil. Tetap juga hendakkan aku, konon!”

“Habis, mana pernah perempuan tolak dia mentah-mentah macam kau? Dia tu kan glamor? Dia hebat di sekolah. Dia pakej yang lengkap! Muka handsome, aktif dalam persatuan, kesayangan cikgu pulak tu! Tentulah dia tak faham kenapa kau tak suka dia,” ujar Yanti.

“Dia tahulah, Yanti. Aku dah cakap pada dia. Aku tak suka dia sebab dia sombong. Sebab dia gatal. Sebab dia suka hina mak bapak aku yang miskin. Dia tahulah!” bentak Alisa. Sakit hatinya apabila Yanti seolah-olah membela perbuatan Haziq Asrar pula.

“Kenapa? Kenapa dia fitnah aku? Kenapa dia jaja satu kampung yang aku ni perempuan miang yang tak cukup dengan dia seorang? Sampai sekarang, aku masih tercari-cari sebab dan jawapan pada soalan-soalan ini. Satu, kenapa dia malukan aku begitu? Dua, kenapa dia fitnahkan aku? Tiga, kenapa dia kutuk keluarga aku? Empat, kenapa dia heret emak ayah aku dalam masalah kami berdua?” Wajah Yanti ditatap bagai hendak menelan apabila dia bertanya, “Kau tahu semua tu, tapi kau masih nak marahkan aku, Yanti?”
ni yang terdahulu : (1) , (2) , (3) , (4) 
...............
selamat membaca hehe

2 ulasan:

  1. sian alisaa.. jahat betoi si haziq nih!! hishhh.. ptt la dia ni ramai pakwe yeee.. tp udah2 lerr.. jgn mainkan2 dah jantan lain.. sian mereka yg x bersalah ;p

    ~acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. dia pilih yg mcm haziq aje mizz acu hehe

      Padam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.