apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

14.3.13

Lahad Datu : Rimas 'Perang Khabar Angin?


Assalamualaikum, selamat pagi semua. Rasanya dah terlalu lama Kak Sofi tidak memasukkan rencana di blog Luahan ini. namun, tiba-tiba, hati rasa terpanggil setelah membaca artikel di bawah. 

Ya, kita didedahkan dengan bermacam-macam berita tentang peristiwa di Lada Datu. Kalau di FB tu, macam-macam keluar sehingga ada yang sanggup mengutuk mereka yang berkorban untuk negara. Hati rasa pedih dengan manusia sebegini. Di manakah ehsan dan empati sehingga sanggup menghina pasukan keselamatan? 

Terima kasih Harian Metro kerana mengeluarkan satu topik yang amat sesuai dengan situasi sekarang. Terima kasih kerana hari ini, ada yang sanggup memberitahu apa yang berlaku di sana. Dia yang menyaksi. Dia yang turut berada dalam kancah perang. Dia yang tentunya nampak dan lebih tahu apa yang berlaku berbanding kita yang berada di Semenanjung. 

Silalah baca:-

Oleh Yusri Abdul Malek - Penulis Pengarang Berita Jenayah Harian Metro

Sebagai wartawan membuat liputan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, ramai antara kami, termasuk dari agensi luar negara cuba memberi laporan eksklusif dan terbaik untuk pertubuhan masing-masing.

Walaupun kawasan zon merah dilarang masuk tetapi ada juga dalam kalangan kami tetap berani sekalipun mengetahui bakal terbunuh atau menjadi tebusan jika terserempak dengan pengganas ini yang memang diketahui kejam.

Pengganas Sulu dilaporkan sanggup memenggal kepala, mencungkil mata dan mengerat badan seperti dilakukan ke atas anggota keselamatan kita yang terbunuh dalam dua kejadian berasingan pada 1 dan 2 Mac lalu.

Mereka boleh disamakan dengan pengganas kartel dadah di Mexico yang sanggup mengerat mayat anggota polis yang mereka tawan hanya semata-mata kerana mengganggu operasi mereka.

Sebab itulah, kawalan keselamatan amat ketat dan wartawan tidak boleh sesuka hati memasuki kawasan zon merah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Masa lebih banyak dihabiskan di Pusat Media yang terletak di Felda Residence Sahabat iaitu hampir 20 kilometer dari zon merah.

Jika bernasib baik, wartawan dapat menemubual penduduk yang dipindahkan dan ada yang ‘nakal’ cuba juga merapati pasukan keselamatan bagi merisik berita.
Laporan dramatik Ada juga laporan dibuat secara berlebih-lebihan dan dramatik sedangkan kejadian yang berlaku tidak seperti dilaporkan.

Mungkin wartawan ini ada ‘angle’ tersendiri dan cuba menjadikan insiden yang berlaku lebih menarik.

Bagaimanapun, dalam ‘berperang’ mendapatkan berita, kami juga berdepan dengan banyak khabar angin disebarkan blogger atau melalui SMS hingga kadangkala merimaskan kerana perlu mengesahkan berita terbabit terlebih dulu.

Ternyata banyak SMS ini langsung tidak berasas, sebaliknya hanya menyusahkan pihak keselamatan. Kebanjiran khabar angin ini juga menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan yang mengambil keputusan membuat pembelian panik bahan makanan dan menutup perniagaan lebih awal, terutama di bandar utama pantai timur Sabah kononnya kawasan itu akan diserang pengganas Sulu.

Penulis, sebaik tiba di Ground Zero, masalah pertama dihadapi ialah mencari bilik penginapan kerana habis ditempah anggota pasukan keselamatan dan pegawai tertinggi ATM dan PDRM menyebabkan kebanyakan wartawan daripada kumpulan akhbar sama terpaksa berkongsi bilik.

Bilik kongsi sembilan Bayangkan sebuah bilik untuk dua orang dimuatkan dengan sembilan orang kerana ketika itu, kami tiada pilihan. Mahu tak mahu kena duduk juga kerana kini kami berada di zon perang. Keselesaan tidak lagi diutamakan. Jika mahu tinggal di bandar Lahad Datu, jaraknya kira-kira 130 kilometer sehala. Cukup jauh dan memenatkan jika berulang alik. Malah, ada yang terpaksa berjaga di lobi sementara rakan lain tidur. Masalah talian Internet juga menyebabkan banyak berita lambat dihantar ke ibu pejabat.

Paling sengsara apabila bekalan air dicatu untuk dua hari. Ada wartawan yang tak mandi, kalau tak tahan sangat terpaksa ke Lahad Datu menumpang bilik rakan.

Ini belum lagi episod makan, kami terpaksa juga bergantung kepada makanan ringan seperti biskut kerana pada awal kejadian 1 Mac hingga serangan bermula, boleh dikatakan semua kedai berhampiran ditutup.

Alasan kerana peniaga takut untuk membuka perniagaan. Ketika itu, tersebar mengatakan pengganas akan menyerang Sabah.

Bahan berita ketika mula serangan pula hanya berdasarkan sidang media yang dibuat dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan jam 4 petang. Biasanya dibuat oleh Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Malah, ada juga sidang media oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussain dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Cerita penduduk Sementara menunggu sidang media, wartawan akan cuba mencari cerita ‘human interest’ dengan bertemu dengan penduduk yang dipindahkan.

Pelbagai bahan berita menarik diperoleh tetapi selepas 10 hari serangan, berita yang ada juga semakin kurang, apatah lagi sidang media kini diambil alih Pesuruhjaya Polis Sabah dan bukan lagi Panglima ATM dan Ketua Polis Negara.

Dalam keadaan semakin pulih dan ketakutan yang dialami penduduk sejak seminggu lalu mulai reda, kehidupan sudah kembali seperti biasa.

Sebenarnya insiden pencerobohan Lahad Datu ini boleh dielakkan jika pengganas Sulu menerima cadangan kerajaan Malaysia agar meninggalkan negara ini secara sukarela selepas memasuki secara haram pada 12 Februari lalu.

Malangnya, pendirian kerajaan kita yang mahu mengelak pertumpahan darah langsung tidak dilayan, malah dengan sombong menolak dan lebih rela mati.

Kedegilan pengganas ini terpaksa dibayar dengan pertumpahan darah yang akhirnya hanya merugikan mereka.

Kepada anggota keselamatan yang terkorban, mereka adalah wira negara kerana sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Tidak lupa juga jasa anggota keselamatan lain yang meninggalkan isteri, anak, ibu dan bapa serta saudara mara demi menyahut panggilan pertiwi. Kepada mereka dipanjatkan doa agar sentiasa dilindungi Illahi.
................
terima kasih kerana sudi luangkan masa anda di sini...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.