apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

23.10.12

Lima ecerpen untuk anda

Di bawah ini ada 5 e-cerpen. Ada orang dah baca kisah penuh, tetapi ada orang belum, kerana belum lagi membeli e-booknya. Tak apa, saja nak bagi anda lihat, tak paksa suruh beli pun. hehe....

Ni e-cerpen pertama: Aku Ada Kamu


“Nad....”

“Apa lagi?”

“Kenapa kau tak kahwin lagi?”

Wajah Zulfi yang bertanya ditenung macam nak telan. “None of your business!”

“Sebab kau masih rindukan Zul, kan?” tanya Husna.

Bulat mata Fatin Nadia.

“Kau masih cintakan Zul?”

Fatin Nadia menahan nafas. Badannya dirasakan bergegar. Suaranya bergetar bila dia bercakap, “Korang bawak aku ke sini sebab nak tahu perasaan aku? Kenapa? Kenapa kalau aku masih rindukan Zul? Cakap, Husna! Kalau aku masih cintakan Zul, kau nak buat apa? Nak aku jadi madu kau? Kau nak aku kahwin dengan Zul?”

Sahabat-sahabat baiknya itu saling berpandangan sebelum kedua-duanya mengangguk. Dan berkata serentak. “Ya!”

Air mata yang ditahan mengalir laju menuruni pipi bila Fatin Nadia mendengar pengakuan itu. Sebak sungguh perasaan.

“Zul tak pernah berhenti mencintai kau, Nadia. Zul tak pernah berhenti mengingati kau. Dan aku yakin, kau juga tak pernah berhenti mencintai Zul. Sebab itu, aku ingin kembalikan Zul pada kau. Aku pinjam dia sekejap. Sekarang kau dah balik, jadi, kau berhak bahagia dengan dia. Cuma, aku harap, kau beri aku ruang untuk menumpang satu sudut dalam kehidupan korang berdua nanti. Aku janji, aku tak akan kacau kau. Cuma, aku harap Zul tak ceraikan aku, itu saja.”

Fatin Nadia bangun tergesa-gesa. Habis jatuh kerusi yang baru didudukinya. Dia ingin pergi dari situ. Ingin segera pergi meninggalkan dua orang insan yang gila di hadapannya ini.

“I am not that desperate nak rampas suami kawan baik aku sendiri!” 
..................

Ni yang no 2 : Jangan Pernah Tinggalkan Aku

Bunyi enjin kereta mengaum di hadapan rumah menyebabkan Aiza melompat turun daripada katil. Laju kakinya melangkah ke tepi tingkap. Dengan berhati-hati, langsir diselak sedikit untuk memerhati ke hadapan pintu pagar rumah berkembar dua tingkat itu. 

"Thanks, sayang. You tak nak masuk dulu?"

Kenal benar dia dengan suara lembut adiknya, Izati. Ya, Izati memang lemah lembut orangnya. Tidak seperti dia, gadis tomboy yang sering menjadi kemarahan ayah dan ibu mereka. Cantik sungguh Izati berbaju kurung warna biru dengan tudung ala-ala si Hana Tajima. Memang mengancam habis gayanya, manalah lelaki yang seorang itu tidak tergoda. 

"Lain kalilah I masuk, ya. Kirim salam pada mak cik dengan pak cik." 

Suara garau itu menyahut. Suara sedap, gaya apatah lagi. Jauh lebih hebat daripada si Aaron Aziz, hero pujaannya. Jauh lebih tegap daripada Remy Ishak dalam filem Cun. 

Aiza terus memerhati. Entah apa pula yang mereka di bawah itu bisikkan, dia tak pasti cuma suara mengilai adiknya yang macam Pontianak Harum Siang Malam tu tetiba kedengaran. 

Argh, Fizwan memang pandai berlucu. Sejak dulu lagi dia begitu. Sikap itulah yang pernah membuat hatinya tertarik kepada lelaki itu. Malangnya, Fizwan tak sukakan dia. Tentu saja tidak! Siapa yang suka pada gadis yang beraksi seperti seorang lelaki, kan? 

"Okey, I balik dulu. Jangan nakal-nakal tau!" 

"Alah, you ni.... you tu yang nakal!" 

