2013/04/03

Bab 1 (ii) : Sampai Bila?

alisa yang jelita - si penggoda
Sambungan Bab 1

“Aisey, macam merajuk aje bunyinya?” Alisa angkat-angkat kening. Sengaja mengusiklah tu!

“Merajuk? Mintak maaf banyak-banyak! Tak kuasa nak merajuk dengan kau,” balas Yanti.

“Kalau tak merajuk, kenapa marah bila aku tak ajak kau jalan-jalan sama dengan aku? Kenapa tuduh aku langsung tak pedulikan kau pulak?” selar Alisa.

Muka Yanti sudah berubah rona.

“Yanti, tiap kali aku nak keluar, aku mesti ajak kau ikut sama, kan? Tapi, kau yang tak mahu ikut. Kau cakap kau tak nak kacau daun. Tentang tak pedulikan kau tu, tolong jangan nak buat fitnah. Kalau aku tak peduli pada kau... minggu lepas masa kau masuk wad sebab kena denggi, siapa yang tunggu kau di hospital? Bukan aku ke?”

Alisa menghumban diri untuk berbaring di atas kerusi panjang, tempat dia selalu lepak kalau hendak menonton televisyen. Sepasang matanya yang bundar, dipejam rapat. Rambut yang panjang ditarik ke tepi agar tidak kusut. Dia tidak langsung memandang Yanti. Malas! Gadis itu sekarang ini memang sudah kuat membebel. Sudah macam mak nenek.

“Tak ada maknanya aku nak merajuk! Dan, tak ada maknanya aku nak ikut kau. Nak tengok kau buat maksiat depan mata? Buat sakit hati aku saja!” jerit Yanti. Dia langsung tidak peduli sama ada dia sudah menggores perasaan Alisa ataupun tidak. Yang penting, Alisa patut tahu perasaannya. Perasaan menyampah yang sudah bersarang dalam dada.

Alisa tahu, kalau dia terus menjawab, maka akan berpanjanganlah leteran Yanti. Padahal, hari sudah larut malam. Dia pula sudah berasa terlalu letih. Jadi, lebih baik dia berpura-pura tidak mendengar. Kerana itu, mata sengaja dipejamkan. Biar nampak seperti dia hendak tidur.

Ketenangan Alisa membuat Yanti hilang sabar. Gelagat Alisa yang selamba menyakitkan hatinya. Lantas, dihamburkan apa yang sudah terbuku lama.

“Lisa, aku nak pesan pada kau sikit! Lain kali, bila kereta pakwe tua kau tu dah sampai depan rumah, tolonglah! Tolong keluar cepat-cepat! Jangan nak bertapa dalam kereta tu! Tak elok kalau jiran tetangga kita nampak, Lisa. Lagipun, aku dah tak tahan nak dengar mulut mak cik-mak cik kat sekeliling rumah kita ni kutuk kau. Kau tahu tak?”

Alisa diam tidak berkutik. Tidak kuasa hendak menyahut. Malas dia! Balik-balik itu yang diungkit oleh Yanti. Padahal, dia tak kisah pun. Lantaklah apa orang hendak fikir tentang dirinya. Lantaklah apa dia orang nak kata!

“Alisa, aku tengah cakap dengan kau ni!”

Jeritan Yanti menyebabkan Alisa memasukkan jari kelengkeng ke dalam telinga yang sedikit berdengung.

“Kut ya pun marah, janganlah jerit kat telinga aku ni. Nanti pekak, macam mana?” Menarik nafas perlahan, dia kemudian menyambung, “Alah, bukannya lama mana sangat kereta Abang Tiar tu berhenti kat depan rumah kita ni! Itu pun nak bising ke?”

“Kau tahu tak, Lisa? Bila kereta berhenti dan kau tak turun-turun, otak kotor mak cik-mak cik tu akan mula bayangkan yang bukan-bukan. Apa yang kau buat dengan si tua bangka tu di dalam kereta. Esok, waktu membeli ikan, dia orang akan berkumpul ramai-ramai dan semua orang akan tahu apa yang kau orang berdua buat. Siapa yang malu nanti kalau cerita yang tak senonoh tu tersebar? Bukan kau ke?” jerkah Yanti.

Bulat mata Alisa. Amboi, Yanti! Bukan main jauh imaginasinya. Perkara yang belum terjadi pun sudah boleh dijangka ya?

“Cerita tak senonoh?” tanya dia.

“Yalah! Dia orang mesti soksek-soksek kisah kau dan apa kau buat dalam kereta...”

“Aku dengan Abang Tiar? Dalam kereta? Yanti, takkan aku dengan Abang Tiar nak berpeluk, nak bercumbu sakan sedangkan Pak Mail ada duk tercongok di tempat pemandu! Kau ingat aku dengan Abang Tiar gila ke apa?” marah Alisa.

“Tapi...”