Kemanjaan itu buat Aiza memandang ke bawah sekali lagi. Untuk memerhati lelaki itu pergi. Namun hati tersentap bila lelaki itu mendongak. 

Makkk, dia tahukah yang aku selalu mengintai ni? desis dalam hati sambil menyembunyikan diri. Namun sekilas dia dapat melihat sekuntum senyum terukir pada bibir lelaki itu. 

"Bye, sayang..."

Errr.... kenapa dia rasa macam Fizwan mengucapkan itu kepadanya? Buru-buru dia memandang ke bawah. Fizwan masih mendongak dan ketika saling bertentang mata, senyum itu berubah jadi sengih. Lelaki itu kemudian terus masuk dan pergi bersama sengihan itu. 

Aiza yang masih berdiri di tepi tingkap terkedu.
.................

Ni yang ketiga : Aku Sudah Jatuh Cinta

“Isk, ketepilah! Yang berdiri macam mak pacak kat lorong orang lalu lalang ni pasal apa? Tepi!”

Nabila bukan saja diherdik di celah-celah orang ramai dalam Pasaraya Hari Hari itu, malah tubuhnya nyaris tidak terjatuh akibat terdorong ke hadapan, ditolak oleh tuan empunya suara. Belum sempat dia hendak menjerit kepada perempuan yang kasar itu, dua orang pengawal keselamatan sudah menghalang pergerakannya.

“Cik adik nak pergi mana?” tanya seorang yang berbadan tinggi dan sasa. Wajahnya garang tanpa segarit senyum diukir pada bibir.

“Err..?? Saya nak keluarlah.” Balas Nabila sambil mengerut dahi.

“Tak boleh! Awak kena bayar dulu.” Nyaring suara seorang lagi lelaki yang berpakaian seragam warna kuning.

Nabila merenung anak mata lelaki bernama Kumar yang baru sahaja menyergah dirinya. “Tapi, saya tak beli apa-apa, encik.”

Kumar naik berang. “Woo, sudah curi lagi mahu cakap tarak beli apa-apa? Ini perempuan banyak jahat, aaa....!”

Nabila telan liur. “Encik cakap apa ni? Mana ada saya curi barang encik?” soalnya dengan wajah kemerah-merahan. Malu kerana waktu ini sudah ada yang berhenti untuk memerhati dirinya. Tak fasal-fasal pula kini dia menjadi perhatian orang ramai.

Tiba-tiba beg sandangnya ditarik dengan kasar oleh pengawal yang bernama Amran.

Nabila tersentak dan dia cuba merampas semula beg kesayangannya. “Encik, bagi balik beg saya tu!” pintanya.

“Ini apa? Ini baju T ada dua helai. Awak sudah bayarkah?”

Bulat sepasang mata Nabila. Wajah berubah pucat. Hati berdebar-debar. Yang jelas, dia sedang kebingungan.

“Kenapa diam? Kata tak beli apa-apa, kan? Jadi, semua ni awak nak curilah?”

Nabila segera menggelengkan kepala. “Sumpah, encik! Saya tak tahu apa-apa tentang baju T tu. Macam mana baju T tu boleh masuk dalam beg sandang saya ni?”

Lelaki yang tegap bernama Amran menunjal dahi Nabila sehingga gadis itu nyaris jatuh kali kedua. “Awak nak bohong pun tak pandai, tahu tak? Dah curi tu mengaku ajelah! Awak ingat baju T yang ada dalam beg awak ni boleh terbang masuk ke dalam beg tu?”

Malunya kena jerkah atas kesalahan yang dia tahu, tidak dilakukannya. Tapi, bagaimana dapat dia memberitahu sedangkan bukti seolah-olah sudah ada di hadapan mata?

“Polis dah sampai!” Suara seorang wanita melaung dari kaunter.

Diri Nabila yang dalam kebingungan itu ditarik ke pintu masuk oleh Kumar sementara si Amran memegang beg galas. Seketika kemudian Amran berjabat tangan dengan seorang anggota polis sambil ibu jarinya asyik menunjuk ke arah Nabila. Nabila yang masih terpinga-pinga akhirnya mendengar....

“Kita ke balai polis sekarang. Bagi saya beg galasnya. Baju T tu bahan bukti yang penting.”

Nabila meronta-ronta bila dirinya dipegang dengan kasar. “Sumpah, encik. Bukan saya yang buat. Saya bukan pencuri. Saya tak curi!” jeritnya. Air mata sudah menitis laju.

“Woit! Kau nak kena gari? Kena gari baru nak berhenti meronta? Dah, jangan banyak cakap! Ikut kitorang pergi ke balai. Jalan!”

Dari luar, seorang lelaki sedang memerhati kejadian yang berlaku sambil mengetap bibir. Bila melihat air mata itu menitis, hatinya terus disimbahi rasa kasihan. Ya, entah dari mana rasa simpati ini tetiba sahaja hadir. Mungkin kerana wajah polos itu kelihatan sangat takut? Ataukah kerana melihat gigil tubuh itu yang seakan-akan tidak mahu berhenti?

“Fuad, jomlah! Yang you tak gerak lagi ni, kenapa? You nak dia tu nampak muka I ni? Fuad! Fuad!”

Lelaki bernama Fuad itu mendengus keras. Dia segera menghidupkan enjin motosikal berkuasa tinggi, Six-cylinder BMW K1600 GTL miliknya. Hatinya tidak mahu pergi tapi, keadaan tidak selamat sekarang. Mereka perlu beredar, perlu tinggalkan kawasan itu sebelum sesiapa menyedari apa-apa. Bagaimana dengan perempuan itu, hati disoal. Ah, biarkan ajelah! Tak ada kaitan dengan dirinya sama sekali! Tidak ada langsung!!”
.......................

Ni yang ke 4 : Aku Bukan Boneka

Wajah gadis jelita itu tampak bosan dalam keriuhan majlis yang dihadiri. Dia bersendirian mengelilingi meja hidangan, mencuit dan mencubit apa jua yang teringin dimakan. Malas dia hendak mengambil pinggan dan dia tahu, saat ini, tidak ada sesiapa yang menghiraukan perlakuannya. Tak siapa peduli!

“Boring betul. Bila agaknya aku boleh balik ni?” desahnya perlahan. 

Sepasang mata memandang sekitaran, ingin mencari kelibat lelaki yang membawa dirinya ke mari. Dia ingin mengajak lelaki itu pulang. Lagipun hari sudah terlalu lewat. Tidakkah mereka yang berada di sini berasa mengantuk? Weh, dah pukul 2 pagi ni! Gumamnya.

“Baik aku pergi ambil angin di balkoni. Rimaslah keadaan bising-bising macam ni!”

Dia melangkah ke arah pintu gelangsar yang terbuka luas. Sebaik sudah mendapat tempat yang sesuai, tangan didepangkan sambil berdiri di atas jemari kaki. Nafas disedut perlahan-lahan. Bila nafas dilepaskan, serentak tangan dijatuhkan ke sisi dan tumit kembali mencecah lantai. Diulanginya beberapa kali sehinggalah rasa kantuk hilang dan mata kembali segar.

Tiba-tiba telinganya mengesan bunyi suara kaum lelaki ketawa. Hmm, tak lain mengutuk oranglah tu, gerutunya. Orang lelaki pun kalau diberi peluang mengumpat, uisy, kalah orang perempuan! Kaw, kaw, punya!

“Kau dengan Erin tu bila nak kahwin, Zaid? Aku tengok lama dah kau dengan dia. Kalau sebelum ni, usah kata tiga bulan, tiga jam pun kau dah tak tahan dengan mana-mana perempuan. Tapi dengan si Erin ni rasanya dah dekat setahun kau bela dia. Takkan selamanya begini aje?”

Hati berdebar-debar mendengar soalan itu. Soalan yang diajukan kepada Zaid Harith bin Lut. Satu-satunya Zaid Harith yang dia kenali. Soalan yang melibatkan dirinya, Erin Fazlina binti Munif. Soalan yang melibatkan hubungan terlarang mereka berdua.

“Kahwin? Kenapa aku dengan Erin tu kena kahwin pulak, Alif? Kami bahagia sekarang. Sangat bahagia.”

“Zaid, kita ni orang Islam. Orang Islam tak boleh berzina. Dan, itulah yang kau dengan Erin tu sedang buat. Berdosa besar tu! Aku cuma nak ingatkan kau tentang itu.”