“Jangan risau yang bukan-bukanlah, Yanti. Biasalah! Abang Tiar tu bukan mudah nak bagi aku turun. Kau bukannya tak tahu yang dia tu tengah mabuk asmara, kan? Memang payah sikitlah dia nak lepaskan aku.” Alisa sudah tertawa kecil dengan kata-katanya itu.

“Abang Tiar konon! Mabuk asmara? Lisa, orang tua tu sebaya Pak Cik Man, tahu! Sebaya ayah kau!” Yanti semakin lantang.

Alisa tetap tenang. Kenyataan, buat apa disangkal, fikirnya. Memang pun ayahnya sebaya dengan lelaki itu. Tidak perlu dipertikai. “Kenapa kalau dia sebaya ayah aku? Apa masalahnya?”

“Kau ni kan...”

“Orang tua ni, Yanti, best tau tak? Cakapnya lemah lembut, caring pulak tu. Prihatin lagi! Tak cepat marah, banyak pengalaman. Sesungguhnya, aku memang gembira dengan dia. Dia tak macam lelaki-lelaki lain yang pernah aku kenal.” Dengan bangga Alisa memberitahu. Tiba-tiba Alisa teringat akan sesuatu. Pantas dia menegakkan badan lalu mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya yang mahal. Sebuah kotak baldu berwarna merah hati dibuka dan...

Wau! Silau biji mata Yanti memandang kalung berlian yang berkilauan, yang kini sedang diperagakan oleh Alisa di lehernya. Tentu sahaja kalung cantik dan mahal itu adalah hadiah daripada Bakhtiar.

“Cantik tak?” tanya Alisa riang. Seronok melihat reaksi Yanti yang sedang melopong mulutnya ketika ini.

Yanti merengus. “Cantik sangat! Tu hadiah daripada orang tua tulah, kan? Sebab itu kau tak sanggup lepaskan dia. Tak mahu tinggalkan dia! Betul tak?” sindirnya.

“Mana ada?” Alisa mengelak.

“Huh! Usahlah nak nafikan kebenaran, Lisa. Memang kau tu tamak! Pisau cukur! Tengoklah! Tiap kali balik ke rumah aje, mesti ada hadiah yang kau bawak,” sindir Yanti terus-terusan.

Alisa tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan itu. Selamba dia membalas, “Dah orang beri, aku ambillah,”

“Dah orang beri, aku ambillah!” Yanti mengajuk. Matanya mencerlung menatap paras jelita itu. “Hadiah tu untuk apa sebenarnya, Lisa? Balasan untuk khidmat kelas pertama kau ke?”

Pertanyaan itu buat Alisa terkesima. Tangan yang sedang membelek-belek pemberian Bakhtiar, terhenti. Namun, dia langsung tidak melatah. Hanya wajahnya sedikit kelat kerana tidak mempercayai bahawa Yanti sanggup berkata begitu.

“Kalau ayah kau tahu kau bercinta dengan orang tua tu, menangis dia, Lisa! Macam dah tak ada orang muda dalam Malaysia ni sampai suami orang yang dah tua kerepot itu juga yang kau kejar.” Yanti masih belum puas menyakiti hati Alisa. Dia rasa marah yang teramat melihat riak wajah kawan karibnya yang masih bersahaja, langsung tidak berperasaan!

“Helo, aku tak kejar dialah, Yanti. Dia yang kejar aku, okey. Dia yang datang, menagih kasih aku. Dia yang memujuk rayu. Dia yang terhegeh-hegeh!” balas Alisa bersungguh-sungguh. Dia menyatakan yang benar. Bahawa, bukan dia yang memulakan hubungan, tetapi Bakhtiar. Bukan dia yang menggoda lelaki itu tetapi lelaki itu yang mendekatinya terlebih dahulu. Seolah-olah tidak mampu hidup tanpa dirinya. Hendak buat macam mana?

Tiba-tiba telefon bimbit Alisa berbunyi. Melihat nombor yang tertera, dia terus memberikan telefon itu kepada Yanti. “Cakap aku dah tidur,” arahnya.

Yanti mengetap bibir sebelum menekan punat hijau.

“Waalaikumussalam. Bukan! Saya Yanti, encik. Lisa? Dah tidur dah! Balik tadi, lepas mandi aje, terus lena. Nak saya kejutkan dia?”

Alisa jegilkan biji mata, namun dia berasa lega kerana akhirnya...

“Okey, nanti saya sampaikan pada dia. Waalaikumussalam.”

Wajah Alisa direnung. Telefon bimbit diserahkan semula kepada gadis itu. “Buah hati kau kirim salam,” kata Yanti.

Salam dijawab dalam hati.

“Kau nak kahwin dengan dia ke, Lisa?”

“Kahwin? Dengan siapa?”

Yanti mendengus kasar. Sikap blur Alisa buat dia geram semula. “Siapa lagi? Encik Bakhtiarlah!”
..................
bab 1 ni nak kenalkan anda kepada alisa okey... :)

baca yang awal : (1) , (2) , (3) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Komen

blogger-fcebook

Disqus Shortname