“Alah, Alif. Kau nak tahu tak? Dalam dunia ni, dah banyak pasangan yang buat benda tu. Aku dengan Erin ni kira okey, tau. Ada tu, laki orang bersama dengan bini orang. Itu lagilah! Relaks, kawan. Aku muda lagi. Bagilah peluang aku nak menikmati usia muda ni puas-puas dulu. Nanti bila dah kahwin, susah! Lagipun...”

“Apa?”

“Isk, kau ni... Alif. Itupun mahu tanya lagi ke? Alif, Bila seorang lelaki nak kahwin,tentulah dia mahukan seorang isteri yang baik, kan?”

“Aku tak faham.”

Erin turut menggelengkan kepala. Hati berdebar-debar menunggu penjelasan Zaid Harith kepada Alif. Apakah yang Zaid maksudkan dengan ‘Mahu isteri yang baik?’ Tidakkah dia seorang wanita yang cukup baik selama ini?

Mereka berkenalan dalam satu majlis sosial. Dia menemani seorang kawan perempuannya. Kawan sekuliah, Fatini namanya. Saat diperkenalkan kepada Zaid, hatinya sudah terusik. Usikan nakal dan kemesraan Zaid mudah benar membuai perasaannya. Namun, mereka rapat hanya sesudah dia menamatkan pengajian hampir setahun yang lalu.

Zaid Harith seorang usahawan muda yang berjaya. Melibatkan diri dalam bidang pengkomputeran amat menguntungkan lelaki muda ini. Dan sememangnya, menjadi teman wanita Zaid menjadi impian kebanyakan wanita. Bila Zaid memilih Erin, tentu sahaja Erin merasa bangga. Bila Zaid mula merayu, tentu saja Erin lemah dan akhirnya terkulai dalam pujukan serta belaiannya.

Selama ini, hidupnya mewah. Zaid tidak lokek menghadiahi dirinya dengan segala macam yang diingini. Zaid sentiasa bermurah hati dengannya. Asalkan... Erin mengeluh. Asalkan dia tidak mengandung. Kata Zaid, kalau dia mengandung, lelaki itu akan meninggalkan dirinya. Dia akur, ya, dia akur kerana dia amat mencintai Zaid!

Jadi, tidak cukupkah pengorbanan yang dicurahkan? Tidak cukup baikkah dia di mata Zaid Harith?

“Aku sekarang ni tengah keliru. Hari tu masa aku balik sekejap ke rumah mama aku, dia tunjukkan gambar seorang perempuan ni. Cantik, bertudung litup, graduan lepasan UIA, ambil jurusan syariah. Mama aku nak melamar dia untuk aku....”

“Habis tu? Erin? Takkan kau nak lepaskan dia macam tu aje?”

“Erin? Kenapa pula aku nak lepaskan dia? Aku dengan dia tetap macam sekaranglah!”

“Maksud kau, walaupun kau dah ada isteri nanti, kau akan tetap jadikan Erin perempuan simpanan kau? Mahu ke dia? Tak mengamuk Erin nanti?”

Erin menanti lagi walaupun saat ini hatinya sedang meniti kehancuran. Dia menunggu...

“Alif, aku dengan Erin tak ada sebarang ikatanpun! Aku nak kahwin dengan siapa, dia tak berhak masuk campur. Dia cuma...”

“Kejam bunyi ayat kau ni! Kalau dia dengar,”

“Itu kenyataan okey! Lagipun, dia nak apa lagi? Aku dah beri dia macam-macam! Rumah, kereta, duit? Bakal isteri aku pun belum tentu semewah dia, kau tahu! Cukuplah tu!”

“Tapi,”

“Hey, tolonglah! Perempuan macam Erin ada di mana-mana. Petik jari aje, datanglah diorang. Takkanlah dia nak aku jadikan ibu kepada pewaris empayar perniagaan aku, Alif...”

Sepasang mata sudah melurutkan manik manik kecewa mendengar kata-kata yang cukup menggambarkan siapakah dirinya dalam kehidupan seorang Zaid Harith. Cepat-cepat ditinggalkan kedua-dua lelaki itu kerana dia bimbang mereka akan mendengar suara esakannya. Kaki melangkah menjauh, biarpun tubuh dirasakan bagai melayang-layang di awangan.

Sampai hati dia? Sampai hati Zaid buat aku begini? Aku dah serahkan semuanya pada dia tapi sikitpun dia tak hargai aku. Dia nak kahwin! Tapi bukan dengan aku. Kami tak ada sebarang ikatan. Ooo...patutlah beria-ia dia tak mahu aku mengandung rupa-rupanya dia tak mahu bertanggungjawab. Aku perempuan yang tak cukup bagus untuk dirinya. 

Bodohnya aku! Bodohnya aku!
.................

Ni yang ke 5 : Jodoh

Ahmad Zaki memandang ke arah pintu rumah yang baru sahaja ternganga. Di situ, terjengul wajah sahabat karib yang juga teman serumah bernama Zakuan Nordin. Dilihat, wajah yang biasanya sentiasa ceria itu sedang cemberut. Masamnya muka mengalahkan asam tempoyak, fikir Zaki.

“Ini yang buat aku menyampah nak balik kampung!”

Zaki belum sempat bertanya, si Zakuan sudah memulakan cerita.

“Apa kes ni, bro? Marah sangat nampaknya?”

Zakuan memandang wajah sahabat baiknya. “Senang hidup macam kau, Zaki. Anak tunggal, saudara mara tak ramai. Hidup aman. Aku ni...” keluhnya. Sakit di dalam hati rasanya bagai sudah tidak mampu ditahan-tahan.

Zaki sudah dapat mengagak punca mengapa Zakuan mengamuk. Zakuan pula mula merengus bila tengok bibir Zaki merekah senyum. Dia menjeling tajam.

“Kau pun sama dengan semua orang di kampung aku tu!”

Zaki mula ketawa. Tadinya perlahan sahaja tetapi kini semakin kuat menyebabkan Zakuan semakin hilang sabar. Rasa ingin saja dicampak kunci kereta Honda Accord kesayangan ke muka Zaki. Kalau dah sakit nanti baru dia berhenti ketawa, fikirnya. Tapi, otaknya masih boleh berfikir secara rasional lagi. Belum mahu buat tindakan di luar batas kemanusiaan. Masih menghargai erti persahabatan. Ewah!

“Dia orang tanya fasal jodoh kau, kan?”

Zakuan menyandarkan tubuh ke belakang kerusi. “Hmm,” balasnya.

“Habis, apa alasan kau kali ni?”

“Alasan? Kau ingat dia orang semua tu nak terima apa aje alasan yang aku bagi? Bila aku cakap... ‘Tak ada jodoh lagi!’ Kau tahu diorang cakap apa?”

Zaki menggeleng.

“Alahai, takkan kerja CEO, kereta besar, gaji besar, rumah besar tak ada orang yang hendak, kut?” Zakuan mengajuk kata-kata mak uda Limah, kakak emaknya.

“Lagi?”

“Bila aku cakap, ‘Tak ada siapa hendakkan saya?’, adik bapak aku, mak ngah yang mulut murai tu perli.... ‘Hang memilih sangat kut, Zek? Tu yang umoq dah nak masuk 40 pun belum menikah sorang pun!” Zakuan mengajuk cara mak ngahnya bercakap.

Zaki ketawa besar. Geli hati melihat kawannya yang beria-ia meluah rasa.

“Yang buat aku bengkek ni kau tahu tak, Ki?”

“Kau tak cerita, macam manalah aku nak tahu?”

“Semalam tu kan kenduri kahwin adik aku si Zaleha tu, kan? Sepatutnya mereka pasanglah lagu Saloma, Selamat Pengantin Baru, atau lagu Anita Sarawak ke... ini yang dia orang pasang sepanjang hari...”

“Lagu Wali Band? Cari Jodoh?”

Zakuan garu kepala. Matanya bulat memandang wajah Zaki. “Macam mana kau tau?” soalnya.

“Betul dia orang pasang lagu tu? Wah...patutlah kau mengamuk sakan? Pedih wooo...”

“Tahu tak pe!”

.......................
Ada yang nak beli ke? Ewah, tanya pulak, ya? Murah aje, RM10. Kalau nak, silalah tekan link di bawah:


ada yang nak komen apa-apa? silakanlah.. peace.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.